LAIN PENYAKIT LAIN UBATNYA

Salam…

1. Jika dikerah seluruh tenaga dan dayafikir setajam-tajam sekalipun, sukar ditemui punca manusia semakin lama semakin bebal dan dungu. Puas diperah otak mencari jawapan maka semakin sakit bagaikan dicucuk-cucuk dengan ‘semanggang’ panas kepala ini. Sindrom aneh seperti ‘Pak Kadok, ‘Lebai Malang’, adu domba dan fitnah kian mengakar dalam masyarakat, pemimpin yang sepatutnya memimpin pula perlu dipimpin dan dipapah dan diinjak-injak agar bangun dari mimpi dan igauan.

2. Virus ‘bebalisme’ seperti yang diungkap Dr Syed Hussein Alatas telah menular dengan pantas dan melekat bak gam gajah pada hati dan minda masyarakat. Mungkin hantu Pak Kadok menyerap masuk dalam jasad manusia-manusia yang tidak disuntik imunisasi (ilmu) melalui pembacaan dan kaedah pemerhatian serta melihat usaha pencerahan sebagai ancaman. Atau mungkin juga taktik licik agar semakin dungu dan bebal masyarakat semakin mudah dituntun dan diheret mengikut kehendak gembala keldai dan unta.

3. Tugas mendidik dan mentarbiah manusia ke jalan yang benar adalah sesuatu yang ‘maha payah’ sehingga para Nabi dan Rasul juga berdepan dengan ancaman dan rintangan yang tidak saja besar, malah penuh dengan selekoh tajam menanti maut. Lihat saja Kisah Nabi Nuh yang dianalogikan secara jelas dalam al-Quran dan ditebarkan kepada umat manusia melalui para ulamak dan anbia’. Nabi Allah Nuh telah menyeru kaumnya agar menyembah Allah yang satu dan meninggalkan penyembahan berhala yang sia-sia buat yang berfikir tetapi bagi yang gagal ditembusi cahaya kebenaran, ia dianggap gila dan meracuni pemikiran umat ketika itu. Baginda berdakwah siang dan malam tanpa mengenal putus asa. Malangnya, usaha Nabi Allah Nuh tetap gagal. Hanya beberapa kerat manusia daripada golongan miskin dan hina sahaja yang mempercayai baginda sedang yang lainnya terus menentang Nabi Nuh. Dengan perintah Allah untuk membuat bahtera, beliau menanam pokok jati dan menunggu sehingga 100 tahun sebelum pokok-pokok tersebut boleh diguna. Tiba masanya, Allah menurunkan hujan yang lebat dan memancarkan air dari bawah bumi sehingga menjadi lautan. Ketika itu Nabi Nuh yang cuba membantu anaknya yang sedang menyelamatkan diri dari lemas memanggil untuk dibantu juga menolak atas kedegilan dan kejahilan tahap luarbiasa. Binatang pun turut serta dalam Bahtera Nabi Nuh mengikut manusia yang taat pada Nabi Nuh sedangkan manusia itu akalnya di sepatu dan lebih jahil dari binatang. Jika Nabi Nuh yang berbekalkan bantuan dan mukjizat Allah swt untuk berdakwah ratusan tahun gagal mencapai matlamat termasuk keluarganya sendiri, inikan pula kita manusia biasa berhajat membetulkan kelompok jahil yang angkuh dan sudah berada di dunia yang hanya melantunkan ungkapan ‘hanya mereka yang betul dan orang lain tetap salah’.

4. Budaya fitnah dan adu domba semakin parah mungkin angkara kelibat Si-Kitol dan Raja Mendeliar sering muncul di pentas-pentas kegemaran para pengamalnya. Malangnya Melayu itu kuat bersorak, terlalu ghairah pesta temasya, sedangkan kampung telah tergadai, sawah sejalur tinggal sejengkal , tanah sekangkang kera juga mudah terjual. Fitnah dan nista sentiasa menimpa sejak zaman Hang Tuah hinggalah sekarang. Di zaman dahulu Patih Karma Wijaya beserta kuncu-kuncunya menabur fitnah ke atas Hang Tuah. Di zaman ini pula, tukang fitnah dan tukang caci membuat onar. Kenapalah, dengki dan khianat begitu bersemarak dalam diri mereka terhadap Hang Tuah? Apalah dosa Hang Tuah kepada mereka sehingga sentiasa diintai segala kelemahan diri untuk dijaja sebagai senjata pemusnah? Hang Tuah, satu nama terbilang yang dipahat untuk mengangkat maruah Melayu di mata dunia. Tetapi malangnya, bagi Melayu yang dikuasai nafsu untuk berkuasa, jasa Tuah tidak bernilai (mungkin yang tinggal hanya Nilai, Negeri Sembilan). Itulah Melayu yang tiada jati diri sehingga membenarkan tuduhan terhadap bangsa Melayu. Bangsa yang mudah melatah, mudah disumbat dengan pujian dan fitnah, tiada usul periksa dan semuanya diiyakan belaka selagi ‘geli’ berlegar di sekeling pemimpin. Maka akhirnya Tuah diarah untuk dikorbankan dan Jebat yang membela turut terkorban. Begitu jugalah nasib mereka sekarang yang berusaha untuk menjadi pembela dan pejuang bangsa akan diinjak dan dibelasah setengah mati agar diam membatu terhadap penyelewengan, kepalsuan dan kebobrokan. Terkadang, agak melucukan apabila ‘pengotor’ yang berlumuran najis akan muncul untuk membersihkan bayi yang masih bersih tanpa dosa dan daki. Mereka yang mempertahankan pemimpin dan lingkarannya pula tanpa segan dan malu akan mempertahankan segala apa yang dibuat oleh pemimpin mereka hatta ianya terbentang jelas tersasar, salah dari segi moral dan agama dan kepentingan bangsa dan negara. Namun seperti kata saya kepada seorang teman, untuk memenangi dan mempertahankan diri dalam peperangan sememangnya memerlukan seseorang yang pintar, pemberani dan bersemangat kental. Tetapi, untuk mempertahankan seseorang, kita hanya memerlukan seorang ‘pengebom berani mati’ walaupun tanpa mata, telinga dan akal.

5. Pemimpin yang lemah, tersasar dan diselubungi misteri mendapat pembelaan dan keistimewaan luarbiasa dan ini adalah sesuatu yang merbahaya. Sabjek sejarah di sekolah-sekolah, pusat pengajian tinggi dan semua gedung ilmu wajar diperkasakan oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan kesilapan yang sama berulang. Sekali adalah kesilapan tetapi kedua kali dan seterusnya adalah pilihan. Seperti kata Karl Marx, “Peristiwa bersejarah akan berlaku dua kali, kali pertama sebagai tragedi dan kali kedua sebagai sandiwara”. Malah Confucius mengukuhkannya lagi dengan kiasannya, “pelajarilah masa silam kalau kamu mahu beroleh kegemilangan pada masa akan datang”.

6. Dodol dan agar-agar enak dimakan tetapi bukan untuk menjadi ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin. Namun, sejarah tetap akan berulang selagi Si-Kitol, Raja Mendeliar dan Patih Karma Wijaya mampu mewarisi semangat dan onarnya kepada tinggalan yang teguh berpegang kepada amalan tersebut. Sementelah pemimpin juga tetap lahir dengan kedodolan dan agar-agarnya sehingga perlu dipimpin dan dipapah. Apakah ciri-ciri pemimpin seperti ini yang perlu diketengahkan untuk memakmur dan memperjuangkan bangsa, agama dan tanahair? Kata pendita “Sebuah bola lampu berukuran 75 watt kelihatan bersinar lebih terang dibandingkan dengan tiga buah bola lampu 25 Watt yang dinyalakan bersamaan.” Begitu juga dengan pemimpin, hanya yang kuat daya tarikan dan kehebatan pimpinannya saja akan lebih menyerlah seluruh mukabumi. Elakkan rakyat daripada terjebak dengan penyakit bebalisme ala ‘Pak Kadok’ dan ‘Lebai Malang’ kerana kata Thomas Chandler Haliburton (1796-1865), “Kebahagian dari setiap negara lebih bergantung pada watak penduduknya daripada bentuk pemerintahannya”.

7. Jika sakit ada ubatnya dan jika sunyi ada penemannya. Jangan dibiarkan “lain penyakit lain pulak ubat yang diberikan”. Kaki yang patah, geletek pula yang dipetuakan ubatnya. Sampai kiamat pun tidak akan sembuh malah menambah parah sakit yang dihidapi. Moga bangsa, agama dan tanahair kita akan sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dalam menuju destinasi pelaburan yang lebih jelas dan meyakinkan untuk keuntungan seluruh rakyat dan tidak sesekali berkurung dalam kelab eksklusif milik seseorang.

Wallahualam

~: hnbk :~

ubat-

POLITIK BAKTI

Salam,

1. Bahang Pilihanraya Umum (PRU) telah pun berlalu lebih dari 6 bulan dan mula membeku walaupun sedikit cair baru-baru ini setelah Pilihanraya Kecil (PRK) Sungai Limau di Kedah muncul ekoran pulangnya Tan Sri Azizan Razak ADUN di situ ke rahmatullah yang juga Mantan Menteri Besar (MB) Kedah dari PAS. Setiap kali hadir pilihanraya pastinya rakyat yang juga pengundi akan melihat betapa ramah dan sibuknya calon-calon melayani karenah rakyat. Alangkah bangga dan seronok melihat calon-calon tidak kira dari parti mana sekalipun bersusah payah menjadi hamba rakyat. Yang tidak pernah memegang cangkul akan mencangkul tanah, yang tidak pernah turun ke bendang akan bercucuran keringat hingga kulit yang berseri-seri bertukar legam dibaham terik matahari. Yang dulunya jijik bau najis sanggup mengesot hampir dengan tandas kampung mirip filem Ali Baba dengan 40 penyamun demi mendekati pengundi. Lakonan-lakonan ini sayangnya tidak mampu bertahan lama lantaran ianya hanyalah kosmetik yang datang bermusim dan pergi juga bermusim sebaik keputusan pilihanraya diumumkan.

2. Agak menarik membaca petikan tulisan Dato’ Saifuddin Abdullah Mantan Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Temerloh dalam bukunya ‘Politik Baru – Mematangkan Demokrasi Malaysia’ terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (2009) halaman 35. Beliau berkata “Pernahkah kita memikirkan apakah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat dan bukannya yang diinginkan oleh calon wakil rakyat, daripada pilihanraya umum? Adakah rakyat menginginkan ahli politik yang mengamalkan POLITIK BAKTI, iaitu yang sentiasa berkhidmat secara konsisten kepada rakyat setelah terpilih, atau yang sekadar mengamalkan politik undi saja, iaitu yang sukar dilihat khidmatnya setelah terpilih, tetapi akan rajin semula apabila pilihanraya umum berikut menjelang tiba?”. Keinginan wakil rakyat tidak penting sebenarnya yang penting adalah keinginan rakyat.

3. Saya amat yakin bahawa rakyat dan pengundi yang rasional mendambakan pemimpin yang bukan datang bermusim dan pergi bermusim. Mereka amat berharap pemimpin mengamalkan POLITIK BAKTI dengan berbakti kepada rakyat setimpal dengan ‘upah’ yang diizinkan dengan penuh rela kepada mereka. Masalah rakyat tidak datang dan mengguncang kehidupan rakyat hanya apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan akan diadakan pilihanraya. Ia akan datang tanpa mengenal masa dan tempat dan detik-detik seperti itu bakti daripada wakil rakyat amat bermakna serta menjadi tempat bergantung. Detik itulah yang paling afdal buat wakil-wakil rakyat melunaskan janji-janji mereka dan sepatutnya mereka menjadi penghubung mata dan telinga kepada rakyat untuk mendapatkan pertolongan.

4. Wakil rakyat kata orang “sama menjulur sama menjalar, lain belut lain ular” kerana mempunyai rupa dan perjalanan hidup yang sama, namun berbeza budi bekerti. Ada yang amanah dan ikhlas menjalankan tanggungjawabnya dan ada yang lebih ular dari ular dan lebih licin dari belut. Sudahlah susah nak ditemui, jika terserempak sekalipun memang hanya manusia yang diberi kuasa sakti The Avengers saja yang dapat menangkap wakil rakyat jenis ini. Sebaliknya, hampir pilihanraya, ular-ular dan belut ini akan datang bersimpuh dan menari-nari dihadapan rakyat tanpa memerlukan bunyi serunai.

5. Rasanya politik seperti ini sudah sampai tarikh lupus dan memerlukan ertikata ‘transformasi’ yang sebenar-benarnya. Ketulinan transformasi tidak terletak kepada jeritan dan laungan tetapi pada tindakan dan bukti yang perlu dibuktikan dengan jelas dan nyata. Rakyat sudah kenyang dan buncit disumbat dengan retorik. Rakyat perlukan realiti bukan imaginasi dan fantasi. Perut yang lapar tidak akan hilang laparnya dengan hanya berangan-angan atau bermimpi makan nasi. Nasi perlu dibaham dan dikunyah masuk ke dalam perut rakyat untuk mengelakkan lapar dan mati kebuluran bukannya disogok dengan janji-janji muluk serta pidato yang berdegar-degar. Sudah sampai masanya pemimpin yang benar-benar ikhlas dan terbukti membantu rakyat dipilih sebagai calon pilihanraya akan datang untuk semua parti politik termasuk mereka yang berhajat untuk menjadi calon bebas. Zaman tunggul kayu dan besi sebagai calon boleh menang sudah berakhir. Daripada pengamatan saya terhadap lahirnya pemimpin yang berjiwa patriotik saja tidak mencukupi sekiranya tidak dipasak dengan nilai teologi yang menjadi kompas menentukan agar mereka tidak tersesat selepas terpilih sebagai wakil rakyat. Jika lembu dipegang pada talinya maka sebagai manusia, janjilah yang akan dipegang jika tidak mahu diheret bagaikan lembu. Perlu diingat, “Kemuncak segala dosa ialah bohong. Dua perkara yang sentiasa mengiringi bohong ialah banyak berjanji dan banyak memberi alasan”. Oleh yang demikian, sebagai pemimpin, janganlah kita dilabel sebagai pembohong kerana imej pembohong itu teramatlah hina di sisi Allah. Perlu ada peringatan terhadap diri sendiri apabila sudah bergelar pemimpin tidak kira di peringkat mana sekalipun. Hidup sesudah mati tetap datang dan tiada upaya mana-mana manusia untuk dilindungi daripada pembohongan yang dilakukan semasa hidup sebagai pemimpin. Tidak ada mana-mana parti atau jawatan yang disandang dapat membantu ketika berdepan dengan Allah swt kecuali amal bakti yang luhur diselubungi amanah dan kejujuran.

6. Mari kita sama-sama renungi kata-kata Mantan Presiden Mesir Anwar sadat (1918-1981) ketika berucap dalam parlimen Israel (Knesset) pada 20 November 1977, “… tiada sesiapa berhak membina kebahagiaan di atas kesengsaraan orang lain. … saya tidak pernah berbicara, dan tidak akan berbicara, dengan lidah bercabang; saya tidak pernah memakai, dan tidak akan pernah memakai, dua dasar. Saya tidak pernah berurusan dengan sesiapa kecuali dengan satu lidah, satu dasar dan satu wajah.” Jika apa yang disebut oleh Anwar Sadat itu boleh dilakukan pemimpin-pemimpin dengan bercakap dengan satu lidah dan tidak bercabang-cabang, saya amat yakin bahawa rakyat dan pengundi akan terus kekal menyokong dan memberi kerjasama kepada mereka. Tidak ada sesuatu yang tidak mampu dilakukan kecuali hilangnya keinginan untuk menjadi manusia yang manusia. Asal rajin diasah, batang besi sekalipun boleh menjadi jarum. Pemimpin harus menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Jika ‘bapa mencuri labu dan buah, anak membunuh dan membakar’. Oleh yang demikian, sama-samalah kita membina jambatan kerjasama dan kasih sayang antara pemimpin dan rakyat agar segala usaha murni yang kita lakukan di dunia akan menjadi bekalan kehidupan bukan saja kepada generasi akan datang, bahkan untuk kita di akhirat nanti.

Wallahualam

~: hnbk :`

amanah dan tanggungjawab

“LEBIH BAIK TIADA KUASA TETAPI BERKUASA”.

Salam,

1. Lebih baik TIADA KUASA tetapi berkuasa daripada ADA KUASA tetapi tidak berkuasa. BERKUASA bermaksud mampu menjadi diri sendiri, berupaya menyuarakan nurani diri, berfikiran dan berjiwa merdeka. Menurut Weber (1947) dalam Sufean Hussin (2002:183), kuasa merujuk kepada kemampuan seseorang melakukan sesuatu aktiviti walaupun terdapat rintangan daripada pihak lain. Menongkah arus tidak bermaksud menongkah apa saja di hadapan kita walaupun ianya baik untuk kemaslahatan ummah. Baik untuk kita, betul pada pandangan kita tidak semestinya betul untuk ummah, bangsa, agama dan tanahair kita. Membunuh orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua tidak kira yang berdosa atau sebaliknya seperti kata banyak penulis tetaplah berdosa dan salah dari segi moral dan undang-undang. Israel misalnya membunuh dan melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin tetap mengatakan tindakannya betul dan mempertahankannya bermati-matian walaupun seluruh dunia mengutuk tindakan tersebut. Penyokong aktiviti LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual, And Transgender) dan ajaran sesat tetap mengatakan pendirian dan kepercayaan mereka betul walaupun ianya salah. Menongkah arus yang dimaksudkan adalah apa yang pada sisi rasionalnya salah, moral tidak betul, dari aspek agama amat bertentangan dan hanya mementingkan kelompok dan diri sendiri.

2. Begitu besar jumlahnya yang mengejar KUASA sehingga ramai yang keliru konsep KUASA dan melihat KUASA sebagai senjata memunah-ranahkan apa yang menjadi halangan terhadap cita-cita diri dan kelompok mereka. Ia dianggap sebagai simbol kejayaan dan kehebatan diri tanpa memikirkan ianya adalah amanah yang dibebankan terhadap pemegang KUASA tersebut. Nikmat KUASA amat mengiur dan memberahikan siapa saja jika tidak dibentengi agama dan ketajaman dayafikir yang dianugerahkan Allah swt. Mereka yang menggenggam KUASA memang dilihat berkuasa tetapi sebenarnya bertelagah dalam diri sendiri antara kebenaran dan kebatilan sepertimana berlaku kepada Firaun sehingga menganggap dirinya Tuhan. Akhirnya Tuhan itu mati sedangkan Tuhan sebenar-benarnya tetap kekal selama-lamanya.

3. Jika ada kuasa tetapi kezaliman masih berlaku, ada kuasa tetapi kemaksiatan bermaharajalela, ada kuasa tetapi rakyat diancam ketakutan angkara jenayah di sekeliling mereka bererti KUASA itu tidaklah BERKUASA. Ia hanya pencapaian keserekahan nafsu yang bergejolak dalam diri mereka-mereka yang tamak lagi zalim kepada bangsa, agama dan tanahair sendiri. Maka, “LEBIH BAIK TIADA KUASA TETAPI BERKUASA”.

Wallahualam

~: hnbk :~

kuasa

Fungsi Polis Tentukan Tahap Demokrasi dan Kualiti Kehidupan

Salam,

1. Buletin utama TV3 malam tadi melaporkan kenyataan IGP yang berkata “mengikut MAKLUMAT AWAL, kumpulan pengganas yang terlibat membunuh suami dan menculik isteri pelancong Taiwan di Semporna Sabah baru-baru ini bergerak dalam jumlah 7-8 orang dan dipercayai dari kumpulan Abu Sayyaf. Tambahnya, ia berpunca daripada tindakan kumpulan pengganas ini mengambil kesempatan akibat tentera Filipina telah dikerah untuk misi bantuan di tengah Filipina akibat taufan Haiyan.

2. Apakah maklumat seperti yang dilaporkan Buletin Utama TV3 berhubung kenyataan IGP itu maklumat awal atau maklumat lewat? Jika awal bermakna kita menyedari tentang kemasukan kumpulan ini dan tidak mungkin ianya tidak mampu disekat. Dan jika lewat bermakna masih banyak yang perlu diperbetulkan terhadap mekanisma keselamatan dan sistem pertahanan negara. Dan yang paling menarik adalah apakah keselamatan negara kita terletak pada nasib/tangan pasukan keselamatan negara asing atas alasan ketiadaan pasukan keselamatan Filipina yang dikerah ke kawasan tengah Filipina akibat bencana menjadikan ia peluang pengganas memasuki negara ini? Apabila tentera negara jiran tidak membantu maka situasi keselamatan negara kita berada pada tahap yang merbahaya? Sememangnya kerjasama erat antara negara dalam aspek keselamatan negara penting tetapi tunjang keselamatan terletak atas tanggungjawab negara sendiri. Apa jadi dengan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan kita setelah ditambah dengan penubuhan Kawasan Khas Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dengan pengumuman ratusan juta ringgit dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri? Semuanya memerlukan kebertanggungjawaban semua pihak yang diamanahkan untuk memastikan tahap keselamatan negara tidak mudah dibolosi dan dianggap terlalu ‘fragile’.

3. Dr Kamal Saini dalam bukunya Police Investigations – Procedural Dimensions, Law and Methods (2000), yang di terbitkan oleh Deep & Deep Publications New Delhi yang ketika itu berpangkat Senior Superintendent of Police Jammu and Kashmir berkata;

“The strength of a democracy and the quality of life enjoyed by its citizens is determined in large measures by the ability of the police to discharge its functions”.

4. Apakah fungsi-fungsi polis?

“Mengikut seksyen 3(3) Akta Polis 1967; a. Memelihara undang-undang dan ketenteraman b. Mengekalkan keamanan dan keselamatan negara c. Mencegah dan mengesan jenayah d. Menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah e. Mengumpul risikan keselamatan.”

5. Dengan situasi keselamatan terkini, apakah fungsi-fungsi ini mampu dilaksanakan dengan berkesan khususnya aspek risikan ataupun lebih popular dengan sebutan ‘intelijen’? Apakah tahap demokrasi dan kualiti kehidupan rakyat masih berjaya ditegakkan sejajar dengan apa yang disebut Dr Kamal Saini? Insiden jenayah yang berlaku dari kes curi, samun, rompak, bunuh dengan dengan senjatapi dan bermacam-macam lagi yang amat membimbangkan rakyat itu masih lagi dianggap ‘natural cause’ dalam masyarakat? Memetik kata-kata Lagenda Pakar Strategi Perang China klasik Sun Tzu dalam buku yang menjadi rujukan banyak pihak The Art of War, “Sang jeneral adalah pelindung negara. Ketika sang pelindung utuh, tentu negaranya kuat. Kalau sang pelindung cacat, tentu negaranya lemah.” Untuk itu, maka tambah Sun Tzu, ““Kenalilah musuhmu, kenalilah diri sendiri. Maka kau dapat berjuang dalam 100 pertempuran tanpa risiko kekalahan. Kenali Bumi, kenali Langit, dan kemenanganmu akan menjadi lengkap.”

6. Semoga kejayaan dan keselamatan negara akan dapat dipertahankan berbekalkan semangat cintakan agama, bangsa dan tanahair.

Wallaualam

~: hnbk :~

art of war

HARUAN MAKAN ANAK

Salam,

1. Seringkali apabila perumpamaan ‘Haruan Makan Anak’ digunakan oleh seseorang, maka sepantas kilat maksudnya akan merujuk kepada tindak-tanduk bapa yang sanggup menganiaya anaknya sendiri. Dalam skop sebuah keluarga, itulah gambaran tepat yang digunakan oleh masyarakat terhadap kaum bapa yang menjadikan anak sendiri sebagai mangsa kebuasan nafsu serakah samada yang bersifat seksual mahupun deraan fizikal demi memenuhi kehendaknya. Bagaimana pula dengan perumpamaan itu jika dikaitkan dengan sebuah organisasi, masyarakat dan kawasan di peringkat negeri bahkan negara? Sebagai pemimpin, pastinya yang dipimpin itu adalah anak-anak kepada pemimpin tidak kira samada ianya di peringkat mana sekalipun. Jika tindakan menganiaya orang bawahannya dan yang diletakkan di bawah pemerintahan serta pentadbiran mereka sebagai pemimpin, maka tindakan itu juga wajar dikategorikan sebagai tindakan ‘Haruan Makan Anak’. Dengan merujuk kepada seruan pendefinisian semula tindakan ‘keganasan antarabangsa’ oleh kuasa besar secara unipolar dan unilateral yang ditentang oleh kita seperti yang dilakukan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, maka dalam konteks ‘Haruan Makan Anak’ juga sewajarnya ia juga ditakrifkan mengikut tindakan bukannya ‘lurus bendul’. Tun Dr Mahathir menyebut jika dengan membunuh orang awam, kanak-kanak dan wanita itu dilabel sebagai tindakan keganasan, maka samada ianya dilakukan oleh individu, organisasi atau pun negara perlu dilabel sebagai ‘pengganas’. Sewajarnya entiti haram Israel dilabel sebagai ‘Negara Pengganas’ yang secara angkuh mewajarkan pembunuhan rakyat Palestin dan tidak hanya berkisar kepada individu ataupun organisasi bayangan seperti Jamaah Islamiyah (JI), Al Qaeda, Kumpulan Abu Sayaf, Hamas dan apa saja yang dikaitkan dengan Islam.

2. Kembali kepada perumpamaan ‘Haruan Makan Anak’, sebagai pemimpin dan ketua tidak kira samada dalam organisasi, negeri mahupun negara, tindakan menganiaya rakyat yang menjadi anak-anak kepada pemimpin seharusnya juga tergolong dalam kategori ini. ‘Haruan Makan Anak’ tidak semestinya hanya memakan anak sendiri, dengan memakan anak-anak orang lain dan rakyat yang tergolong sebagai anak kepada pemimpin juga merupakan tindakan penganiayaan. Penganiayaan itu tidak dapat dipisahkan dengan tindakan kezaliman. Zalim itu dari sudut harfiahnya membawa maksud ‘meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya’. Apakah dengan membuncitkan perut dan memperkasakan otot suku-sakat, kaum keluarga dan kroni itu boleh dianggap sebagai ‘adil’ yang lawannya adalah ‘zalim’? Adilkan hanya dengan berbekalkan pertalian darah membolehkan pendapatan bulanan mencecah ratusan ribu ringgit sebulan? Tidak zalimkah dengan hanya ditakdirkan bermenantukan pemimpin besar maka jawatan penting parti perlu dihadiahkan kepadanya? Apakah dengan memilih dan meletakkan anak-pinak, menatu, adik, sepupu, isteri dan kaum keluarga dengan jawatan-jawatan penting dan strategik samada dalam kerajaan, parti ataupun organisasi yang dipimpin oleh kita sebagai bukan tindakan ‘zalim’? Alasan keluarga dan suku sakat itu mempunyai kelayakan dan sudah cukup baik adalah sesuatu yang teramat ‘gampang’ dan tidak bersandarkan merit. Walaupun didakwa mereka layak diberikan jawatan dan kedudukan tersebut atas kesesuaian dan kebijakan tanpa mengira hubungan kekeluargaan dan persahabatan, apakah tidak ada yang lebih layak dan lebih hebat dari mereka? Sejauh mana tahap ukuran ujian yang dilakukan dalam pemilihan itu memenuhi keperluan yang sepatutnya dibuat? Apakah tidak mungkin individu lain lebih berkelayakan untuk dipilih bagi kedudukan itu jika merit dijadikan asas pemilihan serta sasarannya adalah mencari terbaik di kalangan yang terbaik?

3. Jika diselongkar kejayaan dan kemakmuran yang dinikmati oleh negara-negara yang menikmati kemajuan dan kejayaan besar, elemen penting yang menjadi ramuan kejayaan mereka adalah merit dengan memilih yang terbaik di kalangan yang baik, yang terhebat dikalangan yang hebat dan yang terbijak di kalangan yang bijak bagi mengisi jawtaan dan kedudukan penting dalam kerajaan, organisasi, parti politik dan negara. Suku-sakat, keluarga, anak, menantu, adik, sepupu serta pertalian darah boleh menjadi pilihan atau lantikan dengan syarat melalui proses pemilihan secara telus dan dibuktikan mampu mengatasi kelayakan pesaing lain yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan, persahabatan ataupun pertalian darah. Pemilihan secara sembrono hanya akan mengakibatkan yang dipilih menghidap penyakit lilitan kepala membesar tanpa dipaksa dan berjalan seakan-akan kaki tidak mencecah bumi. Ciri-ciri ini tidak kira samada di pihak mana sekalipun kita berada, ianya akan mengakibatkan negara, negeri, organisasi yang dipimpin rebah kerana dibantu serta dipimpin oleh para liabiliti dan bukannya aset yang akan memperkukuhkan struktur pimpinan kita. Sememangnya kita sentiasa berdoa agar negara mencapai kejayaan tetapi apakah kita memilih ‘cities win, citizen lose’ sebagai galang ganti? Jangan diamalkan apa yang sering dikeluh-kesah oleh rakyat bahawa “The world is a pretty unfair place, littered with examples of acquisitions by force”.

4. Pandji Pragiwaksono dalam bukunya ‘Berani Mengubah’ yang diterbitkan oleh Penerbit Bentang, Jogjakarta (2012) menyebut, “Kisah serupa terjadi di Timur Tengah ketika pergolakan terjadi di Tunisia, Mesir dan lainnya. Keadaan ekonomi yang tidak adil, dipicu oleh praktik politik yang tidak mencerminkan kebutuhan rakyat, membuat pengangguran tidak hanya tinggi. Pekerjaan yang ada pun hanya diberikan kepada orang-orang tertentu dan dalam kasus Tunisia dan Mesir, diberikan kepada yang punya koneksi.” Apakah janji transformasi dan slogan ‘berani berubah’ yang popular sekejap dalam pemilihan sebuah parti baru-baru ini hanyalah ‘retorik’? Retorik itu adalah persepsi yang dibina oleh mereka yang tidak suka dipandang sedemikian rupa sedangkan mereka jugalah yang membinanya. Sebenarnya perkataan ‘Tsunami’ yang sering disebut-sebut oleh banyak pihak lebih merupakan usaha menidak dan menafikan ketidak ketahuan kita terhadap gerakan yang berlaku dikerak bumi erti kebencian yang meluap-luap terhadap nepotisma dan kronisma yang diamalkan selama ini. Apabila berlaku sepertimana keputusan-keputusan yang tidak memihak kepada kita, maka perkataan paling ‘merdu’ dan mudah digunakan adalah ‘Tsunami’ samada Melayu, Cina atau India yang siap-sedia untuk digasak. Simtom ‘kemeluatan’ rakyat sudah lama berbunga dan hanya menanti masa untuk berbuah. Jadilah keadaan di mana, ‘siapa menabur angin maka akan menuai badai’. Setelah angin sudah banyak yang dikumpul, fitrah semulajadinya akan membentuk badai.

5. Janganlah kita membiarkan rakyat menjelma seperti ‘piranha yang mencium bau darah’ sehingga mengejar tanpa peduli dinding kaca mahupun batu. Kita harus belajar mengerti akan betapa bahayanya manusia-manusia lapar yang jika dibiarkan boleh mengundang gelombang kemarahan yang hanya memerlukan percikan sedikit api dari penggemar ‘palam pencucuh’. “Political reforms starts from economical reform.” Socrates pernah mengungkapkan bahawa “manusia yang berbuat curang, tetapi dinilai baik oleh masyarakat akan lebih bahagia hidupnya daripada orang yang baik yang dinilai curang oleh masyarakat”. Namun demikian, sebaik-baiknya pilihlah tidak curang dan dinilai baik oleh masyarakat agar ia lebih bermanfaat dan berkekalan. Tiberius Maharaja Rom yang kedua ada menyebut “gembala yang baik hanya menggunting bulu biri-birinya, bukan mengulitinya”, maka janganlah pula pemimpin yang sepatutnya menjadi benteng melindungi rakyat berubah menjadi ‘Haruan Makan Anak’.

Wallahualam

~: hnbk :~

haruan_mkn_anak