Bercanda Biar Berpada, Berseloka Bukan Jenaka

As-Salam,

1. Pencarian pesawat MH370 sudah melewati 3 minggu sejak kehilangannya dikesan. Pelbagai teori, spekulasi dan andaian yang rencam diadun sehingga ada yang lucu, menaikkan kemarahan, membosankan, membimbangkan dan tidak ketinggalan merugikan negara. Jumlah kos pencarian yang meningkat dari hari ke sehari amat membimbangkan kita. Jika kos untuk mencari kotak hitam pesawat penerbangan 447 Air France yang terhempas ke dalam Lautan Atlantik dalam perjalanan ke Paris dari Rio de Janeiro pada tahun 2009 mencecah lebih 40 juta dolar (RM131.6 juta), kos pencarian pesawat MH370 pula dijangka lebih 10 kali ganda daripada itu. Ia dinyatakan oleh seorang pakar oseanografi, Zhao Chaofang dari Universiti Ocean China di Qingdao menerusi South China Morning Post. Semuanya akan dipikul oleh setiap rakyat negara ini yang berpunca daripada sesuatu yang jika disebut akan mengakibatkan ramai pembela (pembelot) berdiri bulu roma setiap dari mereka. Mereka yang memberi komen tidak seperti yang diharapkan oleh kelompok ini akan dilabel tidak cintakan negara. Fahaman cetek yang tidak dapat membezakan antara entiti negara dan kerajaan adalah amat menyedihkan. Kekeliruan yang didibolot secara sukarela ini akan menyebabkan ketegangan tanpa kewajarannya. Nak diamkan memang pedih tetapi jika disanggah akan mengakibatkan para pengamal fahaman jahiliyah yang mengikut telunjuk dan kaedah pemimpin mereka memburu sesiapa yang tidak sehaluan dengan menyerang dan menghina tanpa segan dan silu. Maka, samada suka atau tidak, adalah lebih baik banyak diam dari bersuara. Tetapi, apakah kita berhajat mewujudkan pelapis dan barisan pemimpin yang menghidap penyakit bisu?

2. Apakah kerajaan Peranchis melakukan perkara sama sehingga tempoh yang begitu panjang dengan jumlah pesawat udara dan laut yang begitu banyak untuk mencari sesuatu yang entah di mana? Pencarian ini telah mencuit minda saya yang lama agak dingin untuk mengingati kisah lucu yang berlaku pada masa dan tempat yang sudah separuh lupa dan separuh ingat. Namun, ia tetap menyengat kerana mencungkil jenaka yang berkait rapat dengan apa yang berlaku sekarang ini. Kisahnya tentang seorang lelaki yang terbongkok-bongkok di dalam gelap pada suatu malam mencari sesuatu di bawah sinar lampu dari tiang di tepi jalan. Apabila datang seorang lelaki lain yang melintas di situ, ia terus bertanya kepada lelaki yang kelihatan mencari sesuatu itu. Katanya, “encik cari apa?”. Jawab yang mencari itu, “cari cincin”. Si lelaki yg bertanya itu terus menyoal, “apakah encik yakin ia jatuh di sini?”. Jawabnya pantas, “Itu di sana di kawasan gelap kawasan semak”. Lelaki yang bertanya hairan dan bertanya lagi, “kenapa mencari di sini?”. Jawabnya, “sebab di sini terang ada lampu’.

3. Aga-agaknya begitulah kisahnya apa yang berlaku sekarang yang hanya berbeza dari sudut lokasi dan lautan yang lebih mencabar dan sukar kerana lebih mudah begitu jawapannya yang agak sukar disanggah. Sesiapa yang cuba mempersoalkan kaedah atau kenapa masih belum ditemui, jawapan ‘pasang-siap’ adalah “kalau kamu pandai cari lah sendiri”. Semakin hari semakin bersemangat kita hidup dalam keranjang yang dipenuhi keraguan, kekeliruan, serangan, percubaan memandulkan minda dan bermacam lagi. Mereka-mereka yang mempertahankan kubu pertahanan pembekal dedak atas tapak tangan mereka ini diketahui ramai mendapat habuan tertentu dalam bentuk projek, kedai makan, gelanggang futsal dan bermacam lagi. Bagi membalas budi, maka sesiapa saja yang bersuara tidak senada dan memenuhi impian pembekal dedak, maka bersiap sedialah untuk dimaki-hamun, dibelasah di dinding fb, twitter dan media sosial lain yang kebanyakannya menggunakan akaun palsu. Jika akaun tulin sekalipun memang sudah tersohor dengan pendekatan kaki maki dan mencarut. Mungkin ketakutan telah menyelubungi segenap pembuluh darah di kalangan mereka lantaran bimbang peluang menikmati apa yang dikecapi sekarang akan hilang. Seperti kata Prie GS dalam bukunya ‘Nama Tuhan di Sebuah Kuis, “Inilah bahaya rasa takut. Ketakutan memang bukan modal yang baik untuk membuat keputusan”. Kita sepatutnya meraikan perbezaan kerana seperti juga yang disebut oleh Prie GS dalam buku sama, “Perbedaan ini biarlah menjadi bukti betapa hebat masyarakat kita ini dalam berdamai dengan perbedaan”. Malangnya kita di sini, perbezaan telah dijadikan sebagai peristiharan perang dan harus dihancur-lebur sehingga lunyai.

4. Demokrasi hanya di mulut tetapi tidak di hati, tangan dan kaki. Bayang-bayang diktator sentiasa berkepit di kiri dan kanan penguasa untuk menakut-nakutkan rakyat agar terus membisu hatta tidak bersetuju. Apabila rakyat diam maka pepatah lama akan dikumandangkan bahawa, “diam tanda setuju”. Cerita Lautan Hindi telah mengambil tempat isu sebenar kehilangan pesawat MH370 dalam pelbagai versi sehingga ada yang mendakwa gambar-gambar yang dimuatnaik ke fb dan youtube itu Lautan Antartik bukan Lautan Hindi. Mungkinkah kisah Lautan Hindi akan melakukan transformasi seperti filem Hindi belum ditumbuk sudah terlentang?

5. Jangan diikut sangat racauan keluarga penumpang dari China yang semakin hari semakin melampau sehingga rakyat sendiri perlu menjadi taruhan. Kerangka pemikiran pemimpin dan rakyat yang masih trauma perlu dibuat ‘jajaran’ semula agar seimbang dengan keperluan sebenar. Jadikan iktibar bagaimana rakyat Amerika berdepan situasi pasca 911 yang tampil dengan berbagai teori konspirasi tetapi tetap berdiri teguh berbangga dengan negara mereka. Tetapi harus diingat, negara dan kerajaan adalah dua entiti berbeza. Sokong dan bangkang perlu berdasarkan isu dan tidak sekali-kali membabi-buta sokongan hingga kelihatan bebal dari Pak Kadok, Pak Pandir dan Lebai Malang. “Menang sorak, Kampung tergadai”. Adolf Hitler pernah menyebut di Mein Kampf pada tahun 1925 bahawa, “Majoriti rakyat di mana-mana juga negara lebih mudah percaya pada pembohongan besar daripada pembohongan kecil.” Namun, dalam hal ini tidaklah saya menganggap ia sebagai pembohongan besar atau kecil, segala-galanya dipulangkan kepada pembaca untuk menilai kenyataan, laporan, data-data dan analisa banyak pihak demi mencari kebenaran. Mungkin ada yang berkata kita perlu berada di tengah-tengah untuk tidak memihak. Kesulitan tetap ada kerana, bagaimana wilayah yang belum jelas batasnya itu sudah harus ditentukan titik tengahnya?.

Wallahualam

~: sani :~

misteri mh370

Advertisements

Kurang Bukan Sebab Lebih (Tukang Keliru)

As-Salam,

1. Setiap hari manusia sentiasa dikelirukan oleh ‘Tukang Keliru’ yang berbakat dalam mengelirukan orang ramai termasuklah dirinya sendiri. Beliau yang sudah keliru berusaha mengelirukan orang ramai untuk menunjukkan bahawa dia tidak keliru dan orang lain amat keliru. Ada saja yang nak dikelirukan sehingga ketika ini terlalu sukar mencari kambing putih, kelabu, atau warna-warna campuran kerana yang paling digemari dan membiak adalah ‘kambing hitam’. Setiap kali berlaku sesuatu, maka dituding kepada kambing hitam dan berlaku apa saja pasti telunjuk menuding kepada kambing hitam. Samada kambing hitam suka atau sebaliknya, terpaksa juga dia menerima hakikat bahawa DIA adalah mangsa yang perlu dikorbankan.

2. Kita selalu mendengar hasutan bahawa Bangsa Melayu miskin dan hidup susah kerana kaum Cina di negara ini hidup senang atas kesusahan orang Melayu. Perkara ini juga berlaku di Indonesia selepas kejatuhan Mantan Presiden Indonesia Soeharto pada tahun pada tahun 1998 setelah 32 tahun di tampuk kuasa. Bangsa Melayu Indonesia menganggap kesusahan mereka sepanjang tempoh itu adalah berpunca daripada orang-orang Cina di negara mereka. Orang-orang Cina di negara jiran itu dirompak, dianiaya dan yang wanita diperkosa serta banyak lagi penganiayaan sehingga ada sebahagiannya melarikan diri ke negara lain. Apakah benar bangsa Melayu hidup susah kerana orang Cina hidup senang? Berfikirlah dengan waras agar kita dapat menemui jawapan rasional yang boleh diterima oleh semua makhluk yang ada di bumi dan di langit. Dari pengamatan sejak lama, bangsa Melayu susah kerana bangsa mereka sendiri yang mengkhianati sesama sendiri. Tanah rezab Melayu semakin berkurangan kerana bangsa Melayu sendiri yang melakukannya. Kita lemah bukan kerana mereka kuat tetapi kekuatan mereka dilihat mengatasi bangsa Melayu kerana kita lemah daripada sepatutnya. Melayu bodoh bukan kerana bukan Melayu pandai, tetapi kerana bangsa Melayu sendiri yang memperbodohkan bangsa mereka.

3. Secara logiknya adakah murid-murid di kelas pertama pintar disebabkan murid-murid di kelas akhir bodoh? Allah swt Maha Berkuasa kerana Ar-Rahman Ar-Rahim ini sememangnya berkuasa bukan kerana makhluk ciptaannya itu lemah. Ini bukan kisah Badang yang kononnya menjadi kuat kerana makan muntah ‘hantu’ dan jika benar ini berlaku pastinya hantu-hantu tak senang duduk dikejar manusia untuk menjadi kuat tanpa perlu membeli segala jenis ubat kuat yang semakin laris di pasaran. Jangan mudah dikelirukan dan dihasut oleh ‘Tukang Keliru’ yang hanya akan berjaya dalam misi jahat mereka itu apabila kita merelakan diri dengan bangganya untuk dikelirukan.

4. Sebenarnya, kita harus sedar apakah punca kemiskinan bangsa Melayu yang dikaji secara empirikal bukannya berasaskan dongengan ataupun telahan mistik para bomoh yang kononnya tersohor. Bomoh ‘kokedai’ mampu mempengaruhi mangsanya bukan kerana Bomoh ‘kokedai’ itu pintar tetapi mangsanya itu ketagihan pil ‘kokedai’. Kaum bukan Melayu kaya bukan kerana kita miskin. Kita miskin bukan kerana mereka kaya tetapi kekayaan itu menjadi alat untuk menjadi lebih kaya. Jika bangsa kita kaya, kita juga akan dapat memberi lebih kekayaan kepada bangsa mereka dan oleh kerana itu mengapa mereka tidak mahu bangsa lain kaya? Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah berkata tentang memakmurkan jiran amat penting kerana kemiskinan jiran akan meletakkan yang kaya dalam ketakutan samada dirompak, samun atau mungkin dibunuh demi meneruskan kehidupan mereka-mereka yang miskin.

5. Talib Samat dalam bukunya Langit Tinggi Dijunjung: Di sekitar permasalahan otrang Melayu dan Remaja Melayu dalam bab empat menyebut, “Hujah kemiskinan penduduk luar bandar disebabkan oleh penindasan orang tengah tidak dapat dipertahankan selama-lamanya kerana terdapat faktor-faktor lain yang berkait rapat mewujudkan fenomena kemiskinan itu sendiri”. (Halaman 26). Biasanya orang tengah dikaitkan dengan bukan Melayu dan penduduk luar bandar adalah orang-orang Melayu. Sebenarnya banyak faktor-faktor lain yang menyebabkan bangsa Melayu miskin termasuk lambat menerima perubahan yang dibawa kepada mereka. Itu belum diambil kira agensi kerajaan atau separa kerajaan yang dibiayai kerajaan untuk membantu bangsa Melayu tetapi masih gagal membasmi kemiskinan di kalangan bangsa Melayu? Kenapa? Kerana bukan Melayu? Sebenarnya bangsa Melayu di dalam agensi yang diamanahkan itu sendiri yang tidak jujur dan tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Penyalahgunaan bantuan subsidi samada diesel ataupun baja dan racun juga diselewengkan oleh bangsa sendiri dan jika ini berlaku kenapa harus terpekik terlolong menuduh bangsa lain menjadi punca kemiskinan bangsa Melayu? Laungan “Hidup Melayu’ tidak mampu memperkayakan Melayu selagi kita sendiri “Mematikan Melayu”.

6. Namun begitu, setelah kita terperangkap dalam sangkar kemiskinan yang kita cipta dengan tangan-tangan kita sendiri, janganlah kita menyalahkan orang lain kerana ia hanya menonjolkan ketidakmatangan dan kejahilan kita yang akan hanya menjadi bahan ketawa ataupun jenaka bukan Melayu. Yang lebih penting adalah bagaimana kita membina jaringan kerjasama dengan bukan Melayu untuk mencipta suasana kondusif ataupun ‘situasi menang-menang’ yang dapat memakmurkan negara dan limpahan kemakmuran itu akan dapat dinikmati oleh setiap rakyat di negara ini. Kita harus memahami strategi dan taktik musuh dalam selimut yang lebih merbahaya daripada musuh luar yang mempunyai lebih peluang untuk menumbangkan kita kerana mereka sentiasa ada di sekeliling kita dengan topeng dan busana yang sama seperti kita.

7. Tidak ada kepintaran yang dihasilkan oleh kebodohan, tidak ada kekayaan terhasil oleh kemiskinan, tidak ada kekuatan yang lahir dari kelemahan melainkan yang bodoh, yang lemah dan yang miskin memangsakan diri mereka sendiri dan ini dijadikan alasan oleh ‘Tukang Keliru’ untuk melaga-lagakan sesama rakyat kerana kehidupan dan nafas mereka bergantung kepada sejauh mana rakyat dapat dikelirukan. Kata hukama’, “Sejahat-jahat manusia ialah mereka yang suka mencari kesalahan dan kecelaan orang, sebagaimana lalat mencari bangkai dan tempat-tempat busuk”.

Wallahualam

~: sani :~

keliru1

Pekak Tetapi Mendengar, Tidak Pekak Tetapi Tuli

As-salam,

1. Pada hari ini tanggal 26 mac 1827, ludwig Van Beethoven pemuzik besar dunia yang berasal dari Jerman meninggal dunia. Hari ini 26 Mac 2014 bermakna sudah 187 tahun dia pulang ke asalnya. Namun muzik beliau terus menjadi kegilaan sesetengah manusia. Masa kecil dan remaja bagi Beethoven yang lahir di Bonn pada tahun 1770, adalah masa-masa hidup yang paling sukar. Meskipun demikian, dia memperolehi kesempatan berguru dengan komposer dan pemuzik besar zaman itu, Wolfgang, Amedeus Mozart dan Franz Joseph Haydn.

2. Sejak usia muda, Beethoven menjadi tuli secara total. Namun, pada masa-masa itulah Beethoven mencipta banyak karya besarnya termasuk sembilan simfoni yang merupakan simfoni klasik paling terkenal. Apa yang menjadi titik tolak kepada keinginan menulis artikel ini lebih berpusat kepada betapa manusia yang tidak pekak menjadi tuli sedangkan yang pekak mampu mendengar dengan baik. Menjadi pemuzik memerlukan pendengaran yang baik tetapi Beethoven bukan saja pendengaran tidak baik malah pekak dan tuli. Seperti kata-kata “Setiap mata yang tertutup belum bererti ia tidur. Setiap mata terbuka belum bererti ia melihat”. Maknanya tidak semesti yang pekak itu tuli dan yang tidak pekak itu mendengar.

3. Kehidupan kita sekarang banyak dilingkari manusia-manusia yang tidak buta tetapi buta dan tidak pekak tetapi tuli. Sengaja membutakan diri kepada kebenaran dan terbeliak mata mereka terhadap kemungkaran. Memekakkan telinga kepada kebaikan sebaliknya mendepangkan telinga seluas-luasnya kepada kemungkaran. Akhirnya, yang menjadi mangsa hukuman atas pembiakan kemungkaran, kemaksiatan, kezaliman, pengkhianatan dan berbagai unsur jahat adalah umat terbanyak bukan saja diri mereka yang menjadi manusia pekak dan buta walaupun hakikatnya tidak demikian. Bala dan musibah yang datang tidak memilih warna kulit, jantina, bangsa, umur dan kedudukan. Ia datang bersama hukuman ke atas semua yang ada kerana yang tidak berbuat demikian juga boleh dikira berdosa kerana membiarkan kejahatan, kemungkaran dan kezaliman berlaku tanpa usaha mengekangnya.

4. Alasan biarlah mereka lakukan asalkan jangan kita sudah tidak mampu membentengi hukuman dari langit. Selagi ada peluang untuk membantah, jika tidak dengan kaki dan tangan, sekurang-kurangnya dengan lidah, jari dan akhirnya hati.Janganlah kita pula tergolong dari kalangan “Tidak pekak tetapi tuli, tidak buta tetapi tidak mampu melihat”.

Wallahualam

~: sani :~

pekak

Rahsia atau Jahil?

As-Salam

1. Kita sering mendengar dan terbaca perkataan RAHSIA. Tidak kurang yang menyalahfahami makna RAHSIA tersebut. Kebanyakannya apabila menyebut rahsia seolah-olah tidak ada orang yang mengetahuinya. Jika orang tidak tahu itu namanya JAHIL bukan RAHSIA. Mengikut kamus Dewan Bahasa Pustaka, rahsia bermaksud sesuatu yg hanya diketahui oleh beberapa orang yg tertentu saja (tidak diketahui oleh orang ramai). Maknanya, bukannya tidak diketahui orang tetapi tidak diketahui ramai orang. Jika dalam organisasi kerajaan khususnya yang berkait rapat dengan keselamatan akan diklasifikasikan sebagai rahsia, rahsia besar, sulit, terhad dan sebagainya yang semuanya bersifat RAHSIA.

2. Agak melucukan juga apabila iklan ataupun cubaan menarik perhatian orang biasanya disebut rahsia itu dan ini termasuk lah rahsia ayat-ayat suci, rahsia menjadi jutawan, rahsia menjadi kuat, rahsia cara wanita berjalan dan bermacam-macam lagi.Motifnya lebih berkisar kepada kepentingan diri sendiri sedangkan ada yang tidak wajar dikategorikan sebagai rahsia.

3. Bukan semua yang mengetahui ilmu fizik, ilmu tasawuf, ilmu matematik, ilmu kaji Bintang, ilmu agama, ilmu pengasih dan semua cabang ilmu yang ada tetapi bukan rahsia sebenarnya. Punca tidak diketahui adalah dari sifat manusia itu sendiri yang malas belajar dan berusaha. Namun, alasan paling mudah digunakan oleh manusia di kalangan manusia jika tidak mahu menjawab atau tidak tahu menjawab adalah, RAHSIA. Sebenarnya, banyak yang patut dikelompokkan sebagai JAHIL dan MALAS bukannya RAHSIA.

4. Harus ada garis pemisah antara rahsia dan jahil, malas berusaha dengan jahil agar tidak mudah disalahguna sehingga ramai yang tertipu atas alasan rahsia. Oleh kerana perkara beginilah terjadi satu kisah di mana seorang penceramah motivasi bergelar Dato’ yang cukup tersohor tetapi agaknya perlu dimotivasi juga kerana ditipu oleh hanya seorang bekas konstabel polis yang dibuang kerja. Puncanya adalah rahsia yang dimiliki oleh pemangsa yang kononnya mengetahui rahsia dalaman sebuah jabatan yang terlibat dengan lelong-melelong. Akhirnya penceramah motivasi kena lelong.

5. Prasangka itu tidak baik tetapi lebih baik dari menjadi mangsa salah-sangka antara jahil, malas dan rahsia.

Wallahualam

~: sani:~

rahsia-tenaga-kristal

Nilai Nyawa dan Kemanusiaan

As-Salam,

1. Seperti artikel saya sebelum ini, banyak hikmah yang terselubung di sebalik insiden kehilangan MH370 yang sudah masuk hari ke 17. Kali ini jari-jari terasa nakal ingin mengupas isu layanan, hak dan nilai nyawa manusia. Nilai nyawa dan hak seseorang makhluk samada manusia mahupun haiwan tetap sama mengikut ketentuan Ilahi. Yang kaya dan yang miskin, yang berpangkat ataupun sebaliknya tetap sama nilai nyawanya. Orang kaya dan berkedudukan tinggi jika nyawa dicabut tidak akan ada lagi nyawa simpanan dan sakitnya ketika dicabut nyawa bukan terletak pada jumlah harta dan ketinggian jawatan mereka kecuali amal. Jutaan ringgit sudah lebur dalam melayan karenah keluarga mangsa penumpang MH370 belum lagi kos operasi pencarian secara besar-besaran ini. Kita tidak bermaksud memperlekehkan usaha pencarian dan memberi kebajikan kepada keluarga mangsa, tetapi jika sudah dilihat melampaui batas yang sepatutnya dilakukan, maka perbandingan antara layanan, hak dan nilai nyawa manusia antara penumpang pesawat udara dan kenderaan kelas rendah pada pandangan mereka akan terpanggil untuk dibedah siasat.

2. Di Sarawak sudah berapa kali berlaku insiden bot karam membawa penumpang yang rata-rata adalah rakyat miskin yang terpaksa berdepan risiko yang hanya menanti giliran bila akan sampai kepada mereka. Berapa ramai penumpang bas ekspress yang menjadi mangsa kemalangan ngeri di negara ini mendapat pembelaan seperti apa yang diberikan kepada penumpang pesawat udara? Apakah nyawa warga asing dan menjadi penumpang pesawat udara lebih besar nilainya berbanding rakyat sendiri? Apakah kematian dan kehilangan nyawa golongan ini harus dikelompokkan sebagai nyawa kelas tiga dan empat berbanding penumpang pesawat udara? Kenapa harus ada jurang yang begitu luas tahap simpati, bantuan dan layanan kepada keluarga mangsa antara penumpang pesawat udara, bas, feri dan bot? Apakah sekali sidang media pun tak mampu dibuat secara khusus untuk mangsa dan keluarga yang terlibat dengan kemalangan bot karam, feri karam dan bas yang terlibat dengan kemalangan melibatkan banyak nyawa melayang? Tak perlulah sidang media setiap hari seperti apa yang MH370 yang dibuat kerana kita faham media antarabangsa perlukan maklumat untuk diketahui warga bumi. Jika ada yang bersuara “Anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan” jangan pula dilabel dan dihukum sebagai mulut longkang atau hanya tahu membebel tetapi tidak membantu kerana kemampuan rakyat dan kerajaan begitu besar perbezaannya.

3. Yang agak menarik apabila bukan saja dimaki hamun oleh keluarga mangsa warga China samada di Beijing dan di negara ini, kita malah terpaksa membuat penafian mereka didera dan dilayan buruk sedangkan wang perbelanjaan membantu mereka di sini sudah mencecah jutaan ringgit lebur. Alangkah baiknya jika wang tersebut disalurkan kepada usaha membantu pengusaha bot di Sarawak, melebar dan membaiki jalan-jalan di Sabah yang dzaif, membina jambatan buat rakyat yang terpaksa menggunakan bot dan sampan ke tempat kerja dan sekolah, menaik taraf sistem pengangkutan negara ini bagi mengurangkan jumlah kemalangan melibatkan pengangkutan awam samada feri, bas dan lain-lain.

4. Catatan dalam artikel ini lebih bersifat saluran nadi dan keluhan rakyat agar pemimpin dan kerajaan dapat mempertimbangkan pandangan yang tidak begitu besar nilainya di mata yang sudah kabur dengan kemewahan dan kesenangan sehingga wujudnya dinding kebal antara mereka dan rakyat marhaen di bawah melata di sana-sini dahagakan perhatian pemimpin dan kerajaan. Semoga Allah membuka keinginan yang di atas mendengar dan memahami keluhan yang di bawah.

Wallahualam

~: Sani :~

genting

Hikmah di setiap simpang misteri

As-Salam buat seluruh umat yang membaca,

1. Rahmat yang terselubung sentiasa muncul di sekeliling kita samada kita sedar, tidak sedar atau mungkin juga pura-pura tidak menyedarinya. Kita lebih fokus kepada perkara-perkara yang hanya mengikut selera kita untuk mendengar, melihat dan membaca. Peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang sudah mencecah 2 minggu tetap hadir dengan “rahmat yang terselubung”. Mana tidaknya, berbagai perkara yang sebelumnya misteri buat yang jahil menjadi fasih dan petah hingga ke kelompok yang merayap di mukabumi. Terminologi cockpit, transponder, altitude, blackbox serta tempat-tempat yang dulunya asing kini meniti dibibir-bibir pendebat misteri seperti Diego Garcia hinggalah negara-negara yang berakhir dihujungnya ‘Tan’ seperti Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan dan lain-lain. Dari tukang cuci hinggalah para menteri semuanya ketagihan bicara soal MH370. Kedai kopi dan kedai makan tidak perlukan lagi astro dan muzik apabila isu ini bermaharajalela. Namun, dari sudut ekonomi mungkin bagus buat peniaga yang sebelumnya kedai sunyi sepi.

2. Banyak pelajaran yang dapat ditimba dengan kehilangan MH370. Jika sebelum ini ramai yang tidak mengetahui prosedur sebenar menaiki kapalterbang dapat belajar walaupun tuanpunya pesawat dan pihak terlibat enggan belajar. Juruterbang yang pada awalnya dijulang bagai wira kini namanya agak kusam dengan berita-berita yang amat tidak wajar selagi beliau tidak dibuktikan bersalah. Hikmah yang dapat dipelajari adalah setinggi mana sekalipun bakti dan jasa kamu, apabila sudah tidak disukai, maka bertimpa-timpa tong najis dijatuhkan atas kepala sesiapa saja menjadi ‘insan terpilih’ pemangsa. Perasaan dan maruah juruterbang, keluarga tidak lagi menjadi bahan perhitungan.

3. Kita juga dibuka mata, telinga dan minda tentang betapa longgarnya jika tidak mahu disebut sebagai lemah tentang dakwaan 2 warga Iran yang kononnya menggunakan paspot palsu menaiki pesawat malang ini. Alasan tidak mudah mengesan paspot yang disalahgunakan oleh orang lain hanyalah kewajaran buat pencari alasan mudah. Jika itu corak jawapan maka tidak mustahil sebelum ini dan selepas ini akan terus berlaku perkara sama yang kini timbul setelah insiden ini berlaku. Namun kini, apa jadi dengan kisah penyalahgunaan paspot oleh warga Iran? Itu belum lagi ditambah dengan lawak jenaka dan ‘parodi’ bomoh tikar terbang dan buah kelapa, penampar ‘kokedai’ dan gelagat bomoh sepanjang tempoh 2 minggu ini sehingga menjadi bahan berita tuding-menuding antara menteri dan bomoh. Laporan polis oleh mereka-mereka yang kononnya melihat kelibat MH370 terbang dan bangkai pesawat juga tidak kalah menceriakan suasana yang sepatutnya hiba menjadi gelanggang lawak.

4. Kehebatan, keterampilan dan kepetahan komunikasi yang menjadi simbol kepimpinan seseorang juga terpantul dengan sendirinya hasil hikmah yang diperolehi dari misteri kehilangan MH370. Pemimpin mana yang gagap, yang terkencing dalam seluar, yang jawab sekadar jawab, yang ditanya lain dijawab lain semuanya menjadi tontonan rakyat yang sebelum ini kagum dengan mereka dan kini hilang bersama MH370.

4. Kini kisah bertan-tan buah manggis yang diletakkan di dalam kargo ke Beijing menjadi bahan berita terkini dan yang paling menakutkan adalah berita yang tertumpu kepada kargo yang dibawa oleh pesawat MH370 yang hilang selepas pihak berkuasa hari ini mengesahkan ia membawa bateri lithium-ion yang boleh mudah terbakar. Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang berpangkalan di AS, sejumlah 141 insiden udara melibatkan bateri yang dibawa sebagai kargo atau bagasi dicatatkan antara 20 Mac 1991 hingga 17 Feb tahun ini. Jika sejak awal berita mengenai bateri lithium-ion ini dimaklumkan, rasanya skrip kisah kehilangan MH370 pastinya tidak serupa walaupun natijahnya tetap sama. Sudah berapa ramai orang yang sakit jantung dan diserang angin ahmar akibat berita-berita yang tidak konsisten sebegini. Pastinya jika kisah bateri lithium-ion ini sejak awal diketahui dan dimaklumkan, puncanya pasti difokuskan kepada kebakaran walaupun ia belum dapat disahkan. Spekulasi juga dapat dikurangkan dan ini tentunya dapat memberi peluang kepada pihak terbabit lebih fokus terhadap sisi pandang penyiasatan.

5. Kita bukan pakar dan jauh dari ingin campurtangan dalam penyiasatan misteri kehilangan MH370. Namun, sebagai manusia yang diberi akal, tidak salah rasanya berfikir secara logik dan kritis untuk melihat samada anugerah Allah swt kepada manusia itu dimanfaatkan sesuai dengan taraf khalifah dan manusia dan tidak hanya meneguk dan melanggah segala yang ditumpahkan dari atas tanpa berfikir. Jika ada yang berpandangan jika bukan pakar dan ahli dalam bidang aviasi, kejuruteraan atau risikan maka mereka hanya perlu mengangguk atau diam maka ianya adalah penghinaan dan merendahkan darjat kemanusiaan untuk diheret menjadi haiwan peliharaan yang menunggu masa untuk disembelih. Pandangan dan buah fikiran rakyat sepatutnya dihargai kecuali yang jelas menghina, menghukum membabi buta ataupun mengganggu penyiasatan. Jika semua hal perlu dibekukan, dikurung dan dibenam, apalah erti kebebasan berekspresi, berfikir dan bersuara yang sering dinobatkan sebagai amalan seluruh rakyat? Yanglebih penting, marilah kita sama-sama doakan agar MH370 dapat ditemui dengan selamat bersama seluruh penumpang dan anak kapal dan tidak lupa juga ia harus menjadi iktibar dari semua cabang fikir dan kelemahan yang diperolehi itu menjadikan kita lebih bersedia pada masa depan.

Wallahualam

~: sani :~

mh370 terbang

Menjemput Spekulasi Walaupun Tidak Dijemput (MH370)

As-Salam,

1. Tidak menulis sekian lama seakan hidup tanpa roh seperti juga membaca. Gagal membaca hatta sebaris setiap hari umpama hidup tetapi mati. Membaca tetapi tidak menulis pula seperti mengisi tetapi tidak membuang yang akhirnya mengundang sembelit. Maka hari ini dan detik ini rasanya perlu aku menulis secebis daripada cebisan-cebisan yang berserakan di dunia maya daripada menimbun berita yang sebahagiannya dianggap bukan berita dan hanya ‘khabar angin’. Namun begitu, kata Aristotle, “Perkara mustahil yang masuk akal, selalu lebih baik daripada kemungkinan yang tidak meyakinkan”.

2. Pengumuman demi pengumuman dengan kata-kata ‘petunjuk baru’ dan ‘kami masih terus menyiasat’ bersilih ganti di media TV dan dipanjangkan oleh semua cabang media. Rakyat dan penghuni bumi sentiasa menanti perkembangan terkini misteri kehilangan MH370 pesawat MAS yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal malang tersebut. Malang tidak berbau kerana tiada sesiapapun yang pernah menghidu bau malang samada berbau busuk ataupun wangi.

3. Hari ini, dalam siaran langsung yang dipetik akhbar Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, siasatan terkini menunjukkan terdapat kepastian tinggi bahawa Sistem Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) serta transponder dalam pesawat MH370 telah dipadamkan. Tambah Perdana Menteri lagi, ACARS telah dipadamkan sebelum pesawat MH370 tiba di pantai timur Semenanjung manakala transponder pula dipadamkan tidak lama kemudian iaitu berhampiran kawasan sempadan kawalan udara antara Malaysia dan Vietnam. ACARS merupakan sistem komunikasi pesanan pendek yang digunakan untuk perhubungan antara pesawat dengan pusat kawalan di darat manakala transponder memainkan peranan untuk membolehkan pengawal trafik udara mengenal pasti kelajuan dan hala tuju pesawat. Perdana Menteri bagaimanapun tidak mengesahkan rampasan kapal terbang telah berlaku tetapi menegaskan siasatan sedang dilakukan. “Walaupun ada laporan bahawa ia dirampas, kita sedang menyiasat semua kemungkinan tentang pesawat MH370 yang bertukar haluan.

4. Daripada nada dan lenggok pengumuman, sebahagian besar terpanggil untuk merasa yakin ia sudah di ‘hijack’ samada oleh perampas yang bergelar pengganas, pensabotaj, pengkhianat, perisik, pemisah atau apa saja yang membawa kepada tindakan ‘deliberate action’ tersebut. Jika tindakan menyebabkan seluruh dunia terkejut dan ternanti-nanti penemuan MH370 itu bukan ganas, maka bolehlah ia tidak dilabel tindakan pengganas kerana yang merosakkan dipanggil perosak. Maka jika yang melakukan tindakan ganas wajar juga disebut pengganas. Sementelah takrifan pengganas itu berbeza-beza mengikut di manakah penakrif itu berdiri. Kata-kata “One man’s terrorist is another man’s freedom fighter” menjustifikasikan apa yang telah disebut ini.

5. Media antarabangsa ada yang menyebut bahawa Pesawat Malaysia Airlines MH370 telah dirampas, namun motifnya belum diketahui dan juga tidak jelas ke mana pesawat itu berada ketika ini. Kini tumpuan pencarian MH370 adalah di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi. Jika benar teori atau dakwaan yang dibuat, ia seolah-olah menelanjangkan kepada umum bahawa sistem pertahanan negara-negara yang dilintasi oleh pesawat MH370 serta tanahair kita sendiri amat mudah dicerobohi ruang udara mereka dan betapa hebat serta luarbiasa ‘perampas’ yang mengemudikan pesawat tersebut ke lokasi rahsia yang sehingga kini menjadi rahsia.

6. Hanya dengan menutup suis transponder sahaja maka sistem radar sesebuah negara sudah tidak dapat mengesan pesawat komersil sebesar Boeng 777 ini bermakna sistem pertahanan negara terlibat amat ‘fragile’. Bagaimana sekiranya pesawat stealth digunakan? Nampaknya kecanggihan teknologi tidak mampu mengatasi kejujuran dan keikhlasan kerjasama dan huluran bantuan. Ia hanya akan menjadi efektif sekiranya wujud rasa ‘ikhlas ‘ dan jujur antara sesama negara yang terlibat dalam operasi multi-nasional ini. Jika tidak, laba yang dicari, musibah yang menimpa. Kawasan operasi mencari dan menyelamat sudah menjadi medan pemerkosaan yang diratah oleh negara-negara yang mempunyai kemampuan satelit dan pemantauan angkasa lepas yang boleh dijadikan senjata untuk kegunaan mereka pada masa hadapan. Disamping itu, segala kelemahan negara dan kepincangan yang ada disimpan kemas setelah dicabuli sepuas-puasnya oleh bakal musuh pada masa hadapan. Kebiasaannya, ‘pengkhianat merbahaya’ bermula dengan menjadi sahabat akrab. Sebaik fasa pengkhianatan bermula, maka segala rahsia yang tersimpan sebagai sahabat akan bertukar menjadi igauan ngeri sehingga siang disangka malam dan malam menjadi malam yang amat panjang. Peribahasa Greek ada menyebut, “Kalau seorang musuh melakukan kerja yang baik, itu tanda suatu bencana”. Berprasangka buruk adalah sesuatu yang tidak baik, tetapi lebih baik daripada berlakunya sesuatu yang buruk setelah kita bersangka baik.

7. Tidak mustahil sekiranya insiden seperti ini juga menjadi pintu gerbang kuasa besar untuk mencampuri urusan dalaman negara menggunakan tiket ‘war on terrorisme’ setelah dianggap gagal menangani kegiatan keganasan. Penyangak-penyangak sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk dijadikan alasan mencampuri urusan ‘negara sasaran’ dengan sebutan ‘muluk’ iaitu membantu sedangkan hakikat sebenar ‘kolonialisma wajah baru’. Penjajah tidak pernah mati selagi dunia belum kiamat. Kemungkinan yang mati hanyalah nama tetapi peranan dan fungsi kebiadaban penjajah tetap diteruskan dalam bentuk dan nama berbeza.

8. Oleh yang demikian, dengan mengambil setiap yang berlaku samada dari dalam dan luar negara sebagai iktibar, insyallah negara akan lebih aman dan bersiap-siaga berdepan sebarang ancaman. Marilah kita bersama-sama berdoa dan berusaha menyelamatkan bangsa, agama dan negara daripada pengkhianatan yang adakalanya berselindung disebalik tangan gebu dan lembut tetapi hakikatnya bersalut racun yang amat bisa. Ingatlah akan pesan Asy-Syafi’e, “Apabila temanmu mentaati musuhmu, maka keduanya telah bersepakat memusuhimu”.

Wallahualam

~: sani :~

Malaysia-MH370-Missing-Possibilities