Jika Bukan Kerana Bangsa, Apa?

Salam,

1.  Menyentuh tentang Melayu, pemahaman harus jelas dan tidak dikelirukan oleh emosi dan pengaruh yang mewarnai rongga fikir kita dengan asas kita berpijak di atas hamparan yang disediakan oleh penjual karpet yang bertelunjukkan kiblat kegemarannya. Bangsa Melayu dan Kumpulan Etnik Melayu adalah dua benda yang berbeza. Bangsa Melayu merujuk kepada masyarakat Melayu di Malaysia sedangkan Etnik Melayu merujuk kepada masyarakat Melayu di Malaysia dan Kepulauan Sumatera.

2.  Disebabkan itulah, biasanya kita akan dialunkan dengan ungkapan mempertahankan bangsa, agama dan tanahair dan sudah pasti ia merujuk kepada Bangsa Melayu. Tidak menjadi satu dosa dan juga satu kesalahan mempertahankan bangsa kita selagi kita tidak mengancam, menggugat dan menganiayai bangsa lain. Jika bangsa lain selamba berbicara soal bangsanya, bebas menjerit kepentingan bangsanya, bangga dengan kehebatan bangsanya, adakah membela Bangsa Melayu, mempertahankan maruah dan kepentingan Bangsa Melayu boleh dianggap ‘rasis’? Inilah yang dibimbangi Mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad fenomena yang menjerut tekak Bangsa Melayu sehingga tidak mampu bersuara dan menelan air liur walaupun menjadi majoriti dan berpijak di bumi sendiri.

3.  Cuba kita sama-sama renungkan apa harus dilakukan jika menyebut Bangsa Melayu menjadi kesalahan dan digelar ‘rasis’?

a) Bangsa apa untuk kita namakan pada Bangsa Melayu jika menyebutnya menjadi satu kesalahan?

b) Apakah KTMB harus dijenamakan semula hanya kerana bangsa lain tidak selesa?

c) UMNO dan PAS akan dihuni oleh bangsa apa dan masih relevankah kedua-dua parti ini ‘Jika Bukan Kerana Bangsa’?

d) Tanah Rezab Melayu harus dilupuskan dan diagih-agih untuk semua bangsa?

e) Menghapuskan kuota pendidikan Bangsa Melayu di semua IPTA?

f) Apakah bangsa yang akan menganut Islam di Malaysia jika bukan Bangsa Melayu?

g) Masjid-masjid akan diimarahkan oleh bangsa apa?

h) Bangsa apakah yang akan menjadi kakitangan awam dan petugas cabang keselamatan mempertahankan negara?

i) Padi akan ditanam oleh bangsa apa jika bukan Bangsa Melayu yang memerah keringat?

j) Calon-calon musabaqah setiap tahun akan diwakili bangsa apa di Malaysia?

k) Rejimen Askar Melayu harus digantikan namanya?

l) Kelantan dan Terengganu apakah akan menjadi padang jarak padang tekukur dengan ketiadaan Bangsa Melayu?

m) Sukan takraw akan diwakili bangsa bukan Melayu?

3. Banyak lagi berkaitan Bangsa Melayu jika difikir dan disenaraikan dan sebahagian daripadanya dicambahkan di sini untuk sama-sama kita renungkan betapa kita terlalu bimbang dilabelkan ‘rasis’ sehingga nasib bangsa dan generasi Melayu akan datang menjadi taruhan. Semua bangsa dan agama bebas menjalani kehidupan di negara ini dengan rukun dan damai sejajar dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan termasuk ‘kontrak sosial’ yang dipersetujui oleh pejuang-pejuang Bangsa Melayu dan pemimpin Cina dan India sebelum ini. Oleh itu, sama-samalah kita menghargai nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini oleh semua rakyat Malaysia termasuk warganegara lain yang menumpang teduh mencari rezeki serta pelancong asing yang begitu kagum dan berbangga dengan kehidupan unik berbilang bangsa dan kaum di Malaysia. Berbilang bangsa dan kaum tidak bermakna kita harus membilang-bilang apa bangsa dan kaum lain nikmati dan kecapi. Sebaliknya, bilanglah apa nikmat dan rahmat yang telah dinikmati dan dikecapi oleh bangsa dan kaum kita sendiri yang akan menjemput rasa syukur dan menghargai apa yang telah diberi oleh Allah swt serta usaha kerajaan mempertahankannya.

Amin yrb

Wallahualam

HNBK

Advertisements

GAJI, PENDAPATAN ATAU LOTERI

As-Salam,

1. Sehari dua ni kecoh dengan kisah orang bergaji besar sampai melimpah-limpah. Kisahnya bermula apabila MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan dakwaan pemindahan wang Tabung Haji sebanyak RM300,000 ke akaun peribadi ketua pegawai eksekutif badan tersebut, Ismee Ismail. Mahfuz berkata, kerajaan dan tabung haji perlu menjelaskan dakwaan tersebut ekoran jawapan yang diberikan timbalan menteri kewangan Datuk Donald Lim di Dewan Rakyat tempohari  sekadar menjawab bahawa langkah itu dibuat mengikut prosedur tetapi tidak menjelaskan sebab pemindahan wang itu dilakukan. “Duit itu untuk apa”,” soalnya lagi dalam sidang media di bangunan parlimen dan menambah duit berkenaan mungkin untuk bayaran gaji Ismee “berjumlah RM85,000 sebulan” sambil mengedarkan dokumen berhubung dakwaan tersebut.

2.  Ekoran daripada itu, isu gaji dan elaun CEO TNB diketengahkan juga lantaran rakyat semakin tersepit dengan bebanan tariff elektrik yang amat membebankan. Janji bahawa ianya tidak akan dinaikkan sehingga bulan Jun tahun depan  gagal meredakan kebimbangan rakyat. Jangan salahkan pembangkang jika ketika kerajaan membebankan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus, gaji Ketua Pengarah Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Che Khalib Mohamad Noh didedah sebanyak RM1.8 juta tahun lalu. Sememangnya suara dan nada pembangkang tetap sama iaitu dengusan membangkang tanpa had, tempat dan masa. Tetapi kenapa ruang dibuka dan bantal disorong kepada orang yang teramat mengantuk ?

3.  Sudah menjadi ‘OPEN SECRET’ tentang gaji-gaji CEO baik syarikat GLC mahupun sektor-sektor perniagaan lain yang besar,insentif mereka bukannya sedikit. Genting Bhd menerajui senarai pembayaran besar sebanyak RM111.48 juta kepada lembaganya, naik 21 peratus daripada RM92.11 juta sebelumnya.Syarikat itu juga mempunyai ganjaran tertinggi antara RM106.65 juta hingga RM106.70 juta bagi seorang pengarah tunggal. Bagaimanapun, syarikat itu tidak menamakan siapa pengarah tersebut.

4. Sesetengah syarikat mengurangkan ganjaran kepada lembaga pengarah mereka tahun lalu, termasuk CIMB Group Holdings Bhd.Bank kedua terbesar itu membayar RM18.51 juta atau kurang 13 peratus kepada ahli lembaganya dan ganjaran rendah kepada pengarah urusan kumpulan merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Seri Mohd Nazir Razak. Beliau menerima RM12 juta tahun lalu berbanding RM14.5 juta pada 2009.IOI Corporation Bhd berada di tempat kedua dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.29 juta, kata Malaysian Business.

5. Sementara itu, dengan tiga syarikat – YTL Corp, YTL Power International dan YTL Cement – Tan Sri Yeoh Tiong Lay menerima gabungan ganjaran sebanyak RM13.10 juta. Apa yang menarik, daripada 630 syarikat, 95 syarikat dengan kerugian besar masih memberi ganjaran kepada pengarah mereka dengan pembayaran yang tinggi.

6.  Saya tidak lah berniat mengkaji gaji orang lain sehingga ke lubang cacing kerana orang akan berkata itu rezeki dia dan engkau rezeki engkau. Kita lupakan gaji CEO lain buat mengubat hati mereka tetapi untuk Tabung Haji dan TNB dirasakan patut rakyat merungut dan tidak berpuashati. Jawapan Menteri berhubung  Gaji Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail, yang didakwa berjumlah RM85,000 tidak ditentukan secara sembarangan dan bukan sesuatu yang “tersembunyi”.  Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu hanya mengundang ‘reba’ dan duri yang akan menikam kerajaan. Ismee didakwa menerima gaji dan bonus RM1.7 juta tahun lalu. Jawapan Menteri  bahawa bayaran gaji yang dibuat oleh Tabung Haji mengikut peraturan berdasarkan kepada tahap profesionalisme, kepakaran dan nilai pasaran semasa.  “Saya akan jawab persoalan gaji ini dalam Parlimen, sebab Tabung Haji ini adalah syarikat bernilai bilion ringgit, lima tahun berturut-turut Tabung Haji menjangkau keuntungan melepasi daripada satu bilion ringgit,”. Jika untung banyak gaji banyak, maka pekerja lain juga harus dinaikkan gaji mereka setimpal dngan keuntungan.

7. Apakah tahap profesionalisma dan kepakaran dan kehebatan CEO-CEO ini mengatasi YAB Perdana Menteri? Gaji YAB Perdana Menteri pun hanya RM22,826.65 tetapi gaji CEO hingga mencecah jutaan ringgit setahun. Jika rakyat minta kurangkan tariff elektrik jawapannya tidak mencatat keuntungan tetapi gaji dan elaun CEO hingga termuntah-muntah makan tak habis. Nak kurangkan perbelanjaan jemaah haji Malaysia untuk ibadah haji bermacam alasan malah dikatakan menunggu masa untuk dinaikkan tetapi gaji CEOnya kembong sehingga putus talipinggang. Itu belum lagi gaji Idris Jala yang tak penat-penat menjala dan memukat.

8. Rakyat berbicara, bersuara, merayu dan memohon selagi lidah dan mulut masih berfungsi dan selagi nadi masih berdenyut. Setelah saraf dan nafas terhenti, ketika itu rakyat tidak lagi siuman dan waras berkata-kata. Hanya apa yang melintas hati dan perasaannya lah yang akan melantun dan melayang. Hormat bertukar gamat, Tunduk diganti senduk dan menyerah dihantar amarah. Rakyat berbudi, kita berbahasa, rakyat memberi kita merasa. Tanpa rakyat siapalah kita. Tanpa pengguna dan pelanggan siapalah CEO dan tanpa rakyat siapalah pemimpin dan penguasa. Kasihanilah rakyat yang menjadi pelanggan dan pengguna. Mereka bukanlah pencetak wang, pembekal emas dan pencari permata. Mereka adalah kelompok ‘marhaenisme’ yang perlukan pembelaan. Berat sama dipikul, berat sama dijinjing.

9. Jika tugas kita menjilat setem, janganlah kita menjilat najis dan bangkai. Janganlah tugas yang kita suka dan cintai sebagai penjilat dikorbankan nilai dan tahapnya sehingga menyamai pelacur yang menjilat tanpa perasaan kasih sayang demi wang, jawatan dan pangkat.  Malah jika ada yang tidak berminat sebagai penjilat akan dituduh sebagai menderhaka dan menongkah arus. Renung dan tenung siapa pengkhianat dan siapa pembantu. Seperti kata saya semalam, PUTIH TIDAK SEMESTINYA LILIN.

Wallahualam

HNBK

 

PUTIH TIDAK SEMESTINYA LILIN

As-Salam,

1. Jika kerana kuasa, pangkat dan jawatan sanggup bergolok-bergadai prinsip dan menjadi kerbau dicucuk hidung, lebih baik aku bergelar manusia saja. Apa gunanya bertempik bersorak kegembiraan diberi pangkat dan jawatan demi secebis kuasa sedangkan prinsip dan harga diri sudah di tapak kaki. Nasib bangsa, agama dan generasi akan datang sudah di hujung tanduk menanti pecah akibat kebulur nak jadi menteri dan Perdana Menteri. Jangankan jawatan dan pangkat seperti iatu, kerja seharian pun jika kelibat menampakkan kita sudah hilang kemerdekaan jiwa dan minda, pastinya akan ku beri laluan buat orang lain menuju dan mengambil mahkota bersalut najis simbol pengabdian kekal abadi.

2. “Cuma dua perkara yang akan engkau cari di dunia ini, wahai muridku! Pertama nama yang mulia, kedua keredaan Tuhan””….Engkau tidak akan dapat memperbaiki rakyatmu kalau engkau sendiri fasid (rosak binasa). Tidak akan dapat menunjukkan jalan kepada orang fakir untuk mendapat wang dan kepada orang hina agar menjadi mulia. Orang yang ingin memperbaiki orang lain, hendaklah sanggup memperbaiki dirinya terlebih dahulu. Tidaklah orang merosakkan orang lain, kalau dirinya belum rosak. Sebab itu kalau engkau hendak memperbaiki rakyatmu, perbaikilah dirimu. Kalau hendak membersihkan cacat orang lain, bersihkanlah dirimu. Sekali-kali jangan engkau telah mengeluarkan suara saja, tidak diikuti dengan pekerjaan, telah lepas kewajipanmu.”  Ini adalah nasihat Aristotel kepada muridnya Iskandar Zulkarnain.

3. Merenung kata-kata Aristotel itu, kita melihat adakah kemampuan mereka yang dicucuk hidung dan memahkotakan diri dengan salutan najis pengabdian kepada golongan yang memusuhi Islam dan bangsa kita akan dapat membaiki yang rosak dan membersihkan yang kotor? jika tauke nya pengotor, maka kotor lah kedainya, jika taukenya rosak, lebih baik modal membaiki orang lain diguna untuk membaiki dirinya sendiri. Mengharapkan tauke seperti ini membersih yang kotor dan membaiki yang rosak, samalah seperti tikus membaiki labu dan melutut meminta berok menggubah bunga. Kata Hamka “Tamak akan harta adalah pintu kebinasaan jiwa, tamak akan harta adalah menyuburkan tipuan dan menanggalkan baju budi bahasa.”

4. Aku terpanggil untuk menyatakan pendirian seperti ini tidak dengan niat menunjuk-nunjuk aku ini berilmu atau terlebih cerdik. Apakah salahnya menyatakan pendapat yang sedikit itu, bagi menambah yang banyak? Janganlah kita berebut-rebut mengaut kehidupan sehingga berjuang setengah mati sebelum mati. Jangan lah juga kita memajukan ilmu tetapi kemanusiaan mundur. Manfaatkanlah akal yanag dikurniakan oleh Allah swt untuk kemaslahatan bangsa, agama dan tanahair kita. Tanpa akal siapalah manusia itu. Segala pekerjaan tidaklah diukur dengan wang dan emas bertahil. Sebab harta datang dan pergi mendahului atau didahului. Namun akal tetap kekal bekasnya, walaupun jasad masuk ke liang lahad. Orang berakal hidup untuk masyarakatnya dan bukan untuk dirinya sendiri. Orang berakal mencukupkan apa yang ada dan tidak mengharapkan kekayaan orang lain.

5. Pepatah ada mengatakan bahawa “Berkawan dengan orang yang tidak berilmu, tetapi hidup di kalangan orang-orang yang berilmu, lebih baik daripada berkawan dengan orang yang berilmu tetapi hidup di kalangan orang-orang yang bodoh.” Oleh itu, apalah harga sebuah pangkat, jawatan dan kuasa jika kita hidup dikelilingi orang-orang yang nampak cerdik tetapi bodoh dengan memilih kebinasaan bangsa dan kehancuran agama dan nasib generasi kita. Ilmu tidak terletak pada pakaian, akal bukan di baju, bijak bukan di sepatu. Jangan lah kita beranggapan bahawa apabila kita sudah mendapat pangkat dan jawatan itu bererti kita sudah cerdik dan berkuasa. Tidaklah setiap yang putih itu sudah boleh disebut lilin.

Wallahualam

HNBK

HATI-HATI MELIHAT KULIT

As-Salam,

1. Sesungguhnya keikhlasan, kejujuran, amanah dan patuh pada janji merupakan elemen penting dalam membina jambatan silatulrahim sesama manusia dan setiap makhluk yang melata di mukabumi ini. Namun demikian, ia bukanlah sebuah pakej yang didatangkan bersama kuturunan, jantina, bangsa, agama, suku kaum ataupun rupa paras samada cantik, kacak, huduh ataupun menimbulkan rasa gerun melihat wajahnya.

2. Ada yang berkata selalunya jika bermajah huduh dan tidak menarik memiliki sifat-sifat mulia seperti jujur, amanah, ikhlas dan berpegang teguh pada janji. Tetapi hakikatnya, tidak sedikit yang memiliki wajah sedemikian rupa menjadi penyangak, penyamun, kaki ponteng dan putar alam. Yang diberi jawatan pula akan mengkhianati amanah jawatan dan pangkat yang diberikan kepada mereka.

3. Terdapat juga yang berkata Cina memang kaki tipu dan jika tidak menipu bukanlah Cina. Tetapi sebenarnya, jika kita pasang telinga betul-betul dan perhatikan sekeliling kita, maka kita akan dapat mengesan begitu besar jumlahnya penipu dan ‘kaki kelentong’ di kalangan bangsa Melayu. Berniaga ditipunya sukatan timbang, buah yang busuk diletak di bawah dan nampak elok letaknya di atas. Diberi hutang maka kita akan menjadi musuh ketatnya selepas itu.

4. Jika ada yang berkata hati-hatu dengan lelaki jika berurusan sebab majoriti lelaki memang penipu berbanding wanita. Realitinya, berapa ramai lelaki yang menjadi mangsa penipuan wanita tidak kira bidang apa sekalipun (tidak termasuk soal perasaan lagi). Oleh itu, jangan lah kita mudah dipengaruhi oleh rasa dan fikiran berpunca daripada rupa paras, keturunan, jantina, bangsa, agama hatta yang berkelulusan tinggi. Lagi tinggi lagi besar kelentongnya jika kita tidak berhati-hati. Moral ceritanya di sini, tidak ada pakej yang didatangkan dengan keikhlasan, amanah, jujur dan penepat janji jika kita gagal memahami fitrah manusia yang kita depani.

Wallahualam

HNBK

KECIL TETAPI BESAR

As-Salam,

1. Jika pada 2 Oktober 2012, tangan yang sama menulis BESAR TETAPI KECIL, hari ini aku melihat sebaliknya, tetapi tidaklah membawa maksud prinsip diri sudah berubah wajah. Mungkin juga apabila otak sering berkisar, minda turut berputar, maka idea akan datang ‘berlanar’ kata orang Pantai Timur.

2. Ketika aku memandu kenderaan ke pejabat semalam, sebaik melihat ‘Landrover’ dan lori tentera membawa kanak-kanak sekolah, bingkas seolah-olah minda aku berkata “kenapa tidak pihak PDRM melakukan perkara yang sama untuk anak-anak pegawai dan kakitangan mereka?” Ini bukan soal berlumba atau cemburu yang bersifat negatif, tetapi lebih kepada hasrat untuk rakyat menghargai kebajikan yang dilontarkan kepada mereka. Jika tentera itu rakyat, polis juga rakyat dan semua dari kita adalah rakyat yang diperintah oleh kerajaan masa kini atau ‘Goverment of the day. Kebajikan kakitangan adalah sebahagian daripada faktor pendorong untuk melahirkan kecintaan mereka kepada majikan dan kerajaan.

3. Jika ini dilakukan, pastinya pegawai dan anggota polis yang akan bertugas tanpa mengenal masa dan tempat itu lebih yakin dan kurang masalah untuk terus komited dan fokus terhadap amanah dan tanggungjawab terhadap mereka. Melangkah kaki keluar dari rumah untuk bertugas dengan fikiran yang lapang dan hati yang terbuka. Selain dari mengurangkan kos perbelanjaan ibubapa kepada anak-anak yang bersekolah, ianya adalah rahmat yang berselindung di sebalik kebajikan yang diturunkan oleh kerajaan kepada mereka. Tambahan lagi, pegawai dan anggota polis pun tidaklah meminta kereta perisai untuk menghantar anak-anak ke sekolah. 

4. Kenderaan seperti lori dan kereta polis yang dihantar ke sekolah dan lalu lalang ke sana sini juga dapat menambahkan kehadiran polis di mata rakyat atau dipanggil OMNIPRESENT (present in all places at all times). Kan ini memberi ruang serampang bermata-mata yang sejajar dengan ‘Strategi Lautan Biru @ Blue Ocean Strategy’ yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri dalam menangani masalah jenayah yang kian meningkat?

5. Jika seorang anak bayaran pengangkutan ke sekolah lebih kurang RM80 sudah pasti akan memberi kelegaan kepada pegawai dan anggota polis itu apatah lagi jika anaknya ramai. Perkara ini mungkin KECIL TETAPI BESAR buat rakyat tidak kira tentera, polis mahupun siapa saja. Banyak cara kasih sayang kerajaan dapat disemai kepada minda rakyat, tetapi tidak semua yang akan melekat kemas di hati mereka. Hanya yang tepat pada masa dan tempatnya akan berbekas.

6. Lain padang lain belalang, lain cabang pekerjaannya, lain pula keperluannya. Tidak semua perkara memerlukan semua perkara yang sama. Keadilan itu tidak terletak pada persamaan tetapi lebih kepada keperluan dan kepentingannya. Masakan untuk berlaku adil sehingga anak perempuan dan lelaki diberikan songkok untuk dipakainya? Begitu juga dari sudut agihan kekayaan, bantuan dan berbagai hal yang seringkali dilihat sebelah mata walaupun kita amat berterima kasih dan bersyukur dianugerahkan dua mata oleh Allah swt. Oleh itu, manfaatkanlah deria yang diturunkan Allah swt kepada seluruh umat manusia termasuk mata, telinga, hidung, mulut, dan sebagainya terutama sekali AKAL yang menjadi “Mahkota” yang membezakan manusia, haiwan dan makhluk lain.

Wallahualam

HNBK

Jenayah Turun?

As-Salam

1. Setiap hari ada saja berita tentang kejadian jenayah yang berlaku di setiap inci dan penjuru mukabumi negara ini walaupun pihak bertanggungjawab dengan bangganya memekik terlolong indeks jenayah semakin menurun. Apakah sangkaan mereka rakyat sedang dihinggapi penyakit buta dan pekak yang serius atau sedang berlatih untuk menyertai program Maharaja Lawak?

2. Kalaulah tindakan seperti yang dipaparkan di TV3 dalam program 999 itu benar-benar dilaksanakan walaupun rakyat faham ianya adalah aksi penuh hipokrasi dengan harapan rakyat kagum dan percaya usaha berterusan dan gigih dilaksanakan, kadar jenayah pastinya tidak seperti apa yang berlaku sekarang. Jika sekadar aksi 999 untuk paparan hiburan mungkin berjaya tetapi matlamat sebenar untuk menghapus dan mengurangkan kadar jenayan kian kabur.

3. Bagaimana rakyat akan mempercayai bahawa kadar jenayah menurun jika program 999 setiap minggu dipenuhi laporan kejadian dan perlakuan jenayah tidak pernah jemu memanjat tangga kejayaan menakut-nakutkan rakyat. Akhbar arus perdana dipenuhi insiden jenayah tanpa henti serta semakin ganas. Mesin ATM di pusat membeli belah dan di bank seperti menjadi kegilaan perompak. Kes bunuh dan culik seakan laporan cuaca setiap hari. Di mana silapnya?

4. Seperkara yang menimbulkan tanda soal di fikiran saya adalah apakah ekonomi yang semakin menguncup menjadi pemangkin kepada kenaikan kadar jenayah. Tumpuan penguatkuasa seakan bercelaru, perut lapar ke bilik air untuk mandi, dan sakit kepala diberi ubat kencing manis. Usaha merangsang ekonomi seolah-olah tidak terlintas difikiran pihak terbabit.

5. Akhirnya, bagi yang sudah gagal merasionalisasikan jiwa dan fikiran yang kusut akan memilih jalan pintas dengan melakukan jenayah. Apa guna slogan “Jenayah Membawa Padah” diulang-ulang jika mengulangi kesilapan yang sama juga seiring dengan slogan TV3 itu. Jenayah tidak akan turun dengan pembohongan tetapi hanya akan berkurang dengan tindakan yang jujur dan amanah. Sebenarnya “Jenayah Membawa Padah, dan Menipu Nak Kena Ludah”

5. Rakyat berhak mengetahui perkara sebenar untuk lebih bersiap sedia untuk berhapan dengan sebarang kemungkinan dan rakyat tidak marah asalkan jangan berbohong. Jika masalah menurunkan jenayah itu terlalu parah, beritahu rakyat dan pastinya mereka akan bersama kerajaan dan juga membantu kerajaan menangani isu ini. Rakyat sayang, kerajaan kuat dan jika rakyat sudah membenci,,,,, tunggulah saat lejatuhan sesiapa sekalipun yang menafikan hak rakyat untuk hidip aman dan damai di negeri sendiri

Wallahualam

HNBK

Si Buta Menafsir Gajah

As-Salam,

1. Sesungguhnya kadangkala aku seperti kecewa dan berputus asa memikirkan tentang manusia-manusia yang tidak jemu dan bosan mendefinsikan aku dengan berbagai makna mengikut selera mereka. Tafsiran itu sudah pasti tidak setepat aku menafsirkan diriku sendiri kerana pastinya pemilik jasad lebih mengetahui akan dirinya berbanding orang lain. Ada pendapat yang berkata, orang lain akan lebih mengetahui kekurangan dan kelemahan kita disebabkan mereka lebih jujur menilai diri orang lain berbanding diri sendiri. Apapun definisi dan tafsiran mereka, aku hanya bertanggungjawab untuk menjelaskannya kepada Allah swt di Mahkamah Agung Rabbul Jalil  dii Hari Kiamat bukannya kepada manusia. Hanya Penciptaku lah yang mampu memberi dosa dan pahala kepada aku.

2. Jika ada yang beranggapan aku ini berdiri di halaman Si Mamat, itu bermakna aku ini menunaikan tanggungjawab aku yang diupah berdiri di situ. Kalau timbul persoalan kenapa aku berlari di padang Si Musa, itu tandanya aku keras memerah keringat untuk melangsaikan hutangku kepada majikan bernama rakyat, malah jika ada yang bertempik kenapa aku berpidato di pentas Si Samdol, semuanya adalah kerana aku bertanggungjawab memberitahu kebenaran sejajar dengan tujuan aku diambil bekerja. Aku bukan milik Si Mamat, Si Musa mahupun Si Samdol. Aku milik kebenaran dan aku harta rakyat.

3. Jika aku berkata sesuatu yang melukai hati Kumpulan Merah, bukan kerana aku membenci warna dan pegangannya, tetapi aku memeluk prinsip yang bernafas dalam jantungku. Jika ada yang marah dan benci kerana aku menyentuh warna hijau, tidak pula aku meragui dan membantai mereka disebabkan tidak bertali darah dengan aku, tetapi berpunca dari teguhnya aku bersandar pada prinsip diri dan maruah yang menular dalam jasadku. Yang benar itu benarlah ia, dan yang salah diluar kemampuanku untuk mempertahankan mereka. Itu sememangnya kelemahan aku dan aku redha dan rela mengakui aku memang lemah dalam urusan berkata benar sesuatu yang salah. Jika upahnya besar sehingga boleh membeli bulan dan bintang sekalipun tetap aku tidak dibekalkan semangat dan keberanian untuk menerima tugas mencabar seperti itu. Aku tidak melahap upah untuk kerja begitu kerana aku hanya mendapat upah untuk berbuat sesuatu seperti dimaktubkan dalam kitab amanahku serta berpegang pada prinsip yang sebati dengan diri aku.

4. Setelah jauh berfikir, aku menuai pendapat yang pasti menenangkan aku. Aku memahami bahawa aku sedang di kelilingi Si Buta menafsir gajah. Walaupun ceritanya banyak diketahui orang, elok juga diulang buat sejumlah kecil yang mungkin belum pernah mendengar kisahnya. Pada aku, mereka yang gemar menghukum dan menafsir aku ini tidak lebih seperti kisah ini.Suatu ketika ada seekor gajah dan empat orang buta yang bertengkar sesama sendiri tentang seekor gajah. Orang buta pertama meraba-raba gading gajah dan berkata wah, tajamnya! GAJAH PASTI MIRIP TOMBAK! . Orang buta kedua pula memegang belalainya dan berteriak: TIDAK! GAJAH PANJANG MIRIP ULAR!. Orang buta ketiga meraba-raba tubuh sang gajah dan mengatakan: KAMU SEMUA SALAH! GAJAH ITU SEPERTI TEMBOK!. Orang buta keempat memegang ekornyagajah  dan berkata: APA KAMU SEMUA NI BODOH BETUL, GAJAH TU SEPERTI TALI!. Kisah orang-orang buta dan seekor gajah ini mengilustrasikan cara orang-orang buta dan tolol menafsirkan sesuatu perkara.

5. Alangkah malangnya apabila manusia itu meletakkan diri mereka pada kedudukan seperti ini hanya disebabkan untuk dilihat cerdik tetapi bodoh, ataupun mengharapkan diri dianggap setia dan mempertahankan ketua sehingga menjelmakan diri menjadi tukang karut pentas wayang kulit untuk sesuap nasi dan segelas air. Jauhkan diri dari terjebak dengan penyakit ini, menjahit pakaian dengan benang kejahilan, menampal kasut dengan kulit kebodohan. Dari siuman dikata gila dan daripada waras dianggap meroyan. Hendak berniaga modalnya wang, hendak memancing modalnya umpan, hendak berdebat modalnya ilmu. Jika hendak berniaga bermodalkan airliur, pembelinya juga pastinya berbekalkan airliur, hendak memancing bermodalkan tangan, ikan tak dapat buaya membaham, hendak berdebat bermodalkan umpat, pahala lari, dosa yang dapat.

6. Pat-pat siku lipat,siapa cepat dialah yg dapat. Tetapi jika cepat dapat bukan yang dihajat, lebih baik melepas dari dirembat. Orang cerdik dan bermaruah tidak memanjat dengan memijak kepala orang lain. Hanya yang pengecut dengan berbekalkan kipas hikmat dan ‘hydraulic jack’ saja yang berfikir usaha memanjat kejayaan akan dicapai dengan laluan pintas seperti itu. Berhati-hatilah dengan makhluk seperti ini kerana pepatah mengatakan “Teman yang berudang di balik batu’ terhadap engkau adalah seumpama anjing di tepi jalan, yang ditujunya hanyalah tulang yang akan dilemparkan kepadanya, bukan tangan yang melemparkan tulang itu. Hari ini dia menjilat engkau, esok pula engkau diludahnya hanya kerana giliran menjilat itu sudah bertukar jadual kepada yang lain.

Wallahualam

HNBK