Manusia itu tetaplah manusia

Salam..

Sebagai manusia, adalah menjadi fitrah untuk kekecewaan membaluti dan memeluk erat diri kita sekiranya kita merasa tidak dihargai dan dikesampingkan. Tersudut dari pengiktirafan dan penghargaan umpama
“meletup di sana, di sini pulak bunyinya”, orang lain berusaha, orang lain pula yang mendapat hasilnya. Namun apakah hanya dengan tidak dihargai dan diiktiraf si buta yang tidak dapat membezakan antara kaca dengan permata itu wajib diberi perhatian serius sehingga kemarahan satu minit itu yang akan mengakibatkan 60 saat penderitaan jiwa dan nurani kita? Kita tetap masih bergelar manusia walaupun tidak diberi jawatan dan pangkat yang lebih baik dari yang kita genggam, walhal kebaikan sebenar itu hanya Allah swt yang lebih mengetahui. Anjakan jawatan dan pangkat yang kita idamkan tidak akan menjadikan manusia itu dewa mahupun raja. Jika kita ingin terbang tinggi maka jadilah burung dan jika ingin ke dasar lautan maka jadilah ikan. Namun betapa hebatnya burung dan ikan, tetaplah ia bukan manusia dan pastinya kita memilih untuk menjadi manusia berbanding haiwan hatta hanya hidup sehelai sepinggang.

2. Menurut Prof Dr Syed Muhammad Naquib al Attas yang membuat perbandingan kebijaksanaan manusia dan burung. Menurutnya, “dalam masa 50 tahun mereka telah menjadi jauh lebih pandai dan handal dalam ilmu penerbangan daripada burung yang telah terbang lebih daripada 50 ribu tahun.” Selagi kita masih memiliki sifat syukur dan sabar, insyallah kita tidak akan pernah merasakan kehidupan kita ini hanya sia-sia dan dibelenggu azab tanpa sekelumit nikmat sedang jika mahu dihitung nikmat Allah swt yang kita kecapi, tak terbalas dan termampu kita fikir dengan fikiran yang waras. Yang sering terbeban dan menjadi masalah dalam diri kita dan masyarakat adalah apabila “Katak hendak menjadi lembu” iaitu sikap hendak meniru-niru kelakuan orang besar. Sanggup bersahabat dengan insan yang bernama insan namun hati dan jiwa dipenuhi longgokan najis bak kata orang tua-tua “Lurus bak parit” yakni betapa elok pun ia tetapi hatinya penuh dengan kebusukan.

3. Oleh yang demikian, wajib kita semaikan benih-benih syukur dan sabar dalam hati nurani kita agar tidak mudah disesatkan oleh renggutan iblis yang sentiasa membisikkan alunan kekecewaan dan ketidakpuasan hati manusia di mana penghujung destinasi adalah tidak lain dan tidak bukan disasarkan pada Maha Pencipta jika kita menyedarinyanya. Alangkah jahilnya kita hanya kerna setitik nikmat sanggup kita menjadi penderhaka dan manusia kufur nikmat.

4. Percayalah bahawa apa yang kita idamkan itu sebenarnya tidak lebih daripada bisikan iblis yang menjalar dalam segenap urat dan nafas dalam diri kita sehingga natijahnya akan dihumban bersama-samanya ke neraka jahanam. Pangkat dan jawatan yang diidamkan itu juga tidak akan membawa kita ke mana-mana walaupun sejengkal kecuali heretan ke pintu azab neraka. Kita akan tetap menjadi manusia walaupun kita hanya mampu memakan sesuap nasi dan tidak pula bertukar menjadi malaikat ataupun dewa dengan memakan yang enak-enak dan harga yang melangit walaupun ia jutawan. Cernaan samada sedap atau sebaliknya, banyak atau sedikit pastinya menghasilkan najis yang tidak pernah menzahirkan wangian walaupun siapa juga kamu.

Wallahualam

Advertisements

“Life is a journey, not a destination…”

Salam.. hampir 3 hari jeritan blog ini bergema di minda saya sehinggalah hari ini kesempatan yang sedikit walaupun sedikit juga keletihan merenggut saya dihadapi tantangannya. Ada sesuatu yang menarik saya untuk membongkok dan deras mencurah pengalaman singkat saya.

2. Itulah ungkapan popular Ralph Waldo Emerson seorang pensyarah, pemuisi, penulis essei dan pemimpin Gerakan transcendetalism di pertengahan abad 19. Tempoh tugas di Hatyai, Selatan Thailand yang singkat antara 21 – 23 Februari 2012 tidaklah sesingkat perjalanan sebenar jika kita mampu melihat apa yang tersirat dalam kehidupan kita. Sesungguhnya yang tersirat itu memenuhi rongga kehidupan setiap manusia sehingga yang tersurat itu hanyalah umpama setitik air dari samudera yang luas terbentang.

3. Ungkapan Emerson itu dapat dilihat secara jelas di bumi Gajah Putih yang sering dikaitkan dengan konotasi dan persepsi negatif khususnya yang melibatkan unsur kelucahan sedangkan banyak elemen positif memenuhi langit dan buminya. Ambil saja soal makan dan proses untuk kita diberi makan. Jika kita di Malaysia, soal menghias makanan dan layanan sebelum memboleh seseorang itu makan kurang diberi perhatian. Justifikasi umum dan popular yang sering digunakan ialah, “Alahh!! nak hias apa? dah masuk perut, akhirnya menghasilkan jawapan yang sama yakni najis.” Namun ianya agak berbeda dengan negara jiran kita ini yang mementingkan perjalanan walaupun destinasi itu tidak juga dikesampingkan. Jika buah-buahan, ianya dihias, digubah, dipotong, direkabentuk demi meningkatkan selera tetamu atau pembeli buah-buahan tersebut.

4. Jika destinasinya kuku yang pendek, maka proses memendek dan membersihkan kuku pelanggan menjadi keutamaan berbanding destinasinya untuk memiliki kuku yang pendek. Pelbagai kaedah dan langkah sebelum kuku dipendekkan termasuk, membersihkan kuku dan jari yang menjadi ibu kepada kuku itu, mengetip, menyapu pembersih dan ubat, membuang kotoran dan isi yang tidak diperlukan di kuku, sehinggalah kepada menyapu ubat penguat kuku dan pengilat. Betapa manusia diraja dan didewakan hanya dengan sejumlah kecil wang dalam tempoh perjalanan menuju destinasi.

5. Jika kita berkesempatan ke Pasar Terapung atau di kalangan penduduk tempatan di kenali sebagai ‘Thalat Nam’ @ Floating Market di Hatyai ini, banyak sekali kaitan yang boleh diterjemahkan kata-kata “Life is a journey, not a destination…” ini. Dari sudut suasana yang cuba dibangkitkan kepada pelanggan saja sudah jauh perbedaan antara negara kita dengan negara tersebut. Kita tidak perlu berada di Menam Chao Phraya di Bangkok untuk melihat senario ini. Penjual-penjual berada di dalam perahu dengan bahan-bahan jualannya sejak jam 3 petang sehinggalah lebih 10 malam setiap hujung minggu. Klimaks kesempurnaan suasananya dapat dirasai menjelang malam dengan keunikan dan keindahan cahaya yang dihasilkan lampu-lampunya. Penjual dengan topi ala tudung sajinya, jika minuman seperti air tebunya diisi dalam batang buluh, makanan-makanannya pula diisi dengan pelbagai hiasan dan bungkusan termasuk daun pisang, daun sireh dan macam-macam lagi demi menarik perhatian pelanggan dan semuanya dihulur pada pelanggan dengan batang kayu berbentuk seperti gayung. Faktor-faktor inilah dapat saya rasakan sebagai daya penarik dan menjadikan sektor pelancongannya hebat berbanding negara kita. Negara kita yang mempunyai kementerian khusus diketuai Menteri Pelancongan dan di peringkat negeri oleh Exco Pelancongan yang tidak kurang statistik lawatan sambil belajar masih tidak mampu bersaing apabila semangat dan matlamat mendasarkan ianya menjadi budaya masyarakat dan rakyat gagal dipenuhi. Ini berpunca daripada sikap yang hanya mengharapkan destinasi itu merangkak datang menyembah penjual, exco dan menteri. Ianya jauh berbeda dengan negara tetangga kita yang menitikberatkan perjalanan dan sudah pasti destinasinya menjadi singkat dan segera digapai.

6. Jika nak dititipkan disini, banyak lagi yang akan menjadi bandingan betapa peluang dan rahmat boleh bertukar menjadi musibah jika ianya disia-siakan. Sebenarnya, tidak ada insan istimewa samada manusia emas dan manusia perak di bebola mata Pencipta kecuali kita sendiri yang menjadikan diri kita besi buruk dan berkarat.

Wallahualam

Biarku terbangkan kuda sakti wahai Raja

Salam…

Kecelaruan minda samada di kalangan rakyat dan pemimpin, orang politik dan bukan politik, golongan ulamak dan umarak, hatta kepada peniaga dan kakitangan kerajaan juga dibelenggu masalah yang sama. Setiap hari ada saja cerita-cerita yang dipaparkan samada di media elektronik, cetak ataupun siber yang meruntun jiwa dan perasaan betapa insiden-insiden yang berlaku itu mempunyai kaitan dengan akar kepada permasalahan yakni kerakusan kuasa yang berselindung disebalik momokan yang memualkan iaitu ketelusan, demi bangsa, agama dan tanahair dan jutaan huruf-huruf yang diselewengkan dan bertahan di sisi kubu bernama hipokrasi.

2. Mana mungkin pengurusan dan perjalanan pentadbiran akan berkesan serta mencapai matlamat jika kontradiksi menjadi raja antara matlamat dan kepentingan? Kerna itu jugalah ada pepatah yang disebut sejak sekian lama “Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan”, “Mengata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih”, “Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak kelihatan” serta berbagai-bagai lagi cerminan hidup yang diterjemahkan melalui kiasan dan metafora yang melambangkan kayanya Bangsa Melayu dengan bahasa. Namun kekayaan itu tidak bermakna jika ianya tidak memakmurkan bangsa, rakyat dan tanahair. Rakyat dan tanahair diperjudikan oleh pencatur dan kita hanyalah buah-buah dam atau catur yang direncanakan mengikut perencanaan untuk mencapai kesempurnaan penulis skrip. Oleh itu, langkah dan gerak-geri bukanlah aneh jika berlaku sedemikian rupa kerna itulah aturanNya yang dibenarkan. Kita harus pasrah dan berusaha sekuat mungkin, namun hasilnya itu sudah ditakdirkan.

3. Kehidupan dalam melaksanakan tugas ketika ini kian mencabar. Ribut dan petir kehidupan menyambar tanpa mengenal sempadan dan masa. Salah langkah terbakar dan rentung dibenam dan disambar halilintar. Jasad berkecai, jiwa melayang dan hanya jiwa serta fikiran sahaja didoakan agar direnggut ke syurga bagi mengimbangi antara kehidupan sebenar dan khayalan di muka bumi ini. Tugas yang diamanahkan tidak lagi semudah membilang hari dan menggigit jari. Semuanya sudah seperti menjaring angin dan menuai badai. Terkadang umpama analogi tukang tebas rumput. Kita diarah menebas rumput sedang dalam proses menebas itu pastinya berbagai jenis makhluk yang hidup di situ termasuk spesis ular, jebon, kalajengking, dan lain-lain binatang berbisa yang akan terkena bilah mesin rumput. Matlamat penebas yang digariskan adalah memastikan rumput-rumput itu ditebas dan dibersihkan. Namun apa yang anehnya, ke semua spesis berbisa dan merbahaya ini disaktikan untuk mampu bersuara dan menzahirkan ketidakpuasan hati dan amarahnya pada penebas rumput yang diberi amanah. Dan lebih parah, ianya didengar dan dituruti sehingga penebas diambil tindakan kerna kononnya menganiaya spesis-spesis merbahaya ini. Inilah natijahnya jika keadilan dilihat dari lensa prejudis.

4. Demi sebuah nyawa dan peluang untuk memerdekakan diri, haruskah aku meminjam analogi ini untuk tujuan itu? Analaoginya adalah berkenaan seorang Raja dari Parsi yang menjatuhkan hukuman mati kepada dua banduan. Salah seorang banduan yang menyedari betapa sayangnya Sang Raja kepada kudanya mengambil jalan untuk meminta beliau diberi peluang agar diampunkan dengan syarat beliau menjadi guru kepada kuda Sang Raja sehingga kuda Sang Raja boleh terbang dalam beberapa tahun. Raja yang tertarik dengan tawaran itu serta membayangkan dirinya sedang menunggang satu-satunya kuda terbang di dunia terus melayan permintaan banduan tersebut. Banduan yang seorang lagi menyoal banduan yang memberi tawaran itu apakah beliau tahu akibatnya jika tawaran itu gagal ditunaikan? Banduan tersebut terus menjawab “Aku hanya sedang memberikan empat (4) kesempatan kepada diriku sendiri agar boleh menikmati kemerdekaan:

i) Mungkin raja akan meninggal dunia dalam beberapa tahun.
ii) Mungkin aku yang meninggal
iii) Mungkin kudanya yang mati, atau
iv) Mungkin aku benar-benar boleh mengajar kuda Sang Raja untuk boleh terbang!”

Wallahualam

Keadilan dari lensa prejudis

Salam..

Semua makhluk samada manusia, haiwan, jin dan seluruh isi bumi serta langit pastinya mengharapkan keadilan dihidangkan dihadapannya. Namun sejauh manakah keadilan dan erti keadilan sebenar itu mampu dinikmati? Dari sudut manakah keadilan itu dilihat? Keadilan itu sesuatu yang subjektif dan berpusat dari sisi dan arah mana lensa itu digerakkan. Jika ianya disudutkan dari ‘lensa prejudis’ pastinya keadilan itu akan menjadi adil untuk sipemegang lensa tersebut dan hukum alam menyatakan pihak yang difokuskan itu akan menjadi mangsa yang dizalimi kerana lawan adil adalah zalim. Benar seperti kata Umar Al-Khattab bahawa “Keadilan itu syurga orang yang terkena zalim dan neraka bagi yang zalim.” Namun di zaman yang serba moden dan sudah jauh meninggalkan Zaman Jahiliyah, masih terdapat manusia-manusia yang mulutnya melaungkan keadilan dan ketelusan serta integriti saban waktu tanpa jemu namun tindak-tanduknya tak ubah anjing jatuh ke dalam tangki najis yang cuba membersihkan bayi yang tidak berdosa dan bersih dari kotoran dan najis.

2. Kehidupan zaman ini memerlukan pengorbanan dan hati yang cekal kerna hanya yang cekal dan tabah akan terus dapat bertahan bukan saja perlu berhadapan dengan cabaran dari musuh, jauh lebih merbahaya dan zalim adalah musuh dalaman, teman-teman yang bertemankan hasad dengki dan fitnah, sekutu yang menyekutukan agama, bangsa dan tanahair, rakan kongsi yang hanya berkongsi keseronokan tapi enggan berkongsi penderitaan dan kesengsaraan, saudara mara yang hanya mara untuk merampas kebahagiaan dan harta benda kita dan pemimpin yang memimpin gerakan melemah dan melumpuhkan kita demi survival yang bertunjangkan ‘selfish’ dan ‘machiavelisme’. Yang ketara ialah politik tikam-menikam, curiga mencurigai dan ancam mengancam menular dengan pantas dan merosakkan sistem sediada tanpa belas kasihan. Siapa saja yang bersuara akan menerima padahnya.

3. Jika peperangan menzalimi mangsa-mangsa tanpa mengenal usia, jantina dan bangsa, maka kezaliman seperti ini juga tidak kurang bengis dan kejam terhadap mangsa-mangsanya. Seperti kata Dato’ Johan Jaafar dalam buku koleksi artikelnya bertajuk Nota Kaki Johan Jaafar, Pol Pot Bekas Pemimpin Khmer Rouge mempunyai masa lebih empat tahun mendera rakyatnya di Kemboja. Zaman pemerintahannya akan diingat dengan kengerian dan kebencian.”Tetapi Pol Pot baru akan muncul – kerana manusia sepertinya masih banyak dan menunggu peluang membuktikan “kebolehan” masing-masing.

4. Mutakhir ini, bangsa-bangsa di dunia di kalangan Muslim sedang dilanda masalah ketidakadilan secara meluas dan ianya semakin merebak menyerap masuk ke dalam institusi dan jentera kerajaan yang akhirnya akan meruntuhkan sesebuah negara lantaran sistem yang rosak dan berpaksikan yang di atas diampu, yang sama paras disigung dan yang di bawah diinjak. Oleh itu, secara kolektifnya ia menghasilkan refleksi terhadap individu atau kumpulan yang bermati-matian memperjuangkan organisasi ataupun intitusi yang diwakilinya pupus dengan sendiri dan jika masih wujud hanyalah umpama ‘bangkai bernyawa’ setelah jiwa dan pemikirannya direnggut dan dirantai menjadi hamba yang bukan hamba. Perhambaan jiwa dan pemikiran menjadi tradisi maka ramailah hamba-hamba sahaya yang menjilat-jilat sepatu tuannya dan yang tidak mampu diperhambakan akan dipasung dan disalib agar menjadi contoh terhadap yang lain jika terdetik keinginan memilih prinsip dari kepentingan tuan. Oleh yang demikian, maka proses pembiakan ‘kunta-kinte’ moden ini semakin subur dan natijahnya lahir institusi, organisasi dan negara yang berteraskan sistem perhambaan alaf baru dan matinya sebuah masyarakat yang cintakan ilmu dan kental memperjuangkan nasib bangsa dan tanahair. Sejarah yang sering diungkapkan akan berulang dan datang lagi dengan bangganya sepertimana kisah Si Kitol dan Pateh Karma wijaya di Zaman Kesultanan Melayu Melaka yang musnah lantaran suburnya budaya fitnah yang dijunjung, kezaliman yang melangit dan keadilan yang dilihat dari lensa prejudis…

Wallahualam

Demi Dakwah, Berjenakalah

Salam.

Pagi ini, saya berpeluang lagi mengikuti ceramah agama yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Perlis Dr Juanda bin Jaya. Beliau yang mengenali saya secara peribadi amat saya kagumi khususnya analogi dan celoteh bersahaja yang tersirat makna yang mendalam serta dapat di tafsirkan mengikut kesesuaian masa, tempat dan keadaan. Sebenarnya manusia tidak dapat lari daripada berjenaka dan ianya amat membantu dalam majlis-majlis ilmu dan ceramah bagi menghindarkan bosan dan jelak menguasai majlis. Antara yang menarik dapat dipetik dalam ceramah tersebut adalah ;-

2. Nabi Sulaiman ahs yang mempunyai jadual bermesyuarat dengan manusia, jin, haiwan termasuk burung. Beliau yang terkenal begitu teliti dan tegas dalam mesyuarat dan mengenali setiap ahli yang bermesyuarat ketika mempengerusikan mesyuarat dengan burung mendapati burung hud-hud tidak hadir dan berkata akan mengambil tindakan tegas sehingga tidak mampu dilupakan oleh burung hud-hud. Namun sebenarnya burung hud-hud menjalankan tugasnya untuk agama Islam dengan mencari maklumat sehingga terkeluar dari wilayahnya sehingga ke Yaman dan kebetulan menemui Istana Puteri Balqis yang di dalamnya didapati mereka di situ menyembah selain Allah. Burung hud-hud kembali dan melaporkan perkara itu sebelum Nabi Allah Sulaiman bertanya kerana bimbang dikenakan hukuman keras. Bayangkan sahabat-sahabat jika kita manusia yang selama ini sering ponteng mesyuarat dan banyak helah malah jika datang pun lewat? Pastinya sudah lama disingkir dari jawatan yang kita sandang selama ini.

3. Bagaimana jin-jin yang bekerja siang dan malam di hadapan Nabi Allah Sulaiman tanpa mengetahui bahawa Nabi Sulaiman sudah pun wafat sehinggalah rebah apabila tongkatnya patah akibat reput dimakan anai-anai. Betapa kita yang dianugerahkan akal mengambil ini sebagai iktibar jika kejadian ini yang mempunyai makna yang besar agar menjauhkan diri dari dipergunakan oleh jin ataupun manusia yang memberitahu dapat meramal atau meneka tentang perkara-perkara ghaib seperti hal-hal berkaitan pawang dan dukun. Jika di hadapan mata mereka sendiri jin-jin ini tidak mampu mengetahui ini kan pulak hal-hal lain yang pastinya semuanya dusta belaka.

4. Bagaimana Umar Al-Khattab memeluk Islam setelah mengetahui adik kandungnya sendiri telah memeluk Islam dan semasa beliau pergi ke rumah adiknya Fatimah mendapati mereka sedang membaca Al-Quran. Adik perempuannya nya itu melarang beliau memegang Al-Quran kecuali selepas mandi dan Umar mandi dan membacanya di mana sebelum itu amat marah kepada adiknya itu. Selepas membacanya, Umar yang teruja terus memeluk Islam sedangkan sebelum membaca telah memukul adiknya sehingga cedera rahang mulut. Iktibarnya ialah, jika orang bukan Islam asyik dilarang membaca Al-Quran, bagaimana mereka akan mengetahui kehebatan dan kebaikan Islam untuk membolehkan mereka memeluk Islam? Dan sekembalinya di rumah beliau berkata kepada anaknya yang bongsu bernama Abdullah, engkau jangan berkata-kata dengan aku selagi engkau tidak memeluk Islam dan anaknya menjawab, “Ayahku, aku telah lama memeluk Islam” dan Umar dengan segera mencapai rotan dan memukul anaknya kerna tidak menasihati Umar untuk memeluk Islam yang bermaksud membiarkan ayahnya menjadi penghuni neraka jika tidak memeluk Islam. Alangkah banyaknya analogi yang dapat dipetik untuk dijadikan panduan dan teladan dan betapa ingat mengingati itu juga termasuklah kepada orang yang lebih tua dan ibubapa kita sendiri.

5. Bagaimana Saidina Umar menggunakan kebijaksanaannya utk menyebarkan berita beliau telah memeluk Islam dengan menggunakan khidmat tukang gossip. Di zaman tersebut yang ketiadaan media seperti sekarang termasuk internet, tukang gossip merupakan kaedah paling efektif sehingga sekarang ini di mana tukang gossip bernama Jamil itu berjanji tidak akan memberitahu orang dan Umar sememangnya berpura-pura memberitahu Jamil untuk tidak memberitahu orang lain sedang beliau memang tahu Jamil akan menghebahkannya. Iktibarnya, kita harus berhati-hati dengan tukang gossip juga berwaspada dengan golongan ini yang semakin ada tanda-tanda kita ingin menjaga rahsia tersebut, maka semakin ghairahlah beliau untuk memberitahu orang dan kaedah ini merupakan wadah paling berkesan sehingga kini dan menjadi senjata utama menghancurkan integriti dan kredibiliti seseorang. Moralnya, petua untuk menjaga rahsia adalah “Jangan memberitahu rahsia kita kepada orang lain”.

6. Sebenarnya banyak perumpamaan, metafora, analogi, anekdot dan pelbagai lagi jika kita sentiasa menjadikan akal sebagai senjata utama menggali ilmu untuk kita mendepani kehidupan harian. Terpulanglah bagaimana kita mencungkil sumber ilmu walau di mana saja kita berada.

Wallahualam

HNBK

Babi tidak akan menjadi arnab

Tindakan dua bekas ahli Umno menyertai DAP dan kini ligat mengkritik kerajaan, iaitu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, dan anggota Umno Negeri Sembilan, Aspan Alias tidak harus dilihat sebagai usaha mengbankrupkan UMNO dan memperkayakan Pakatan Rakyat (PR). Malahan ianya satu rahmat Ilahi serta tanda-tanda bahawa DAP dan kuncu-kuncunya sudah ketandusan isu dan modal dengan menjadi pengemis dengan mengutip sampah sarap yang sedang mendepani sindrom penyakit yang amat parah yakni ‘gila talak’. Gila talak yang terus mengakar untuk menjadi calon dan dalam perkiraan pengidap ini tindakan mereka itu akan membuka peluang untuk sekali lagi menjadi calon dalam PRU 13 akan datang sebagai calon DAP dalam pilihan raya umum untuk menarik sokongan pengundi Melayu kepada parti itu.

Patah tumbuh hilang berganti dan insyallah penggantinya akan membantu bangsa Melayu dan Islam agar lebih cekal dan berwibawa untuk berdepan dengan cabaran yang semakin rumit hasil tangan-tangan ghaib yang aktif dan secara sistematik berusaha membinasakan Malaysia dengan menggunakan kaedah yang mirip seperti apa yang berlaku di Libya dan Syria sekarang. Hanya tahap penglibatan dan pendekatan itu dilihat masih di bawah paras ‘acute’ berbanding kedua-dua negara di Timur Tengah itu yang disumbat dan dilambakkan dengan ‘Pemberontak Jadian’ dan juga senjata melimpah ruah untuk menggulingkan kerajaan yang sah negara terbabit.

Kebimbangan kita adalah kerana sebahagian rakyat yang tidak mampu menafsir pendekatan dan campurtangan yang tidak bermoral ini dan dianggap sebagai tindakan menyelamat sedangkan ianya adalah usaha menggulingkan kerajaan dan saling tak tumpah umpama mewujudkan ‘Karzai Kedua’ di negara ini. Jangan biarkan nasi menjadi bubur dan kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Babi tidak akan menjadi arnab dengan hanya diletakkan di atas talam emas atau dimandikan dengan minyak wangi yang hebat. Haram itu tetap akan menjadi haram dan haramkan pengkhianat bangsa, agama dan tanahair dari memulakan langkah awal demi cita-cita peribadi yang melonjak dalam dirinya yang tidak mampu dipadamkan melainkan hukum alam yang mengintai beliau untuk diadili.

Wallahualam
HNBK