Pemandu dan pengawal stering

Salam buat semua sahabat-sahabat yang membaca,

Lewat petang tadi, saya dan keluarga ke Alor Setar untuk makan malam. Saya memilih untuk makan di kedai nasi lemak rakan saya yang dikenali sejak zaman persekolahan lagi. Perniagaan nasi lemak beliau ini adalah perniagaan keluarga yang banyak juga cawangannya di bandar ini. Semua cawangan-cawangan kedai nasi lemak yang popular ini sejak dulu diurus dan dimiliki oleh adik-beradiknya yang juga saya kenali. Apa yang menariknya bukanlah kerana dia dan keluarganya yang saya kenali serta popularnya nasi lemak tersebut. Pokok persoalan ialah soalan yang terpacul dari saya yang kemudiannya dijawab dan membawa kepada satu persoalan yang membelenggu masyarakat ketika ini. Dalam perbualan dengan taukeh kedai nasi lemak ini, saya terpanggil untuk bertanya kenapa perniagaan nasi lemak adiknya di Lorong Merpati itu semakin merosot dan jawapannya adalah mudah, “Isterinya terlalu kuat control, sebelum kahwin ok lah”. Saya juga mempunyai pandangan yang sama tentang isteri adiknya itu walaupun kadangkala teringat juga tentang akibat mendapat rezeki dari sumber yang tidak betul dengan menjual makanan yang sedap pulak tu kepada ‘kaki ponteng puasa’ setiap tahun. Jawapan saya pula kepadanya tentang gelagat isterinya adalah, “Kita memandu kereta mana boleh orang lain yang control stering”.

2. Menyentuh tentang orang lain memandu kereta sedang orang lain memutar stering ini banyak sekali analogi yang berkaitan dengannya. Kisah isteri taukeh kedai makan nasi lemak yang terlalu mengawal perniagaannya sehingga menjadi semakin teruk hari-ke hari juga boleh menyebabkan ianya berlaku dalam mana-mana organisasi, syarikat mahupun perniagaan hatta kepada politik dan urusan kenegaraan. Taukeh mesti berlagak seperti taukeh tetapi bukan lagak sombong sehingga menimbulkan perasaan loya dan meluat orang lain terhadap keangkuhan dan kesombongan kita. Maksudnya, memikul tanggungjawab dan berperanan sebabagi pengurus dan menguruskan perniagaan sebaik mungkin tanpa wujudnya penyelewengan demi kelangsungan perniagaan kita dan meningkatkan lagi perkembangan perniagaan kita. Hanya kita yang lebih arif dan memahami kehendak dan keperluan perniagaan kita.

3. Yang mengurus syarikat, yang memimpin pertubuhan persatuan dan pertubuhan samada NGO’s ataupun milikan kerajaan juga mestilah berperanan sebagai pengurus dan mengelakkan campurtangan keluarga termasuk isteri dan suami. Pentadbiran dan pemerintahan samada peringkat kawasan, daerah, negeri hatta negara juga tidak terkecuali dan akan berada di ambang kemudaratan jika sindrom ini menjangkiti pemandunya. Keadaan pemandu lain dan pemutar stering lain ini merbahaya kerana hanya pemandulah yang lebih mengetahui laluan dan selok belok ke destinasi yang dituju. Pemandu tidak boleh hanya diberi peranan duduk dan menekan pedal minyak dan brek yang akhirnya jika sudah bosan dengan kesukaran dihadapi akan terus mematikan enjin kenderaan yang dipandu sedangkan perjalanan mesti diteruskan.

4. Penumpang sepatutnya berperanan sebagai penumpang dan jika keadaan memerlukan untuk menasihatkan pemandu supaya lebih berhati-hati jika dilihat melampaui kelajuan serta memandu dengan merbahaya, ataupun dilihat sudah mengantuk dan sebagainya. Elakkan menyergah pemandu yang sedang memandu kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan. Jika pemandu sudah tidak mampu memandu tidak semestinya wujudnya keadaan orang lain memandu orang lain yang mengawal stering. Gantikan pemandu yang lebih berkelayakan dan berkemampuan adalah lebih baik dari pemandu berbeza dengan pengawal stering.

5. Hakikatnya, “Jadilah hamba sebelum menjadi ketua” bukanlah suatu yang mudah seperti yang disangka ramai manusia. Ia bukan sahaja ditujukan kepada individu akan tetapi ditujukan juga kepada keluarga dan sesebuah masyarakat yang ingin mencapai kebahagiaan dan kemaslahatan yang hakiki. Ia tidak mungkin dicapai dalam masa sehari semalam bahkan mungkin bukan dalam satu generasi. Ia hanya akan dicapai melalui jerih payah dan tarbiyah yang berterusan, agar kita dapat menghasilkan sebuah masyarakat yang dicita-citakan dan bukan sekadar tulisan, kerana kita bercita-cita menegakkan Agama yang menjadi asas kepada Negara dan Tamaddun, menyedarkan umat Islam dari lamunan agar mereka bangun, berkerja keras ke arah kesejahteraan ummah.

Wallahualam

Advertisements

Kuasa raja dan kekuasaan sesebuah dinasti

Salam ukhwah buat semua pembaca

Tajuk di atas memperlihat kan satu elemen utama yang diperkatakan iaitu ‘kuasa’. Jika dilihat dari sudut legislatif, ianya adalah kekuasaan yang membentuk peraturan dan perundangan. Sebagaimana yang diketahui umum, Montesquieu melalui teori Trias Politica membahagikan fungsi kekuasaan tersebut kepada tiga bahagian penting iaitu: legislatif, eksekutif, dan judiciary. Legislatif merupakan cabang kekuasaan yang dianggap paling utama mencerminkan kedaulatan rakyat karena lembaga inilah yang berkuasa membuat dan menetapkan peraturan dan undang-undang negara serta paling utama pertama diperlukan dalam kegiatan bernegara, iaitu mengatur kehidupan bersama.

2. Namun dalam situasi sekarang yang agak tidak keterlaluan jika dikatakan sebenarnya suasana politik dalam negara adalah paling getir dalam sejarah negara ini. Melayu dan bukan Melayu hanya menanti masa untuk merealisasikan pertembungan muktamad yang kini masih berlegar di dunia maya yang dikumpul dalam hati dan perasaan yang begitu melupa-luap dan amat merbahaya.

3. Kaum Melayu harus sedar akan hakikat ini yang memerlukan kita semua sedar bahawa kekuasaan yang ada hanya dapat ditegakkan melalui usaha secara berkumpulan dan perasaan kekitaan. Ibnu Khaldun dalam karya teragungnya Mukadimah menyebut bahawa “Sebabnya ialah oleh sikap agresif dan defensif hanya dapat dicapai melalui perasaan kekitaan yang bermakna bahawa setiap anggota-anggotanya saling sayang menyayangi dan sanggup berjuang serta rela terkorban demi menjaga kepentingan bersama.” Tanpa perasaan kasih sayang dan saling menyayangi serta semangat kekitaan pastinya apa yang kita tumpukan adalah lebih memilih kepentingan kelompok masing-masing dengan pelbagai justifikasi yang tidak sedikit menampakkan persamaan sedangkan masih wujud persamaan antara kita. Jangan di biarkan musuh bangsa kita mengeksploitasi serta memanipulasikannya untuk manfaat mereka.

Wallualam

4. Tambah Ibnu Khaldun lagi dalam karyanya itu, “Pada masa ini, kedudukan sebagai seorang raja adalah sesuatu yang dihormati dan menyeronokkan. Ia memberikan kepada orang yang memegang teraju itu segala-gala yang terbaik di dunia ini, kepuasan daripada segi lahir dan keseronokan daripada sudut batinnya. Dengan itu, sebagaimana adanya, terdapat saingan yang sengit untuk mendapatkannya. Ia jarang sekali mahu dilepaskan secara sukarelanya, tetapi ia boleh dirampas secara paksa. Maka, persengketaan itu menjadi berlanjutan. Perebutan itu membawa kepada peperangan dan perbalahan dan sentiasa berusaha menegakkan kekuasaan. Kesemuanya itu tidak mungkin dapat dicapai kalau tidak adanya perasaan kekitaan sepertimana yang telah kami nyatakan.”

5. Karya Ibn Khaldun ini lebih merujuk kepda penguasa seperti yang ada sekarang agar menjadikan intipati semangat kekitaan, saling sayang menyayangi antara rakyat dan penguasa serta semangat kekitaan demi kelangsungan pemerintahan sediada. Tiada jaminan bahawa ianya dapat dipertahankan jika pokok sebenar kepada persoalan yang meruncing ini tidak diselesaikan segera. Letakkan kepentingan bangsa, agama dan tanahair sebagai keutamaan dan pastinya kerangka tindakan akan menyusul bersama-sama keikhlasan.

6. Kita sebagai manusia sering diuji dengan pelbagai masalah, kadang-kadang masalah itu berpunca dari diri kita sendiri, kadang kala berpunca daripada benda lain, tidak kurang juga ada yang suka mencari masalah. Tidak kira betapa besar masalah tersebut kita perlu hadapinya, kerana setiap satu masalah ada pengalaman yang berharga, yang akan menjadikan kita lebih matang dan lebih bijak.

Wallahualam

Utamaan persamaan dan ketepikan perbezaan demi bangsa, agama dan negara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS meminta Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya menghormati pendirian kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud kerana ia adalah hak masyarakat beragama Islam sebagaimana Pas menghormati sebarang tuntutan orang bukan Islam. Beliau berkata, suara-suara penentangan yang mahu menyekat pelaksanaan hudud termasuk oleh Karpal Singh tidak boleh diterima pakai kerana ia berlawanan dengan objektif pakatan pembangkang sendiri yang memperjuangkan hak kebebasan rakyat.

2 Apakah Nik Abduh lupa akan kata-kata Karpal agar langkah mayat beliau sebelum PAS berhasrat untuk menubuhkan Negara Islam di negara ini? Jika ketika Tun Mahathir (Tun M) memimpin Negara segala alasan kegagalan perlaksanaan Hukum Hudud oleh kerajaan negari pimpinan PAS Kelantan dilemparkan ke muka Tun M, namun kini seperti kata Tun M setelah dia tidak lagi menjadi Perdana Menteri kenapa ianya masih gagal dilaksanakan? Penghalang sebenar adalah DAP yang mengamalkan pendekatan chauvinistic dan rasis yang keterlaluan. Namun kedegilan PAS disamping ketamakan serta rakus kuasa menjadikan PAS gelap mata dan membutakan mata hampir kesemua barisan pimpinan serta ahli dan penyokong parti tersebut untuk bersekongkol dengan parti yang didominasi makhluk berhati gelap menyerupai raksaksa Zionisme di Asia Barat. Bukan mustahil, bangsa Melayu akan merempat di bumi sendiri atas kelicikan DAP yang mendapat khidmat nasihat PAP di Singapura yang bertuankan negara Yahudi Israel dalam semua aspek pentadbiran dan kehidupan mereka. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar sedangkan banyak lagi pendekatan demi perpaduan bangsa Melayu di negara ini masih belum diterokai. Sudah menjadi adat menyesal pastinya dikemudian hari walaupun pepatah menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna sering disebut-sebut. Sememangnya dalam politik amat sukar mengakui kesilapan sendiri seperti apa yang dikatakan oleh Napoleon Bonaparte “ In politics… never retreat, never retract… never admit a mistake”. Namun bukanlah satu dosa malahan ianya adalah sikap budiman bagi yang mampu mengakui kesilapan dan membetulkannya kembali.

3. Kesilapan yang berlaku apabila PAS diperkudakan DAP lantaran keceluparan Mat Sabu Timbalan Presiden PAS dengan isu Mat Indera dalam peristiwa Bukit Kepong sehingga melukakan banyak pihak dan menimbulkan polemik sejarah dan politik yang amat membimbangkan itu seharusnya dijadikan iktibar. Dengan pelbagai iktibar yang telah lalu, sekarang dan yang bakal muncul, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan duduk semeja meletakkan asas perpaduan sebagai keutamaan dengan mengambil persamaan dan mengenepikan perbezaan yang akan menghancurkan bangsa, agama dan Negara. Winston Churchill berkata, “Politics is not a game. It is an earnest business”.

Wallahualam

Apa yang ditanam, Itulah yang tumbuh

Salam buat pertama-tama kalinya buat semua pembaca,

Dua hari yang lalu, saya sempat berbual bersama seorang rakan yang juga punyai citara yang hampir dengan saya tentang kehidupan ini. Sambil berbincang tentang beberapa perkara yang menyentuh peribadi saya, beliau menyoal saya mengapa saya begitu susut dari segi penampilan diri. Saya hanya menjawab ‘risau’. Beliau terus mengasak dengan pelbagai soalan berhubung kerisauan saya dan akhirnya terpacul persoalan sebenar iaitu “Mengapa timbulnya persoalan rakyat tidak lagi sayangkan kerajaan sedia ada dan seringkali mendesak dengan pelbagai tuntutan walaupun mengetahui kerajaan dalam keadaan agak tertekan”. Saya secara spontan meluahkan isi hati saya tentang kemungkinan-kemungkinan seperti ini.

2. Apa yang saya perhatikan sejak sesekian lamanya, kerajaan seperti terlalu selesa dan tanpa sedar melayani rakyat seperti perempuan simpanan dengan “Sugar Daddy”nya. Akan datang sesuka hati semaunya mengikut selera yang hanya bertuan tuntutan batin tanpa melihat dari dimensi cinta dan kasih sayang. Suasana yang sebegini sebenarnya melahirkan hipokrasi antara kedua-dua insan samada di pihak perempuan maupun Sugar daddy itu tadi. Adalah menjadi lumrah bahawa si perempuan tidak sahaja menerima pemberian Situa itu malahan meminta-minta kerana memikirkan ketiadaan jaminan masa depan dan ianya adalah “perjanjian palsu” tanpa sebarang ikatan kasih sayang dan cinta sejati. Fitrah manusia yang memerlukan kasih sayang dan cinta akhirnya membawa kepada kecurangan vs curangnya kedua-dua insan tersebut di mana si perempuan akan menghunjamkan kasih sayang dan cinta malahan jasadnya tidak saja kepada Sugar daddy tetapi juga kepada lelaki lain yang dicintainya dan dianggap cinta dalam ertikata sebenar. Si perempuan mengetahui bahawa beliau curang dan Sugar Daddy juga masih mempercayai janji manis perempuan simpanannya sehinggalah beliau sudah terlewat apabila sampai ketikanya, perempuan simpanannya sudah berada dalam pelukan dan milik orang lain. Ungkit mengungkit sudah tidak mampu lagi mengubah keadaan kerana si perempuan merasakan beliau sudah memiliki segala-galanya iaitu cinta dan juga harta untuk meneruskan kehidupannya. Sugar Daddy akan mengeluarkan kata nista betapa tidak mengenang budinya si perempuan simpanan itu sedang perempuan simpanan beranggapan itu semua adalah atas khidmat beliau kepada Sugar Daddy. Apakah perempuan simpanan perlu dipersalahkan ataupun Sugar Daddy yang hanya memperkosa jiwa dan raga si perempuan tanpa sekelumit kasih sayang dan cinta yang diperlukan si perempuan itu?

3. Begitu jugalah kerajaan yang diwakili wakil-wakil rakyatnya yang hanya menjenguk rakyat ketika musim pilihanraya dan ketika memerlukan Tuannya melihat dia bekerja sahaja akan tampil dengan pelbagai ragam lakonan yang sudah lali di mata dan telinga rakyat. Apabila ada pilhan terbentang di hadapan mata, maka samada kurang sedikit sebanyak tidak lagi menjadi keutamaan rakyat tetapi yang lebih baik daripada tidak baik.

4. Analogi ini seakan-akan menyerupai kisah Sugar Daddy dengan perempuan simpanannya yang sudah bosan dibelenggu kehidupan yang penuh kepalsuan dan akhirnya memilih si miskin yang setia menemani hdiupnya yang amat kesepian tanpa cinta dan kasih sayang yang menjadi idaman semua manusia. Maka jadilah ungkapan ” Apa yang ditanam, Itulah yang tumbuh.

5. Sahabat saya terdiam dan berkata,.. “kenapa sejauh itu kamu fikirkan?”. Saya hanya menjawab, “Apakah kita hanya mahu menjadi pelengkap kepada kehidupan tanpa menggunakan akal yang dikurniakan Allah s.w.t?”

Wallahualam

Ibnu Haitham Alhazein