Soalnya Bukan Jurulatih

1. Piala Thomas yang berakhir di New Delhi jelas memperlihatkan betapa sukan mampu menyatukan segala kaum atas nama negara walaupun timbul polemik baru yang dicetuskan Dr Ridhuan Tee berhubung kenyataannya jika Misbun menentang Lin Dan. Secara umumnya semua pihak melihat dari sudut yang positif dan mengenepikan sentimen politik. Namun demikian, timbul tanggapan berhubung kehebatan Park Joo Bong selaku Ketua Jurulatih dan Izuan Ibrahim rakyat Malaysia kelahiran Kelantan yang menjadi jurulatih kepada pemain perseorangan Jepun, Kento Momota yang menewaskan pemain negara, Chong Wei Feng dengan straight set 21-15, 21-17. Kenyataan media bahawa “Di sebalik kejayaan pasukan Jepun merangkul kejuaraan Piala Thomas kelmarin, ramai tidak mengetahui pasukan negara matahari terbit itu sebenarnya dibantu oleh anak Malaysia”.

2. Jika dilihat secara lebih rasional dan berpijak kepada bumi nyata, kedua-duanya pernah menjadi jurulatih di Malaysia tetapi kena Malaysia tetap gagal? Politik dalaman BAM yang lebih mementingkan kelompok? Politiking berlebihan itulah yang merosakkan sukan negara bukan saja badminton malah semua sukan di negara ini. Di samping itu disiplin dan budaya yang diamalkan menjadi penentu gagal atau berjaya sesuatu pasukan termasuk dalam peperangan. Bawalah jurulatih dari langit atau planet Marikh sekalipun negara tidak akan mampu melahirkan juara atas faktor yang disebutkan.

3. Dalam bidang bolasepak juga Jepun kini setanding pasukan-pasukan ternama dunia. Itu belum lagi sukan lumba kereta dan lain-lain. Puncanya apa? Ia adalah kerana semangat, disiplin dan budaya kerja serta kehidupan yang sukar dilakukan oleh rakyat negara ini. Ketika saya dalam rangka lawatan tugas rasmi pemimpin negara ke negara tersebut, saya amat kagum dengan budaya kerja mereka. Jam 9 malam masih menyala lampu-lampu di pejabat-pejabat dan jika ada yang pulang awal ke rumah akan minta oleh anak isteri agar tidak terus pulang ke rumah kerana ianya memalukan keluarga yang dianggap pemalas. Sikap menghormati kerja dan tugas yang diamanahkan tanpa mengira tingkat hirarki dalam organisasi menambah kekuatan budaya murni mereka. Jika tidak, mana mungkin mereka bingkas bangun di saat kejatuhan yang melumpuhkan negara matahari terbit itu.

4. Dalam bukunya “Why Japan is No.1”, Ezra F. Vogel merumuskan kehebatan Negara Jepun yang mencapai taraf dunia, adalah disebabkan oleh budaya yang diamalkan oleh masyarakatnya. Tidak sampai 20 tahun selepas kalah Perang Dunia Kedua, bangsa Jepun bangkit dari kehancuran Hiroshima dan Nagasaki, menjadi kuasa besar yang seterusnya menggegar dominasi Amerika Syarikat dan Eropah. Kebangkitan Jepun dalam tempoh yang cukup singkat bukan disebabkan oleh wang, bukan juga kebetulan, tetapi kerana budaya yang diamalkan oleh mereka. Apakah budaya yang menjadi amalan mereka itu? Pertama sekali ialah disiplin, masyarakat Jepun begitu tinggi displin mereka dari segi ketepatan masa, kepatuhan kepada ketua, kekemasan berpakaian. Keduanya teliti. Teh Jepun yang dibancuh, adunannya dan cara menghidangnya cukup tertib sehingga posisi meletak sudu bancuhan teh turut diambilkira. Cara bekerja sangat mementingkan ketelitian sehingga kereta Jepun dikenali sebagai produk yang “zero defect”, tiada sebarang kecacatan. Ketiga ialah kaizen, pembaikan yang berterusan atau “continuous improvement”. Budaya kaizen digambarkan melalui usaha dan latihan berulang – ulang sehingga mencapai tahap kesempurnaan (perfection).

5. Oleh itu, sebelum membandingkan negara kita dengan mana-mana pihak, jadikan amalan untuk mewujudkan situasi sama dalam semua hal dan hanya berbeza dari satu sudut sahaja sebelum membuat perbandingan. Budaya ‘harakiri’ dan bertanggungjawab atas kegagalan juga bukan budaya kita tetapi menjadi budaya negara Jepun. Jika kita tidak mahu negara dibandingkan dengan tindakan meletak jawatan sekiranya berlaku kecelakaan (bukan celaka), maka kita juga tidak wajar membandingkan negara dalam hal lain yang akar permasalahannya juga tidak sama. Sama seperti membuat perbandingan harga bahanapi dengan negara jiran sedangkan berapa pendapatan perkapita, samada negara tersebut negara pengeluar minyak atau sebaliknya dan lain-lain harus diambil kira sebelum perbandingan dibuat. Jika itu ada, maka lakukan perbandingan seperti yang dikehendaki.

6. Sakit kepala urut perut bukan jawapannya. Bangsa Rom pada masa dahulu sangat kuat berusaha dan rajin bekerja sehingga berjaya kepuncak ketinggian. Namun,setelah ditimpa penyakit lalai dan malas, peradaban yang ditegakkan oleh nenek moyang mereka runtuh sedikit demi sedikit. Ketika itu mereka menyangka berusaha dan bekerja itu bukan pekerjaan orang yang merdeka tetapi pekerjaan budak-budak. Kebenaran tidak dapat dimusnahkan oleh air dan api. Tidak semua orang yang menolak kebenaran itu tidak tahu bahawa yang ditolakkanya itu benar ( Hamka).

Walahualam
~ sani ~

thomas cup

Kenyataan Lepas Tangan atau Alihan Isu

1. Terlebih dahulu saya amat berterima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia yang mencetuskan gelombang atau momentum membanteras aktiviti penyeludupan bahanapi hingga membongkar penglibatan pihak berkuasa dlm membantu sindiket dan penyeludup. Semoga ianya menjadi tindakan berterusan sehingga akhirnya kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya. Rakyat yakin dengan kesungguhan dan keikhlasan SPRM bertegas dalam isu ini akan dapat ditangani dengan lebih pantas dan berkesan.

2. Malam ini dalam buletin utama TV3, Ketua Pengarah SPRM tampil meminta penguasa lebih berani untuk menangkap pemberi rasuah yang membeli harga diri mereka. Saya menyokong saranan beliau tetapi ragu-ragu samada cukup keberanian di kalangan penguatkuasa yang sudah menjadi open secret sudah terbeli jika dilihat dari kenyataan-kenyataan dan alasan kenapa sukar menangani penyeludupan bahanapi.

3. Yang paling menyedihkan adalah apabila KP SPRM meminta kerajaan menkaji semula kaedah pemberian subsidi. Ianya seakan membenarkan telahan ramai pihak bahawa usaha membongkar kegiatan ini lebih kepada usaha menjustifikasikan tindakan kerajaan menarik balik atau mengurangkan subsidi. Rakyat yang sudah tersepit pastinya terbelit. Apakah alasan ini seperti membenarkan juga analogi bahawa jika jika kerajaan memberi bantuan kepada golongan miskin tetapi diselewengkan oleh mana-mana pihak maka siapa yang harus dihukum? Penyeleweng atau rakyat dengan mengurangkan atau menarik subsidi?

4. Sudah banyak kali berlaku setiap kali subsidi dikurangkan maka impak berganda kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan. Kenyataan para menteri ianya tidak membebankan rakyat sukar dipercayai kerana mungkin mereka tidak tergolong dalam kelompok rakyat kerana sudah diangkat menjadi dewa atau dewata. “Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket”. Alasan tidak akan membuahkan kejayaan. Ikhlas dan bersungguhlah dalam usaha membantu rakyat. Tidak ada rakyat maka tidak ada kerajaan. Kata-kata Theodore Roosevelt wajar direnung untuk kita sama-sama merenung kembali apa yang sedang berlaku, “A man who has never gone to school may steal a freight car, but if he has a university education, he may steal the whole railroad.” ―

Wallahualam

~ sani ~

einstein

MARTABAT WANITA DALAM POLITIK – TELUK INTAN ATAU TELUK DYANA

1. Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas. Sejumlah 60,349 pemilih berdaftar terdiri daripada 59,927 pengundi biasa, 410 pengundi awal dan 12 pengundi tidak hadir luar negara layak mengundi pada PRK itu dengan pengundian awal pada 27 Mei ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

2. Sejak kedua-dua parti mengumumkan calon masing-masing pada 17 Mei 2014, nampaknya nama calon dari DAP lebih mengundang polemik berterusan hingga ke hari ini. Barisan Nasional (BN) yang menamakan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan nampaknya dibayangi calon lebih muda dari DAP Dyana Sofya Mohd. Daud. Calon BN yang lebih berpengalaman dan pernah tewas pada PRU lepas juga kepada DAP gagal menarik perhatian bukan kerana faktor umur dan jantina dan keterampilan calon muda dari DAP itu sebenarnya, tetapi lebih kepada hasrat pengundi dan rakyat yang ingin melihat wajah-wajah muda dan segar mendominasi samada Dewan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).

3. Daripada komen-komen di laman sosial dan sembang kedai kopi, ramai yang teruja dengan keberanian DAP mempertaruhkan calon wanita muda berkelulusan undang-undang itu untuk berdepan dengan pemimpin no 1 parti komponen BN iaitu PGRM. Namun, lumrah kehidupan turut menjemput kritikan dan cercaan terhadap langkah DAP itu yang dianggap sebagai memperalatkan Dyana Sofya wanita muda Melayu malah Ketua Wanita UMNO sendiri melabelkan beliau sebagai boneka. Tidak salah berbeza ideologi politik dan wadah perjuangan tetapi janganlah sampai tahap intelektual serta prinsip-prinsip moral dan kemanusiaan masing-masing dijadikan taruhan.

4. Jika kita mengatakan apabila menjadi pembangkang semuanya dibangkang walaupun ianya baik untuk rakyat, maka janganlah kita juga menjilat ludah yang telah kita percikkan. Apakah dengan meletakkan calon wanita dan muda menjadi dosa dan kesalahan yang membenarkan calon itu direbahkan? Di manakah suara-suara untuk memperkasa dan meremajakan parti yang dilaung-laungkan? Taktik ‘jauh menyalak kuat, dekat mencawat ekor’ tidak lagi sesuai digunakan kerana dasar keterbukaan informasi mencelikkan masyarakat dan kini rakyat lebih memilih apa yang calon mampu tawarkan kepada rakyat dan negara berbanding sumpah seranah, maki hamun, fitnah dan pendekatan memperlekehkan pihak lain. Kematangan tidak akan datang bersama-sama emosi tak terkawal, marah, cemburu dan niat jatuh-menjatuhkan lawan dengan cara tidak budiman. Jika demikian, maka sempurnalah pepatah ‘mengata dulang paku serpih mengata orang kita yang lebih’.

5. Transformasi tidak bertelanjang di mulut tetapi menyerlah pada tindakan. Jika kita masih belum berkeupayaan melakukan transformasi sepertimana lawan politik kita, gunakanlah senjata lain yang lebih mampu memancing minat pengundi. Menghina, memperlekeh dan memfitnah bukanlah satu-satunya kaedah merebut hati dan minda pengundi. Isu tidak bertudung dan ibunya yang merupakan ahli UMNO juga turut diheret dalam polemik ini sehingga menjadi bahan bercanda kerana apakah itu suatu dosa dalam UMNO? Apakah tidak ada pemimpin besar dan isteri mereka tidak bertudung? Dyana bukan ahli atau muslimat PAS. Apakah seorang ibu akan meletakkan parti melebihi anaknya sendiri? Letak diri sendiri pada kedudukan ibunya. Tidak mustahil ianya akan menjadi pencetus peningkatan simpati pengundi kepada Dyana jika serangan keterlaluan diteruskan terhadapnya. Jika ketua sayap wanita sendiri menghina wanita dan memegang portfolio wanita sebagai penasihat kepada pucuk pimpinan, apa akan jadi kepada peringkat bawahan? Jangan lah pula yang juga wanita dan sebaya atau tergolong dalam kelompok wanita muda turut menyokong tindakan memperlekeh calon muda dan wanita hanya kerana menari rentak yang dipalu oleh jamaah kita. Hanya kerana kita tidak dihargai, perlukah kita menghalang pihak lain menghargai insan lain? Tahukah kita bahawa wanita yang didakwa menjadi boneka itu benar-benar boneka jika kita yang tidak diboneka hanya menjadi tukang sorak dan tukang maki lawan politik jamaah kita? Apakah kita tidak merasa seperti kita telah bersama-sama menghina dan memperlekehkan kedudukan wanita dan orang muda? Ralph Waldo Emerson berkata, “Seorang wanita haruslah sentiasa mencabar kehormatan kita, bukannya menggoyah simpati kita”. Tidak perlu lagi kita hanya membiarkan wanita. Mungkin juga kita hanya ingin melihat wanita sekadar menjadi objek atau simbol eksploitasi seks ataupun bahan sindiran sinis yang bercantum dengan nada kelucahan? Langkah transformasi tidak hanya wajar dijadikan bahan kunyahan siang malam ahli dan pemimpin yang jika diselidiki, mereka sendiripun tidak faham makna transformasi dalam ertikata sebenar.

6. Setiap kali perhimpunan agung parti, maka akan bergema-gema suara meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi dan memberi peranan yang lebih besar dalam arus pembangunan negara. Sebaik melangkah keluar dewan ‘suci’ itu, maka tenggelamlah segala-gala seloka dan madah yang telah diadun dan disusun berbulan-bulan sebelum PERGUNG. Realitinya, wanita akhirnya hanya menjadi peraih undi, jurukempen rumah ke rumah, tukang angkat dulang dan hindang makanan serta membersihkan meja program parti. Jika diimbas, ia juga mirip dengan apa yang berlaku dalam agensi kerajaan walau sehebat mana sekalipun agensi itu berkokok sebagai agensi terulung dan dan profesional namun wanita sekadar menjadi dayang-dayang menghidang makanan, tukang angkat kek dan tolak troli kek, angkat pinggan, cuci meja VIP dan VVIP. penyambut, mencatit minit mesyuarat atas alasan menyedapkan mata memandang sekalian yang hadir.

7. Daripada mencari hujah dangkal memperlekehkan wanita dan generasi muda sebagai calon, alangkah baiknya jika masing-masing berusaha membawa keluar rakyat daripada mewarisi kemelaratan yang berpanjangan. Bukan dengan menambah penghinaan tahap keintelektualan kita sendiri termasuk seorang pemimpin UMNO yang mengeluarkan kenyataan berbunyi, “Dyana Sofya mendapat didikan di UiTM sebuah institusi yang lahir hasil daripada Dasar Ekonomi Baru dan diperjuangkan Umno, malangnya beliau bukan saja tidak bersyukur malah mengigit pula tangan yang memberi beliau peluang belajar dan sebagainya sebelum ini.” Kenyataan beliau rata-rata mendapat teguran dan kritikan bukan saja ahli dan penyokong pembangkang malah golongan cerdik pandai termasuk Prof Dr Mohammad Agus Yusoff yang menyatakan rasa peliknya kenyataan pemimpin tersebut dalam laman sosial facebook beliau tanpa berselindung. Tambah Prof Agus, “Saya fikir tidak salah untuk Dyana Sofya membuat pilihan politiknya. Cumanya, jika kita mahu mahasiswa hari ini menyokong kerajaan yang memerintah, berubahlah pendekatan kita dalam memahami aspirasi anak muda. Janganlah suka sangat membuat kenyataan yang pelik-pelik.”

8. Apa yang perlu kita sedar dan faham adalah, budaya politik dan fitrah yang menjadi pegangan parti kedua-dua pihak amat jauh berbeza bukan saja dari sudut ideologi, tetapi rencam tingkah laku ahli dan pemimpin. BN lebih bimbang dengan budaya cah keting dan ‘rajuk’ golongan berumur dalam parti daripada memberi fokus terhadap kehendak pengundi (rakyat). Pembangkang meletakkan visi untuk menang dan apa yang mereka perlu lakukan adalah menimbang dengan teliti kehendak dan keperluan rakyat ketika ini. Mungkin insiden merajuk di Terengganu menjadi satu ‘fobia’ kepada BN tidak pula diketahui. Oleh yang demikian, BN hanya akan mendapat undi ahli parti yang juga tidak mungkin sepenuhnya. Apakah jumlah 30 juta rakyat di negara ini semuanya ahli parti? Ahli parti PR hampir pasti mengundi PR sedangkan UMNO mendapat undi ahli juga tidak sepenuhnya lantaran sabotaj parti, merajuk, meluat dan bermacam-macam lagi. Bagaimana dengan baki rakyat yang tidak berparti dan suara mereka yang telah dipinggirkan termasuklah dengan kepayahan hidup berdepan inflasi yang meruncing. Apakah BN akan mendapat sokongan atau hukuman?

9. Apabila ada suara-suara teguran dan kritikan maka akan berebut-rebut pula mereka yang sendiri masuk bakul mengaku pejuang UMNO tulin melanyak pengkritik dan yang menegur sehingga mempertikaikan kesetiaan golongan ini. Janganlah kita merendah-rendahkan tahap kesetiaan seseorang hanya kerana mereka tidak bersama jamaah kita ataupun yang berada dalam jamaah tetapi sekadar ingin melihat UMNO dan BN berubah kearah yang lebih baik. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mantan Perdana Menteri, “Tidak ada manusia yang berhati batu hingga ia tidak sedikitpun mencintai tanah tumpah darahnya.” Sebaik-baiknya kita jauhi segala bentuk pendekatan memecahbelahkan rakyat sepertimana apa yang disebut Tun Dr Mahathir , “Kita hendaklah mengenepikan emosi yang menimbulkan perpecahan sebaliknya bersatu padu membuat kegiatan-kegiatan yang boleh membangunkan negara”.

10. Jika kita berniat ikhlas untuk berhujah demi kebenaran, berhujahlah secara berhemah dan matang. Yang menyedihkan adalah mereka bukan berhujah tetapi menerjah dan meludah. Stephen R. Covey menjelaskan mengenai tingkah laku manusia, “Kebanyakan orang mendengar bukan dengan maksud memahami tetapi dengan maksud menjawab”. Maknanya walaupun ia betul atau sebaliknya bukan masalah bagi mereka tetapi asal saja menjawab. Jangan pula kita membenarkan kata-kata Minna Thomas Antrim betapa yang lelaki pula begitu prejudis terhadap wanita sehingga berlaku, “Lelaki memaafkan perempuan atas apa saja, kecuali dalam perkara di mana perempuan itu lebih pandai daripadanya.”

Wallahualam

~: Sani :~

dyana

Normal dan Wajar Dari Kacamata Siapa?

1. Kita sering saja diperdengarkan dengan kata-kata “ala normal la tu”, ataupun “memang wajar pun”. Hakikat sebenar adalah kedua-dua perkataan ‘normal’ dan wajar’ terlalu subjektif hingga boleh mengelirukan banyak pihak jika tidak melihat kepada siapa yang mengucapkan ‘normal’ dan ‘wajar’ itu. Jika kita menyebut ‘normal’, bukankah kita semuanya ‘tidak normal’ bagi sahabat-sahabat kita yang ditempatkan di rumah sakit jiwa seperti kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya Oples. Tambahnya lagi, “Bukankah perbuatan mencuri itu normal bagi para pencuri? Dan kalau ada yang mengatakan wajar, bukankah tidak wajar bagi seorang manipulator ketika pada suatu hari ia tidak memanipulasikan sesuatu yang biasanya ia manipulasikan?

2. Sesungguhnya banyak perkara yang tidak normal dan tidak wajar berlaku dalam segenap penjuru kehidupan kita sehari-hari. Yang sepatutnya memberi salam menuju pintu keluar masih lagi terguling-guling sambil menjerit-jerit ingin terus kekal kononnya untuk membela rakyat dan bangsa. Sementara yang patut dikekalkan pula diheret dan dicampak keluar daripada lingkaran kuasa dan disekat peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara. Yang memunggah dan menggelapkan khazanah negara dijulang-julang umpama pahlawan sedangkan yang berusaha membanteras kebathilan itu pula dilabel pengkhianat dan menerima segala jenis hukuman demi mematahkan semangatnya. Dunia sememangnya penuh dengan kekeliruan dan kebejatan yang ditimpakan ke atas rakyat yang dianggap membebankan penguasa. Demi menambahkan lagi kekeliruan sediada, setiap ucapan pemimpin yang hinggap di telinga atau melekap di mata adalah ungkitan pembangunan yang telah dilakukan oleh mereka ataupun janji akan melaksanakannya. Betapa tidak ‘normal’ dan tidak ‘wajar’ ucapan itu datangnya dari pemimpin yang diangkat rakyat dengan pelbagai keistimewaan, upah dan habuan untuk mereka menunaikan amanah tersebut sebaliknya diungkit dan dijanjikan ‘lip service’ yang entah ke mana. Yang wajar dan normal adalah setiap pemimpin dan pihak yang dipilih menjadi kerajaan adalah bertanggungjawab membawa pembangunan dan menentukan pembangunan itu dilaksanakan bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara.

3. Mungkin akibat terlalu taksub dengan slogan ‘sekali melangkah pantang undur’ yang dibisik dan dimomokkan ke telinga pemimpin-pemimpin ini sejak kecil sehingga sekali dipilih untuk berada pada kedudukan itu maka tidak lagi mengenal erti undur? Atau pun manusia semakin hilang harga diri? Mereka bahkan bukan sekadar tidak berharga di hadapan orang lain malah turut tidak lagi berharga di hadapan diri mereka sendiri. Kata pujangga, “Kalau kita tidak pernah berhasil membuktikan bahawa kita sanggup mendaki gunung sampai ke puncaknya, jangan disuruh anak-anak kita percaya bahawa mendaki gunung itu bukan mustahil”.

4. Ketidakwajaran dan ketidaknormalan kehidupan ketika ini sudah melewati kemuncak kegilaan. Masalah tidak diselesaikan mengikut kaedah penyelesaian masalah tetapi dirumitkan lagi sehingga kusut. Seperti kata Sitok Srengenge dalam buku ‘Cinta Di Negeri Seribu Satu Tiran Kecil’ bahawa ia “Ibarat menghadapi orang yang sedang sakit kepala di mana mereka tidak berusaha menyembuhkan penyakitnya, melainkan memenggal kepalanya”. Jika negara sedang sakit, ubatilah ia jangan sampai negara juga terpenggal dan terbelah-belah tidak dikenal hujung pangkalnya. Jika ekonomi negara sedang lelah tersembam, pimpin dan papah agar ia segera bangun meneruskan nafas segar demi rakyat yang impikan sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera untuk didiami tanpa mengira ras, etnik, agama dan apa saja. Jangan pula dilaga-lagakan rakyat yang sudah plural etnik dan agamanya. Raikan perbezaan sediada dan anggap ia sebagai rahmat daripada Allah swt. Rakyat lebih memerlukan sesuap makanan daripada sejuta slogan yang tidak memberi manfaat kepada mereka. Hidup perlu diteruskan dan samada rakyat akan terus menikmati kehidupan yang diharapkan mereka kesemuanya terletak bagaimana negara diuruskan dengan penuh kewajaran dan normal dari perspektif manusia yang juga wajar dan normal. Bukan wajar dan normal dari mata, telinga dan mulut pencuri, pesakit mental ataupun manipulator.

Wallahualam.

~: sani :~
Totohalal

Mampukah Kekuasaan Dibeli?

1. Nampaknya dunia semakin memilih logika rimba, “yang kuat dia menang”, kenapa harus jadi rusa jika bisa menjadi singa” (Radhar Panca Dahana, Inikah Kita, 2007, Resist Book, Jojakarta, hlmn 152). Falsafah yg menjalar dalam segenap ruang kehidupan dan pelbagai peringkat status masyarakat ini amat membimbangkan jika tidak digariskan sempadan kecederaan yang wajib dihentikan. Perlumbaan merenggut kekuasaan dan menjadi sebahagian daripada lingkaran elit kekuasaan seakan-akan menempah tiket ke syurga layaknya. Sedangkan hakikatnya bahang neraka menghela haba panasnya di sekeliling pelumba-pelumba. Suara memihak agama menjadi polemik tidak berkesudahan. “… umat Islam itu jumlahnya besar, namun, ibaratnya seperti buih di lautan yang cepat hilang dengan sendirinya”, kata Sulastomo dalam bukunya ‘Percakapan dengan Wong Cilik’ (Pustaka Umat, 2007, Jakarta).

2. Kita sering berbicara soal integrasi kaum, integrasi rakyat malah nasional tetapi tangan dan kaki kita bergerak menongkah lidah yang bergema melontarkan kalimah tersebut. Kita menyemai benih kekeliruan untuk menuai hasil daripada kekeliruan dan kekaburan. Akhirnya umat Islam sendiri berkecamuk fizikal, mental dan spritualnya namun kesalahan akan dihempas diatas jemala kelompok bukan Islam sebagai ‘escapism’ dan survival mereka yang dinaungi Dajjal, Yakjuj dan Makjuj. “Dalam sejarah pergerakan Islam, ada sebuah fakta yang terulang berkali-kali, bahawa sebahagian besar musibah yang menimpa da’wah dan harakah selalu datang dari dalam harakah itu sendiri. Untuk sebahagiannya, musibah itu datang dari saf yang terlalu longgar, yang kemudian disusupi dengan mudah” ( Dr. Anis Matta, Dari Gerakan Ke Negara, 2010, Fitrah Rabbani, Bandung, hlmn 122).

3. Jika bangsa dan orang-orang kita sendiri yang menghina dan melemahkan bangsa dan agama, kenapa harus dituding pada orang lain setelah kita gagal? Bukankan itu yang dijadikan matlamat untuk meneruskan kekuasaan dan perkosaan? Kuasa, harta dan laba menjadi igauan setiap masa demi menundukkan manusia oleh golongan yang sudah lupa samada secara sengaja ataupun sebaliknya. Dengan menguasai orang lain ianya dianggap sebagai simbol kekuasaan yang harus direbut hatta agama dan bangsa diinjak. Kenapa salahkan bukan Islam apabila maki hamun dan cercaan menjadi makanan mereka terhadap agama dan bangsa kita? Bukankah kita yang meneroka landasan untuk mereka melancarkan kata nista tersebut? Akhirnya sebaik api perkauman telah marak, catalyst yg mengadu domba akan tampil berkokok sebagai ‘hero kampung’ yang dicipta oleh mereka sendiri. Sandiwara sebegini sudah lupus tarikh dan tidak lagi menjadi pilihan oleh semua rakyat yang rasional dan tidak mudah diperbodohkan. Buat yang masih berharap laba demi survival umur yang berbaki, usaha tetap diteruskan untuk meniup manusia-manusia bergelar ‘pemimpin belon’ yang akan kembang setiap kali ditiup. Upah meniup itulah dijadikan sarahidup diri sendiri dan anak bini lantaran itulah saja kemampuan dan kemahiran yang dimiliki.

4. Betapa hinanya manusia-manusia yang bergantung hidup kepada ranting-ranting reput yang menanti masa untuk jatuh dan dijadikan kayu api membakar timbunan kekuasaan yang dihimpun di atas keringat, air mata dan darah rakyat. Dr Nurcholsih Madjid dalam bukunya Pintu-Pintu Menuju Tuhan, 2008, Paramadina, Jakarta, hlmn 164) berkata, “Menjadi kaya itu sendiri bukanlah hal terlarang dalam agama. Agama hanya menetapkan bagaimana harta kekayaan itu digunakan secara benar di jalan Allah. Dan kaum beriman diingatkan bahawa kehormatan mereka tidak di dalam harta, melainkan dalam ridha Allah”. Terlalu banyak rahsia kehidupan yang dilalui oleh manusia di dalam samudera rahsia Ilahi, namun terlalu sedikit yang mampu menyingkapi rahsianya untuk dijadikan pedoman meneruskan bahtera kehidupan sehingga ke liang lahad.

5. Hidup biar bermaruah. Kekuasaan di dunia tidak akan mampu membantu dan membentengi kamu dari siksaan kubur, di padang mahsyar dan akhirat. Syurga dan Neraka itu buta warna tidak mengenal warna kulit melainkan amal dan takwa seseorang manusia. Gunakanlah kekuasaan yang diamanahkan itu untuk memperkasakan agama, bangsa dan rakyat bukan sebaliknya mengkhianati amanah tersebut hanya untuk sekelumit kuasa yang tidak dipandang oleh Maha Pencipta. Kebenaran itu tidak terletak kepada jumlah yang mempercayainya. Walaupun hanya seorang mempercayainya tetaplah ia itu benar dan walaupun 7 bilion manusia di bumi ini mempercayai ketidakbenaran, tetaplah ia tidak benar.

6. Hukum Allah untuk semua tanpa pilihan samada kita suka ataupun tidak. Allah tidak memerlukan persetujuan manusia untuk memutuskan apa jua kehendaknya. Jika tidak pada Allah kita merunduk, apakah pada manusia yang perlu kita sembah? Hidup ini tidak ada pusingan ulangan untuk kita menebus kekhilafan yang telah dilakukan. Maka dengan itu, akal yang disumbat ke dalam benak setiap manusia itu tanpa mengira dari mana datangnya kamu dan status sosial ataupun bangsa, agama, jantina dan umur, manfaatkan ia sebaik mungkin jangan sampai menopang dagu mengeluh semuanya sudah berakhir. Untuk merebut hati manusia itu hanya Allah yang mampu membukanya samada yang Islam ataupun bukan Islam selagi bernama manusia. Untuk itu, demi mendapat dokongan serta pengaruh dari rakyat yang dipimpin, jadilah manusia yang mampu meraih kasih sayang dan cinta mereka dengan ikhlas dan redha. Berada di tampuk kekuasaan bukanlah segalanya jika tidak dengan izin Allah dan kerelaan rakyat. Bergelar pemimpin namun dipayungi maki hamun dan sumpah seranah yang dipimpin tidak ubah umpama pencuri dan pelacur yang kaya serta mewah tetapi hidup tidak akan tenang dan bahagia. Apalah erti kehidupan tanpa ketenangan dan kebahagiaan malah sentiasa dirundung kebimbangan bukan saja daripada azab selepas mati, malah diburu keresahan yang tidak berkesudahan. Napoleon Bonaparte pernah berkata, “Kerana sekarang aku berkuasa mereka puji aku setinggi langit. Dan kalau aku jatuh, mereka juga yang akan mencela aku sampai ke kerak bumi. Dan mereka akan akan memuji pula orang yang mengalahkan aku, lebih daripada mereka hari ini”.

Wallahualam

~: sani :~

membeli_kursi_menteri