Orang Upaya & OKU

As-Salam,

1. Pagi tadi ke Alor Star jalan-jalan di Pasar Kg Berjaya yang banyak jual barang-barang ‘RARE’ yang memang menarik sangat. Penjual ada yang datang sejauh dari Ipoh, Kulim, Penang dan cerok kampong untuk mencari nafkah dan bekalan hari raya. Setiap jumaat lokasi ini menjadi tumpuan penggemar wang lama, barang antic, lagu-lagu lama, ubat-ubatan dan pelbagai barang lain yang menarik buat penggemar dalam kelompok sama.

2. Sebenarnya niat di hati ingin beli Mingguan Warta Perdana terbaru kerana artikel HNBK keluar hari ini tetapi malangnya apabila dihubungi penjual akhbar maklumkan belum sampai dari Kuala Lumpur stoknya. Selepas ke pasar tersebut, singgah sebentar di Taman Pandan urusan ‘homestay’ yang diurus secara sambilan dan pulang ke Jitra. Dalam perjalanan sempat membeli ikan kembong untuk kucing-kucing di rumah yang sentiasa nantikan ikan rebus dari HNBK. Sebelum pulang singgah mengisi minyak kereta di pecan Tanah Merah, Jitra. Nasib baik lorong untuk pengisian diesel taka da orang dan kelihatan seorang petugas melambai-lambai masuk ke lorong tersebut. Tampak ramah dan mesra sesuai dengan slogan MESRA Petronas.

3. Selesai memasukkan kad kredit petugas di lorong itu memberikan isyarat seperti penuh atau tidak. Dia menunjukkan perkataan yang bertulis harga sebenar dan harga petrol dan diesel yang disubsidi. HNBK melihat tanda namanya turut dicatat OKU. Fahamlah HNBK yang petugas ini OKU namun sejak awal pengisian diesel sehingga selesai, beliau tak henti-henti berkomunikasi dengan HNBK walaupun tidak dapat bercakap. Sebaik selesai, HNBK menghulurkan tangan sebagai ucapan terima kasih dan dia tersenyum melambai sehingga HNBK berlepas pulang.

4. Alangkah istimewanya ciptaan Allah dalam kehidupan seharian kita. Yang mampu bercakap dan berkata-kata sombong tak mahu bercakap dan jika bercakap dengan pelanggan juga dengan bengis dan sombong sedangkan yang cacat dan tidak boleh bercakap terlalu mesra dan terus berkomunikasi dengan kita. Kesimpulannya, mungkin dunia ini penuh dengan manusia yang bisu dan hanya dibezakan antara yang sombong dan angkuh dengan mensyukuri nikmat Allah swt.

Wallahualam

~: hnbk :~

bahasa isyarat

MISKIN TEGAR

As-Salam,

1. Fenomena ‘Tegar’ penyanyi cilik dari Indonesia mantan pengemis tiba-tiba menjadi begitu popular dan laris gara-gara kehebatannya bermain gitar dan menyanyi dengan lagu ‘hit’nya ‘Aku Yang Dulu Bukanlah Sekarang’ ternyata menggaris sesuatu untuk difikir. Tegar Septian adalah pengemis jalanan yang hidup serba kekurangan. Bahkan, menurut ibunya, Ratna, untuk makan setiap hari perlu melalui kesulitan yang amat sangat. . “Kalau minta makan sama keluarga, harus nangis-nangis dulu,” katan ibunya Ratna mengenang masa susahnya. Sekarang, Tegar telah menjelma menjadi penyanyi cilik yang terkenal dan dihujan undangan menyanyi di TV, baik di dalam dan juga luar kota di negara tetangga itu. Pendapatan ‘Tegar’ begitu lumayan sehingga sudah mampu tinggal di apartmen mewah dengan ditemani pembantu ke mana saja dengan kenderaan mewah. Tegar adalah anak sulung dari tiga adiknya dan mempunyai seorang ibu yang juga mengemis di stesen keretapi dan dia mempunyai seorang bapa tiri yang bekerja sebagai buruh kasar. Tegar belajar menyanyi sejak usia empat tahun dan dia mulai mengemis sejak usia tujuh tahun dan kini umurnya sudah mencecah 11 tahun sebelum kemewahan hinggap di bahunya.

2. Tegar bangkit membuktikan bahawa kemiskinan adalah KUASA yang amat berharga untuk menjadi manusia luarbiasa. Kepedulian akan datang selepas babak kejayaan sudah mengambang di muka pintu. Yang dulunya tidak kenal akan terlalu kenal, yang dulu menggunjing lidah dengan umpatan kini berbuih-buih menasbihkan hubungan saudara. Lirik lagunya yang cukup menarik dan menyentuh perasaan “Aku yang dulu bukanlah yang sekarang, Dulu ditendang sekarang ku disayang” bagaikan mencarik-carik jantung dan hati aku yang pernah melalui denai kesusahan di zaman kanak-kanak.

2. KUASA mutlak dan hakiki yang turun dari langit memakmurkan Tegar setelah kemiskinan membanjiri kehidupannya dan keluarga. ‘Tegar’ muncul sebagai kanak-kanak istimewa yang keluarbiasaannya bagaikan ‘magis’ namun bukannya sihir. Impak fenomena ‘Tegar’ membuka mata seluruh jagatraya bahawa ‘kemiskinan’ telah menjadikan manusia jauh dari sifat kebergantungan sesama manusia. Kemiskinan menjadikan manusia KEBAL dari rasa malu, kecewa, putus asa dan takut yang merupakan ramuan dan perencah kepada kejayaan seseorang manusia. Manja keterlaluan hanya mendekatkan bukan saja manusia, bahkan haiwan juga kepada kekurangan imuniti serta meningkatkan daya kebergantungan mereka kepada makhluk lain selain Allah swt. Mereka lebih rela menyembah manusia asal dimanja dan dibelai sedangkan penyembahan hanyalah satu-satunya kepada Allah yang SATU.

3. Namun tidak juga mustahil yang menyembah sesama manusia itu pernah melalui jalan yang sama seperti ‘Tegar’ atau setidak-tidaknya menguliti kesusahan ketika kecil sehingga dewasa sebelum melihat cahaya wang ringgit dan timbunan harta tetapi alangkah malangnya mereka kerana sehingga sekarang tetap dan terus miskin jiwa dan raga lantaran menjadi pengemis atas kerelaan sendiri dan bukan takdir yang ditimpakan kepada mereka. Mengemis simpati untuk mendapat wang ringgit dan harta walaupun sudah kaya, mengemis pangkat dan jawatan walaupun yang ada itu tidak dipenuhi tuntutan amanahnya. Inilah bahaya kemiskinan jiwa dan raga sehingga maruah dan prinsip diri menjadi taruhan. Machiavellian bukan itu caranya dan strategi juga tidak membenarkan sehingga kita menggadai diri bagaikan pelacur. Hidup biar bermaruah dan mati janganlah sampai kuburan diludah. Kekayaan sebenar tidak berada di akaun bank berjuta dan berbilion ringgit sebaliknya berada di dalam hati dan jiwa kita. Berapa ramai manusia yang tamak haloba mengejar pangkat sehingga buta mata dan hati tidak mampu melihat sempadan antara halal dan haram, fitnah dan kebenaran. Setelah pangkat dan jawatan yang dikejar sudah berada di riba, kesihatan direnggut dan hidup terlantar kesakitan. Detik itu menjadikan manusia menyesal sepuas-puasnya bahawa rezeki dan kekayaan sebenar tidak akan dapat ditukarganti dengan kebahagiaan hati dan fikiran, kesihatan dan jauhnya kita dari kesakitan. Mahatma Ghandi pernah menyebut bahawa “kekayaan sebenar adalah kesihatan, bukannya kepingan emas ataupun perak” kerana kesihatan tidak dinilai sehinggalah penyakit datang.

4. Orang kaya tidak akan mampu melakukan segala-galanya dalam hidup ini dan pastinya yang miskin jugalah akan membantu mereka sepertimana mana Peribahasa Rusia “Si Kaya mungkin terpaksa memakan duit, mujurlah si miskin menyediakan makan”. Tidak mungkin si kaya akan menjadi tukang kebun si kaya yang lain dan mustahil si kaya yang lainnya akan menjadi pemandu kepada si kaya yang seorang lagi. Lebih baik menjadi kaya pada diri sendiri walaupun miskin di mata kawan-kawan mahupun yang memusuhi. Kekayaan akan menjadikan manusia semakin tamak dan kikir sepertimana yang diungkap oleh Christina Stead “Jika semua orang kaya di dunia ini membahagikan wang mereka sesama mereka, ia tidak akan mencukupi”. Oleh yang demikian, marilah kita berbakti dengan sama-sama mencegah kemiskinan dari membiak kerana walau setinggi langit kekayaan kita, ia tetap perlu ditinggalkan untuk mereka yang masih hidup. Sedangkan kita berdepan dengan tanggungjawab besar menghitung soalan yang perlu dilangsaikan atas harta yang ditinggalkan ketika di sana nanti.

Wallahualam

~: hnbk :~

Tegar-Pengamen-Cilik1

BAHAYA POLITIK NIAGA

As-Salam ,

1. Hubung kait politik dan kekuasaan seringkali menjadi bahan perbincangan sejak zaman-berzaman. Dari lingkaran figur politik, tokoh akademik hinggalah ke sudut kedai kopi hujung kampung isu ini tanpa jemu menjadi bahan perdebatan. Kuih-muih berbesen-besen, bihun goreng dan nasi lemak berperiuk belanga, kopi dan teh bertong-tong langsai dikumbahi pendebat-pendebat samada yang berkelayakan mahupun sebaliknya. Namun, hasilnya tetap sama, yang kaya terus menimbun kekayaan, yang miskin dan papa mengesat airmata sedih mengenangkan nasib diri, keluarga dan masa depan yang terhimpit dalam jebakan ekonomi yang tidak mudah meloloskan diri. Slogan dan manifesto kekal bergemuruh disambut sorak-sorai nan gempita oleh keluarga, kroni dan penyokong yang gembira meratah kekuasaan walaupun hakikatnya adalah ‘retorik’ tanpa kesudahan. Mungkin keyakinan mereka cukup tinggi bahawa rakyat yang melata akan kenyang disumbat dengan ‘retorik’ serta janji sedangkan realitinya apa yang penting adalah bagaimana rakyat diletakkan pada situasi kehidupan yang lebih selesa berbanding sebelumnya. Kata-kata ‘semoga hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini’ kian jauh dari jangkauan jika amalan figur-figur politik terus tidak berubah dan tegar kekal dalam kegelojohan mengaut kekayaan dan membelakangkan keperluan kelompok marhaen.

2. Latarbelakang pemain politik yang bercita-cita menjadi pemimpin mana-mana parti politik dan kerajaan tidaklah tumbuh pra-syarat samada harus datang dari kalangan guru, petani, nelayan, kakitangan awam, tokoh akademik, kelompok professional ataupun ahli perniagaan. Yang utama adalah keikhlasan, kejujuran, amanah dan kesediaan mendengar rintihan rakyat disamping memenuhi keperluan yang ‘wajib’ ada pada setiap pemimpin selain yang telah disebutkan tadi. Tugas sebagai pemimpin hari ini amat mencabar kerana ia membabitkan proses perancangan dan penggubalan dasar terbaik demi kesejahteraan rakyat. Untuk itu, pemimpin yang memiliki kualiti pendidikan yang baik serta mempunyai halatuju kepimpinan perlu diberi diberi pertimbangan khusus .

3. Kecelaruan politik yang dipertontonkan kepada rakyat sejak kebelakangan ini sebenarnya didakwa berpunca daripada pemilihan pemimpin samada diperingkat parti dan juga kerajaan tanpa melihat soal ‘merit’. Pesanan Rasulullah saw bermaksud “Apabila amanah diberikan bukan pada ahlinya, tunggulah saat kehancuran” harus diterjemahkan kepada tindakan dan tidak sekadar bahan dagangan dengan tujuan politik. Zaman selesa berada di kerusi sidang parlimen sudah berakhir buat pemerintah dan bukan juga tempat memanaskannya atau ‘tidur sambil duduk’. Dengan jumlah Ahli Parlimen (AP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang kian meningkat dan mengejar hampir pada kedudukan seimbang di peringkat pusat malah di sesetengah negeri yang dikuasai mereka, berada di dalam Sidang DUN dan Parlimen adalah satu tugas berat. Apatah lagi yang berlenggang kangkung tanpa persediaan sehingga dilihat menjadi ‘budak belasahan’ setiap kali jawapan dibalas kepada pihak pembangkang. Keadaan seperti ini semestinya mencerminkan betapa jauhnya jarak reputasi dan prestasi Ahli Parlimen BN berbanding pembangkang dari kaca mata rakyat. Seperti yang selalu disebutkan oleh banyak pihak bahawa zaman sekarang yang penting adalah persepsi samada betul atau salah sudah menjadi kurang penting. Perang persepsi menguasai rakyat dan bagi mereka yang gagal menguasai kemahiran menguruskan persepsi rakyat, janganlah pula alasan yang diberi juga mengheret satu lagi persepsi buruk terhadap kerajaan bahawa kabinet yang dimiliki negara ketika ini tidak jauh bezanya dengan ‘kitchen cabinet’.

4. Jawapan terhadap isu-isu penting yang menarik perhatian rakyat sewajarnya diperhalusi sebelum dilantunkan samada kepada pihak media dan Dewan Rakyat. Seringkali persoalan yang membungkam minda banyak pihak di negara ini termasuk di kalangan pengurusan tertinggi kerajaan adalah kenapa kerajaan dilihat masih gagal menonjolkan kepada umum kewibawaan dan karisma pemimpin mereka kepada masyarakat di negara ini? Rata-rata jawapan yang diperolehi menunjukkan bahawa ianya berpunca daripada kegagalan menguruskan media dan konflik setiap kali berada pada kedudukan tersebut. Mengambil isu kenaikan harga ayam dan isu dakwat kekal yang dijawab oleh menteri-menteri berkaitan telah menjadi bahan jenaka di kalangan rakyat samada di kedai-kedai kopi, media sosial dan juga di kalangan orang-orang politik sendiri. Ketiadaan sistem penyelarasan sesama menteri dan kementerian serta kemampuan menguruskan media dan konflik telah menambah kekusutan sediada sehinga ianya mudah dimanipulasi dan dieksploitasi oleh pihak bertentangan dan natijahnya adalah rakyat hilang keyakinan terhadap pemerintah. Merenung kembali isu harga ayam yang telah berlarutan sejak awal Ramadan sehingga kini masih bercakaran sesama Pak Menteri , kementerian, pembekal, penternak dan rakyat, maka harus direnung apa kata Thomas Carlyle ahli falsafah sosial paling hebat pada Zaman Victoria dari Scotland, “Ajarlah burung kakak tua menyebut ‘bekalan dan permintaan’, dan anda akan mendapat seorang ahli ekonomi. Sewajarnya, “pendeta lebih arif berfikir dan pendekar jangan sampai kehilangan keris.”

5. Jika dahulunya, kebanyakan pemimpin tinggi politik dan kerajaan terdiri di kalangan guru-guru, namun kini majoritinya terlibat dengan perniagaan. Mungkin ada kebenaran yang diungkap oleh Mantan Menteri Kewangan yang cukup dikagumi Tun Daim Zainuddin ketika beliau membayangkan hasrat untuk meninggalkan kariernya sebagai sebahagian dari tokoh politik utama negara dan jawatan paling berkuasa sejak lama dulu iaitu Menteri Kewangan. Katanya “oleh kerana orang seperti beliau mempunyai wang yang banyak, adalah merbahaya bagi orang sepertinya untuk mempunyai cita-cita yang tinggi dalam politik. Tegasnya, sebagai ahli perniagaan, saya sudah biasa dengan percaturan dan perlumbaan perniagaan. Saya menggunakan apa juga yang saya ada untuk mencapai cita-cita tertentu. Jika saya mempunyai cita-cita politik, saya berkemungkinan besar akan menggunakan cara yang sama untuk mencapai cita-cita saya. Ini membahayakan parti dan negara. Jadi lebih baik saya tidak mempunyai cita-cita politik.(Chamil Wariya. (1990). Pandangan politik era Mahathir. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd). Namun kini, kesongsangan dari apa yang difikirkan oleh Tun Daim itu menjadi lumrah. Merekalah ahli perniagaan dan mereka jugalah pemegang tampu kuasa politik dan kerajaan dan saling berlumba antara satu sama lain. Oleh yang demikian, kebimbangan mantan Menteri Kewangan itu tidak dilakukan oleh beliau tetapi diteruskan oleh pelapis yang melapiskan timbunan kekayaan buat diri, keluarga dan penyokong. Bahaya inilah yang patut dijauhkan dan apa yang dahulunya sering disebut oleh Allahyarham Aminuddin Baki: “Pemimpin politik Melayu mestilah tegas berusaha agar itik di air jangan sampai mati dahaga dan ayam di kepuk jangan sampai mati kebulur” tidak menjadi kenyataan.

6. Banyak yang disebut oleh Tun Daim kini menjadi kenyataan sepertimana ramalan beliau terhadap keputusan Pilihanraya Umum (PRU) ke 12 pada tahun 2008 dan juga PRU 13 pada bulan Mei lalu yang membekaskan ribuan kesan lebam pada sejarah PRU di negara ini. Kata-kata Mantan Menteri Kewangan itu seakan sumpahan yang memakan parti dan kerajaan pimpinan BN setelah amaran demi amaran yang disuarakan oleh beliau, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk A Kadir Jasin termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tentang bahaya rasuah politik wang dan merasuah rakyat. Saya amat tertarik dengan catatan yang diterbitkan dalam Dewan Budaya bertarikh 1 Julai 1985 yang sudah menjangkau 28 tahun tetapi masih dekat dengan isu yang membelenggu negara ketika ini. “…. Datuk Bahaman bergelar Orang Kaya Semantan disebabkan kegagahannya. Dato’ Onn Jaafar dimuliakan kerana kepandaian dan kebolehannya menyatukan orang Melayu dan menubuhkan UMNO. Begitu juga pemimpin-pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr. Ismail, Tun Hussein Onn hinggalah kepada Dr. Mahathir, kesemuanya dipilih berdasarkan kualiti dan daya kepimpinan. Mungkinkah pada masa akan datang muncul Perdana Menteri Malaysia yang menggunakan wang untuk mempengaruhi dan memancing pengundi? “ Tidaklah saya bermaksud untuk mengatakan ianya dikaitkan dengan mana-mana pemimpin, namun, jika melihat kepada persepsi dan ‘simptom’yang berbunga di sekeliling singgahsana, harus ada usaha meluruskan yang bengkok dan mengukuhkan tiang yang longgar jika tidak berhajat mati beramai-ramai dihempap keranda yang diusung.

7. Negara sebenarnya adalah HARTA yang dimiliki oleh seluruh rakyat dan bukan milik peribadi mana-mana orang tidak kira rakyat negara ini mahupun daripada luar. Menjadi kewajipan setiap rakyat tidak mengira status seseorang itu, jika sayangkan tanahair, marilah sama-sama kita menjaga dan mempertahankannya dari jatuh ke tangan orang yang salah. Penyakit yang melanda kepimpinan Melayu perlu dikenal pasti dengan betul bagi menentukan samada “Apakah penyakit kepimpinan Melayu sekarang hanya memerlukan asipirin, panadol atau memerlukan pembedahan.” Pierre-Joseph Proudhon Bapa Fahaman Anarkis Perancis pernah berkata “Harta adalah pencuri”. Jika harta adalah pencuri, siapa negara dan siapa pencuri? Soalan yang sukar dijawab namun hanya hati dan jiwa yang luhur mampu membuat telahan. Jonas Edward Salk ahli biologi Amerika Syarikat turut menyahut seruan saya untuk menyambung kalimah akhir buat kali ini dengan kata-kata “Tanggungjawab kita yang paling besar dan paling mencabar ialah menjadi nenek moyang yang baik”. Jadi, jangan biarkan nenek moyang disumpah-seranah akibat kecuaian lalu yang masih dapat diperbetulkan sekarang.

Wallahualam

~: hnbk :~

(19 Julai 2013 @ 02:43am)

Political+Animals

RAHMAT SEBALIK DUGAAN

Salam,

1. Sebaik-baik ketentuan itu adalah daripada Allah swt dan sebagai manusia kita hanya mampu merancang tetapi yang menentukannya adalah dariNYa jua. Tidak sedikiti yang bersyair dan berpuisi ayat ini di mana-mana sahaja tanpa jemu namun pada masa yang sama turut menafikan kebenarannya. Jika kita merenung kembali segala detik susah-senang kita selama hayat dikandung badan, banyak tindak-tanduk kita seakan-akan menentang ketentuan Ilahi ketika berlakunya sesuatu yang songsang dengan kehendak kita. Padahal ianya adalah sebaik-baik ketentuan dan setelah masa mengubati kesedihan dan kesengsaraan yang dihadapi, akhirnya kita menerima dan mengakui itulah sebaik-baik pilihan.

2. Jumlah manusia yang sering memperkecilkan keesaan Tuhan semakin membesar tanpa disedari atau sengaja enggan memahaminya. Jika berlaku sesuatu perkara ataupun keputusan yang dibuat oleh seseorang, maka akan muncul suara-suara sinis “Bodohnya buat perkara itu, tak guna otak dia ni” dan berbagai lagi kebijakan yang diangkat pada diri sendiri sedangkan yang tersirat dari penghinaan ini adalah penghinaan ketentuan Allah swt. Tidak ada sesuatu di mukabumi, di langit, lautan dan segala makhluk yang wujud akan dapat melakukannya tanpa izin Allah swt. Maha Pencipta lah yang lebih mengetahui perencanaan terbaik untuk setiap dari kita. Dibisikkan kepada makhluk ciptaannya untuk melakukan sesuatu itu penuh hikmah dan mengikut perencanaan maha sempurna. Sesuai dengan judul monograf Tuan Guru Nik Aziz “Kalau Begitu Maka Begini” yang bertepatan dengan kehidupan manusia. Jika berlaku sesuatu begitu sebenarnya Allah swt sudah mengaturnya begini. Oleh itu, siapa kita sebenarnya untuk mengatakan tindakan tersebut diselimuti kebodohan sedangkan penilaian manusia adalah hasil daripada pengalaman dan corak pemikirannya. Bagi yang mengejar pangkat, bodohlah nampaknya sesiapa yang tidak melakukan sama seperti cita-citanya mengejar pangkat. Untuk yang mengejar harta dan kedudukan pula tidaklah cerdik jika membiarkan harta direbut orang lain walaupun ianya haram. Sedangkan, setiap manusia yang diciptakan Allah swt itu berbagai-bagai ragam citarasa, kehendak dan pola fikir. Ada yang tegar mempertahankan prinsip dan maruah walaupun risiko menjadi korban adalah satu-satunya pilihan yang ada dan pastinya buat yang ketagihan dan kemaruk pangkat, darjat, harta dan segala bentuk habuan tindakan mempertahankan prinsip dan maruah adalah sebodoh-bodoh manusia. Sebuah peribahasa mengatakan ”lain padang lain belalang, lain lubuk lain ikannya” maka kewajaran membuat andaian berdasarkan penilaian sendiri atas masalah orang lain umpama menilai kepandaian ikan dengan menilai kemampuannya memanjat pokok.

3. Cermin dan imbaslah setiap yang berlaku pada diri kita pastinya kita akan teruja setinggi langit dengan perjalanan kisah hidup masing-masing yang penuh dengan ‘siratan’ di dalam tersirat sehingga kita menjadi kita yang ada sekarang. Ketika perjalanan hidup itu getir sebenarnya itu adalah pentarbiyahan buat kita menjadi sabar, kisah-kisah duka dan lara yang didepani dahulu semuanya adalah madrasah kehidupan yang terlalu bernilai menjadikan kita yang sebenar-benarnya KITA. Kepahitan hidup yang dilalui itu pastinya dengan niat memberi kita ilmu membezakan antara yang pahit dan manis. Tiada rasa ketuhanan jika tiada ujian, tiada rasa kehambaan jika tiada kepasrahan, tiada rasa pergantungan jika tiada kepayahan. Segala yang berlaku jika dihuraikan dengan penuh penceritaan tentang hikmah disebalik dugaan dan rintangan yang Allah turunkan buat kita, sehingga kiamat tidak akan terungkai.

4. Kitab suci Al-Quran menyebut “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.” (terjemahan al-Baqarah 2:164). Bagi yang angkuh dan tidak mahu menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Maha Pencipta ini, tiada sesuatu yang lebih besar mampu membuat mereka berfikir. Detik terhimpitnya mereka tanpa harapan untuk melepaskan diri dengan nafas tercungap-cungap mungkin akan hadir keinsafan sepertimana apa yang berlaku pada Qarun yang dihimpit bumi baru menyesali perbuatannya.

5. Limpahan nikmat harta kekayaan kepada Qarun yang sombong membuktikan Allah tidak menyekat nikmat tersebut. Terkenalnya Qarun juga disebabkan gagal menangani dugaan atas harta yang melimpah-limpah sehingga ia terkenal bukan atas kebajikan buat manusia tetapi harta yang menjadi punca renggutan bumi menelannya. Kisah Qarun menjadi ibrah pada manusia yang ingin mengambil iktibar. Insan yang tidak mensyukuri atas nikmat yang diberikan boleh melahirkan sifat buruk yang lain tanpa disedarinya. Itulah puncanya Qarun gagal melihat sisi keburukan ciptaannya sendiri lantaran menilai sesuatu atas pengalaman dan pengetahuan serta nafsu yang menggelegak di dalam jasadnya sehingga hatinya terkurung dengan nikmat yang melimpah-ruah.

6. “Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.” Berani kerana benar takut kerana salah. Pertahankanlah bangsa, agama dan tanahair hatta jiwa dan ragamu terpaksa dikorbankan. Hidup hanya sekali tiada dua dan tiga untuk setiap manusia. Orang yang paling berkuasa adalah orang yang dapat menguasai dirinya sendiri dan tidak sekali-kali mengikut kehendak orang lain. Akal, jiwa dan fikiran kita merdeka atau dijajah atas kerelaan sendiri maka dengan itu pilihlah antara kedua-duanya.

Wallahualam.

~: hnbk :~

redha

SALAH BANTAL

As-Salam ,

1. Hari ini hari kelima kita menjalani ibadah puasa dalam Bulan Ramadan yang mulia ini. Namun, keselesaaan tiba-tiba direnggut akibat sakit tengkuk yang membuahkan kesedaran nikmat tidak sakit. Tengkuk sakit dan perit nak berpusing ke sebelah kanan setiap kali berbuat demikian. Sejak bangun pagi ini bersahur sehingga sekarang sakitnya bukan kepalang. Kata orang lama “SALAH BANTAL”. Mungkin bahasa yang diperbaharui ” BANTAL SALAH”. Nada hampir sama dengan maksud juga saya kira tidak berbeza jika tidak diperhalusi. Jika diintai celahan maksud SALAH BANTAL mungkin dimaknai dengan kata tersalah membantai sasaran dan BANTAL SALAH pula mungkin bermaksud hanya kamu, tidak lain dan tidak bukan kamu lah yang salah wahai BANTAL.

2. BANTAL yang berjasa sekian lama membawa kita ke alam lena, mimpi dan menghilangkan keletihan turut dipersalahkan apabila kita sakit. Bayangkan tidur tanpa BANTAL pastinya lebih besar SALAH TILAM dan SALAH LANTAI bunyinya. Yang rendah memang salah, yang di bawah selalunya salah tidaklah benar memihak kepadanya dan yang di atas sentiasa benar. Biasanya seseorang yang BANTAL di atas rasanya tuan bantal dah lama ‘Qolu’ kata sahabat berjenaka. Bukankah dasar lautan itu pelengkap permukaan lautan dan bumi itu dihiasi langit dengan segala isinya termasuk bulan, bintang dan matahari? Tanpa bawah di mana agaknya yang di atas? Wujudkah atas tanpa bawah? Mampukah bangunan pencakar langit tegak berdiri tanpa lantai dan tapak yang terus memikul beban tanpa sedikit rungutan dengan keberatan besi, batu-bata dan segala isinya? Bolehkan dahan-dahan, ranting-ranting dan pohon pokok terus berdiri tanpa akar yang menunjang? Mungkinkah itu fitrah alam sehingga tidak pernah muncul rasa SYUKUR walaupun secebis dari nikmat yang diwarisi selepas satu ke satu generasi?

3. Tidaklah muncul pucuk tanpa akar dan jarang sekali manusia hadir di hadapan kita tanpa kaki jika ia sempurna malah bayangkan jika kita makan dan membaca menggunakan meja dan kerusi tanpa kaki? Itulah sebenarnya kehebatan dan kekuasaan yang dibawah berbanding yang di atas. Hanya mereka yang berfikir akan dapat melihat betapa setiap ciptaan Allah swt itu dipenuhi dengan hikmah dan rahmat yang tidak ternilai buat seluruh makhluk dan isi alam ini.

4. Begitu juga dengan kehidupan manusia yang bergelar pemimpin , yang dipimpin dan kerajaan dengan rakyat. Tiadalah pemimpin tanpa yang dipimpinnya dan tiadalah sesebuah kerajaan yang muncul tanpa rakyat. Salah satu syarat pembentukan sesebuah negara adalah RAKYAT selain sempadan yang tetap dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan beberapa ciri-ciri lain. Rakyat juga tidak menyalahkan kerajaan tanpa asas kemarahan sepertimana tuan bantal menyalahkan bantal. Jika kerajaan dan pemimpin merasakan rakyat tidak diperlukan, maka campaklah rakyat sepertimana tindakan tuan bantal yang hilang akal mencampakkan bantalnya akibat sakit tengkuk. Sudah pasti yang terpantul suara di kalangan rakyat perkataan “tidak siuman” dan elakkan ianya berlaku. Rakyat boleh mencampak dan menjatuhkan pemimpin tetapi sebaliknya tidak pernah berlaku pemimpin menjatuh dan mecampakkan rakyat.

5. Philip Massinger berkata, “Dia yang hendak memimpin orang lain haruslah mahir memimpin dirinya sendiri terlebih dahulu” dan ini harus dibuktikan dengan perbuatan bukan mencanangkan harapan tanpa niat melakukannya. Kata-kata Napoleon Bonaparte “Seorang pemimpin adalah seorang pedagang harapan” wajib dicampakkan jauh dari kamus kehidupan pemimpin jika kepercayaan rakyat hendak diraih. Berdagang biar bertempat berniaga juga perlukan masa yang tepat. Jangan biarkan sikap bangga diri dan keluarga menguasai kehidupan pemimpin kerana ianya pasti mengundang kemarahan rakyat yang akan berakhir dengan kisah-kisah lara dan mencatat sejarah hitam di mana-mana negara yang dihuni pemimpin, kerajaan dan rakyat yang tidak sehaluan. William Shakespeare telah menyebutnya sejak hampir 500 tahun dahulu bahawa “Orang yang membanggakan diri sesungguhnya sedang memusnahkan dirinya sendiri”. Apakah kemusnahan diri yang ditempah sedangkan matlamat setiap pemimpin adalah untuk memimpin kerajaan dan rakyat di atas amanah yang diberikan kepadanya? Rakyat sebenarnya boleh bersabar dengan si bodoh tetapi bukan dengan yang berbangga dengan kebodohannya.

6. Vince Lombardi mengukuhkan pandangan tentang betapa perlunya hubungan baik dan keakraban antara kerajaan, pemimpin dan rakyat. Katanya “Seorang pemimpin tidak boleh menutup jurang antara dia dengan kumpulan yang dipimpinnya. Jika dia berbuat demikian, dia bukan lagi pemimpin”. Oleh yang demikian, jika kita mengaku sebagai pemimpin dan ingin terus memimpin, setiap detik yang berbaki itu tebuslah dengan pengorbanan yang ikhlas dan mampu membenihkan kasih sayang rakyat pada pemimpin dan kerajaan yang memerintah. Bantal adalah bantal dan tuan bantal hanyalah menumpang kepala untuk berehat tidak kira yang bergelar pemimpin, dipimpin, rakyat termasuk yang mengadu-domba dan mengampu.

7. Jika disimpulkan apa yang berlaku, kesemuanya berpunca daripada sikap mudah lupa diri dan asal-usul. Memetik kata-kata Dato’ Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain yang juga Sasterawan Negara, inilah spesis ‘pipit lupakan bulu’.

“ Enggang sama enggang,
Pipit sama pipit,
Elang sama elang,
Serindit sama serindit,
Di mana tak ada elang,
Kata belalang dialah elang,
Di mana tak ada garuda,
Kata elang dialah garuda,
Di mana tak ada raja,
Kata Garuda dialah raja,

Semua burung sudah lupa bulu,
Termasuk serindit dan pipit,
Semua hendak jadi raja,
Seperti kacang lupakan kulit,

Tiba musim kemarau panjang,
Segala ladang jadi gersang,
Ada yang mati di sarang,
Ada yang tak larat terbang,
Maka elang pun beranakkan belalang,
Jadi makanan burung enggang.”

Wallahualam

~: hnbk :~
(14 Julai 2013 @ 10.05pm)

salah bantal
.

PAKAR ANAI-ANAI

As-Salam

1. Walaupun mulut dan tangan sering berhujah dengan kata-kata ‘Bazar Ramadan’ menjadi pusat penyembelihan sesama manusia sepanjang bulan mulia ini, tetaplah ia menjadi pilihan bila masa berbuka puasa makin hampir. Dengan kesibukan dan masalah ‘parkir’ di sekitar bazar Ramadan, motosikal menjadi pilihan utama untuk meninjau-ninjau lauk-pauk, minuman dan segala jenis bahan bergelar makanan dan minuman. Sebaik selesai membeli juadah berbuka puasa, dalam perjalanan pulang, kelihatan banyak papan tanda kecil bertulis “masalah anai-anai”, “anai-anai” dan yang menariknya “Pakar Anai-Anai” yang kesemuanya disertakan nombor talipon bimbit di sepanjang laluan pulang ke rumah.

2. Semua papan tanda itu dipercayai bertujuan untuk membasmi anai-anai walaupun tafsiran secara langsung boleh membawa pelbagai makna jika dilihat betapa lemahnya penguatkuasaan mendaulatkan Bahasa Kebangsaan di negara ini. Jika “masalah anai-anai” di terjemahkan mungkin membawa maksud masalah yang dihadapi anai-anai. Alangkah baik perhatian diberikan kepada usaha mendaulatkan Bahasa Kebangsaan berbanding memikirkan masalah yang dihadapi oleh anai-anai. Yang agak menarik adalah “pakar anai-anai” yang boleh membawa maksud pengiklan lebih hebat dari anai-anai kerana dia adalah pakar di kalangan anai-anai dan mungkin juga kenyataannya adalah benar.

3. Pakar anai-anai sememangnya lebih hebat daripada anai-anai kerana anai-anai hanya mampu meruntuhkan rumah, struktur kayu dan batu bata yang dibina sedangkan pakar anai-anai mampu meruntuhkan organisasi dan sesebuah negara dengan hanya berbekalkan gigi dan lidah. Tersengeh, meludah dan seterusnya menjilat semula ludah dan itulah ‘modus operandi’ pakar anai-anai. Nampak mudah tetapi banyak membawa padah kepada organisasi dan negara yang diwargai pakar anai-anai jika dibiarkan meningkatkan kepakaran mereka.

4. Anai-anai dan pakarnya semakin membiak kerana ia diberi tonik dan vitamin untuk lebih gigih dan gagah meruntuhkan organisasi dan negara mereka. Mereka amat disayangi dengan diberi kemudahan dan akses memasuki semua ruang penting serta strategik bagi meruntuhkan sasaran mereka dengan lebih pantas dan efektif. Yang menghalang tugas anai-anai dan pakar akan disembur racun anai-anai supaya terus diam membisu sepertimana lain-lain makhluk yang diam lagi mendiamkan diri.

5. Kehebatan anai-anai sehingga disebut di dalam kitab suci Al-Quran mengenai spesis ini yang mengisahkan bahawa tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan kewafatan Nabi Sulaiman kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya yang disandar kepadanya ketika Tuhan mengambil rohnya. Para Jin yang sedang mengerjakan bangunan atas perintahnya tidak mengetahui bahawa Nabi Sulaiman telah wafat kecuali setelah mereka melihat Nabi Sulaiman tersungkur jatuh di atas lantai, akibat jatuhnya tongkat sandarannya yang dimakan oleh anai-anai. Sekiranya para Jin sudah mengetahui sebelumnya, pasti mereka tidak akan meneruskan pekerjaan yang mereka anggap sebagai seksaan yang menghinakan. Jika anai-anai sudah begitu, pastinya ‘pakar anai-anai’ meruntuhkan negara tanpa disedari bukan saja manusia, malah jin dan iblis. Berwaspadalah kita dengan pakar anai-anai yang sedar kasih sayang pembelanya sehingga tiada yang mampu menyentuh dan meletakkan mereka dalam keadaan sukar. Anai-anai dan pakarnya diperkasakan sebaliknya yang berusaha menyelamatkan organisasi dan negara dari ancaman anai-anai berdepan eksekusi dihukum mati atau bahasa military “diamankan”.

Wallahualam

~: hnbk :~
anai anai

PANDANGAN RAKYAT UMUM (PRU)

As Salam

1. Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Besut merupakan PRK pertama selepas Pilihanraya Umum (PRU)13 dan pastinya menarik untuk dikupas. Ia menjadi begitu menarik kerana menjadi medan tembung dua gabungan parti politik dengan kedudukan ‘neck to neck’. Rasional dan kewajaran bukanlah soal utama yang didahulukan, tetapi kemenangan. Namun demikian, adalah lebih menarik dikupas setelah calon masing-masing diumumkan nanti dengan pelbagai asas pemilihan yang akan dicanang sebagai bahan kempen. Yang lebih menarik buat masa kini masih tetap PRU13 walaupun sudah berlalu melepasi dua purnama. Buat masa ini, apa yang berlaku hari ke hari menjadi bukti apa yang ditanam maka itulah yang berbuah. Bahana PRU13 saling kait-mengait antara parti politik dengan penghuninya, antara pemimpin dengan pimpinannya dan antara pemimpin dengan rakyat. Dari bahana politik, sosial sehinggalah yang paling memarakkan kemarahan rakyat adalah kemudaratan ekonomi yang mencekik leher dan tekak golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Datangnya bergulung-gulung dengan jelmaan wajah duka refleksi kesakitan yang berbagai-bagai bentuk dengan yang capek, bertongkat dan mengesot akibat kecederaan parah tidak kira di pihak perikatan mahupun pakatan. Bahana samada politik, sosial dan ekonomi membadai tidak memilih bulu samada yang beradu nasib dan tenaga dalam PRU13, malah rakyat secara keseluruhannya mencakung tersandar di dinding keletihan memikirkan cara untuk bolos dari kesempitan dan kepayahan yang mengakar.

2. Rakyat lelah membilas keringat mengimbangi rezeki yang meleleh masuk ke kantung berbanding deras meluncur keluar. Lauk-pauk sudah berkurang jumlahnya dan saiz lauk sudah mengecil akibat kewaspadaan bimbang dimalukan peniaga makanan jika ketidakupayaan membayar harga makanan muncul tiba-tiba. Wang saku anak-anak ke sekolah, yuran, tambang pengangkutan, sewa rumah dan ansuran kereta jadi igauan ngeri setiap kali tiba malam sebaik lengan mendarat di dahi sebelum tidur. Harga ayam kecoh dengan pelbagai reaksi setelah keupayaan kerajaan mengawal kenaikannya dibentengi kerajaan dengan alasan ‘free market’ dan peniaga di pasar pagi dan malam juga melantunkan alasan dengan nada sama.

3. Ketercelaan janji-janji dalam pilihan raya mula dihitung sebanyak bintang di langit. Janji-janji mula dituntut oleh musuh masing-masing dan rakyat memerhatikannya dengan penuh harapan agar termakbul janji-janji itu walaupun ada yang mencecah langit dan ‘elok’ dibiarkan menjadi pelangi yang cukup indah tetapi dikejar tidaklah mampu menyentuhnya. Sidang parlimen ke 13 yang berjalan menjadi wadah menuntut dan dituntut janji-janji antara kedua-dua pihak yang dibuiat dalam PRU13 lalu sebagai manifestasi jurucakap rakyat. Dewan hangat dengan soal-jawab yang penuh senda-loka dan sinis termasuk jawapan balas yang agak mengeliru dan memalukan oleh kedua-dua pihak jika dinilai secara waras. Jawapan isu dakwat kekal menjadi bahan jenaka dengan khabarnya, ada yang terkencing ketawa berlebihan.

4. Perlumbaan menabur janji banyak yang berakhir dengan pemungkiran dan begitu jugalah dengan PRU13. Janji penurunan harga kereta mula dikaitkan dengan kos pengeluran, duti eksais dan berbagai-bagai lagi alasan sedangkan detik menabur janji semuanya dilupakan dengan niat berlumba meraih sokongan rakyat walaupun niat menunaikannya jauh entah ke mana. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu dan ikut rentak lawan jadinya ‘tidak ketahuan’. Ironinya, sang pecacai dan pengampu bersekali dengan pemimpin parti masing-masing tidak pernah serik dan masing-masing kekal tegar mempertahankan tindakan parti dan saf pimpinan mereka. Sindrom penafian tidak lekang dibibir yang hitam dengan penipuan. Fantasi menjadi jagoan rakyat terbang laju dalam benak mereka sedangkan hakikatnya mereka sedang bersembunyi dalam kelambu kemunafikan dengan perut buntal dan ‘cekang’ seakan pecah-merekah.

5. Para birokrat yang konon terhormat dan berbudi luhur dan terlibat mencaturkan permainan pilihanraya berlagak seakan tidak pernah berdosa dan tercalit walau segaris titik hitam sebagai penyumbang kegagalan parti harapan mereka menggapai matlamat disasarkan. Semuanya berpunca daripada peralatan dan modal insan yang gagal berfungsi seiiring dengan fungsi masing-masing. Inilah sebenarnya punca kekalutan dan keputusan ‘terbalik kuang’ kata orang utara. Penasihat-penasihat berubah menjadi ‘pemusnahsihat’, ‘War Room hanya akan menjadi War Room jika diletakkan peralatan perang bukan peralatan makan minum serta tilam dan bantal empok, pencari maklumat hanya akan bergelar pencari maklumat jika mereka jujur memberi maklumat untuk ditaksirkan sebagai panduan pembuatan keputusan, jika tidak mereka bukan pencari maklumat tetapi PENIPU. Wang dan perbelanjaan yang dikorbankan hanya akan bermanfaat sekiranya disalurkan kepada golongan dan sasaran yang memerlukan bukan ‘telaga buruk’ yang sentiasa ternganga membaham habuan. Jika itu yang berlaku, maka tidak silap keputusan yang diterima selepas diumumkan hasil PRU13 itu walaupun ramai yang terkejut dan tidak percaya sedangkan tidak ada apa yang perlu di’terkejut’kan.

6. Manusia sememangnya tidak pernah dan mahu belajar dari kesilapan kerana beranggapan mereka tidak melakukan kesilapan. Pesakit tidak akan sembuh jika enggan menerima kenyataan bahawa dia sedang sakit dan memerlukan rawatan. Natijahnya adalah, pesakit akan mati belum sempat berubat kerana dia tidak mahu diubati dan tiada logika yang tidak sakit mahu diubati. Bila keadaan begini berterusan, rakyat akan terus merenung jauh dan berangan-angan menjadi karyawan. Karyawan tulen atas penat lelah diri sendiri dengan meminjam dan mencuri ilham karyawan tersohor mengubat hati yang luka. Sepertimana dinukilkan penulis hebat Indonesia Sitok Srengenge dalam bukunya “Cinta di Negeri Seribu Satu Tiran Kecil” dalam kisah nasib seorang budak nakal yang ditangkap kerana mencuri dan membesar sebagai penjenayah sebagai contoh. Diakhir kisah itu, Sitok mengheret pembaca mengingatkan kisah St. Agustinus tentang seorang penguasa yang menangkap seorang bajak laut (lanun). Sebelum menjalani hukuman mati, bajak laut itu berkata kepada sang penguasa, “Hanya karena aku berbiduk kecil dan mengambil harta dari satu-dua orang, maka diriku kau nistakan sebagai maling (pencuri). Sedangkan kau yang merampas seluruh kekayaan negara dengan kapal besar dan tentera berlaskar-laskar, kau sebut dirimu Kaisar (Maharaja).” Alangkah sedihnya membaca analogi yang dipinjamkan Sitok itu dan amat selari dengan kisah seorang warga emas kaum Cina yang mencuri setin Milo dengan harga RM16.10 dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun baru-baru ini dan disiarkan akhbar tempatan.

7. Sesebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi harus dipertahankan dan didokongi rakyat dengan redha jika kita memilih sistem itu. Revolusi penggulingan sesebuah kerajaan yang sah dan dipilih melalui sistem demokrasi harus ditentang. Demonstrasi yang kebiasaannya menjadi senjata penggulingan bukanlah pilihan terbaik. Seharusnya, semua rakyat mendidik dan mematangkan diri agar belajar menerima keputusan dalam pertandingan yang dipilih oleh kita. Sekiranya tidak berlaku sepertimana yang diharapkan, masih ada ruang membuat bantahan dan jika itu juga tidak berjaya, pastinya itu adalah takdir yang telah dipahatkan untuk diri dan perjuangan parti kita wakili. Yang lebih mulia dan beradab adalah revolusi kesedaran minda tentang hak-hak rakyat yang diperkasakan melalui pentarbiyahan atas prinsip ilmu tanpa menampakkan celanya. Selalu ada kesedihan bersembunyi di sebalik senyum kenangan dan janganlah dikorbankan dunia ini bagi mereka yang buruk kecuali ia adalah “mandat dari langit”. Elakkan pembiakan alasan yang tidak berkesudahan dan jauhi tindakan mematikan janin sebelum dilahirkan dengan membunuh suara rakyat belum sempat ianya dizahirkan. Tindakan itu tidak lebih kepada mengundang kebencian rakyat yang menjadi alasan kenapa kita terpilih sebagai pemimpin. Kerajaan adalah pengelola negara yang bermaksud orang-orang yang diberi kepercayaan untuk mengelola negara demi kehidupan bersama. Abdi rakyat dan tidak lain adalah orang-orang yang diberi tugas, dengan imbalan tertentu untuk mengabdi diri kepada rakyat.

8. Sama-sama lah kita memanjat syukur dan doa agar negara terus diberi keselamatan dan rahmat kemakmuran dan dengan izinNya dapat seluruh rakyat tanpa mengira ideologi politik, kaum, bangsa, agama, jantina dan peringkat umur hidup aman dan damai. Biarkan PRU(Pandangan Rakyat Umum) dan PRU (Pilhanraya Umum) bersenggama menjadi satu dan melahirkan sebuah negara yang harmoni lagi dihormati.

Wallahualam

~: hnbk :~

PRU13 blog