FIKIR

Salam,

1. Lihat dan fikir sepatutnya menjadi pegangan kita sebagai manusia kerana manusia yang buta juga berfikir bagaimana meneruskan kehidupan mereka. Jika itulah keadaannya, kita yang celik dan dapat melihat serta dihidupkan dengan kesempurnaan pancaindera dan lengkap sifatnya harus lebih banyak berfikir.

2. Manusia yang tidak berfikir dan menggunakan akal fikirannya tidak buah seperti haiwan yang hanya dilengkapkan dengan pancaindera untuk makan, minum, tidur dan menambahkan zuriat.

3. Akal yang menjadi instrumen utama manusia dikembarkan kepada manusia selain roh lah yang membantu untuk dibezakan darjat manusia dan haiwan. Semua ciptaan Allah swt dapat menjadi iktibar dan pedoman buat manusia yang berfikir.

4. Sehina-hina babi akan menjadi panduan dan iktibar agar manusia tidak mengamalkan sifat-sifat babi yang tanpa berfikir meratah najis dan hanya hidup untuk makan dan minum serta menggandakan zuriat babi. Banyak cerita-cerita binatang termasuk yang di tulis Baha Zain yang menjadi kaedah inspiratif membentuk pola fikir manusia agar meneladani sifat-sifat itu demi kemaslahatan manusia. Begitu juga dengan penciptaan pokok dan tumbuhan yang banyak membantu manusia mengenali asal-usual, meraut kiasan untuk manusia-manusia berfikir agar ianya menjadi senjata ilmuan yang disegani dan dihormati. Lihat saja pepatah “ikut resmi Padi, semakin berisi semakin merunduk yang bermaksud semakin banyak harta dan ilmu semakin merendah diri.

5. Janganlah kita sia-siakan akal fikiran serta masa yang ada untuk kita mengoptimakan kuasa melihat dan kuasa berfikir sehingga dapat membantu bangsa, agama dan tanahair kita.

6. Fikir, fikir dan fikirlah.

Wallahualam

HNBK

SYUKUR & CUKUR

Salam,

1.   Dua hari lepas setelah sampai di Alor Star, Kedah dari Seremban, Aku singgah mengisi petrol di Stesen Petrol Petronas Kanchut, Alor Star. Ketika mengisi petrol, Bangla yang bertugas bertanya “Mau cuci cermin?”. Aku lantas berkata “Tak apa,.. kereta sudah kotor. Nanti saya terus cuci kereta”. Seperti biasa dengan inquisitive mind, aku sering bertanya. Aku bertanya sudah berapa lama dia bekerja di situ dan jawapannya baru 5 bulan, tetapi sebelum nya sudah lebih 4 tahun di stesen petrol Petronas pemilik yang sama di Jalan Pegawai. Aku terus bertanya berapa gaji yang dibayar dan jawapannya ringkas dan padat “RM980.00 tak ada cuti, satu hari 12 jam”.

2.  Pandangan aku terus berlegar akan senario yang berlaku di negara ini yang sering dibangkitkan tentang kehadiran pekerja asing di negara ini. Apakah rakyat negara ini sanggup bekerja seperti Bangla ini dengan gaji RM980.00, 12 jam watu bekerja tanpa cuti? Yang 8 jam bertugas pun masih lagi bertahan bawah 2 jam jumlah sebenar bertugas dan bakinya di tuang ke dalam laut atau sungai dengan gaji rata-rata melepasi RM2,000 walaupun kelayakan dan kelulusan tidaklah seberapa. Kemahiran atau skil pula tidak kira skil komunikasi, skil berceramah, skil yang dituntut oleh pekerjaan mereka jauh ketinggalan dan jika di dalam sektor swasta agaknya sudah lama status dalam sistem bertaraf ‘non-aktif’ (TAMAT).  Perasaan cemburu dan kononnya untuk bangsa sebenarnya lebih bersifat individualistik dan selfish yang enggan mengakui kelemahan diri tetapi mencari kambing hitam, putih, merah, biru, kuning dan segala warna yang ada demi menutup jangkitan kudis yang membarash di segenap tubuh pendengki tetapi ‘loser’.

3.   Di bidang perniagaan juga sama, isu warga Thai merampas hak peniaga bangsa Melayu tidak pernah putus-putus. Kedai Masakan Tomyam yang diusahakan oleh bangsa kita harapkan tulisan saja Tomyam tetapi apabila dari mula masuk sampailah pelanggan keluar, pelanggan akan merasa seperti diTOMbok dan di aYAMkan. Rasa makana satu hal, layanan dua hal, perangai pekerja dan tuan kedai dengan cashier bermacam-macam hal. Karenah pekerja bangsa kita terhadap pengusaha pula belum diambil kira. Botak kepala difikirkannya.

4.   Jika kerja kontrak dan sektor binaan, tanpa pekerja Indonesia dan Myanmar pastinya projek itu akan terbengkalai. Pekerja bangsa kita datang sehari 3 hari ponteng. Jika datang bekerja juga sifat ‘culas’ menjadi amalan. Oleh itu, di mana jalan keluar untuk mengatasi masalah ini jika sikap bangsa kita dan rakyat negara ini sendiri gagal diubah. Perkataan TRANSFORMASI semudah meludah sahaja tetapi menghayati dan melaksanakannya tak ubah seperti ‘gelintey’ pasir untuk jadikan ‘berlian’.

5.   Akar yang mendasari permasalahan ini adalah sifat SYUKUR dapat mengatasi sifat CUKUR. habis peluang yang ada dicukur, habis duit mak bapak dan kerajaan dicukur sehingga botak licin tetapi SYUKUR hanyalah mampu diletakkan pada nama, ABD SYUKUR BIN MALAS.

Wallahualam

syukurHNBK

KIAMAT

Salam,

1.    Sebelum 21 Disember 2012, tidak sedikit yang sibuk dan riuh mencanang berita datangnya KIAMAT. Ada yang menyimpan bekalan makanan untuk menghadapi hari kiamat pada 21 Disember 2012 lepas sehingga sebuah keluarga di Amerika Syarikat telahpun melakukan persediaan yang melucukan. Keluarga itu yang tinggal di Kampung Shenandoah Berryville,US itu telah meyakininya berdasarkan kalendar kaum Maya. Ketua keluarga itu, Jay Blevins menyimpan bekalan makanan, minuman, ubat- ubatan, senjata api dan senjata tajam di ruang bawah tanah rumah mereka bertujuan supaya senjata api itu dapat digunakan untuk mengusir perompak jika kekacauan berlaku pada hari tersebut. Terdapat juga yang membina kapal dan pelbagai lagi persiapan yang boleh dianggap cuba bercanda dengan keesaan Allah swt serta kemungkinan terpengaruh dengan filem 2012 dan pelbagai khabar angin yang menggegar dan meruntuhkan akidah kita sebagai umat Islam.

2.   Di Malaysia juga berita ini tidak kurang hangatnya. Tidakkah kita mengetahui bahawa kiamat itu adalah rahsia di dalam rahsia yang Allah swt saja ketahui dan menjadi milik eksklusifNya sehinggalah hari berakhirnya dunia yang fana ini. Ia akan berlaku tanpa manusia ketahui dan datang dengan sekelip mata sehingga tiada sesiapa yang mengetahui walaupun para nabi dan rasul serta para malaikat. Nabi Muhammad saw yang menjadi penghulu segala Nabi juga tidak mengetahuinya. Pernah diriwayatkan berita seorang Arab Badawi yang datang dari jauh untuk bertanya Nabi ketika baginda sedang berada di masjid sehingga melangkah-langkah para jamaah di situ. Soalannya telah menjadikan jamaah terkejut dan ada yang menganggapnya soalan bodoh. Beliau bertanya Nabi bilakah akan berlaku kiamat. Jika kita yang ditanya soalan seumpama itu, pastinya samada kita membalas “Apa punya soalan bodoh ditanya” atau setidak-tidaknya di dalam hati kita berfikir bengap betul kamu ni. Tetapi kebijaksanaan itu milik Nabi Muhammad saw apabila baginda membalas “Apakah persediaan kamu untuk menghadapi kiamat? Arab Badawi itu lantas menjawab “Aku hanya melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram”.

3.    Jika benar kita memang terlalu taksub dan yakin akan kedatangan hari kiamat pada tarikh tersebut, kenapa kita lebih sibuk bertempik dan terlolong tentang kedatangannya tetapi tidak pula memenuhi ruang-ruang masjid  untuk solat berjamaah, mendengar tazkirah tentang persiapannya, membuat amal kebajikan dan perkara-perkara yang dapat membantu meningkatkan pahala bagi berdepan Ibu segala bencana di mukabumi ini? Kita lebih sibuk membuat persediaan yang karut-marut, terus menyambung kesyikrikan dengan lidah berpintal-pintal dan akhirnya terlopong untuk meneruskan kegilaan ini pada tahun hadapan.

4.    Memang benar kata orang-orang dahulu, gila ini berjumlah 1001 jenis gila bersamaan dengan nama Hikayat 1001 Malam. Namun tidak dapat diketepikan juga kemungkinan terdapat pihak yang cuba meraih untung dari kegilaan masyarakat ketika ini yang lebih mempercayai tahyul-mahyul, gossip, khabar angin, fitnah dan propaganza serta melodi. Itulah budaya yang menyebabkan masyarakat dan bangsa kekal dalam kemunduran dan jika maju sekalipun hanyalah melekat pada jenama beras atau kicap MAJU.

Wallahualam

HNBK

Kemek Sana Sini

Salam,

1.    Bila melayan keletihan memandu lebih 7 jam tanpa henti dari Seremban ke Jitra ni, pelbagai benda menyerbu sangkar minda aku. Tiba-tiba aku teringat satu insiden yang dilalui ketika nak ke Felda Bukit Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan Jumaat lepas.Kami sepatutnya berada di sana jam 9 am. Aku yang belum pernah ke sana seumur hidup diberitahu rakan-rakan tempoh perjalanan ke sana memakan masa hampir 2 jam dari Seremban. Aku membuat keputusan memberitahu rakan dan pemandu ke sana agar tepat jam 7 pagi esok datang ke rumah menjemput ke sana.

2.   Tepat jam 7 pagi esoknya, aku sudah bersedia ke sana. Namun sehingga jam 7.15 pagi hanya kelibat rakan yang kelihatan sedangkan pemandu belum menjengah. Aku mulai risau. Aku bertanya kepada rakan ke mana pemandu kita? Jawabnya sedang dalam perjalanan mengambil sesuatu dari pejabat. Ya Allah! Aku sudah berpesan semalam agar apapun yang perlu dibawa, semuanya harus disiapkan pada malamnya dan jam 7 pagi tayar sudah bergolek. Hampir 7.30 pagi baru pemandu muncul. Beliau tahu sangat karenah aku yang banyak analogi dan khutbah jika ada masalah.

3.   Satu perkara yang aku masih ingat dan membekas di minda ini adalah kata-kata aku “Saya memang tahu kamu pemandu yang memang terkenal memandu laju. Tapi saya tak suka pemanduan laju. Bahaya! Mati semua orang mati. Tapi saya tak nak mati dengan kemek-kemek sana sini. Nanti masuk kubur, malaikat datang tengok, Aik! dah kemek-kemek? Aku ingat nak kemek-kemekkan kau, tapi dah terlebih kemek pulak.” Tak jauh dari tempat saya bercakap-cakap, kelihatan sebuah kereta di sebelah kanan jalan masuk ke dalam longkang. Pemandu memberitahu aku “Ish kereta masuk longkang.” Aku terus membalas, tu mesti lewat setengah jam.” Pemandu dan rakan aku terus ketawa serentak sambil berkata, sah kemek-kemek. :))

4.   Apapun, semua perkara yang berlaku dalam kehidupan akan terpahat sebagai sejarah yang tidak akan berubah dan kekal menjadi kilauan pengalaman sepanjang bertugas sehingga tirai berlabuh.

Wallahualam

HNBK

BILA CEMBURU DIMAHKOTA

Salam,

1. Acapkali CEMBURU sering dicangkuk kata-kata ‘cemburu tanda sayang’. Apakah kebenarannya mencakupi segala keadaan yang terbit dari segenap penjuru? Cemburu yang membengkak wilayahnya hanya menambah tumpukan kongkongan yang keterlaluan. Keterlaluan inilah yang mengizinkan lembah kecemburuan dibanjiri amarah, dendam, kezaliman, dan hilang kemanusiaan. Cinta dan kasih sayang sudah berganti pemenjaraan orang yang kononnnya dicintai sehingga tembok cemburu memagari dan mengekori ke mana saja ia berada. Tiada lagi sempadan siang ataupun malam, tugas dan masa rehat, detik sakit ataupun sihat serta masa makan dan keadaan tepat.

2. Kesempurnaan mutlak yang dituntut kepada yang dicintai sedangkan manusia itu lahirnya penuh kecacatan dan kekurangan. Kesempurnaan mutlak hanyalah milik mutlak dan eksklusif Allah swt. Cemburu mengizinkan hukuman dijatuhkan atas orang yang dicintai demi ketamakan dan haloba yang menguasai diri manusia yang ditelan rasa cemburu. Tiada alasan mampu merundukkan ego manusia dibeliti cemburu. Setiap jawapan atas kekurangan dan kesilapan yang tidak disengajakan berarti kata nista dan sumpahan menanti yang dicintai tanpa rasa letih dan bosan. Yang dicintai telah berdiri di atas hamparan yang kelihatannya menggebu namun sebenarnya tajam dan berbisa dipenuhi tusukan duri.

3. Cemburu sebenarnya berakar dari hilangnya keyakinan diri, tidak bersyukur dan sang cemburu sendiri melakukan kesalahan yang dicemburuinya. Rasa cemburu akan mengheret kesan yang bukan sedikit kepada hubungan yang terbentuk antara dua insan yang disatukan kasih sayang dan cinta. Silaturrahim yang terjalin bergegar dek kecemburuan yang tidak berpenghujung. Tahap kepercayaan antara satu sama lain akan musnah akibat sifat utama Iblis ini iaitu cemburu. Kecemburuan lah yang mengakibatkan Malaikat Azazil bertukar menjadi Iblis dan dihumban keluar dari Syurga walaupun sekian lama dihuninya dan menjadi pemimpin para Malaikat. Kesan yang tidak dapat dinafikan adalah menjadi punca perbalahan yang tidak sepatutnya berlaku hanya disebabkan cemburu.

4. Resolusi harus dicapai walau sesukar mana sekalipun ia membadai. Jauhkan sindrom penafian yang menjadi punca setiap alasan pasangan tidak diterima, jadikan amalan berbincang dan mencari titik persamaan dan yang lebih agung adalah menerima insan dicintai seadanya dengan serba kekurangan itu serta membantu melengkapkan kekurangan itu dengan kelebihan yang kita miliki.

5. Jika suami Inul Daratista yang terkenal dengan Goyang Ngebor atau Gerudi itu cemburu dek ratahan beliakan mata mereka yang melihat setiap inci gegaran tubuh isterinya yang bergegar pastilah sudah difahami. Itupun suaminya berbangga dengan NGEBOR yang meruntun jiwa setiap lelaki normal yang melihat Inul bergoyang.

6. Cinta seharusnya melengkapi kekurangan yang ada pada insan dicintai bukannya mengesan kekurangan dan kesilapan tanpa henti. Mencari kesilapan manusia umpama mengutip debu di jalanraya yang begitu mudah dan tidak akan selesai tugasnya. Cemburu akan menjadikan insan dicintai bagaikan tiang bendera. Yang dicintai dan disayangi bukannya tiang bendera tetapi bendera yang melekat di tiang iaitu rasa cemburu itu sendiri. Pelihara tutur kata kerana lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki. Ikhlas lah dalam hubungan kerana keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat. Janganlah kita hanya melihat kesalahan orang lain sedangkan kita juga tidak terlepas daripada kesalahan dan kesilapan. Berbahagialah orang yang dapat menyalahkan dirinya sendiri sebelum menyalahkan orang lain.

7. Apabila kita dapat merungkai rahsia di sebalik rasa cemburu itu dan sebab akibatnya, insyallah hidup akan lebih tenang dan gembira. “Hidup umpama aiskrim. Nikmatilah ia sebelum cair”.

Wallahualam

HNBK

Dengan hasad manusia sanggup menjilat

Salam,

 jilatan lidah1. Jasad merengus mengajak beristirehat, namun jiwa dan fikiran dituntun untuk terus menitip catatan buat perkongsian di atas hamparan maya yang sabar menanti sebuah essai yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Fikiran meraba-raba titisan idea yang bakal kutampal atas robekan akal yang bercelaru. Aku tetap mencari dan memburu sesuatu yang hilang untuk disajikan demi sebuah liang yang akan bersemadi bersama karya dan aku untuk dikenang sebagai pujangga tanpa nama. 

 2. Sejenak muncul sesuatu meluncur deras membelah fikiran yang tercungap-cungap keletihan sambil melontar kata “kenapa tidak dititip saja sejarah yang kau pijak di siang hari buat bekal mimpimu nanti?” Iya.. berapa banyak sejarah yang dipahat, berapa tinggi bicara yang dipanjat dan berapa luas mata melihat. Bukankah itu yang aku harus aku catat?   

 3. Sesungguhnya ketinggian darjat tidak akan membawa berkat jika melekat dengan hasad. Dengan hasad manusia sanggup menjilat walau ianya bukan cara berpakat tetapi punca untuk kejayaan yang singkat. Kehalobaan menguasai hati dan fikiran manusia yang tidak pernah bersyukur. Kenapa manusia menjadi pencinta iri hati, dengki dan khianat? Semestinya ia tidak terlepas daripada kegagalan meyakinkan diri sendiri atas kemampuan diri. Tidak pernah bersyukur atas apa yang dinikmati dan diperolehi. Sentiasa memandang apa saja yang dimiliki orang lain sepatutnya berada dalam pelukannya. Orang lain dipandang hina dan hilang kelayakan untuk bergelar manusia. Oleh itu, orang lain hanya beroleh kelayakan untuk berlapar dan dahaga, bermandikan keringat tanpa tempat berteduh serta bergelar gelandangan yang WAJIB diusir dari bumi ini. 

 4. Manusia seringkali lupa bahawa bumi ini milik Allah swt dengan kemutlakan yang tidak ada pada mana-mana makhluk dan berhak untuk menghadiahkan karma untuk digendung oleh orang yang bukan dalam senarai kemahuannya. Kemutlakan ini adalah hak yang bukan pilihan tetapi ketetapan yang ditakdirkan buat manusia. Manusia tidak harus tamak untuk merebut peranan Allah swt sedangkan tanggungjawab dan peranan manusia sendiri tidak mampu kita laksanakan dengan sepenuhnya. Sememangnya manusia tidak lepas dari fitrahnya untuk menguasai manusia lain tidak kira apa saja gender, bangsa, agama, tua ataupun muda dan warna kulit. Fitrahnya tetap sama dan akan kekal hingga bumi hancur berdepan hari pembalasan. Namun begitu, percaya dan yakinlah, setiap manusia itu didatangkan ke bumi ini dengan rezeki, kelebihan dan kekurangan masing-masing. Saling melengkapi adalah lebih baik dari saling meruntuhi. Sejarah dan karma menetapkan api tidak akan mampu dipadamkan oleh api melainkan Allah berkehendakkan sebaliknya. 

 5. Apakah kita akan hanya dapat berjaya mencapai kemahuan kita dengan memijak dan memperalatkan orang lain? Jika itulah kaedahnya, bermakna kejayaan kita adalah atas kelemahan orang lain dan bukan atas kekuatan dan kelebihan yang terpancar dan bersinar dari diri sendiri. Berlian akan lebih bersinar dan berseri jika ditemani emas dan permata dan bukannya menenggelami rakan kongsi yang akan menyerlahkan kehebatannya. Hanya hati yang busuk akan memikirkan cara bagaimana berlian dapat menghancurkan emas dan permata. Emas dan permata tetaplah permata walaupun dihumabn ke dalam najis dan kumbahan. Tetapi berlian akan hilang kemasyurannya jika dibenam ke dalam bumi sepertimana Allah membenamkan Qarun yang hilang kewarasan akibat ketakburan dan lupa diri malah menjadi simbol kehinaan para pelapisnya yang kikir dan kuat memeluk kunci gudang kekayaan mereka. Kaya harta menjadikan manusia buta, kaya budi pekerti bekalan hingga ke mati. 

 6. Hormat dan kasih sayang tidak mampu dibeli dengan harta dan wang ringgit. Ketakutan dan ugutan hanya kekal menggigit. Hari ini kita megah berdiri memijak tanah tetapi esok mungkin kita berada di bawahnya. Jauhilah sifat takbur, bongkak, mengagumi Firaun dan Qarun yang menjadi simbol kejahatan beribu-ribu tahun dahulu. Sifat-sifat sedemikian hanya akan mendekatkan kita kepada kemurkaan Allah swt sedangkan mangsa kezaliman dan penganiayaan dihapuskan hijab antara mereka dan Maha Pencipta. Doa-doa mereka akan pantas menemui dan merunduk di hadapan Allah swt untuk memohon dipercepatkan kehancuran dan kemusnahan penzalim dan penganiaya sebagai balasan atas tangan-tangan jahat dan kotor yang menjadi punca ketidakamanan serta kekalutan masa kini. Semoga bangsa, agama dan tanahair kita sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Mu ya Allah.

 Wallahualam

 HNBK

Kebusukan yang tidak mampu dihidu

Salam,

1. HNBK baru sampai rumah dari Lukut sambil makan turut berbual dengan kenalan lama dari Kedah yang sudah tidak bertemu 15 tahun yang lalu. Gerai makanannya yang sederhana tetapi pelanggan tetap datang silih berganti. Alhamdulilah rezeki tetap hadir tanpa diheret pabila Allah menghantarnya kepada siapa saja yang Ia kehendaki dan restui. Kan rezeki itu di tangan Allah swt walaupun sekuat mana manusia memekik mereka lah yang memberikannya.

2. Dalam berbual panjang dan rancak itu, kenalan saya bertanya tentang keadaan saya sebelum ini dan rentetan pengajian saya di Universiti. Jawab saya, semua Universiti yang saya lalui, tetap lah UKM yang terbaik. Universiti Kehidupan Manusia. Beliau tersenyum sumbing dan perlahan bunyi ketawanya mendengar kata-kata itu. UKM lah yang mematang dan membuka mata hati saya mengenal manusia sekeliling dengan lebih dekat agar ia menjadi panduan berhadapan rencam kepelbagaian manusia.

3. Tiba-tiba ketika sedang makan, bau teramat busuk menyumbat lubang hidung kami bertiga. Kenalan saya yang tidak selesa bertanya “bau busuk apa ni?”. Saya berkata “biarlah Pak J*l*”, kalaulah kebusukan hati dan perut manusia boleh dihidu manusia, muntah hijau kita dibuatnya”. Kami sama-sama ketawa walaupun hakikatnya, sama-sama memaklumi ianya salah satu trademark HNBK dalam bercanda.

4. Jam sudah melepasi angka 12 tgh malam.. Menyambung bacaan buku Markesot Bertutur oleh Emha Ainun Nadjib adalah pilihan terbaik.

HNBK