KAIN PELIKAT BATANG PAIP

Salam,

1.  Tengahari tadi dalam perjalanan ke Pesta Buku Perlis berhampiran lampu isyarat Taman Sentua, Jalan Raja Syed Alwi, Saya melihat sebuah kereta yang membawa beberapa batang paip PVC yang terjulur keluar melalui tingkap dan dibalut dengan kain pelikat lama. Sepantas kilat minda saya diterkam satu persoalan. Ramai yang menjadikan kain pelikat, jubah, serban sebagai ukuran tebal nipis iman seseorang, lemah atau kuat agama Islam yang dianuti. Rupa-rupanya nilai kain pelikat itu tak ubah sama nilainya dengan membalut batang paip PVC yang saya nampak tadi.

2.  Adalah sesuatu yang malang apabila kotak fikiran masyarakat kita yang gemar merumuskan seseorang secara pukal dan mudah semudah membalut paip PVC dengan kain pelikat. Jika ukuran kejahilan atau kealiman seseorang berdasarkan kefasihan dan kepetahan bertutur bahasa Arab apa kurangnya Abu Jahal dan Abu Lahab? Jika serban menjadi penanda maka benggali juga tak kurang hebatnya, jika purdah dan jubah serta kopiah menjadi kayu pengukur sudah pastilah Paderi Wanita dan Lelaki juga menuntut hak yang sama. Janganlah mudah kita terbeli dan termakan iklan serta kosmetik yang semata-mata bermatlamatkan keuntungan tanpa sedikitpun belas kasihan terhadap mangsa-mangsa yang kemaruk pujian dipanggil alim, haus umpama musafir di gurun yang luas terhadap pandangan yang mengangkat seseorang seolah wali, sedangkan hati dan jiwa dipenuhi riak dan takbur.

3.  Kealiman dan kejahilan tidak terletak di mulut dan muka, bukan di tubuh mahupun jantina. Keikhlasan lah yang menjadi tanda aras dan ianya adalah milik mutlak Allah s.w.t menentukannya. Apalah hebatnya ,ulut dan lidah bertasbih sedangkan hati menyumpah seranah dan dipenuhi daki serta karat yang membiakkan hasad dengki.

4.  Jadilah manusia yang bersyukur dan jujur dalam mengejar peluang untuk berbakti kepada bangsa, agama dan tanahair dan tidak menjadikan tindak-tanduk umpama telunjuk lurus, kelingking berkait yang bermaksud kelihatannya baik, tetapi di dalam hatinya jahat. Biar huduh rupa asal cantik budi perkerti kerna itulah senjata menikam hati dan menusuk jiwa manusia lain untuk rebah diribaan dan bangun dengan penuh kasih sayang untuk membantu kita mengemudi bahtera kehidupan hatta gelora dan gelombang besar yang membadai.

5.  “Bangsa yang besar dan berjaya adalah bangsa yang mengingati sejarah”  kata Soekarno. Oleh yang demikian, jangan dilupa sejarah keruntuhan dan kebangkitan bangsa yang sentiasa mengambil tempat silih berganti dan menjadi pahatan sejarah di atas nama setiap pengukirnya.

Wallahualam

HNBK

BAHAYA KATIL BERBANDING MEDAN PERANG

Salam,

1.  Dalam buku Dr. M Operasi Malaysia (Wawancara dengan Mahathir Mohamad bersama Prof Tom Plate (2012), Tun M dipetik berkata “Dahulu saya sering menasihati orang bahawa tempat paling berbahaya ialah katil kerana lebih ramai orang mati di atas katil setiap hari berbanding tempat-tempat lain”. Saya amat teruja dengan ungkapan ini kerna ia menakluki pemikiran saya untuk pergi lebih jauh dari sekadar melihat betapa besar jumlah kematian di atas katil.

2.  Memang benar apa yang diumpil dan dipasak oleh Tun M melalui kenyataannya itu tanpa memerlukan kajian dan penyelidikan kerna saban hari kematian di hospital saja sudah menggenapkan jumlahnya yang didakwa besar itu tidak termasuk yang nazak sebelum meninggal dunia pastinya berada di katil dan tidak digantung dipokok dan bukit sebagai simbol kasih sayang dan simpati kepada yang menanti giliran menemui Ilahi.

3.  Ungkapan ini juga terus menendang kepala saya untuk kuat mengangguk bahawa “Saudaraku, janganlah kita seperti kera yang tidak jatuh ketika ada angin kencang datang, karena ia akan memegang ranting lebih erat. Tetapi ketika ada angin sepoi-sepoi itulah ia terjatuh kerana tertidur.” Sama seperti yang mati banyak berkata berlaku di lapangan namun katillah juga tempat beristirehat selama-lamanya.

4.  Apa sebenarnya yang nak dikaitkan dalam tiga para di atas yang sehingga kini masih berbalam? Ianya banyak berkaitrapat dengan keterlanjuran pemegang kuasa yang tertiarap dan tertungging lantaran sepoi-sepoi angin yang menyamankan walaupun hakikatnya di luar sana ribut taufan yang berbagai-bagai nama diberikan seperti Taufan TingTing (Ogasawara Kepulauan Jepun), Taufan Mindullle (Taiwan, China) Taufan Katrina (New Orleans, AS), Taufan Nargis (Yangoon, Myanmar), Taufan Fengshen (Manila, Filipina), Taufan Shanxi Yangquan dan Taufan Fujian (China). Yang lebih ramai terkorban adalah bernama sepoi-sepoi.

5.  Presiden dan Timbalan Presiden UMNO/BN umpama halilintar menjerit Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini adalah ‘Ibu segala pilihanraya’ namun di bawah sana tidak diketahui samada ibu, bapa, nenek, atok pilihanraya. Yang kuat berbunyi “Akulah Winnable Candidate” walaupun realitinya adalah “Loser Candidate”. Ke hulu ke hilir memalu kompang aku lah yang layak walaupun hakikatnya “Aku lah yang koyak”. Ancaman dan cabaran sebenar tak difahami bagaimana mereka mampu untuk berdepan dengan musuh yang dibantu tangan-tangan ghaib dari luar negara untuk menggulingkan kerajaan demi menobatkan pemimpin yang menjadikan mereka ‘Berhala Politik’ untuk disembah. Program-program yang dilaksanakan lebih bersifat “Habis padi segudang, modai pun habis, untung ke mana, rugi meruntun lutut”.

6.  Semua pihak membenci Yahudi, Semua membenci campurtangan Amerika. Tapi itulah “Berhala Politik” yang disembah puak-puak dajal yang menjadi hamba Yahudi. Memetik kata-kata Da’i sejuta Umat dari Indonesia yang meninggal dunia pada tahun 2011 dan cukup terkenal iaitu KH Zainuddin MZ. Beliau bertanya “Siapa Yahudi? Zionis. Siapa Zionis? Israel. Siapa Israel? Amerika Kecil. Siapa Amerika? ISRAEL BESAR. Jadi apakah bezanya Israel dan Amerika yang menjadi dalang mengkucar-kacirkan politik negara ini dengan membentuk “Public Opinion” sehingga kerajaan dilihat zalim dan menindas? Menyambung kata-katanya lagi tentang apa yang berlaku di Afghanistan “Jika ada tikus di dalam rumah, mengapa perlu rumah yang dibakar?”. Jika Osama yang menjadi puncanya, CIA dan FBI yang handal tangkap saja Osama dan kenapa rakyat yang tidak berdosa dihukum? Sama juga seperti apa yang berlaku di negara ini jika pembangkang ikhlas, maka selayaknya mereka membantu untuk memperbetulkan kesilapan dan bukan dengan cara membuka ruang campurtangan asing sehingga mengundang padah yang tak ternilai harganya.

7.  Meruntuh itu amat mudah berbanding membina. Rakyat yang tidak berdosa dipesongkan dengan dakyah yang paling merbahaya hanya kerna cita-cita menggunung sekerat dua manusia berjiwa syaitan dan ketagihan yang parah untuk bergelar Perdana Menteri sehingga sanggup menginjak bangsa sendiri dengan upah yang amat besar kepada bangsa bukan Melayu.

8.  Perubahan rejim tidak menjamin perubahan yang positif kepada rakyat secara keseluruhannya. Mubarak pergi di Mesir dan tang tinggal hanyalah “MU BERAK” kata orang Pantai Timur. Setiap negara bermula dengan tempat berbeza, mempunyai keperluan berbeza. Oleh yang demikian, apa yang efektif di ISRAEL BESAR atau ISRAEL KECIL tidak semestinya baik untuk negara ini. Jangan diikutkan hati yang disumbat dengan api kebencian oleh musuh bertopengkan sahabat. Hanya kita saja mampu membentuk acuan kuih yang bakal dibentuk oleh bangsa, agama dan tanahair kita.

9.  Sama-samalah kita menadah tangan berdoa dijauhkan musibah yang kian hampir dengan lidah terjelir diheret oleh dajal-dajal dan iblis yang berpura-pura bertasbih menuju Kaabah.

10.  Hayati kata-kata Sun Tzu seorang ahli strategi perang cina (400-320 SM) dengan karyanya yang fenomenal aitu The Art of War. “Kenali musuhmu, kenali dirimu maka kau mampu berjuang dalam 100 peperangan tanpa risiko kekalahan. Kenali bumi, kenali langit dan kemenanganmu akan menjadi lengkap”.

Wallahualam

HNBK

LIANG DIUKUR KERANDA DITEMPAH

Salam,

1. Detik kehancuran pemimpin dan kemusnahan organisasi akan terpancar apabila pemimpin ataupun ketua sudah tidak dapat membezakan titik perbezaan antara pengikut, ahli dan orang bawahan yang melaksanakan arahan atas asas takut, hormat, sayang, benci, pengampu dan yang ikhlas. Jika inilah situasi dan fenomena yang melanda, maka keranda dan pembaca talkin WAJIB ditempah dan liang lahad sudah boleh diukur.

2.  Kelompok ikhlas dan kasih sayang yang ada pada pemimpin tidak mampu berdepan dengan pengampu dan yang takut kerana mereka dilihat amat taat dan setia kepada pemimpin ataupun ketua. Pandangan yang sayang dan ikhlas pula dilihat seperti degil dan engkar akan arahan pemimpin dan ketua. Dalam situasi seperti ini, pastinya kelompok yang mengampu dan takut dinobatkan sebagai wira dan yang sayang dan ikhlas menjadi pengkhianat. Detik ini adalah detik kehancuran yang dinanti-nantikan oleh musuh-musuh nyata dan bersembunyi termasuklah orang bawahan dan pengikut yang benci kepada pemimpin dan ketua. Pada saat itu, yang kasih dan sayang, yang menghormati, yang ikhlas sudah terjebak dalam penjara tanpa pembelaan dan kemampuan untuk membantu maka jadilah seperti kisah kejatuhan Empayar Melaka dan dalam filem Snow white yang sedang ditayangkan di pawagam-pawagam negara ini Raja nya mati dibunuh Raveanna ahli sihir menyerupai wanita cantik yang penuh dendam dikahwininya dan snow white dipenjarakan atas kelicikan muslihat.

3.  Beza antara yang takut dan hormat itu akan hanya diketahui pada detik-detik kemusnahan samada membodek dan keikhlasan. Yang takut pula akan mematuhi arahan daripada ketua tanpa memikirkan ianya akan memusnahkan ketuanya bahkan difikirnya alangkah bagusnya jika proses kemusnahan itu disegerakan, tetapi yang menghormati dan mengasihi ketua akan memberitahu ketuanya bahawa arahan tersebut berisiko, merbahaya untuk dilaksanakan.

4.  Manakala yang mengampu akan memberi cadangan yang bukan-bukan walaupun sebenarnya saranan itu tidak akan memberi keberhasilan kepada ketua dan pemimpin malah ianya adalah proses menuju kehancuran. Manakala pengikut atau orang bawahan yang ikhlas dan setia akan memberi pandangan dan nasihat agar ketuanya dapat bertahan lebih lama serta mengelakkan lang-langkah kejatuhan. Namun demikian, siapa yang akan dapat memulihkan penglihatan dan pendengaran pemimpin dan ketua yang diselubungi sihir dan jerebu kealpaan? Akan berlaku lagi kisah Hang Nadim yang menjadi korban kepintaran yang dicemburui musuh-musuh Raja dan fitnah menjadi senjata?

5.  Didoakan agar kemunculan PEMBANTU yang dilindungi Allah swt dapat berdepan dengan iblis dan syaitan serta bala tenteranya agar musibah yang membelenggu negara ketika ini dapat dinyahkan dan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dapat dipulihkan. Jauhkan kebencian di kalangan rakyat dan datangi kasih sayang sesama kita demi sebuah negara yang aman, makmur dan berjaya.

Wallahualam

HNBK

IKUT SUKA AKU @ HAM

Salam,

1.  Semakin hari semakin menjadi-jadi dengungan dan laungan berkaitan isu Hak Asasi Manusia (HAM) diputarbelit sehingga yang cerdik menjadi keliru dan yang kurang cerdik menjadi haru biru. Pemutar Skru yang digunakan kelompok ini jenama AMBIKjuGA buatan India diedarkan oleh pembekal BarCountSELL. Ikutkan hati mati dan ikut rasa maka binasalah semuanya. Secara umumnya tak ada agama yang tidak menghormati HAM. Namun semestinya hak @  ‘al-Haq’  itu mempunyai limitasi seperti juga Demokrasi. Islam yang menjadi iktikad penganutnya pastilah bertambah-tambah penghormatannya pada HAM dengan meletakkan sesuatu hak itu sejajar dengan tempatnya. Islam agama yang menjunjung keadilan dan keadilan itu lah akar dan tunjang kepada HAM yang sebenar-benarnya.

2.  Sepintas lalu, banyak hak yang boleh dipertikaikan mengikut fahaman manusia berhubung HAM  jika tidak ditafsir secara bijak bersandarkan hukum agama terutamanya Hak Allah. Kita manusia ni hanya sekadar menumpang dan meminjam apa saja di muka bumi ini dan jangan lah berlagak lebih dari pemilikNya.

3.  Perlembagaan Persekutuan membenarkan kebebasan beragama. Perkara 11 menyatakan,  “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, ” tetapi perkara ini juga memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan untuk “mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.” Namun perkara ini juga menjadi pertikaian apabila terdapat gerakan dan pihak-pihak tertentu yang cuba melanggar undang-undang tertinggi negara ini walaupun topeng sebagai orang yang amat menghormati dan menjunjung undang-undang tak lekang dari muka khususnya BarCountSELL. Berapa ramai yang dimurtadkan, berapa juta yang difasiqkan, berapa ramai yang dimunafikkan oleh gerakan dan pertubuhan yang jelas dan samar demi kebencian terhadap Islam yang turut digagaskan oleh puak Wali Songo Sintetik @ kiPAS. Semuanya demi HAM yang kian ganas dan ekstrim kerna penuh yakin serban dan jubah serta tasbih disebalik kiPAS akan menjadi perisai mempertahankan mereka.

4.   Jika nak diguna hukum akal tentang HAM, maka perogol merogol anak isteri dan keluarga kita, saudara dan jiran kita kenapa harus ditangkap dan diambil tindakan? Kan itu hak beliau dan tidak perlu digunakan perkataan penjenayah sebab dia mengamal dan menggunakan HAM mengikut fahaman gilanya. Tidak perlu ada halal dan haram kerana itu semua HAM. Aku tendang bontot kamu kamu tendang kepala aku semuanya HAM. Biarkanlah ianya berlaku atas istilah HAM yang diselewengkan. Mungkin itu asas LGBT disokong Anwar dan AMBIKjuGA serta kuncu-kuncunya. Kita sepak kaki hakim, hakim tanya pasai apa? HAM jawabnya. Pekerja enggan bekerja walaupun diarah majikan atau ketuanya jangan diambil tindakan kerana itu adalah haknya yang dipegang asas HAM ala AMBIKjuGA.

5.  Maknanya, semuanya akan musnah, semuanya akan punah, semuanya akan ranah, semuanya akan ke tanah dan tidak ada noktahnya sama seperti lagu bangau oh bangau lantaran amalan HAM = IKUT SUKA AKU. Maka jadilah dunia ini umpama Hospital Tampoi dan Tanjung Rambutan gara-gara Insan Anugerah Tuhan @ IAT yang menjadi seteru utama TIBAI.

6.   Sama-samalah kita menentang kebangkitan DUNIA GILA ciptaan kelompok rakus dan Gila Talak 3 yang semakin meroyan dan ketagihan sehingga meleleh-leleh nira dari gigi-gigi yang kuning dan busuk itu.

Wallahualam

HNBK

Musim Mengawan dan Musim Mengigau

Salam,

1.  Musim cuti sekolah seringkali dikaitkan dengan musim mengawan dan baru saja berlalu. Musim ini akan datang lagi bersama jadual persekolahan yang telah ditakdirkan oleh kementerian dan pada yang sama musim mengawan. Namun apa yang menarik adalah musim mengigau kata orang utara yang berkait rapat dengan pilihanraya. Mengigau jadi YB tak kira siang mahupun malam. Isteri tersentuh latahnya juga bergema “Ya YB, Ya Dato'”, kawan terlanggar latahnya “Ya exco, Ya Menteri”. Semuanya gara-gara mengigau berpunca daripada bahang Pilihan Raya Umum (PRU) yang kian hampir kerna tidak mungkin menjadi kian jauh setelah tarikh lupus tempoh kerajaan sedia ada berakhir MAC 2013. Seperti kata Dolah Kok Lanas (DKL) ataupun nama penuhnya Tan Sri Abdullah Ahmad “walaupun sesetengahnya pendidikan dan pengalaman mereka terhad, mereka selalu mengigau kedudukan yang tinggi dan berpengaruh”. Fenomena ini amat membimbangkan kerana bila yang tidak layak merasa layak, naik feri disangka kayak, orang dok relaks dia seluar terkoyak. Akhirnya, ulat bulu dah naik mata, kura-kura yang lemah kerabat balak.

2.  Jika di tinjau negara jiran Singapura yang diterajui PAP @ People’s Action Party atau nama Melayunya PETIR @ Parti Tindakan Rakyat, mereka juga tidak lepas daripada menerima bantahan daripada rakyat negara itu dengan pembangkang mengungkit dan memperjuangkan isu perumahan yang lebih murah, kebebasan bersuara dan media yang lebih luas, kos kehidupan dikawal dan diturunkan dan menentang kehadiran pendatang asing yang merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk sebenar negara itu. Namun, isu hampir sama tapi tidak serupa kerana pendatang asing di negara itu ramai kelas profesional dan orang berada. Negara ini pula bagaimana?

3.  Tambah DKL @ Dolah Kok Lanas lagi dalam bukunya Berani Tanpa Segan, ” Singapura ditadbir dan diperintah secara yang amat mengkagumkan apabila melaksanakan undang-undang tanpa rasa takut dan segan dan apa yang dikata pasti dikota. Isu bahasa, agama dan bangsa dilarang sekeras-kerasnya diketengahkan, apa lagi dieksploitasikan dalam kempen kerana isu-isu ini telah selesai dan telah diterima oleh semua sebagai wujud. Siapa melanggarnya menghadapi risiko yang teruk. Mereka bertindak pantas, berani dan keras bukan seperti di sini!”. Kenapa pula DAP anak manja PAP tidak menjadikan isu ini sebagai modal untuk diciplak di Malaysia sedang Malaysian Malaysia bagai sudah terpahat dalam Perlembagaan yang bakal digubal semula nanti? Lee Kuan Yew yang cukup sinonim dengan Temasik atau Kota Singa ini pernah berkata bahawa dia lebih suka ditakuti dari disayangi. Tambahnya lagi “Saya tidak selalunya obses dengan populariti. Tidak keterlaluan bimbang pada pendapat orang ramai. Seorang pemimpin yang obses dengan populariti adalah seorang pemimpin yang lemah!”. Oleh yang demikian, jauhkan sifat lemah, bangkit dan bantai jangan kena demah.

4.  Oleh yang demikian, apa yang berlaku sekarang di negara ini umpama cerita Anakku Sazali yang terlalu memanjakan anak sehingga lupa daratan dan akhirnya memusnahkan institusi kekeluargaan yang terbina dengan lagu Istana Cinta. Kepimpinan yang mustajab pada ketika negara di ambang kedegilan rakyat yang memuncak memerlukan kepimpinan tegas. Pemimpin mesti memimpin rakyat, bukan sebaliknya. Kata guru saya dulu “sometimes we have to be cruel to be kind”. Kita bertindak bukan untuk kepentingan diri tetapi demi menyelamatkan negara yang sedang digugah dan disanggah oleh Ali Baba dengan 40 penyamun. Impaknya bukan kepalang, jika dibiar mendapat malang, silap-silap sawah padi tumbuih lalang, habis roti tinggal balang, gigit jari tak reti bilang, duduk terkangkang umpama jalang, baik balon pecahkan tembelang.

5.  Menghancurkan amat mudah berbanding membina dan melupuskan terlalu senang berbanding mencipta. Hargai keamanan dan kemerdekaan negara dan jagalah bangsa, agama dan tanah tumpah darah kita.

 

Salam

HNBK

Banyak dan Sedikit

Salam,

1.  Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mantan Mufti Perlis dalam bukunya Penawar Duka Pengubat Sengsara menulis di halaman 78 berbunyi “Ada kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang misikin yang menderma RM10 mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih daripada seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10 tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari”.

2.  Nilai sebenar di sisi Allah adalah keikhlasan dan Allah mengetahui nilai sebenar itu kerana semuanya milikNya belaka. Banyak atau sedikit adalah sesuatu yang subjektif sama seperti cantik dan hodoh, baik dan jahat yang menentukannya adalah di pihak mana kita berada. Di pihak Zionis pejuang Palestin adalah pengganas sementara rakyat Palestin melihat pejuang Palestin sebagai wira. Kekasih melihat cinta hatinya teramat cantik dan musuhnya melihat umpama keldai.

3.  Oleh kerana malu pada nilai dan manusia makanya derma RM1 tidak dibuat atas kebimbangan ketawa dan hilai manusia lain sedang ‘kosong’ itu lebih sedikit dari RM1 atau 50 sen. malu pada manusia mengatasi malu pada Pencipta. Semuanya disumbat oleh rasa hipokrasi yang boleh disamakan dengan munafik. Apakah kemunafikan yang dikehendaki semua manusia? Apabila perasaan dan sikap ini menjebak segenap ruang kehidupan manusia, lambat laun ianya membudayakan bumi dengan apa saja bentuk hipokrasi dan kemunafikan dan percayalah tidak sedikit yang membencinya. Apa ertinya ‘Mock Cheque’ sebesar pintu rumah jika bukan untuk menunjukkan betapa IKHLAS nya manusia yang memberi?

4.  Rakyat sudah bosan dengan mockery dan kepura-puraan. Itulah akar kebencian yang membarah dalam masyarakat terhadap kerajaan dan parti politik. Menunjang kian hari kian panjang dan janganlah dibiarkan hingga mencecah kerak bumi. Apalah ertinya pemberian bermusim walaupun banyak daripada sedikit yang berterusan dan dilimpahi keikhlasan dan kasih sayang? Politik tidak kotor tetapi pelaku-pelakunya yang mengotor dan menjijikkan masyarakat kerana seolah-olah diperbudakkan. Di sana sini Si Tua menjadi BUDAK sehingga akhirnya Budak bertindak seperti orang tua. Semakin memberi semakin dibenci ertinya ia sudah tidak berkesan tindakan kita dan seharusnya dikaji apa puncanya. Rakyat dambakan keikhlasan dan perlindungan serta pembelaan. Ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul. Kek yang dipotong jika tidak besar biarlah merata. Jangan ada yang gemok buncit sedang ada yang kurus kering berbaki tulang dan kulit. Bangsa lain hanya menanti detik menumbang dan meranapkan hak serta sisa hak bangsa kita.

5.  Sesebuah Daulah hanya akan tertegak dengan kasih sayang antara pemimpin dan yang dipimpin. Maka carilah kasih sayang yang tulus ikhlas  sebelum terlambat. Berpisah belum bercerai dan bercerai bukan talak 3 hingga memerlukan ‘Cina Buta’. Masih belum terlewat untuk RUJUK kembali. Jangan biarkan Si Cina Buta yang opportunis dan Melayu yang Buta menjadi si Kitol dan Mendeliar yang menghancurkan seluruh bangsa, agama dan tanahair.

6.  Ingatlah pesanan ini wahai teman, rakan, sahabat dan pemimpin “Hanya ikan yang bodoh yang akan mengena dua kali pancing dengan umpan yang sama”. Sama-sama kita saling mengingati dan menentukan nasib bangsa, agama dan tanahair dilindungi dan dibela.

Wallahualam

HNBK

Travelog Bumi Hijau

Salam,

1.  Sebaik saja aku melangkah masuk ke rumah semalam, apa yang terbayang di kotak fikiran adalah merehatkan minda dan juga jasad yang terlalu lemah setelah berjam-jam memandu dari Kota Bharu, Kelantan ke rumah kecil ku di Jitra, Kedah. Ketika ke sana juga aku melalui jalan yang sama untuk sampai ke Kota Bharu. Memang aku cukup meminati penulisan namun tidak pula terdetik untuk menulis catatan perjalanan yang bukannya luarbiasa bagi orang lain yang sudah puluhan negara dijejakinya namun bagi aku, sebaik saja melintasi Selatan Thailand bermula dari Simpang Pattalung ke Golok, Narathiwat sebelum memasuki Kelantan, banyak yang mencuit minda dan hati ini agar segera kembali dan menulis catatan perjalanan kali ini.

2.  Sebelum berlepas ke sana, aku telah dihubungi seorang rakan dari pihak Polis Thai berpangkat Kolonel meminta sesuatu dari aku dan aku turut memaklumkan beliau yang aku akan ke Kelantan sebentar lagi. Beliau terus memberitahu aku untuk mendapatkan kad namanya untuk memudahkan perjalanan melintasi Selatan Thailand sekiranya ditahan dan diperiksa oleh pihak keselamatan di negara Gajah Putih itu. Aku sudah lewat dan hanya mengucapkan terima kasih kerana aku lebih yakin dan mempercayai Allah akan sentiasa bersama aku membantu. Namun, apa yang terlintas di fikiran adalah kata-katanya “Kalau tunjuk kad saya, semua beres”. Betapa hebatnya pegawai polis di negara itu yang begitu besar kuasanya mempengaruhi sesama pihak keselamatan di sana. Agaknya budaya yang berbeza dan perasaan saling menghormati antara agensi sudah meresapi dan menjadi budaya yang mengakar.

3.  Setelah hampir separuh perjalanan di Selatan Thailand, aku berhenti sekejap di Sakom Beach, Pattani kerana tertarik dengan keindahan pantainya yang memanjang dan memutih dan paling menarik adalah seperti pasar di tepi jalan berhampiran pantai di situ dengan jualan ikan, sotong, ketam dan boleh dikatakan segala yang dijual di pasar di negara kita ada namun perbezaannya harga yang murah dan segar. Yang sudah digoreng juga sedap dan murah berbanding di sini. Sotong besar yang digoreng tepung hanya RM1 setiap satu. Murahnya!!. Selepas bergerak dari situ aku berhenti makan tengahari di Pekan Pattani makanan paling popular iaitu sup perut dengan telor goreng ‘dardar’. Jika hari bekerja memang ramai dan terpaksa beratur panjang. Makanan di sini memang murah walaupun harga bahanapi memang jauh berbeza dengan negara ini. Yang peliknya tidak pula dinaikkan harga makanan sesuka hati atas alasan dhaif iaitu kenaikan harga bahanapi. Memang mencari alasan kan kerja paling mudah?

4.  Sebelum memasuki kawasan Malaysia iaitu Rantau Panjang, aku harus menempuhi Pekan Golok atau di sana di sebut Kolok. Terpinga-pinga aku mencari jalan untuk keluar ke jambatan melintasi Sungai Golok / Rantau Panjang. Jawapannya mudah, aku tidak mampu membaca papan tanda di sana kerana semuanya ditulis dalam bahasa Thai. Aku terus memikirkan tentang kepelbagaian bahasa di negara sendiri sehingga semua bahasa nak disumbat di papan tanda tanda keharmonian kaum. Tapi tidaklah harmoni sangat pun. Tidak pula terdapat sekolah vernakular Sekolah Tamil, Cina dan lain-lain. Tak ada pulak bantahan oleh orang-orang Cina di sana. Mungkin mereka sama seperti Indonesia yang menjadikan bahasa rasmi adalah Bahasa Indonesia dan Thai tanpa memberi penekanan hal-hal remeh dengan pelbagai bahasa sehingga lemak naik ke muka.

5.  Bermula dari Simpang Pattalung ke Pekan Golok, berbelas-belas Sekatan Jalan Raya (SJR) pelbagai bentuk oleh tentera Thai dengan kubu pasirnya, penghadang kayu, dawai berduri, besi bercabang dan tiang kayu meninggi. Semuanya menimbulkan rasa gerun kita yang melaluinya. Apa yang terlintas di kotak minda ini adalah alangkah bersyukurnya kita menjadi rakyat Malaysia yang aman dan damai jika nak dibandingkan dengan rakyat di Selatan Thai. Bom dan letupan peluru menjadi kebiasaan. Tentera di mana-mana saja mengawal keadaan mengambil tugas polis. Bangsa Melayu yang menjadi tanah tumpah darahnya umpama hidup berdinding tembok penjara dek penangan prasangka pihak keselamatan terhadap pihak Pemisah Selatan Thai yang kesemuanya berbangsa Melayu Islam. Majoriti yang menjadi minoriti akibat ketiadaan kuasa. Bangsa Melayu di negara ini sedang menjemput suasana yang sama untuk sama-sama merasai penderitaan sebangsa. Masjid Kerisek di Pattani yang saya sempat singgah hanya menjadi simbol kebangkitan Bangsa Melayu Islam Selatan Thai dan peristiwa pembunuhan beramai-ramai Melayu Islam Thai di Takbai, Narathiwat beberapa tahun yang lalu terus menghantui masyarakat Islam di sana. Alangkah kasihannya mereka dan semoga kita dijauhkan dari musibah seperti itu.

6.   Akhirnya setelah puas berpusing, aku menemui jalan keluar dibantu GPS yang kadangkala mengelirukan aku. Melepasi pekan Rantau Panjang ke Kota Bharu, aku melihat papan tanda yang tertera gambar Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) dan di sebelahnya ditulis perkataan “LEBUHRAYA RAKYAT”. Terus aku bingkas dan terpantul perkataan patutlah rakyat dia sayang. Lebuhraya rakyat walaupun sebenarnya BN juga membinanya namun di tulis “SATU LAGI PROJEK BN”. Benda serupa tapi berbeza konotasi dan mempunyai perbezaan persepsi. Satunya seolah-olah menjuarakan rakyat dan satu lagi seperti ibubapa yang mengungkit jasanya pada anak-anak. Salah siapa jika rakyat benci?

7.  Aku menginap di Hotel Raudah Kota Bharu yang dulunya adalah Hotel Ansar. Selesa jugalah bagi aku yang bukan orang berharta. Senang makan minum dan hampir dengan tempat-tempat membeli-belah. Lagipun minat dan sasaran aku aku adalah buku. Aku tekad untuk mencari sebanyak mungkin buku-buku kegemaran aku termasuk falsafah, motivasi, analogi dan politik. Hampir 20 buku kesemuanya sempat dibeli. Alhamdulilah  berjaya juga aku temui di beberapa kedai buku di Negeri BUMI HIJAU. Yang pasti setiap malam akan kucari Nasi Dagang berlauk ikan dan Colok kelapa dibalut cili. Sebelum tidur pastinya telur separuh masak dan roti bakar. Hebat di sini hingga lewat malam masih berniaga makanan. Jika ke sini tak ke Wakaf Che Yeh Uptown terbesar dan paling meriah tidak lah datang Kelantan katanya. Memang itulah rutin di sini. Seperkara lagi di Kelantan, hujung minggu ramai membawa keluarga beriadah di Pantai dan tempat berkelah. Semasa di Pantai Irama Bachok, kebetulan ada pesta wah ramai sungguh.

8.  Pagi Jumaat disangka hari cuti, lambatlah nak turun hotel. Turun saja tengok dah penuh orang ramai depan hotel yang dipanggil Medan Ilmu. Rupanya ada Kuliah Mingguan TGNA. Memang ramai orang-orang dan pengikut yang dipercayai penyokong PAS. Namun, walaupun namanya Kuliah Mingguan (Kuliah Agama), pengisiannya tetap sama iaitu kempen politik dan kata mengata yang bersulam hadis dan Al-Quran. Lokasi TGNA betul-betul dibucu Kedai Buku Jaffar Rawas paling top menjual buku dan banyak buku aku beli di situ. Mengatapun tak apa asalkan ianya dari mulut TGNA.

9. Hari ke3 di sana aku ke Pekan Rantau Panjang untuk melihat bazar jualan di situ. Ramai bukan kepalang orang ke sana. Panasnya Tuhan saja yang tahu. Akiu sempat membeli 10 keping VCD/CD dikir barat sebab sedap pulak dengar. Bolehlah beli 10 keping baru RM50 kerana yang ‘pirate’. Tak pula datang KPDNKK merampas. Mungkin TGNA kata biarlah orang membeli bukan haram di sisi Allah. Kita di sini pantang lepa nak dirampas walhal yang membeli tu sebab yang oroginal mahal sangat. Penguatkuasa pun guna yang ‘pirate’.

10.  Hari Sabtu pun hari cuti dan ianya hari aku nak pulang ke Jitra. Sama seperti Jumaat yang cuti, Sabtu pun MPKB saman juga. Ingatkan Negeri Kebajikan tak lah kuat sangat deraannya. Tak apalah.. mungkin tak cukup duit nak urus negeri. Kesian juga dah tak cukup apa  lagi nak dicari kalau bukan rakyat yang perlu mengkebajikan duit ringgit bantu kerajaan.

11.  Sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke Jitra melalui Selatan Thailand, suasananya sama seperti semasa datang dengan SJR berbelas-belas. Namun, aku tetap memilih laluan ikut negara tersebut ke Kelantan memandangkan jalannnya tidak berbukit bukau dari Baling ke Grik dan Jeli. Nyaman dan tenang sekali memandu keadaan seperti itu.Aku sempat singgah membeli makanan sekali lagi di Sakom Beach, Pattani di tepi pantai. Walaupun sudah petang, peniaga dan pelanggan tetap ramai. Mungkin harga dan jualan yang menepati kehendak pelanggan. Sampai di Danok di sempadan Bukit Kayu Hitam sudah hampir maghrib. Sebelum balik singgah di Lye Huat Garden untuk solat Maghrib. Kedai makan semuanya dah bankrup dan bilik air dan surau (musolla) umpama bangunan tinggalan hantu dan jin yang kotor dan bersepah. Itulah negara ku dan negeri ku yang TERCINTA.

12. Sudah sedozen paragraph bermakna noktah sudah dipahat untuk catatan aku bertajuk “Travelog Bumi Hijau” yang menepati bumi diperintah Bendera Hijau Putih kebanggaan PAS. Semoga ada yang terselit dapat dikongsi serta dijadikan iktibar. Yang baik dari Allah swt dan yang salah itu dari saya juga supaya dimaafkan salah dan silap.

Wallahualam

HNBK