Merdeka Kah Kamu?

Salam,

1. Saban tahun kemerdekaan tanahair akan membuat aku terfikir apakah pengisian dan apakah impak yang akan menerobosi jantung, hati dan minda rakyat negara ini. Kebetulan tarikhnya tidak begitu jauh jaraknya dengan hari lahir aku maka bahangnya seolah-olah aku juga ‘Anak Merdeka’. Kita baru saja melepasi detik awal ambang kemerdekaan. Kebetulan kemerdekaan tahun ini diwarnai dengan begitu banyak kontroversi ciptaan penggemar ‘sauna’ yang tidak selesa jika suhunya rendah.

2.  Sesungguhnya, kemerdekaan yang ditanggali dengan tarikh ‘karamah’ 31 Ogos tidaklah hadir tanpa makna dan hanya menjadi siaran ulangan yang membosankan rakyat. Bosan akan menghampiri sesiapa saja jika ulangannya dibuat tanpa membina persepsi bahawa ianya adalah keperluan asas sepertimana kita mengulangi makan nasi, meminum air dan sebagainya. Filem P. Ramlee itu sudah seakan menjadi keperluan asasi sehingga walaupun diulang puluhan kali tetap menggelikan tidak kira yang tua, muda, lelaki, perempuan, yang jantan dan yang pondan bahkan yang hitam mahupun yang putih.

3. MERDEKA ! MERDEKA ! MERDEKA!.. Kata-kata YAB Bekas Perdana Menteri Tun Abdul Rahman Putra Al Haj terngiang-ngiang di telinga segenap lapisan masyarakat tanpa wujudnya sempadan kecuali yang membina tembok sempadan atas kepentingan diri sendiri. Merdekalah jiwa, minda dan jasad kamu disertai tanahair yang kita semua sayangi. Kemerdekaan tidak akan bererti jika kita masih menjadi hamba kepada apa bentuk sekalipun sistem perhambaan. Kita tidak boleh menjadi hamba kepada sesiapa saja termasuklah nafsu kita sendiri. Lihat saja sikap dan tindak tanduk kita di bulan Ramadhan setiap tahun yang dituntun dan diruntun keserakahan nafsu. Ketika lepas berbuka puasa kita sadari bahawa tuntutan perut tidaklah sehebat tuntutan nafsu. Pesanan yang kita buat untuk membeli juadah di Bazar Ramadhan bukan lah pesanan perut tetapi ternyata adalah pesanan nafsu. Perut tidak pernah memilih untuk meminta kebab, roti john, ikan bakar, nasi kerabu, kambing panggang dan sebagainya kecuali runtunan nafsu yang bersenjatakan lidah manusia. Merdekakah kita?

4.  Merdekakah kita selagi kita masih memperhambakan diri kita kepada individu, organisasi dan orang yang kita sayangi sehingga melupai bahawa penjajahan dan perhambaan itu bukanlah fitrah manusia yang dilahirkan merdeka. Kita memilih untuk meraikan kemerdekaan tanpa menghayatinya dalam erti kata sebenar. Bunyi tembakan bunga api dengan nilai ratusan ribu ringgit dibakar, bendera sana sini, tarian merdeka menjadi keutamaan dan banyak yang tidak memberikan impak besar kepada rakyat untuk sama-sama kita rasai nikmat dan erti kemerdekaan. Apakah kemerdekaan ini dicapai melalui tarian? atau dicapai dengan tembakan bunga api?

5.  Pengisiannya akan lebih bermakna jika semangat rakyat dicanai dan dibakar dengan pertunjukan seperti peralatan pertahanan negara melintasi rakyat dalam perbarisan, kekuatan pasukan keselamatan ditampilkan khususnya pasukan-pasukan khas seperti Pasukan Khas Laut  atau nama singkatannya PASKAL, Komando 69, Pasukan Gerak Khas dan pelbagai lagi dengan menunjukkan aksi kehebatan mereka seperti kawad patung, kombat tanpa senjata, Demo tempur tanpa senjata dan pelbagai lagi. Lagu-lagu membangkitkan semangat kepahlawanan dan keperwiraan dikumandangkan. Kemerdekaan tidak dicapai dengan muka sedih berpeluk tubuh tetapi dengan keringat dan darah. Betapa besar pengorbanan pasukan keselamatan mengisi kemerdekaan untuk menghapuskan Pengganas Komunis (PKM) yang terus berusaha menggagalkan pembangunan negara hasil dari kemerdekaan tanahair. Tanahair yang merdeka akan menjadi tidak bermakna dan tidak mampu bertahan jika rakyatnya masih gagal memerdekakan jiwa dan minda mereka. Lihat saja Korea Utara, Iran, Syria, Iraq dan beberapa negara yang rakyatnya kuat dan tabah menyambut kemerdekaan mereka dengan penuh semangat juang. Itulah kemerdekaan yang menjadi simbol kebanggaan rakyat. Kita tidak menghina M. Daud Kilau ataupun Raja Gelek apa sekalipun. Beliau merdeka dengan caranya tetapi biarlah rakyat umum dimerdekakan dengan gaya yang lebih bersemangat perkasa.

6.  Generasi terdahulu sudah merintis jejak merdeka dan menjadi kewajipan kita mengisinya dengan pengisian yang akan memantapkan lagi kemerdekaan tanahair. Mereka yang terdahulu sudah menepati janji mereka dan JANJI DITEPATI kita semua adalah memastikan bangsa, agama dan tanahair kita terus kekal dan teguh kemerdekaannya. Kita berada di bumi ini atas pengorbanan mereka dan menjadi sesuatu yang WAJIB untuk kita mengenang jasa-jasa mereka dengan program yang akan menambah kasih sayang dan cinta seluruh rakyat kepada mereka. Janganlah kita berbangga dan menunjuk kehebatan sendiri atas nikmat kemerdekaan sekarang kerana apalah jasa kita berbanding mereka. Pahlawan itu kadangkala dinobatkan atas jasa pahlawan terdahulu yang merintis jalannya namun kita ini hanya menjadi pinggan tambah yang hanya memecahkan batu yang sudah 99 % sudah hampir pecah dan hanya menunggu masa pahlawan yang tidak pahlawan memegang ‘hammer’ untuk membuat sentuhan terakhir namun gelaran itu menjadi miliknya. Janganlah kita sia-siakan jasa, sumbangan dan pengorbanan mereka dengan menimbus semuanya itu dengan ketulan tanah yang kita ambil dari kuari yang sama.

Wallahualam

HNBK

Advertisements

Kostum Ramadhan

Salam,

1.  Jauh perjalanan luas pandangan, kian tinggi peranan makin besar perjuangan. Tidak semua yang kita suka itu akan kita perolehi dan tidak semua yang kita selesa harus kita miliki. Apakah pencuci tandas itu bercita-cita dan suka akan tugasnya itu? Apakah buruh binaan juga sudah lama berangan-angan ingin memeluk cita-cita untuk pekerjaannya itu? Mungkin jawatan menteri yang disandang Pak Menteri idamannya sejak lama dan menjadi tokoh korporat dengan harta melimpah ruah itu membuatkan seseorang amat obses dengan pangkat dan peranannya.

2.  Apa yang kita lakukan tidak semestinya apa yang kita suka dan kita idamkan melainkan ianya adalah keperluan untuk meneruskan perjuangan dalam kehidupan ini. Begitu jugalah dengan tanggungjawab, amanah dan ibadah yang kita lakukan itu semuanya adalah keperluan samada untuk kita sendiri dan juga kemaslahatan ummah. Selagi manusia tidak memahaminya, selagi itulah manusia akan merasa ianya adalah satu beban yang TERPAKSA digalasnya untuk orang lain.

3.  Ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur pagi ini dari Alor Star dengan Syarikat penerbangan AirAsia, terbangnya pesawat turut menerbangkan fikiranku jauh melayang ke angkasa. Sambil membelek-belek buku Ustaz Emha Ainun Nadjib Tuhan Pun Berpuasa, mindaku dituntun untuk mengenang kembali Wilayah Ramadhan yang membiarkan Syawal pula melingkungi aku dan seluruh jagat raya ini. Fikiranku dibenam akan perasaan yang berkisar tentang artis-artis yang mengenakan kostum-kostum indah dan menarik tidak kira lelaki mahupun perempuan sepanjang bulan puasa itu. Yang lelaki ada yang berkopiah dan bersongkok dilengkapi dengan baju Melayu dan kain sarung manakala yang wanita pula mengenakan baju kurung disempurnakan dengan tudung, purdah dan jilbab memenuhi tuntutan skrip dan arahan pengemudi drama dan juga iklan. Aku senang sekali akan keadaan ini dan aku juga kagum dengan kesegakan dan kecantikan artis-artis ini dengan kesempurnaan diri dan pakaian mereka. Kita menonton mereka terkagum-kagum dan penuh rasa syukur. Islam seolah-olah sudah merasuk menjadi hati, menjadi fikiran, menjadi sikap dan menjadi pakaian budaya kalangan selebriti. Namun amat malang apabila pakaian itu ditanggalkan begitu sahaja setelah selesai shooting.

4.  Menjalankan agama bagaikan bermain drama sedang sehari-hari tidaklah demikian dengan menjalankan agama dengan mengenakan kostum sebagaimana yang dituntut oleh senario drama agama. Yang menjadi pertanyaan kita selanjutnya adalah, apakah nilai-nilai agama yang diungkapkan juga pada posisi sama dengan pakaian yang dikenakan? Yakni menjadi kostum ketika bermain drama? Sering kedengaran kenyataan keras para selebriti bahawa “apa kami peduli jika orang berkata kepada kami sedangkan kami mencari rezeki yang halal?” Kita tidak berhasrat untuk pergi lebih jauh menganalisa betapa percampuran lelaki dan perempuan bukan muhrim, hasil dari itu dan ini, tingkah laku tidak bersopan dan sebagainya. Namun, jika program agama yang ditayangkan sepanjang Ramadhan tanpa mengira masa dan tempatnya demi memenuhi budaya bulan mulia ini pun belum tentu rezeki mereka itu halal.

5.  Cuba kita renungi tentang minit-minit yang digunakan untuk siaran drama, iklan, filem dan sebagainya yang berkaca di TV saban hari itu tidak akan berlaku tanpa wang dan bayaran. Tiap detik itu adalah wang dan faktor yang menjadi perkiraan adalah jumlah penonton yang menonton dan ratingnya harus memenuhi kehendak ramai yang umumnya akan dirantai dan disambungkan dengan seks dan kisah-kisah yang menjadi senjata iblis memerangkap manusia. Bagi mengimbangi situasi Ramadhan yang digeruk dan rengkuh bakinya selama 11 bulan dengan sajian selera iblis dan syaitan itu, maka sebulan ini akan dikenjah dan dicambah dengan program Islam yang berkait rapat dengan bulan yang mulia. Apakah penonton bukan Islam senang dan terpaku dihadapan TV untuk program ini? Apakah semua Muslim termasuk para gerombolan dan rombongan iblis yang juga Muslim itu akan turut melutut dan bersujud di hadapan TV menghayati program berbentuk agama itu? Walaupun jumlah penontonnya sedikit,namun ia terpaksa diusahakan bagi mengelakkan ia menjadi bahan dan peluru pihak yang menunggu masa untuk mencerca, memanipulasi dan eksploitasi isu ini untuk keuntungan mereka. Maka keuntungan program selama 11 bulan yang bertatah intan berlian dan permata hasil auta iblis dan kuncu-kuncunya itu kan diisumbangkan bagi menampung kerugian program TV Ramadhan itu. Apakah hasil kotor dapat membersihkan perkara bersih?

6. Oleh yang demikian, fikiran yang melayang di angkasa itu saya kira bukanlah igauan para iblis yang sengaja mengelirukan saya betapa kostum agama yang dirancang dan dipersembahkan menuruti kehendak skrip dan bukan atas kehendak agama. Ianya tidak dapat tidak menjadikan agama sebagai sendaan dan tiada bezanya antara filem Bolllywood yang sering kita tontoni pelakonnnya yang ada masanya menjadi Hindu dan ada pula ketikanya bersandiwara sebagai Islam. Ramadhan nampaknya menjadi Mall Busana dan Akademi Drama dan Iklan yang hanya bertelunjukkan WANG. Alangkah sedih dan murahnya harga agama.

Wallahualam

HNBK

Tatkala Imam Berbogel

Salam,

1.  Hidup ini samada kita suka atau tidak, kita akan terus berbicara soal pemimpin. Pemimpin sudah pastilah memimpin tidak kira memimpin keluarga, masyarakat, organisasi kerajaan mahupun swasta, persatuan dan juga pertubuhan, negeri, negara sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Namun tidak lah ianya termasuk yang mendakwa sebagai pemimpin kerajaan langit seperti ‘Ayah Pin’ yang sehingga kini hilang entah ke mana mungkin sudah mencecah kaki ke bulan setelah Neil Amstrong meninggal dunia sebagai manusia pertama menjejak kaki ke bulan. Namun itu pun boleh dipertikai samada Neil Amstrong atau Yuri Gagarin yang menginjakinya dahulu.

2.  Pemimpin ni tidak hanya bersampin, pandai berzapin, dan kalau boleh jangan pula berlampin. Minta dijauhkan yang perlu dipimpin. Pemimpin harus memimpin. Pemimpin itu adalah Imam. Jika Imam roko’ makmum tegak, Imam sujud makmum roko’, maka apa jadinya solat itu? Imam memimpin jamaah. Kalau Imam baca fatihah makmum bergelak ketawa bermaharaja lawak dalam gelanggangnya di belakang sambil menyanyi lagu Anak Kampung atau Cok Cok kendung, maka jadilah solat itu umpama pesta SILAT dan bukan SOLAT.

3. Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa kamu sering mempertikai atau mempersendakan pemimpin? Apakah memberi pandangan itu adalah persendaan? Apakah dengan membicarakan soal kepimpinan itu maka jadinya kita sebagai pengkhianat dan penderhaka? Apakah yang diam membatu atau hanya bertasbih dan bertahmid akan kata-kata ‘Bos Baik’ Bos Pandai’ ‘Bos Cekap’ Bos Rajin’ ‘Bos handsome’ dan segala yang indah itu sebagai golongan yang taat dan membantu? Kepimpinan di era Khulafa Ar-Rashidin juga tidak terlepas dari kritikan dan bualan masyarakat apatah lagi di zaman kebebasan mengeluarkan pandangan dan pendapat selagi dibatasi norma bangsa, agama dan budaya kita. Pandangan dan pendapat masyarakat jika diambil secara positif pastinya ia akan dihargai dan dijadikan ‘semak dan imbang’ untuk membetulkan yang bengkok dan melicinkan yang kasar.

4.  Iblis sentiasa diam bahkan akan menggalakkan manusia melakukan kesilapan dan akan menentang usaha manusia melakukan kebaikan. Begitu jugalah kerja dan tingkahlaku penjilat yang hanya berselindung di sebalik jubah agama, pelikat budi bahasa dan purdah serta serban menghormati sebagai alasan meneruskan kegelinciran pemimpin yang mereka dakwa sebagai dihormati dan sayangi. Jika kita benar-benar sayangkan pemimpin, mustahil kita akan membiarkan beliau lemas dalam lautan madu, membiarkan pemimpin menghembuskan nafas terakhir dek semburan berbisa. Akali diri jauhi dengki, hindari iri, musuhi berkelahi. Dekati rakyat dan sayangi lah mereka kerana mereka lah pemimpin berada di situ. Pemimpin tidak akan berada di tempat itu tanpa rakyat dan Imam bukanlah Imam jika tanpa makmum. Makmum yang sayangkan Imam tidak akan membiarkan Imam berbogel terlondeh kain sarung dan menonggeng menampakkan tiang gol. Hanya makmum yang jahat dan penasihat yang busuk hati dan perutnya dipenuhi najis dan sampah akan membiarkan Imam khusuk dalam keadaan begitu.

5.  Oleh yang demikian, menegur dan menasihati itu banyaklah kaedahnya. Ambillah pandangan dengan hati dan fikiran yang terbuka agar ianya menjadikan kita pemimpin dan Imam yang dihormati dan disegani. Apabila hilang rasa hormat dan segan, tunggulah ketikanya sehingga apa yang berlaku pada Saddam Hussein dan Muammar Ghadafi yang diburu sehingga ke lubang tikus dan bersembunyi ditempat yang hina dan busuk. Kematian pula diinjak dan diperlekeh serta menjadi mainan seperti boneka di dalam keranjang sampah. Minta dijauhkan ianya berlaku kepada pemimpin yang kita semua sayangi dan masih berkesempatan di kalangan kita samada pemimpin, rakyat, Imam dan makmum bermuhasabah dan menjadikan lebaran kali ini sebagai garis penentu untuk menegakkan kerajaan yang dipimpin bangsa, agama dan tanahair yang merdeka. Pemimpin yang berjiwa dan minda merdeka akan terus bangkit dan tegap berhadapan dengan rakyat penuh rasa bangga untuk berkhidmat pada bangsanya. agamanya dan tanahair.

Wallahualam

HNBK

Leader is not a ladder

Salam lebaran,

1.  Tempoh lebaran masih melebar dan saya meneruskan salamnya sekedar mengingati hari-hari dilalui dalam bulan yang mulia Ramadhan Al-Mubarak yang sudah meninggalkan kita. Sambil-sambil bermesej dan berBBM dengan sahabat saya tadi, kami ada menyebut satu perkataan keramat yang amat penting dalam kehidupan tidak kira manusia, haiwan dan semua makhluk samada yang ghaib ataupun sebaliknya. Ianya disebut  ‘LEADER’. Jauh setapak ke hadapan, saya mengaitkan dengan seorang teman lama yang sering menyebut leader itu dengan bunyi ‘ladder’. Huruf dan bunyi amat penting dan membawa jutaan makna. Cuba bayangkan KUCING dieja KUPING hanya dengan bertukar hurug C dengan P. Lagi besar jika masalahnya jika SERAI disebut CERAI. Isteri minta anak kecil meminta serai dari bapa di belakang rumah. Anak kecil yang masih keras lidahnya memberitahu bapanya “Abah!! mak minta cerai”. Kan gamat jadinya? Boleh pitam bapa budak tu.

2.  Berbalik pada leader berbunyi ladder ni memang berat jika ianya benar-benar bertukar sedikit bunyi dan huruf. Leader yang menjadi ladder membawa makna bahan injakan dan dipijak. Leader jika dipijak dan diinjak maka hilanglah roh penghormatan yang amat penting sebagai leader. Jika leader yang tidak dihormati, keputusannya juga tidak dipatuhi dan dianggap remeh. Leader yang tidak dihormati akan berdepan kesukaran membuat keputusan kerana keputusannya adalah keputusan yang tidak akan dipatuhi. Apabila keputusan tidak dipatuhi bagaimana pentadbiran dan pengurusan akan berjalan dengan lancar? Maka akan timbullah pelbagai masalah yang terus menerus bersarang dalam masyarakat sehingga sesebuah pertubuhan, persatuan, masyarakat serta ke tahap kerajaan pun akan runtuh institusinya berpunca daripada leader yang dipijak untuk orang bawah naik ke atas dan membiakkan leader yang hanya membuat keputusan untuk tidak membuat keputusan. Keputusan yang putus akan mengelirukan dan memerlukan penyambungan yang seringkali akan mengelirukan penerima keputusan. Apa akan jadi dengan masyarakat yang berdepan dengan masalah sebegini?

3.  Yang bergelar Wakil Rakyat terus dan berperanan lah sebagai Wakil Rakyat kerana samada di Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan Parlimen tidak ada kerusi Wakil Haiwan, Wakil Pokok, Wakil Malaikat dan Wakil Iblis. Tidak kira apa parti yang mewakili rakyat, wakililah mereka dengan ikhlas, jujur dan penuh amanah seperti yang diharapkan oleh rakyat dan juga amanah yang tertulis. Jika kegagagalan memenuhi amanah itu ditempah, maka rakyat tidak ragu-ragu akan memilih Wakil Rakyat dari Parti Iblis Semalaysia (PIS) sebagai galang ganti atas keserakahan Wakil Rakyat yang tak habis-habis mendendangkan lagu hit Aishah ‘Janji Manismu’. Nak menyanyi ada tempatnya, nak berlawak ada gelanggangnya. Rakyat mengundi atas satu niat iaitu memilih wakil yang akan mewakili mereka ketika susah dan senang dan bukan sebagai penyanyi dan pelawak bahkan sebagai penjahat yang mengkhianati janji-janjinya kepada rakyat.

4.  Rakyat memahami bahawa tidak semua dilahirkan untuk menjadi pahlawan dan boleh menjadi pahlawan dalam semua hal. Yang menjadi pahlawan di medan perang tidak akan pernah memaksa dirinya untuk menjadi pahlawan dalam mendan ilmu pengetahuan seperti kata Ustaz Dr Anis Matta, Setiausaha Agung parti berbasis Ikhwanul Muslimin di Indonesia, iaitu Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Tambahnya lagi “Seseorang tidak menjadi pahlawan kerana ia melakukan pekerjaan-pekerjaan kepahlawanan sepanjang hidupnya.” Para pahlawan mukmin sejati tidak mengharapkan ia bergelar pahlawan atau leader, apa yang diharapkan adalah keredhaan Ilahi dan kesejahteran bangsa, agama dan tanahairnya. Jika tertitip secebis perasaan ketidakmampuan menjadi leader, apakah kita tidak berpeluang untuk memindahkan amanah itu kepada orang lain? sekurang-kurangnya hadirkan kemampuan untuk memindahkan amanah itu kepada yang lebih berhak dan lebih mampu menjadi leader secara terhormat dari memilih menjadi ladder.

5.  Wilayah kerja adalah lingakaran realiti, sedangkan wilayah peluang adalah ruang serbamungkin. Semakin luas pijakan kaki kita dalam lingkaran kenyataan, semakin besar kemampuan kita mengubah kemungkinan menjadi kepastian, mengubah peluang menjadi pekerjaan, mengubah mimpi menjadi kenyataan. Berjalanlah dengan mantap menuju rumah sejarah. Sejarah kepimpinan yang kita dambakan dan kepahlawanan yang menjadi simbol kebesaran bangsa dan tanahair. Jika engkau sudah sampai di depan pintu gerbangnya, ketuklah pintunya dan serulah “As-salam, I’m a leader and not a ladder, I’m a hero and not a heroin.”

6.  We are the hero of our own story. Everyone has a story and as leaders our stories shape who we are and how we lead. Your story is your back story, the experiences and situations that you have had shape your current and future reality. How you interpret your story determines how you see other people’s stories- and how you lead. Oleh itu, pilih lah samada mau menjadi LEADER atau LADDER.

Wallahualam

HNBK

Sampah bersepah, rakyat menyampah

Salam,

1.  Isu sampah meledak di Perlis tatkala lebaran baru melepasi hari ke enam. Bukan rakyat tidak memiliki kesabaran, tetapi kesabaran sudah menemui ‘chemistry’ untuk meledak. Isu sampah menjerit melolong sejak semalam apabila Berita jam 5 petang semalam dikatakan (23/8/2012), YDP MPK mengumumkan penamatan perkhidmatan Syarikat E-Idaman yang menjalankan kerja-kerja pelupusan sampah di negeri ini. Ledakan isu ini adalah benih yang subur tumbuh menjalar sejak rakyat menyirami isu ini dengan air mata, menjerit melolong sejak lama tanpa respon positif dan tahap kepedulian pihak bertanggungjawab berada pada paras beku sebeku antartika. Doa orang teraniaya sememangnya tiada hijab yang mendindingi antara Sang Khalik dengan hambanya.

2.  Kisah ini umpama pepatah Melayu lama “gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah” yang mengaitkan perbalahan orang-orang besar, maka orang kecil yang menjadi korbannya. Rakyat menjadi korban pertelagahan antara pihak MPK dan E-Idaman. Pelanduk itu adalah simbol kecerdikan namun kecerdikan tanpa perlindungan dan pembelaan tidak ke mana juga. E-Idaman yang sudah bertukar menjadi ‘Eeeeee meluatnya’ sewajarnya melihat apa kesilapan mereka sebelum menuding jari itu dan ini kepada pihak MPK dan rakyat apabila isu ini timbul. Jika mereka menghadapi masalah kenapa ianya tidak dibawa ke meja rundingan dengan pihak MPK dan Kerajaan Negeri sebelum ianya menjadi parah seperti sekarang? Isu kutipan sampah di Perlis telah berbunga dan berakar sehingga menjadi cemuhan masyarakat di lebih 200 taman perumahan di negeri ini dan dilihat akan menjadi duri dalam daging kepada Kerajaan Negeri jika tidak ditangani dengan bijak. Jika di negeri Kelantan dan Selangor isu air menjadi senjata BN membaham PR dengan kata-kata ‘Jika air tak mampu diurus, masakan negeri berjaya ditadbir’. Nampaknya, ludah tersebut sampai ke muka orang-orang di Perlis atas kegagalan pengurusan sampah yang seolah-olah menempah lembing untuk direjam ke dahi pihak terlibat. Kesalan masyarakat didakwa mula merebak kepada pihak MPK khususnya Ahli Majlis yang didakwa gagal memenuhi tuntutan amanah di bahu masing-masing. Keluhan kakitangan yang bekerja mengutip sampah dengan pelbagai tanggungan menambahkan lagi kekusutan sehingga jika dibiarkan berlarutan akan menjadi liabiliti kepada kerajaan untuk menepis segala isu yang mengundang ‘tukang kutip peluang’ dalam situasi politik yang mengelirukan sekarang. Maka janganlah rakyat ditimpa dengan kekeliruan yang tidak diperlukan atas kekusutan yang sepatutnya dilangsaikan segera oleh pihak terbabit.

3.  Pagi ini, pihak penguatkuasa MPK dikatakan berkawal di tapak pelupusan sampah di Padang Siding bagi menghalang Syarikat E Idaman membuang muatan sampah yang dipungut di seluruh Perlis di situ. Pihak pengurusan E-Idaman yang turut berada di situ untuk berunding dengan pihak MPK gagal  mencapai keputusan yang diharapkan oleh kedua-dua pihak. Kehadiran Pegawai tinggi kerajaan negeri di lokasi pelupusan sampah juga tidak membuahkan hasil yang menguntungkan rakyat negeri ini. YB bertanggungjawab juga nampaknya gagal menjawab sekedar menambahkan wap selagi berbunyi wab. Pihak media juga tidak ketinggalan berada di sana bagi memenuhi tuntutan tanggungjawab mereka sebagai jambatan antara rakyat dan keperluan informasi. Sidang akhbar terus berjalan, lori-lori sampah juga yang terhenti dan beratur di sepanjang jalan masuk ke tapak. Daripada cakap-cakap yang melantun-lantun di situ, E-Idaman masih terikat dengan perjanjian dan MPK tidak berkuasa menghentikan operasi syarikat pelupusan sampah itu. Bermula 28/8/2012, syarikat BUJ dikatakan akan mengambil alih tanggungjawab melupuskan sampah dari Syarikat E-Idaman dan syor akan dibuat kepada Kerajaan Pusat supaya menamatkan kontrak syarikat E-Idaman. Penamatan kontrak E-Idaman, penggantian syarikat lain, pengeluaran notis oleh MPK atau tindakan mahkamah sebenarnya adalah satu proses yang memutar-mutar isu tanpa penyelesaian yang menguntungkan rakyat.

4.  Pihak berkuasa yang mempunyai kuasa sejajar dengan amanahnya, gunakanlah ia untuk kemaslahatan rakyat. Pihak E-Idaman juga kenapa sekarang menjadikan sampah itu idaman ketika tersepit sedangkan sampah yang sama jugalah amanah untuk kamu sebelum ini? Pastinya pihak MPK bertindak demikian atas asas kepentingan rakyat sepertimana isu air di Selangor bagi mengelakkan rakyat terus dibebani masalah sampah di dalam kelongsong pemikiran mereka. Jangan lah slogan rakyat didahulukan dalam menerima beban namun sebaliknya didahulukan dalam isu mendapat kebajikan dan rahmat kasih sayang kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat.

Sampah bersepah pasti menyampah,

Rakyat bengang menyumpah-nyumpah,

Belum habis air melimpah,

Datang lagi ISU SAMPAH.

Bukanlah niat mencari salah,

Hanya berkongsi isu dan masalah,

Jika kami menjadi salah,

Sia-sia saja penat dan lelah.

Teguran dan pandangan tidaklah salah,

Jika semua sudi beralah,

Tidak ada menang dan kalah,

Cuma nak elak pemecah belah

5.  Waima apa saja yang berlaku, jauhilah penyakit ‘Sindrom Penafian’ kerana ianya adalah kunci kepada segala masalah yang tidak pernah selesai. Hari ini hujan lebat memanglah lembap, tetapi jangan lah panas dan kering juga keadaan  lembap. Jawatan itu hanya akan menjadi kenyataan jika kita mengerjakannya dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab. Memetik kata Parakitri T. Simbolon dalam bukunya Cucu Wisnusarman “Soalnya, barang siapa yang menginginkan jadi gubernur bukanlah gubernur. Barang siapa yang menginginkan jadi petani bukanlah petani. Sesungguhnya, seseorang adalah apa yang dikerjakannya, bukan apa yang diinginkannya.”  Oleh yang demikian, biarlah jawatan dan tanggungjawab itu seiringan dengan tindakan kita dan memenuhi asiprasi program transformasi kerajaan. Elakkan E-Idaman menjadi Eeeee Meluatnya dan hindarilah menjadi pembekal senjata kepada musuh yang hanya mempercepat proses kiamat kecil atau setidak-tidaknya menjemput sakratulmaut sebelum sampai tempohnya.

Wallahualam

HNBK

Kenapa agama menjadi pilihan?

Salam Lebaran ke4,

1.  Program Blogger bersama Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan  Dato Seri Dr Shahidan Kassim sepatutnya diadakan lebih kerap seperti yang diadakan semalam di Kubang Gajah sehingga lewat pagi dengan menampilkan pelbagai soalan-soalan tajam namun amat diperlukan bagi memperkasakan bangsa Melayu dan parti yang memperjuangkannya. Jawapan mantan Mufti Perlis  ini yang bersahaja tetapi telus dan disaluti kebijaksanaan membuatkan bloggers begitu santai namun amat bermanfaat dari sudut pencerahan minda.

2.  Parti manapun tidak kira UMNO, PAS dan PKR hanyalah kenderaan untuk mencapai matlamat siasah namun yang lebih penting kepentingan agama. Janganlah agama menjadi mainan sehingga ia berubah mengikut telunjuk pelakon-pelakon handalan yang mengubah sifir politik hari ini 2×2 = 4 tetapi esoknya menjadi 5 hanya kerana perkiraan dicampuraduk dengan teori Machiavelli “matlamat menghalalkan cara”.  Siapa kamu dan apa parti kamu tidak penting tetapi yang penting adalah Islam. Akidah dan sejarah tidak boleh diubah. Hukum mungkin berubah mengikut masa seperti kata Dr Asri.

3.  Agama sebenarnya bersifat universal. Jangan membiarkan kelompok ekstremist mempatternkan pakaian sebagai agama dan memerlukan Muslim itu mesti berjubah dan berserban. Saya amat tertarik dengan kata-kata Dr Asri bahawa “Apa yang orang Arab gembira tidak semestinya sama dengan kegembiraan orang Melayu.” Ini maknanya tiada keperluan untuk kita mencerca sana sini hanya kerana pakaian selagi menutup aurat. Perbuatan pecacai dan kunta-kinte parti yang mendakwa perjuangkan Islam menghentam habis-habisan hanya kerana Ust Nasarudin Mat Isa berseluar potong, berkemeja putih lengan berlipat seperti keletihan duduk dia atas kerusi di sebuah tempat yang tidak diketahui dan bila ianya mengambil kedudukan amat menyedihkan. Amat malang apabila agama menjadi komoditi hanya berasaskan kepentingan peribadi makhluk yang melahapkan kuasa duniawi dengan topeng-topeng dan jubah agama yang mencemarkan kesucian Islam sehingga bukan Islam menggandakan usaha memperlekeh serta memperkotak-katikkan Islam.

4.  Tambah Dr Asri dalam majlis ini juga, “Masalah dengan UMNO sekarang ini adalah mereka menjilat apa yang disebutnya ketika tahun 80an dulu sedang PAS membuang apa yang disebut itu pada 80an dulu.” Sekarang PAS seolah-olah cuba menjauhkan diri dari label Islamik yang boleh menakutkan bukan Islam atas faktor undi. Undi amat penting sehingga apa yang dikatakan dulu kini sudah dijilat oleh mereka pula namun imej yang ditonjolkan mereka dapat mengaburi mata masyarakat sehingga terjadinya proses ‘over shadow’ PAS ke atas UMNO. Tokoh-tokoh PAS yang dahulunya menjadi pejuang berani mati parti itu dengan mengkafirkan UMNO kini  berada dalam UMNO dan menjadikannya wadah baru mengkafirkan PAS pula. Tokoh yang sama tetapi menukar busana dan arsenalnya bertukar arah antara satu sama lain. Betapa jijiknya permainan mereka umpama berkubang dalam tangki septik sehingga tempiasnya turut terpalit kepada rakyat yang tidak mengetahui ianya najis.

5.  Nampaknya jurang semakin melebar antara kedua-dua parti majoritinya ahli adalah Melayu ini. Rakyat pulla dilihat memihak kepada pendekatan apa yang dibuat oleh PAS  ketika ini bukan kerana PAS atau UMNO tetapi itu yang mereka kehendaki. Ianya seperti satu fenomena sekarang apabila rakyat merasa perlunya perubahan dan jika ditanya kenapa? Mereka juga tidak mempunyai jawapan. UMNO harus mencari jawapan kerana itulah saja harapan yang ada untuk UMNO terus mempertahankan kedudukannya.

6. UMNO, PAS dan PKR tidak penting, yang penting adalah kepentingan agama, bangsa dan tanahair tidak tergadai sehingga keseluruhan isi bumi ini digadai walaupun atas nama Sistem Gadaian Islam. Jenama tidak penting kerana walaupun mahal tetapi aurat terdedah lebih baik murah namun mahal di sisi Allah swt. Betapa banyak permainan yang ada di atas mukabumi, agama juga menjadi pilihan untuk dipermainkan.

Wallahualam

HNBK

Lidahmu adalah bentengmu

Salam,

1.  Menjadi impian umat Islam untuk menyambut Ramadan yang penuh dengan barakah dan rahmat Allah swt yang menjadi Rukun Islam dan pastinya Lailatul Qadar menjadi malam yang dicari oleh para hambaNya. Semalam adalah hari kemenangan umat Islam yakni 1 Syawal setelah menghadapi ujian Ramadan yang penuh dengan pahala dan cabaran di setiap sisinya.

2.  Umat Islam secara tradisi dan menjadi amalan selain Solat Sunat Aidilfitri, turut menziarahi kubur sanak saudara, rakan taulan yang telah meninggalkan kita. Ia diikuti tradisi ziarah menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai serta saling bermaafan tidak kira di mana berada. Amalan baik dijunjung dan yang sebaliknya cubalah kita jauhkan. Lidah berkata suci dan tingkah laku juga harus sama-sama saling mengiringi.

3.  Baru semalam, sehingga hari ini budaya bermaaf-maafan terus berlarutan. Namun, sebulan tarbiah Ramadan masih tidak mencukupi untuk mengekang mulut longkang tidak kira longkang kecil mahupun koq U. Bukan salah iblis dilepaskan dari penjara Ramadan tetapi sememangnya fitrah Si Mulut Longkang gagal ditransfomasi. Sekeping foto Ust Nasarudin Mat Isa tidak memakai jubah dan kopiah putih seperti kebiasaanpun menjadi bahan cercaan dan penghinaan sehingga pelbagai kata nista dihumban ke dalam wall FB Sang Pendita Maksum.

4.  Sekali fikir betul-betul umpama haiwan liar yang dilontar seketul daging busuk maka berebut-rebut mengerumuni dan meratah dengan lahapnya bangkai itu. Melihat daripada nama dan status masing-masing mengalahkan malaikat tetapi sayang mulut berbau hanyir dan memualkan diselaputi najis dan bangkai. Kata-kata mengarah sesiapa yang memberi komen tidak dengan selera mereka maka diingatkan supaya mengambil sejadah, mengingati Tuhan dan ungkapan dari langit agar kita bertaubat. Dicerca pemberi komen dengan kata-kata ‘Oi orang tua’, tolol, bodoh, penakut, jaga anak bini kau, aku akan cari kau, bangang menjadi tasbih dan wirid mereka.

5.  Apakah jubah dan kopiah serta pakaian yang ditaksubkan itu cerminan Islam jika tingkah laku dan sikap menyerupai iblis dan syaitan? Solat Idulfitri di kebanyakan negara Timur Tengah semalam menunjukkan banyak pemimpin di sana hanya bersolat dengan lounge suit, coat, dan pakaian seharian mereka bekerja kecuali Ismael Haniyeh pemimpin HAMAS yang menjadi imam dan berkhutbah. Puak Arab yang menjadi tradisi mereka berjubah dan berserban pun pada Hari Besar tidak memakainya namun tidaklah kita mengatakan ianya sesuatu yang bertentangan dengan agama. Namun keceluparan kelompok bebal ini merupakan refleksi kelompok anak muda yang tidak memahami sejarah dan budaya bangsa dan agama. Apa yang mereka inginkan dari pandangan saya hanyalah kehebatan yang bermain di minda bahawa menentang kerajaan dan memaki hamun kerajaan dan parti pemerintah itu simbol JUARA sepertimana Arab Spring di Timur Tengah.

6.  Sayang sekali bila kelongsong otak berakar najis dan sampah dan menjadikan budaya samseng dan jahat sebagai amalan harian sehingga menghormati orang yang lebih tua itu hanyalah kepada kelompok yang mempunyai tabiat dan hormon yang sama iaitu maki hamun dan cacian kepada pihak yang tidak memiliki arah fikir yang sama dengan mereka.

7.  Sesuatu yang malang apabila manusia terjebak dalam penjara kedunguan dan kubang kejahilan yang digali mereka sendiri. Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang. Sepertimana kata Mantan Presiden Indonesia “Bangsa yang tidak percaya kepada kekuatan dirinya sebagai sesuatu bangsa, tidak dapat berdiri sebagai suatu bangsa merdeka.”

8.  Mereka hanya yakin mereka kuat dengan bersandarkan kepada bangsa yang sebenarnya adalah musuh mereka yang nyata. “, jika engkau menjaganya maka ia akan menjagamu, dan jika engkau membiarkannya maka ia tidak akan mempedulikanmu.”

Wallahualam.

HNBK