IMAM BODOH MAKMUM DUNGU

Salam,

1.  KH Zainuddin MZ merupakan seorang Da’i tersohor di Indonesia namun beliau telah pulang ke rahmatullah pada 5 Julai 2011. Ceramah-ceramahnya didatangi ramai hadirin hingga mencecah puluhan ribu manusia yang dambakan dakwahnya. Saya salah seorang yang meminati dan mengagumi beliau walaupun jarak yang agak jauh namun keterbatasan itu dikikis kesejagatan yang mengecilkan saiz bumi.

2.  Masih terngiang-ngiang satu dari ceramahnya di negara itu yang saya ikuti dari jauh tentang kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Beliau menggariskan mekanisma kehidupan bermasyarakat. Beliau menyeru hadirin supaya terus melaksanakan hidup bersosial, bermasyarakat, berbangsa dan bernegara dengan usaha gigih tanpa menunggu keajaiban berlaku. Namun katanya bagaimana caranya?

3.   KH Zainuddin MZ berkata sebagai manusia yang mempunyai kerjaya yang dikerjakan sekarang ini tidaklah salah selagi kita sedar bahawa kita adalah muslim. Kita boleh saja menjadi ketua di jabatan kerajaan mahupun swasta namun kita tahu kita adalah muslim. Kita boleh menjadi pegawai ataupun anggota polis tetapi kita muslim, kita boleh menjadi tentera tetapi kita muslim tidak kira , imigresen, kastam, peniaga dan sebagainya selagi kita sedar dan faham kita adalah muslim. Kita mungkin sengsara tetapi kita muslim, kita memang memerlukan wang tetapi kita tetap muslim.

4.  Sememangnya juga hidup bernegara dan bermasyarakat itu memerlukan imam dan makmum, begitu juga perlu ada pemimpin dan juga rakyat. Siapa yang boleh menjadi makmum? Jawapannya siapa juga boleh menjadi makmum kerana tidak ada pemilihan untuk menjadi makmum. Makum boleh saja belajar kepada mana-mana imam dan Da’i. Namun harus diingat bahawa tidak semua yang boleh menjadi imam sebab imam akan memimpin banyak orang. Katanya “mana boleh imam bodoh dan makmum dungu. Kalau Imam bodoh makmum dungu hancur solat”.

5.  Jika apa yang disebut oleh  KH Zainuddin MZ itu diambil kira, maka sudah pastilah tidak harus ada pemimpin yang bodoh dengan pengikut yang dungu kerna akan hancurlah negara. Sesuai dengan kata-kata Dr Anis Matta seorang pendakwah di Indonesia yang memetik kata-kata Khalifah Umar “Jika aku menghadapi masalah besar, maka siapa yang akan ku panggil jika bukan pemimpin-pemimpin muda?”. Kita boleh saja memakai pakaian berwarna apa dan bentuk rekaannya selagi menutup aurat kerna kita muslim namun matlamat kita hanya satu iaitu demi kecemerlangan agama bangsa dan tanahair kita. Sejajar dengan senario semasa, pastinya relevansi apa yang diungkap  KH Zainuddin MZ dan Dr Anis Matta itu mencerminkan betapa politik yang bersimpang siur dan mencabar dihadirkan pemimpin-pemimpin muda dan diadun sedikit yang berpengalaman sebagai mentor demi sebuah tanahair yang lebih ideal dan praktis.

Wallahualam

HNBK

Advertisements

SESAL MANA ADA DAHULU

Salam,

1. Dr Kassim Ahmad dalam bukunya Essei-essei politik, Fajar Bakti (1998) berkata “Jika dua buah negara Jerman yang dipecahkan oleh pihak bersekutu selepas Perang Dunia Kedua boleh bersatu kembali; jika kuasa-kuasa Barat yang juga mempunyai kepentingan nasional yang berlainan boleh bersatu untuk menentang dan menghancurkan sebuah kuasa Arab dan Islam, mengapakah negara-negara Arab dan Islam tidak boleh bersatu untuk mengalahkan musuh-musuh manusia dan musuh Tuhan, iaitu imperialisme Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat?”

2.  Detik ini, individu-individu yang dilihat mampu untuk menghancurkan Islam dan bangsa yang sinonim dengan Islam digunakan bagi mencapai matlamat yang sama. Di Myanmar penyembelihan umat Islam Rohingya tanpa pembelaan disokong oleh kononnya pemenang anugrerah Nobel Aung San Suu Kyi atas alasan tiada penjelasan yang nyata status orang-orang Rohongya di negara itu. Apakah status berkait rapat dengan penyembelihan sekejam itu? Apakah haiwan yang tidak berstatus warganegara dilakukan sedemikian rupa? jika tidak, apakah nilai nyawa manusia lebih rendah dari haiwan?

3.  Di Malaysia juga Amerika Syarikat dan kuncu-kuncunya juga kagum dan begitu ‘sayang’ kepada individu yang dianggap ‘suci’ yang bunyinya juga sama dengan ‘Suu Kyi’ kerana ia dilihat pendekatan paling berkesan menghancurkan sesebuah negara dari dalam dengan bantuan orang dalam yang di dalamnya penuh dengan kebobrokan.

4.  Sukar untuk bersatu pastinya bersebab dan sebabnya juga tidaklah sukar difahami iaitu KUASA. Sang Kemaruk Kuasa hanya melihat kuasa sebagai matlamat dan seperti mana amalan Machiavellian ‘Matlamat menghalalkan cara’ maka biarlah negara hancur asal matlamat tercapai.

5.  Dr. Kassim Ahmad dalam blognya pada 28/7/12 berkata “Dunia Melayu mempunyai penduduk keempat terbesar di dunia. Dunia Melayu mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia. Dunia Melayu memiliki dua ciri penting untuk membolehkan mereka melakukan misi besar ini. Mereka berbangsa Melayu, menuturi bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Mereka beragama Islam dengan kitab suci yang sama, Quran. Dua ciri ini membolehkan mereka bersatu untuk melaksanakan misi besar ini.”

6.  Namun parti yang berkata mewakili Islam dan bukan bangsa Melayu melihat UMNO yang majoritinya Melayu dan beragama Islam lebih hina dan dosa mereka mengatasi bangsa bukan Melayu dan chauvinist khususnya DAP. DAP dan kelompok pendokong LGBT dan Islam Liberal didakap umpama penghuni syurga sedang UMNO yang berbangsa Melayu dan Islam majoritinya diludah dan cerca lebih rendah dari bangsa kafir. Memang pemimpin dan ahli UMNO juga ada dosa dan bersallah sepertimana juga mereka yang tetap berhartakan dosa dan kesalahan kerana tiada yang maksum selagi bernama manusia bukan pilihan. Apakah istimewanya DAP dan kelompok Islam Liberal dan LGBT berbanding sesama Melayu dan Islam di dalam UMNO?

7.  Survey yang dilakukan di Indonesia juga lebih 40 % memilih untuk kembalikan Soeharto jika boleh dan lebih 20 peratus yang bingung dan lainnya juga keliru. Reformasi yang dijerit dan dilolong selama ini rupanya gagal mencapai kehendak mereka akibat dari ‘spin doctor’ yang berserakan memainkan peranan penting demi TUAN mereka.

8.  Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Namun, tiada sesalan yang ditemui dahulu berbanding kemudian.

Wallahualam

HNBK

BEKAS TAHANAN ATAU TAHANAN DIBERKAS

Salam,

1. Pada 16 Julai 2012, empat bekas tahanan Ordinan Darurat 1969, yang dibebaskan beberapa bulan lepas, ditahan polis setelah dipercayai menyamun sebuah pusat refleksologi di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur. Ini baru satu contoh. Boleh dikatakan dalam setiap minggu, ada saja kes melibatkan bekas-bekas tahanan Ordinan Darurat ini. Hari ini juga ada satu kes dilaporkan.

2.  Polis dikatakan memantau pergerakan 1,473 individu seluruh negara yang dibebaskan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri sejak beberapa bulan lalu dan sedia membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan bagi mengelakkan mereka kembali terlibat dengan jenayah. Namun apa yang berlaku sekarang? Apakah puncanya masih gagal mencari pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka dalam bidang jenayah?

3.  Bekas IGP Tan Sri Musa Hasan sebelum ini pernah mengaitkan peningkatan kadar jenayah sekarang dengan pembebasan penjenayah-penjenayah bekas tahanan Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri sejak beberapa bulan lalu namun disangkal oleh pihak polis.

4.  Penafian bukanlah jalan penyelesaian kerana peningkatan kadar jenayah ketika ini amat membimbangkan rakyat. Ini tidak termasuk kes-kes yang diklasifikasikan di bawah standard kes sebenar. Rakyat pun tahu ada kes ragut dan curi atau samun yang dibawa ke balai dan hanya diklasifikasikan sebagai tercicir saja memandangkan jumlah kerugian mungkin sekitar RM10-RM50 sahaja. Namun jenayah tetaplah jenayah.

5.  Rakyat bukanlah semuanya OKU @ Orang Kurang Upaya yang pekak dan bisu. Rakyat berhak mengetahui keadaan sebenar dan mereka pastinya lebih senang dengan keadaan sebenar dari dibayangi angka dan fakta berbalam-balam. Angka dan peningkatan kadar jenayah tidak menakutkan rakyat jika kadar penyelesaiannya juga tinggi. Mengetahui cerita sebenar dapat mengubati penyakit sedang melindungi adalah tindakan merbahaya. Banyak kes-kes kemalangan maut berpunca daripada penumpang kenderaan atau pembonceng motosikal yang tidur dan tidak mengetahui ketika kemalangan itu berlaku. Keadaan ini juga sama dengan apa yang berlaku dalam isu jenayah.

6.  Mungkin rakyat dapat memberikan cadangan dan idea yang tidak semestinya datang dari pakar kriminologi untuk membantu menurunkan kadar jenayah. Seperti apa yang dilaksanakan oleh bank-bank di Indonesia yang menyediakan perkhidmatan menukar wang dan mengeluarkan wang dari mesin ATM atau CDM atau lainnya hanya melalui lorong ‘Drive Thru’ seperti membeli makanan di KFC atau McD.

7.  Sama-samalah kita renung yang baik dari Allah dan kekurangan itu dari saya sebagai penulis.

Wallahualam

HNBK

MAGNUM ATAU MAGNUM OPUS

Salam,

1.  Hidup berjalan ke depan bukan ke belakang, walaupun sejarah kerap membayang.  Kita tidak boleh hidup sekadar dari impian. Impian harus diwujudkan ke dalam bentuk nyata.  Memasang impian untuk menjadi kaya dan hidup senang tidak menjadi dosa namun berpijak di bumi nyata itu harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

2.  Bingkas perkataan ‘MAGNUM’ memercik fikiran sebahagian manusia yang mahu sepantas kilat menjadi kaya sedang yang lain harus bercucuran keringat jatuh ke bumi untuk ‘MAGNUM OPUS’ yang menjelmakan insan kerdil menjadi kaya raya dan tersohor seperti penulis jutawan novel Harry Porter Joanne Kathleen Rowling atau J.K. Rowling. Ramai lagi yang menjadi kaya dan hidup senang dengan karya agung mereka termasuk di Malaysia iaitu Fauziah Ashari yang menerima ratusan ribu ringgit sejak ianya dilancarkan. Novel itu telah diulang cetak sebanyak 23 kali dan Fauziah Ashari sudah menerima lebih RM219,000 dalam bentuk wang royalti sejak jualan pertama sekitar tahun 2002 tidak termasuk royalti filem yang disadur dari novelnya itu.

3.  Wilayah yang memisahkan antara Magnum Berhad, Magnum 4D dengan Magnum Opus  ini begitu jauh jaraknya umpama langit dan bumi. Yang satunya simbol kedunguan dan kerakusan manusia yang merelakan diri menjadi mangsa ketagihan dan kemaruk menjadi kaya sekelip mata bersandarkan pergantungan kepada nasib dengan merangkak dan berlari menghambakan diri kepada pemangsa iaitu taukeh judi yang sememangnya lapar dan dahaga setiap masa. Sedang Magnum Opus yang bermasud Karya Agung berpusat kepada usaha tidak mengenal jemu ditunjangi ketabahan untuk menghasilkan yang terbaik dan berkat usaha gigih mencari keagungan karya dan penghasilan yang berbeda bermodalkan keringat dan penat lelah yang dikorbankan demi cita-cita dan impian untuk digapai.

4.  Magnum Berhad dan Magnum 4D hanya memerlukan langkah ke kedai dengan sejumlah wang untuk dicampak ke muka agen pemangsa manakala Magnum Opus memerlukan jutaan langkah menuju kejayaan dengan Nur Allah dijadikan senjata untuk mempertemukan titik antara pembaca dengan penulis dan dicernakan mengikut  tafsiran yang berbeda. Semakin besar jumlah pembaca yang bertemu pada titik yang sama dengan penulis atau penghasilnya maka semakin agunglah karya itu dan menjadi ‘masterpiece’ bergelar ‘Magnum Opus’.

5.  Magnum Opus yang digarap pastinya bersumberkan ilmu yang  datang dari berbagai sumber termasuk pengalaman, bacaan, pembelajaran samada berguru dan buku serta pelbagai cabang ilmu yang dianugerahkan Allah swt.  Sementara Magnum Berhad dan Magnum 4D hanya bersumberkan naluri ketamakan dan imaginasi tidak berkesudahan ciptaan taukeh panggung bernama Iblis melalui agennya pemilik Magnum Berhad dan Magnum 4D.

6.  Banyak lagi Magnum Opus yang merujuk kepada karya agung  dengan  pencapaian  terbaik, terbesar, yang paling popular, atau yang paling terkenal oleh seorang penulis , artis, komposer atau pencipta.  Terpulanglah kepada kita untuk menggali dan membongkarnya.

7.  Pilihan di tangan kita samada memerangkap dan menjebak diri dalam bubu Magnum Berhad dan Magnum 4D ataupun mencari Magnum Opus yang bukan milik eksklusif mana-mana pihak.

Wallahualam

HNBK

Syaitan yang bertelingkah

Salam,

1.  Seringkali gurau senda dan jenaka dihadirkan dalam hidup kita bagi menjauhkan gundah-gulana dan meredakan kegusaran serta basa-basi yang meluluhkan jantung akibat kesedihan yang menggunung. Namun, pendekar lidah seringkali menggunakannya sebagai senjata melemahkan lawan yang kaya dengan keangkuhan diselubungi kesombongan yang mendekatkan dirinya dengan Qarun laknatullah.

2. Tidak kurang bilangannya pemimpin besar yang menjadikan kehebatan memukau pengikut dan penyokong masing-masing dengan keupayaan berpidato dengan gaya tersendiri sehingga ketaksuban akhirnya menjadi jalan mati yang memerangkap golongan yang dijangkiti penyakit amat merbahaya ini.

3.  Namun, jika humor dan jenaka itu mampu digeluti dengan pintar, kuasa pidato sehebat manapun akan tunduk menyembah bumi. Gerak langkah dan tingkah pemilik kuasa humor ini menghina dan meratah musuhnya seperti mendendangkan irama merdu yang mengasyikkan namun terselit racun berbisa. Tusukan hingga mencecah belulang dan musuh menderita kepedihan yang amat sangat dan dipandang umum bagaikan najis menjadi pakaian musuhnya itu.

4.  Ambil saja kisah humor mantan Presiden Indonesia Gus Dur yang amat tersohor memiliki skil ini dalam kelucuan membantai mantan sebelumnya itu Soeharto secara sinis. Coba kita renungi kepintarannya membenam pemerintah paling lama Republik Indonesia selama 32 tahun itu hanya dengan kiasan dan sindiran yang mencicip masuk ke benak rakyat dan memandang Soeharto dan kabinet balacinya menjadi seperti sebeban sampah yang berbau menyakitkan deria bau manusia.

5.  Gus Dur dengan nada sindiran politik memetik kisah Presiden Soeharto berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji. Sebagai seorang persiden, beberapa menteri mengiringi beliau. Salah seorang yang menjadi ‘juru tunjuk’ presiden dan dianggap oleh Soeharto sebagai pembantu yang paling rajin iaitu Menteri Penerangan Harmoko. Setelah melalui beberapa amalan ritual mengerjakan haji, rombongan Soeharto pun melaksanakan jumrah, yakni simbol untuk mengusir syaitan dengan cara melontar batu ke sebuah tiang seperti patung. Di sinilah timbul masalah, terutama bagi Harmoko. Beberapa kali batu yang dilontarkannya selau berpatah balik ke arah dirinya.

6. Harmoko yang ketika itu kelihatan gementar kerana bimbang apa yang akan  terjadi kepada dirinya. Harmoko kemudiannya mengubah kedudukan namun hasilnya tetap sama dengan batu yang dilontarkannya seperti ada yang melontar balik ke arah dirinya.

7.  Setelah tujuh kali lontaran dan hasilnya tetap sama, Harmoko pun menoleh ke kanan dan ke kiri, mencari-cari kedudukan presiden untuk “meminta pandangan”. Setelah menghampiri presiden, Harmoko merasa lega namun tergopoh-gopoh merapati presiden. Namun, sebelum sampai di hadapan Soeharto, Harmoko mendengar bisikan “Hai manusia, sesama syaitan jangan saling melontar.”

8.  Kisah yang dipaparkan Gus Dur itu banyak meletakkan sesuatu yang tersirat betapa kabinet Soeharto itu digumuli syaitan bertopengkan manusia namun kiasan dan analoginya itu menggabungkan kematangan, kelucuan dan suasana mesra namun berbisa.

9.  Mungkinkah humor seperti ini mampu mengubah kepincangan politik bertukar dari politik maki hamun kepada senda gurau yang boleh diterima kawan dan lawan?

Wallahualam

HNBK

APAKAH ITU MALAIKAT

Salam.

1. Ramadhan tahun ini memercikkan suatu keistimewaan yang membongkar rahsia kasih sayang yang tidak terbatas antara manusia dan manusia. Kasih sayang bukan milik eksklusif manusia tetapi juga milik makhluk lain yang turut membina jambatan antara manusia dan mereka.

2.  Hampir sebulan lalu, detik luarbiasa bagi aku namun mungkin tidak bagi orang lain berlaku. Seperti biasa, setiap pagi kecuali hujung minggu aku memandu kereta ke pejabat dari Jitra ke Kangar, Perlis. Semasa memandu, aku mendengar suara anak kucing di sekitar kereta yang sedang dipandu. Aku cuba mencari punca dari mana datangnya suara tersebut namun gagal. Bunyi radio direndahkan untuk mengesan dari mana suara anak kucing dan akhirnya aku memutuskan ianya mungkin khayalan belaka. Keesokannya aku ke Kuala Lumpur selama 3 hari untuk tugas luar dan sepanjang tempoh tersebut juga kenderaan itu mematikan diri di rumah. Sekembali ke Jitra, esoknya menjadi kebiasaan aku memandu kenderaan sama ke pejabat lagi. Kali ini suara anak kucing datang lagi dan aku berpendapat ianya bukan khayalan. Aku berpatah balik ke rumah dan setelah lama mencari-cari, aku temui makhluk yang ternyata dihadirkan untuk berteman dan membina persahabatan yang ikhlas dan tulus. Seekor anak kucing berwarna kelabu yang berada di bahagian dalam bonet hadapan bergerak ke sana sini di ruang sempit menyukarkan aku untuk mengeluarkannya namun berjaya juga dikeluarkan. Kotoran enjin sudah menjilat tubuhnya dan aku yang kehairanan membelai-belai dengan perasaan kasihan dan terdetik perasaan sayang akan makhluk ini. Masa untuk ke pejabat agak lewat, aku terus mencapai sebuah kotak dan meletakkan sehelai tuala yang tergantung di ampaian untuk anak kucing ini berehat sementara aku pulang kerja.

3.  Hari ini, kegelisahan aku sedikit tinggi untuk pulang awal melihat anak kucing luarbiasa ini. Aku membeli makanan anak kucing di kedai peliharaan haiwan dalam perjalanan pulang dan sebaik tiba di rumah, sahabat baru aku sudah menunggu dengan penuh kesetiaan. Ia menghampiri aku seolah-olah salam persahabatan yang amat mengujakan aku. Sebaik menukar pakaian, aku ke bahagian tepi rumah untuk memandi dan membersihkan anak kucing itu disusuli memberi makanan dan minum. Anak kucing yang aku namakan ‘Adik’ makan dengan penuh selera dan sejak itu, kami begitu akrab dan membuang jauh istilah manusia dan kucing. Yang ada sekarang adalah persahabatan makhluk dengan makhluk dan ternyata ia tidak digarisi sempadan yang hanya dilihat mata kasar manusia.

4.   Sebenarnya, sudah hampir dua bulan aku melayari penyakit yang aku sendiri tidak ketahui puncanya. Apa yang aku ketahui, aku sering sukar bernafas, lendir yang menyesakkan hidung dan selalu lendir yang keluar itu bersalut darah yang mengerikan aku setiap kali ia berlaku. Ianya sedikit sebanyak mengganggu tugas aku yang mencabar dan sudah sebati sejak lama.

5.  Kehadiran sahabat baru ini membuka minda agar aku agar lebih fokus mengesan penyakit sebenar yang membelenggu aku dan menimbulkan pelbagai teka teki. Pemeriksaan di sebuah klinik swasta sebelum ini tidak menunjukkan apa-apa yang luarbiasa walaupun setelah dibuat ujian ‘Imbasan’. Kali ini aku bertekad untuk menemui pakar ‘ENT’ dan jantung di sebuah Pusat Perubatan terkenal di Alor Star. Dimulai dengan pakar jantung ternyata keputusannya baik-baik saja dan hasil pertemuan dengan pakar ‘ENT’ terbukti ‘sinusitis yang dihidapi aku agak serius. Pemeriksaan ‘imbasan’ yang dijalankan dan dilihat dengan mata kepala aku sendiri melalui alatan yang dimasukkan melalui rongga hidung dan terpancar di layar monitor sememangnya amat menakutkan ditambah dengan kesakitan akibat alat yang dimasukkan itu. Hasil ubat-ubatan termasuk antibiotik dan ‘spray’ yang dibekalkan, syukur semakin menunjukkan tanda positif.

6.  Apa yang aku perolehi dari mahakarya yang dilalui dari peristiwa antara aku dan ‘Adik’ banyak membuka rahsia antara langit dan bumi yang tersimpan kemas. Aku dapat merasakan dia melihat aku manusia yang manusia. Dia tidak pernah menyakiti fizik, minda dan emosi aku dan dia muncul di celah-celah kemanusiaan yang kian hilang dalam situasi ajaib. Apakah dia mungkin jelmaan malaikat atau utusan yang didatangkan dengan rahmat kasih sayang yang aku benar-benar perlukan pada detik aku tersiksa oleh kefiraunan yang sentiasa bengis dan benci akan  keamanan dan kedamaian jiwa manusia. Dia hadir untuk aku bersaksikan mata dan telinga betapa aku masih dikasihi dan disayangi makhluk walaupun seluruh isi bumi membenci dan menghina aku. Kemunculan dalam peristiwa luarbiasa dan menghasilkan sesuatu yang luarbiasa, kasih sayang dan persahabatan luarbiasa. Aku membeli makanan dengan ikhlas dan balasan ikhlas kasih sayang yang tidak mampu aku beli di mana-mana dengan apa juga harganya walau habis semua wang aku dan wang manusia di bumi ini aku belanjakan. Untaian kasih sayang yang tercetus itu umpama panahan halilintar yang membenam jantung antara aku dan makhluk luarbiasa ini. Terima kasih dan syukur atas kehadiranmu ‘Adik’.

Wallahualam

HNBK

 

 

 

 

DEAF DUMB BLIND

Salam,

1.   Ketika zaman kanak-kanak, lagu Ding Dong Bell dan Pok Amai-Amai, Belalang Kupu-Kupu sangat lah popular di kalangan usia kecil tidak kira apa bangsa yang menyanyikannya.  Lagu Ding Dong Bell pula boleh lah dianggap sebagai terjemahan 1Malaysia memandangkan semua bangsa kebanyakannya tahu dan boleh menyanyikan lagu ini. Namun, setelah masa beredar, lagu yang kian popular sekarang ini di kalangan orang dewasa pula ialah Deaf Dumb Bell.

2.   Lagu ini popular bukan disebabkan genre, melodi atau pun siapa penyanyi yang hebat menyanyikan lagu ini. Tetapi liriknya yang bersahaja, mudah difahami dan hanya memerlukan ulangan dari awal sampai habis tak kira berapa lama penyanyinya bernyanyi. Yang pentingnya adalah penghayatan dan amalan bertubi-tubi sehingga mahir. Banyak sudah penyanyi yang mahir dan sebahagian besarnya adalah di kalangan ketua, pemimpin dan hulubalang di dalam organisasi tidak kira Jabatan Kerajaan, Parti Siasah, NGO dan persatuan-persatuan yang ada di negara ini tidak kira yang berdaftar ataupun sebaliknya.

3.   Melihat kepada tiga perkataan yang terdapat pada lagu ini, ianya amat mudah namun memberi kesan yang mendalam. ‘Deaf’ yang membawa maksud ‘pekak’ dicanang sehingga pekat sepekat diesel hitamnya. Penyanyinya akan terus memekakkan lagu ini tidak kira masa dan tempat. Yang penting ‘pekak’. Apa diberitahu buat ‘pekak’. Masalah orang bawahan dan rakyat yang datang serta memerlukan perhatian ketua atau  pemimpin hanya dipekakkan sehingga mencecah martabat tertinggi iaitu ‘pekak badak’. Orang bawahan dan rakyat hanya perlu menganggap ianya sudah dilangsaikan apabila sudah dimaklumkan kepada penyanyi lagu ini.

4.  Perkataan kedua pula adalah ‘Dumb’ bermaksud ‘bisu’. Tiada jawapan mahupun keputusan oleh ketua, pemimpin dan hulubalang yang menyanyikan lagu hebat ini. Yang penting membisu dan kelu. Orang bawahan dan rakyat tidak perlu gusar dan emosi apabila masalah dan pandangan dilontarkan kerana mereka sudah ditakdirkan menjadi ‘bisu’ setelah menggemari dan menyanyikan lagu ini.

5.  Yang akhir dan kemuncak pula adalah ‘Blind’ yang bermaksud ‘buta’. Membuta samada ‘tidur’ atau memejamkan mata wajib untuk menyempurnakan amalan nyanyian lagu ini demi penghayatan mutlak bagi menjulang tropi atau ‘award’ di dalam apa juga pertandingan. Yang penting adalah membuta dan memejamkan mata dari segala masalah dan bebanan yang dibawa oleh orang bawahan dan rakyat. Mereka yang bermasalah atau terbeban hanya perlu mengamini keadaan ini lantaran ianya demi kemajuan industri muzik tanahair. Tiada yang akan marah kerana perkatan ‘buta’ itu umpama keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang cacat yang memerlukan kasih sayang dan perasaan belas kasihan dari masyarakat. 

6.  Dengan populariti dan kehebatan lagu ini, jika seluruh rakyat menerima dan mengamalkannya, tidak mustahil negara akan menjadi terkenal dan mencapai tahap negara maju dengan cepat sebelum menjelangnya tarikh yang disasarkan.

Wallahualam

HNBK