MENGHAMILKAN BOHONG

Salam,

1.         Pembohongan akan membiak apabila tanpa henti ia diperkosa tanpa segan silu di khalayak ramai atas alasan yang tidak mampu diterima akal manusia rasional. Saya sering menyebut “Alasan itu pintu pembohongan” dan semestinya sebelum berbohong, alasan lah yang akan hadir terketar-ketar dan tersengeh-sengeh dihiasi gigi berkarat kekuningan. Mencipta pembohongan untuk menutup satu pembohongan samalah seperti mengambil najis untuk meyucikan najis. Apa yang dinukilkan oleh saya ini berkait rapat dengan apa yang berlaku siang tadi di LCCT, Kuala Lumpur iaitu Terminal Penerbangan Tambang Murah Air Asia.

2.         Murah tidak bererti selekeh dan murah juga tidak bererti kualiti servis atau barangan itu  WAJIB direndahkan. Murah itu sesuatu yang subjektif dan tidak berdasarkan harga. Nilai murah terletak pada nilai khidmat atau barangan yang diterima berbanding harga dan ianya anjal. Apakah nasi lemak basi dan tidak enak dengan harga  50 sen itu lebih murah berbanding RM5 sebungkus yang lazat dan berkualiti dengan pelbagai lauk pauk? 50 sen tetapi selepas makan terpaksa ke klinik untuk mendapatkan rawatan cirit birit denga kos rawatan RM30 itu murah? Sedangkan yang yang berharga RM5 itu dinikmati sepuasnya serta menyelerakan. Begitu juga dengan penerbangan tambang murah Air Asia akan dianggap murah jika ia menyediakan perkhidmatan Kelas A dengan harga Kelas B atau C. Jika harganya kelas B tetapi perkhidmatan Kelas C tidak bermakna ianya murah.

3.         Saya bukan politikus namun tidak menjadi dosa menzahirkan ketidakpuasan hati sebagai rakyat. Jangan sempitkan rongga perdebatan dan kesempitan sebenarnya membesarkan lohong letupan agar menghasilkan dentuman besar yang terhasil dari kesempitan. Semakin sempit dan semakin padat lohongnya, pasti membuahkan letupan yang lebih besar. Itu adalah fitrah bahan letupan yang sama dengan kemarahan dan kebencian. Semakin sempit ruang melepaskan kemarahan dan kebencian maka semakin tinggi risiko ledakan yanag akan berlaku.

4.         Cuba bayangkan jadual penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 7.05 pagi berakhir dengan 12.00 tengahari? Penumpang bergegas dari rumah seawal 4.00 pagi seperti saya dari Seremban, Negeri Sembilan dan pastinya yang lebih jauh akan lebih awal. Penumpang dibiarkan tanpa pengumuman dan penjelasan. Hanya selepas 3 jam dan penumpang-penumpang mula bising dan menzahirkan ketidakselesaan baru muncul pelakon-pelakon tambahan yang membawa watak budiman tetapi hanyalah wakil burung kakak tua yang mengungkapkan skrip drama berjudul ‘Kami bukan berbohong, tetapi tidak berkata benar’. Sejak awal penampilan sudah hamilkan pembohongan pertama dengan berkata ‘kabus di Alor Star terlalu tebal’ sedangkan Syarikat penerbangan Firefly dengan pesawat lebih kecil sudahpun mendarat di lapangan terbang sama. Alasan pesawat kecil boleh terbang rendah dan Air Asia pesawatnya besar adalah alasan Mamat yang terberak dalam seluar sebenarnya. Zaman sudah berubah dan maklumat berada di hujung jari. Pembohongan semakin ligat apabila ‘baton’ pembohongan berpindah tangan antara satu petugas dengan petugas lain yang kami fahami hanya melengah-lengahkan masa untuk mencapai kata sepakat yang sudah ditetapkan iaitu penerbangan sebenar jam 12.00 tengahari.

5.         Bila saya menyoal kenapa orang di Alor Star memaklumkan kabus tidak ada di Alor Star tetapi alasan kabus digunakan? Jawapan dhaif yang diberi adalah awalnya kabus di bawah tetapi sekarang langit berkabus. Jawapan saya mudah, “Jika tak berkabus bukan langit namanya”. Saya menyoal mana pesawat yang akan membawa kami? Jawapannya ‘Itu di hujung sana”. Tak sampai setengah jam pesawat itu berlepas terbang tanpa kami ketahui destinasinya. Datang petugas lain setelah didesak lantaran petugas tadi sudah melarikan diri. Mana pesawat yang sepatutnya berlepas? Jawapan basi datang dengan alasan sedang di tarik dari hanger. Saya berfikir “You all should be hanged” bukan hanger. Datang pesawat lain yang kononnya ditarik dari hanger tetapi akhirnya penumpang-penumpang turun dari pesawat tersebut. Bila disoal kenapa pesawat dari hanger yang ditarik menurunkan penumpang? Bukan itu pesawat kami, tetapi pesawat lain. Akhirnya itulah pesawat yang kami naiki. Mula-mula jam 10.00 pagi confirmed, 11.00 pagi confirmed dan akhirnya saya berkata, memang confirm itu kapalterbang bukannya lori ataupun bas. Penumpang-penumpang yang keletihan dan marah ketawa mendengar sindiran saya. Apakah hanya disebabkan namanya penerbangan tambang murah maka hak untuk bersuara dipadamkan? Apa jadi dengan insuran yang dikenakan kepada kami? Apa halnya dengan pampasan atas kesengsaraan dan banyak hal yang dikorbankan penumpang termasuk temujanji, kes mahkamah yang patut dihadiri peguam yang turut terlibat? Percutian singkat yang disingkatkan lagi dengan perkelahan di LCCT? Anak-anak kecil yang ,menangis kelaparan serta menagih susu yang sudah dimasukkan ke dalam perut pesawat dan banyak lagi.

6.         Perbedaan pendapat dan pandangan adalah rahmat Allah namun sering disalahtafsir sebagai serangan untuk menghukum pihak yang takut kepada bayang-bayang sendiri. Hujah harus dibalas hujah dan perdebatan juga harus didepani dengan perdebatan. Jika perdebatan itu dosa, kenapakah diadakan Juara Debat dan Juara Pidato? Debat dan pidato bukannya gelanggang Maharaja Lawak ataupun Medan Geleng-Geleng Angguk Angguk. Ianya adalah taman ataupun kebun ilmu yang memakmurkan bumi dengan rahmat yang tidak ternilai kurniaan Allah swt. Hanya dengan jalan ini maka lahirnya inovasi, kreativiti, transformasi dan hijrah pemikiran untuk kemaslahatan ummah.

7.         Seminar, bengkel, percambahan fikiran, post mortem dan banyak lagi yang dilakukan tidak mampu untuk membaiki keadaan dan masalah jika ‘sindrom penafian’ menebal. Akhirnya jadilah seperti humor Gus Dur mantan Presiden Indonesia yang mencuit hati saya. Mengikut analogi itu, Bukannya Neil Amstrong orang pertama menjejak kaki di bulan. Tetapi seorang Cina dan seorang Indonesia. Ketika Neil Amstrong sampai di bulan, beliau melihat sudah ada dua orang di sana iaitu seorang Cina dan seorang Indonesia. Apabila ditanya Amstrong bagaimana kamu sampai di bulan? Jawab yang Cina kami saling memijak dan membantu antara satu sama lain sehingga berjaya sampai ke sini. Sedangkan yang Indonesia pula menjawab “Aku memijak tumpukan kertas-kertas seminar dan akhirnya aku berjaya menjejak kai di sini”. Moralnya cerita ini adalah, betapa tinggi dan banyaknya kertas seminar di Indonesia sehingga mencecah bulan sedangkan kemampuan menyelesaikan masalah?

Wallahualam

HNBK

Advertisements

PETA POLITIK

Salam,

1.            Menyebut  perkataan peta pastinya tidak dapat tidak kita akan terbayang akan lakaran yang menjadi rujukan pemandu arah dan jurumudi. Perkataan ‘Pandu Arah’ atau navigation akan muncul di hadapan kita sebaik  ungkapan peta dipantulkan.  Kesilapan memandu arah dan mengemudikan pengikut dan pimpinan akan mengundang kesesatan dengan mengakibatkan kabilah dan pengikut yang mengikut jejak terpenjara dalam belantara kesesatan yang berpunca dari kesilapan memilih ‘navigator’ yang diberi kepercayaan memandu arah.

2.            Tunggak utama mengelak kesesatan pastinya adalah ‘navigator’ perlu tunggal bukannya dua tiga dan lebih. Tidak mungkin kabilah pimpinan ‘navigator’ akan sampai tepat pada masa dan lokasinya sekiranya peta politik yang sama berada di tangan ‘navigator’ yang berlainan serta matlamat juga berbeza.  Apa akan jadi apabila kabilah pertama dengan navigatornya  yang mendakwa berkiblatkan Kaabah, navigator kedua dengan kabilahnya menyasarkan langit dengan roket menjadi tunggangan dan kabilah ketiga pula tanpa halatuju jelas hanya berpaksikan liberalisma dan pluralisma demia mengaut simpati golongan muda, desparado, golongan kecewa dan bukan Melayu? Mampukah navigator yang berbeza itu melilit dan membelit kabilah masing-masing pada landasan yang sama?

3.            Belahan matlamat dan destinasi akan menjarakkan kabilah masing-masing dan usaha menyatupadukan umat menjadi misi yang sukar digapai> Apa yang ditempah hanyalah ‘Piala Pak Kadok’  dengan slogan ‘Menang sorak kampung tergadai’. Apalah maknanya dipanggil tuan tetapi menjadi tukang sapu? Disapa Yang Berbahagia tetapi diuliti kesengsaraan, diumum johan sebenarnya penggilap piala, diwar-war pemenang namun hanyalah tukang angkat dulang.

4.            Lebih baik menjadi ‘Si Miskin’ tetapi cukup makan –minumnya, pakaian dan keperluan hidup berbanding yang mendapat gelaran ‘orang kaya’ tetapi hidup dihimpit kelaparan, pakaian compang-camping dan merempat ke sana-sini seluruh horizon kaki lima untuk berteduh.

5.            Hidup adalah pilihan dan tidak lepas daripada tindakan memilih dan dipilih. Kuasa memilih di tangan kita dan tiada sesiapa yang dapat memaksa pilihan kita itu mengikut telunjuk mana-mana pihak. Namun demikian, tentukan agar pilihan kita nanti menepati sasaran dan tidak meletakkan kita dan seluruh umat manusia berada dalam kawah menggelegak dengan minyak keazaban sehingga terjerit-terlolong meminta simpati dan pertolongan untuk dikeluarkan daripada ‘azab’ yang maha menyiksakan. Siapakah yang bersalah dan harus dihukum atas kesilapan pilihan kita sendiri?

6.            Yang merayu dan menyembah untuk dipilih akan mendapat piala kemenangan masing-masing disertai habuan yang melimpah ruah sedangkan kita yang memilih terperuk dibenam kesesalan tidak berkesudahan. Jarak untuk sampai ke kaunter pemilihan kian dekat dengan  keputusan memilih di tangan dan jari kita. Tentukan ianya adalah pilihan terbaik. Pastikan kesilapan tidak berlaku dengan meletakkan nasib bangsa, agama dan tanahair sebagai kriteria pemilihan. Elakkan nasib bangsa diperjudikan, jauhi kelompok yang mempersendakan agama kerana tiada nilai untuk membiarkan agama menjadi komoditi dagangan dan mainan serta tanahair pula tiada galang gantinya.

7.            “Terlajak perahu boleh diundur, tersalah pilih buruk padahnya”. Peta politik WAJIB berada di tangan AHLI dan pakar bukannya di tangan ‘kaki judi’ serta ‘opportunist’.  Pepatah ada menyebut “Opportunity seldom knock twice” dan itulah sebabnya golongan opportunist berhempas pulas berusaha merebut peluang yang dianggap ‘do or die’ ini demi survival yang diakari kepentingan peribadi bersaenjatakan topeng-topeng keagamaan, kesamarataan, keadilan dan sebagainya. Semua bukan untuk kemaslahatan ummah seperti lidah terjelir-jelir dan berbelit untuk meyakinkan rakyat. Muhasabah dan renungi nasib rakyat Palestin yang diganyang tanpa secebis rasa kasihan oleh Rejim Zionis yang lahir dari dubur dajjal. Hargai keamanan dan keharmonian hidup di negara tercinta ini agar kelangsungannya dapat dipertahankan.

Wallahualam

HNBK

Maal Hijrah

Salam,

1. Maal Hijrah, membawa maksud “bersama berhijrah” atau “bersama hayati Hijrah”. Namun masih ramai beranggapan Maal Hijrah hanyalah cuti umum atau permulaan tahun baru dalam kalendar Islam yang semakin kurang dihayati pengertiannya sehingga ia semakin tidak membawa apa-apa makna, selain waktu senggang untuk berehat. Maal Hijrah sering digambarkan sebagai permulaan yang baru, tetapi apa yang lebih penting ia adalah detik untuk setiap individu melakukan penilaian diri melalui proses muhasabah agar menjadi individu lebih baik.

2. Tahun baru dalam Islam bukanlah sambutan perayaan atau simbolik semata-mata, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam. Kebersamaan dan kesatuan umat Islam yang berkait rapat dengan perkataan MAAL itu sudah dipinggirkan walaupun lidan bergetar mengucapkannya. Penindasan sesama umat Islam berterusan, khianat mengkhianati sesama bangsa dan agama bermaharajalela tidak kira bangsa Arab, Melayu, India, Cina dan apa saja apabila bergelar Islam, maka konotasi negataif akan mendekati serta menjilat jasad-jasad bangsa ini untuk menjadi penghuni neraka berpunca daripada permusuhan, pertelingkahan dan pengkhianatan sesama mereka. Penghinaan, umpatan dan ghibah sudah menjadi budaya yang samada disedari atau sengaja melupainya dan kini dipasak sebagai sesuatu yang normal di kalangan kita.

3. Maknanya, lain di mulut lain di hati, lain ditulis lain yang diamalkan. Jika amalan seharian tidak sama dengan apa yang dipertontonkan, apakah jenis pekerjaan yang dilakukan sebenarnya jika bukan peranan pelakon? Hanya pelakon yang melakonkan watak-watak di layar TV dan pawagam lain dunia sebenar itu lain. Dalam lakonan berjubah dan berserban sambil tanpa henti membilang biji tasbih sedangkan di luarnya melentok-lentok dan terkinja-kinja meloncat bagaikan ungka di pusat hiburan bertemankan titisan api neraka untuk hirupan tekak yang ketagihan wap panas JAHANAM. Di pentas dan opera siap berjilbab dan jubah muslimah yang lembut-lembai dengan keayuan Islaminya tetapi di luar sana mengalahkan mak nyah dan betina yang harus dinyahkan dari muka bumi ini dengan hilaian mirip kuntilanak. Oleh kerana itu baru beberapa hari lalu aku terbaca komen tentang sebuah foto model yang nyaris tidak berbogel dari seorang facebookers yang menyebut “Subhanollah… alangkah sempurnanya ciptaan Sang Pencipta”. Perkataan Subhanallah itu bermaksud Maha Suci Allah diletakkan pada tempat yang begitu rendah. Begitu juga dengan setiap kali Anugerah Skrin, Anugerah Award kepada para artis dan karyawan yang dianjurkan secara besar-besaran turut menampilkan pengacara dan para hadirin dan mereka yang dicalonkan yang datang dengan pakaian menjolok mata dan jantung mengalahkan artis barat. Sebaik diumumkan sebagai pemenang dan diberi peluang berucap, maka terpantullah perkataan “Alhamdulilah, syukur kehadrat Allah swt”, Allahuakbar.. inilah rezeki yang Allah campakkan kepada saya dan berbagai lagi. Satu ketika ketika aku sedang makan di Jakarta,Indonesia dan duduk berdekatan dengan seorang wanita yang berpakaian seksi. Apabila aku bertanya, “Kerjanya di mana?” Jawabnya ringkas “Dangdut Pak”. Aku bertanya bagaimana dengan pendapatan kamu itu bagus? Jawabnya lagi “Alhamdulilah… Lumayan Pak”. Inilah keliberalan dan kepluralan yang semakin berkembang di kalangan masyarakat dan kini sudah dianggap BIASA.

4. Aku tidak warak dan alim tentang agama, namun, jika agama menjadi mainan dan hilang kesantunannya, tetap airmata kesedihan dan kekecewaan mengalir dari sanubari ini tanpa paksaan dan tekanan. Ia adalah fitrah apabila terbukanya hati untuk merasa insaf akan jenaka keagamaan yang DIOPERAKAN oleh makhluk-makhluk yang semakin hari semakin kaya dengan kebiadaban dan keruntuhan akhlak demi mengejar sesuap nasi,sepasang pakaian, sebuah kenderaan dan sebuah rumah bukannya kediaman. Rumah yang hanya untuk bersalin pakaian tetapi tidak mampu didiami oleh pemiliknya akibat ketiadaan roh Islam di dalamnya. Kekayaan yang dikejar tidak akan mampu membeli TIDUR walaupun tilam dan bantalnya berharga ribuan ringgit, harta melimpah ruah mampu membeli ubat tetapi tidak berupaya membeli kesihatan, timbunan wang hanya mampu membeli kegembiraan sebentar tetapi gagal membeli ketenangan.

5. Oleh itu, sekiranya Maal Hijrah ini dihayati dengan sebenar-benarnya, maka kebersamaan akan menenggelamkan ‘individualisma’ dan perjuangan yang mementingkan kelompok. Perjuangan kelompok sudah tersasar daripada roh Islam di mana ia diturunkan dan dibawa oleh para Nabi dan Rasul untuk seluruh penghuni mukabumi ini tanpa sempadan bangsa, agama, negara dan juga ras serta etnik serta kabilah. Jika kekabilahan dapat dipecahkan, mudah-mudahan akan bangkitnya KESATUAN Islam yang akan menghancurkan perencah masakan iblis bernama khianat, hasad dengki, kezaliman, penganiayaan dan apa saja yang menemani dan menjadi pakaian iblis serta rakan kongsinya. Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan berusaha membetulkan yang bengkok, membaiki yang rosak dan menampung yang bocor.

Wallahualam

HNBK

HATI DAN BERHATI

Salam,

1. Seseorang yang berlari sejauh 100 meter kebiasaannya akan mencungap-cungap apabila sampai di penamatnya. Sementara yang berlari sejauh 1000 meter pula akan tetap tegap berlari pada jarak 100 meter sebelum mengkahiri larian 1000 meter yang ditetapkan kepadanya. Kenapa terjadi begitu? Entahlah aku pun tidak pasti kenapa. Aku bukanlah pengkaji bertauliah tentang hal ini, aku bukan pendakap piala jaguh analisa perkara ini dan jauh sekali sebagai pakar motivasi.

2. Namun, segalanya aku dapat rasakan berakar dan berputik di kepala. Kepala lah yang menentukan hala tuju kehidupan kita samada perlahan, laju atau terus berhenti di situ. Jika kepala sudah menjadi tangki kumbahan segala jenis najis, semuanya menjadi pemberat yang melemahkan tubuh badan. Kepala kapal laut dan kapal udara juga menentukan arah tujuan kapal yang dikemudikan. Mungkin kepala keretapi agak berbeza disebabkan kedua-dua hujung adalah kepala mengikut ke mana arah tujunya. Namun, tanpa kepala, tidak mungkin penumpang akan selamat sampai ke destinasi yang dituju. Disebabkan itu, kepalalah yang bertanggungjawab menentukan untung nasib yang dibelakangnya. Itulah sebabnya kepala seharusnya dijaga agar tidak rosak dan bermasalah. Kepala menjadi simbol keutamaan dan kepentingan seseorang manusia dan apa saja di muka bumi ini. Disebabkan itu, apabila hukuman dilaksanakan di zaman dahulu, samada menggunakan gelatin, pedang dan kapak, kepala dipenggal untuk memisahkan kehidupan antara dunia dan akhirat seseorang manusia.

3. Tidak kurang yang aku temui manusia itu, kepalanya dijaga dengan muka berseri-seri tetapi malangnya jika kita menoleh ke kaki, tak ubah macam tiang jamban. Sampai saja dirumah, kepala rumah, beranda dan tangga hadapan amatlah teruja kita dibuatnya, namun melangkah ke bilik dan dapur, sebiji umpama sarang ular dan sarang tikus makhluk yang menjadi mangsa dan pemangsa. Oleh itu, terfikir aku betapa manusia begini tidaklah jauh bezanya dengan ular dan tikus. Jauhilah manusia yang bertopengkan haiwan kerana haiwan tetaplah haiwan samada yang jinak, buas dan ganas tanpa mengenal erti kasihan. Sifat-sifat manusia tidak akan lahir dalam diri haiwan walaupun ada berlaku kemanusiaan lahir dalam diri haiwan. Namun, perbezaannya, sifat kebinatangan manusia kadangkala lebih merbahaya daripada haiwan itu sendiri seperti apa yang berlaku pada kejadian bunuh Sosilawati, penderaan Nirmala Bonat, pembunuhan kanak-kanak kecil yang dicampak sana-sini, penderhakaan kepada orang-orang tuan dan ibubapa, kezaliman pada haiwan peliharaan dan bermacam lagi.

4. Kekuatan yang berada dalam kepala manusia itu sebenarnya berpusat pada hati. Kekuatan untuk mengakhiri larian, kekuatan untuk membersihkan kepala rumah, ekor rumah dan tengah rumah semuanya bertahkta di hati. Kemahkotaan kepala berpunca di hati. Jika hati sudah kotor, hati sudah dilimpahi najis, tidak mungkin akan lahir kebersihan rumah dan hati itu sendiri. Dari Nu’man bin Basyir diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari Rasulullah s.a.w mengingatkan mengenai kepentingan menjaga hati, yang bermaksud : “Ingatlah sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul darah, jika ia baik, maka baiklah jasad. Jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Itulah dia hati.” Hadis ini memberi gambaran bahawa hati manusia yang rosak boleh diibaratkan sebuah komputer yang mempunyai virus. Ia mengganggu sistem komputer dan mencacatkan penggunaannya. Begitulah hati, jika ia dijangkiti, seluruh badan akan rosak. Seharusnya kita menjaga hati agar bersih daripada sifat hasad yang memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu.

5. Oleh itu, pastinya persoalan bagaimana masalah besar ini harus ditangani? Apakah hati perlu dibersihakan dengan sabun buku dan sabun cecair? Syampu? Detergent berkuasa tinggi ataupun klorox? Di dalam Al-Quran ada ayat yang menyentuh mengenai hati dengan pelbagai istilah. Melalui ayat-ayat itu juga diterangkan, hati dapat dijaga dan diubati hanya dengan bertakwa atau beriman kepada Allah s.w.t. Jagalah lisan atau lidah daripada Ghibah seperti membuat fitnah, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya. Berpalinglah daripada sifat-sifat jahat yang lahir daripada najis syaitan dan iblis yang gemar mengadu-domba sesama manusia sehingga tercetusnya perbalahan, peperangan dan pertelingkahan. Jagalah perut agar tidak diisi dengan yang haram, kerana malaikat akan melaknat selagi barang yang haram berada di dalam tubuh kita. Binalah ketaatan supaya apa yang dilakukan itu  semata-mata untuk mencari keredaan Allah s.w.t serta takut kepada sifat-sifat riak dan munafik.

6. Hati yang bersih dan luhur memberi gambaran seseorang dapat menepis godaan syaitan. Di dalam diri manusia kita menghadapi dua bisikan iaitu bisikan syaitan dan bisikan malaikat. Bisikan syaitan menggoda manusia. Jika syaitan berjaya menguasai hati, ia akan menguasai seluruh jiwa dan manusia menjadi tidak takut kepada Allah s.w.t. Seterusnya lahirlah manusia yang kejam, tidak berperikemanusiaan, pembohong, pembuat fitnah dan sebagainya.

Sebaliknya jika jiwa dikuasai dengan unsur-unsur kemalaikatan, dengan sendirinya syaitan terhindar dan jadilah kita orang yang bertakwa kepada Allah s.w.t , warak, sentiasa mengingati-Nya dan bersyukur.

7. Allah s.w.t mengangkat Nabi s.a.w sebagai seorang yang maksum atau terpelihara daripada dosa, apabila hati Baginda dibersihkan. Berbanding manusia biasa, kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan, tetapi keimanan kepada-Nya tidak dapat dijamin kerana hati tidak dapat dibersihkan seratus peratus dan sentiasa digoda syaitan. Umar Al-Khattab yang dikenali seorang yang keras hati dapat dilembutkan hatinya, bukan dengan kekerasan, tetapi apabila mendengar bacaan Al-Quran, hatinya tertawan dan akhirnya mengubah pegangan serta corak hidupnya. Berzikir dan mengingati kembali hakikat kejadian manusia adalah antara cara mengubat hati supaya beriman kepada-Nya. Cemburulah kepada mereka yang berjaya membuat banyak ibadah agar kita juga turut bersaing menghapuskan bintik-bintik hitam di dalam hati.

Wallahualam

HNBK

Julia – cukup-cukup sudah

Salam,

1. Drama Julia sudah sampai ke penghujung dengan noktah yang amat memilukan. Sountrack drama bersiri ini ‘Cukup-Cukup Sudah’ begitu menyentuh perasaan dan berbekas di hati aku. Liriknya menyelinap ke dalam saraf, urat dan darah disertai nafas yang dipenuhi melodi dan penghayatannya. Moral ceritanya, plot yang ditampilkan tidaklah terlalu kompleks namun memenuhi tuntutan jiwa dan selera masyarakat yang memilih sesuatu yang santai dan mudah difahami.

2. Pelakon-pelakonnya juga berjaya menghayati dan menjiwai watak masing-masing dengan baik dan mampu melantunkan perasaan benci, kasihan, gembira dan apa saja sesuai dengan watak-watak yang disandarkan kepada mereka. Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, kesinambungan plot dan aksi-aksi yang diarah oleh penerbit dan pengarah agak lancar dan sempurna.

3. Jika ianya dikaitkan dengan amanah pegawai dan kakitangan awam mahupun swasta, kesungguhan pelakon-pelakon membawa watak masing-masing dengan berkesan dan sempurna, pastinya jabatan kerajaan dan swasta yang dihuni pekerja-pekerja yang jumlahnya begitu besar dan perbelanjaan yang begitu besar akan mencapai objektif organisasi masing-masing. Dalam pembikinan drama ataupun filem, kegagalan salah seorang berperanan akan menggagalkan matlamat penerbit dan pengarah. Juruteknik pencahayaan gagal maka mood filem dan drama akan menjadi lemah, kelemahan jurukamera dan juru kesan khas bunyi akan mengakibatkan jalan ceritanya tidak konsisten dengan aksi pelakon. Bayangkan jika pelakon sedang bersedih dengan bunyi latar hip hopnya atau reggae pasti menggagalkan drama dan filem itu walaupun kosnya menelan jutaan ringgit.

4. Amat malang apabila tidak ramai yang memahami aspirasi rakyat dan kerajaan dengan memilih untuk menjadi penumpang dan parasit yang perlahan-lahan meruntuhkan institusi dan organisasi yang dibina atas asas memenuhi keperluan rakyat. Teguran dan nasihat atas kesalahan dianggap penghalang kebebasan mereka dan tindakbalas pastinya tidak lain daripada usaha menyerang pihak yang menegur dengan pelbagai cara dari yang biasa dilihat sehinggalah tahap yang keji dan tidak diterima akal. Namun demikian, itulah lumrah kehidupan manusia yang dikelilingi manusia-manusia yang rencam dengan sikap dan budaya yang berbeza-beza.

5. Sebagai manusia yang dihadirkan di dunia yang fana ini, kita harus akur dengan realiti bahawa dunia tetaplah dunia dan tidak seharusnya mendambakan dunia itu umpama syurga. Hanya syurga menjanjikan ‘sifar’ kesengsaraan, penderitaan, kesusahan dan sebagainya yang berkait dengan kehidupan yang sukar. Dengan kesukaran dan kesengsaraan itulah kita sebagai manusia mendapat ganjaran pahala dan pengalaman untuk berdepan kehidupan yang lebih besar demi menjadi manusia yang lebih hebat dan cemerlang.

Wallahualam

HNBK

“It’s not the camera. It’s the man behind the camera”.

Salam,

1. Tengahari tadi, aku diraikan dalam sebuah majlis perpisahan di Kangar, Perlis sempena penghijrahan ke tempat baru yang sememangnya baru bagi aku yang hanya dua kali sampai ke Negeri Sembilan dan kedua-duanya sudah agak lama. Akur dengan pepatah “Jauh perjalanan, luas pandangan dan pengalaman”, aku mendoakan agar pepatah ini menjadi realiti buat aku yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman.  Albert Camus berkata “Anda tidak boleh mencipta pengalaman. Anda mesti menghadapinya”.

2. Majlis perpisahan yang dihadiri oleh hampir semua kakitangan dari hirarki terbawah hinggalah teratas dalam organisasi yang amat aku sayangi ini lantaran tempoh yang boleh dianggap panjang sejak 5 tahun yang lalu. Sebelum majlis makan tengahari, ucapan berbalas ucapan dan aku diminta untuk menyampaikan secebis ucapan mewakili diri dan 2 lagi kakitangan yang turut bertukar sebelum ini. Seperti biasa, aku yang gemar berseloroh dan sering berucap secara santai mengungkapkan kata-kata yang mungkin menjadi kenangan sebahagian yang hadir dan diri aku sendiri. Jika sesetengah orang gemar berpantun, aku seperti biasa lebih memilih untuk menggemakan analogi buat hadirin kerana aku yakin ianya akan lebih menyengat dan memberi kenangan yang efektif buat semua yang hadir dan telah aku anggap sebagai saudara, sahabat, adik, kakak dan abg sendiri.

3. Kali ini, sesuai dengan musim haji, aku memetik humor Mantan Presiden Indonesia Gus Dur yang terkenal dengan jenakanya. Humor Gus Dur yang dilontarkan adalah berkait dengan apa yang disentuh oleh Gus Dur tentang tentang Mantan Presiden Indonesia Soeharto ketika menunaikan ibadah haji di Tanah suci Mekah. Soeharto yang sememangnya akan ditemani ke mana saja perjalanan jauh kali ini diiringi menteri yang dianggap rajin dan taat kepada presiden tersebut iaitu Menteri Penerangan dikenali sebagai Harmoko. Apa yang menarik sepanjang ritual haji ini, ketika melakukan lontaran Jamrah Al-Aqabah sebagai simbol pengusiran syaitan, setiap kali lontaran batu ke arah tiang, maka setiap kali itu juga batu itu berbalik kepadanya. Setelah 7 lontaran sedemikian rupa, Harmoko merasa gementar dan cuba mengubah posisi berdekatan Soeharto. Ketika mengubah posisi itu, beliau mendengar satu bisikan sura “Hai manusia! janganlah kamu melontar batu sesama syaitan”. Harmoko terkejut dan menceritakannya kepada Soeharto dan Mantan Presiden Indonesia itu agak bimbang perkara itu akan turut menimpanya.

4. Aku tidak berniat untuk berkias dan menujukan analogi ini buat sesiapa di majlis ini, ianya sekadar renungan bahawa seringkali manusia yang melontarkan fitnah dan kata keji kepada manusia lain mudah melupai diri sendiri yang dipenuhi noda dan dusta. Namun, agak bernasib baik kerana kata-kata yang dilontarkan itu tidak berbalik serta merta sepertimana batu yang dilontarkan Harmoko itu tadi. Semoga apa yang dijenakakan oleh Gus Dur itu dapat ditelusuri dan didalami dengan akal yang dianugerahkan Allah swt agar menjadi iktibar buat seluruh penghuni bumi. Dalam jenaka ada hikmahnya dan itulah kehebatan Gus Dur yang ramai masih belum menyadarinya. Laurence J. Peter mengatakan, “Hanya ada satu hal yang lebih menyakitkan dari mempelajari pengalaman, yaitu tidak mempelajari pengalaman.”

5. Sememangnya tradisi meraikan yang berpergian dan yang datang itu sesuatu yang baik dalam konteks ikatan ukhwah Islamiyah bahkan menjadi tunjang memperkukuhkan organisasi yang dihuni oleh kesemua makhluk tanpa mengira jantina, bangsa, agama dan umur. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kehidupan ini tidak akan menjadi hebat dengan telefon pintar tetapi harus didokongi oleh manusia yang pintar. Sepertimana kata-kata yang sering disebut oleh fotografer “it’s not the camera. it’s the man behind the camera”. Betapa canggih kamera yang dimiliki, hanya fotografer yang hebat akan menghasilkan foto yang hebat. Berhati-hatilah dalam apa yang kita ungkapkan kerana seperti kata Cesar Chavez, “Our language is the reflection of ourselves. A language is an exact reflection of the character and growth of its speakers.”

Wallahualam

HNBK

Percaya dan dipercayai

Salam,

1. Jari ini sudah agak lama tidak mengetuk ‘keyboard’ lappy yang dipinggirkan sejak beberapa minggu. Hari ini, kugagahi jua untuk menggilap secebis ruang yang aku yakin belum tumbuh ‘KARAT’ yang menjadi simbol tua, lama tidak digunakan, rosak dan pelbagai konotasi negatif. Untuk menjauh dan mengelakkan ‘KARAT’ tersebut, maka malam ini aku tampil dengan kareografi tarian pena yang mungkin agak sumbang dan kaku.

2. Siang tadi aku berkesempatan menemui insan yang sepanjang dikenali amat jujur dan hatinya dipenuhi kasih sayang serta ihsan untuk membantu sesama manusia. Namun, kesekian kalinya juga ia sering menjadi mangsa penipuan tidak kira wang ringgit, harta dan penat lelah. Hati dan minda aku sering berperang betapa kasihannnya aku kepada makhluk ciptaan Allah swt ini walaupun tidak beragama Islam, namun hatinya putih dan dilimpahi kasih sayang yang melimpah-limpah sesama manusia. Agamanya Buddha tetapi acapkali beliau menyebut-nyebut tentang bible dan Jesus. Beliau sudah menganggap aku seperti anaknya sendiri dan aku juga membalas dengan perasaan yang sama. Aku yang memanggilnya ‘Mum’ dan ia memanggil aku dengan nama ‘Look_luck’ yang membawa maksud anak kesayangan. Alangkah hebatnya kuasa kasih sayang yang merentas sempadan agama, bangsa dan demografi.

3. ‘Mum’ akan tampil dan sentiasa bersedia tampil menenangkan aku pada setiap detik aku memerlukan nasihat dan pandangan seorang ibu yang memahami erti semua masalah seorang anak. Ini bukan soal kebebasan agama, soal aqidah atau apa saja bersangkutan dengan agama yang aku anuti. Ini soal kasih sayang dan cinta seorang ibu yang dicampakkan kasih sayang dan cinta ke dalam hatinya untuk mengasihi aku atas nama ‘look-luck’.

4. ‘Mum’… ketahulah engkau, kasih sayang dan cintanya kamu kepada aku setinggi langit aku hargai dan syukuri. Semuanya adalah sumber kekuatan jiwa dan semangat untuk aku terus hidup dan berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair. Hanya satu yang aku belum bongkarkan dari mulut aku ‘Mum’.. Aku terlalu merindui pelukan dan belaian tangan ‘Mum’ di dahi dan kepala aku setiap kali aku bersedih. I ‘love u so much Mum’. Semoga Allah swt membuka hati dan fikiranmu untuk memeluk agama yang aku anuti demi sebuah hubungan yang lebih jauh dunia dan akhirat. Namun jika sebaliknya,… aku redha.

Wallahualam

HNBK