JUBAH KEKUASAAN

Salam,

1. Dalam buku ‘Dai Berdasi – Mengubah Panggung Politik Menjadi Mimbar Dakwah’, penulisnya Fakhruddin Nursyam menukilkan “Kekuasaan, betapapun kecil, tetap sebagai sebuah amanah yang akan dipertanggungjawabkan pemiliknya di hadapan Allah swt pada hari kiamat nanti”. Betapa penjelasan ini melondeh makna kekuasaan yang sering ditabur oleh manusia-manusia yang berselindung di balik tembok alasan ketidakmampuan lantaran TIADA KUASA. Keganjilan bermaharajalela apabila yang berkuasa keberatan mengakui kekuasaan yang dipaut sedangkan yang kekuasaan sekecil zarah mencanang kekuasaannya setinggi langit. Yang berkuasa dengan sekuat hati cuba membebaskan diri dari amanah atas kekuasaannya dan yang tidak berjaya mendapat amanah besar mendengungkannya untuk mencekau habuan. Maka yang di atas menungging ke bawah dan pecacai berlumba-lumba bersila di singgahsana KEKUASAAN.

2. Jika kekuasaan yang kecil WAJIB bertimpuh lemah di hadapan Rabbul Jalil, inikan pula yang BESAR dan dilimpahi kekuasaan? Alasan sudah ‘tamat tempoh’ ketika itu, pembohongan sudah tidak laku dan wajah kepura-puraan tidak lagi efektif. Tambakan benteng alasan sudah tercabut dan binasa detik kekuasaan melayang sepantas petir sebaik roh direnggut dari jasad setiap manusia tanpa menghitung siapa kamu. Yang berbicara bukan lagi perkakas bicara ketika hidup, sebaliknya anggota-anggota yang kamu sendiri kehairanan jika ia berbicara saat kamu masih bernafas.

3. Papa-kedana kekuasaan ingin menimbun kuasa, namun sebaik kekuasaan sudah meresap ke dalam diri, topeng kelemahan yang dipertontonkan. Raungan mengemis kuasa dibisukan setelah persalinan dewata menyelubungi diri. Yang tinggal berkeliaran hanyalah pecacai diserkup mahkota kekuasaan untuk mengelabui dan membutakan penglihatan khalayak. Penguasa sebenar tampil sebagai halimunan sehingga khalayak terpedaya antara yang nyata dan sandiwara. Berulanglah kisah wanita bersuamikan jin dan jembalang dek meyakini jasad yang ditidurinya adalah suami yang telah berhijrah ke alam ghaib. Zuriat yang dilahirkan juga dari baka jin dan jembalang yang akan membiak dengan pantas sehinggalah bumi menggeletar melontarkan salam akhir. Selagi belum melintasi garisan salam bumi itu, maka selagi itulah kitaran serupa menjadi wiritan.

4. Kerumitan dan persoalan sudah dileraikan, namun apakah solusinya? “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan”. Pangkal permasalahan harus kembali ke pangkal penyelesaian. Penyelesaian hakiki tidak lain dan tidak bukan adalah kembalinya manusia kepada fitrah manusia yang sebenar iaitu AGAMA. Kalam agama ini sudah mencakupi dan memenuhi setiap jarak yang mendiami ruang fikir manusia yang waras kecuali mereka yang menipu diri sendiri dengan berkata ‘AKU TIDAK TAHU’.

Wallahualam

~: hnbk :~

Advertisements

Minah Ronggeng

As-Salam dan Salam Sejahtera sekalian teman-teman,

1. Dunia kini tidak sahaja menjadi panggung sandiwara yang mempertontonkan lakonan kejahilan, kezaliman dan terlelongnya manusia bagaikan haiwan-haiwan yang dicucuk hidungnya. Lebih besar panggungnya adalah RONGGENG yang melihat manusia-manusia menjual diri dan segala isi diri mereka kepada pelanggan tarian RONGGENG yang sudah lupa rumahtangga mereka lantaran dibuai kemaksiatan ‘Minah Ronggeng’.

2. Manusia itu sudah banyak jumlahnya yang terjual dan terbeli. Ibaratnya seperti sayur-sayuran di pasar borong dengan adanya yang sudah layu dan terkulai dan dijual dengan harga yang teramat murah. Konsep ekonomi ‘penawaran melebihi permintaan’ menjadikan harganya murah kerna jauh lebih besar jumlahnya mereka yang menawarkan diri untuk dibeli oleh penjual. Penjual juga pada masa yang sama sudah terbeli oleh penjual-penjual yang juga berantai-rantai terbeli oleh pembeli-pembeli yang lebih atas dari mereka. Jika dilihat dari galaksi di atas, seakan kitaran penjual dan pembeli itu bersambung-sambung seperti roda. Maka yang enggan menjadi penjual dan pembeli akan terus berada di luar pagar perniagaan moral, prinsip dan maruah dengan empayar perniagaannya terlalu besar dan dimonopoli oleh para syaitan kapitalis dengan dibantu oleh kuncu-kuncu dan balaci mereka yang ditopengkan wajah manusia tetapi hati dan jiwa sudah dibeli oleh iblis dan syaitan.

3. Perniagaan ala piramid dan saham cepat kaya ini akan terus berkembang dengan rakus dan akhirnya terkandas di pucuk teratas piramid. Para manipulator yang tergolong di kalangan iblis, syaitan dan gerombolan balacinya tersenyum lebar melihat hamba-hamba yang menjual diri mereka melarat mengemis dan ke sana-sini dalam kemelaratan angkara menjual jiwa, hati dan fikiran mereka kepada EMPAYAR PERNIAGAAN IBLIS & SYAITAN.

4. Benar kata Tokoh Agung SANDIWARA bernama P. Ramlee, “Berniaga manusia lebih untung dari berniaga unta”.

Wallahualam

~: hnbk :~

ABDI JUDI

Salam,

1. Judi dan kaum Cina sudah seakan sebati dalam kehidupan mereka. Bertarung dan bersagang nyawa meraih rezeki tidak kira halal dan haram namun pelaburan mudah di meja judi termasuk ‘ekor haram yang haram’ dan ‘ekor halal yang haram’ tidak mungkin kecundang. Disiplin perniagaan yang dijaga dan dicermati oleh mereka dalam akaun perniagaan bocor tanpa kasih sayang terhadap keuntungan yang diperolehi. Namun, mungkin budaya pekat yang bersalut dalam masyarakat mereka mengatasi rasionalisma yang sebenar. Bangsa Melayu emosional dan tidak rasional dalam sesetengah keadaan namun bagi kaum Cina pula tidak rasional dalam berjudi sudah terpadam dalam kamus kehidupan mereka. Perayaan Tahun Baru Cina menjadi klimaks musim berjudi dan ianya seakan rutin yang tidak dapat tidak WAJIB diamalkan sekurang-kurangnya di kalangan keluarga masing-masing.

2. Kebelakangan ini, masyarakat Cina sering mengeluh dan bernafas dengan irama sedih berbaur kecewa tentang iklim ekonomi yang dikatakan lembap dan berkabus. Rata-rata berbisik dan sebahagian kecil secara terbuka berdendang dengan lagu kekecewaan di bawah rekahan akar ekonomi yang kusut. Kekusutan itu mengalirkan kata-kata protes sederas-derasnya untuk membuka pintu empangan kemarahan atas nama kepentingan bangsa mereka. Di bawah payung kepartian yang berwarna-warni kini menjadi SATU payung besar berlambang ‘ROKET’. Jika dulu berperisai pakaian berbasa-basi tentang politik, namun kini, telanjang bulat berlari sambil menjerit ‘bersatu’ bersama Bangsa Melayu menyokong BULAN dan parti siasah atas nama yang didakwa ADIL.

3. Teman baik sejak sekian lama mengenalinya di Alor Star lebih kurang 17 tahun lalu yang menyara kehidupan dengan perniagaan percetakan kini kelihatannya agak daif. Dari berkerani sudah tiada kerani, dari berpembantu dan rakan kongsi kini sudah keseorangan. Kenderaan yang dipakainya 17 tahun lalu masih merantai jasadnya setiap hari dan tidak lain lantaran kemampuan yang terbatas untuk mengepak lebih luas sayap kehidupannya. Apa pun, rutin berjudi dan melayan ‘ekor’ tetap sama aktifnya. Moral penceritaannya, JUDI sukar dicabut nyawanya dalam kehidupan kaum ini.

4. Semalam, sebaik tamat bermain badminton dengan beberapa teman kaum Cina di Alor Star, sementara keringat berkerak, kami berbual santai dan kesemuanya mengeluh dengan nada sama tentang ekonomi yang dikumandangkan semakin tidak membantu kehidupan mereka lantas terpacul persoalan berkait dengan pilihanraya yang sudah kian hampir dan bahangnya terus memanaskan keadaan sekeliling. Agak menarik bila beberapa orang dari mereka yang baru kali pertama mengenali penulis malam itu tanpa banyak soal terus berkata “‘Ini kali lu undia siapa? Dia bertanya dia juga terus menjawab belum sempat sebarang huruf dari penulis berkaca. “Lu undi PAS, gua undi DAP. Ini kali kasi sama DAP kasi tukar. Kalau tarak bagus, lagi satu kali boleh tukar”. Saya hanya sempat membalas “pilihanraya jangan main-main. Salah pilih nanti rugi”. Sepantas kilat mereka sama-sama membalas “kasi gamble la, tarak bagus bukan tak boleh tukar?.

5. Seperkara yang penulis perhatikan, mereka masih tebal kepercayaan bahawa peneraju pembangkang difitnah dan tidak mungkin melakukan seperti apa yang dituduh terhadapnya. Untuk meredakan keadaan, penulis yang satu-satunya berbangsa Melayu lebih memilih untuk bercakap soal lain demi sebuah persahabatan yang dianggap lebih baik dari bermusuh. Tangan persahabatan lebih baik dari jasad dan jiwa yang dipenuhi api kemarahan. Apa yang boleh disimpulkan, JUDI tetap membiak dalam masyarakat Cina termasuk dalam soal masa depan yang tidak menjanjikan kepastian. Yang utamanya JUDI dapat dipertahankan hatta untuk sebuah RISIKO yang amat besar untuk dijunjung. Buat mereka, sekurang-kurangnya jika keadaan tidak begitu baik, nikmat berjudi tetap berlegar yang menjanjikan impian untuk berjaya. Keberanian dan ketaksuban JUDI menjadikan mereka masyarakat yang berani mencuba dan itu salah satu daripada benih kejayaan yang tidak mungkin dicapai tanpa mencuba. Tiada kejayaan tanpa percubaan walaupun pada hakikatnya, percubaan dalam hal sebegini terlalu merbahaya dan dipenuhi risiko yang tidak mampu dapat dibaiki sekali tergelincir. Bangsa Melayu masih kekal sebahagian besar daripadanya terus dengan nostalgia dan kasih serta cintanya pada keamanan, membalas budi dan menghormati pemimpin walaupun tidak dinafikan ianya semakin menipis. Kaum India majoritinya kekal dengan dokongan kepartian tradisi terhadap parti India terbesar dan luka kegelinciran sedikit masa lalu semakin sembuh.

6. Kaum berbeza maka pendekatan dan budaya juga berbeza. JUDI yang berakar dalam masyarakat Cina kadangkala menjalar keluar sehingga penentuan kalah menang di dalam pilihanraya kecil sesebuah kawasan menerima tempiasnya. Taukeh judi mengatur perjudian sehingga boleh menyebabkan kekalahan atau majoriti kemenangan sesebuah parti merosot dalam pilihanraya kecil lantaran JUDI.

7. Arah sokongan Melayu juga di sesetengah kawasan tradisi BULAN terus kukuh seperti kawasan nelayan dan pendalaman dan pakatan pembangkang terus menggunakan kesempatan keterbukaan langit media sosial, media alternatif dan kelonggaran undang-undang yang jatuh dari langit untuk meluaskan cengkaman minda di kawasan bandar dan golongan muda.

8. Pemberian kerajaan yang terus tampil di hadapan masyarakat kita memberi impak yang pelbagai. Tidak kurang yang terus berkata diberi kita ambil kerana bukannya diminta sedangkan undi adalah RAHSIA. Sebahagian pula ada yang beranggapan bahawa pemberian itu perlu diambil untuk membantu musim selepas pilihanraya yang menjadi bualan di kalangan mereka akan berlaku inflasi yang berbekas hasil pemberian-pemberian yang diterima sekarang. Nampaknya, fokus golongan ini juga tidak terlepas dari JUDI yang menapak dalam kehidupan mereka.

9. Jika perjudian dan percaturan kehidupan sehingga kepada pilihanraya dikaitkan dengan JUDI, maka penyelesaiannya juga harus ditangani dengan kaedah berjudi. Mungkin pengalaman taukeh judi dan PENIPU judi saja yang mampu mencari jalan keluar untuk membiarkan mereka berjudi wang ringgit tetapi tidak memperjudikan nasib tanahair. Jika ada yang mempunyai perbezaan pandangan dalam hal ini, semestinya penulisan ini akan dianggap tidak tepat. Penulis tidak mengatakan apa yang ditulis adalah tepat kerna tidak pula ianya bersifat kajian ilmiah ataupun penyelidikan. Ianya lebih kepada lantunan reaksi masyarakat yang diadun oleh pandangan dan rumusan penulis secara rambang di kalangan masyarakat khususnya masyarakat Cina ketika ini.

10. Seperti kata-kata Tun Daim Mantan Menteri Kewangan dalam bualbicaranya bersama wartawan yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian hari ini (25/3/2013), “… Sejak beberapa tahun lalu, saya juga secara peribadi mendapati ada dasar yang boleh ditentang, tetapi saya masih menyokong kerajaan kerana terdapat banyak dasar yang baik berbanding tidak baik. Bagi rakyat Malaysia, jika anda tidak bersetuju dengan dasar kerajaan, ya, terus berikan pandangan dan kritikan, tetapi dengan secara membina… Saya lebih takut jika orang biarkan saja dan tidak peduli. Saya percaya hanya jika anda peduli dan mahu keadaan menjadi lebih baik, baru anda akan memberi pandangan. Sebuah masyarakat yang pasif dan tidak berminat akan menghancurkan negara”.

11. Subur dan cambahkan kerencaman pandangan serta kritikan membina demi sebuah tanahair dan bangsa yang menuju peradaban terbilang. Pemikiran dan sikap keterbukaan dalam menerima serta memberi kritikan dan pandangan menjadi kunci dalam menentukan kemajuan sesebuah bangsa, masyarakat dan negara. Jika sebaliknya, maka akan bekulah kita dalam peti sejuk dan cair pula kita setelah terdedah kepada cahaya kebenaran kelak. Budaya ilmu wajar dibiakkan kerna tidak mati dan hilang sebuah bangsa yang menerima dan memberi pandangan serta kritikan bahkan semakin segar-bugar buat mereka yang menjadikannya amalan masyarakat. Manusia tidak selalunya betul walaupun didampingi akal yang sihat tanpa pagar agama yang menjaga kita dari tergelincir dari landasan yang BENAR. Keengganan menjadi anjal membawa kepada rekahan dan kehancuran. Keanjalan akan menjadikan kita lebih rasional dan tidak mengikut sentimen perkauman yang jika dbiarkan menebal hanya meruntuhkan bangsa, agama dan tanahair. Rentetan sejarah berjudi JARANG membawa kebaikan tidak kira bangsa apa sekalipun kamu. Oleh kerna itu jugalah Islam mengharamkan JUDI dan jika masyarakat Cina sudah boleh menerima BULAN, maka ada baiknya aktivis-aktivis dan saf pimpinan BULAN mentarbiahkan mereka agar memahami tentang keburukan BERJUDI.

Wallahualam

~: hnbk :~

Janji ditabur vs janji dituai

As-salam,

1. Dalam filem Masam-Masam Manis lakonan Tan Sri P. Ramlee , Saloma mendendangkan lagu ‘Apa Guna Berjanji’ dan disusuli liriknya ‘kalau tak ditepati’. Lagu dengan irama yang bagus dan menghiburkan ini bukan saja hiburan nurani, bahkan menyelinap jauh ke dalam sanubari manusia yang berfikir tentang JANJI. Dua perkara yang sentiasa mengiringi bohong ialah banyak berjanji dan banyak memberi alasan lantaran pembohongan kebiasaannya akan dimasuki melalui pintunya iaitu ‘alasan’ dan JANJI biasanya dihumban untuk dilanggar oleh penabur janji.

2. Petang tadi sempat saya mencatatkan ungkapan berikut untuk direnungi dan dipunggah jalur-jalur yang membalutinya. “Kita menjalani kehidupan yang dibangunkan atas JANJI-JANJI dan dibina oleh PENIPU”. Oleh itu, luaskan fikiran dan buka lah minda agar tidak terjebak dengan kerelaaan memanjat penjara untuk bertapa sedangkan pintu keterbukaan luas ternganga. Kita menjadi hamba atas kerelaan dan menjadi tuan kepada diri sendiri atas pilihan”. Bagi mengelakkan pembanunan janji dan pembinaan secara berleluasa, berusahalah sekuat tenaga dan dan kudratmu untuk menepati janji dan bergelutlah dengan seluruh jiwamu menentang nafsu untuk mengkhianati janji.

3. Tiada janji yang lebih tepat kecuali janji matahari yang akan terbit pagi esoknya. Kita bukanlah matahari dan kita juga bukannya makhluk yang dimunculkan ke bumi untuk menyapu bersih janji-janji yang dibangunkan. Setiap insan itu diberi keupayaan secara relatifnya setara walaupun ada tinggi dan rendahnya berdasarkan sejarah lampau dan latarbelakang mereka. Biarpun begitu, umpama dacing, jika beratnya janji di sebelah kanan, maka upaya menunaikan janji akan memantul naik di sebelah kiri atas keberatan janji yang dicambahkan. Semakin mewah janji ditimbun, maka semakin rapuh keupayaan menunaikannya pada kedudukan di atas dacing. Dengan itu, timbangan menjadi tidak seimbang. Analogi dacing ini wajar dikembangkan untuk menilik sejauh mana keseimbangan antara kudrat menabur dan memenuhi janji. Jika taburan berlebihan maka menunaikannya akan berkurang dan begitu juga sebaliknya. Namun demikian, jika tiada janji, sukar pula buat umat memasang impian apa gerangan yang bakal menggelungsur ke dalam kantung dan tembolok. Apapun, biarlah kesederhanaan dimahkotakan dan berlebihan dinyahkan demi kemaslahatan semua pihak. Setiap sesuatu samada dadah, makanan, hujan, panas, sejuk dan sifat-sifat dimiliki bumi sememangnya membawa kebaikan kepada makhluk di mukabumi ini tidak kira manusia, haiwan dan tumbuhan jika tampil secara seimbang namun memudaratkan jika berlebihan. Begitu jugalah JANJI yang kecil bagi yang menabur tetapi teramat besar bagi yang menanti untuk dituai.

4. Janganlah kita meninggikan janji sekiranya berniat untuk merendahkan janji itu. Bibir dan lidah bersembur menabur janji sedangkan hati sunyi dan sepi dari niat melangsaikannya, anggukan janji mengalahkan burung ”belatuk’ tetapi minda gersang usaha melangsaikannya. Hadis riwayat Muslim menyebut “Tanda-tanda munafiq ada tiga. “Apabila berbicara, dia dusta. Apabila berjanji, dia mungkiri. Apabila dipercayai, dia khianat”. Masyarakat dilihat sudah menyerap kebiasaan merempuh janji sehingga kalimat ‘Insyallah’ juga seakan longgar apabila diungkap oleh sesiapa yang membalas persoalan JANJI. Golongan ini menjadikan kata-kata janji itu sebagai barang mainan dan gurauan tanpa sedikit pun rasa bersalah apabila memungkiri janji itu. Tiada salahnya dengan janji, tetapi memungkirinya itu yang salah. Meletakkan janji terlalu murah bagaikan barang lelongan amatlah menyedihkan dan tidak sahaja merendahkan martabat keinsanan seseorang tetapi yang parahnya keyakinan dan kepercayaan akan direntap dari jasad dan roh mereka yang tidak menghormati JANJI. Yang bergelar pemimpin akan menjadi hina, hilang maruah dan kredibiliti sebagai pemimpin sehingga cebikan beratur dan bersusun-susun memberi salam kepada pemimpin jenis ini.

5. Menunaikan janji berkait rapat dengan sifat amanah dan seseorang yang memegang jawatan tidak kira tinggi mahupun rendah adalah amanah dan juga merupakan janji kepada rakyat dan kerajaan. Tidak amanah bererti mengkhianati janji yang beri oleh rakyat melalui kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Kelompok tidak amanah dan mengkhianati janji ini umpama bangkai bernyawa yang berlegar di sekeliling kita tanpa rasa malu dan bersalah. Sadarlah bahawa di antara akhlak yang mulia itu adalah menepati janji. Tidak diragukan lagi, menepati janji selain tanda dari keistiqamahan, ia juga merupakan tiang dari kepercayaan seseorang. Oleh yang demikian, marilah kita penuhi janji-janji kita dan sama-sama menunaikan amanah yang telah dijunjung.

“Wallahu a’lam bishshawab

~: hnbk :~

Ribut Dalam Cawan

Salam,

1. Ribut dalam cawan kadangkala membadai dengan mengatasi ketinggian gelombang Tsunami jika kita melihat dengan hati yang tulus berbungkus kejujuran. Ribut dalam cawan berlaku dalam semua lopak tidak kira besar mahupun kecil, lopak bangsa mahupun agama, agama, wilayah ataupun negara termasuklah organisasi sosial, ekonomi dan politik. Ada ketikanya ribut datang dan pergi sekejap-sekejap dan ada kala tempoh bergelumang teramat panjang bahana ciri-ciri, sifat dan budaya keji penghuni lopak yang berkocak. Ribut bertambah kuat seiring dengan ukuran kekejian amalan yang berlabuh di lopak yang tidak berdosa. Iri, dengki, khianat-mengkhianati dan gigit-menggigit yang disuburkan oleh budaya jahiliah ini pastinya membuahkan hasil jahiliah. Menyemai gandum tidak mungkin menuai padi, menyemai benci maka tuailah kebencian.

2. Ciri-ciri, sifat dan budaya jahiliah ini jika dibiarkan terus beraja dan dipasangkan dengan permaisurinya maka akan berkembang-biak bagaikan sarang anai-anai sekonyong-konyong bila tersadar sudah ditimbus runtuhan. Hendak dihitung tidak cukup jari dan mau dicongak juling mata dibuatnya untuk mengetahui jumlah mangsa amalan jahiliah yang amat merbahaya dan sedang menular di setiap lopak dan jarak di bumi ini. Apa daya dan kudrat yang ada untuk kita depani sendirian ribut yang buas sedangkan kata pepatah ‘jika tidak mendayung, jangan pula dihalang dayungan’. Namun, mengenang ungkapan ‘lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai’ maka lebur juga kekecewaan yang berbisik lembut agar sauh dilabuhkan dan genderang perang dibakar. Jiwa dan semangat juang kucanai sebagai perisai untuk terus berlari mengganyang dan menelanjangkan musuh yang jalang.

3. Namun, apakah ikhtiar kita jika berada di dalam sebuah kapal yang dimasuki air lantaran ditebuk oleh penumpang-penumpang mabuk kekuasaan mengigau menjadi nakhoda. Apakah kita hanya berkiam dan terus bertasbih menghitung detik tenggelamnya kapal? Atau sepenuh hati menimba keluar air yang mengalir masuk ke kapal? Lingkungan mengundang kepayahan dan menerakai keadaan jika tukang tebuk digosok malah dijunjung sedang yang menimba dipasung dan diludahi sepuas-puasnya. Akhirnya, penimba dicampak ke laut dan penebuk, penumpang-penumpang, anak kapal dan nakhoda berakhir di mana?

4. Ibnul Qayyim al-Jauziyah berkata: “Sungguh suatu kezaliman dan kebodohan jika engkau memohon penghormatan dan pengagungan dari manusia, sementara hatimu kosong dari mengagungkan dan menghormati Allah swt.”. Mudah-mudahan, Yang Esa diagung dan dihormati manakala manusia yang manusia dieratkan silatulrahim sementara kalangan berjubah syaitan dihindari dan diberi perlindungan oleh al-Malik. Shaikh Dr. Aaidh ibn Abdullah al-Qarni menyebut “Sungguh tidak ada kehidupan bagi orang yang selalu membenci dan mendendam, karena ia selalu dalam keadaan yang tidak jelas, selalu merasa bahwa ia berhak mendapat yang lebih dari apa yang sudah diterimanya. Dan dalam pandangannya, Rabb-nya telah menghalanginya, mengecilkan keberadaannya dan membuatnya selalu terpuruk dalam berbagai hal. Maka bagaimana mungkin orang seperti ini akan mencapai kebahagiaan, ketenangan dan kenikmatan hidup?”.

5. Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain. Berusahalah untuk menjadi yang terbaik biarpun sukar daripada menjadi Raja Kejahatan walaupun enteng. Kehidupan ini terlalu singkat untuk disia-siakan dan tidak ada kehidupan kedua di dunia untuk membaiki kesilapan yang telah dicipta. Yang penting bukan berapa lama kita hidup, tetapi bagaimana kita hidup. Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain dan jauhkan hidup seperti duri yang menyakiti orang lain.

6. Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan. Menghukum itu sememangnya mudah kerna cermin kehidupan itu tidak memperlihatkan diri penghukum selagi ia tidak diseret ke hadapan khalayak untuk dipertontonkan siapa dirinya yang sebenar. Oleh itu, melangkahlah dengan hati yang redha dan menerima diri dan takdir yang ditentukan dengan dada yang lapang. Kita tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan yang akan dilalui sehingga kita mampu melupakan kegagalan dan kekecewaan lalu. Lebih baik hidup satu tahun sebagai harimau daripada hidup 100 tahun sebagai biri-biri.

Wallahualam

~: hnbk :~

Membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan

Salam,

1. Jika tidak secara terus, terkadang kita mendengar ungkapan berbunyi lebih kurang begini, “Susahlah mendapat pemimpin yang tidak mampu membuat keputusan. Semuanya perlu dirujuk ke sana sini”. Ada pula yang berkata “Susah juga ketua yang tidak boleh membuat keputusan, asal tanya saja diam”. Jika mengikut telahan saya, ‘pemimpin yang disebutkan itu sebenarnya telahpun membuat keputusan dan keputusannya yang pilihnya adalah ‘membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan’ dan juga membuat keputusan untuk merujuk ke sana sini sebagai helah untuk tidak membuat keputusan. Sementara ketua yang berdiam diri juga telahpun membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan dengan cara berdiam diri tanpa sebarang jawapan. Itulah pilihan beliau dengan niat samada berpunca dari sifat ‘takut’, keliru, tidak tahu ataupun ketidakyakinan terhadap diri sendiri dalam proses membuat keputusan.

2. Jenis-jenis pemimpin dan ketua sememangnya lumayan dengan limpahan sifat serta karektor yang membelit dan memasung diri mereka. Pemimpin adalah orang yang dapat menginspirasi para pengikutnya melalui kata-katanya dan dapat menyampaikan segala yang difikirkan kepada pengikutnya dengan jelas. Namun, apakah dunia ini mewah dan melimpah dengan pemimpin impian yang dinanti dan diidamkan? Dunia bukanlah sebuah opera yang diarah dan diterbitkan mengikut selera dan tagihan kita. Bukan sedikit jumlahnya pemimpin yang menjelma dengan keranjang ‘Santa Claus’, berapa jumlahnya ketua yang tersembul dengan janji dan kekuasaanya, dan tidak kurang yang lahir dari peranakan klonnya.

3. Tidak semua kerosakan dan kebinasaan itu berlaku dengan sendiri melainkan atas tangan-tangan mereka yang membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan. Elbert Hubberd ada menyebut, “Kesalahan terbesar yang dapat dibuat seseorang dalam hidup adalah dengan terus-menerus merasa takut bahwa dia akan membuat suatu kesalahan”. Perasaan dan pemikiran sebegini lah yang menjerumuskan manusia yang bermimpikan persalinan pemimpin dan ketua terus menghadam dan mencernakan amalan membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan. Mungkin bagi sesetengah makhluk yang tidak ambil kisah beranggapan ianya lumrah buat sebahagian politikus ataupun yang bergelar ketua dalam mencaturkan tangga-tangga serta liku perjalanan menuju puncak untuk memilih pendirian tersebut. Namun sebahagian besar masyarakat sentiasa peduli dan amat kisah dengan sikap pemimpin yang memimpin dan ketua yang mengetuai. Walau atas alasan apa sekalipun yang diguna oleh seseorang yang bergelar pemimpin dan ketua, “membuat keputusan” adalah sifat dan fitur yang membezakan pemimpin atau ketua dengan pengikut. Pemimpin seharusnya memiliki ‘peta perencanaan’ dan merencanakan apa yang direncanakan dengan teliti dan berhemah. Pemimpin mesti kaya dengan idea dan tidak bertindak bagaikan pengikut. Jika pemimpin dan ketua sudah bertukar menjadi gerabak, maka kepala keretapi pastinya dikendalikan iblis.

4. Andainya pemimpin dan ketua dibebani tanggungjawab dan amanah yang sama dengan pengikut dan pimpinannya, apakah perlu segala keistimewaan dan imbuhan yang besar menjadi milik mereka? Perbezaan keistimewaan dan imbuhan itulah yang menjadi sempadan untuk digalas oleh mereka yang bernafsu untuk dinobatkan sebagai ketua dan pemimpin. Jawatan dan pangkat itu jugalah yang akan menyusul sehingga liang lahad dan mahsyar sebagai balasan atas perlantikan atau pemilihan di dunia ini. Oleh yang demikian, adakah kita harus menzalimi diri sendiri dan mereka untuk sama-sama meneruskan legasi dan amalan yang menyerupai mereka iaitu ‘membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan’? Ataupun membiarkan ketua dan pemimpin jenis ini terus menggali kubu dan benteng untuk bertahan di dalamnya dengan panji-panji putih sebagai simbol ‘serah diri’ tetapi masih bermahkotakan Pangeran Panji Alam, siang meneran, malam berkolam.?

5. Pemimpin dan ketua yang dilantik atau dipilih tetapi tumpas dalam menggalas amanah dan tanggungjawabnya, tidak hanya menjerumuskan dirinya sendiri, sebaliknya mengheret seramai mana pengikut dan pimpinannya terperosok di penghujung lubok kegagalan ciptaan mereka. Suka atau sebaliknya juga, calon yang dipilih dan dilantik itulah akan menulis dakwat sejarah di negeri ini. Samada dakwat emas ataupun najis yang bakal ditulis kelak semuanya ditentukan oleh ciri-ciri dan sifat calon yang terpilih. Samada pengkhianatan, sejarah hitam ataupun sejarah yang menggebu dengan keputihan bagaikan awan yang berarak terang di dada langit semuanya terkalung di lidah mereka-mereka yang menampi antara sekam dengan padi.

Wallahualam

~: hnbk :~

Manusia Haiwan

Salam,

1. Dalam kehidupan, banyak tingkah manusia yang bertingkah seakan haiwan walaupun kenyataan ini mungkin membangkitkan amarah sesetengah pihak. Namun, hakikatnya ia telahpun menjadi kiasan dan sindiran dalam pelbagai bentuk samada analogi, peribahasa dan bidalan yang bertukar sebagai bedalan yang memedihkan. Tidak pasti samada ianya adalah hasil evolusi manusia atau adakah manusia menciplak tingkah haiwan ataupun haiwan yang melakukan sebaliknya.

2. Jika sejarah pembunuhan yang pertama berlaku atas mukabumi antara Habil dan Qabil diambil sebagai perkiraan, maka jelas manusia telah menjadikan haiwan sebagai guru dengan meniru bagaimana burung mengebumikan burung lain yang tewas dalam pertarungan. Qabil meniru cara burung itu mengebumikan Habil setelah dibunuhnya atas perasaan cemburu yang berakar sejak awal kejadian manusia yang menjadi punca Iblis dicampak keluar ke dunia.

3. Banyak perkara-perkara baik dan bermanfaat yang boleh diambil sebagai iktibar dari haiwan untuk dijadikan landasan meneruskan kehidupan dimukabumi ini termasuklah persilatan ala haiwan, semangat serta ketangkasan yang dimiliki oleh mereka. Namun begitu, tetap tidak terpinggir sikap buruk haiwan yang dipilih manusia untuk diamalkan demi menyesuaikannya dengan kehendak serta keperluan manusia yang rakus dan haus akan kekuasaan, harta, pangkat dan kedudukan.

4. Banyak yang baik tetapi yang hodoh dirangkul. Berapa ramai manusia yang bertukar menjadi ular sawa dengan membelit di sana sini dengan autanya serta melingkar siang malam setelah kenyang membaham mangsanya. Ada pula yang hasilnya tidak seberapa dan lebih malang ianya adalah hasil kerja orang lain direnggut sebagai miliknya dan mencanangkannya seantero dunia bagaikan ayam belanda terpekik terlolong. Alangkah bingitnya telinga mendengar bahkan terkadang gegendang telinga bagaikan bocor dibuatnya.

5. Kita juga sering berdepan dengan manusia keldai yang telinganya panjang tetapi tahap pendengaran bermasalah. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan dengan perbuatan ‘bodoh’ melantun-lantun tak makan diajar. Cerdik tak boleh ditumpang, bodoh pulak tak boleh diajar. Hendak dimarah akhirnya kebodohan itu akan membelit kita dek umpatan dan kejian seperti memarahi orang ‘gila’ maka kita dianggap ‘gila’. Yang mirip dengan haiwan ini pula adalah manusia badak. Pekaknya hanya Tuhan yang tahu apabila diberitahu bagaikan berdialog dengan tunggul kayu dan akhirnya berkunjunglah pepatah ‘Pekak Badak’.

6. Ada juga yang hanya mengulangi apa yang diomongi oleh orang lain tanpa mengetahui hujung pangkal dan baginya keutamaan adalah mendengungkan kata-kata pemimpinnya demi mendapat sesuap makanan. Makhluk ‘Kakak Tua’ ini sememangnya membiak dengan pantas berpunca daripada sikap masyarakat yang selesa dengan budaya yang menjumudkan bangsa.

7. Spesis paling pengotor dan menjijikkan adalah haiwan sondolan bergelar babi. Ke mana saja asyik menyondol tanpa mengira masa dan tempat. Bertambah keladak bertambah nafsu dan seleranya lantaran uncang perut sentiasa perlu diisi. Jenis ini akan menyondol ke mana saja yang difikir menguntungkan dan memenuhi seleranya.

8. Spesis tukang angguk pula bergelar ‘Burung Belatok’ dengan paruh bagaikan kapak tanpa henti mengangguk dan mengapak kayu walau sekeras mana kayunya demi memenuhi impian sebagai tukang angguk. Siang malam mengangguk sehingga belum pemimpin idolanya memuntahkan kata-kata sudah diangguk. Bila pemimpinnya bertanya ‘apa yang diangguk?’, sepantas kilat dia membalas ‘setuju’. Apa yang dipersetujui hanya dia, Tuhan dan malaikat saja yang mengetahui.

9. Dalam kesibukan amalan haiwan itu, ditambah ilmu ‘kera’ yang meloncat kesana-sini tanpa mengenal lelah. Sikit-sikit melompat walaupun masih boleh dibincangkan kaedah untuk mengatasi masalah yang didepani tetapi jika diberi kepadanya untuk diuruskan pastinya habis dibinanasakan. Terciptalah ungkapan ‘seperti kera mendapat bunga’. Itu belum lagi dikaitkan dengan tabiat mencurinya. Jangan leka sahabat, jika kacang sebungkus pun dicuri, sabun mandi pun diselongkar, yang lain harus dijaga daripada kera.

10. Spesis anjing pun banyak jumlahnya dewasa ini. Tabiat menyalak tidak dapat dipisahkan dengan anjing tianpa mengira siang dan malam walaupun hanya tikus yang melintas belum lagi perompak. Sabarlah sedikit wahai anjing, sikap kamu yang gemar menikam belakang sudah banyak menimbulkan masalah. Pantang leka ditikamnya dari belakang jika tidak berhati-hati. Namun begitu, jangan pula ia diperlekehkan, sentiasa merasa dialah yang hebat, dialah yang kaya, dialah yang kacak, dialah keturunan terhebat, dia lah paling bijak dan tegap berdiri mendabik dada dengan penuh bangga sehingga akhirnya wajah bertukar menjadi ‘merak’ yang sesekali disebut ‘merak buih’ di Utara Semenanjung Malaysia.

11. Haiwan dinamakan ‘biawak’ kurang berkeliaran di taman dan pekan kecuali di desa-desa tetapi semakin bertambah sejak akhir-akhir ini berpunca daripada limpahan kencing, hampas dan kumbahan yang semakin berleluasa. Biawak haiwan penjilat nombor wahid yang tidak kering lidah asyik menjilat. Di sana menjilat, di sini menjilat. Atas menjilat, bawah menjilat, ke kanan dan kiri semuanya dijilat. Tapi tidak la pulak semakin nipis lidahnya akibat menjilat. Mungkin bertambah tebal lidahnya akibat kebiasaan dan kekebalan yang dilaluinya sekian lama. Baginya, tanpa jilatan maka bukanlah biawak namanya dan amanahnya selaku biawak perlu ditunaikan.

12. Banyak lagi tabiat dan sikap yang menghampiri haiwan yang boleh dilihat melekat kepada manusia dan boleh dijadikan pedoman buat kita sebagai manusia yang manusia. Jauhilah sikap dan tabiat yang merosakkan martabat kemanusiaan yang begitu tinggi dianjak oleh Allah swt sehingga bergelar Khalifah. Kekhalifahan akan nyah dari kita jika kita kalah dalam menegakkan tunggak sifat-sifat yang dianugerahkan secara percuma kepada kita tetapi dihumban juga secara percuma dengan kaedah yang amat hina. Ingat kata-kata Bung Karno “Tunjukkan bahwa kita masih memiliki gigi yang kuat dan kita juga masih memiliki martabat.” Harta dan wang ringgit boleh diusahakan tetapi maruah dan harga diri sekali hilang akan pupus selama-lamanya.

Wallhualam

~: hnbk :~