Jika kawasan konflik jadi puncanya (MH17)

As-Salam,

1. Nampaknya malang bertali arus menimpa dan menginjak-injak syarikat penerbangan negara (MAS) yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Selepas insiden kehilangan MH370 tempohari, kini giliran MH17 dengan 295 penumpang ditembak jatuh di sempadan Russia / Ukraine dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang dijangka tiba jam 6.10 pagi ini. Itu tidaklah membawa maksud bahawa sekarang kasih sayang dan cintanya kita kepada MAS hilang dan merudum sehingga tidak berbekas. Kerana kasih dan cinta kepada MAS lah kita terus mengambil perhatian apa yang berlaku ke atasnya. Mudah-mudahan segala ujian yang datang akan membawa rahmat untuk mengembalikan zaman kegemilangannya dan mengembalikan keyakinan rakyat negara ini dan seluruh dunia untuk menggunakan perkhidmatannya.

2. Insiden MH17 yang ditembak jatuh ini memperlihatkan pihak Russia, Ukraine dan pemisah Pro-Russia saling menuding jari walaupun ada juga berita yang mendakwa pemisah Pro-Russia itu mengaku bertanggungjawab. Media Ukraine melaporkan peralatan Russia yang menembak jatuh MH17. Apa juga alasan dan siapa yang menembak jatuh pesawat itu perlu dijadikan asas untuk mengkaji semula laluan penerbangan pesawat bukan saja MAS, malah semua penerbangan seluruh dunia untuk mengelakkan perkara sama berulang. Ini kerana ianya didakwa berpunca daripada laluan yang digunakan MAS itu adalah ‘KAWASAN KONFLIK’. Sudah banyak syarikat penerbangan yang mengelak dari menggunakan kawasan-kawan bertelagah atau dipanggil ‘kawasan konflik’ dari digunakan. Namun, kenapa MAS masih meneruskan menggunakan laluan tersebut hanya mereka yang lebih mengetahui berbanding pihak lain kerana pastinya mereka ada diberikan pelbagai maklumat berhubung tahap keselamatan yang dilalui. Menentukan keselamatan penumpang pada tahap terbaik adalah keutamaan pesawat dan kenderaan tidak kira udara, laut dan darat. Oleh itu, suka atau tidak, nyawa dan keselamatan kita kalaupun tidak secara total adalah di bawah milik mereka setiap kali kita menggunakan perkhidmatan mereka (Total di atas kehendak Allah swt).

3, Sesungguhnya, dunia tidak pernah reda dari konflik dan ia akan hanya dinoktahkan setelah bumi dilipat dan dikafankan setelah kiamat. Segenap penjuru dunia melibatkan pelbagai konflik termasuk yang terkini antara Israel dan Palestin yang meragut ratusan nyawa dalam konflik terbaharu dan ia sentiasa berulang-ulang selagi ‘root cause’ tidak diselesaikan. Oleh itu, jika pesawat udara melalui ruang udara kawasan terbabit, apakah tidak ada kemungkinan terkena bedilan peluru berpandu samada dari pihak pejuang Hamas, Fatah ataupun Penjenayah Yahudi Israel?

4. Banyak lagi kawasan-kawasan sensitif dan tergolong dalam kategori ‘kawasan konflik’. Antaranya adalah Mali di mana pejuang Islam yang didakwa telah berjaya merebut kekuasaan pada tahun 2012 dengan sejumlah wilayah di bahagian utara negeri telah berhasil direbut. Akibatnya, Perancis turut melibatkan diri membantu pemerintah Mali dengan pasukan tentera dan persenjataan serta serangan darat dan udara untuk menundukkan pejuang Islam itu. Namun demikian, keamanan masih jauh dari dicapai.

5. Republik Demokratik Kongo juga pergolakan menjadi duri dalam daging. Di Kivu sepanjang tahun 2013, pihak tentera berterusan berhadapan dengan kelompok pemberontak M23. Setelah rundingan damai dengan pemerintah, para pejuang kelompok itu terpecah menjadi kelompok-kelompok berbeza. Akhir tahun 2013 pemerintah Republik Demokratik Kongo mengumumkan kekalahan pemberontak. M23 yang telah menyatakan siap berjuang melalui saluran politik. Namun, apa jaminannya?

6. Sudan Selatan pula walaupun telah lebih tiga tahun merdeka, tetap menjadi negara yang didominasi konflik dan medan dua pertempuran. Pejuang yang setia kepada wakil presiden bertempur melawan pasukan presiden. Pihak tentera juga menghadapi pertempuran lain. Di negara jirannya, Sudan dan pasukan Sudan Selatan yang menyokong otonomi dari dua wilayah yang kaya dengan minyak terus bertempur.

7. Somalia yang terkenal dengan kisah Jeneral Farah Idid tidak sunyi dari konflik. Konflik antara pejuang al-Shabab dan militan Somalia telah berlangsung selama 8 tahun. Dengan bantuan pasukan PBB dan Uni-Afrika, pemerintah Somalia berjaya mengatasi gempuran pejuang Islam. Meskipun begitu, pejuang al-Shabab tetap mengawal wilayah selatan negera itu. al-Shabab bertanggung jawab atas sejumlah serangan bom di ibukota Mogadishu pada tahun 2013.

8. Sementara Sudan yang selama 10 tahun lebih beragam kelompok etniknya menunjukkan Afrika bertempur di wilayah Darfur, Sudan, melawan pasukan pemerintah dan sekutunya. Dalam konflik, bekalan air dan tanah yang subur menjadi taruhan. Ratusan ribu rakyat Negara itu terkorban akibat pertempuran dan jutaan lainnya terpaksa meninggalkan rumah mereka.

9. Di Nigeria pula, kelompok Islam Boko Haram yang berhasrat menegakkan hukum Syariah di Nigeria menjadi ancaman keselamatan. Untuk mencapai matlamat ini, kelompok tersebut terus menyerang penduduk kristian dan Muslim moderate. Di Mexico pula, masalah dadah, perdagangan manusia, pemerasan dan penyeludupan adalah punca konflik. Melalui kaedah inilah kartel-kartel dadah dan pelacuran mendapatkan dana Untuk melindungi aliran dana, konflik antara kartel dengan kerajaan, sering berlaku pertempuran kecil di banyak kawasan. Akibatnya ratusan kelompok awam terbentuk di berbagai penjuru negeri. Tahun 2013 sahaja , jumlah korban akibat konflik kartel mencecah 17.000 orang.

10. Filipina Negara paling hampir dengan Malaysia dan kini di bahagian Selatannya yang sering menghantui wilayah dan perairan Sabah begitu membimbangkan kita. Selama 40 tahun lebih Barisan Pembebasan Islam Moro di Filipina yang memperjuangkan pembebasan wilayah di selatan itu. Gabungan pengganas Kumpulan Abu Sayaf (KAS) meningkatkan lagi ancaman terhadap asset dan kedaulatan Malaysia. Sebaik konflik hampir reda pada tahun 2013 saat MNLF mengumumkan kemerdekaan kepulauan di bagian Selatan Filipina. Pemberontak yang berusaha mengambil alih Kota Zamboanga diserang oleh pihak tentera Filipina dan memaksa penduduk di Selatan Filipina berjumlah lebih dari 120.000 orang terpaksa menyelamatkan diri,.

11. Afghanistan semestinya tidak dapat dipisahkan dengan konflik dan dianggap kawasan paling dekat dengan ancaman serangan puak bertelagah samada Taliban, pejuang pro-kerajaan dan pelbagai kabilah lagi. Pertempuran berlanjutan di Afghanistan setelah NATO menyerahkan kawalan dan keamanan kepada tentera Afhganistan. Puak Taliban dan kelompok militan Islam lainnya terus melancarkan perang terhadap pemerintah menggunakan serangan bom berani mati dan jerangkap samar. Wilayah di sempadan menjadi daerah yang paling kerap berlaku keganasan. Menurut PBB, lebih dari 2,500 penduduk awam terbunuh di Afghanistan pada tahun 2013.

12. Syria pula seakan-akan menjadi medan menghukum rakyat Syria. Pejuang-pejuang Islam dan kelompok militan yang berusaha menumbangkan Presiden Bashar al-Assad bertempur antara satu sama lain dan yang menjadi mangsa adalah penduduk awam. Pelbagai senjata digunakan kedua-dua pihak dan kekejaman menjadi ramuan dan perencah membunuh warga awam. Sudah lebih empat tahun perang saudara di Syria dan ia terus bermaharajalela. Dari maklumat yang diperolehi, negara ini terpecah antara pasukan pemerintah di bawah Presiden Bashar al-Assad, kelompok penentang, kelompok Islam moderate, kelompok awam dan kumpulan penjenayah. Yang lebih jelas adalah kelompok syiah dan sunnah. Lebih dari 100.000 orang terkorban dan akibat konflik, 9 juta warga terpaksa menyelamatkan diri. Konflik ini berpotensi merebak ke negara-negara jiran.

13. Banyak rantau yang jangkiti konflik yang tidak berkesudahan selain yang disebut di atas. Sudah sampai masanya kajian secara holistik dibuat oleh kerajaan dan syarikat penerbangan tidak kira MAS, Air Asia atau Firefly. Hari ini mungkin nasib MAS, esok dan lusa mungkin yang lain pula. Samada Standard Operating Procedure (SOP) dan laluan penerbangan yang diyakini lebih selamat harus digariskan sebagai panduan kepada syarikat penerbangan negara kita. Masalah didepani MAS bukan masalah syarikat sahaja, tetapi melibatkan maruah negara. Majlis Keselamatan Negara (MKN) wajar menjadi pencetus kepada wujudnya gabungan pemikir untuk mewujudkan pasukan yang benar-benar berwibawa untuk menggariskan langkah-langkah terbaik untuk dilaksanakan oleh semua syarikat penerbangan negara demi mengelakkan musibah sama berulang. Jika semua langkah telah dibuat dan ia tetap berlaku maka itu adalah ketentuan Ilahi yang tidak ada mana-mana pihak pun mampu hindari. Sekali itu musibah dan silap, namun kedua dan seterusnya masih berlaku bukanlah musibah tetapi bedebah, bukan silap tetapi bengap. Defensif, ‘denial syndrome’ dan tuding menuding bukan penyelesaian tetapi perkakas golongan lemah dan gagal. Yang lebih penting sekarang adalah bersekutu menangani masalah secara ‘buta warna’ tanpa mengenal warna ideologi, bangsa, agama dan kelompok politik.

Wallahualam

~: Sani :~

mh17

Kenyataan Lepas Tangan atau Alihan Isu

1. Terlebih dahulu saya amat berterima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia yang mencetuskan gelombang atau momentum membanteras aktiviti penyeludupan bahanapi hingga membongkar penglibatan pihak berkuasa dlm membantu sindiket dan penyeludup. Semoga ianya menjadi tindakan berterusan sehingga akhirnya kegiatan ini dapat dibanteras sepenuhnya. Rakyat yakin dengan kesungguhan dan keikhlasan SPRM bertegas dalam isu ini akan dapat ditangani dengan lebih pantas dan berkesan.

2. Malam ini dalam buletin utama TV3, Ketua Pengarah SPRM tampil meminta penguasa lebih berani untuk menangkap pemberi rasuah yang membeli harga diri mereka. Saya menyokong saranan beliau tetapi ragu-ragu samada cukup keberanian di kalangan penguatkuasa yang sudah menjadi open secret sudah terbeli jika dilihat dari kenyataan-kenyataan dan alasan kenapa sukar menangani penyeludupan bahanapi.

3. Yang paling menyedihkan adalah apabila KP SPRM meminta kerajaan menkaji semula kaedah pemberian subsidi. Ianya seakan membenarkan telahan ramai pihak bahawa usaha membongkar kegiatan ini lebih kepada usaha menjustifikasikan tindakan kerajaan menarik balik atau mengurangkan subsidi. Rakyat yang sudah tersepit pastinya terbelit. Apakah alasan ini seperti membenarkan juga analogi bahawa jika jika kerajaan memberi bantuan kepada golongan miskin tetapi diselewengkan oleh mana-mana pihak maka siapa yang harus dihukum? Penyeleweng atau rakyat dengan mengurangkan atau menarik subsidi?

4. Sudah banyak kali berlaku setiap kali subsidi dikurangkan maka impak berganda kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan. Kenyataan para menteri ianya tidak membebankan rakyat sukar dipercayai kerana mungkin mereka tidak tergolong dalam kelompok rakyat kerana sudah diangkat menjadi dewa atau dewata. “Kejayaan adalah tangga yang tidak dapat anda panjat dengan tangan di dalam poket”. Alasan tidak akan membuahkan kejayaan. Ikhlas dan bersungguhlah dalam usaha membantu rakyat. Tidak ada rakyat maka tidak ada kerajaan. Kata-kata Theodore Roosevelt wajar direnung untuk kita sama-sama merenung kembali apa yang sedang berlaku, “A man who has never gone to school may steal a freight car, but if he has a university education, he may steal the whole railroad.” ―

Wallahualam

~ sani ~

einstein

Normal dan Wajar Dari Kacamata Siapa?

1. Kita sering saja diperdengarkan dengan kata-kata “ala normal la tu”, ataupun “memang wajar pun”. Hakikat sebenar adalah kedua-dua perkataan ‘normal’ dan wajar’ terlalu subjektif hingga boleh mengelirukan banyak pihak jika tidak melihat kepada siapa yang mengucapkan ‘normal’ dan ‘wajar’ itu. Jika kita menyebut ‘normal’, bukankah kita semuanya ‘tidak normal’ bagi sahabat-sahabat kita yang ditempatkan di rumah sakit jiwa seperti kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya Oples. Tambahnya lagi, “Bukankah perbuatan mencuri itu normal bagi para pencuri? Dan kalau ada yang mengatakan wajar, bukankah tidak wajar bagi seorang manipulator ketika pada suatu hari ia tidak memanipulasikan sesuatu yang biasanya ia manipulasikan?

2. Sesungguhnya banyak perkara yang tidak normal dan tidak wajar berlaku dalam segenap penjuru kehidupan kita sehari-hari. Yang sepatutnya memberi salam menuju pintu keluar masih lagi terguling-guling sambil menjerit-jerit ingin terus kekal kononnya untuk membela rakyat dan bangsa. Sementara yang patut dikekalkan pula diheret dan dicampak keluar daripada lingkaran kuasa dan disekat peluang untuk berbakti kepada rakyat dan negara. Yang memunggah dan menggelapkan khazanah negara dijulang-julang umpama pahlawan sedangkan yang berusaha membanteras kebathilan itu pula dilabel pengkhianat dan menerima segala jenis hukuman demi mematahkan semangatnya. Dunia sememangnya penuh dengan kekeliruan dan kebejatan yang ditimpakan ke atas rakyat yang dianggap membebankan penguasa. Demi menambahkan lagi kekeliruan sediada, setiap ucapan pemimpin yang hinggap di telinga atau melekap di mata adalah ungkitan pembangunan yang telah dilakukan oleh mereka ataupun janji akan melaksanakannya. Betapa tidak ‘normal’ dan tidak ‘wajar’ ucapan itu datangnya dari pemimpin yang diangkat rakyat dengan pelbagai keistimewaan, upah dan habuan untuk mereka menunaikan amanah tersebut sebaliknya diungkit dan dijanjikan ‘lip service’ yang entah ke mana. Yang wajar dan normal adalah setiap pemimpin dan pihak yang dipilih menjadi kerajaan adalah bertanggungjawab membawa pembangunan dan menentukan pembangunan itu dilaksanakan bersesuaian dengan keperluan rakyat dan negara.

3. Mungkin akibat terlalu taksub dengan slogan ‘sekali melangkah pantang undur’ yang dibisik dan dimomokkan ke telinga pemimpin-pemimpin ini sejak kecil sehingga sekali dipilih untuk berada pada kedudukan itu maka tidak lagi mengenal erti undur? Atau pun manusia semakin hilang harga diri? Mereka bahkan bukan sekadar tidak berharga di hadapan orang lain malah turut tidak lagi berharga di hadapan diri mereka sendiri. Kata pujangga, “Kalau kita tidak pernah berhasil membuktikan bahawa kita sanggup mendaki gunung sampai ke puncaknya, jangan disuruh anak-anak kita percaya bahawa mendaki gunung itu bukan mustahil”.

4. Ketidakwajaran dan ketidaknormalan kehidupan ketika ini sudah melewati kemuncak kegilaan. Masalah tidak diselesaikan mengikut kaedah penyelesaian masalah tetapi dirumitkan lagi sehingga kusut. Seperti kata Sitok Srengenge dalam buku ‘Cinta Di Negeri Seribu Satu Tiran Kecil’ bahawa ia “Ibarat menghadapi orang yang sedang sakit kepala di mana mereka tidak berusaha menyembuhkan penyakitnya, melainkan memenggal kepalanya”. Jika negara sedang sakit, ubatilah ia jangan sampai negara juga terpenggal dan terbelah-belah tidak dikenal hujung pangkalnya. Jika ekonomi negara sedang lelah tersembam, pimpin dan papah agar ia segera bangun meneruskan nafas segar demi rakyat yang impikan sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera untuk didiami tanpa mengira ras, etnik, agama dan apa saja. Jangan pula dilaga-lagakan rakyat yang sudah plural etnik dan agamanya. Raikan perbezaan sediada dan anggap ia sebagai rahmat daripada Allah swt. Rakyat lebih memerlukan sesuap makanan daripada sejuta slogan yang tidak memberi manfaat kepada mereka. Hidup perlu diteruskan dan samada rakyat akan terus menikmati kehidupan yang diharapkan mereka kesemuanya terletak bagaimana negara diuruskan dengan penuh kewajaran dan normal dari perspektif manusia yang juga wajar dan normal. Bukan wajar dan normal dari mata, telinga dan mulut pencuri, pesakit mental ataupun manipulator.

Wallahualam.

~: sani :~
Totohalal

Suara Dari Celahan Dinding

As-Salam,

1. Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan pertuduhan terhadap Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi polis notis 10 hari ketika menganjurkan Himpunan Blackout di Stadium Kelana Jaya pada Mei tahun lepas. Asas keputusan ini dibuat oleh mahkamah dengan pendapat apa yang asasnya sah tidak boleh dijadikan asas tindakan jenayah. Hakim Mahkamah Rayuan berkata jika sesuatu perhimpunan itu sah, tidak boleh pada masa yang sama ia diisytiharkan haram.

2. Nampaknya Akta Perhimpunan Aman 2012 (APP) gagal membahagiakan rakyat umum sepenuhnya sepertimana Akta Polis yang sebelum ini digunakan dalam semua perhimpunan anjuran parti-parti politik samada ceramah-ceramah politik atau apa juga perhimpunan yang melibatkan parti-parti politik ataupun NGO. Bukan saja Akta Polis, akta-akta yang baru diperkenalkan selepas Perdana Menteri mengumumkan transformasi politik seakan-akan banyak yang memakan diri dan parti pimpinannya. Undang-undang pencegahan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan juga banyak memberi impak yang dilihat tidak memihak kepada parti pemerintah. Setelah ISA dimansuhkan, semua akta yang mempunyai roh dan sifat sama seperti ISA turut terkorban seperti Ordinan Darurat, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan sebagainya sehingga terpaksa menggubal undang-undang baru yang kononnya lebih hebat bagi membendung masalah keselamatan di negara ini. Ini termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang dikuatkuasakan atas justifikasi bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan dengan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan. Akta ini digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan telah telah diluluskan di Parlimen pada 17 April 2012, diberikan Perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012. Sehingga detik ini, apakah SOSMA mampu mendepani masalah keselamatan yang diperhatikan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sepertimana ISA? Keberkesanan bukan dilihat daripada jumlah angka yang ditahan, tetapi dari sudut hukuman. Berapa ramai yang sudah didakwa dan menerima hukuman di bawah undang-undang ini? Apa jadi dengan insiden Lahad Datu? Apakah mereka yang didakwa sebagai pesalah yang didakwa di bawah SOSMA atau sebaliknya di bawah undang-undang lain? Jika SOSMA begitu hebat dan efektif, kenapa ia tidak mampu melakukan sepertimana ISA yang sudah terbukti mampu mengekang kegiatan ekstremis termasuk komunis walaupun diakui banyak lompong yang boleh dibaiki.

3. Tindakan terburu-buru umpama hajat membina rumah baru yang belum sempat dibina tetapi rumah lama sudahpun diruntuhkan bukanlah pilihan terbaik walaupun dianggap sesetengah pihak sebagai ‘baik’. Akhirnya jadilah ibarat pengemis bergelandangan ke sana sini menumpang teduh hatta di bawah jambatan akibat rumah lama sudah tidak ada dan rumah baru belum siap. Untuk siapkan rumah baru dengan tergesa-gesa, maka pelbagai usaha dibuat walaupun berbumbungkan plastik bocor. Inilah akibatnya jika populariti yang dikejar dan teguran walaupun ikhlas dianggap sebagai penghalang. Jika terdapat pemimpin, tokoh-tokoh cendiakawan, orang-orang perseorangan samada profesional mahupun tidak, maka mereka akan dipersendakan, diperlekehkan, dihina dan dilabel manusia tidak mengenang budi yang mendapat nikmat hasil usaha kerajaan tapi membalasnya dengan kritikan. Apakah kritikan dan teguran itu menjahanamkan berbanding pujian yang ternyata sudah seringkali menjerumuskan kerajaan ke lembah penghinaan? Mereka sebenarnya mengkritik untuk memperbaiki dan ingin melihat negara menjadi lebih baik. Mengkritik tidak bermakna mereka anti-kerajaan. Tahap pemahaman harus betul agar tidak dikelirukan antara menentang parti politik, berbeza ideologi politik ataupun menentang kerajaan. Butir-butir kritikan harus difahami agar tidak menjadi bahan propaganda murahan ataupun alat bantuan kecemasan bagi mereka yang sedang lemas. Manusia yang kelemasan bukan sahaja pelampung, malah ‘straw’ sekalipun akan dijadikan perkakas untuk menyelematkan diri dari lemas.

4. Situasi sekarang memperlihatkan bagaimana mereka yang terpanggil untuk menegur dan menasihatkan kerajaan tanpa ihsan dan bayaran dilabel sebagai penentang kerajaan ataupun pengkhianat. Apa dasar kerajaan yang ditentang mereka? Jika tindakan kerajaan yang dilakukan oleh pemegang jawatan dari parti-parti tertentu itu salah, adalah menjadi tanggungjawab bukan saja wakil rakyat ataupun penguatkuasa, malah ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk membetul dan mengheretnya kembali ke landasan yang betul. Justifikasinya adalah kerana sekiranya musibah menimpa negara akibat daripada kecuaian, salahlaku, penyelewengan, menyalahgunakan kedudukan untuk diri sendiri dan keluarga, malah apa juga musibah akan ditanggung oleh semua rakyat di negara ini. Kesempatan memang tidak selalu datang untuk kali kedua. Oleh itu, selagi ada kesempatan untuk bersuara, tidak menjadi kesalahan untuk mereka yang ikhlas untuk menegur. Dr. Djohan Effendi dalam bukunya ‘Menemukan Makna Hidup’ mengungkapkan bahawa, “Penduduknya tidak lagi bersyukur atas anugerah Tuhan berupa karunia alam yang melimpah ruah, melainkan ingin kaya dengan cara mudah; berpesta dengan korupsi yang gila-gilaan. Maka jangan kaget bila Allah menenggelamkan negeri kaya ini ke lautan kesengsaraan dan penderitaan tiada akhir.”

5. Mungkin ramai yang berfikir dengan menongkah arus akan menyebabkan hidup berteman kegelapan. Percayalah rezeki itu di tangan Tuhan hatta yang kononnya memberi habuan itu sendiri rezekinya datang dari Tuhan. Ikan hidup menongkah arus dan hanya ikan mati yang mengikut arus. Tidak perlu bagi kita terlalu ghairah mengejar duniawi sehingga meletakkan dunia orang lain di luar dunia. Keuntungan material, betapapun banyaknya, tidak akan pernah mampu membahagiakan seseorang. Bung Karno pernah meminta rakyatnya, “Bila perlu makan batu asalkan tidak menjadi bangsa peminta-minta”. Untuk kita yang rasional, tidaklah hingga memakan batu kerana syukur negara kita masih belum sampai ke tahap tersebut. Namun demikian, seperti apa yang dipetik oleh Khalid Salleh dalam bukunya Pandirnya Si Pandir, katanya Mohamad Iqbal pernah menyebut dalam satu puisinya, “Untuk hidup manusia hanya memerlukan dua keping roti (capati), ertinya lebih dari itu nafsu di samping nak membesarkan tembolok”.

5. Ramai yang bercita-cita menjadi pahlawan, namun, bak kata Dr. Anis Matta, “Harta bukanlah tujuan kepahlawanan,..Harta tidak dengan sendirinya menjadikan mereka pahlawan”. Untuk menjadi pahlwan di mata rakyat, kita harus dekat dengan rakyat. Kita harus menyelami masalah mereka dan mempertahankan mereka dari kebejatan dan kesengsaraan. Rakyat sekarang sedang berperang untuk hidup bukan di medan perang bersimpang siur peluru dan bom. Tetapi rakyat sedang berperang untuk hidup dari petualang inflasi, penindas di kalangan peniaga dan pengusaha konglomerat keparat yang mencekik rakyat hingga terjelir lidah dan perut kosong bersalut kulit. Makanya, pahlawan harus melindungi dan menghancurkan penindas dan golongan opportunis seperti ini. Jangan biarkan mereka hidup tertekan dan berselindung di sebalik dinding buluh dan bumbung atap nipah yang bocor. Jadilah pahlawan rakyat yang dijulang oleh mereka dengan wajah ceria dan rela. Pemimpin harus mampu berkomunikasi dengan rakyat dengan bahasa yang difahami oleh mereka seperti kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya ‘Demokrasi La Roiba Fih’, “…bahasanya sangat terbuka dan telanjang, tanpa rumbai atau hiasan-hiasan”. Insyallah dengan mudah rakyat berkomunikasi dengan pemimpin tanpa dinding yang menghalang, kasih sayang dan cinta mereka pada pemimpin tanpa mengira dari parti mana sekalipun kamu akan tumbuh. Kasih sayang dan cinta tidak lahir bersama wang dan harta, tetapi keikhlasan, kejujuran tegas menjunjung amanah.

6. Sama-samalah kita tidak kira dari padang politik mana sekalipun, ideologi politik mana, kaum, agama, jantina, umur dan strata sosial serta ekonomi apa pun kamu, hadirlah bersama-sama mempertahankan kebenaran dan menentang kebatilan demi rakyat, agama dan bangsa kita. Kata Emha Ainun Nadjib dalam buku ‘Negeri Yang Malang’ yang dipetik oleh Agus Ahmad Safei, “Manusia disebut manusia karena kehormatannya”.

Wallahualam

~: Sani :~

daulah rakyat

Bercanda Biar Berpada, Berseloka Bukan Jenaka

As-Salam,

1. Pencarian pesawat MH370 sudah melewati 3 minggu sejak kehilangannya dikesan. Pelbagai teori, spekulasi dan andaian yang rencam diadun sehingga ada yang lucu, menaikkan kemarahan, membosankan, membimbangkan dan tidak ketinggalan merugikan negara. Jumlah kos pencarian yang meningkat dari hari ke sehari amat membimbangkan kita. Jika kos untuk mencari kotak hitam pesawat penerbangan 447 Air France yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik dalam perjalanan ke Paris dari Rio de Janeiro pada tahun 2009 mencecah lebih 40 juta dolar (RM131.6 juta), kos pencarian pesawat MH370 pula dijangka lebih 10 kali ganda daripada itu. Ia dinyatakan oleh seorang pakar oseanografi, Zhao Chaofang dari Universiti Ocean China di Qingdao menerusi South China Morning Post. Semuanya akan dipikul oleh setiap rakyat negara ini yang berpunca daripada sesuatu yang jika disebut akan mengakibatkan ramai pembela (pembelot) berdiri bulu roma setiap dari mereka. Mereka yang memberi komen tidak seperti yang diharapkan oleh kelompok ini akan dilabel tidak cintakan negara. Fahaman cetek yang tidak dapat membezakan antara entiti negara dan kerajaan adalah amat menyedihkan. Kekeliruan yang didibolot secara sukarela ini akan menyebabkan ketegangan tanpa kewajarannya. Nak diamkan memang pedih tetapi jika disanggah akan mengakibatkan para pengamal fahaman jahiliyah yang mengikut telunjuk dan kaedah pemimpin mereka memburu sesiapa yang tidak sehaluan dengan menyerang dan menghina tanpa segan dan silu. Maka, samada suka atau tidak, adalah lebih baik banyak diam dari bersuara. Tetapi, apakah kita berhajat mewujudkan pelapis dan barisan pemimpin yang menghidap penyakit bisu?

2. Apakah kerajaan Peranchis melakukan perkara sama sehingga tempoh yang begitu panjang dengan jumlah pesawat udara dan laut yang begitu banyak untuk mencari sesuatu yang entah di mana? Pencarian ini telah mencuit minda saya yang lama agak dingin untuk mengingati kisah lucu yang berlaku pada masa dan tempat yang sudah separuh lupa dan separuh ingat. Namun, ia tetap menyengat kerana mencungkil jenaka yang berkait rapat dengan apa yang berlaku sekarang ini. Kisahnya tentang seorang lelaki yang terbongkok-bongkok di dalam gelap pada suatu malam mencari sesuatu di bawah sinar lampu dari tiang di tepi jalan. Apabila datang seorang lelaki lain yang melintas di situ, ia terus bertanya kepada lelaki yang kelihatan mencari sesuatu itu. Katanya, “encik cari apa?”. Jawab yang mencari itu, “cari cincin”. Si lelaki yg bertanya itu terus menyoal, “apakah encik yakin ia jatuh di sini?”. Jawabnya pantas, “Itu di sana di kawasan gelap kawasan semak”. Lelaki yang bertanya hairan dan bertanya lagi, “kenapa mencari di sini?”. Jawabnya, “sebab di sini terang ada lampu’.

3. Aga-agaknya begitulah kisahnya apa yang berlaku sekarang yang hanya berbeza dari sudut lokasi dan lautan yang lebih mencabar dan sukar kerana lebih mudah begitu jawapannya yang agak sukar disanggah. Sesiapa yang cuba mempersoalkan kaedah atau kenapa masih belum ditemui, jawapan ‘pasang-siap’ adalah “kalau kamu pandai cari lah sendiri”. Semakin hari semakin bersemangat kita hidup dalam keranjang yang dipenuhi keraguan, kekeliruan, serangan, percubaan memandulkan minda dan bermacam lagi. Mereka-mereka yang mempertahankan kubu pertahanan pembekal dedak atas tapak tangan mereka ini diketahui ramai mendapat habuan tertentu dalam bentuk projek, kedai makan, gelanggang futsal dan bermacam lagi. Bagi membalas budi, maka sesiapa saja yang bersuara tidak senada dan memenuhi impian pembekal dedak, maka bersiap sedialah untuk dimaki-hamun, dibelasah di dinding fb, twitter dan media sosial lain yang kebanyakannya menggunakan akaun palsu. Jika akaun tulin sekalipun memang sudah tersohor dengan pendekatan kaki maki dan mencarut. Mungkin ketakutan telah menyelubungi segenap pembuluh darah di kalangan mereka lantaran bimbang peluang menikmati apa yang dikecapi sekarang akan hilang. Seperti kata Prie GS dalam bukunya ‘Nama Tuhan di Sebuah Kuis, “Inilah bahaya rasa takut. Ketakutan memang bukan modal yang baik untuk membuat keputusan”. Kita sepatutnya meraikan perbezaan kerana seperti juga yang disebut oleh Prie GS dalam buku sama, “Perbedaan ini biarlah menjadi bukti betapa hebat masyarakat kita ini dalam berdamai dengan perbedaan”. Malangnya kita di sini, perbezaan telah dijadikan sebagai peristiharan perang dan harus dihancur-lebur sehingga lunyai.

4. Demokrasi hanya di mulut tetapi tidak di hati, tangan dan kaki. Bayang-bayang diktator sentiasa berkepit di kiri dan kanan penguasa untuk menakut-nakutkan rakyat agar terus membisu hatta tidak bersetuju. Apabila rakyat diam maka pepatah lama akan dikumandangkan bahawa, “diam tanda setuju”. Cerita Lautan Hindi telah mengambil tempat isu sebenar kehilangan pesawat MH370 dalam pelbagai versi sehingga ada yang mendakwa gambar-gambar yang dimuatnaik ke fb dan youtube itu Lautan Antartik bukan Lautan Hindi. Mungkinkah kisah Lautan Hindi akan melakukan transformasi seperti filem Hindi belum ditumbuk sudah terlentang?

5. Jangan diikut sangat racauan keluarga penumpang dari China yang semakin hari semakin melampau sehingga rakyat sendiri perlu menjadi taruhan. Kerangka pemikiran pemimpin dan rakyat yang masih trauma perlu dibuat ‘jajaran’ semula agar seimbang dengan keperluan sebenar. Jadikan iktibar bagaimana rakyat Amerika berdepan situasi pasca 911 yang tampil dengan berbagai teori konspirasi tetapi tetap berdiri teguh berbangga dengan negara mereka. Tetapi harus diingat, negara dan kerajaan adalah dua entiti berbeza. Sokong dan bangkang perlu berdasarkan isu dan tidak sekali-kali membabi-buta sokongan hingga kelihatan bebal dari Pak Kadok, Pak Pandir dan Lebai Malang. “Menang sorak, Kampung tergadai”. Adolf Hitler pernah menyebut di Mein Kampf pada tahun 1925 bahawa, “Majoriti rakyat di mana-mana juga negara lebih mudah percaya pada pembohongan besar daripada pembohongan kecil.” Namun, dalam hal ini tidaklah saya menganggap ia sebagai pembohongan besar atau kecil, segala-galanya dipulangkan kepada pembaca untuk menilai kenyataan, laporan, data-data dan analisa banyak pihak demi mencari kebenaran. Mungkin ada yang berkata kita perlu berada di tengah-tengah untuk tidak memihak. Kesulitan tetap ada kerana, bagaimana wilayah yang belum jelas batasnya itu sudah harus ditentukan titik tengahnya?.

Wallahualam

~: sani :~

misteri mh370

Kurang Bukan Sebab Lebih (Tukang Keliru)

As-Salam,

1. Setiap hari manusia sentiasa dikelirukan oleh ‘Tukang Keliru’ yang berbakat dalam mengelirukan orang ramai termasuklah dirinya sendiri. Beliau yang sudah keliru berusaha mengelirukan orang ramai untuk menunjukkan bahawa dia tidak keliru dan orang lain amat keliru. Ada saja yang nak dikelirukan sehingga ketika ini terlalu sukar mencari kambing putih, kelabu, atau warna-warna campuran kerana yang paling digemari dan membiak adalah ‘kambing hitam’. Setiap kali berlaku sesuatu, maka dituding kepada kambing hitam dan berlaku apa saja pasti telunjuk menuding kepada kambing hitam. Samada kambing hitam suka atau sebaliknya, terpaksa juga dia menerima hakikat bahawa DIA adalah mangsa yang perlu dikorbankan.

2. Kita selalu mendengar hasutan bahawa Bangsa Melayu miskin dan hidup susah kerana kaum Cina di negara ini hidup senang atas kesusahan orang Melayu. Perkara ini juga berlaku di Indonesia selepas kejatuhan Mantan Presiden Indonesia Soeharto pada tahun pada tahun 1998 setelah 32 tahun di tampuk kuasa. Bangsa Melayu Indonesia menganggap kesusahan mereka sepanjang tempoh itu adalah berpunca daripada orang-orang Cina di negara mereka. Orang-orang Cina di negara jiran itu dirompak, dianiaya dan yang wanita diperkosa serta banyak lagi penganiayaan sehingga ada sebahagiannya melarikan diri ke negara lain. Apakah benar bangsa Melayu hidup susah kerana orang Cina hidup senang? Berfikirlah dengan waras agar kita dapat menemui jawapan rasional yang boleh diterima oleh semua makhluk yang ada di bumi dan di langit. Dari pengamatan sejak lama, bangsa Melayu susah kerana bangsa mereka sendiri yang mengkhianati sesama sendiri. Tanah rezab Melayu semakin berkurangan kerana bangsa Melayu sendiri yang melakukannya. Kita lemah bukan kerana mereka kuat tetapi kekuatan mereka dilihat mengatasi bangsa Melayu kerana kita lemah daripada sepatutnya. Melayu bodoh bukan kerana bukan Melayu pandai, tetapi kerana bangsa Melayu sendiri yang memperbodohkan bangsa mereka.

3. Secara logiknya adakah murid-murid di kelas pertama pintar disebabkan murid-murid di kelas akhir bodoh? Allah swt Maha Berkuasa kerana Ar-Rahman Ar-Rahim ini sememangnya berkuasa bukan kerana makhluk ciptaannya itu lemah. Ini bukan kisah Badang yang kononnya menjadi kuat kerana makan muntah ‘hantu’ dan jika benar ini berlaku pastinya hantu-hantu tak senang duduk dikejar manusia untuk menjadi kuat tanpa perlu membeli segala jenis ubat kuat yang semakin laris di pasaran. Jangan mudah dikelirukan dan dihasut oleh ‘Tukang Keliru’ yang hanya akan berjaya dalam misi jahat mereka itu apabila kita merelakan diri dengan bangganya untuk dikelirukan.

4. Sebenarnya, kita harus sedar apakah punca kemiskinan bangsa Melayu yang dikaji secara empirikal bukannya berasaskan dongengan ataupun telahan mistik para bomoh yang kononnya tersohor. Bomoh ‘kokedai’ mampu mempengaruhi mangsanya bukan kerana Bomoh ‘kokedai’ itu pintar tetapi mangsanya itu ketagihan pil ‘kokedai’. Kaum bukan Melayu kaya bukan kerana kita miskin. Kita miskin bukan kerana mereka kaya tetapi kekayaan itu menjadi alat untuk menjadi lebih kaya. Jika bangsa kita kaya, kita juga akan dapat memberi lebih kekayaan kepada bangsa mereka dan oleh kerana itu mengapa mereka tidak mahu bangsa lain kaya? Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata tentang memakmurkan jiran amat penting kerana kemiskinan jiran akan meletakkan yang kaya dalam ketakutan samada dirompak, samun atau mungkin dibunuh demi meneruskan kehidupan mereka-mereka yang miskin.

5. Talib Samat dalam bukunya Langit Tinggi Dijunjung: Di sekitar permasalahan otrang Melayu dan Remaja Melayu dalam bab empat menyebut, “Hujah kemiskinan penduduk luar bandar disebabkan oleh penindasan orang tengah tidak dapat dipertahankan selama-lamanya kerana terdapat faktor-faktor lain yang berkait rapat mewujudkan fenomena kemiskinan itu sendiri”. (Halaman 26). Biasanya orang tengah dikaitkan dengan bukan Melayu dan penduduk luar bandar adalah orang-orang Melayu. Sebenarnya banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan bangsa Melayu miskin termasuk lambat menerima perubahan yang dibawa kepada mereka. Itu belum diambil kira agensi kerajaan atau separa kerajaan yang dibiayai kerajaan untuk membantu bangsa Melayu tetapi masih gagal membasmi kemiskinan di kalangan bangsa Melayu? Kenapa? Kerana bukan Melayu? Sebenarnya bangsa Melayu di dalam agensi yang diamanahkan itu sendiri yang tidak jujur dan tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Penyalahgunaan bantuan subsidi samada diesel ataupun baja dan racun juga diselewengkan oleh bangsa sendiri dan jika ini berlaku kenapa harus terpekik terlolong menuduh bangsa lain menjadi punca kemiskinan bangsa Melayu? Laungan “Hidup Melayu’ tidak mampu memperkayakan Melayu selagi kita sendiri “Mematikan Melayu”.

6. Namun begitu, setelah kita terperangkap dalam sangkar kemiskinan yang kita cipta dengan tangan-tangan kita sendiri, janganlah kita menyalahkan orang lain kerana ia hanya menonjolkan ketidakmatangan dan kejahilan kita yang akan hanya menjadi bahan ketawa ataupun jenaka bukan Melayu. Yang lebih penting adalah bagaimana kita membina jaringan kerjasama dengan bukan Melayu untuk mencipta suasana kondusif ataupun ‘situasi menang-menang’ yang dapat memakmurkan negara dan limpahan kemakmuran itu akan dapat dinikmati oleh setiap rakyat di negara ini. Kita harus memahami strategi dan taktik musuh dalam selimut yang lebih merbahaya daripada musuh luar yang mempunyai lebih peluang untuk menumbangkan kita kerana mereka sentiasa ada di sekeliling kita dengan topeng dan busana yang sama seperti kita.

7. Tidak ada kepintaran yang dihasilkan oleh kebodohan, tidak ada kekayaan terhasil oleh kemiskinan, tidak ada kekuatan yang lahir dari kelemahan melainkan yang bodoh, yang lemah dan yang miskin memangsakan diri mereka sendiri dan ini dijadikan alasan oleh ‘Tukang Keliru’ untuk melaga-lagakan sesama rakyat kerana kehidupan dan nafas mereka bergantung kepada sejauh mana rakyat dapat dikelirukan. Kata hukama’, “Sejahat-jahat manusia ialah mereka yang suka mencari kesalahan dan kecelaan orang, sebagaimana lalat mencari bangkai dan tempat-tempat busuk”.

Wallahualam

~: sani :~

keliru1

Nilai Nyawa dan Kemanusiaan

As-Salam,

1. Seperti artikel saya sebelum ini, banyak hikmah yang terselubung di sebalik insiden kehilangan MH370 yang sudah masuk hari ke 17. Kali ini jari-jari terasa nakal ingin mengupas isu layanan, hak dan nilai nyawa manusia. Nilai nyawa dan hak seseorang makhluk samada manusia mahupun haiwan tetap sama mengikut ketentuan Ilahi. Yang kaya dan yang miskin, yang berpangkat ataupun sebaliknya tetap sama nilai nyawanya. Orang kaya dan berkedudukan tinggi jika nyawa dicabut tidak akan ada lagi nyawa simpanan dan sakitnya ketika dicabut nyawa bukan terletak pada jumlah harta dan ketinggian jawatan mereka kecuali amal. Jutaan ringgit sudah lebur dalam melayan karenah keluarga mangsa penumpang MH370 belum lagi kos operasi pencarian secara besar-besaran ini. Kita tidak bermaksud memperlekehkan usaha pencarian dan memberi kebajikan kepada keluarga mangsa, tetapi jika sudah dilihat melampaui batas yang sepatutnya dilakukan, maka perbandingan antara layanan, hak dan nilai nyawa manusia antara penumpang pesawat udara dan kenderaan kelas rendah pada pandangan mereka akan terpanggil untuk dibedah siasat.

2. Di Sarawak sudah berapa kali berlaku insiden bot karam membawa penumpang yang rata-rata adalah rakyat miskin yang terpaksa berdepan risiko yang hanya menanti giliran bila akan sampai kepada mereka. Berapa ramai penumpang bas ekspress yang menjadi mangsa kemalangan ngeri di negara ini mendapat pembelaan seperti apa yang diberikan kepada penumpang pesawat udara? Apakah nyawa warga asing dan menjadi penumpang pesawat udara lebih besar nilainya berbanding rakyat sendiri? Apakah kematian dan kehilangan nyawa golongan ini harus dikelompokkan sebagai nyawa kelas tiga dan empat berbanding penumpang pesawat udara? Kenapa harus ada jurang yang begitu luas tahap simpati, bantuan dan layanan kepada keluarga mangsa antara penumpang pesawat udara, bas, feri dan bot? Apakah sekali sidang media pun tak mampu dibuat secara khusus untuk mangsa dan keluarga yang terlibat dengan kemalangan bot karam, feri karam dan bas yang terlibat dengan kemalangan melibatkan banyak nyawa melayang? Tak perlulah sidang media setiap hari seperti apa yang MH370 yang dibuat kerana kita faham media antarabangsa perlukan maklumat untuk diketahui warga bumi. Jika ada yang bersuara “Anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan” jangan pula dilabel dan dihukum sebagai mulut longkang atau hanya tahu membebel tetapi tidak membantu kerana kemampuan rakyat dan kerajaan begitu besar perbezaannya.

3. Yang agak menarik apabila bukan saja dimaki hamun oleh keluarga mangsa warga China samada di Beijing dan di negara ini, kita malah terpaksa membuat penafian mereka didera dan dilayan buruk sedangkan wang perbelanjaan membantu mereka di sini sudah mencecah jutaan ringgit lebur. Alangkah baiknya jika wang tersebut disalurkan kepada usaha membantu pengusaha bot di Sarawak, melebar dan membaiki jalan-jalan di Sabah yang dzaif, membina jambatan buat rakyat yang terpaksa menggunakan bot dan sampan ke tempat kerja dan sekolah, menaik taraf sistem pengangkutan negara ini bagi mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan pengangkutan awam samada feri, bas dan lain-lain.

4. Catatan dalam artikel ini lebih bersifat saluran nadi dan keluhan rakyat agar pemimpin dan kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan yang tidak begitu besar nilainya di mata yang sudah kabur dengan kemewahan dan kesenangan sehingga wujudnya dinding kebal antara mereka dan rakyat marhaen di bawah melata di sana-sini dahagakan perhatian pemimpin dan kerajaan. Semoga Allah membuka keinginan yang di atas mendengar dan memahami keluhan yang di bawah.

Wallahualam

~: Sani :~

genting