Tongkat sakti makan tuan

Salam

Telinga ini sering dicanang dan disumbat dengan ungkapan ‘Hak Istimewa Orang Melayu’ tanpa mengira tempat, masa dan ketikanya. Itu sajalah modal orang Melayu yang kononnya pejuang dan pembela bangsa. Namun demikian, apakah ianya benar-benar mengistimewakan orang Melayu dan menjadikan bangsa kita itu ‘Istimewa’. Istimewakah kita jika masih mengharapkan subsidi dan bantuan seerta ‘tongkat sakti’. Manusia istimewa adalah manusia yang mampu berdikari, manusia yang mampu membantu orang lain, mampu membantu bangsa dan tanahair. Apa guna jika kita istimewa tapi orang lain yang mendapat keistimewaan sedangkan yang bergelar istimewa hidup bagaikan melukut di tepi gantang? Istimewakah anak-anak istimewa jika ianya hanya pemanis bibir dan berkemundang di mulut dan majlis-majlis mencari nama namun jauh di sudut hati, mereka adalah anak-anak yang cacat tanpa pembelaan dalam ertikata yang sebenar.

2. Apa guna ketuanan Melayu jika kita menjadi hamba sedangkan yang bergelar hamba memandu kereta mewah dan hidup dalam keadaan serba mewah di dalam mahligai impian umpama raja. Tuan itu tidak penting jika hidup bagaikan pengemis dan istimewa tidak penting jika kita dilayan seperti ‘pariah’. Bukan Melayu yang tidak mendapat hak keistimewaan lebih bertahta dan Melayu melutut dipinggir mahligai tidak kurang persamaannya dengan ‘tukang kebun’ istana. Keistimewaan hakiki adalah keistimewaan yang dapat dinikmati bukan dengan kata-kata dan lolongan yang hanya menyakitkan hati nurani serta membingitkan telinga, ia harus menjadikan kita benar-benar mendapat segala ciri-ciri keistimewaan selayaknya.

3. Setiap rakyat di Tanah Melayu mempunyai hak-hak dan kewajipan yang sama, namun, rakyat yang berketurunan Melayu mempunyai hak yang istimewa berbanding bangsa lain di Tanah Melayu. Hak-hak istimewa orang Melayu ini bukan merupakan peraturan baru, malahan hak-hak ini telah tercatat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan perjanjian-perjanjian ini telah pun diamalkan di negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu sebelum perang lagi. Namun sehingga kini, setelah puluhan tahun merdeka dan digelangi tongkat sakti ini, apakah kita masih belum mapu menjadi manusia istimewa? Manusia tidak akan menjadi istimewa hanya dengan gelaran dan buaian ayat-ayat besar sedangkan tangan masih memegang tempurung dengan mengemis ihsan dan bantuan orang lain. Manusia istimewa tidak akan bimbang dan takut tidak mendapat dokongan dan perlindungan bahkan beliaulah yang melakukan tugas mendokong dan melindungi orang lain. Jika istimewa dalam istilah begitu bermaksud ‘anak manja’ yang akan kebulur jika tidak didokong, disuap dan dilindungi.

4. Bangsa Melayu yang ada sekarang dengan gelaran Hak Istimewa Melayu kini tidak ubah seperti memiliki tongkat sakti namun kesaktian itu hanya mengenyangkan orang lain dan menjadikan orang lain hebat sedangkan mereka saling tak tumpah seperti bomoh nombor ekor yang mengayakan orang lain sedangkan beliau sendiri hidup dalam kedhaifan yang amat sangat. Tidak guna memiliki lesen kontraktor kelas A hinga lah F jika projek-projek diboloti oleh mereka yang tidak berlesen dan kaya raya sedangkan pemilik lesen berpakaian compang camping dan mengutip makanan dari tong sampah dan saki baki makan dari pinggan makanan mereka yang tidak sekepingpun lesen yang ada. Itulah nasib pemilik tongkat sakti yang makan tuan.

Wallahualam.

Sempadan fizikal, spritual dan mental Melayu Malaysia dan Melayu Thai

Salam

1. Malam ini sempat makan di sebuah restoran masakan Thai Muslim di Kepala Batas, Alor Star berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim. Setiap kali timbul idea untuk makan masakan Thai, 2 buah kedai yang sering menguasai fikiran saya adalah CT Tomyam di Tunjang dan kedai ini. Kedua-duanya memiliki kualiti dan kemampuan yang sama dalam memikat hati pelanggan. Dari perkhidmatannya sehinggalah rasa masakan yang berjurai air liur yang memakannya. Harga makanan tadi RM50.40 dibayar RM50 dan tambahan segelas Teh ‘O’ Ais juga dianggap ‘sedekah’ saja. Jika warga tempatan, 10 sen pun jangan harap nak dikurangkan hingga terkoyak seluar kita diminta mencari syiling. Ini bukan kempen jalan-jalan cari makan tetapi hasil pemerhatian dan pengamatan saya selama tempoh lebih 2 tahun.

2. Selepas makan saya memandu kereta ke Langgar, berhampiran Makam Di Raja dan sepanjang jalan dari Kepala Batas, seringkali kejutan yang mengimbas kembali kemalangan kenderaan saya pandu dengan lori dan kenderaan pacuan 4 roda dari KL ke LCCT bulan lepas.. Namun trauma ini berpunca dari motosikal-motosikal yang ditunggang oleh warga tempatan yang tidak bertopi keledar di tambah dengan lampu motosikal yang tidak dipasang. rata-rata seperti tidak ada apa yang salah dilakukan mereka sedang kita beberapa kali menyirap darah naik ke kepala bimbang berlaku kemalangan. Sekali fikir mcm menempah maut pulak golongan ini dan umpama ‘confirm’ tak ada apa-apa jika dilanggar sekalipun.

3. Inilah sebenarnya perbezaan yang dihimpit kesusahan hidup dengan yang sengaja menghimpit maut dan mencari pasal. Dan orang tempatan kita jugalah yang sering bising dan memaki hamun kononnya Thai Muslim yang datang ke sini merampas rezeki penduduk tempatan sedangkan hakikat sebenar, diri sendiri yang gagal memanfaatkan peluang dan rezeki yang dikurniakan Allah swt. Kebolehan semulajadi orang kita adalah menciplak dan menciplak.. Seorang jual ayam golek dipanggang tepi jalan, maka semua akan turut menjual hingga dengan tuan-tuannya tergolek terus gulung tikar. Seorang jual air asam boi, maka yang lain turut mengasam boi sepanjang jalan tersebut hinggalah menemui nasib yang sama dengan penjual ayam golek. Inilah kehebatan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak dari luar dengan warga tempatan.

4. Arked niaga Padang Besar dan Wang Klian juga menghadapi masalah yang sama akibat dari kemalasan dan kelemahan warga tempatan dan akhirnya jari yang sering mengorek ‘tahi hidung’ diguna untuk menuding semua pihak kecuali diri sendiri. Tahniah atas kehebatan menjadi penuding jari Johan seumur hidup wahai bangsaku…

Salam

HNBK

Usia bukan definisi kematangan

1. Usia sebenarnya bukanlah ukuran seseorang ataupun institusi mengukur kematangan dan kehebatan mereka. Jika lebih dari 2 abad pun usia tidak mungkin mampu mencerminkan kematangan dan kehebatan jika kesilapan dan kelemahan yang sama menjadi pilihan untuk diulang-ulang. Seorang manusia berumur 100 tahun namun menjalani kehidupan dan berada dalam persekitaran yang sama dengan pengulangan kerja dan amalan yang serupa maka hasil 100 tahun itu hanya satu. Manakala seorang yang lain berumur 20 tahun namun didepani pelbagai jenis pekerjaan dan cabaran serta dirempuh kesukaran hidup dan melakukan perkara-perkara yang berbeza dari bawah hinggalah ke atas pastinya lebih matang dan lebih menyerlah kehebatannya.

2. Terkadang, keberadaan seseorang di dalam institusi ataupun organisasi dalam tempoh yang lama hanyalah sebuah takdir dan keterlibatan seorang manusia malang yang menjadi penumpang, parasit dan pengkhianat tidak membawa sebarang manfaat malah merupakan malapetaka kepada institusi, organisasi dan individu lain.

3. Apa yang lebih utama adalah kematangan dalaman dan kekukuhan teras yang menunjang dalam diri dan isi institusi.. Umpama sebatang pokok tidak akan menjadi hebat hanya dengan kematangan dan kehebatan kulitnya jika teras dan isinya rapuh dan lemah… Keaslian kehebatan dan kematangan datangnya dari dalam diri dan institusi mahupun manusia itu sendiri. Sepohon pok yang besar tidak mampu bertahan hanya dengan kulitnya yang kuat jika isi, teras dan kandungan batang pokoknya mereput dan lompong. Akarnya lemah maka tercabutlah pohon besar tersebut tidak kerna angin yang kuat namun hanya kerna keberatan pohon itu sendiri yang tak mampu ditanggung.

4. Bukan soal kekananan ataupun senioriti, tempoh dan usia dipandang remeh namun kekuatan dan kehebatan hakikilah yang menjadi keutamaan demi kelangsungan bangsa, agama dan tanahair.. Lebih baik mati berdiri dari hidup melutut kata Che Guevara. Bangsa dan tanahair yang kuat tidak datang dari keceluparan dan kuatnya bunyi dentuman omongan tapi dari usaha dan tindakan oleh bangsa dan rakyat itu sendiri. Action speaks louder than word.

Salam

Antara jarak dan kelajuan

Salam

1. Semakin hari semakin galak dan miang tidak kira samada yang secara langsung terlibat dengan politik ataupun sebaliknya memperkatakan tentang pilihanraya. Giannya bukan kepalang lagi. Yang yakin, separuh yakin atau hampir-hampir tidak yakin juga turut memperkatakan isu yang sama. Kalimah paling popular adalah pilihanraya semakin hampir. Semakin hampir bermaksud jaraknya kian hampir. Bila jaraknya semakin hampir ada yang mempercepatkan kelajuan dan ada sebahagiannya memperlahankan kelajuannya. Ianya bergantung sebanyak mana usaha yang telah dilakukan. Jika belum mencukupi, maka seharusnya dipercepatkan kelajuan usaha ke arah menghadapi pilihanraya tersebut dan jika sudah yakinpun, masih banyak yang perlu dilakukan demi menentukan kemenangan pasti menjadi milik kita.

2. Jika diperhatikan kepada senario semasa, nampaknya jarak dan kelajuan tidak seimbang. Apa saja hujahnya, kelajuan harus dipercepatkan dan usaha harus digandakan berganda-ganda akibat pendekatan ‘bersenang-senang dahulu dan bersusah-susah kemudian’. Jika dahulu bersenang-senang maksudnya sekarang tiada lagi dalam kamus pemimpin dan ahli serta penyokong yang boleh berdiam diri, memeluk tubuh, memeluk bantal siang malam, masih merenung bulan dan bintang bertemankan syair dan sajak menantikan kejayaan datang bergolek dan yang pipih tu melayang-layang. Jika itulah sikapnya yang diamalkan ketika ini, memang melayang-layang dan bergolek-golek lah kejayaan yag diimpikan itu jauh meinggalkan parti dan pemimpinnya…

3. Tiada ungkapan lain yang mampu dilontarkan untuk membantu orang politik dan pemimpin-pemimpinnya selain usaha gigih membantu diri sendiri dan parti masing-masing demi bangsa, agama dan negara..

Salam