Jaguh rekacipta berbangsa Melayu

Salam wahai sahabat-sahabat,

1. Kita sering berbangga dengan kemampuan manusia-manusia yang dianugerah Ilahi kebolehan dan kemampuan untuk merekacipta dan mendepani zaman dengan teknologi terkini di samping amat menghargai generasi terdahulu yang mencipta pelbagai ciptaan yang membolehkan kita menikmati dan memanfaatkan hasil ciptaan mereka. Thomas Alva Edison seorang pereka dan usahawan Amerika Syarikat yang mengembangkan banyak peranti yang amat mempengaruhi kehidupan di seluruh dunia. Pencipta kapal terbang Orville Wright dan Wilbur Wright mencipta kapal terbang dan berjaya menerbangkannya, Baron von Drais de Sauerbrun von Baden Wurtenburg dipercayai telah mencipta prototaip pertama basikal, Al-Tusi pencipta teropong bintang, orang yang bertanggungjawab membuat televisyen ialah John Logie Baird yang merupakan seorang jurutera berbangsa Scotland yang terkenal kerana mencipta sistem televisyen yang pertama, dan juga siaran televisyen warna pertama elektronik sepenuhnya di dunia, John Atanasoff dengan Clifford Berry membina satu prototaip mereka yang mula-mula mencipta komputer dengan menggunakan elektrik, tiub hampagas (vacuum tubes), nombor binary dan kapasitors. Semuanya merupakan pemikiran moden yang banyak membantu kehidupan masa kini dan mendahului manusia-manusia yang berfikiran primitif. Inilah hakikat kebanggan seluruh isi mukabumi ini yang mengoptimakan anugerah ilahi yang paling ampuh iaitu ‘akal’.

2. Namun bangsa Melayu juga tidak kurang hebatnya dengan kemampuan dalam bidang rekacipta yang jauh mendahului bangsa lain di mukabumi ini. Tidak ada bangsa yang mampu menandingi bidang rekacipta bangsa Melayu yakni ‘mencipta alasan’. Pelbagai alasan akan cipta demi memenuhi hajat untuk menjustifikasikan apa saja tindakan mereka. Yang berstatus majikan dengan rekaciptanya, yang pekerja dengan alasannya yang tersendiri, Pemimpin politik dan rakyat juga mempunyai dayacipta masing-masing yang tiada tandingannya. Namun. apakah rekacipta sebegini yang kita semua bangga dan harapkan? Sekadar jaguh mencipta alasan, kanak-kanak di peringkat prasekolah sudah mampu menciptanya dan tak memerlukan sesorang menduduki jawatan dan pangkat yang tinggi melangit, pemimpin pula tak perlulah diangkat oleh rakyat untuk mewakili mereka kerna rakyat sendiri mampu melakukan semua itu. Oleh yang demikian, kita harus mempunyai iltizam untuk menjadi jaguh yang seiring atau lebih hebat daripada pencipta-pencipta sebelum ini dan masa kini demi kelangsungan kehebatan bangsa, agama dan tanahair kita.

3. Akhirulkalam, “Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya layak dibuat kayu api.”

Wallahualam

Ibnu Haitham

Advertisements

Budaya Pasang Siap (BPS)

Salam dan didoakan kesejahteraan jua buat semua pembaca di hujung minggu.

2. Saya hanya kepingin menitipkan curahan minda yang bergejolak sejak semalam bagaimana Budaya Pasang Siap (BPS) yang melantunkan kejahilan dan ketololan dalam persekitaran bangsa kita lantaran manipulasi yang juga dari bangsa kita. Apa sebenarnya isu tersebut? Setiap kali hadir kenamaan dan tokoh besar dari Putrajaya dan Kuala Lumpur, pastinya BPS akan terlebih dahulu menziarahi negeri kecil di semenanjung Malaysia ini walaupun ianya tidak saja membelenggu negeri ini malahan semuanya. BPS yang dimaksudkan ialah apa saja yang tidak siap akan disiapkan, yang berabad lamanya rosak tiba-tiba saja berupaya dibaiki walaupun sebelumnya trilion alasan demi menjustifikasikan kenapa ia tidak boleh dibaiki dan yang tidak ada sekelip mata boleh berada di hadapan rakyat. Jalan tidak berturap akan berturap, yang berlobang akan hilang lobangnya, yang tersumbat pastinya lancar dan berbagai lagi keanehan bakal muncul mengalahkan David Copperfield Jaguh Silapmata yang memaknai ilusi yang mengelilingi kita.

3. Kesedihan dan kekecewaan saya bersama pencinta bangsa bukan kerna bencinya kita kepada usaha perlaksanaan projek spontan seumpama itu, tetapi atas pendekatan hipokrasi yang keterlaluan dan seolah-olah menyemai benih kepalsuan untuk dituai lagi pada musim akan datang. Projek dan usaha sebegini dalam tempoh yang pendek memang dilihat baik untuk masyarakat setempat namun ianya tidak memakmur dan memperkayakan masyarakat melainkan membuntalkan perut dan kocek kontraktor serta yang menganugerahkan projek BPS tersebut. Sebaik ‘mesin padi’ melalui laluan tersebut maka kembalilah ke asalmu wahai jalan berturap, sebaik pulangnya tokoh besar dan kenamaaan dari ibukota maka semua projek-projek yang dibina dan dihias akan bertukar membatu dek sumpahan Sang Gedembai yang tidak pernah mengalir perasaan kasih dan sayang kepada manusia yang dikehendakinya untuk bertukar menjadi batu.

4. Bahang Pilihanraya Umum (PRU) kian membahang dan para kontraktor dan broker projek BPS sudah mula membuat percaturan dan pengiraan untung rugi kerna mereka amat pasti budaya dan sejarah lama akan berulang. Mereka akan melangkah megah menerima anugerah di Balai Rong Ilusi tetapi realiti. Hujan Emas akan datang bersama awan hitam walaupun realitinya langit hanya mencurahkan air ataupun batu jarang-jarang sekali kerna belum pernah berlaku langit memuntahkan emas. Selama mana kebobrokan seperti ini akan bermaharajalela? Selama rakyat dihunjamkan dalam jiwa dan minda mereka bahawa inilah takdir yang tercatat untuk mereka. Selagi kesedaran memisahkan rakyat dengan budaya merencatkan fikiran rakyat ini tidak dicabut dari mereka, maka menderitalah rakyat dalam kejahilan yang terus menerus hingga hilang kesemuanya seperti peristiwa tenggelamnya Kampung Temengor yang terletak di Gerik, Perak 30 tahun yang lalu.

5. Kisah di atas sama seperti apa yang dicatatkan oleh Bung Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup yang menceritakan tentang orang dusun yang mendapat berita seorang berpangkat tinggi akan datang menziarahi kampungnya dan rumahnya akan menjadi lokasi singgahan. Mendengar berita rumahnya akan disinggah bukan main gembiranya orang dusun ini hinggakan pelbagai persiapan yang dibuat. Rumahnya yang sederhana segera dirombak sebab malu rasanya kesempitan rumah yang sudah lama saiznya begitu. Untuk mencukupkan segala alat penyambut lalu digadaikan setumpak sawah. Jadinya , sebelum orang berpangkat tinggi datang, kemiskinan sudah lebih dahulu datang menimpa. Orang berpangkat tinggi hanya singgah sebentar saja, tidak lama dan kembali pergi. Maka tinggallah orang dusun sebagai tepatan raja, tetapi dalam keadaan miskin, rumah terombak, sawah tergadai, hutang-hutang kiri kanan tidak berbayar. Puncanya apa? ianya berpunca daripada kebodohan. Jikalau manusia telah keluar daripada garis kewajaran, dia akan berbuat secara berlebih-lebihan. Tambah Bung Hamka lagi, “Rumahtangga perlu mempunyai seorang kepala yang pandai mengatur. Kalau rumahtangga dikepalai orang yang lemah hati yang tidak tahan melihat kemewahan orang lain alamat akan celakalah keluarga tersebut. Untuk memperbaiki suatu bangsa, perbaikilah lebih dahulu rumah tangganya. sebelum memperbaiki rumahtangga, perbaikilah lebih dahulu tiap-tiap anggota masyarakatnya. Kalau disia-siakan, alamat ummat itu dalam sebentar waktu akan kacau dan punah.”

Walla’ hualam
HNBK