JEBON ATAU JAMES BOND?

As-Salam dan Salam Sejahtera,

1. Malam tadi zahirnya pendek namun di jiwa dan fikiran terlalu panjang merantaikan antara malam hingga pagi. Mungkin keceluparan aku mencoretkan catatan di dinding FB semalam memulangkan paku buah keras untuk aku mamah sehingga patah gigi dan bengkak gusi. Coretan aku malam tadi berbunyi “Seringkali sebelum tidur ramai yang ucapkan Selamat Malam.. Pada ucapan “Selamat Malam” HNBK sering terbayangkan bagaimana rasanya andai tidak lagi “selamat” dan tidak ada lagi “malam”. Itu yang terlintas di fikiran dan seperti biasa aku akan lantunkan ke dinding FB untuk berkongsi.

2. Dari membakulsampahkan masa sepanjang malam tanpa nikmat tidur, aku coba mendongak dan menghadam isi kandungan buku yang baru dibeli di Hasani Bookstore berjudul ‘Angguk Geleng’ kompilasi dan usaha Pahrol Mohamad Juoi dan Husna Hassan. Buku terbitan Telaga Biru Sdn Bhd (2013) ini banyak mengheret jiwa dan minda aku agar menyambung dan menganyam antara kehidupan realiti dan idealisma.

3. Dari celahan kisah-kisah yang dititiskan dari minda penulis buku, aku dipasak oleh kisah keldai yang teramat kecewa dengan panggilan namanya keldai. Keldai seakan terhina dengan namanya yang dianggap simbol kedunguan dan kejahilan. Keldai dengan keluh kesah menghadap Raja di hutan untuk memaklumkan perasaannya itu dan dihulurkan tangan membantu. Di hadapan Singa Raja di hutan, keldai bersyair akan perihal kekecewaannya itu dan meminta agar namanya ditukar. Singa yang keliru bertanya nama apa mahu digantikannya dan secara spontan keldai memberitahu ia lebih suka nama ikan. Singa lantas bertanya adakah keldai mampu berenang? Jawab keldai ia tidak mampu dan Singa terus memutuskan “Jika begitu, biar saja kekal namamu itu KELDAI”. Keldai pun pulang dengan hati yang terus gundah gulana dan menerima hakikat ia adalah seekor keldai.

4. Anyaman kisah keldai dengan persekitaran kita yang digigit bahang yang tiada noktah ini mungkin memanaskan punggung sesetengah pihak namun itulah realiti yang berlegar dalam fikiran aku. Jika namanya keldai kenapa harus ditukar kepada ikan dan ikan juga tidak mampu memikul beban sebagaimana keldai harus pikul. Sejak kebelakangan ini pelbagai usul dan bisul yang dipecahkan oleh tukang karut dan Tok Dalang agar nama-nama yang difikir mungkin ‘HINA’ kepada nama yang mereka jangka akan dapat menggembirakan ramai orang. Usul dan bisul menjenamakan semula BN dan UMNO tampil berpencak bagaikan pendekar mustar. Jebon dinamakan James Bond tetaplah ia sebagai JEBON. 007 tidak mampu dilakonkan oleh jebon melainkan James Bond.

5. Apakah hina dan dina nama BN dan UMNO hanya berpunca daripada kegagalan meraih 2/3 kerusi parlimen dalam PRU13 baru-baru ini? Apakah dengan menggantikan nama itu BN dan UMNO akan menjadi ‘GAH’ segah nama besar Strategi Lautan Biru yang telah menelan strategi dan “Mat Inseng Mater kaji” lantaran doyan atau keterujaan keterlaluan pada nama-nama bombastik. Tidak semua strategi berkesan pada semua tempat dan masa. Strategi di laut mungkin sukar diamalkan di darat. Banyak strategi yang diamalkan para Nabi dan sahabat serta ‘ strategist’ perang kuno seperti Sun Tzu yang terkenal dengan bukunya ‘The Art of War’. Namun, apabila kipas hikmat sudah berterbangan, dinginnya kipasan sudah mengelabui kebenaran dan hakikat sebenar. Banyak yang terlena dibuai mimpi-mimpi ciptaan para penjilat dan penasihat yang bersekongkol dengan consultant yang sebenarnya lebih dahsyat dari ‘con man’ yang bergelar ‘con setan’.

6. Perubahan sepatutnya dari dalam ke luar dan bukan dari luar ke dalam. Jika itu yang berlaku umpama menyalut najis dengan icecream yang hanya menipu sesiapa yang memakannya. Apa kata jika kisah Ulama’ Besar ini dijadikan kiasan sebagai pencerahan pada yang tergelap mata. Ulama’ Besar yang menunggang keldai masuk ke sebuah kampong telah dikerumuni penduduk kampong yang tidak sabar untuk melihat dan meraikan Ulama’ itu. Mereka tanpa berlengah-lengah berebut-rebut memberi salam ‘Wahai Ulama’ Besar’ selamat datang dan sudi kiranya bertamu di rumah mereka. Ulama’ itu bertanya bagaimana mereka mengetahui bahawa dia Ulama’ Besar? Jawab penduduk kampong itu kerana beliau memakai jubbah dan serban besar. Maka dengan pantas ulama’ itupun memakaikan serban besar itu kepada keldainya dan meminta penduduk kampong memanggil keldai itu sebagai Ulama’ Besar. Mereka tersipu-sipu dan memohon maaf atas persepsi sedemikian.

7. Analogi ulama’ besar dan keldai ini harus dijadikan iktibar agar tidak mudah tertipu dari pandangan mata kasar sehingga tertipu oleh makhluk berlidah panjang yang berkeliaran memburu habuan dan mangsa untuk digelikan sebelum disiat-siat dan diratah hidup-hidup. Kegagalan yang dilalui mereka sebenarnya berpunca dari cintakan GELI dan BENCI akan kebenaran.

8. Kekalahan sebenar bukannya mereka yang jatuh tetapi mereka yang jatuh dan gagal bangkit semula menebus kekalahannya. Perbetulkan yang silap dan baiki yang rosak dan jika perlu, TUKAR.

Wallahualam

~: hnbk :~

Antara rayuan Pathmanaban dan Sosilawati

Salam,

1. Pada malam 31 Ogos 2010 sempena Hari Kemerdekaan tanahair tercinta telah dilekukkan sejarah hitam dengan jenayah kejam Pathmanabhan bekas peguam dengan tahap kehaiwanannya amat luarbiasa. Datuk Sosilawati Lawiya dibaringkan sebelum tengkuknya ditikam dengan muka ditekap dengan tuala dalam keadaan menelentang seperti mana 3 lagi mangsa lain. Hari ini, Bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi dengan pembunuhan ini.

2. Pepatah ada menyebut api tidak dapat dipadamkan dengan api namun ini hanyalah setetes karma dari langit buat makhluk yang mengaku manusia sebaliknya haiwan di hati dan jiwa mereka. Darah dan nafas penjenayah-penjenayah ini menggelegak kepanasan bahang api neraka yang ditiup oleh Iblis yang memuntahkan kezaliman dan kebinatangan yang tidak mampu dibendung sehingga bersembur api kebencian dan kerakusan kepada sesiapa saja yang menghampiri mereka. Pabila ketamakan dan nafsu amarah menguasai diri, tiada lain natijah yang menunggu pintu-pintu masa depan kecuali jenayah dan kezaliman berleluasa. Benar seperti kata Aristotle “Dalam masyarakat manusia ada binatang jalang tetapi dalam masyarakat binatang tidak ada satu pun manusia jalang”.

3. Bukan rasisma yang disemai namun ianya kemutlakan jenayah yang muncul dari lubuk jiwa setiap manusia yang meminggirkan kasih sayang, perikemanusiaan dan fitrah manusia yang menolak kezaliman. Ingatan kepada Tuhan dan agama apa sekalipun sudah sirna dan pupus ditelan kehangatan cinta Sang Iblis. Jika manusia masih tetap jahat dengan adanya agama, bagaimana lagi jika tiada agama? Wajah-wajah mangsa yang berpeluh kesengsaraan dan keluarga yang dirundung malang langsung tidak memintas rongga fikiran penjenayah seperti ini. Undang-undang sudah dianggap selipar buruk yang boleh dicampakkan pada bila-bila masa lantaran kelicikan berhujah di Istana Keadilan sebelum ini. Undang-undang negara harus dipertahankan sejajar dengan kedudukannya di sisi Perlembagaan Persekutuan. Ia digubal bukanlah untuk diinjak-injak oleh mana-mana pihak yang merasakan dirinya kebal dan mampu berselindung disebalik undang-undang itu sendiri.

4. Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat. Oleh yang demikian, jangan dibiarkan rakyat tenggelam dan lemas dalam samudera kejahatan berlangitkan kejahilan atas segala tingkahlaku yang membezakan antara kemanusiaan dan alam haiwan. Setiap insan dilahirkan untuk hidup sebagai manusia bukannya binatang. Justeru itu, jika kehidupan binatang yang dikejar, jangan terhina atas gelaran BINATANG yang dicampakkan kepada sesiapa yang berhajat.

5. Aapalah ertinya kekayaan yang dibolot dan dikaut dengan jentolak dari neraka jika sudah diketahui bahawa kekayaan menjahanamkan si bodoh dan merosakkan si pandai?. Kekayaan yang lahir dari amanah, kejujuran dan keikhlasan dalam meraihnya lebih bermakna berkembarkan ilmu yang dimanfaatkan untuk kemaslahatan ummah, bangsa, agama dan tanahair. Dunia itu umpama ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan diperolehi di akhirat kelak. Apa mungkinkah hasil usaha haram yang dikerah di ladang dunia mampu membantu kita memunggah hasilnya untuk membantu kita di akhirat? Mungkin ada yang menyifatkan kes ini sebagai kes terpinggir dan hanya melibatkan Pathmanabhan yang berbangsa India. Sebenarnya, setiap kejadian itu adalah guru yang mengajar kita agar memetik iktibar yang amat berguna dari terjebak dalam perangkap Iblis.

Wallahualam

~: hnbk :~sosilawati

Persimpangan reformasi dan transformasi

Salam,

1. Beberapa panggilan talipon dari pemuda Tionghua dari Tunjang sehingga selepas waktu maghrib akhirnya mengundang persetujuan untuk aku bersama-samanya hadir ke Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Kedah malam ini. Setelah sekian lama tidak hadir program sebegini, namun malam ini sampai juga jasad dan jiwa dengan niat melihat pertama kali program Blackout 505 Peringkat Negeri Kedah atas nama manusia yang bebas dari lingkaran kekuasaan. Pada awalnya aku melihat langit yang dipenuhi bintang-bintang yang menyuntik keyakinan bahawa cuaca baik untuk hadir di sana. Rupanya perencanaan Allah swt Maha Besar, sejak awal kami merancang untuk ke sana bermotosikal atas kebimbangan jangkaan akan berlaku kesesakan yang teruk dan itulah yang berlaku di sana sehingga motosikal juga sukar keluar walaupun belum selesai program. Dari Jitra cuaca yang baik dan deruan angin seakan membisikkan ‘Selamat Datang’ ke program ini. Namun sebaik sampai di persimpangan Tol Alor Star (Utara), hujan mula turun tetapi aku masih yakin di hadapan sana keadaan lebih baik. Walaupun begitu, hujan semakin lebat sehingga memaksa aku berpatah balik melawan arus untuk berlindung di bawah jejambat persimpangan Tol Alor Star (Utara) tadi. Di sana, agak ramai penunggang motosikal yang tumpang berteduh. Banyak cerita-cerita menarik yang dikongsi sementara menunggu hujan reda dan sebahagiannya agak menyentuh perasaaan aku. Mungkin itu sebahagian dari tarbiah terselindung yang Allah swt cuba selitkan dalam perjalanan malam ini. Jam sudah hampir 9 malam dan aku membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan setelah hujan agak reda dan pemuda Tionghua dan rakan-rakannya yang menunggu di Tesco Stargate Tol Alor Star (Selatan) terus menghubungi aku untuk berkumpul di situ.

2. Sebaik sampai di Tesco, aku melihat banyak motosikal dengan penunggangnya semua berbangsa Cina kecuali seorang India dengan penuh semangat meniup trompet plastik yang sering digunakan oleh penyokong bolasepak. Kami meneruskan perjalanan ke Kompleks PAS dan suasana hiruk-pikuk bermula selepas lampu isyarat Simpang Empat, Alor Star. Deretan kereta dan hadirin yang berjalan kaki jauh menuju tapak Kompleks PAS menghiasi malam yang penuh makna buat mereka yang jiwanya berpasakkan perasaan sayang kepada perjuangan masing-masing . Berbagai ragam manusia dan penjual-penjual T’ Shirt, lilitan kepala bertulis Suara Rakyat Suara Keramat, topeng, trompet plastik, makanan dan minuman sepanjang jalan sehingga memasuki kompleks. Fikiran aku melihat kelainan berbanding pengalaman lepas di mana majlis begini hanya dihadiri bangsa Melayu dan peniaga juga adalah Melayu. Kali ini, yang berniaga dan yang hadir terdiri dari bangsa Cina dan Melayu termasuk hadirinnya dari berbagai bangsa. Walaupun diumumkan oleh Chegu Bard hadirin malam ini lebih 80 ribu orang, aku menganggarkan antara 50-60 ribu orang hadirin pada malam ini berdasarkan pengalaman ketika masih bersarung kekuasaan.

3. Pengamatan aku dalam program malam ini dengan hati, jiwa dan minda yang bebas melahirkan pandangan yang aku anggap bebas dari sebarang prejudis. Ucapan-ucapan yang berkisar kepada dakwaan penipuan SPR dalam PRU 13 menjadi isu dominan yang menguasai ucapan setiap penceramah. Namun yang berjaya mencuri tumpuan hadirin adalah ucapan Siti Aishah Ketua Srikandi PKR dan Chegu Bard, Dato’ Mahfuz Omar AP Pokok Sena, Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS dan Sallehudin Ayob Naib Presiden PAS yang tewas di Johor dalam PRU baru-baru ini. Aku pulang awal jam 11 malam belum sempat Dato’ Seri Anwar Ibrahim memulakan ucapan bagi mengelakkan kesesakan yang melemaskan.

4. Namun, apa yang dapat aku rumuskan hasil pengalaman yang diadun dengan keadaan semasa adalah, rakyat kian matang, rakyat kian mengharapkan sebuah kerajaan yang bukan saja bersih tetapi juga dilihat bersih dari gejala rasuah dan penyelewengan, hubungan antara kaum yang semakin utuh berbanding suara-suara media yang mengatakan sebaliknya. Hadirin juga hadir dengan kerelaan diri sendiri tanpa upah dan habuan serta kemudahan pengangkutan seperti lazimnya dilakukan parti lawan PR malah mereka sanggup mengeluarkan wang untuk dimasukkan ke tabung PR dan juga belanja untuk hadir. Seruan 1 juta hadirin di Kuala Lumpur pada 25 Mei ini mungkin keterlaluan tetapi pastinya lautan manusia menanti ibukota untuk dibanjiri menggandakan lautan manusia yang hadir pada malam ini.

5. Zaman kemahuan pemerintah ditakuti dan didengari seperti sudah lupus tarikhnya. Jika suara pemerintah dan aparatusnya mahu dihormati dan didengari, rajin-rajinlah mengamalkan strategi yang mengambilkira kemahuan rakyat dan persekitaran yang dibina sendiri oleh BN dan saf pimpinannya. Undang-undang dan peraturan samada yang dilupus dan diperbaharui termasuk Akta Perhimpunan Aman (APA) sewajarnya menjadi pertaruhan yang bakal menentukan jejak langkah yang perlu diatur. Jika semangat APA sudah dikuburkan, natijahnya juga berbeza dari apa yang diharapkan. MB Kedah wajar membuktikan roh dan semangat mudanya diterjemahkan dalam ruang percaturan politik yang sedang berada di persimpangan antara reformasi dan transformasi. Jangan dibiarkan alasan-alasan yang terpancul dari bibir agensi dan sistem yang ada diperlekeh dan dipermainkan oleh mana-mana pihak seperti yang disebut oleh Dato’ Mahfuz Omar malam ini berhubung dakwat kekal “Apa hangpa ingat ini ubat batuk ibu dan anak ka nak kena goncang dulu botoi?”. Oleh kerana itulah tidak semua mampu menjadi ketua, tidak semua mampu menjadi pemimpin, tidak semua mampu menjadi imam dan khalifah kecuali yang benar-benar berkemampuan membidas jawapan dengan hujah mantap yang lahir dari akal berbanding dari usus perut dan tempurung lutut. Hujah berdepan hujah bukannya terjah. Tidak guna jika jawatan PENGARAH seperti S Vell Paari anak Mantan Presiden S Samy Vellu yang bergelar Pengarah Strategik MIC dengan strategi lucunya sehingga Devamany kecundang di Sungai Siput, Perak dan Presidennya sendiri Palanivel menang dengan majoriti tipis yang memalukan buat seorang presiden parti yang mewakili Kaum India. Jawatan Pengarah memang sedap didengar dan diburu tetapi jika prestasi di bawah par, maka itu sudah gaharu cendana pula.

Wallahualam

~: hnbk :~ simpang

WANG TIDAK BERSUARA

As-Salam,

1. ‘Wang tidak bersuara’. Itulah bisikan yang terus bergulat dalam gelanggang minda aku sejak pagi ini. Kata-kata dari teman di seberang Selat Melaka hari ini benar-benar melahirkan rantai-rantai persoalan yang setiap satunya berdiri persoalan baru yang membungkam akar persoalan itu sendiri. Aku akur dengan kata-kata ‘wang tidak bersuara dan aku juga akur bahawa wang adalah ‘raja yang bisu’.

2. ‘Raja yang bisu’ tanpa henti menitahkan kemahuannya kerana percaya seluruh jagatraya ini akan tunduk dan menyembahnya. Yang engkar pastinya berjenama penderhaka dan hukuman pancung sudah menunggu dengan manteranya yang bertasbih berulang-ulang. Wang menari-nari kegembiraan melihat manusia tunduk dan merunduk memahami serta penuh hormat kepadanya atas apa saja yang dititahkannya. Semburan titah tiada yang engkar lantaran mulut-mulut mangsa silumannya sudah disumbat rumput dan ditogok kencingannya.

3. Namun aku tidak peduli akan titah ‘raja yang bisu’ kerana aku lebih meyakini Tuhanku dan perjanjian antara aku dan aku. Aku sudah melilit janji di seluruh tubuhku untuk hanya tunduk kepada kemahuanku dan tidak sesekali memperbudakkan diriku dengan wang, harta, pangkat, jawatan dan apa saja habuan yang dijelmakan di hadapanku. Sememangnya sudah kuketahui bahawa ramai yang memperbudakkan diri kepada wang walaupun memahami dan mengetahui wang tidak mampu membeli harga diri malah membinasakan bukan hanya dirinya sendiri malah sesiapa saja yang dilingkungi wang sambil merayakan ritual yang difahami dan diamalkan oleh para syaitan, jin dan kuncu-kuncunya.

4. Yang benar tetap benar dan yang salah tetaplah salah. Kaya dan miskin di hadapan keadilan adalah sama. Oleh itu, kenapa harus dibimbangi akan kepercayaan karut yang didatangkan bersama syirik dan khurafat yang mengaburi mata dan telinga bahawa wang itu adalah Tuhan kepada manusia dan akan hanya menjerumuskan para pengamalnya ke kolam penyiksaan. Hanya yang bertelinga tetapi tiada pendengaran dan yang bermata tanpa penglihatan akan mempercayainya.

5. Jangan sesekali menggadai prinsip demi mendapatkan dunia yang mengiurkan sedangkan ia tidak lebih dari azab yang menyiksakan. Orang yang mengetahui harga dirinya tidak akan binasa lantaran keteguhan hatinya yang pejal dan perkasa. Bangsa penakut tidak boleh merdeka dan tidak berhak merdeka. Ketakutan adalah penasihat yang sangat curang untuk kemerdekaan diri, bangsa, agama dan tanahair.

6. Gerabak kosong seringkali menghasilkan lebih banyak bisingnya daripada gerabak yang penuh muatan. Kebisingan yang mengumpan manusia dengan umpatan, fitnah dan cercaan adalah lambang kekecewaan dan ketidakyakinan manusia terhadap diri sendiri. Namun, impak terhadap kehidupan amatlah besar. Lidah yang panjangnya tiga inci mampu membunuh manusia yang tingginya enam kaki. Masa depan dan kehidupan mangsa-mangsa kezaliman mereka akan hanya mendapat pembelaan daripada Allah swt apabila ketaatan manusia terhadap wang sudah menggelapkan hati para hamba wang yang terjebak.

7. Kuasailah diri sendiri dan jangan biarkan diri diperhambakan oleh ‘raja yang bisu’. Orang yang paling berkuasa adalah orang yang dapat menguasai dirinya sendiri. Jangan pula dibiarkan nilai diri diletakkan ditapak kaki sehingga penghinaan yang tampil adalah atas jemputan kita. Sekiranya diletakkan satu nilai kecil ke atas diri kita sendiri, ketahuilah bahawa dunia tidak akan meningkatkan harga kamu.

8. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun yang pada bila-bila masa akan pecah. Pengumpul harta belum tentu memanfaatkannya, dan yang memanfaatkan harta belum juga tentu yang mengumpulkannya. Orang cerdik yang mengenal dunia, terungkap baginya musuh yang berbaju kawan. Kenali siapa kawan dan siapa musuh yang sebenar agar tidak tertipu oleh sandiwara semasa yang berulang-ulang kitarannya.

9. Jika tidak mampu bersuara maka tidakkah kita mampu berjihad dengan mata pena? Setitik dakwat mampu membuat sejuta manusia berfikir tentangnya. Jika keadilan sudah ditegakkan, keberanian tidak diperlukan lagi. Bak kata Che Guevara pejuang revolusi Marxis Argentina dan seorang pemimpin gerila Negara Cuba, “biar mati berdiri dari hidup melutut”.

10. Terkadang, masalah adalah sahabat yang terbaik. Ia menjadikan kita lebih kuat, dan menempatkan Tuhan di sisi kita lebih dekat. Hidup berteman kesengsaraan, nafas berbau keazaban, darah mengalir kepayahan dan nadi bergetar keperitan bukanlah alasan untuk kita menyembah selain dari Allah swt. Patah sayap bertongkat paruh namun kehidupan ini ku teruskan juga. Hanya kerana seseorang terlihat kuat di hadapan kita, tidaklah berarti dia akan terus kuat tanpa kita.

Wallahualam

~: hnbk :~
speak out

LALANG BERBUAH RAMBUTAN

As-Salam,

1. ‘Tuan !, maafkan saya atas kesilapan selama ini. Saya lakukanpun hanya kerana tidak puashati dan tidak mampu melayani cara tuan. Saya tak berniat jahat sebenarnya’. Mungkin kita pernah dan sering mendengar ungkapan seumpama itu yang berlegar dan melantun ke sana sini bagaikan sesuatu yang sudah hambar dan tidak berbaki makna. Namun.. buat saya, jawapannya amat mudah. ‘Saya tidak pernah menjerat harapan, memukat impian dan memancing doa agar lalang berbuah rambutan’. Sejak awal saya sudah bertawakal dan pasrah akan apa yang bersujud di hadapan ini selepas niat dan usaha yang dilaksanakan itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang WAJIB dilaksanakan. Balasan manusia samada baik atau sebaliknya hanya dengan restu Allah swt tanpa sedikitpun dapat merempuh garisan yang ditentukanNya. Redha dengan ketentuanNya menjadi landasan yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua umat yang berimankan Rabb.

2. Kenapa perlu bimbang dan ragu akan pengkhianatan dan tuah yang tidak memihak jika kita penuh yakin dengan kuasa dan pembalasan Maha Berkuasa? Biar seluruh isi alam membenci dan mengkhianati tetapi hanya SATU Allah swt sudah cukup melindungi dan membantu diri yang serba lemah dan tidak berdaya. Tiadalah nilainya walaupun seluruh isi bumi membantu dan menyayangi kita sedangkan Allah swt murka. Sebaik-baiknya manusia dan semua makhluk suka, membantu dan bersama-sama kita dan Allah juga sentiasa melimpahkan rahmat dan kasih-sayangNya kepada kita. Namun, jika pilihan hanya satu, TETAP lah saya memilih redhanya Allah dan dihamparkan permaidani kasih sayangNya kepada saya.

3. Siapalah manusia yang tegar dan sanggup berdepan dengan kekuasaan Ilahi? Usahkan dihukum dengan musibah dan bencana, dihentikan rahmat dan rezeki buat sedetik saja sudah terbongkang kaku tanpa nadi dan nafas berdengus. Udara, air, api, kesihatan dan jutaan rahmat yang bernanah dalam jasad kita dan melingkari setiap langkah yang berbekas hanyalah sebuah mimpi yang menjadi sejarah setelah KARMA bertamu. Detik itu akan menghakimi kita sehingga tiada satu pembohongan dan alasan yang mampu membentengi pengkhianat dan pendengki.

4. Jika Nabi Yusuf yang menjadi kekasih Allah dan berbekal perisai kekuasaan allah swt boleh dikhianati oleh saudara-saudaranya sendiri dan dikhianati oleh Zulaikha, Julius Caesar dikhianati sahabat baiknya Brutus, Hang Tuah menjadi mangsa Si Kitol dan raja Mendeliar, Kennedy oleh agensi perisikannya sendiri CIA, Saddam dan Muammar Ghadafi oleh pembantu-pembantunya, maka… pastinya sejarah akan mengulangi kitarannya untuk kita dengan bentuk yang berbeza. Tabahlah, sabarlah, istiqamahlah agar kita mendapat pahala dan balasan berlapik emas dan permata dari Maha Pencipta. Janganlah diharap “lalang berbuah rambutan” dan “Serigala berjiwa kucing”.

Wallahualam

~hnbk:~rambutan 3

PENJAGA KEBUN, TIKUS DAN VAMPIRE

As-Salam,

1. Sesungguhnya hidup kita ibarat penjaga kebun yang diupah untuk menjaga dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Tanpa amanah dan tanggungjawab, pastinya tuan punya kebun akan menegur dan memberi amaran agar sebarang ketidakpuasan hati dapat diperbaiki. Namun, jika kita masih meneruskan kerja dengan cara yang tidak mampu memuaskan hati tuan kebun, pastinya kita akan digantikan dengan pekerja lain yang mampu membersihkan kebun, menyiram, membaja dan menjaga hasil kebun agar tuan kebun tidak menuai kerugian.

2. Mengikut Goenawan Mohamad dalam Catatan Pinggirnya “Tapi kini perangai partai-partai politik mirip tikus besar-kecil yang merusak padi di sawah kita. Atau lebih buruk lagi, mirip “vampire”, seperti kata editorial Media Indonesia, pelesit yang menghisap darah dari tubuh demokrasi. …. Siapa yang menggantungkan politik pada harapan lupa bahawa harapan tak pernah datang sebelum perbuatan. Siapa yang menggantungkan politik pada harapan akhirnya hanya akan terpekut, kerana harapan selalu samar.”

3. Kita juga tahu dunia tidak akan menjadi syurga dan hanya di syurga kita boleh mengetahui apa yang akan kita capai. Dan kita juga tahu tidak semua ahli dan saf pimpinan yang merosakkan harapan dan kepentingan bangsa, agama dan tanahair. Memang benar ‘nila setitik merosakkan susu sebelanga’ tetapi apakah kaedah terbaik untuk merawat kepercayaan rakyat terhadap ketempangan yang telah mencacatkan tubuh yang bernama demokrasi?

4. Tubuh sosial mengandung ketempangan yang tidak lagi dapat dielakkan dan apakah kita akan selamanya menjadi saksi terhadap keadaan selamanya ada yang kuat dan ada yang lemah, yang menguasai dan dikuasai. Tapi yang kuat hanya kuat jika ia diakui demikian oleh yang lemah meskipun dengan mengeluh dan marah. Budaya turun ke jalan menggoncang “demokrasi terpimpin” bukan jalan terbaik. Sentuhan demokrasi di hujung jari, dan gunakannya sebaik mungkin mengikut akal dan bukan emosi. Akal mampu mengemudi tetapi emosi biasanya dituntun bagaikan haiwan.

5. Kita bukan dari kelompok yang menunjal soalan “esok makan siapa?”. Memadai dengan “soalan esok makan apa dan di mana”. Doakan agar kita sentiasa dilingkungi masyarakat tanpa penindasan politik. Hubungan antara pemerintah dan rakyat bukannya seperti hubungan antara syaitan dan manusia. Hubungan yang penuh dengan dendam dan bisikan agar kemaksiatan menjadi amalan dan yang baik dijauhi. Sekaya mana kita dan sebanyak mana harta kita, makan cukup saja dengan sepinggan. Jika enam pinggan tentunya ke hospital tumpangannya. Sehebat mana kita, janganlah sampai enam helai pakaian disarungkan, nanti rumah sakit jiwa alamat akhirnya”.

6. Meminjam skrip drama Melayu malam ini sebagai gurindam jiwa, “Wahai sahabat!! kalau berhajat bermain dengan api, pastikan jangan sampai terbakar. Percaya dan yakinlah, ‘tiada peraturan dan hukum yang boleh dituhankan, surat keputusan yang dimutlakkan yang dianggap tidak mungkin salah KECUALI Kitabullah Al-Quran.

Wallavampirehualam

~:hnbk :~