Membakar musuh dengan diri anda?

Salam,

1.  Shakespeare pernah menyebut “Janganlah anda menyalakan api di dalam dada anda untuk membakar musuh anda. Jika itu yang anda lakukan, maka anda pun pasti turut terbakar.” Saya amat tertarik dengan ungkapan yang santai sebegini namun membawa pengertian yang begitu mendalam dalam kehidupan seharian kita.

2.  Berapa ramai manusia yang dihumban di sebalik jeriji besi dan yang terkulai layu berlumuran darah lantaran mengikut perasaan marah yang akhirnya menganyam kafan dan membina sangkar kebebasan untuk diri sendiri. Yang dikejar  meloloskan diri dan yang mengejar patah kaki dan tangan di usung seperti kain basahan.

3.  Jika dilihat dari sudut pandang yang lebih luas, bencana yang menguliti umat Islam sekarang di seluruh dunia juga berpunca daripada tindak tanduk perencanaan Pak Kadok dan Lebai Malang yang sekian lama masih diulang tayang sehingga kini. Percubaan menewaskan musuh dengan menyerang mereka yang lengkap dengan senjata canggih dan bala tentera darat, laut dan udara yang hebat sedangkan penyerang hanya meledakkan bom dan diri sendiri sehingga ianya memberi ruang dan alasan buat musuh-musuh Islam dengan rakus dan tidak berperi kemanusiaan meranapkan negara dan merampas hak serta maruah bangsa serta agama yang diinjak bagaikan najis.

4.  Di dalam negara kita juga perkara yang sama turut berlaku apabila kemarahan yang meluap-luap dan kebencian yang membengkak merentap kewarasan sehingga nasib bangsa, agama dan tanahair dipertaruhkan demi mencapai matlamat kononnya untuk menundukkan mereka yang dianggap musuh dan mengembalikan keadilan pada yang ‘haq’. Gemaan ‘regime change’ berkumandang di sana sini hasil lantunan Tanah Arab yang kian longgar diruntun ‘Paksi Kejahatan’ dari barat dan Negara Dajjal Israel yang sentiasa mengintai peluang untuk meratah tubuh-tubuh mongel yang mengiurkan untuk dilacurkan habis-habisan. Apakah ‘pemahaman sebenar ‘regime change’ ini sudah dihadam dengan sempurna? Jangan nanti ianya hanya umpama menukar minuman dari “Pepsi Cola” kepada “Coca Cola” dengan kilang sama cuma berbeza botolnya sahaja. Malah lebih malang jika minuman yang digantikan nanti itu tidak saja hanya berganti botol, turut dititik air kencing tikus yang berbisa.

5.  Detik bertindak telah sampai, detik berkhayal sudah di penghujung. Seperti kata Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya Setangkai Gandum dan Sebutir Bom terbitan Al-Hidayah Publication “”Saya berharap kita mula mengurangkan kegiatan deklamasi puisi, kerana berpuluh-puluh ontologi puisi tidak akan dapat menghasilkan satu gantang gandum pun”. Begitu juga kita yang kini berdepan keperitan dan penderitaan yang tertangguh perlu bingkas bangun dari buaian Sang Iblis dengan hasutan untuk melakukan pekerjaan sia-sia yang merugikan umat tidak kira warna kulit, jantina, umur dan bangsa. Membakar lilin mengelilingi gambar tidak mampu menghidupkan yang mati, mengusung sepanduk dan banner ke sana sini berdemo bagaikan hilang ingatan tidak berupaya mencipta walau sepucuk pistol dan juga sebutir peluru. Yang muncul hanyalah mendung hitam yang akan menggelapkan masa depan generasi akan datang serta menggemukkan keldai dan unta yang sedang berdehem melihat singgahsana Putrajaya yang kononnnya bakal dinobatkan sebagai milik mereka.

Menang sorak kampung tergadai,

Pak Kadok terberak teringat keldai,

Asyik berborak kepala dibedai

Tinggal tengkorak dahi landai

6.  Semoga apa yang kita kerjakan di masa lalu, sekarang dan akan datang menjadi titik tolak kepada kecemerlangan bangsa, agama dan tanahair agar tidak dipersalahkan oleh generasi masa depan di mana nasib mereka adalah hasil tangan-tangan kita yang mencorakkannya. “You will be judged on the basis of what you are, not what you say you are.”

Wallahualampakadok banner 1

HNBK

Jika Gaza Menangis

Salam,

1.  Selagi isu Palestin tidak mampu ditangani secara holistik, selagi itulah kata-kata ‘Gaza Menangis’ akan dikumandangkan tanpa rasa lelah. Namun, bagi sesetengah pihak, isu Palestine wajar berterusan agar menjadi simbol kesatuan umat Islam dan tidak kurang melihatnya sebagai perisai politik tatkala hidung mengempis dan perut dibunciti angin. Buat musuh Islam, isu Palestine juga amat perlu dibiarkan berlarutan demi empayar perniagaan senjata serta senjata untuk menghukum umat Islam atas alasan mempertahankan diri dari serangan pengganas.

2.  Apa yang boleh dipelajari dari peristiwa air mata tanpa henti di Palestine bukan saja dari kesengsaraan yang tidak kunjung padam, tetapi natijahnya, ia juga mampu berlaku di sini. Jika Gaza boleh menangis, kita di sini tidak akan ketawa jika keadaan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka menimpa kita. Semua yang berlaku di Gaza, Palestine itu pasti akan berlaku jika adunan, ramuan dan “chemistry’ nya sudah sempurna untuk menghasilkan Gaza yang baru. Gaza yang akan mempertontonkan bangsa Melayu merempat di bumi sendiri, bangsa Melayu yang mengendong anak kecil sambil meraung kesedihan kehilangan yang tersayang, bangsa Melayu yang musnah dan tidak memiliki keamanan dan kesejahteraan. Bangsa Melayu yang hanya mampu menadah tangan mengemis simpati bangsa lain dan negara Islam lain yang hanya mampu menjadi badut sarkas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan tanpa tindakan efektif menghentikan persengketaan dan penganiayaan.

3.  Jika Gaza menangis hari ini dan masa lalu di bumi Arab, Tanah Melayu ini juga akan menangis lebih deras apabila Peristiwa Syatila, tembok-tembok pemisah yang mengasingkan bangsa Melayu diperlakukan sama seperti mereka di sana. Bangsa Melayu akan lebih menangis kerana tahap kemampuan berdepan kesusahan dan kesengsaraan bangsa Melayu jauh lebih rendah berbanding bangsa Palestine yang sudah sekian lama merintih dan merangkak menggalas kepayahan dan menjunjung tempayan air mata dan darah bangsa sendiri.

4.  Sedarlah wahai bangsaku, insaflah wahai saudara seagamaku, bangunlah dari mimpi wahai sahabat-sahabat setanahairku demi mengelakkan perseteruan yang membinasakan keharmonian yang telah kita bina sejak sekian lama, demi meminggirkan usaha melenyapkan tunggak kesatuan bangsa, agama dan tanahair kita yang dicintai. “Hidup memerlukan pengorbanan. pengorbanan memerlukan perjuangan. perjuangan memerlukan ketabahan. ketabahan memerlukan keyakinan. keyakinan pula menentukan kejayaan. kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.”

Wallahualam

HNBKgaza menangis

Hilangnya Kewarasan

Salam,

1.  Setiap detik kehidupan ini akan diiringi perasaan yang berbaur. Tidak ada manusia yang hidupnya hanya bertemankan kegembiraan dan tidak pula hanya bertemankan titisan air mata dengan menupang dagu melayan kesedihan berpanjangan. Namun begitu, nasib manusia tidaklah sama antara satu sama lain dan itu jugalah yang membezakan nasib seseorang untuk kehidupan sesudah mati. Setiap dugaan dan ujian yang dihadapi walaupun jutaan kali disebut sebagai simbol kasih sayang Maha Pencipta, tetapi masih banyak manusia yang gagal mengawal emosi untuk berdepan kejayaan yang tertangguh ini dengan hati yang tenang dan berlapang dada.

2.  Iblis dengan senjatanya yang paling ampuh terus mengintai untuk menghulurkan senjatanya itu buat manusia menghambat senjata bekalan Allah swt iaitu ‘akal’ untuk berfikir dengan waras. Kewarasan akan hilang apabila senjata iblis bernama ‘marah’ bertandang. Benarlah seperti kata pepatah yang disebut Thomas Kempis “When anger enters the mind, wisdom departs”. Kebijaksanaan dan kewarasan akan hilang dan sirna jika kemarahan sudah menguasai fikiran.

3.  Sudah berapa banyak manusia yang lebur masa depan dan kehidupannya apabila ‘marah’ bertahta dalam diri mereka dan tindak-tanduk juga seiring dengan kebuasan iblis yang ketawa besar melihat anak-anak Adam berantakan. Apapun, kita sebagai manusia tetap sedar betapa kita tetaplah manusia yang serba lemah walaupun tidak sedikit manusia yang berbangga dan angkuh dengan kehebatan dan kekuasaan yang sedikit tetapi lupa bahawa mereka juga sama seperti manusia lain yang lemah-selemah bayi baru lahir. Apakah kekuatan yang ada jika melawan nafsu makan juga sudah tidak mampu, mendepani mengantuk sudah tewas, bertentang wanita yang dikatakan lemah juga sudah lemas dan diuji harta yang tidak seberapa sudah seakan gila?

4.  Manusia itu tetaplah manusia dan janganlah kita lupa dan khayal dibuai semangat kedewaan dan kemalaikatan yang kononnya dihadirkan dalam jiwa dan diri kita. Bisikan iblis itu hanya akan menghancurkan diri manusia kerana fitrah manusia yang gemar memakan pujian dan meminum fitnah itulah akhirnya membenam mereka ke liang lahad kaku dan bisu tanpa seorang pun manusia yang memuji dan mengampu mereka datang menemani detik-detik sukar itu. Pujian melangit bukan milik kita dan hanya layak buat Maha Pencipta dan jika didatangkan kepada kita percayalah ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah pembohongan terancang untuk membuai mereka yang lupa akan asal usul diri sendiri. Hari ini kita boleh lupa tetapi kelupaan kita tidak mampu melupakan kebenaran yang bernafas disekeliling kita dan hanya menanti masa untuk merengkoh dan mencekik manusia yang dibeliti ‘kelupaan’ agar sadar bahawa mimpi sudah sampai di penghujung.

5.  Sama-samalah kita bingkas bangun membaiki kerosakan dan kesilapan yang telah berlaku kerana tidak ada dalam kamus kehidupan akan perkataan ‘lewat’ selagi jantung dan nadi masih berdenyut.

Wallahualam

kena marahHNBK

Bumi mana kita berperang?

Salam,

1. Genderang perang nyaring bertempik di sana sini. Layaknya, tidak kira pasukan yang bertempur, pengikut dan penyokong termasuk rakyat sudah terpacak di tengah-tengah medan perang. Bala tentera bagaikan tegap kuda-kudanya berdepan pencak silat yangakan sampai. Suara-suara pahlawan berkumandang di setiap penjuru bumi. Kata-kata panglima perang dinanti penuh debar dan sabar untuk memulakan pertembungan yang maha hebat dalam sejarah demokrasi negara ini. 55 tahun merdeka dan sudah 12 kali pertempuran yang dilalui tidak sehebat kali ini.

2. Namun, tahukah kita jenis apa peperangan yang akan kita tempuh? Senjata apakah bakal kita hadapi nanti? Masih sesuaikah senjata yang kita genggam dan dikilek ke sana sini berdepan musuh yang sudah berubah? Apakah jentera kita sudah memahami sepenuhnya ancaman yang bakal didepani? Sudah lengkapkah persenjataan dan logistik untuk tujuan ini? Sudah ampuhkah panglima perang dan saf pimpinan berdepan ‘Ibu Peperangan’ ini? Sudah terencanakah strategi taktikal dan teknikalnya untuk mendepani situasi begini? dan… Apakah ‘Contingency Plan’ sekiranya perancangan peperangan ini berubah wajah?

3. Sejarah masa lampau tidak mampu dijadikan azimat untuk memujuk musuh, kejayaan dulu baik untuk dikenang tetapi tidak banyak dapat membantu peperangan yang namanya mungkin sama tetapi bentuknya berbeza. Banyak persoalan demi persoalan yang bergema dan berlegar mengasak minda kita dan masyarakat.

4. Mana mungkin ‘Perang Angkasa’ berbekalkan parang puting dan badek. Amat mustahil ‘Perang Biologi’ disenjatakan panah dan lembing. Di mana adilnya jika kita bersenjatakan ‘sumpit’ dibiarkan berhadapan pasukan elit tentera dengan senjata konvensional yang canggih, kereta kepbal, pesawat tanpa juruterbang dan bantuan satelit serta teknologi terkini dibiarkan berentap.

5. Keberanian tidak diukur daripada kata-kata. Keberanian tidak menjamin kemenangan. Keberanian apakah yang dimiliki pasukan udara Amerika Syarikat dengan  hanya melancarkan pesawat udara tanpa juruterbang untuk mengebom mangsa-mangsa yang tidak berdosa di bumi Afghanistan, Iraq, Libya, Sempadan Pakistan dan negara-negara Timur Tengah yang lain? Yang penting, Machiavelli di hadapan dan matlamat dihalalkan tanpa mengira hukum.

6. Keberanian WAJIB disertai perancangan dan daya fikir yang tajam oleh panglima-panglima perang kita yang kental dan berjiwa besar. Jadikan kata-kata Sun Tzu “If you know the enemy and know yourself, you need not fear the result of a hundred battles. If you know yourself but not the enemy, for every victory gained you will also suffer a defeat. If you know neither the enemy nor yourself,you will succumb in every battle” sebagai sandaran. Kita harus mengetahui kekuatan kita dan kekuatan musuh demi mencapai matlamat yang diidamkan. Tidak ada manusia yang masuk bertanding atau berperang untuk kalah. Yang membezakan antara duanya adalah perencanaan.

7. Sesiapa saja boleh menang termasuklah Pak Kadok yang sinonim dengan ungakapan “Menang Sorak Kampung Tergadai”. Tetapi, kemenangan mutlak adalah kemenangan yang tidak memperjudikan nasib bangsa, agama dan tanahair. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Wallahualam

cyber_warfareHNBK

Enggan Berubah Rebah

Salam,

1.         Aku sering melonjak harapan agar negara kita yang makmur ini beroleh kesejahteraan, kekayaan dan kemakmuran demi kehidupan kita dan generasi akan datang sentiasa terjamin. Namun, berharap dan berusaha dengan berharap sambil erat memeluk tubuh adalah dua isu yang berbeza. Allah swt telah mengingatkan kita sesungguhnya nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah melainkan mereka sendiri mengubahnya.

2.         Siang tadi aku sempat melihat bagaimana kreativiti dan perubahan yang beredar mengikut masa dapat mengubah sesuatu yang sama dilakukan dahulu tetapi kini menjadi lembah yang dipenuhi wang untuk didulang. Cuba kita lihat di mana-mana saja di negara kita ini bersepah di sana sini pusat refleksologi, urut badan, spa, dan pelbagai lagi perkhidmatan yang sebenarnya bukan sesuatu yang luarbiasa tetapi telahpun dilakukan oleh orang terdahulu dengan bentuk yang berbeza baik dari sudut pendekatan, keuntungan dan kaedah promosinya. Jika dulunya mengurut hanya membuahkan hasil RM5-10 tetapi sekarang dari puluhan mencecah ratusan ringgit.

3.         Ini bukan kisah untuk berdebat dengan para manipulator agama mahupun eksploitator Tuhan. Ini kisah realiti bagaimana kewangan menjadi ‘kesit’ dan menguncup lantaran kebocoran dituang ke Lautan Hindi, Laut China Selatan, Telok Singgora dan Selat Melaka. Berapa banyak transaksi wang bermigrasi dari negara ini ke Indonesia dengan buruh asing negara Garuda itu? Betapa besar jumlahnya wang berterbangan melintasi laut-laut itu ke negara Gajah putih dengan resipi tomyamnya, ke China dengan khidmat urutan kaki, badan, spa, ke negara Ghandi dengan khidmat tukang gunting rambut dan  sebagainya.

4.         Apakah kita kekurangan tukang gunting rambut tempatan? Tukang masak tempatan? Tukang rumah dan Tukang urut tempatan? Jawapannya bukan kurang atau ketiadaan mereka ini, tetapi bagaimana kita mengurus dan mengendalikan mereka secara profesional dan sistematik dengan bantuan yang bersesuaian. Selain dapat mengurangkan kebocoran wang yang tidak baik untuk ekonomi, ia dapat membantu rakyat tempatan meningkatkan pendapatan, mengurangkan pengangguran, menjulang industri pelancongan dan banyak lagi faedah yang sukar dijelaskan dalam medan kecil ini.

5.         Nama urut tidaklah kotor jika kita tidak mengotorkannya. Jika dulunya kita berhasrat untuk mengurut, yang terpancar dan melintas minda tidak lain hanyalah bantal busuk yang berkulat dan kotor memekap muka kita hingga sesak nafas sepanjang tempoh urutan oleh bomoh urut tempatan dalam kampung. Suasana ruang mengurut yang panas dan berbau, kebisingan yang menambahkan tekanan orang yang mahu berurut. Bantal busuk berkulat itulah yang digunakan walaupun sudah beratus orang yang datang berurut ditambah dengan minyak urut dari akar kayu yang melekit seluruh badan hingga mendatangkan geli percuma mulai dari selesai berurut sampailah kita ke rumah. Itu belum lagi peluh tukang urut yang menitik-nitik jatuh ke muka dan badan kita yang diurut akibat kepanasan. Apakah ini yang diharapkan oleh pelanggan?

6.         Kaedah berurut sekarang di spa dan pusat-pusat yang dijenamakan semula dengan nama aroma theraphy dan pelbagai lagi sebenarnya tidak jauh bezanya tetapi didatangkan dengan tukang urut yang tidak menakutkan, tidak berbau busuk dan memualkan, bauan yang melegakan hidung dan jiwa, muzik yang mengiringi diselit buat pelanggan, suasana sejuk yang nyaman, bola herba yang dipanaskan dan ditekap ke badan, kaki dan tangan dengan bauan yang menenangkan. Walaupun harga yang dikenakan agak tinggi namun, khidmat yang diberi dan persekitarannya telah merendahkan nilai bayarannya dan terasa murah setelah pelanggan merasa berbaloi dengan apa yang diperolehinya.

7.         Apakah kita tidak mampu untuk mengumpul tukang-tukang urut tradisi berbangsa Melayu, Cina, India dan Siam tempatan untuk diuruskan secara lebih sistematik dan lebih bernilai komersil? Setiap negeri dapat dilaksanakan jika ada kemahuan untuk tujuan ini. Jika ada yang pernah ke Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur, berduyun-duyun pesakit-pesakit urat yang tidak sakit tetapi sakit setiap kali melintasi kawasan ini. Ini bukan promosi maksiat tetapi realiti yang menjadi fenomena semasa. Malu tetapi ianya adalah realiti yang patut diurus agar kemaluan itu tidak lagi menjadi kemaluan yang memalukan. Kita harus keluar dari lingkaran yang membeliti masyarakat dan bangkit bersama rakyat untuk mendepani realiti. Yang menguasai dunia ini adalah keterlanjuran sistem-sistem internasional yang merupakan lingkaran syaitan yang memenjarakan manusia, terutama orang-orang kecil. Banyak idea-idea kecil yang sebenarnya akan menjadi besar jika kita pintar mengurus dan mengorganisasinya secara efektif dan berhemah. Apa yang utama adalah keikhlasan dan sifat kasih sayang yang bertaut antara sesama kita. Berubahlah… berubah jika enggan rebah wahai manusia

Wallahualam

HNBK

“Hidup hanya menunda kekalahan”

Chairil_Anwar

Salam,

1.         Chairil Anwar penyair terkemuka Indonesia yang meninggalkan alam fana ini ketika umur 26 tahun dan begitu muda sebelum menghembus nafas terakhir pernah mengucapkan kata-kata, “Hidup hanya menunda kekalahan”. Alangkah indah dan begitu puitis bait-bait huruf yang dicantum untuk mengopak jendela dan pintu hati manusia. Namun, jauh di sebalik kata-kata itu membawa sejuta makna yang akan berbeda antara satu insan dengan insan yang lain.

2.         Aku melihat dari lensa yang bundar dan santai tentang betapa kekalahan makhluk bernama manusia itu akan dapat dielakkan selagi kita masih hidup dalam erti kata yang sebenar. Walaupun kita masih bernafas dan jasad masih mampu ke sana sini tetaplah kita mati dan kalah jika hanya menjadi penumpang dan parasit yang bertenggek di mana saja peluang terbuka serta merebahkan mangsa yang membantu selagi diizinkan. Oleh itu, hiduplah kamu dan tunda lah kekalahan dengan segala kekuatan dan kelebihan yang dianugerahkan Allah swt. Apabila maut sudah di ambang, kekalahan itu milik kita samada kita suka atau sebaliknya. Kita tidak akan menang selagi tidak dengan izinNya dan kita hanya mampu berserah pada ketetapan Allah swt.

3.         Untuk menang, muncullah sebagai pahlawan. Pahlawan yang tidak semestinya melibas pedang atau mendepa senapang. Dr Anis Matta tokoh akademik yang juga politikus Indonesia dari Partai Keadilan Sejahtera di Indonesia menyebut “Seorang pahlawan boleh salah, boleh gagal, boleh tertimpa musibah. Akan tetapi dia tidak boleh kalah. Dia tidak boleh menyerah kepada kelemahannya, dia tidak boleh menyerah kepada tantangannya (cabarannya), dia tidak boleh menyerah kepada keterbatasannya. Dia harus tetap melawan, menembus gelap, supaya dia bisa menjemput fajar. Sebab, kepahlawanan adalah piala yang direbut, bukan kado (piala) yang dihadiahkan.

4.         Dalam Islam sendiri konsep tawakal membuktikan bahawa usaha itu yang utama dan dikuti kepada doa dan berserah pada Allah swt dan bukan sebaliknya. Dalam filem-filem Melayu dan Sejarah Melayu juga sering kita dilintasi oleh kata-kata “Pantang menyerah Sebelum Ajal”. Sudah pastilah ia membawa maksud berusaha terlebih dahulu sebelum memberi alasan yang seringkali dihadirkan dengan begitu dhaif. Alasan itu sendiri sering dikembarkan dengan konotasi negatif kerana seperti yang selalu diungkap oleh aku bahawa “alasan itu pintu pembohongan”. Orang bijak melihat masalah sebagai peluang sedang yang jahil melihat peluang sebagai masalah. Perbedaan pendapat yang sepatutnya menjadi rahmat Allah swt bertukar menjadi beban yang harus dilempar jauh setiap kali ia datang. Jika inilah sikap yang diamalkan oleh bangsa kita, bukan saja kekalnya kita dalam kegelapan, bahkan akan hilang dari arkib kehidupan makhluk di mukabumi ini seperti yang berlaku pada ‘dinosour’.

5.         Dalam sejarah bangsa, selalu ada noda yang dititiskan oleh pengkhianatan. Sejarah kemunculan Si Kitol dan Raja Mendeliar akan terus berulang walaupun berbeda bentuk dan penampilannya. Mereka akan terus bangga bernaung di bawah ketiak musuh walaupun harga yang perlu dibayar terlalu mahal dan tidak dapat diganti hatta dengan gunung-ganang dan lautan. Selagi pengkhianatan, dengki, umpatan dan menebalkan karat di hati terus menjadi makanan, maka hilanglah ruh dari dalam kehidupan bangsa kita. “Ketika ruh hilang dalam diri kita, segeralah membuat keranda jenazah untuk mengubur mimpi kepahlawanan.”

6.         Pahlawan mukmin sejati tidak membuang kudrat dan usaha mereka untuk memikirkan apakah ia akan ditempatkan dalam sejarah manusia, apakah ia akan ditempatkan dalam liang lahad Taman Pahlawan. Yang mereka fikirkan adalah bagaimana meraih kedudukan paling terhormat di sisi Allah swt. Biarlah kita hina dan tidak cantik di mata penghuni bumi tetapi menjadi perbualan penghuni langit.

Wallahualam

HNBK

 

GELISAH

Salam,

1. Kegelisahan terus mengguncang tiang minda dan jiwa yang usang sejak takdir melabuh di pelabuhan tanpa hujung. Samada kita suka atau tidak, perasaan yang paling berkuasa membuat manusia umpama bertalkin di kubur terus menjengah dan menyapa.

2. Aku diam namun ia tetap menerpa, aku bingung ia lantas ketawa, aku gusar itu yang ia harapkan dan aku diasak aku bersabar. Nampaknya, kesabaran belum cukup untuk berdepan makhluk bernama GELISAH. Masa depan seringkali menjadi perkakas memporakperandakan susunan sel otak oleh GELISAH.

3. Apakah GELISAH akan berkubur dengan kita GELISAH? Sesungguhnya GELISAH akan membiak selagi hormon dan benih GELISAH berakar di hati yang gundah setelah ketidakpastian beraja di seluruh jasad yang menjadi mangsanya.

4. Untuk tidak melebar luas tembok sempadan kegelisahan, sandarkan kisah silam mu, masa kini mu dan masa depan mu pada yang SATU. Insyallah DIA Maha mengetahui dan Maha Perancang yang tidak pernah menzalimi hamba-hambanya.

Wallahualam

HNBK