Pemimpin Bazar Ramadan

As-Salam

1.  Ketika ini dunia sedang dilanda krisis kepimpinan yang tenat tidak kira di bumi mana kamu berdiri. Krisis yang melanda tanpa henti ini berpunca daripada sikap tamak dan tidak kenal erti kepimpinan samada kelayakan untuk memimpin itu sudah dimiliki ataupun sebaliknya. Maka apabila keadaan ini sudah tidak diketahui bahawa ianya merupakan masalah, sudah pasti masing-masing membiarkan ia terus membiak tanpa kawalan. Ianya tidak ubah seperti Bazar Ramadan yang datang setiap tahun di mana peniaga-peniaga mee segera muncul tanpa kawalan dan pemantauan pihak berwajib sehingga yang memasak maggie dan merebus air di rumah pun jahil sudah bergelar taukeh murtabak, kebab, ikan bakar, sup ayam, roti john dan roti awang, nasi berlauk dan nasi dagang serta bermacam lagi. Terjadilah keadaan di mana lebih banyak peniaga dari pembeli dan tidak kurang juga situasi di mana banyak yang cirit-birit dan muntah angin memakan masakan yang bukan masakan tetapi sisa buangan yang memulas dan menjerut tali perut.

2.  Dunia telah diselubungi masalah terlalu banyak yang berangan dan bermimpi menjadi pemimpin dari dipimpin, ramai yang merasa sudah bergelar pemimpin walaupun sebenarnya bertongkat dan terketar-ketar dipimpin, terlalu banyak yang terjerit-terlolong memberitahu dunia dia pemimpin walhal sezarah jasa dan khidmat tidak kelihatan. Rakyat terus menonton teater, lakonan, wayang kulit dan wayang tongkol “Pemimpin Jadian’ ini dengan rasa jengkel dan menyampah sehingga kebencian dan kemarahan itu bagaikan ‘api dalam sekam’ yang terus membara dan ketika disedari sudah ranap menyembah bumi dengan segala isi di dalamnya.

3.  Tidak pernahkan mereka-mereka ini menyedari apakah pengertian pemimpin yang sebenarnya? Adakah mereka tergolong dan digolong dalam kategori tersebut? Prof Rustow mendefinisikan kepimpinan dengan maksud “Leadership is a process of complex mediation between the leaders’s personality, the followers’ expectation, the circumstances and set of goals.” atau dalam Bahasa Malaysiannya ialah “Kepimpinan adalah satu proses pengantaraan yang rumit antara peribadi Sang Pemimpin, harapan orang yang dipimpin, keadaan sekeliling serta serangkaian matlamat yang hendak dituju.”

4.  Penganalisa ilmu jiwa ataupun psychoanalyst bernama Jules Masserman tanpa bersembunyi walaupun bukan beragama Islam lantang memuji Nabi Muhammad saw dengan kata ” Leaders must fullfill three functions, provide for the well being of the led, provide a social organization in which people feel relatively secure, and provide them with one set of beliefs. People like Pasteur and Salk are leaders of the first sense, People like Ghandi and Confucius, one hand, and Alexander, Caesar and Hitler, are leaders in the second and perhaps the third sense. Jesus and Buddha belong in the third category alone. Perhaps the greatest leader of all times was Mohammed who combined all three functions. To a lesser degree, Moses did the same”. Menterjemahkan kembali kata Masserman, “para pemimpin mestilah memenuhi tiga fungsi, pertama, memberikan kesejahteraan kepada orang yang mereka pimpin; keduanya mewujudkan sebuah organisasi sosial (satu sistem bermasyarakat) yang memberikan rasa selamat kepada para anggotanya; dan ketiga memberikan para pengikutnya satu sistem kepercayaan. Tokoh-tokoh seperti Pasteur dan Salk adalah pemimpin yang termasuk dalam golongan kedua dan mungkin yang ketiga. Jesus(Nabi Isa) dan Buddha termasuk dalam golongan yang ke tiga saja. Barangkali yang paling agung di seluruh zaman ialah Nabi Muhammad yang sekaligus memenuhi ketiga-tiga fungsi tersebut. Demikian pula halnya dengan Moses (Nabi Musa) tetapi tridaklah seagung Nabi Muhammad”.

5.  Jika tokoh-tokoh yang terkenal dan agung masih jauh ditinggalkan Nabi Muhammad, maka yang masih ditahap ‘serdak’, biang keladi, angan-angan Mat Jenin dan gila talak wajar mengkaji semula apa yang dirasa, difikir, diintai dan diusahakan demi mengelakkan ‘TRAGEDI’ muncul dari kerak bumi dan celahan awan dari langit.

6.  Jika kita pemimpin, kita harus mempunyai ramai pengikut. Berapa ramaikan pengikut yang ada bersama-sama kita? Jia ada segenggam dan sejemput itu juga sejauh mana kesetiaannya kepada kita? Jika kita pemimpin, adakah karisma kita sudah terpasak dalam diri kita sehingga memukau mereka yang berhajat dipimpin? Jika kita pemimpin, bakat apakah yang kita kendung? Strategi apa yang kita ada untuk berdepan dengan pencabar dan musuh dalam dan luar parti? Jika kita pemimpin, sudah celik kah kita dengan IT dan isu-isu semasa? Adakah telinga kita sudah cukup responsif dengan masalah rakyat? Tawadduk kah kita apabila kita mendepani masalah rakyat dan ketika bersama rakyat? Jika kita pemimpin, amanah dan kejujuran kita kepada rakyat di takuk mana? Bagaimana dengan daya juang kita jika perkataan ‘Putus Asa’ sentiasa membasahi bibir kita? Tahap mana kekuatan kita dalam parti dan di luar parti?

7.  Jika soalan-soalan yang hanya sebahagian dari bekalan pemimpin ini masih belum terjawab atau hanya mampu menjawab dalam hati, atau bukan menjawab tetapi mengelak, ada baiknya MUHASABAH yang sebenar-benarnya dengan penuh ikhlas dibuat dan mencari laluan pintas untuk berundur demi kemunculan pemimpin yang didambakan rakyat bersila dengan berkat.  Kita bukanlah pemimpin yang datangnya dengan mukjizat dan juga dijauhkan pula dari sihir yang jahat. Apa yang dihambat adalah pemimpin yang dekat dengan rakyat dan tidak menjadi pemberat kepada rakyat.

Wallahualam

HNBK

Advertisements

Setelah Kuasa Menelan Kuasa

As-Salam

1.  Istilah kuasa telah digunakan oleh ramai pemikir politik di zaman silam dengan mengaitkan konsep tersebut kepada kuasa mutlak yang dimiliki pemerintah. David Easton saintis politik dari Kanada mendefinisikan kuasa sebagai satu kebolehan yang dipunyai oleh seseorang individu atau kumpulan, dan kebolehan ini menjelma apabila mereka mempengaruhi individu atau kumpulan yang lain untuk memenuhi kehendak orang atau individu yang dipercayai mempunyai kuasa. Oleh yang demikian, kuasa sering kali dianggap sebagai satu kebolehan memaksa orang lain berbuat sesuatu ataupun untuk menjayakan sesuatu rancangan mengikut naluri seseorang walaupun ditentang. Ia juga boleh dikatakan satu keupayaan yang berpunca daripada hak dan kedudukan istimewa untuk mengawal tabiat dan kelakuan masyarakat secara langsung atau tidak langsung. Secara keseluruhannya, maksud kuasa ialah kebolehan menyatakan sesuatu dan memaksa untuk berbuat sesuatu kerana takutkan kuasa.

2.  Politik pula didefinisikan sebagai seni dan ilmu untuk meraih kekuasaan secara konstitusional dan non-konstitusional  yang merujuk kepada semua langkah politik yang sesuai dengan aturan undang-undang  yang berkuatkuasa di sesuatu negara.  Dalam erti kata lain, politik adalah hal yang berkaitan dengan penyelenggaraan pemerintahan dan negara. Namun demikian, masyarakat pada umumnya melihat politik tidak lain daripada pertarungan untuk  merebut kekuasaan.

3.  Daripada definisi kuasa dan politik di atas, kita dapat merumuskan bahawa ianya terlalu akrab dan saling bertaut antara satu sama lain dan apa yang dapat disimpulkan, sukar bagi makhluk bergelar manusia menolak keghairahan berkuasa dalam meniti titian kehidupan. Hanya manusia yang dipasak  iman dan taqwa, prinsip dan jatidiri yang utuh dapat menepis kekuasaan yang membezakan antara nasib yang berkuasa dan dikuasai. Walaubagaimanapun, kuasa bukanlah dosa jika dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama dengan bertunjangkan Islam yang membawa rahmat kepada bumi dan langit serta isinya.

4.  Di negara ini, kuasa dan politik telah menjadi umpan yang paling laris di pelantar jual beli ketika ini demi bergelar penguasa dan pemerintah. Keutamaan tidak lagi ditegakkan kepada agama, bangsa dan kepentingan tanahair. Yang penting adalah umpan yang dipasang akan mengena mangsanya sebanyak mungkin sehingga Machiavelli umpama Tuhan. Falsafah Machiavelli bagaikan wahyu buat manusia-manusia yang kebulur pangkat dan kuasa. Bagi mereka, “Matlamat menghalalkan cara”. Mangsanya yang diumpan pula adalah rakyat jelata yang terlalu merindui pemerintahan ‘Ideal’ sedangkan konflik masa kini yang mencengkam kita adalah ‘Idealism vs Reality’. Dengan peluang yang terbentang inilah semua pihak yang bertarung menjadikan JANJI sebagai senjata dan perkakas memancing rakyat untuk memihak kepada mereka. Dari rumput di padang sehinggalah cakrawala di langit turut tersenarai di papan bursa saham yang diintai rakyat.

5.  Namun, apakah realiti yang membungkam negara dan rakyat ketika ini? Realitinya, kuasa ekonomi tidak perlu dipertikaikan lagi adalah milik bukan Melayu dan orang Melayu sendiri mengakui hakikat ini. Sementara kuasa politik pula tinggal sebagai retorik yang berdengung siang dan malam tanpa henti masih dipeluk oleh orang Melayu sedangkan realitinya adalah “Kuasa ekonomi telahpun menelan kuasa politik yang sebelum ini masih berbaki”.  Kuasa politik yang selama ini menjadi satu-satunya tempat berpijak orang-orang Melayu dengan angan-angan yang enak bahawa ‘walaupun ekonomi kita lemah, tetapi kuasa pemerintahan tetap dalam tangan orang-orang Melayu selama-lamanya” mulai menjadi pudar dan tergugat. Orang Melayu masih mengambil aspek negatif dari falsafah “rezeki secupak tidak akan jadi segantang” sehingga meletakkan orang Melayu dalam realiti demikian sekian lamanya.

6.  Selepas Merdeka, kemutlakan pimpinan politik Melayu mula tergugat dengan kelonggaran syarat-syarat kewarganegaraan berdasarkan jus soli dengan amalan demokrasi ala Westminster. Menurut Mustapha Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang terlibat sebagai panel dalam Simposium Kepimpinan Melayu – Dari mana ke mana? selama seminggu ini dari 8-15 Disember 1976 di Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Kuala Lumpur,  “Corak perlembagaan dan sistem politik selepas merdeka membuka persaingan kempimpinan politik Melayu dengan orang-orang bukan Melayu. Dalam proses persaingan inilah pengaruh dan kekuatan politik Melayu (serta kempimpinannya) semakin merosot”.  Ketika ini, PAS merupakan salah satu parti komponen Parti Perikatan yang kini dijenamakan Barisan Nasional (BN).  Musthapa Ali turut mengemukakan pertanyaan secara tidak langsung, “suara bangsa Melayu dalam parlimen sekarang tidak sampai dua pertiga. Ini bermakna pindaan perlembagaan untuk kepentingan orang Melayu tidak akan dapat dilakukan tanpa sokongan orang bukan Melayu”.

7.  Menurut bancian terakhir ketika simposium ini dibentangkan, penduduk semenanjung Malaysia berjumlah 10.3 juta orang dan dari bilangan itu, hanya 53% orang Melayu. Penduduk Sabah dan Sarawak berjumlah 1.5 juta orang dan daripadanya hanya 40% orang Melayu. Pertambahan penduduk bukan Melayu pula lebih pesat berbanding Melayu. Tendensi ini akan membuktikan kebenaran ramalan Lee Kuan Yew semasa Singapura masih dalam Malaysia kira-kira 12 tahun lalu bahawa kepimpjnan politik Malaysia hanya akan berada di tangan orang Melayu untuk selama 30 tahun daripada masa itu (1964).  Malaysia kini (2010) mempunyai jumlah penduduk kira-kira 28.908,795 orang termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan berjumlah 2,880.812 orang (9.97%). Ini bermakna jumlah penduduk di Semenanjung Malaysia ketika ini hanya berjumlah 26,027,983 orang. Daripada jumlah besar 28.9 juta orang itu, 2,123,830 (7.35%) orang adalah bukan warganegara. Bumiputera 17,947,371  (62.1), Melayu 14,749,378 (51%), Bumiputera lain 3,197,993 (11.1%), Cina 6,520,559 (22%), India 1,969,343 (6.81%) dan lain-lain 347,692 orang (1.2%). Dimanakah ketuanan Melayu yang sering digemakan?

8.   Ketua Dewan Pemuda PAS itu kemudiannya mengemukakan perangkaan keanggotaan Dewan Rakyat dengan membandingkan bilangan orang Melayu dan bukan Melayu. Campuran kerusi Dewan Rakyat yang diduduki PAS dan UMNO adalah 75, manakala campuran ahli-ahli Dewan Rakyat berbangsa Melayu dari Sabah dan Sarawak ialah 16. Jadi seluruh ahli Dewan Rakyat terdiri dari 91 orang dan yang bukan Melayu 63 orang. Ini berarti bahawa suara Melayu di Dewan Rakyat tidak sampai dua pertiga dan implikasinya ialah bahawa orang Melayu sendiri sudah tidak mempunyai kuasa untuk meminda Perlembagaan negara. Mustapha Ali memperkukuhkan dakwaannya dengan berkata penduduk Melayu di Pulau Pinang sekarang hanya 28% dari jumlah penduduk pulau itu seluruhnya. Jika ada tahun 1976 kedudukan orang Melayu dalam parlimen sudah tidak sampai dua pertiga dengan gabungan UMNO dan PAS, cuba kita bayangkan keadaan UMNO ketika ini?  Kedudukan kerusi parlimen berjumlah 221 itu hanya dimenangi oleh BN dengan jumlah 137 (61.9%), PR 75 (33.9%) dan Bebas 9 kerusi (4.07%).  UMNO hanya mampu meraih 78 kerusi (35%), MCA 15 (6.8%), MIC 4 (1.8%), PGRM 2 (0.9%), PRS 6 (2.71%), SUPP 5 (2.26%), PBB 14 (6.33%), PBRS 1 (0.5%), LDP 1 (0.5%), SPDP 4 (1.8%), UPKO 4 (1.8%), PBS 3 (1.36%) manakala Pakatan rakyat (PR) pula didahului DAP 29 (13.1%), PAS 22 (9.95%), PKR 23 (1.4%) dan PSM 1 (0.5%) sementara Bebas pula adalah SAPP 2 (0.9%), KITA 1 (o0.5%) dan tiada parti 6 (2.71%). Dengan angka 35% kerusi di parlimen seperti ini, jika UMNO atas tiket Melayu bersendirian tanpa PAS berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu, ianya ibarat Melayu sudah HILANG DI DUNIA Melayu dan bagaikan apa yang diungkap oleh Almarhum Aminudin Baki “Pimpinan politik Melayu mestilah lebih tegas berusaha agar itik di air jangan sampai mati dahaga dan ayam di kepuk jangan sampai mati kebulur.”  Jika keadaan sudah terlalu parah, orang botak bertambah botak, yang beruban bertambah uban jika terus menerus berfikir bagaimana merungkai benang yang kusut. Akhirnya, kita akan mendengar lantunan suara Dr Burhanuddin Al Helmy tentang cerita Pak Kadok yang sinonim dengan kata-kata ‘menang sorak kampung tergadai’.

9.  Sudah sampai masanya bangsa Melayu memiliki hala tuju yang jelas dan corak kepimpinan yang tegas dalam menghadapi asakan dan tekanan bangsa bukan Melayu yang kian terbuka dan biadap. Dalam simposium Kepimpinan Melayu – Dari mana ke mana? Pada tahun 1976, iaitu sudah 36 tahun berlalu Almarhum Ust. Fadzil Nor bertanya hadirin yang duduk-bersempit-sempit di hadapannya di Dewan Kuliah F, Universiti Malaya, “Apakah hala kepimpinan Melayu sekarang? Pertanyaan itu dijawabnya sendiri “Hala pimpinan Melayu sekarang ialah tak tentu hala.” Retorika seperti inilah yang menyebabkan hadirin gelak ketawa. Kita tidak lagi mampu berdepan dengan kebiadaban dan asakan sistematik bangsa bukan Melayu hanya ‘bersenjatakan senapang patah, sedangkan orang lain membawa meriam’. Apabila tindakan-tindakan kepalsuan sudah mencapai tingkat yang militan, maka tindakan menegakkan kebenaran mestilah juga dilakukan secara yang lebih berkesan. Tetapi agak malang apabila pemimpin Melayu yang ada kerap melenting bila ditegur. Pemimpin Melayu harus lebih terbuka berdepan dengan bangsa sendiri jika ingin mengubah keadaan dan sayangkan bangsa dan tanahair kita. Kata-kata kita bukannya “otoritas wahyu” yakni Al-Quran  sehingga tidak boleh diusik barang sedikit. Amukan dan lentingan kemarahan janganlah sehingga menjatuhkan maruah bangsa sendiri kerana pemimpin yang dihormati adalah memiliki unsur pendita yang arif berfikir dan jika sebagai pendekar jangan pula memencak sehingga kehilangan keris.

10.  Sifat kepimpinan yang sejati ialah “cinta tulin kepada umat, sabar dan sedia memaafkan” iaitu salah satu sifat kepimpinan yang ada pada Nabi Muhammad saw.  Mahathir Mohd  Khir berkata “Satu penyakit orang Melayu sekarang ialah kecenderungan untuk over-react terhadap sesuatu perkara sehingga perkara yang serius menjadi bahan ketawaan”. Sesuatu isu yang dimiliki dieksploitasi sehingga kadangkala menimbulkan rasa muak dan jeli di kalangan rakyat. Sangkaan mereka sering meleset apabila yang dibenci rakyat disangka sebaliknya sedangkan apa yang digemari rakyat pula tidak dipedulikan. Dalam keadaan ini, maka akan muncullah “Pemimpin yang dikatakan cerdik tak dapat diikut dan bodoh tak dapat diajar”.  Pemimpin jenis ini jugalah yang dikatakan “ibarat kerbau songsang, dikemudiankan dia menanduk didahulukan dia menendang.” Jika inilah keadaannya, mana mungkin rakyat rela menjadi pengikut? Di hadapan ditanduk, di belakang pula di tendang.

11. Oleh kerana itulah untuk menjadi pemimpin yang efektif dan hebat , kemampuan mendepani masalah menjadi titik-tolak samada beliau layak memimpin atau sekadar dipimpin. Kita seringkali dipamirkan dengan ketokohan pemimpin yang cukup dhaif dalam menangani masalah. Bagaimana mereka mampu untuk menangani masalah jika kaedah mengatasinya juga tidak diketahui hujung pangkalnya. Dr Mohd Noor Ghani telah menerangkan cara-cara menghadapi masalah dengan berkata, “Ramai orang menyangka bahawa menghapuskan masalah sama ertinya dengan menyelesaikan masalah. Sangkaan atau tanggapan seperti itu adalah salah. Dalam pentadbiran atau kepimpinan, sesuatu masalah yang timbul bukan semestinya dihapuskan sebaliknya mestilah diselesaikan. Kalau sesuatu masalah itu hendak dihapuskan maka ini bererti ibarat menahan atau mengelakkan bisul tumbuh di tangan tetapi dia akan timbul di kaki. Tetapi jika sesuatu masalah itu diselesaikan maka ini bererti masalah itu dikaji dari segi ‘hukum sebab-akibat’. Jika sebab musabab timbulnya masalah bisul di tangan sudah diketahui, maka sudah tentu secara tidak langsung kita akan tahu cara mengelakkannya agar jangan sampai kaki pula yang menjadi mangsa stelah bisul di tangan itu dapat disembuhkan”. Oleh yang demikian, kita harus berlaku adil pada diri sendiri, rakyat, bangsa dan negara kita. Adil di sini sudah pastilah berkaitrapat dengan kata-kata “meletakkan sesuatu kena pada tempatnya”. Alangkah tidak sesuai meletakkan si buta huruf dan seseorang yang tidak tahu menulis menjadi Presiden Persatuan Penulis ataupun mengangkat penjenayah menjadi Hakim di mahkamah.

12.  Jerat-jerat penghidupan di abad ini kian bertambah termasuk LGBT, Pluralisma, Fasisma, Komunisma yang masih berakar, peningkatan kadar jenayah dan bermacam lagi. Hanya pemimpin yang istimewa dan efektif mampu menguruskan masalah-masalah besar dan tidak mungkin pemimpin yang dibelenggu masalah akan mampu menguruskan masalah orang lain dan rakyat. Jurang pemisah antara rakyat dan pemimpin harus ditimbus untuk merapatkannnya. Negara ini masih tidak ketandusan pemimpin tetapi haruslah dijelmakan mereka dari hati yang luhur dan ikhlas. Sepertimana munculnya Bendahara Melaka yang tersohor Tun Perak yang memimpin Melaka dengan cemerlang selama kira-kira 50 tahun. Sultan Muzaffar Shah ketika itu (1446-1459) sedar akan satu pepatah Cina “Naga tidaklah patut tinggal di dalam kolam.” Kelang adalah kolam kepada kebolehan Tun Perak yang sebelum dilantik sebagai Bendahara merupakan penghulu di kelang. Kebolehan mengetahui saikoloji manusia inilah sebagai anak kunci memimpin manusia dan Tun Perak telah mendapatkannya. (Raja Mohd Affandi  (1974), Tokoh-Tokoh Melayu Yang Agung Dalam Sejarah, DBP, Kuala Lumpur). Oleh yang demikian, lahirkanlah pelapis pemimpin yang bertaburan di segala ceruk rantau bumi Melayu ini dan jangan dibiarkan naga berenang di kolam. Bawalah ia ke samudera yang luas untuk menggegarkan dasar lautan.

13.  Walaupun kita terdesak mencari pemimpin, seperkara yang harus diingat ialah, jangan pula kita terperangkap dalam permainan musuh sehingga ‘keluar mulut harimau dan masuk semula ke mulut naga’. Salah percaturan maka kita akan binasa. Jerangkap samar di mana-mana. Sejarah sering mengulangi episodnya dan kata-kata Lord Macaulay Bangsawan Inggeris di penghujung abad ke 19 WAJIB diingat. Beliau berkata “We must do our best to form  a class of people who may be interpreters between us and the millions whom we governed, a class of persons Indian in blood and colour but English in taste, in opinion, in moral and in intellect. Dalam Bahasa Malaysianya ” Kita mestilah berusaha dengan sekuat tenaga untuk mewujudkan satu kelas yang boleh menjadi pentafsir antara kita dan berjuta-juta orang yang kita perintah iaitu segolongan orang yang darah dan warna kulitnya masih lagi bersifat India, tetapi fikiran, akhlak dan kecerdesannya bersifat Inggeris”. Kata-katanya itu merujuk detik British menjajah India tetapi pemikiran dan dasar mereka tidak hanya tertumpu di sana bahkan menjadi dasar penjajahan yang membantu mereka terus kukuh di minda bekas tanah jajahan.  Makhluk-makhluk yang disebut oleh Lord Macaulay masih berkeliaran dan menunggu masa merebut kerusi untuk bertakhta.

14. Janganlah sampai kita membiarkan keadaan di mana keinginan menjadi pemimpin itu luntur di kalangan rakyat yang berkemampuan, berwibawa dan ikhlas membantu bangsa, agama dan tanahair. Suasana kepimpinan yang begitu muram dan memikirkan masalah yang dihadapi begitu menimbun dan tidak putus-putus, merunsingkan fikiran dan menyedihkan perasaan mungkin menyebabkan orang enggan menjadi pemimpin sebaliknya yang bersedia menjadi pemimpin adalah kerana dorongan tamak haloba atau opportunisma. Ketika itu, tinggallah pemimpin yang perlu dipimpin terkial-kial mencari tongkat yang telah diprogram untuk mengawal kepimpinannya. Kita tidak memiliki pemimpin yang memiliki kuasa mukjizat seperti yang ada pada nabi tetapi kita harus tegak berdiri mempertahankan pemimpin yang harus memimpin kita demi kelangsungan bangsa, agama dan tanahair.

15.  Kita tidak harus terkeliru dengan mainan antara sihir dan mukjizat. Bila perspektif kita sudah keliru, maka antara akibat yang akan timbul adalah kehilangan keseimbangan dalam mengukur kekuatan dan kelemahan diri sendiri dan kesilapan tanggapan dalam mengukur kekuatan dan kelemahan musuh, baik yang berada di dalam mahupun di luar selimut. Jika kekeliruan sudah bermaharajalela, sampailah saatnya liang lahad digali, dan TALQIN dibaca buat kali terakhirnya Kita tidak lagi mampu menjelaskan apa, kenapa, bagaimana, bila, siapa dan di mana silapnya kita. Kita akan berenang dalam kolam kata-kata untuk menafsirkan masalah ini sehingga akhirnya lemas sendirian.

Wallahualam

HNBK

Bila yang dipimpin senang dikawal dan yang memimpin lupa daratan

As-Salam

1. Sebenarnya begitu banyak manusia yang melata di muka bumi sering menilai diri sendiri umpama hakim dan menjatuhkan hukuman ke atas orang lain bersalah dan dia sendiri tegak berdiri bagaikan malaikat putih tanpa dosa serta bijak mengatasi Einstein. Setiap kesalahan sendiri bagaikan najis yang dilempar kepada sesiapa saja di sekeliling asalkan tidak  melekat kepadanya. 

2. Undang-undang dan akta gubalan mereka dan wakil pilihan mereka sendiri menjadi perisai menutup kelemahan diri dan menjadikan penguatkuasa sebagai mangsa sembelihan. Misalnya jika anak perempuan mereka berumur lebih 21 tahun dengan rela dan sepenuh hati mengikut lelaki cinta hatinya, maka dengan enteng pihak polis disumpah seranah kerana dituduh tidak menangkap lelaki tersebut. Ini bukan soal kes penculikan, ini bukan soal penderaan, ini soal ‘civil case’ yang masih ramai menjadi pekak dan buta tetapi mengaku celik dan tidak pekak undang-undang. Wujud perbezaan jelas antara ‘criminal case’ dan ‘civil case’ di sini namun menjadi tabiat bangsaku termasuk yang bukan bangsaku selagi berada di bumi yang sama bernama Malaysia akan terus keras telunjuknya menuding jari kepada orang lain. Jika gagal merasionalisasikan apa yang dilontarkan, maka polis pula dikatakan tidak menangkap anak perempuan dan lelaki itu kerana melakukan kesalahan berkhalwat. Apakah tugas polis menentukan kesalahan khalwat? Ketika isu ‘ketum’ atau ‘biak’ meraja, pihak polis diludah ke sana sini dengan dakwaan gagal menangani isu ini. Apakah mereka tahu bahawa kesalahan memiliki dan menyalahgunakan daun ketum atau biak ini hanya berada dalam lingkungan Akta Racun? Undang-undang dan akta apakah yang boleh diguna untuk memuaskan hati rakyat jika kaki dan tangan diikat? Penguatkuasa hanya menguatkuasakan undang-undang sejajar dengan peruntukan undang-undang yang digubal Parlimen dan Dewan Undang Negeri oleh wakil pilihan mereka? Ketahui jugalah kekangan yang membaluti penguatkuasa dengan bertunjangkan sistem pemerintahan yang mempunyai cabang-cabangnya iaitu Legislatif, kehakiman dan eksekutif. Sistem pemisahan kuasa walaupun tidak mutlak seperti di negara seperti Amerika Syarikat, campurtangan antara satu cabang dengan cabang lain tidaklah semudah yang disangka.

3. Sudah tiba masanya wakil rakyat pilihan mereka dipersalahkan atas kegagalan meminda dan menggubal undang-undang mengikut selera mereka yang bertongkatkan nafsu? Perlembagaan Persekutuan undang-undang tertinggi negara juga tidak lepas dari manipulasi kelompok seperti ini yang menjadikannya benteng melindungi niat jahat yang terselindung dengan pelbagai hujah dangkal mengikut kepentingan masing-masing. Siapa kuat mendesak, mereka lah yang benar di atas kemampuan membina persepsi terhadap rakyat. Kebenaran bertukar tempat dengan desakan. Bangsa yang kuat mendesak menjadi juara dan pengikutnya muncul sebagai pecacai yang memusuhi bangsa sendiri dengan berbekalkan harapan menongkah kuasa.

4. Orang Melayu dan pemimpin Melayu jangan lah mudah terpedaya dengan sangkaan bahawa mereka telah mencapai kemajuan semenjak selepas merdeka. Jika kita merasa bahawa orang Melayu sudah mencapai kemajuan semenjak merdeka, maka kemajuan itu mestilah dilihat secara perbandingan dengan kemajuan yang dinikmati oleh bukan Melayu. Jika kita merasa maju kerana dulunya berjalan kaki dan sekarang berbasikal, maka kita janganlah lupa bahawa orang yang dahulunya berbasikal kini sudah memandu Honda. Dan jika kita merasa maju kerana dulu naik basikal sekarang menaiki Honda, maka janganlah kita lupa bahawa yang dahulunya menaiki Honda kini bersila panggung di dalam Mercedes.

5. Janganlah kita alpa dan lalai dengan alunan muzik yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Kita sudah hilang tumpuan dan tidak tahu ke mana arus politik kita sekarang sehingga menghanyutkan bangsa Melayu ke tengah lautan tak bertepi. Semuanya berpunca daripada sering dihadapkan pada alat-alat baru dengan lagu-lagu lama dan nada-nada songsang yang akhirnya meletakkan bangsa Melayu di takuk lama. Pimpinan politik Melayu sekarang lebih bercorak defensif sedangkan pimpinan politik bukan Melayu bersifat agresif sehinggakan sempadan yang memisahkan hak antara kaum sudah tidak wujud serta dilihat lebih memihak kepada bukan Melayu.  Bangsa bukan Melayu amat faham dan memanfaatkan sepenuhnya keadaan ini kerana menyedari bahawa “orang Melayu yang dipimpin senang dikawal dan orang Melayu yang memimpin pula sering lupa daratan”. Jika orang mengantuk disorong bantal maka janganlah pula bangsa Melayu menyalahkan orang lain sekiranya hak dan maruah bangsa diinjak dan dicela. Jika ada yang bertanya kepada saya apakah penyelesaiannya? Maka saya tidak akan memberi jawapan sebaliknya hanya akan melantunkan satu lagi soalan. “Apakah penyakit kepimpinan Melayu sekarang memerlukan  panadol ataupun Aspirin ataupun memerlukan pembedahan?”

Wallahualam

HNBK

Antara kurang masa dan kurang sihat

As-Salam

1. Tempoh tiga hari tiada catatan di blog umpama tiga hari minda berkubur. Sememangnya masa itu amat penting dan sedetik berlalu, tiada harga yang mampu membelinya kembali untuk berdiri di tempat asal. Sepertimana juga ‘KEPERCAYAAN’, yang mengambil masa bertahun untuk dibina, tetapi sesaat boleh musnah dan selamanya perlu dibaiki. Namun, KESIHATAN juga tidak mudah mengalah untuk berkata ia kurang penting berbanding MASA. Tanpa kesihatan yang baik, segalanya tidak menjadi umpama insan yang kaku dan beku membiarkan masa berlalu menanti detik hayat dinoktahkan.

2. Apapun hujah dilontarkan, kedua-duanya penting untuk dimanfaatkan demi kemaslahatan manusia bukan saja untuk diri sendiri, keluarga, saudara, teman dan taulan, hatta seluruh penduduk bumi. Kesibukan tugas tidak pernah lekang mendampingi namun jika kena dengan kaedahnya, masa dapat diurus dengan baik. Pengurusan masa melahirkan banyak pakar pengurusan yang menulis tentang hal ini begitu juga kesihatan membuka peluang kemunculan pakar-pakar kesihatan umpama cendawan tumbuh sehingga tidak sedikit yang menjadi mangsa penipuan sehingga ada yang menjadi lebih tidak sihat daripada sebelumnya.

3. Ketika KURANG MASA, ada ruang untuk aku berbicara dengan tinta, sedang detik KURANG SIHAT, tinta kontang dan kusam walaupun kedua-duanya sama penting dan berada dalam lingkaran LIMA perkara penting yang disabdakan Rasulullah s.a.w dan dikumandangkan oleh para hukamak dan ulama’ kemudiannya. Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

4. Setiap manusia samada yang hidup dan sudah meninggalkan alam yang fana ini, akan dan telah melalui kelima-lima perkara itu dan sekurang-kurangnya bagi yang masih melalui sisa kehidupan sedang merintis tiga daripadanya. Tiada manusia yang tidak pernah kesempitan waktu, sentiasa sihat dan tidak melalui proses penuaan walaupun kanak-kanak yang juga semakin tua dan tidak pernah berundur  umurnya sedetik. Kekayaan juga begitu subjektif kerana mungkin seseorang manusia itu tidak pernah miskin harta tetapi digumuli kemiskinan jiwa, miskin adab dan budi, miskin keberanian berdepan dengan kebenaran, miskin kasih sayang dan cinta, miskin ilmu dan sentiasa berada dalam lohong kegelapan walaupun sebenarnya berada di bawah matahari terik. Akhirnya kita akan memenuhi kelongsong lima perkara iaitu menemui penciptanya untuk diadili tanpa peguambela yang bergelar jaguh manipulasi, jaguh menunda saat berada di kandang pesalah dan jaguh memutar alam semesta.

5. Oleh kerana itulah aku hanya memetik dua perkara dari lima perkara iaitu kurang masa dan kurang sihat kerana manusia masih mampu menguruskan kedua-duanya walau sesulit mana sekalipun harus dilalui dan aku kecundang di tangan kurang sihat. Namun, untuk kaya sebelum miskin, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati hanya padaMu ya Allah aku berserah. Tragedi yang paling dahsyat dalam hidup seseorang adalah apabila dia tidak kenal siapa penciptanya, siapa dirinya, apa tujuan hidupnya dan di manakah destinasi terakhir yang akan menjadi persinggahannya.

Wallahualam

HNBK

Kebebasan di sebalik jeriji

o

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

1. Kebebasan tempatnya di luar bukan merengkok dalam penjara ciptaan manusia. Memenjarakan kebebasan samalah dengan penentangan terhadap usaha yang dibawa para Nabi, Rasul dan anbia untuk melenyapkan perhambaan di zaman jahiliah yang membunuh kemanusiaan itu sendiri. Janganlah kita menyuburkan lidah yang satu hingga bercabang-cabang dengan kata-kata mendokong kebebasan dan perjuangan menegakkannya jika setiap inci perbuatan kita hanya mendekatkan kita kepada kezaliman dan sekutunya.

2. Kebebasan tidak lahir dari kebencian dan kemarahan. Hadirnya para Nabi, Rasul dan anbia itu berkembar dengan kasih sayang walaupun ditentang dan dizalimi golongan mushrikin, kuffar dan munafiqun. Firaun itu menjadi simbol kezaliman dan kediktatoran yang kekal di minda manusia tidak kira agama apa kamu memeluknya termasuk atheis. Ia bukan saja mahu menjadi raja tetapi melangkaui sifat-sifat manusia dengan mengakui sebagai Tuhan kepada manusia di zamannya. Kata-katanya adalah undang-undang yang tidak betah disanggah dan menentang bererti memberi salam kepada malikul maut.

3. Perbedaan pendapat dan pandangan itulah rahmat Allah swt untuk memakmurkan bumi ciptaanNya. Dunia akan jumud dan kontang dengan pemikiran sehala tanpa disirami perbedaan yang memunculkan inovasi dalam kehidupan. Riuh-rendah kita berpekik akan ketamadunan tetapi disebaliknya kita kembali kepada zaman badawi berpindah randah bertemankan unta dan keldai yang tidak jauh beda dengan tuannya. Ketamadunan itu lahir dari perbedaan idea dan fikiran. Inovasi itu juga tumbuh dari rencamnya pandangan. Namun, perlukah perbedaan pandangan, pendapat dan idea itu dipenjara, dikurung dan dirantai sesuka hati kita sehingga kebebasan dipenggal dari tubuhnya? Semua manusia mempunyai alasan atas tindakannya termasuk diri mereka yang menjadikan kebebasan sebagai musuh. Oleh itu, apakah hanya kita berhak merengkuh alasan entah benar ataupun salah sedangkan orang lain dirampas haknya untuk bersuara demi sebuah kebebasan.

4. Tidak mungkin kita sentiasa berdiri atas paksi kebenaran dan yang lain itu menggondol semua kesalahan. Manusia itu lahir dengan serba kekurangan dan tidak lupa Allah memberi keistimewaan kepada mereka sehingga dinamakan sebagai khalifah di mukabumi ini. Kekurangan dan kelebihan itu sebenarnya akan berdiri dengan tindakan saling lengkap melengkapi. Pemimpin akan hilang keabsahan tanpa pengikut, ketua akan beku tanpa makna jika tiada yang mematuhi arahannya, dan raja akan berkubur tanpa rakyat. Sistem dalam negara tidak mampu wujud tanpa pemimpin, undang-undang, rakyat dan tanahair. Kesemua itu bukan milik seorang tetapi milik bersama termasuk kebebasan dan keadilan.

5. Jarak dan pisahkan diri dari kezaliman yang berputik dari api kebencian. Kehidupan hanya akan hidup dengan mempercayai hak orang lain untuk bebas membuat keputusan, longgar dalam berkarya, luas pendapat dan fikiran dan bersama menentang segala bentuk penindasan walaupun sekecil hama. Jangan pula kita belagak seperti pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang menyeru agar wujud kebebasan bersuara di negaranya yang di perintah tentera namun Rakhine Buddha tanpa belas kasihan membunuh dan merampas hak kaum Rohingya yang mencatatkan satu lagi tragedi yang mengingatkan kita akan pembersihan etnik Bosnia.

والله أعلمُ بالـصـواب

HNBK

20120922-215640.jpg

Pelakon

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

1. Sebaik saja berita utama di TV3 mengakhiri tempohnya malam tadi, Drama Melayu mula mementaskan laranya. Teman yang sama-sama menonton bingkas berkata “Pelakon ni 1st time aku tengok jadi alim pakai ketayap”. Aku tidak membalas kata-katanya, tetapi di dalam hati terus memintas “nama pun sudah pelakon, jangankan ketayap, jubah dan serban, berbogel juga ada yang sukar menolak. Hari ini jubah, serban, ketayap milik Zamri, esoknya berjurai di tubuh Rahim. Esok kerudung itu milik Sofiah, keesokannya di kepala Minah”. Watak dalam drama dan teater pelakon-pelakon itu bukanlah pemilikan tetap tetapi hanya ‘sewa beli’ yang akan ditentukan pengarah dan skrip pilihan. Hari ini ustaz dan pendakwah namun mungkin hari yang sama boleh bertukar menjadi kepala gangster dan bapa ayam. Semalam ustazah, hari ini ketawa mengilai-ngilai sebagai ibu ayam dan perempuan sundal.

2. Watak yang dihayati tidaklah indah seperti yang digambarkan. Ketawa berdekah-dekah dan berjoget terkinja-kinja di layar, tetapi di rumah tersendu-senda menangis mengenangkan nasib yang tidak menentu. Apa yang berlaku kepada Raja Pop Michael Jackson yang meninggal dunia akibat mengambil ubat mengandungi dadah berlebihan itu adalah sebahagian dari hiruk pikuk kehidupan selebriti. Di pentas menjadi tokoh korporat berjaya dan kaya raya dengan gelaran Dato’ Seri dan Tan Sri, tetapi di luar sana berkemeja T lusuh berseluar kaki di gerai kaki lima bertemankan kopi ‘O’ secawan.

3. Realiti kehidupan tidak semestinya mengikut telunjuk manusia. Malah apa yang dilakonkan dengan penuh penghayatan itu tidak mencerminkan kehidupan hakiki yang dipenuhi warna-warni. Tipu-daya lakonan itulah menyebabkan peminat tersungkur di pintu hotel hilang pakaian dan maruah diri dan tidak ketinggalan sesama artis juga mangsa-memangsakan. Yang bodoh menjadi makanan yang cerdik dan yang lemah adalah mangsa yang gagah.

4. Kebenaran sudah menguap keletihan menanti kepalsuan berhenti menjadi raja kehidupan. “Don’t believe everything you hear and only half of what you see.” Burulah jawapan dari segala jawapan itu dengan segala pancaindera kurniaan Allah swt dari hujung kaki hingga ke kulit kepala kerana di sebalik semua itu akan hadir hikmah dan rahmat yang tidak ternilai.

والله أعلمُ بالـصـواب

HNBK

20120922-092357.jpg

Kuman atau virus

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

1. Jasad kian lemah bergetar, kepala membenihkan kesakitan yang amat sangat. Hidung dan tekak perit dengan kepanasan yang luarbiasa. Urat dan saraf bagai diregang. Minda yang menjadi komponen utama menghidupkan kehidupan aku seakan pesakit jantung yang mendapat bantuan mesin terlentang kaku. Aku bukan doktor, bukan pakar perubatan dan farmasi. Namun, hati dan minda terus berkomunikasi mencari alasan mententeramkan jiwa yang kusut akibat penyakit yang datang.

2. Sintom penyakit yang membelenggu aku hampir 3 bulan tempohari seakan-akan menari-nari di hadapanku. Aku menyapa sambil bertanya siapa kamu? Virus atau kuman? Ringkas jawapannya seakan bola squash melantun-lantun ke muka aku berbunyi “Apa kamu tahu apa beda virus dan kuman?” Aku terus menjawab TIDAK kerana aku bukan ahlinya. Makhluk ini terus hilang dari pandangan.

3. Aku kecewa namun memahami tidak semua persoalan akan mendapat jawapannya bagi meredakan kekeliruan dan kekusutan lantaran sebuah episod ulangan yang menghampar permadani menyakitkan dalam tempoh tidak sampai 3 bulan. Jika yang menyenangkan sekalipun diulang-ulang akan menghadirkan kebosanan, ini pula yang diruntuni kesengsaraan. Aku redha akan semuanya demi hikmah yang tidak mampu aku lihat disebaliknya.

4. Tiba-tiba aku berfikir tentang VIRUS dan KUMAN yang hubungan antara duanya cukup erat tetapi mendapat layanan berbeda dari manusia iaitu KEADILAN. Aku mengerti dan akur virus tidak pernah henti dan menghukum manusia dengan pelbagai kaedah hukuman mengikut seleranya. Tetapi kuman juga apa kurangnya? Namun, aku lihat ketidakadilan teguh berdiri memasung virus dan melepaskan kuman bebas memulas, merengkuh dan melanyak manusia sepuas-puasnya.

5. Apa saja salah dan dosa, maka viruslah menjadi sasaran utama sedangkan antara kuman dan virus kedua-duanya sifir yang sama. Komputer rosak sedikit pastinya virus dipersalahkan. Komputer riba tersasul maka virus merah padam dimaki hamun. Telefon bimbit dan ‘gadget’ apapun bermasalah pastinya perkataan yang terpacul adalah VIRUS. Apakah benar virus punca segalanya? Telefon bimbit berharga RM100 pun menjadikan virus punca masalah. Jika telefon pintar mungkin juga ada asasnya. Itupun, banyak punca kegagalan berfungsi semua gadget itu disebabkan kejahilan manusia. Menggunakan tanpa henti tetapi tidak melakukan ‘reset’ pastinya mengakibatkan kegelongan sistem yang digunapakai. Jika semuanya virus, bila pula kuman akan popular?

6. Aku yang tersandar digodam ‘virus’ atau ‘kuman’ masih menganggap ianya kesilapan aku akibat kurang mengambil berat kesihatan. Jika inilah sikap manusia, aku rasa lebih bermanfaat ‘virus’ menukar namanya menjadi ‘kuman’ atau yang mengaut nada yang sama demi kebaikannya yang tidak berpenghujung dihentak dan dibentak. Virus memang bersalah tetapi tidak semuanya salah ‘virus’. Aku masih berperikemanusiaan terhadap kamu ‘virus’ dan harus ada belas kasihan engkau terhadap aku. Jika aku berperikemanusiaan atas kemanusiaan aku, seharusnya engkau berperikevirusan atas kevirusanmu..

7. Sebelum aku lebih teruk diresapi virus atau kuman, ubat dan antibiotik sudah ditelan, maka ucapan “Selamat Malam” aku layangkan.

والله أعلمُ بالـصـواب

HNBK

20120921-221426.jpg