DURIAN BERKULIT TIMUN

As-Salam,

1. Petang tadi sempat saya memerdekakan beberapa ungkapan yang terkinja-kinja di benak ini untuk dikongsi bersama-sama taulan dan teman di laman ‘facebook’. Semakin dipenjara semakin senak dan sesak minda dibuatnya. Melihat ilustrasi yang memaparkan puluhan wanita berduyun-duyun menjunjung buyung air menunggu giliran mendapatkan punca kehidupan setiap makhluk di bumi ini, hiba hati teramat sangat. Ada yang sesuka hati berjoli katak meraikan pembaziran air sedangkan di saat sama segelintir makhluk penuh harapan menadah tangan memohon rahmat dan ihsan Maha Pencipta untuk menitiskan air buat mereka. Alangkah pedih dan pilu jika timbal-balik antara dua keadaan di mana sekelompok manusia menagih air sedangkan di sebelahnya pesta air seperti ‘songkhran’ dan lokasi permainan air di lagun-lagun ciptaan manusia bersimbah-simbah air yang dikorbankan. Ini bukan soal menyentuh hak dan sensitiviti agama lain ataupun kedengkian bertahta di hati, namun sekadar merenung betapa kontranya antara insan dengan insan serta kasta dengan kasta lain berdasarkan strata sosial yang dipelopori kapitalis dengan wajah penyayang. Sememangnya difahami, ‘ketikadilan’ itu adalah rencam kehidupan.

2. Janji saya pada seorang teman ‘facebook’ dalam coretan sama cuba saya langsaikan sekarang berhubung ekspresi berbunyi ‘ durian berkulit timun’. Sesungguhnya, ungkapan ini bersifat analogi kekampungan yang sudah sebati dengan saya. Kecintaan saya terhadap analogi sering membawa saya melayari bacaan di mana-mana saja dan tidak pula keberatan untuk meminjam analogi mereka yang tidak lokek dengan pengalaman dan analogi yang menjadi khazanah ilmu tidak ternilai itu. Ekspresi ‘durian berkulit timun’ secara mudah merujuk kepada HIPOKRASI dan tindak-tanduk berkosmetik plastik yang menjadi budaya tegar dan bukan lagi luarbiasa dalam masyarakat sehingga banyak amalan baik kian pudar dan mungkin berkubur jika tidak dibendung.

3. Boleh saja untuk menjadikan hipokrasi sebagai amalan dengan syarat ketika sedih dan bermasalah tetapi masih mampu senyum dan membantu orang lain yang dipayungi masalah. Boleh untuk berhipokrit untuk membuatkan insan lain senang walaupun kita susah. Namun, semuanya hanyalah sesuatu yang ideal dan bukannya realiti kehidupan masa kini yang kian membarah dengan sikap kepura-puraan. Depan memuji belakang mengeji, di sisi senyum bertali-tali namun sedikit terselindung sudah mencebik, di mulut berjanji membantu tetapi di hati dan tindak-tanduk menghalang serta memuja fitnah dan dipenuhi umpatan yang melimpah-limpah. Inilah durian yang disaluti kulit timun. Menyembunyikan kebenaran demi impian menjahanamkan insan-insan lain dan matlamat utama adalah kepentingan diri .

4. Kata-kata “I can count on one hand how many people I truly trust” tidaklah menjadi terlalu prejudis lantaran persepsi yang dibina oleh makhluk di sekeliling kita dari sekecil busut sehingga menjadi gunung dengan keikhlasan, kejujuran, amanah dan semua sifat-sifat terpuji sudah dibenam ke kawah kumbahan bersama sesiapa saja yang memasang niat untuk mempertahankannya. Jika ada yang berkata bukan manusia yang dipercayai siapa lagi harus dipercayai? Jawapannya, “percaya dan yakinlah dengan Allah swt nescaya dihantarnya manusia yang manusia dan bukan manusia iblis, manusia jin dan manusia haiwan. Manusia itu insyallah akan Allah swt tuangkan kepercayaan ke dalam hati kita untuk mempercayainya.

5. Kepercayaan itu umpama kaca,sekali ia pecah, takkan sama seperti sebelumnya. Tidak salah untuk mengenali dan mempercayai sesiapa pun, yang penting jangan sampai ‘durian berkulit timun’ memenuhi kebun, belakang rumah, depan rumah dan atas rumah sehingga ke dalam kamar.

Wallahualam.
buyung
~ : hnbk :~

HADIRLAH TAUFIK

As-Salam,

1. Musim hujan dan musim banjir kilat bukan saja berbunga malah sudah menumpukkan masalah kepada mereka yang menderita kunjungannya. Setiap kali hujan, ramai yang tidak lelap tidurnya dan menunggu penuh debaran dengan telapak tangan menadah keampunan dari Allah swt agar tidak mencatatkan angka sebahagian dari statistik mangsa banjir. Sistem perparitan dan tebatan banjir masih kekal sebagai retorik yang hanya bergema ketika suara rakyat menakung dan melimpahkan kemarahan. Penggema RETORIK tahu bahawa tahap kepedulian rakyat mampu diredamkan dengan salam dan senyuman tanpa malu disulam sengehan pancaran gigi bersalut karat yang tajam.

2. Mungkin hasil kajian rambang yang dibuat mendapati bahawa masyarakat kita dilingkungi tahap kepedulian yang teramat rendah sehingga memerlukan papan tanda “habis kencing tolong siram” yang menjadi simbol kepedulian sifar lantaran air kencing sendiri pun masih perlu dikelola, dinasihati dan diawasi setiap kali.
Atau barangkali rakyat dianggap kecanduan melihat musibah terus bercempera mengejar mangsanya dan itu adalah sebuah jenaka yang dinanti-nantikan mereka?

3. Sememangnya ia terlalu mengganggu akal yang sihat untuk mempercayai bahawa masyarakat semakin dijangkiti penyakit mudah kenyang dan gampang diperkotak-katikkan dengan hanya sebakul ulam. Sementelah yang menerajui pula samada secara sedar atau pura-pura tidak sedar telah menular wabak pekak badak yang amat merbahaya buat rakyat yang suara-suara perihnya semakin sayup. Jika inilah keadaannya, tidak hanya manusia, haiwan dan tumbuhan juga harus bimbang akan kesannya kepada kehidupan yang akan mengakibatkan keseluruhan makhluk menerima bahananya. Apa akan jadi dengan mereka yang tidak terlibat dengan akar permasalahan ini? Orang lain yang salah dan jahat, tetapi mereka jugalah yang harus menanggung ongkosnya.

4. Janji tidak akan menjadi kenyataan tanpa tindakan susulan. Pihak yang minta dipercayai cuma dengan modal pengakuan dan bukan bukti hanyalah akan memancing protes daripada rakyat dan ini teramat tinggi risikonya untuk ditangani jika lahar merapi sudah meleleh dan mendidih. Jangan biarkan rakyat melihat tidak sepadan antara kata dan perbuatan. Jangan diremehkan sesuatu hal yang besar atas tanggapan sedang berurusan dengan gerombolan orang dungu. Sedangkan si-dungu jika dalam jumlah yang banyak jika tidak berhati-hati boleh mengundang malang, inikan pula rakyat yang kian terdedah dengan runtuhan ilmu dan berita dari langit terbuka. “Undang-undang memang telah menang, tetapi anehnya tidak ada pihak yang mau dikalahkan”. Inilah bahaya yang sebenar.

5. Wajib diingat tentang bahaya rasa takut. Ketakutan memang bukan modal yang baik untuk membuat keputusan. Ketakutan hanya menghamparkan permaidani merah buat pemimpin plastik yang sebenarnya sama tarafnya dengan yang dipimpin atau lebih merisaukan jika lebih rendah dari saf makmum. Rakyat memerlukan pemimpin yang mampu meletakkan batas sempadan dengan jelas tanpa berselindung disebalik panggung opera Cina, pentas wayang kulit ataupun gelanggang raja lawak. Bagaimana wilayah yang belum jelas batasnya itu sudah harus ditentukan titik tengahnya? Pastinya mengelirukan rakyat yang sudah terpanggang musibah dan kekeliruan biasanya akan berakhir dengan zuriat kekecewaan sehingga menggandakan kemurungan rakyat.

6. Pengidap kemurungan sukar diduga tindak-tanduknya dan pakar mental dan jiwa juga seringkali terpedaya dengan permainan pesakit spesis ini. Jangan terjebak dengan perjudian di kalangan mereka kerana hanya yang menghidapi sakit ini tahu apa yang akan dilakukan mereka. Minimakan risiko berjudi dan ubati penyakit merbahaya ini dengan kaedah saintifik dan memohon taufik dari Allah swt. Sebesar-besar musibah dan sehebat-hebat masalah hanya memerlukan sekecil-kecil TAUFIK dari Maha Pencipta.

Wallahualam

~: hnbk :~

ATAS BAWAH HANYA KITARAN

Salam,

1. Makhluk akan kelihatan comel, segak, kacak, cantik, hebat dan gah dengan syarat bila, siapa, di mana, kenapa dia berkata-kata. Semua yang baik dan hebat akan bertukar hina apabila kedudukan telah bertukar lingkungannya. Paling pantas apabila bergelar mantan dan setelah digulingkan. Jika dulu negarawan ulung akan bertukar menjadi negarawan gulung, yang diwar-war pemimpin hebat akan menjadi pemimpin musibat, yang bergelar ketua yang bijak akan berganti ketua yang dipijak, pemimpin berpengaruh akan dilihat sebagai pemimpin suka berseloroh, pemimpin berjiwa rakyat hanya dilabel pemimpin suka mengayat dan bermacam lagi kehinaan ditumpangkan atas kepalanya setelah rebah.

2. Ini lah kehidupan yang dikejar-kejar dan dipanjat ke sana sini untuk sebuah kerusi. Mungkin ada yang berkata dunia adalah persinggahan dan medan menguji. Benar.. namun apakah setiap persinggahan harus dibekaskan dengan najis dan kejahatan? Apakah ujian harus dilangsaikan dengan ketidakadilan serta kezaliman? Apakah semua yang berlaku itu tiada balasannya? Mungkin itu pilihan mereka dan apa yang dikejar itu adalah apa yang akan dituai nanti.

3. Kitaran sejarah sentiasa menjanjikan ketepatan dengan menjulangnya pemimpin yang didakwa hebat dan cemerlang tetapi kemudiannya sepantas kilat rebah kehinaan. Insan-insan seperti Muaamar Ghadafi, Saddam Hussein, Soeharto dan Marcos akan muncul dengan nama berbeza tetapi bentuk yang sama. Semuanya berlaku atas ketentuan Allah swt dan juga digelombangi rakyat. Jika masih ada yang terlupa, catatan ringkas ini hanya mencuit ingatan yang terlena.

Wallahualam

~:hnbk:~

TURUN PADANG

As-Salam,

1. Sana-sini bergemuruh kata-kata ‘TURUN PADANG’. Musim ‘TURUN PADANG’ datang lagi. Rupanya untuk turun padang memerlukan musim seperti musim bunga, musim luruh dan musim sejuk di luar negara. Di negara ini yang pasti musim hujan, musim kemarau, musim banjir dan musim terkini ‘Musim Turun Padang’. Musim inilah musim yang paling berharga, paling beruntung dan dinanti-nantikan oleh semua penangguk-penangguk di air yang keruh lantaran kotoran dan sampah sarap dibuang ke sungai dan longkang oleh mereka yang tiada kesedaran sivik. Musim begini, apa saja yang ditagih dan diarah pastinya tiada bantahan malah digelidah jika ada tagihan dan arahan yang belum dipenuhi. Muka-muka bengis, sombong dan bongkak jangan dirindui kerana sudah digulung puting beliung. Yang tinggal dalam musim ini tanpa mengenal tempat dan masa hanyalah senyuman, sengehan dan gelak ketawa walaupun tidak kelakar. Tagihan dan arahan itu akan menjelmakan hasil bagaikan menggosok lampu ajaib Aladdin yang mengurung ‘JIN’. Apa saja yang didoakan walaupun tidak didengari oleh telinga manusia biasa pastinya didengari oleh Jin Aladdin dan sepantas kilat permohonan itu mendapat habuannya serta merta.

2. Rasanya, ungkapan ‘Turun Padang’ sudah tidak lagi cocok dengan lingkungan semasa yang memperlihatkan kemahuan rakyat sudah meruntun kesaksamaan dan keberadaan pemimpin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka. Pemimpin yang dipilih rakyat itu sudah dianggap sebagai wakil atau pekerja kepada mereka dan kenapa perlu ungkapan ‘TURUN’ yang lebih bersifat dewa dan dewata yang turun dari kayangan menemui para rakyat yang melata. Barangkali buat sesetengah pihak, apa ada pada kata-kata sedangkan niat itu yang lebih utama. Apakah kata-kata yang bersifat KEBESARAN itu dapat dibuktikan keikhlasan dan dikelilingi jeriji budi?

3. Apabila turunnya para dewa dan dewata, sudah pastilah penampilannya disusuli dengan ‘Rasa Besar’ dan ditemani cemeti untuk menghukum bukannya bersenjatakan ihsan dan kasih sayang yang menjadi tunjang TARBIYAH. Di mana tarbiyahnya jika kedatangan untuk membetuli disulam dengan keangkuhan dan tidak lekang juga diulam dengan kemaksiatan. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Contoh-contoh masa lalu banyak menunjukkan yang TURUN tidak kira apa tujuannya samada menemui pengikut, penyokong, ahli dan saf pimpinan ataupun kononnya untuk membongkar sebenarnya menimbun kemaksiatan yang menggunung berbanding busut yang dicari. Golongan yang meleleh kesilapan dan kesalahan seakan menatang para dewa dan dewata yang akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Suasana seperti inilah yang mengundang keserakahan dan kemahuan menggelegak para dewata dan puncanya tidak lain ditunjangi kelompok yang berlidah panjang dan bercabang. Seharusnya demi kelangsungan kesaksamaan dan limpahan rahmat dari Allah swt, dewa dan dewata dimanusiakan bukannya mendewa dan mendewatakan manusia.

4. Kesedihan meraung dan bergema memecah keheningan ruang cakerawala menyatakan kepiluan atas ketidakadilan kehidupan fatamorgana ini. Janganlah diduga keadilan dan kesamarataan akan menjelma dan melutut selagi Israfil belum meniup sangkakala. Keadilan hakiki jika diburu tidak mungkin kita semua temui. Yang sahih, duduknya disyurga kerna sudah lenyap tukang fitnah, pemakan daging saudara, dan penjaja kebobrokan yang hidup hasil daripada dagangan najis yang dikandar dan dijunjung. Balasan juga adalah yang seadil-adilnya kerna tiada lagi surat beracun, berita layang, acuman layang dan semua yang melayang masuk ke telinga dan hati dewa dan dewata. Tidak pasti singkatan dewata itu bermaksud dewa yang buta atau dewa yang bermata. Jika itulah takdirnya, apakah perlu berdukacita? Percayalah! Yakinlah! bahawa pilihan Allah itu adalah pilihan terbaik buat kamu dan tiada pilihan Allah yang tidak baik kecuali bagi mereka yang tidak mempercayai kehidupan sesudah berkalang tanah.

Wallahualam,

~: hnbk :~

BUKAN CINTA TETAPI BENCI

Salam,

1. Setiap insan itu semestinya mendambakan kehidupan normal dan diulit kebahagiaan serta kelegaan. Namun, hakikatnya, kehidupan itu sentiasa berselimutkan keunikan dan kejanggalan bagi yang enggan berfikir dan normal buat mereka yang bersekutu dengan akal. Ada waktunya dari sudut pandang cermin RASIONAL sememangnya tidak rasional lelaki atau perempuan yang zahirnya kacak dan cantik memilih pasangan yang zahirnya hodoh dan bagaikan tidak secocok. Dengusan dan rungutan yang tercampak mungkin berkokok “Buta kah dia? Tidak siuman kah dia?” atau “Sudah dibomohkan kah dia?” sayup kedengaran.

2. Pilihan lelaki dan perempuan itu tidak semestinya kerana mereka memilih yang hodoh atau yang buruk berpayungkan kecintaan atau kasih sayang dari kolam hati masing-masing. Kebarangkalian pilihannya itu didenaikan dari terowong kebencian serta menyemarakkan api CEMBURU kepada lelaki dan perempuan yang kononnya kacak dan cantik lagi baik itu. Falsafah ‘Biar sakit di mata namun terubat di hati’ demi membalas kesakitan dengan kesakitan dan maruah yang diturap dengan najis maka najis juga balasannya. Natijahnya, pemilihan yang dianggap buta, bodoh atau gila oleh mereka yang menderita penyakit hati dan terpalit najis itu kini menjadi kenyataan.

3. Sama halnya dengan ‘Gelanggang Politik’ yang menjadi medan pertarungan antara ideologi, pengikut dan kepentingan. Apabila rakyat membuat pilihan atas kerelaan mereka sendiri, walaupun pilihan itu tidak sehala dengan kemahuan ‘Pemegang Saham’ dan kuda tunggangan masing-masing, maka corong cercaan dan penghinaan akan mula mengerang. Rakyat dipersalahkan atas pilihan mereka yang dilabelkan sebagai ‘Pilihan Berpaksikan Kekeliruan’. Pilihan rakyat tidak semestinya bersifat kecintaan atau runtunan kasih sayang terhadap parti yang didokong mahupun dikendong. Berlonggok-longgok pilihan yang dibuat itu berakar daripada dendam, bersifat mengajar dan ada juga yang menanam niat untuk membuktikan tiada pihak yang kebal dan kekal mewakili TUHAN. Hanya TUHAN yang kekal sedangkan yang lainnya tidak akan berdaya meminjam sifat TUHAN itu.

4. Ungkapan “Demi tanggungjawab dan amanah untuk rakyat maka dipertahankan jawatan dan kuasa ini” sudah lapuk dan usang jika ianya disajikan kepada rakyat. Rakyat berhajat supaya pembuktian dibentangkan tanpa bidai dan jendela jika ianya suatu kebenaran yang tidak boleh disangkal. Kalimah bahawa ‘Saya masih diperlukan’ kini bergilir dengan ‘Tarikh Lupus Sudah Sampai’. BEBAN BUKTI untuk rakyat atas jemala yang berkata rakyat masih perlukan dia bukan sebaliknya. Bagi rakyat, dakwaan bahawa jawatan yang diberi itu adalah amanah yang perlu dipertahankan masih belum cukup bukti kecuali rakyat yang kenyang dikelabui dan dilindungi oleh bongkah habuan.

5. Kekuasaan sesungguhnya nikmat yang sukar ditolak dan payah untuk dilepaskan. Ramai yang melihat jawatan dan kekuasaan sebagai anugerah, kemewahan, kesempatan dan kekuatan dan bukannya amanah. Lantaran itu, ada pemimpin tanpa segan-silu menyebut, ‘Jika Si ‘A’ meletak jawatan hari ini, esok pasti saya akan meletak jawatan’ sedangkan sehingga kini masih bergayut di dahan yang sama walaupun hampir lunyai. Tidak kira di pihak mana manusia itu berada, KUASA terlalu berkuasa dan merbahaya seakan jangkita HIV yang tidak ada ubatnya jika sudah dijangkiti.

6. Kerana kuasa ada yang sanggup memfitnah, kerana kuasa menipu jadi tunggangan, demi kuasa halal dan haram sudah sama warnanya. Oleh itu, jika rakyat membuat pilihan, tiada alasan buta, bodoh dan gila tergunapakai lantaran kebun, ladang dan wilayahnya sudah semuanya seiras dan pilihan tidak lagi berdasarkan RASIONAL tetapi EMOSI dan NALURI sudah beraksi dan mengatasi segala-galanya. Simtom penyakit yang dihidapi sudah tidak berfungsi dan yang tinggal hanyalah teka-teki.

Wallahualam

~:hnbk:~

CACAT SEJARAH

Salam,

1. Sejarah tidak pernah berbohong. Jika ada pembohongan pastinya datang dari pemanipulator. Sejarah juga HAKIM yang menghakimi rentetan peristiwa yang membaluti denai perjalanan kehidupan seluruh isi jagatraya ini sejak munculnya kehidupan pertama.

2. Saudara Kassim Ahmad dalam bukunya yang diruntun kontroversi dengan judul ‘Hadis Satu Penilaian Semula’ dan diterbitkan oleh Media Intelek Sdn Bhd (1986) turut menyentuh perihal sejarah. Katanya “Sejarah satu guru yang baik kepada manusia, dan sejarah tidak memungkiri manusia. Oleh sebab itu, kita perlu berguru kepada sejarah.” Memang tepat kata-kata Kassim Ahmad bahawa sejarah itu guru dan bagi saya, sejarah adalah MAHAGURU yang amat berguna buat mereka yang berfikir.

3. Namun, malang sekali apabila kecacatan mencacatkan sejarah. Manusia yang zahirnya serba sempurna rupa-rupanya cacat deria atas pilihan sendiri. Mereka merelakan diri menjadi pekak, buta dan bisu sejarah hanya kerana impian dan cita-cita menggunung untuk berkuasa, berjawatan dan habuan yang menjadi umpan kecacatan. Dunia hari ini membiakkan si buta, si pekak dan si bisu sejarah. Ada yang hanya pekak, hanya buta, hanya bisu dan tidak kurang yang menghidapi kecacatan dua dan ketiga-tiga kecacatan sejarah ini. Maka sempurna dan mutlaklah kecacatan sejarah yang amat merugikan generasi bukan sahaja masa kini, bahkan generasi akan datang terpaksa menanggung musibah ini.

4. Yang pekak sejarah tetaplah memekakkan telinga mereka daripada mendengar kupasan sejarah yang sepatutnya menjadi iktibar buat umat manusia agar dapat mengelakkan kejahilan,kedurjanaan dan kefasiqan bermaharajalela. Yang buta sejarah pula membutakan mata dan hati mereka untuk melihat sejarah lampau yang terlalu rendang untuk kita jadikan petunjuk antara KHILAF dan BENAR. Sementara yang bisu sejarah akan membisu dari diam dari berkata benar tentang sejarah sehingga membiarkan sejarah dirobek dan diperkosa demi memenuhi matlamat pihak yang memerlukan sejarah dipalsukan, dicemarkan dan diwarnakan mengikut selera pemanipulator sejarah yang menawarkan harga tinggi buat pelacur-pelacur sejarah. Banyak sejarah suci dicemari najis penipuan sedang yang berlumut dibilas dan digilap agar kelihatan unggul. Apakah Shah Jahan yang memeras keringat dan kudrat rakyat hanya demi senafas cinta membina Taj mahal itu terlalu unggul dan kudus? Apakah Taliban itu terlalu kejam dan menindas? Apakah Hang Tuah yang BENAR dan Hang Jebat itu penderhaka? Semuanya akan terjawab dengan sendirinya bergantung di bumi mana kita menginjak.

5. Kitab suci Al-Quran memuatkan seluas-luasnya pengkisahan sejarah ulung zaman berzaman seperti kisah Qarun sebagai simbol ketamakan, sifat lupa diri oleh Firaun yang merajai kezaliman, kisah para Nabi dan Rasul yang didatangi ujian serta dugaan dan kesemuanya adalah GURU yang tegar membimbing dan mentarbiyah umat manusia agar memilih jalan yang BENAR. Sebaliknya, manusia-manusia yang cacat itu tetap memilih kesinambungan kecacatan sejarah sehingga menjelang kiamat melalui zuriat mereka yang meneruskan legasi kecacatan buat menyambung khazanah sejarah yang terpesong.

6. Perjuangan menegakkan kebenaran sejarah tidak akan datang bergolek dan melayang dengan mudah. Ketabahan dan kesabaran yang menggunung belum tentu dapat bertahan. Kata-kata Bung Karno berbunyi “Perjuanganku lebih mudah karena mengusir penjajah, tapi perjuanganmu akan lebih sulit karena melawan bangsamu sendiri” harus menjadi renungan. Bangsa kita sendirilah yang mendahagi sesama bangsa sedangkan musuh di sekeliling kita tersenyum simpul dan ketawa berdekah-dekah menjadi penonton sajian jenaka Pak Pandir dan Lebai Malang Bangsa Pribumi. Tambah Bung Karno ketika Pidato HUT Proklamasi 1966, “Janganlah melihat ke masa depan dengan mata buta! Masa yang lampau adalah berguna sekali untuk menjadi kaca bengala dari pada masa yang akan datang.” Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Tidak lagi saya kesani umat manusia yang menyesal dahulu kecuali berbondong-bondong yang mengakhiri dengan sesal kemudian.

Wallahualam

~:hnbk:~