TANGGUNGJAWAB ATAU UNTUNG

As-Salam,

1. Semalam Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan bahawa “petrol RON95 hanya akan dijual kepada golongan yang layak sahaja. Katanya untuk memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak sahaja, harga subsidi bagi RON95 dijangka hanya disediakan untuk golongan miskin.” Zaman sekarang kategori miskin jangan digunakan pengkelasan yang dibuat pada zaman Almarhum Tunku Kudin atau Almarhum Kayang kerana ketika itu harga barangan dan subsidi tak sama dengan sekarang. Bayangkan pembelian petrol dan diesel untuk warga asing di Johor, Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis yang kononnya diperlukan mengisi pam berasingan masih boleh diselewengkan inikan pula beza miskin dan kaya? Apakah ia memerlukan kad pengenalan bertanda ‘miskin’ dan ‘kaya’ atau di dahi akan di’tatookan’ ‘miskin’ atau ‘kaya’? Yang menjadi mangsa adalah kelompok yang sudahlah miskin tetapi tidak dikelaskan sebagai miskin. Seperti mereka yang tergolong dalam kelompok ‘susah’ tetapi tidak mendapat BR1M kerana jurang perbezaan yang sedikit dengan yang layak menerimanya.

2. Seringkali alasan yang digunakan oleh pemerintah untuk menarik atau mengurangkan subsidi adalah ianya tidak baik untuk ekonomi negara. Alasan subsidi tidak baik untuk ekonomi sebenarnya terpakai apabila sesebuah kerajaan tidak lagi menganggap membantu dan membela rakyat sebagai tanggungjawab mereka. Tanggungjawab dan amanah itu hanya terpakai ketika pilihanraya sudah diambang pintu dan tingkap. Apakah ibubapa yang memberi wang dan membesarkan anak-anak itu baik dari segi ekonomi? Memberi wang bulanan kepada emak bapa itu baik dari segi ekonomi? Itu adalah tanggungjawab sebagai ibubapa ataupun sebagai anak kepada orang tua mereka dan juga sebagai mengenang jasa yang telah diberikan kepada kita sejak kecil. Dari segi ekonomi, pemberian pemberi itu tidak baik jika diungkap dari konotasi manusia berhati ‘legam’. Begitu juga dengan sesebuah kerajaan atau pemerintah yang diangkat dan dijulang rakyat sepatutnya mengenang jasa dan menganggap pemberian subsidi itu sebagai tanggungjawab moral, sosial dan juga sudut agama yang meletakkan amanah pemerintah itu sebagai keutamaan.

3. Jika negara yang tidak banyak hasil bumi dan hasil mahsul pun mampu memberi bantuan kepeda rakyatnya, inikan pula negara yang kaya dengan hasil bumi samada getah, kelapa sawit, balak dan minyak. Janganlah hanya seorang Ketua Menteri kaya dengan balak di negerinya sedangkan balak itu tumbuh dan membesar bukan di atas tanah miliknya. Begitu juga dengan hasil bumi di negara ini yang sepatutnya dikongsi oleh seluruh rakyat tanpa mengira siapa dan di mana kamu. Apakah semua itu harus dimiliknegarakan dan menjadi pusaka untuk membuncitkan yang ada dan membuntalkan yang sudah buncit?

4. Adalah terlalu dangkal membiarkan golongan yang dianggap pakar ekonomi dan tokoh korporat yang bernafas keuntungan semata-mata tanpa ada rasa tanggungjawab sosial, moral dan agama mengemudi bahtera kewangan negara. Kamus mereka tidak dimasukkan entri perkataan kasihan, amanah dan keadilan. Buat mereka adil, kasihan dan amanah semuanya menjadi benteng penghalang kepada keuntungan maksima dan melembamkan kelajuan pencapaian matlamat. Nafas dan denyut nadi mereka adalah UNTUNG. Semuanya berorientasikan keuntungan dan tidak mungkin kasihan dan keadilan dicampur-aduk dengan matlamat bagi mereka. Semuanya harus disekular dan dipisah-pisahkan demi mencapai matlamat keuntungan semaksima mungkin. Apakah ini modal insan yang berjaya dilahirkan oleh negara kita dengan penerapan nilai-nilai Islam sehinggalah Islam Hadhari yang kini entah ke mana?

profit

5. Lagu-lagu parti, ikrar pemuda dan warisan yang dilolongkan setiap kali perhimpunan hanya menjadi aturcara tradisi yang perlu dilakukan bagi mengelakkan setiap perhimpunan dilabel tidak mengikut tradisi. Pulang kampung bak kata pepatah ibarat mencurah air di daun keladi. Yang bulat terus bergolek dan yang pipih terus melayang. Penghayatan lirik lagu itu menjadi melodrama ataupun penghias dewan untuk bersorak sorai.

6. Apakah apa yang diluahkan ini satu kesalahan dengan sekadar menumpahkan keresahan serta kepayahan rakyat tanpa berbekal parang, pisau atau senjata merbahaya? Kami bukan ‘bughah’ cuma kami nak ‘mughah’. Mughah pun bukan sampai yang berniaga muflis atau pembekal dan pemborong tinggal kulit dan tulang akibat makan pasir. Kasihanilah rakyat dan mereka yang memerlukan ihsan yang sedikit daripada pemerintah berbanding pemborosan yang jauh melangit jumlahnya dengan apa yang rakyat harapkan untuk meneruskan jangka hayat sebelum melangkah ke alam kubur.

7. Janganlah hanya kerana suara rakyat tidak kedengaran akibat dipadam maka ia menjadi alasan kenapa tambang bas dan pengangkutan awam perlu dinaikkan. Apakah menteri berkenaan mendengar rintihan rakyat sehingga mengatakan bahawa tambang dinaikkan kerana rakyat tidak merungut? Kata Emha Ainun Nadjib dalam buku Ikrar Husnul Khatimah, “Kalau sunyi engkau anggap tiada, tunggulah hari di mana engkau akan terkejut terbangun mendadak dari tidurmu oleh ledakan sunyi itu.” Dr. Mustafa Es Siba’i pula dalam bukunya Yang Kualami Dalam Perjuangan berkata “Salah satu tanda meluncurnya umat, apabila para penjahatnya berhasil menduduki pemerintahannya, kemudian mereka saling menindas satu sama lain, sehingga mereka sibuk mengurusi dengki dan cita-cita mereka masing-masing, tidak sempat menguruskan masalah umat dan menyelamatkannya dari berbagai bahaya yang mengancamnya.” Inilah yang jika kita perhatikan sudah menampakkan simptom sedemikian rupa dan jika tidak ada usaha membatasi pasti akan membawa kemudaratan.

8. Harus diingat bahawa yang berkuasa jangan sampai sentiasa merasakan diri mereka benar sementara rakyat tetaplah salah. Sebaliknya rakyat juga jangan mentang-mentang diberi kebebasan maka semua kesalahan hanya di pihak berkuasa. Emha Ainun Nadjib bernuansa dengan kata-kata bahawa, “ kalau orang merasa dirinya jadi pemimpin biasanya dia bukan pemimpin yang baik, malah cenderung menjadi penguasa. Pemimpin biasanya adalah orang yang merasa sebagai temannya orang banyak.”

Wallahualam

~: sani :~

Advertisements

AKAUNTABILITI

As-Salam,

1. Malam tadi sempat membaca buku yang baru dibeli di Alor Star hasil karya Dato’ Dr Haji Baharurudin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain. Di dalam buku berjudul Monolog Kecil – Tahun-Tahun Gelora (2013), Dato’ Baha Zain Sasterawan Negara ini memetik kata-kata seorang usahawan yang sudah mengalami jatuh bangunnya perniagaan berbunyi “Dosa korporat terletak di muka pintu bilik mesyuarat Lembaga Pengarahnya.” Tambahnya lagi, “jadi apabila berlaku sebarang kepincangan, ketidakcekapan, kemunduran atau pembaziran dalam organisasi, ataupun hasil pengeluarannya tidak diterima pengguna, maka Lembaga Pengarahlah yang harus bertanggungjawab kerana mereka diamanahkan untuk menentukan hala tuju dan keberkesanan organisasi serta mutu produk dan perkhidmatannya.”

2. Dalam sistem pengurusan, ‘akauntabiliti’ sebegini merupakan tunjang kepada penentuan jatuh bangun sesebuah organisasi. Jika semua kesalahan akan dipikul oleh orang bawahan, di mana letaknya keperluan memberikan keistimewaan dan segala kehebatan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif? Jangan hanya bermunajat dan berdoa untuk mengaut untung, pujian dan laba tetapi rugi, cemuhan dan segala kata nista dihumban ke muka orang bawah. Ini bukan Negara Matahari Terbit yang cukup terkenal dengan ‘Samurai’ serta ‘Harakiri’ yang menjadi simbol ‘akauntabiliti’ para pahlawan kuno negara itu. Itulah simbol ‘akauntabiliti’ melalui tindakan ‘harakiri’ yang dilakukan oleh para ‘Samurai’. Kita tidak meminta para pemegang jawatan di negara ini melakukan tindakan tahap tertinggi seperti itu kerana bercanggah dengan agama dan moral seorang Muslim. Tetapi, sudut moral analogi yang diketengahkan itu mengharapkan agar kebertanggungjawaban menjadi pegangan setiap dari mereka yang menjadi pemimpin dan bercita-cita menjadi pemimpin besar apatah lagi untuk negara.

3. Konsep ini terpakai dalam semua perkara termasuk sebagai pemimpin di segala peringkat dari sebawah-bawahnya hingga lah ke kemuncak kekuasaan. Jika di peringkat negeri, Menteri Besar ataupun Ketua Menteri berserta barisan Exconya dan di peringkat negara pastinya Perdana Menteri (PM) dan barisan kabinetnya. Mereka harus bertanggungjawab bukan saja apabila dipuja-puji dan disorak-sorai tetapi yang lebih maha pentingnya adalah menerima kritikan dan teguran daripada rakyat yang mengangkat mereka pada kedudukan tersebut. Tanpa rakyat, siapalah mereka?

4. Jangan pula apabila berdepan masalah dalam negara yang melibatkan rakyat kita sebagai pemimpin tampil dengan kenyataan-kenyataan yang menambah luka di hati dan qalbu mereka. Sindrom penafian tidak menyelesaikan masalah malah mengusutkannya dan menjadi ‘penanda aras’ kewibawaan dan karisma seseorang pemimpin. Jawapan dan cara menangani masalah oleh seseorang pemimpin akan dilihat oleh rakyat sebagai tiket melayakkan mereka diangkat ke tempat tertinggi. Jauhi kenyataan-kenyataan kelakar dan menggores hati rakyat. Jangan lah berkata “… adalah tidak adil menyalahkan kerajaan semata-mata apabila berlaku kenaikan harga barangan. Dasar yang ada bukan mereka yang buat serta hanya diwarisi”. Ini kenyataan dari pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

5. Jika saya dipilih sebagai pemimpin sesuatu organisasi, apa yang tidak betul sebelum itu WAJIB saya perbaiki demi kelangsungan organisasi. Bukan mengambil jalan pintas menyalahkan pemimpin sebelum saya dipilih. Jangan pula kita menyalahkan rakyat atas kesalahan yang kita bina mercunya. Rakyat faham bukan parti atau pemimpin kerajaan yang menaikkan harga barang kerana bukan mereka yang menjadi peniaga barang-barang tersebut. Tetapi dari mana puncanya semua ini berlaku jika bukan kelemahan pengurusan ekonomi, kegagalan mengekang inflasi, ketidakmampuan mewujudkan peluang pekerjaan yang sesuai dengan rakyat tempatan (bukan warga asing), gagal menangani ketirisan dalam perkhidmatan awam dan penyelewengan dalam agensi-agensi penguatkuasa dan berbagai kepincangan yang hanya dapat diperbetulkan jika ia dilaksanakan dengan ikhlas, jujur dan amanah. Ini bukan tuduhan terhadap mana-mana pihak tidak jujur, tidak ikhlas dan tidak amanah, tetapi itulah resepi penyelesaiannya.

6. Dato’ Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam bukunya dengan judul ‘Masyarakat Malaysia dan Alam Sosialnya’ (1993) berkata “ Setiap ahli politik dan pemimpin negara dikatakan harus berpengetahuan tentang semua sistem ini untuk menjadi ahli politik dan pemimpin yang berjaya. Namun kita sedar bahawa ramai pemimpin yang buta tentang ilmu ini telah menjadi pemimpin yang berjaya dan ahli politik yang berpengaruh.” Ini lah punca yang turut menambah kepayahan dan kecederaan yang didepani rakyat dan negara. Siapa yang perlu dipersalahkan jika semua orang berkata “jangan salahkan aku!, Jika tak nak itu buat ini, jika tak nak ini buat itu?”.

7. Teringat kata-kata Pakcik menjual pasu di Kampung Bukit Merah, Beseri, Perlis petang semalam kepada saya. Katanya “Pakcik ni bodo tak sekolah harap anak-anak saja ajaq baca. Tapi, kadang-kadang pakcik tengok orang la ni lagi bodo pada lembu. Dulu depan rumah pakcik depa nak tangkap lembu depa tahan jerat kepung menghala ke bukit. Sekali kena la lembu-lembu tu. Kali kedua pi dok tahan jerat lagi, sekoq pun tak dapat sebab dia tau dah yang tu jerat. Tapi manusia ni berkali-kali dok kena jerat yang sama dok pi lagi, hehehehe” ketawa sinis pakcik tersebut.

Wallahualam

~: sani :~

Businessman Figurines Pondering Mousetrap