Keadilan dari lensa prejudis

Salam..

Semua makhluk samada manusia, haiwan, jin dan seluruh isi bumi serta langit pastinya mengharapkan keadilan dihidangkan dihadapannya. Namun sejauh manakah keadilan dan erti keadilan sebenar itu mampu dinikmati? Dari sudut manakah keadilan itu dilihat? Keadilan itu sesuatu yang subjektif dan berpusat dari sisi dan arah mana lensa itu digerakkan. Jika ianya disudutkan dari ‘lensa prejudis’ pastinya keadilan itu akan menjadi adil untuk sipemegang lensa tersebut dan hukum alam menyatakan pihak yang difokuskan itu akan menjadi mangsa yang dizalimi kerana lawan adil adalah zalim. Benar seperti kata Umar Al-Khattab bahawa “Keadilan itu syurga orang yang terkena zalim dan neraka bagi yang zalim.” Namun di zaman yang serba moden dan sudah jauh meninggalkan Zaman Jahiliyah, masih terdapat manusia-manusia yang mulutnya melaungkan keadilan dan ketelusan serta integriti saban waktu tanpa jemu namun tindak-tanduknya tak ubah anjing jatuh ke dalam tangki najis yang cuba membersihkan bayi yang tidak berdosa dan bersih dari kotoran dan najis.

2. Kehidupan zaman ini memerlukan pengorbanan dan hati yang cekal kerna hanya yang cekal dan tabah akan terus dapat bertahan bukan saja perlu berhadapan dengan cabaran dari musuh, jauh lebih merbahaya dan zalim adalah musuh dalaman, teman-teman yang bertemankan hasad dengki dan fitnah, sekutu yang menyekutukan agama, bangsa dan tanahair, rakan kongsi yang hanya berkongsi keseronokan tapi enggan berkongsi penderitaan dan kesengsaraan, saudara mara yang hanya mara untuk merampas kebahagiaan dan harta benda kita dan pemimpin yang memimpin gerakan melemah dan melumpuhkan kita demi survival yang bertunjangkan ‘selfish’ dan ‘machiavelisme’. Yang ketara ialah politik tikam-menikam, curiga mencurigai dan ancam mengancam menular dengan pantas dan merosakkan sistem sediada tanpa belas kasihan. Siapa saja yang bersuara akan menerima padahnya.

3. Jika peperangan menzalimi mangsa-mangsa tanpa mengenal usia, jantina dan bangsa, maka kezaliman seperti ini juga tidak kurang bengis dan kejam terhadap mangsa-mangsanya. Seperti kata Dato’ Johan Jaafar dalam buku koleksi artikelnya bertajuk Nota Kaki Johan Jaafar, Pol Pot Bekas Pemimpin Khmer Rouge mempunyai masa lebih empat tahun mendera rakyatnya di Kemboja. Zaman pemerintahannya akan diingat dengan kengerian dan kebencian.”Tetapi Pol Pot baru akan muncul – kerana manusia sepertinya masih banyak dan menunggu peluang membuktikan “kebolehan” masing-masing.

4. Mutakhir ini, bangsa-bangsa di dunia di kalangan Muslim sedang dilanda masalah ketidakadilan secara meluas dan ianya semakin merebak menyerap masuk ke dalam institusi dan jentera kerajaan yang akhirnya akan meruntuhkan sesebuah negara lantaran sistem yang rosak dan berpaksikan yang di atas diampu, yang sama paras disigung dan yang di bawah diinjak. Oleh itu, secara kolektifnya ia menghasilkan refleksi terhadap individu atau kumpulan yang bermati-matian memperjuangkan organisasi ataupun intitusi yang diwakilinya pupus dengan sendiri dan jika masih wujud hanyalah umpama ‘bangkai bernyawa’ setelah jiwa dan pemikirannya direnggut dan dirantai menjadi hamba yang bukan hamba. Perhambaan jiwa dan pemikiran menjadi tradisi maka ramailah hamba-hamba sahaya yang menjilat-jilat sepatu tuannya dan yang tidak mampu diperhambakan akan dipasung dan disalib agar menjadi contoh terhadap yang lain jika terdetik keinginan memilih prinsip dari kepentingan tuan. Oleh yang demikian, maka proses pembiakan ‘kunta-kinte’ moden ini semakin subur dan natijahnya lahir institusi, organisasi dan negara yang berteraskan sistem perhambaan alaf baru dan matinya sebuah masyarakat yang cintakan ilmu dan kental memperjuangkan nasib bangsa dan tanahair. Sejarah yang sering diungkapkan akan berulang dan datang lagi dengan bangganya sepertimana kisah Si Kitol dan Pateh Karma wijaya di Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang musnah lantaran suburnya budaya fitnah yang dijunjung, kezaliman yang melangit dan keadilan yang dilihat dari lensa prejudis…

Wallahualam

Leave a comment