KEPUTUSAN ATAU SUDAH PUTUS?

As-Salam

1. Siddiq Fadzil dalam monografnya di bawah sub-judul ‘Menoleh Sejarah Menafsir Kisah’ menukilkan bahawa “Dalam sejarah kita sendiri, tidak sedikit ilmuwan pujangga yang mencatatkan keprihatinannya terhadap gejala penguasa bernafsu besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keserakannya”. Membaca nukilannya itu, ia seakan-akan mempertontonkan panggung sandiwara yang berkisar di persada politik tanahair masa kini. Kenyataan itu juga tidak banyak berbeza dengan apa yang pernah disindir oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor Mantan Presiden PAS dalam satu wacana di mana beliau sebagai salah seorang ahli panel menyoal “Apakah hala kepimpinan Melayu sekarang?” pertanyaannya itu dijawabnya sendiri. “Hala kepimpinan Melayu sekarang ialah tak tentu hala.”

2. Keserakahan yang melonjak dan bergelora dalam diri penguasa yang juga pemimpin, keluarga dan kroni tidak sukar dan perlu dibongkar oleh orang lain lantaran ianya dipunggah oleh mereka sendiri untuk tatapan umum. Tabiat berbelanja dan cara hidup yang luarbiasa bagi rakyat mencetuskan ketidakpuasan hati mereka dan ia seakan-akan sinonim dengan individu tertentu. Oleh yang demikian, jangan pula menuding jari kepada mana-mana pihak jika ia menjadi bualan ramai akibat tindak-tanduk sendiri yang gagal menguasai nafsu besar seperti yang disebut siddiq Fadzil itu. Ketidaktentuan halatuju kepimpinan negara pula semakin hari semakin menyerlah betapa hilangnya kawalan pucuk pimpinan kepada saf pimpinan di bawahnya sehingga kecelaruan keputusan dan tindakan sudah menjadi lumrah yang jarang-jarang berlaku di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kecelaruan pemanduan pimpinan negara yang bermula sejak pengganti Tun M sehingga kini menyebabkan berbagai masalah meruntun rakyat dari sudut sosial, ekonomi, politik dan juga keselamatan. Ekonomi yang menghimpit rakyat tidak mampu ditepis dengan angka-angka yang diumumkan kerajaan. Rakyat tidak bermain dengan angka kerana angka sebenar berada di dalam periuk nasi dan kantung suami atau isteri, ibu dan bapa serta rakyat melata. Kadar jenayah yang merunsingkan mereka ditambah dengan insiden-insiden tembak-menembak dan pembunuhan secara rambang serta bertali-arus terpampang di media setiap hari amat menyedihkan. Pengumuman penurunan indeks jenayah bukan jawapan yang dinantikan rakyat, mereka hanya perlukan keamanan dan jaminan keselamatan tidak kira tinggi mahupun rendah indeksnya. Rakyat yang tersepit di antara kemelut yang tercipta akibat hilang kawalan dan kelemahan pimpinan menjadikan mereka hilang keyakinan bukan sahaja kepada parti-parti politik, malah ia berjangkit kepada institusi-institusi yang menjadi tunjang dan benteng kekuatan sesebuah kerajaan.

3. Simptom-simptom jangkitan penyakit hilang keyakinan kepada institusi-institusi utama kerajaan dapat dilihat daripada sikap rakyat terhadap setiap keputusan, arahan, tindakan dan apa saja yang melibatkan rakyat dan institusi ini. Protes yang dibuat rakyat tidak sewajarnya dianggap simbol kebiadaban rakyat dan tidak menghormati undang-undang ataupun wujudnya unsur hasutan oleh pihak-pihak tertentu. Menafikan kelemahan sendiri hanya membuktikan bahawa ‘sindrom penafian’ sudah menjadi senjata akhir pihak yang tewas. Rakyat kini sudah mampu mengakses dan menilai segala maklumat untuk dijadikan asas pembuatan keputusan mereka. Jika kita menganggap mereka mudah menelan hasutan, ianya secara tidak langsung menafikan kematangan dan kebijakan rakyat mengaplikasikan akal mereka.

4. Sebagai pemimpin, yang lebih penting adalah pemimpin yang memimpin dirinya sendiri. Ini lebih penting sebelum seseorang itu memimpin keluarga, masyarakat dan negara. Pendapat tentang peri mustahaknya seseorang pemimpin itu memimpin atau mengendalikan dirinya sendiri sesuai benar dengan peringatan Nabi Muhammad (s.a.w) selepas Baginda memenangi satu peperangan yang maha hebat. Nabi telah mengingatkan para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda bahawa walaupun peperangan yang baru dimenangi itu amat hebat tetapi ada satu peperangan lain yang lebih hebat dari itu, iaitu peperangan melawan hawa nafsu sendiri. Penanda aras yang nampak mudah tetapi sukar dilaksanakan ini akan menjadi penentu dalam pemilihan pemimpin tidak kira dalam pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan, mahupun dalam kerajaan sekiranya rakyat dan ahli pertubuhan berhasrat menjadikan organisasi dan kerajaan itu dipimpin oleh mereka yang benar-benar layak memimpin. Jika tidak, janganlah mengeluh bagai jarum jam tanpa henti dan hanya berakhir setelah rosak atau habis bateri.

5. Kepimpinan bukan milik mereka yang berkuasa atau yang berminat menumpuk kekuasaan. Ciri-ciri kepimpinan yang mampu mempertahankan rakyat dan negara harus menjadi keutamaan. “Kuasa tidak pernah berundur walaupun setapak ke belakang” kata Malcolm X Tokoh kulit hitam yang kemudiannya memeluk Islam. Jika membiarkan ia ditentukan oleh orang politik, pucuk dicita, ulam mendatang, rakyat berdukacita, mereka melentang. Kepentingan utama orang politik ialah mempertahankan kekuasaan bagi yang sedang berkuasa dan merebut kekuasaan bagi yang belum berkuasa. Edmund Burke tokoh politik terkenal British pada abad ke-18 menyebut bahawa “Semakin besar sesuatu kuasa, semakin besar bahaya penyalahgunaannya” . Oleh yang demikian, pemilihan pemimpin yang faham dan tahu akan bahaya KUASA ini wajar diterapkan pada setiap pemimpin yang dipilih. Jangan sampai “dalam menghapuskan ketidakadilan yang berbentuk lama, kita akan mewujudkan ketidakadilan berbentuk baru.”

6. Adalah sesuatu yang malang dan mengecewakan kerana adakalanya, para pemimpin kita amat suntuk pandangan politik mereka dan hanya menjadikan KUASA satu-satunya matlamat yang dikejar. Puncanya adalah seperti yang diungkapkan oleh Herbert E. Hawkes “separuh daripada kerisauan yang terdapat di dunia ini adalah berpunca daripada manusia yang cuba membuat keputusan sebelum mempunyai pengetahuan yang sepenuhnya dalam membuat keputusan.”

Wallahualam

~: hnbk :~
keputusan

Advertisements

DEDAH DADAH

As-Salam

1. Muka depan Harian Metro hari ini memaparkan berita bertajuk “Bonus Pistol – Penyeludup dadah dapat hadiah istimewa”. Pemberita melaporkan peningkatan kejadian jenayah tembak di Kelantan dipercayai ada kaitan hadiah pistol oleh sindiket pengedaran dadah kepada anggota yang berjaya menyeludup masuk dadah dari Thailand ke negara ini. Lebih besar nilai dadah berjaya diseludup, lebih canggih pistol yang diterima.

2. Dari sudut hukum akalnya, segala punca kejadian tembak dan pembunuhan yang berlaku di dalam negara sekarang berpunca daripada DADAH. Maka untuk itu, cuba kita sama-sama renung kembali pengistiharan perang negara tercinta terhadap DADAH. Sejak bila dadah diistiharkan musuh utama nombor satu negara? Jika musuh nombor satu begini caranya kita berdepan, yang nombor dua hingga ke belakang tu faham-fahamlah.

3. Seawal tahun 1983, kerajaan telah mengambil satu pendekatan baru memerangi wabak dadah di negara ini dengan mengistiharkan dadah sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Falsafah dasar ini bertujuan melahirkan masyarakat Malaysia bebas daripada dadah. Ketika itu dadah dianggap sebagai musuh nombor satu negara. Pengistiharan ini dibuat memandangkan penagihan dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik(epidemic proportion) sekiranya langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya . Sasaran utama penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara di masa hadapan dan penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi , rohani dan budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan keselamatan negara.

4. Pada tahun 1985, JKAD telah merumuskan Dasar Dadah Negara di mana pencegahan dijadikan strategi utama merangkumi pencegahan awalan, pecegahan kemasukan serta penguatkuasaan undang-undang dan ini diikuti oleh pemulihan. Pencegahan dan pemulihan adalah dua strategi utama, manakala kemajuan tenaga manusia dan penilaian kerjasama antarabangsa dan penyelarasan merupakan strategi sokongan. Dasar ini telah ditukarkan kepada strategi baru oleh Majlis Dadah Kebangsaan. Namun demikian, apa jadi dengan perancangan dan segala agensi yang diperkasakan di bawah Majlis Dadah Kebangsaan ini? Sudah ratusan juta dan mungkin bilion ringgit dikorbankan dalam usaha membasminya kenapa ianya masih berleluasa? Jawapan mudah sering dicampakkan adalah masalah dadah adalah masalah sejagat, tetapi jika di pusat hiburan, kampung dan bandar secara terbuka ianya berlaku, apakah ianya masih relevan alasan mudah ini digunakan? Apa jadi dengan agensi-agensi yang diberi kuasa dan diamanahkan? Pengedaran dan penjualan dadah itu satu jenayah, ia bukan saja terletak di atas kepala agensi atau jabatan yang tertulis perkataan DADAH sahaja. Dalam kes-kes yang lazim ditangkap (‘seizable offences’) mana-mana anggota polis boleh menangkap tanpa waran, seseorang yang melakukan satu kesalahan. Kenapa ianya berlaku? Apakah ini transformasi dan KPI yang ditetapkan oleh kerajaan kepada kementerian dan jabatan yang berkaitan?

5. Pendekatan hangat-hangat tahi ayam bukan budaya yang patut dilakukan oleh negara yang berhasrat menjadi negara maju. Ianya budaya negara ‘main masak-masak’ atau syarikat Skim Cepat Kaya (SCK) yang akan lesap lepas mendapat untung. Apakah tahap negara yang diwar-warkan kepimpinan sebagai cemerlang, gemilang dan terbilang dan diikuti 1Malaysia hanya menuruti pendekatan atau modus operandi SCK ? Perjawatan dan kekuatan pegawai dan anggota bertambah, staff dan kementerian meningkat, gaji, elaun dan pangkat diperbesar dan diperluaskan, mana mungkin hasil boleh menguncup? Jika kemampuan berada di bawah daripada ancaman, kajian mesti dilakukan untuk mengatasi masalah yang meruncing. Cadangan harus diangkat kepada kerajaan untuk menambahbaik serta menambah peruntukan. Yang utama adalah penyelesaian masalah dan aspirasi rakyat menjadi keutamaan sejajar dengan slogan “Pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan”.

6. Pepatah ada mengatakan “Hanya orang yang berada dalam kebenaranlah orang yang bebas”. Oleh itu, saya merasa saya bebas dan merdeka untuk berkongsi rasa agar sama-sama kita menjaga negara yang kita cintai demi kelangsungan kehidupan rakyat yang dahagakan kestabilan ekonomi, politik dan keselamatan.

Wallahualam

~: hnbk :~

merdeka atau mati

Salam Kemerdekaan

As-Salam,

1. Membaca buku dengan judul ‘Political Awakening’ karangan Bapa Kemerdekaan Malaysia YAM Tunku Abdul Rahman Putra yang diterbitkan oleh Pelanduk Publications pada tahun 1987 mengingatkan saya betapa kemerdekaan adalah begitu sukar diperolehi. Seharusnya sama-samalah kita menjaganya kerana mempertahankan kemerdekaan adalah lebih sukar daripada memperolehinya kata orang-orang lama. Sempena sambutan kemerdekaan tidak berapa hari lagi dan kebetulan ianya adalah bulan kelahiran saya, adalah didoakan agar kemerdekaan yang kita raikan kali ini akan melahirkan kemerdekaan yang sebenar-benarnya dalam diri setiap rakyat negara ini dari sudut kemerdekaan jiwa dan juga minda agar kita menjadi lebih gagah mempertahankannya. Saya amat yakin bahawa hanya mereka yang berjiwa dan minda merdeka mampu melakukannya. Manusia yang memiliki kedua-dua kemerdekaan ini akan mampu mengelakkan diri dari diumpan habuan dan ganjaran yang mungkin merebahkan negara ke tangan penjajah yang tidak pernah padam hasrat dan niat mereka untuk kembali menjajah. Penjajah tidak semestinya berwajah Inggeris, Jepun, Portugis ataupun Peranchis, ia mungkin hadir dengan wajah yang sama dengan kita sehingga amat sukar membezakan antara penjajah dengan yang dijajah dan silap terjah rupanya gajah.

2. Aku amat tertarik dengan kata-kata Tunku di awal buku karangannya itu yang menyebut bahawa “Kekuatan UMNO disebabkan oleh kerja kuat dan kesetiaan ahli-ahlinya, yakni kualiti yang diharapkan oleh beliau diamalkan oleh generasi akan datang”. Namun kini, apakah kriteria yang boleh dikatakan ‘kerja kuat’ dan kualiti oleh ahli-ahli (bukan saf pimpinan) UMNO yang kita dapat jadikan kayu ukur sebagai contoh sekarang? Bukan sahaja ahli-ahli, bahkan pemimpin juga lebih memberi fokus kepada usaha menimbun kekayaan dan kekuasaan sesama sendiri tanpa berselindung lagi sehingga rakyat yang buta mampu melihatnya. Inikah kekuatan dan senjata untuk mempertahankan kemerdekaan tanahair? Jawapannya tentulah ianya bukan senjata mempertahankan tanahair sebaliknya menjadi senjata makan tuan jika tidak diperbetulkan.

3. YAM Tunku mencatatkan bahawa “selepas Pilihanraya Umum (PRU) Pertama pada tahun 1955 dan kemerdekaan, beliau bersyukur kepada Allah swt atas rahmat dan pemurahNya maka perubahan yang lebih baik dapat dikecapi. Rakyat dapat berkongsi keputusan atas penubuhan kerajaan yang dipilih dan orang-orang kecil (rakyat) dapat membuat keputusan atas nasib kerajaan serta setiap ahli politik”. Oleh yang demikian, demi memanfaatkan peluang yang ada pada rakyat, mereka seharusnya bijak menggunakan kuasa yang ada bagi memastikan samada pemimpin ataupun kerajaan yang dipilih itu benar-benar layak memimpin kerajaan dan tanahair demi kelangsungan kemerdekaan negara. Rakyat tidak seharusnya bimbang ataupun takut kepada bayang-bayang. Peribahasa Inggeris ada menyebut “Jangan takut pada bayang-bayang. Ia hanya petunjuk bahawa ada cahaya berdekatan”. Maksudnya, jangan lah kita ragu dan bimbang akan sesuatu yang belum pasti kerana pasti ada cahaya yang mengintai untuk membawa kita keluar dari setiap masalah. Apa yang lebih penting adalah memilih pemimpin yang betul kerana harga sebuah kemerdekaan tidak dapat diukur dan dinilai oleh apa sekalipun di dunia yang fana ini.

4. Lihat saja apa yang berlaku di negara-negara yang sedang bergolak sejak dulu sehingga kini yang semuanya berpunca daripada kegagalan mempertahankan kemerdekaan tanahair walaupun usaha pejuang kemerdekaan terdahulu yang penuh dengan keringat dan darah untuk memeluknya. Namun, semuanya dihancurkan dalam sekelip mata angkara kealpaan dan leka menuai kekayaan dan kemewahan hidup dan pada masa yang sama rakyat terbiar dalam kemelaratan. Pepatah Inggeris juga menyebut “A hungry man is an angry man” dan ianya membuka peluang kepada penjajah dan kuncu-kuncunya untuk merobek perpaduan rakyat yang menjadi tunjang pertahanan tanahair. Sebaik perpaduan rakyat dapat dirobek, tidak ada mana-mana kuasa lagi yang mampu mempertahankan negara kerana samada pasukan tentera mahupun polis juga adalah rakyat dan akhirnya kesemua mereka akan berpaling tadah kepada keluarga masing-masing demi menyambung nyawa dan kehidupan. Detik itu maka akan tumbanglah kerajaan yang ada dan penjajah serta tangan-tangan ghaib akan menjalankan fungsi masing-masing tanpa berlengah. Yang rugi adalah rakyat secara keseluruhannya.

5. ‘Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ dan jadikan permuafakatan antara kerajaan dan rakyat sebagai asas kekuatan negara tercinta. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika semua pihak ikhlas dalam mencari penyelesaiannya. Kecintaan rakyat pada negara tidak diukur daripada berapa banyak bendera yang dipasang di kenderaan ataupun di bangunan seperti yang disarankan oleh Pak Menteri walaupun ianya tidak lah menjadi kesalahan. Yang lebih penting adalah kibaran bendera dengan penuh kasih sayang dan cintanya mereka pada bangsa, agama dan tanahair yang akan menjadi benteng pertahanan tanahair dan kemerdekaan. Salam Kemerdekaan buat seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama, jantina, umur dan warna kulit.

Wallahualam

~: hnbk :~
merdeka

Mencari Pemimpin

As-Salam,

1. Dua minggu sebelum 23 Ogos baru-baru ini, Pekan Tanah Merah Jitra memperlihatkan kemeriahan yang luarbiasa. Semakin hampir dengan tarikh tersebut semakin meriah dengan kenderaan khususnya lori mengangkut barang-barang ke tapak program Pelancaran Hari Koperasi Negara yang drasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Tapak program tersebut yang dulunya semak samun dan belukar bersih dan menakjubkan sekelip mata. ‘Backhoe’, berbagai jentolak dan jentarik muncul tidak semena-mena. Tahniah atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh petugas-petugas syarikat yang mendapat tender projek program gergasi ini dan juga agensi kerajaan yang sama-sama membantu melancarkan program ini. Pihak Majlis Perbadaran Kubang Pasu (MPKP) sememangnya teramat sibuk dengan program ini dan tahniah juga buat mereka.

2. Pasar malam berhampiran tapak program yang setiap Jumaat sesak, kotor dan tidak selesa buat rakyat untuk membeli keperluan harian, mingguan atau bulanan sudah lama wajar dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai. Rasanya, tapak program itu sesuai dan alangkah baik jika digunakan bagi tujuan tersebut. Elok buat MPKP mempertimbangkan cadangan ini untuk dilihat lebih proaktif walaupun sebenarnya sudah deaktif sekian lama.

3. Dipercayai jumlah perbelanjaan menyambut Hari Koperasi Negara ini terlalu besar jika dilihat daripada persediaan dan kelengkapan yang dibuat sepanjang tempoh program itu dari 23-25 Ogos 2013 baru-baru ini. Besar tetapi bermanfaat untuk rakyat apa salahnya kan? Yang menimbulkan persoalan adalah, apakah jika TPM tidak melawat sesuatu kawasan maka kawasan itu perlu dibiarkan semak samun? Tidak berturap? Tidak dibekalkan itu dan ini? Agak malang jika rakyat bersuara untuk mendapatkan bantuan jalan rosak dan kemudahan awam terlalu sukar untuk dipenuhi namun dengan program singkat lawatan TPM atau VVIP lain bagaikan Nabi Allah Sulaiman mengarahkan jin-jin membawa Istana Puteri Balqis ke hadapannya.Sebaik TPM kembali ke Kuala Lumpur, petugas-petugas kembali juga kepada cara asal bagaikan pahat dengan penukul.

4. Apakah budaya begini yang dibanggakan sebagai Goverment Transformation Programme (GTP)? Transformasi sekejap ada sekejap hilang itu bukan transformasi kerajaan. Kerajaan mesti konsisten dan tidak hanya melakukan sesuatu secara ‘ad-hoc’. Rakyat akan menghormati sesebuah kerajaan yang berwibawa tetapi seperti kata teman saya tadi “hanya hormat jangan terlalu taat, hanya mengangguk jangan terlalu menunduk” jika kewibawaan tidak diangkat kepada martabat yang sepatutnya. Jangan kita hanya memberi tumpuan untuk meraih kuasa tetapi mensia-siakan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat. Amanah tidak bermusim dan tidak sewajarnya dimusimkan. Musim pilihanraya bukan masa menuai simpati dan undi tetapi hanya memperkemaskan amanah yang sudah dilangsaikan sepanjang sepenggal dinobatkan sebagai ‘pemimpin rakyat’. Jika itu yang dilaksanakan, insyallah rakyat tahu membalas budi dan jasa yang telah dipunggah kepada rakyat. Rakyat tidak buta, pekak dan bisu kerana mereka juga seperti pemimpin dilahirkan cukup sifat-sifat sebagai manusia dan seharusnya mereka mampu melihat, mendengar dan pastinya bersuara jika ada yang tidak kena. Rakyat bersuara bukan suatu dosa atau luarbiasa kerana itu adalah fitrah rakyat dan fitrah pemimpin adalah melunaskan amanah yang ditauliahkan dan bukannya menghukum atas kesalahan yang dicipta oleh mereka sendiri.

5. Jika menjadi rakyat sudah berdepan kesukaran, inikan pula menjadi pemimpin. Jika menjadi pemimpin itu mudah, pastinya semua orang harus diberi peluang menjadi pemimpin. Philips Massinger pengarang drama-drama komedi Inggeris berkata “Dia yang hendak memimpin orang lain haruslah mahir memimpin dirinya sendiri terlebih dahulu”. Jika diri sendiri sudah terkehel, mustahil ia mampu memimpin rakyat yang tidak sedikit yang lebih bijak dari pemimpin. Yang membezakan antara pemimpin dan rakyat itu hanyalah peluang, nasib dan izin Allah swt. Oleh yang demikian, apabila diberi peluang untuk bergelar pemimpin, jaga dan penuhilah ia dengan sebaik-baiknya sebelum Allah mengambilnya semula untuk disambung oleh orang lain. Ketika itu kita akan bersedih dan mula menyalahkan orang lain atas kegagalan kita sendiri walaupun sebelum itu bukan saja rakyat, bahkan diri sendiri mengetahui ketidakcekapan dan kegagalan menunaikan amanah yang amat besar itu. Pemimpin abadi adalah pemimpin yang dapat memimpin dengan suara hatinya dan diikuti pula oleh suara hati para pengikutnya. Janganlah sampai memasang bendera menyambut kemerdekaan pun perlu dipaksa dan mencerminkan betapa cakap pemimpin dipandang enteng oleh rakyat. Cintanya rakyat pada negara bukannya terletak pada bendera sebaliknya bagaimana diterjemahkan kepada melindungi negara, bangsa dan agama dari diperlekehkan.

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama telok kedua pantai,
kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai

Wallahualam

~: hnbk :~leader

SUSUK

As-Salam

1. Siapa manusia yang tidak mahu kelihatan cantik, kacak, dicintai dan menjadi kegilaan ramai? Mungkin ada yang tidak berminat namun jumlahnya teramat sedikit jika dijawab secara ikhlas. Walaubagaimanapun, biarlah ianya berlaku dengan fitrah dan mengikut hukum yang diredhai Allah swt. Ada yang melakukan pembedahan dan ada yang menggunakan pelbagai kaedah yang sakitnya tidak terkata demi mengejar kecantikan dan kehebatan termasuklah ‘susuk’. Pemakai ‘susuk’ jika dikaji dari sudut ‘psychology’ dipercayai terdiri dari kalangan manusia yang tidak mempunyai keyakinan diri terhadap penciptaan Allah swt. Demi merebut perhatian, kasih sayang, cinta, dan untuk terus kekal berkuasa bagi mendominasi sasaran mereka, ‘susuk’ digunakan sehingga sanggup berhabis-habisan wang ringgit dan ada yang menjual kehormatan pada bomoh yang memasukkan ‘susuk’ tersebut. ‘Susuk’ merujuk kepada perbuatan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan. Pelbagai bahan boleh digunakan, bergantung kepada apakah keinginan pengguna. Antara kelebihan yang kononnya boleh diperolehi daripada pemakaian susuk adalah muka sentiasa dipandang manis, tidak berusia, kebal dan berbagai lagi kehebatan yang tidak mampu difikir oleh mereka yang waras. Pemakai ‘susuk’ biasanya mempunyai beberapa pantang larang seperti tidak boleh memakan beberapa buah-buahan tertentu iaitu pisang tanduk, pisang abu, tidak boleh melintas di bawah tali kain bergantung kepada jenis susuk yang dipakainya.

3. Daripada pengamatan sejak beberapa tahun lalu, nampaknya bukan saja manusia yang mengamalkan pemakaian ‘susuk’ ini. Dikesan juga terdapat organisasi termasuk parti politik yang mengamalkannya sehingga kini masih ‘perasan’ cantik, kebal dan ampuh kerana dapat bertahan di mata dan hati rakyat. Hajat mereka mungkin akan dapat kekal cantik dan disayangi sehingga kiamat. Namun begitu, mungkin juga parti politik yang mengamalkan kaedah ‘susuk’ ini sudah melupai pantang larang yang dipetua oleh bomoh sehingga wajah sebenar parti ini semakin hari semakin hodoh dan dibenci angkara melanggar pantang. Mungkin bomoh menasihatkan agar pantangnya seperti menjauhi sifat ‘ujub’, takbur dan menghina rakyat telah dilanggar.

4. Bermacam-macam bomoh cuba digunakan oleh parti tersebut nampaknya masih gagal menahan kelunturan wajah yang semakin bertambah hodoh. Wang ringgit yang ditabur dan janji-janji yang yang dibuat nampaknya seperti dicampak ke laut habis begitu saja ditelan jerung-jerung berkeliaran yang menanti masa untuk membaham umpan yang dipasang. Amalan susuk sebenarnya bukan saja ‘haram’ malah akan memakan diri sendiri. Kasih sayang dan cinta biarlah datang tanpa dipanggil dan pergi tidak dihalang. Kasih sayang dan cinta akan lahir secara natural sekiranya kita ikhlas dan memenuhi amanah yang Allah pinjamkan kepada kita. Wang ringgit dan harta tidak mampu memaksa sesuatu yang bukan miliknya. Manusia boleh membeli bantal yang mahal-mahal tetapi tidak mampu membeli lena yang mengulitkan, manusia mampu membeli rumah tetapi seringkali gagal membeli kediaman untuk mendiami dengan aman harmoni dan asyik meninggalkannya, manusia mampu membeli keseronokan di pusat-pusat hiburan tetapi gagal memeluk kebahagiaan. Semuanya kerana menggunakan kaedah ‘susuk’ yang hadir bersama syaitan dan akan berakhir senasib dengan syaitan.

5. Budaya yang membeliti parti dan ahli-ahlinya semakin sukar dibuang sepertimana ‘susuk’ yang sekali masuk ke dalam tubuh, teramat lah sukar dibuang dan seringkali akan berakhir dengan kematian pemakainya. Dari pemimpin sehingga ke bawah sudah dibelenggu penyakit angkuh, sombong dan memandang rendah kemampuan rakyat dan ianya adalah ‘saka’ ataupun ‘susuk’ yang tidak mampu diubati selagi belum berkubur. Maka selagi ‘susuk’ masih mampu menyihirkan pandangan rakyat, selagi itulah rakyat masih kasih dan sayang. Namun sebaik ‘susuk’ itu sudah hilang kuasa sihirnya, kehodohan dan segala keburukan akan terserlah sehingga bukan saja tidak disukai lagi, malah dibenci dan dijauhi bimbang melekat sumpah ‘susuk’ lantaran amalan tersebut. Ketika itu, kerajaan yang dikuasai parti politik akan menjadi lemah apabila sudah dibenci rakyat. Benjamin Disraeli Mantan Perdana Menteri Britain berkata “Raja segala kejahatan ialah sebuah kerajaan yang lemah”. Jauhi amalan syirik dan merbahaya seperti ini kerana tidak selama-lamanya ia mampu menaungi atau memayungi kita kecuali dengan izin Allah swt.

6. Pentadbiran parti dan kerajaan yang masih dihiasi dengan aksesori penjajah tidak selamanya akan dapat men’susuk’kan rakyat. Sebaik rakyat mengetahui amalan susuk tersebut, cinta dan kasih terbang melayang dan kebencian akan menguasai mereka untuk mendesak serta memprotes samada secara terbuka ataupun melalui peti undi. Alias Mohamed pula dalam bukunya Wasiat Nasionalisme Melayu (1982) terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd mencatatkan “Salah satu dari tugas pentadbiran penjajah untuk mengekalkan pemerintahan di negara-negara yang diperintah ialah mewujudkan ‘public policy’ yang tidak melibatkan rakyat. Apa jua bayang-bayang (active politics) yang wujud, ia diwujudkan demikian rupa supaya maklumat-maklumat mengenai matlamat pemerintah tidak sampai dan digelapkan dari pengetahuan orang ramai. Yang demikian dasar-dasar yang hendak dibentuk oleh penjajah adalah yang dicerna oleh jentera pentadbiran penjajah dengan membenarkan hanya penyertaan yang paling minimum, supaya nilai-nilai yang hendak diterapkan ke atas masyarakat pribumi itu tidak memungkinkan timbulnya potensi-potensi protes anti kerajaan yang serius. Sistem yang hendak ditegakkan oleh penjajah itu sendiri bergantung sangat kepada sikap ‘apathy’ (tidak peduli) orang ramai, kepada paras umum kepuasan sosial rakyat dan kepada penerimaan yang pasif rakyat jelata terhadap prinsip-prinsip authoritarianism pemerintah. Sistem ini boleh bertahan selagi tidak ada golongan inteligensia yang boleh mencetuskan kancah dan ketidakpuasan hati rakyat. Bahawa penjajah telah berjaya menegakkan sistem tersebut selama hampir 100 tahun di Tanah Melayu menunjukkan dengan jelas bagaimana rakyat pribumi telah dipengaruhi dan diyakinkan oleh unsur-unsur ‘benevolent authoritarianism’ yang ditanam oleh penjajah”.

7. Sekiranya diperhalusi dan disoroti geraktindak dan perilaku parti politik dan kerajaan yang sekian lama memerintah, elemen-elemen yang menunjangi rantaian sejarah pemerintahan menyerlahkan apa yang cuba diketengahkan oleh Saudara Alias Mohamad itu. Berapa banyak ‘public policy’ yang melibatkan rakyat kecuali lingkaran ‘elit politik’ sediada? Penggelapan maklumat-maklumat pemerintahan didakwa terus berlaku sehingga banyak yang mengelirukan tanggapan umum. Kebergantungan parti politik dan kerajaan hanya dapat bertahan dengan sikap ‘apathy’ rakyat dan apabila rakyat dapat mengakses maklumat dengan mudah maka gelinciran sokongan sudah berlaku sepertimana dalam Pilihanraya Umum ke 12 dan 13 (PRU) yang lalu. Sepertimana penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946 adalah kerana sudah ada golongan inteligensia yang mampu merobek ketahanan sikap ‘apathy’ rakyat dan ianya telah berjaya. Sikap dan ketidakpuasan hati rakyat sekali lagi hadir ketika ini apabila semakin ramai golongan inteligensia yang muncul memacu tahap kesedaran dan ‘celik politik’ di kalangan masyarakat hasil daripada proses ‘langit terbuka’. Sekali lagi ‘susuk’ gagal mendepani masalah mengelabui wajah-wajah pemimpin yang bermasalah dan organisasi selagi pendekatan ‘plastik’ dan kosmetik dijadikan asas perhiasan. Kita seharusnya menyedari bahawa “Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat”. Sekiranya akar sudah tidak sihat, pohon dan ranting akan tumbang menyembah bumi.

8. Detik kejatuhan amatlah memeritkan dan ketika kita sudah menjadi lipatan sejarah, tidak ada pembodek dan penjilat yang akan tampil menghulurkan tangan untuk membetulkan sejarah malah menyokong sejarah kejatuhan sesuatu parti dan kerajaan. Ketika berkuasa, penjilat sering mendendangkan lagu ‘Dodoi si dodoi’ “seperti beliung besar ayun, kecil makannya”. Hasil tak seberapa namun diperbesarkan bagai raksaksa. Bukti telah banyak dipahat sehingga tidak seinci pun mukabumi yang tidak ada pahatan sejarah. Sejarah tidak mungkin dibohongi walaupun tidak kurang yang memutarbelitkan sejarah. Ada dua jenis sejarah yang tertulis dalam buku atau yang tersebar di kalangan masyarakat. Pertama, “sejarah” sebagaimana yang benar-benar terjadi dan kedua, “sejarah” sepertimana yang diceritakan secara berpilih-pilih dengan sebahagian daripadanya sengaja dipadam atau disembunyi. Kita samada tersepit di antara dua jenis “sejarah” itu yakni kita yang mempertahankan sejarah sebagai sebuah “kebenaran” dan tidak pernah berhenti mencari “kebenaran” atau saling bertengkar dan mencabar “kebenaran”.

7. Dr. ‘Aidh ‘Abdullah Al-Qarni penulis buku terlaris dalam bukunya itu La Tahzan (Jangan Bersedih) berkata “Jadikan kritikan tajam sebagai penghormatan . Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki Yang Maha Mulia, seringkali mendapat cacian dan cercaan dari orang pandir yang tidak berakal. Maka, apalagi saya, anda dan kita sebagai manusia yang selalu terpeleset dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seorang yang selalu memberi, memperbaiki, mempengaruhi dan berusaha membangun, maka anda akan selalu menjumpai kritikan-kritikan yang pedas dan pahit. Mungkin pula, sesekali anda akan mendapat cemuhan dan hinaan dari orang lain”. Begitu juga dengan kita, menegur tidak bermaksud benci atau berniat menyakiti melainkan untuk sama-sama berganding bahu sebagai simbol keterlibatan rakyat dalam membawa bangsa, agama dan tanahair ke landasan yang memenuhi keperluan mereka. Peribahasa ada mengatakan bahawa “Kalau alim minta doanya, Kalau kaya minta ringgitnya, Kalau cerdik minta akalnya, Kalau rimbun minta teduhnya”.

Wallahualam

~: hnbk :~

susuk

Bila Angka Menjadi Penting (04)

Salam,

1. Beberapa hari ini angka 04 menjadi sebutan paling laris dan mengundang gerun buat rakyat. Daripada kejadian tembak-menembak berulangkali terhadap rakyat tanpa mengenal status dalam masyarakat sebelum ini, kini giliran penjenayah pula diburu dan ditembak setelah pemburuan berakhir dengan berbalas tembakan antara kedua-dua pihak. Langkah PDRM itu wajar mendapat sokongan segenap lapisan masyarakat demi memulihkan keyakinan rakyat kepada organisasi ulung cabang keselamatan negara. Tidak kira angka 04, 05 ataupun 06, salah tetaplah salah. Semuanya berkaitan dengan angka dan angka 04 merujuk pada kumpulan kongsi gelap India yang didakwa bermaharajalela. Semalam, akhbar melaporkan kejadian polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan. Penjenayah layanannya ala penjenayah dan tidak sesuai diberi layanan bagaikan menerima Darjah Kebesaran Diraja. Namun, apabila pembesar pihak keselamatan dah mula turun dengan jaket kalis peluru dan tergantung sub machine gun bersilang-silang, persepsi rakyat keadaan keselamatan negara sudah berada pada tahap kritikal. Usaha membanteras jenayah ‘underworld’ atau kongsi gelap pada ‘pandangan peribadi’ saya wajar bergerak sama seperti perkataan ‘underworld’ dan dikongsi secara gelap.

2. Apabila diheboh-heboh dengan gelagat sedemikian rupa, para penjenayah seakan-akan mendapat promosi percuma dan menganggap matlamat mereka sudah tercapai. Sama seperti ‘pengganas’, penjenayah juga meletakkan matlamat melalui pendekatan memanipulasi ketakutan secara sistematik dengan cara paksaan. Pusingan pertama sudah memihak kepada mereka dan rentak yang dipalu seharusnya disasarkan untuk membanteras dan menghapuskan musuh. Tindak-tanduk perlu serasi sepertimana ubat dan penawar. Sakit kaki rawatannya perlu ditumpukan di kaki daripada menghilangkan lenguh di pinggang.

3. Kumpulan kongsi gelap 04 melangkah lebih jauh dengan mencetuskan kekecohan semasa upacara pengkebumian salah seorang daripada lima lelaki yang ditembak mati Isnin lalu termasuk membakar mercun semasa perarakan membawa mayat rakan mereka. Kumpulan terbabit turut dilihat membawa pelbagai kain rentang yang tertera gambar si mati, nombor dan logo kumpulan mereka malah menconteng di sana-sini di tempat awam dan milik persendirian.

4. Tindakan mereka menjadikan pendekatan menconteng di sana sini untuk membuktikan kewujudan mereka sama seperti apa yang dilakukan oleh pengganas komunis sekitar 70an dengan meletupkan tugu dan tempat-tempat penting sebagai lambang kebangkitan mereka. Kita memenangi usaha membanteras perjuangan PKM tetapi kita tidak menjadikan pengalaman sebagai guru dan hanya menjadikannya sebagai sejarah untuk berbangga.

5. Tokoh tersohor dan strategist perang China Sun Tzu dengan bukunya The Art of War menyebut “Jika kamu terluka, sembunyikan luka itu baik-baik. Jangan sampai diketahui musuh”. Untuk memberi impak psychology yang lebih efektif, rasanya elok kata-kata Sun Tzu ini digunapakai. Tidak terlalu taksub dengan apa yang disebut oleh beliau tetapi ianya banyak yang benar daripada sebaliknya. Perang propaganda tidak semuanya berkesan melalui penonjolan, ada ketikanya diketahui ada tetapi tidak kelihatan lebih menakutkan daripada kelihatan tetapi sekadar ada. Kenapa ramai yang gerun dan takut ‘hantu’? Puncanya kerana kita tidak nampak dan pernah terserempak dengannya. Semuanya lebih kepada ‘hear say’ atau cakap dengar sahaja. Ada yang berkata begini ada yang berkata begini. Ada yang berkata siongnya sampai ke dada ada yang berkata siongnya sampai ke lantai. Jika ‘hantu-hantu’ ini dapat dilihat seperti kita setiap hari, ‘hantu-hantu’ dipercayai tidak lagi ditakuti, bahkan menjadi bahan jenaka atas kehodohannya. silap-silap menjadi tempat mengadu nasib meminta ramalan nombor ekor.

6. Walaupun begitu, syabas diucapkan kepada PDRM atas usaha memerangi jenayah untuk menjaga keselamatan rakyat. Memberitahu dan menegur tidak bermakna rakyat tidak menghormati atau membenci, sebaliknya itulah erti kasih dan sayangnya rakyat pada institusi-institusi kerajaan yang ada.

7. Akhir kalam, sama-sama kita renungi kata-kata Sun Tzu ini “Bertempur dan menakluk musuh dalam peperangan bukanlah kehebatan paling tinggi; kehebatan tertinggi terjadi ketika anda mampu menghentikan musuh tanpa perlawanan.”

Wallahualam

~: hnbk :~

rahim hanafi UTK haha

Memaknai Perjuangan

Salam,

1. Penyimpangan perjuangan sesebuah parti politik dan pertubuhan dapat dilihat dengan mudah apabila kita melihat kepada manusia-manusia yang berada di dalamnya. Untuk lebih tepat, lihat saja pada pemimpin-pemimpin yang mengemudi bahtera yang dicanangkan sebagai “perjuangan bangsa, agama dan tanahair”. Abu Hassan Adam dalam bukunya ‘Malaysia Pimpinan Mahathir’ (1985) menyebut “Pemimpin-pemimpin pada hari ini, terutama pemimpin dari golongan muda seolah-olah tidak ada isu untuk diperjuangkan, berbanding dengan pemimpin masa lampau. Kini negara telah merdeka, Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi, agama Islam telah menjadi agama bagi negara Malaysia dan seolah-olah tugas telah hampir selesai. Mungkinkah atas dasar ini yang menyebabkan timbulnya perjuangan yang menyimpang itu. Oleh kerana tidak adanya perjuangan berbentuk spritual menyebabkan telah timbul gerakan untuk menguasai material.” Apakah benar sudah tidak ada lagi isu yang mampu diperjuangkan dan menjadi gerakan menguasai material sebagai halatuju sekarang?

2. Penulisan Abu Hassan Adam dalam bukunya yang telah mencecah 28 tahun itu apakah sudah dianggap tidak lagi relevan atau merupakan kitaran yang sentiasa berulang setiap kali bertukar pemimpin? Ataupun mungkin juga sebuah telahan yang tepat sepertimana yang dibuat oleh Nostradamus yang cukup terkenal dengan telahan ajaibnya. Kata-kata penulis buku ini jika diimbas sejak era Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga sekarang semakin lama semakin jelas membuktikan apa yang disebut oleh beliau.

3. UMNO yang dianggap sebagai parti yang memperjuangkan nasionalisme Melayu atau ketuanan Melayu kini dianggap banyak pihak sudah menyimpang dari asas perjuangan sebenar. Laungan ‘Hidup Melayu” tidak akan menghidupkan Melayu yang perkasa jika amalan yang dibuat oleh saf pimpinan seolah-olah mematikan Melayu. Kemarahan meluap-luap sejak kebelakangan ini terhadap kaum lain khususnya kaum Cina bukannya dilihat sebagai memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tetapi sebaliknya berpunca daripada berlaku rekahan dan peralihan sokongan pengundi Cina daripada BN kepada Pakatan Pembangkang yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR). Jika sebelum ini, apa saja yang dibuat oleh kaum Cina tidak pula menjadi isu yang boleh merencatkan hubungan antara kaum Cina dan Melayu khususnya UMNO. Sebelum PRU ke13, hampir kesemua pemimpin atasan parti ini ke sana sini dengan gaya ‘playboy’ cuba memikat pengundi Cina dengan berbagai pendekatan termasuk gula-gula getah, kertas, batu dan besi sehingga ada yang tidak mampu berbahasa Cina menggunakan jurubahasa yang mampu berbahasa Cina, memakai pakaian ala Cina dan bersepit kayu menggaul makanan disaksikan gerombolan kaum Cina. Namun, semuanya menjadi mimpi ngeri setelah keputusan PRU13 diumumkan dengan memperlihatkan jumlah undi kaum Cina merudum dengan begitu teruk sekali dan kasih-sayang bertukar benci sebenci-bencinya. Jika apa yang dilakukan sebelum PRU13 itu atas sifat ikhlas, tidak mungkin tindakan sedemikian akan berlaku selepas itu.

4. Ketuanan Melayu tidak akan menjadikan Melayu itu ‘TUAN’ jika tuan menjadi tukang kebun atau pemandu kaum lain. Lebih baik bukan ‘TUAN’ menaiki kereta dipandu ‘TUAN’ atau bukan ‘TUAN’ mengherdik ‘TUAN’ yang sedang mencuci longkang. Apa usaha sebenar parti ini untuk menjadikan bangsa Melayu ‘TUAN’ yang sebenar-benarnya ‘TUAN’?

5. Menurut perlembagaan parti ini, asasnya adalah untuk berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara serta memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Di manakah maruah bangsa Melayu dan Islam apabila masalah Mat Rempit, bohsia-bohjan, buang anak merata tempat hampir kesemuanya melibatkan Melayu Islam di negara ini? Apa jadi dengan maruah Melayu dan Islam negara ini apabila yang dikejar ‘Along’ berbangsa Cina akibat kemelaratan hidup? Apa jadi dengan maruah Melayu dan Islam yang tanpa segan silu meneguk jin-tonik dan jin beragas bertemankan ‘amoi-amoi’ dari Republik Rakyat China (RRC) di pusat-pusat hiburan sehingga termuntah dan terberak ‘mabuk keling’? Hak istimewa apa bangsa Melayu masih dapat pertahankan ketika ini berperisaikan perjuangan parti politik yang ada? Semuanya adalah ‘retorik’ yang tidak bernoktah bagaikan filem Hindi yang tak sudah-sudah menyanyi dan bertukar pakaian dari hutan ke bukit hingga ke hujung lautan.

6. Bekas Menteri Luar, Tun Dr. Muhamad Ghazali Shafie yang mesra dengan panggilan King Ghaz berkata ”Nasionalis tidak seharusnya terlalu terkongkong dengan sesuatu idea semasa muda. Jika dia tidak mengubah diri nya mengikut masa dan anjakan paradigma, dia akan menjadi tua tetapi tidak matang. Nasionalisme Melayu boleh berubah-ubah mengikut masa, tetapi tujuan asalnya tidak berubah, iaitu untuk memenuhi hasrat kaum Melayu dan memperbetulkan kepincangan yang melanda masyarakat Melayu akibat penjajahan. Seorang nasionalis muda dengan idea yang lama dan ketinggalan zaman, hanyalah seorang tua kolot yang muda.”

7. Mengambil apa yang tersirat daripada kata-kata King Ghaz itu, sememangnya pemimpin-pemimpin yang ada sekarang adalah seorang tua kolot yang muda. Gagal menghayati keperluan dan gagasan orang muda walaupun mereka muda. Yang tua pula cuba meremajakan diri hanya dengan berkahwin muda bukan meremajakan perjuangan dan pendekatan parti. Orang muda bermukabuku dan bertwitter mereka masih tebal dengan budaya pemalas atas alasan tidak minat akan semua ini. Jika enggan berubah dan sentiasa menjadikan ‘alasan’ sebagai ‘pongkis’, sebaik-baiknya lepaskan saja jawatan dan pangkat itu dengan ‘cerai talak tiga’ supaya senang dinikahkan dengan orang lain yang lebih bertanggungjawab. Cuba tanya diri sendiri “apakah polis dan tentera itu minat berkawad?” Jawapannya adalah ‘TIDAK’, tetapi terpaksa berkawad kerana ianya adalah sebahagian daripada tugas mereka. Samada mereka suka atau tidak, KAWAD adalah keperluan dan ianya sama dengan mereka yang menjadi pemimpin politik di zaman sekarang yang perlu bermukabuku serta bertwitter samada suka atau sebaliknya.

8. Untuk itu, demi memaknai perjuangan, jadikan perlembagaan dan matlamat penubuhan parti sebagai landasan yang tidak ada pilihan untuk diganti mengikut selera dan nafsu serakah mereka yang berhasrat bergelar pemimpin. Ingat kata-kata “alasan adalah pintu pembohongan” dan jika pemimpin itu pembohong, kelayakan sebagai pemimpin sudah tercabut atau mewajarkan rakyat menuntut ‘fasakh’. Saya tertarik dengan kata-kata Bekas Presiden Yasser Arafat semasa berucap di PBB pada tahun 1974 berbunyi “Perbezaan antara pejuang dan pengganas terletak di sebalik sebab kenapa mereka berjuang”. Jika berjuang bukan untuk bangsa, agama dan tanahair sebaliknya berjuang untuk diri sendiri, keluarga dan kroni harus dipanggil apa?

Wallahualam

~: hnbk :~

makna perjuangan