Bajet 2014

As- salam,

1. Bajet atau disebut juga belanjawan telahpun dibentang dengan ‘gah’nya Jumaat baru-baru ini. Seperti biasa bajet dibentangkan pada hari Jumaat dan rasionalnya hari tersebut dipilih tidaklah diketahui kecuali ianya saya anggap sebagai ‘penghulu’ segala hari. Makanya pembentang bajet juga adalah ‘penghulu’ segala kampung dan mukim tanahair untuk menurunkan rahmat kepada sekalian rakyat. Imam Al-Ghazzali berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu dijadikan Adam a.s. dan pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat. Hari Jumaat juga adalah hari di mana segala amalan kita ditunjukkan kepada Baginda Nabi SAW dan oleh itu marilah kita sama-sama basahkan lidah dengan ucapan shalawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW.

2. Sempena pembentangan Bajet oleh ‘penghulu’ negara, rakyat menanti penuh debar bukan kerana bimbang terlepas solat Jumaat, tetapi kerana menanti gula-gula yang merahmati rakyat itu samada akan sama antara yang diharap dengan yang diumumkan. Yang pasti gula-gula dikurangkan kerana bimbang ‘diabetis’ menokok jumlah pesakit kencing manis yang sudahpun merisaukan pemimpin negara yang berjumlah 2.6 juta pesakit ketika ini. Oleh itu, subsidi gula perlu dihapuskan berjumlah 34 sen dan secara langsung harga gula akan menokok dengan jumlah yang sama keesokan harinya. Mudah-mudahan jumlah pesakit ‘diabetis’ akan berkurang.

3. Menurut teman facebook saya yang menggunakan nama Sam Ratulinggi, 1 kg gula (1000 gram) akan dapat menghasilkan 350 cawan minuman. Jika 1 cawan yang selama ini dijual dengan harga RM1.20 dinaikkan RM1.50 bermakna tambahan 30 sen setiap 1 kg. Tambahan 30 sen itu didarab dengan 350 cawan bermaksud peniaga minuman dapat menokok RM105 dengan hanya tambahan 34 sen untuk 1kg gula. Syabas atas kebijakan langkah menarik subsidi gula yang menguntungkan peniaga-peniaga minuman belum lagi semua jenis makanan yang menggunakan gula.

4. Jika perkiraan Sam Ratulinggi diambil kira, cuba bayangkan keuntungan peniaga minuman. 1 kg gula (1000 gram) akan dapat menghasilkan 350 cawan minuman. Jika 1 cawan dijual pada harga RM1.20 didarab dengan 350 cawan, maka catatan jualan adalah RM420.00. RM420 ditolak RM 2.80 untuk 1kg gula dan RM10 untuk kos air maka peniaga masih untung RM 407.20 sen. Pakar matematik kampung seperti inilah sebenarnya yang lebih memahami masalah bajet orang kampung dan yang dompet duitnya lebih mahal dari jumlah isinya berbanding pakar ekonomi dan penasihat bertali leher yang diselimuti ‘coat’ berharga ribuan ringgit tiap satu.

5. Sesungguhnya, pembentangan bajet kali ini amat tidak seimbang antara kenaikan cukai dengan pendapatan rakyat serta masalah inflasi. Malah ianya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan pembaharuan yang besar diumumkan dalam pembentangan Bajet 2014. Seperti disebut Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, pengumuman pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen tidak mampu menggantikan pertambahan kos yang akan ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga gula tersebut. Malah tambah Datuk Kamarudin Jaffar lagi, “Kita juga dapat menduga harga minyak akan naik walaupun tidak diumumkan dalam Bajet. Kenaikan harga minyak ini akan memberi kesan dan impak negatif segera kepada rakyat. Menurutnya, kenaikan harga minyak yang dijangka selepas pengumuman Bajet itu tidak boleh ditampung dengan pemberian BR1M yang dinaikkan sebanyak RM600.

6. Pemberian bonus, bantuan khas, dan BR1M 3.0 lebih merupakan langkah jangka pendek menepis kemarahan rakyat namun tidak mampu meredakan kesengsaraan rakyat golongan pertengahan dan bawah yang sudah lemas selama ini. Apakah justifikasi ‘Penghulu Negara’ akan diterima keseluruhan rakyat yang berbunyi “Kita hapuskan subsidi gula, sebabnya subsidi itu membazir seperti yang dikatakan oleh kebanyakan penganalisis pasaran serta 2.6 juta rakyat kita menghidap diabetes. Kalau menderita diabetes, mata kadang-kadang rabun, nak kena gunakan mesin dialisis dan lebih teruk, kaki terpaksa dipotong.Saya sendiri sudah belajar minum teh tanpa gula. Inilah, kita perlu ajar rakyat dengan perkara-perkara yang baik sebab kita kerajaan yang bertanggungjawab”?

7. Apakah berbilion ringgit yang lesap akibat ketirisan dalam sektor awam sepertimana pendedahan laporan oleh Ketua Audit negara baru-baru ini tidak dianggap membazir? Apakah dengan terbongkarnya skandal-skandal besar termasuk Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan National Feedlot Corporation (NFC) itu bukan pembaziran? Rakyat jangan diletakkan pada keadaan umpama tertipu dengan pertandingan ‘gores dan menang (G&M)’, walaupun adat bertanding pasti ada kalah menang. Tetapi seperti yang dibuktikan dalam permainan ‘gores dan menang’ (G&M), tidak ada yang menang, semuanya kalah hingga jatuh miskin. Jika beginilah nasib rakyat, jangan salahkan rakyat jika segala yang baik akan dilihat buruk. Manusia yang hilang pertimbangan, ibu dan bapa kandung lagi menjadi korban, inikan pula jauh di mata. Nampaknya bukan tikar hampar yang digulung, sebaliknya gulung tikar jadi pilihan rakyat akhirnya.

8. Setiap kali wakil rakyat dan para menteri dipilih, semua di kalangan mereka telah bersumpah yang merupakan janji-janji kepada negara dan rakyat untuk memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Sabda Nabi Muhammad saw, “ Tidak beriman seseorang yang tidak memelihara amanah, dan tidak sempurna iman seseorang apabila tidak menepati janji.” Rasanya sebagai umat Islam, perkara yang paling tidak boleh diterima adalah dikatakan sebagai tidak beriman walaupun ia dilihat begitu. Maka, janganlah sampai label sedemikian dilontarkan ke muka pemimpin akibat mengkhianati janji dan amanah yang dipikul. Oleh yang demikian, saya memilih untuk mempertahankan hak dan kebenaran seperti yang disebut oleh Muhammad Abduh, “Kalau orang lain berani mempertahankan kebatilan, mengapa kita takut mempertahankan hak dan kebenaran?”

Wallahualam

~: hnbk :~

bajet2014-bajet-2014

Advertisements

Sungai Limau ‘BAH’

Salam,

1. Bagi rakyat di wilayah utara, selatan dan timur menyebut banjir tetapi di utara menyebutnya sebagai ‘bah’. Sesuai dengan Sungai Limau yang berada di Kedah, ingin saya guna perkataan ‘bah’ dalam artikel kali ini. Nampaknya ‘bah’ besar melanda Kedah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau. Kasihan dengan orang DUN Sungai Limau, kesedihan ditinggalkan allahyarham Tan Sri Azizan Razak yang meninggal dunia baru-baru ini belum sempat hilang, air ‘bah’ pula yang melanda.

2. Air ‘bah’ kali ini agak berbeza kesannya kepada mangsa yang terlibat. Ada yang menjerit dan terloncat-loncat kegembiraan dan terdapat juga yang bersedih melihat telatah manusia yang dilanda ‘bah’ besar kali ini. Hanya yang ‘lembap’ tanpa disentuh air sukar memahami mengenai ‘bah’ kali ini. Sepertimana musim-musim ‘bah’ yang lalu setiap kali berlakunya Pilihanraya Kecil (PRK), kawasan berlaku PRK akan digenangi melimpah-limpah air ‘bah’ yang bukannya air, tetapi dengan wang ringgit dan pelbagai isi perut bumi. Kawasan Sungai Limau tidak semena-mena ‘bah’ dengan lautan manusia. Yang tidak pernah dengar nama Sungai Limau kini bertasbih perkataan Sungai Limau siang dan malam di dinding facebook, di twitter, di blog dan apa saja yang boleh ditasbihkan. Yang menang dalam Pemilihan UMNO baru-baru ini samada suka atau tidak akan menjadi satria parti berdegar-degar suara kempen sehingga apabila ditanya semula, beliau sendiri pun tertawa kerana tidak faham dan tahu ianya adalah sandiwara semasa yang terpaksa dilakonkan demi membuktikan kepada raja sumpah setia tidak berbelah-bagi.

3. Projek-projek yang tidak pernah didengar sebelum ini akan muncul di Sungai Limau, tiba-tiba saja ‘bah’ di Sungai Limau. Tiba-tiba saja semua projek berada dalam senarai keutamaan yang ‘kononnnya’ telah lama dirangka. ‘Bah’ dengan janji jangan dipersoalkan lagi, ianya seakan kilat sabung-menyabung petanda Tanggang akan disumpah menjadi batu akibat derhakanya anak pada ibunya. Ibu Si Tanggang bersumpah, jika berlaku PRK, pasti akan berlaku guruh dan petir sabung-menyabung tanpa henti selagi keputusan PRK belum diumumkan dan akhirnya Tanggang menjadi batu setelah upacara pecah tanah dan batu tidak berkesudahan.

4. Tidak cukup dengan janji, pembohongan turut ‘bah’ di sana sini dalam kawasan Sungai Limau. Siapa yang berbohong hanya yang di atas sana dan orang Sungai Limau yang lebih memahami. Pengkhianatan, lakonan keluar parti akan turut membasahi bumi DUN Sungai Limau. Tetapi usah risau, semuanya akan terubat dengan jenaka oleh badut-badut yang didatangkan khas untuk menghiburkan mangsa air ‘bah’ di situ. Bermacam-macam gelagat badut yang akan dapat ditonton. Antara mahu tersengeh, ketawa atau termuntah saja yang berbeza di kalangan mangsa air ‘bah’.

5. Akhirnya air ‘bah’ ‘harapan’ dan ‘kekecewaan’ akan menutup tirai insiden ‘bah besar’ di Sungai Limau dan sama-samalah kita berdoa agar diselamatkan semua mangsa-mangsa ‘bah’ di situ. Jika berbuat sesuatu, buatlah dengan ikhlas tanpa berselindung dengan topeng kemunafikan. Buat masjid pun jika tidak ikhlas tidak guna apatah lagi yang buat benda lain. Contohnya Masjid Dirar. Nabi Muhammad saw buat masjid, lawannya pun buat masjid juga dengan pengerusi jawatankuasa masjidnya adalah Abu amir ar-Rahib. Nabi kirim dua orang sahabatnya untuk membakar masjid tersebut kerana ketidakikhlasan mereka. Sebanyak mana benda yang kita buat, kita mnegajar, kita mengaji, kita sembahyang, kita berzikir dan buat apa saja, Islam kata tentukan apa yang dibuat itu diterima Allah. Maknanya, kita sembahyang, kita buat jalan, kita buat jambatan, kita buat masjid jangan sekali-kali semata-mata untuk lihat barang tu ada. Tetapi biarlah kita usahakan agar diterima Tuhan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam wahai ‘Sungai Limau’.

Wallahualam

~: hnbk :~

PRK-Sungai-Limau

DETIK SYUKUR BERSIMPUH

Salam,

1. Setiap detik yang dilalui dalam kehidupan ini tiada satupun yang pernah terpisah dari nikmat yang dianugerahkan Allah swt kepada hambaNya buat mereka yang berfikir. Namun, rasa syukurlah yang membezakan antara seorang insan dengan insan yang lain. Buat insan yang bersyukur, penglihatan tidak saja hadir dari bebola mata, tetapi turut dilapisi mata hati yang memanusiakan insan bergelar manusia. Insan yang tidak tahu bersyukur mempunyai masalah membezakan antara keperluan dan nafsu, yang penting dengan kehalobaan dan untuk kehidupan atau sekadar bermewah-mewah. Perasaan dan fikiran legam yang menghantui kehidupan insan seperti inilah perlu dilunyaikan. “Ibarat lemak dan kolestrol yang ada dalam tubuh, maka ia harus dihancurkan”

2. Apakah yang lebih memiliki peri mustahaknya antara menyedut oksigen dengan menyedut asap rokok sehingga ada yang tidak bernafsu makan dan minum tanpanya? Tanpa oksigen manusia akan mati sedangkan merokok itu difatwakan haram dan pakar-pakar perubatan bersepakat mengatakan bertambah dekat jaraknya dengan kematian. Sekadar tidur berlantaikan buluh tetapi lelap tidurnya hingga berdengkur umpama burung bersiul berbanding dialas tilam empuk di hospital akibat diserang penyakit jantung yang mana lebih penting? Apakah tempat tinggal yang usang dan sempit tetapi bahagia lebih hina daripada rumah agam yang luas tetapi setiap kali diketuk pintu perlu menyorok di bawah katil bimbang ditahan pencegah rasuah? Apakah pangkat dan jawatan yang kecil tetapi cukup makan dan minum lebih buruk berbanding berpangkat besar dan berjawatan tinggi sedangkan pada masa sama menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan angin ahmar? Tidakkah dengan hanya menjadi ahli biasa parti tetapi tidak bermasalah lebih baik daripada berjawatan tinggi dan menjadi pemimpin besar parti tetapi memimpin dipenuhi kezaliman dan pengkhianatan? Dan apakah mereka yang tidak pernah ke luar negara dengan hanya melihat kampung halaman sendiri tetapi tidak bodoh itu bukan pilihan berbanding mereka yang melancong ke luar negara tanpa henti dengan wang rakyat dan haram serta kekal jahil?

3. Oleh yang demikianlah pentingnya ilmu yang menumpukkan rasa syukur dalam diri. Ilmu bukanlah sekadar untuk bermegah atau menjadi senjata memunggah khazanah negara yang menjadi milik rakyat. Gde Aryantha Soethama (2004) dalam bukunya Bali Tikam Bali dengan penuh semangat berkata “Kemuliaan pendidikan terletak pada bagaimana ia menuntun seseorang menuju jalan pembebasan. Ia tak cuma mengisi otak untuk membangkitkan kecerdasan, tapi juga membimbing emosi, agar manusia tidak takabur ketika pintar.” Apalah makna kehidupan yang disalut rasa takbur sedangkan apa yang dimiliki itu semuanya adalah milik Maha Pencipta. Kekecewaan dalam diri manusia semakin membengkak dan rasa syukur kian pudar kerana manusia terlalu bercita-cita besar. Semuanya telah dipahat kemas bahawa semua perencanaan yang dihajati WAJIB mengikut apa yang telah direncanakan. Golongan seperti inilah yang tidak sedikit jumlahnya sanggup menzalimi dan menganiayai manusia lain hanya demi memenuhi keserakahan nafsu yang membelenggu hati dan jiwa. Spesis seperti inilah juga yang sanggup memfitnah, menginjak kepala manusia dan membunuh jika perlu hanya demi mengejar cita-cita besar yang ditanam dalam minda dan jiwa.

4. Betapa mudahnya hidup manusia yang cita-citanya hanyalah untuk kesejahteraan semua makhluk di muka bumi ini. Alangkah simplistiknya kehidupan manusia yang tidak memasang cita-cita berbanding mereka yang mengejar cita-cita dan akhirnya menjadikan manusia lebih ganas dan buas dari haiwan serta jauh lebih jahat dari iblis. Kata Dahlan Iskan Calon Presiden Indonesia yang juga Menteri BUMN (Badan Usaha Milik Negara), “Orang yang tidak punya cita-cita lebih fleksibel. “Bayangkan misalnya saya harus sampai di sana, dan itu harus tercapai. Lalu di depan sana tiba-tiba ada dinding. Kalau orang yang punya cita-cita keras, dia akan tabrak dinding itu. Iya kalau dindingnya kalah. Lha kalau dindingnya terlalu kuat? Mati dia. Tapi kalau orang yang gak punya cita-cita, bilang wah di depan ada dinding. Ya belok aja. Misalnya di sana ada batu, ya belok aja. Ya saya merasa tidak punya cita-cita itu ya bagus juga.” Oleh kerana itu, manusia yang memasang cita-cita besar akan melihat keganjilan dalam diri manusia lain yang sanggup meninggalkan kariernya begitu saja dan dianggap bodoh kerana tanggapan bahawa manusia lain itu sama seperti mereka. Mereka tidak pernah terduga bahawa ada manusia lain yang tidak memasang cita-cita besar seperti mereka dan akan membelok mengikut haluan hidup yang ditakdirkan Allah swt tanpa ‘stress’. Jika dinding dan batu dihadapan, maka belok saja ke mana yang tidak bermasalah.

5. Pada usia muda mungkin kita mampu menabrak dinding dan batu kerana seperti kata Dahlan Iskan lagi, “Seseorang di usia muda bisa lebih mudah sembuh dan bangkit dari kegagalan dibandingkan generasi yang usianya di atas 30 tahun. Kerana itu bagi dia, usaha sebaiknya dimulai pada usia muda.” Bagi yang sudah melangkaui usia 30 itu, ada baiknya kurangkan ‘stress’ dan kesengsaraan mengejar cita-cita yang hanya akan berakhir dengan kekecewaan dan kemudaratan hati dan perasaan. Apabila ianya terjadi, luka dan kesakitan itu terlalu lambat untuk dipulihkan.

5. Kata-kata yang meremeh dan mempersendakan kita dengan penghinaan bahawa hidup tanpa cita-cita itu adalah tindakan bodoh, tidak punya keberanian dan apa saja perlu dinyahkan jauh-jauh agar tidak menjadi barah yang memakan diri. Ada ketikanya orang yang menasihatkan kita itu hanya bercakap atas keperluan menasihat bukan lahir dari bahang keikhlasan dalam hati. Ini dapatlah dirungkai dengan kata-kata Pandji Prangiwaksono (2012) dalam bukunya Berani Mengubah “Tidakkah itu membuat masyarakat Indonesia tampak bodoh? Ibaratnya, kita menurut sama ustaz yang bilang supaya kita setia kepada satu istri, sedangkan dia sendiri istrinya empat.” (84). Hidup ini perlu diteruskan dan diakhiri dengan ultimatum dari kita sendiri kerana kitalah yang lebih memakluminya. Saya yang memulai dan saya harus mengakhiri kerana apa yang saya hajati adalah “Detik Syukur Bersimpuh”.

Wallahualam

~: hnbk :~

syukur

BERANI BERUBAH

Salam,

1. Pemilihan UMNO kali ini sudah pun selesai dengan keputusan yang tidak memperlihatkan ‘transformasi politik’ diterjemahkan ke peti undi pemilihan kali ini. Apakah ‘transformasi politik’ akan berlaku jika individu sama, jawatan yang sama dan sikap serta pendekatan juga sama? Kata-kata perubahan dan ‘berani berubah’ slogan Mukhriz Mahathir amat mudah disebut semudah sebelah pagi makan roti canai, tengahari nasi campur dan malam mee goreng kerana modal hanya berbekalkan air liur. Kepala keretapi menggunakan arang jika dinamakan ‘bullet train’ tetaplah kelajuan dan fitrahnya sama tanpa menambah sedikitpun kelajuannya dan ‘bullet train’ pula jika disebut sebagai keretapi arang tidak juga menjejaskan keupayaannya walaupun sedikit. Kedua-dua jenis keretapi ini tidak emosi dan sentiasa rasional walaupun dimaki hamun atau dipuji.

2. Harapan sebahagian besar ahli dan rakyat yang ingin melihat sekurang-kurang satu daripada tiga kerusi naib presiden bertukar-ganti nampaknya tidak kesampaian sepertimana jawatan presiden, timbalan presiden dan semua sayap parti terus kekal kecuali sayap puteri yang berubah lantaran inkumben terpaksa mencari pintu keluar atas faktor umur. Melihat persaingan merebut jawatan dalam parti kali ini seakan-akan pemerhati dan pencinta politik tanahair sudah menjangka apa keputusannya yang akan diumumkan. Walaupun jauh di sudut hati mereka meletakkan harapan sekurang-kurangnya Mukhriz Mahathir akan dapat menyingkirkan salah seorang daripada inkumben namun tetap gagal walaupun undi popular menyebelahinya berbanding apa yang diperolehi Hishamudin Tun Hussein. Ternyata ketegaran ahli yang mengundi mempertahankan status-quo sukar digugah samada berpunca daripada politik wang seperti dakwaan sesetengah pihak dan calon bertanding ataupun ‘wahyu’ dari langit yang ‘wajib’ ditaati demi kelangsungan nikmat yang sedang dinikmati. ‘Wahyu’ tidak semestinya bertulis sepertimana juga malaikat Jibril yang menyampaikannya kepada para Nabi dengan kaedah tersendiri. Penafian harus dilakukan kerana tanpa penafian bukanlah politikus zaman ini namanya kerana salah satu kekayaan yang dimiliki oleh politikus adalah ‘alasan’. Samada rakyat dan ahli mempercayai alasan tersebut bukanlah masalah kepada yang menafikan.

3. Barisan kepimpinan yang dipilih inilah akan membawa panji-panji perang untuk berdepan PRU14 nanti dan apakah mereka mampu atau sebaliknya bukan persoalan kerana kepercayaan telahpun diberi oleh yang memilih. Sebenarnya, nasib bangsa Melayu bukan terletak pada UMNO dalam PRU14 nanti malah nasib UMNO sendiri yang akan ditentukan oleh bangsa Melayu di negara ini kerana tanpa dokongan pengundi Melayu, BN/UMNO pasti tersungkur akibat runtuhan sokongan pengundi bukan Melayu sudah tidak mampu direbut semula akibat tindak-tanduk UMNO sendiri yang seolah-olah berkerat rotan dengan pengundi Cina. Parti-parti komponen BN berteraskan Cina seperti MCA dan PGRM pula masih gagal menyelesaikan masalah dalaman parti malah dilihat semakin kusut masai, sugul dan akan terus membebani UMNO.

4. Roh perjuangan tanpa rasa takut untuk menyuburkan demokrasi dalam UMNO sudah lunyai setelah tiada satupun jiwa yang mampu bertanding kerusi presiden dan timbalan atas alasan mengelakkan perpecahan. Jika bimbang perpecahan, PRU juga tidak wajar dibuat kerana akan menyebabkan perpecahan rakyat. Pemilihan khalifah selepas wafatnya Nabi juga berlaku persilisihan maka bukan sesuatu yang luarbiasa jika pertandingan dalam parti akan wujudnya perpecahan. Jika pemimpin yang mendakwa hebat dan dihormati, pastinya akan mampu menyatu-padukan semula perpecahan selepas pemilihan atau pertandingan. Jika perpecahan dibimbangi bererti pucuk pimpinan tidak yakin kata-katanya akan dipatuhi dan sekiranya keadaan ini berlaku bermaksud dia tidak mempunyai kelayakan sebagai pemimpin ulung kerana gagal menuntut pematuhan daripada pimpinannya. Respon ahli dan pemimpin serta mereka yang kalah dalam pertandingan juga harus diambil kira. Tidak sepatutnya yang kalah terus dipinggirkan dan yang menang akan menang semua kerana jumlah undi diperolehi yang menang juga sudah memperlihatkan tidak semua yang menyokong mereka yang menang. Insiden-insiden seperti wakil wanita UMNO di Kelantan yang menghempas mikrofon dan 14 AJK wanita Bahagian Kalabakan, Sabah meletak jawatan serentak membantah keputusan pemilihan baru-baru ini perlu diambil perhatian.

5. Koridor politik dalam UMNO selepas ini samada akan dilebar atau disempitkan bergantung pada corak bagaimana pemimpin yang menang mencorakkannya. Alasan bahawa dalam sistem demokrasi majoriti menguasai minoriti nampaknya hanya mengundang bahang dari bara api pemilihan yang masih belum padam. Jika hanya alasan majoriti digunapakai, maka kita sebenarnya gagal menjadikan peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Allah Lut sebagai iktibar. Majoriti tidak semestinya betul jika dilihat apa yang berlaku di zaman itu. Hampir keseluruhan kaum yang mendiami Ibukota Sodom sepanjang timur laut (Dari Israel – Jordan), Laut Mati itu mengamalkan gaya hidup songsang dengan memilih lelaki dengan lelaki sebagai pasangan masing-masing dan melanggar fitrah penciptaan manusia. Apakah majoriti seperti itu dianggap betul dan minoriti dianggap salah jika dilihat dalam konteks ini? Kubu aliran pemikiran seperti ini perlu dipecahkan dengan matlamat mengimbanginya dengan unsur keagamaan yakni Islam sebagai benteng. Persepsi seperti ini perlu diporakperandakan demi memperbaiki yang rosak dan membetulkan yang bengkok.

6. Kaedah persaingan dalam pemilihan yang dikatakan penuh dengan elemen demokrasi itu dilihat tidak begitu terserlah. Sewajarnya kemudahan dan kekuatan berdasarkan jawatan dalam kerajaan diharamkan sama sekali dalam pemilihan ini. Jentera dan program kementerian ketika musim pemilihan tidak patut dibiarkan dilakukan oleh yang bertanding. Semuanya adalah wang rakyat serta tidak memberi keadilan kepada pencabar-pencabar inkumben. Adilkah parti kepada Mukhriz Mahathir, Isa Samad dan Ali Rustam dalam pemilihan naib presiden untuk berdepan dengan inkumben seperti Zahid Hamidi, Hishamudin Tun Hussein dan Shafie Apdal yang dibekalkan amunisi dan kelengkapan perang sedemikian rupa? Wujudkah keadaan seimbang untuk Raihan Sulaiman Palestin dan Maznah Mazlan untuk berdepan dengan Shahrizat Jalil walaupun tercalar teruk dengan isu besar sebelum ini? Apakah Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi anak kepada mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan dan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang tidak dikenali mampu bersaing dengan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan jawatan yang disandang sebagai menteri? Itu belum diambilkira soal kedudukan kewangan inkumben lagi yang masih boleh dipandang sepi walaupun mempunyai impak yang begitu besar dalam pertandingan seperti ini. Dalam memilih, suara seorang penarik beca sama dengan suara seorang menteri. Demokratisasi sepatutnya menjadikan pemilihan jawatan tertinggi parti tidak ditentukan oleh segelintir elit politik.

7. Pemilihan kali ini juga sedikit sebanyak cuba meletakkan keadaan seperti memburu di kebun binatang (zoo) kata orang Indonesia. Di mana kehebatan pemburu jika hanya memburu di dalam zoo sedangkan buruannya jinak dan sedia menanti pemburu? UMNO harus bijak memburu pemilih tidak berparti dan penyokong parti lawan jika ingin dilihat bermahkotakan kehebatan. UMNO harus jauhkan janji-janji yang tidak munasabah dalam berkempen sehingga demi mendapat undi terbanyak, tidak kurang calon yang menawarkan tema kempen bulan dan bintang tanpa memikirkan apakah ianya mampu dipenuhi atau sebaliknya setelah menang. Dari segi praktik, pemilihan parti atau pilihanraya umum adalah bagaimana secara ‘legal’ mendapatkan kuasa (how to be legally in power). Oleh itu, jika keabsahan kuasa yang dicari, maka laluilah proses mendapatkan kuasa juga dengan cara yang sah tanpa terpalit isu-isu yang boleh mencalarkan kewibawaan dan integriti calon. Kekuatan magis penguasa yang selalu bersandar pada ‘jampi-jampi’ keselamatan dan keamanan negara patut diketepikan agar tidak menampakkan bahawa calon tidak punya kekuatan sendiri dan hanya bergantung pada kapasiti sebagai pak menteri dan sebagainya.

8. Walaupun kita berumah di atas bukit, janganlah sesekali kita memandang rendah orang lain. Tidak ada satupun kejayaan yang dapat bertahan lama jika manusia sudah mengeluarkan sifat sombongnya. Jadikan kepentingan rakyat sebagai asas kepada perjuangan memartabatkan amanah yang telah dipikul. Slogan Mantan Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton ‘putting the people first’ baik untuk dipraktikkan demi kebaikan pemimpin dan juga rakyat. Pemimpin yang disayangi rakyat tidak pernah mati walaupun telah meninggalkan alam yang fana ini. Komen dan kritikan dari rakyat serta media harus dijadikan sebagai asas memperbaiki kelemahan diri. Sindrom penafian adalah sahabat yang jahat untuk seseorang pemimpin terus kekal. Zaman sekarang dengan media siber dan cetak bertali arus, jadikanlah ia sebagi peluang yang perlu direbut untuk menghiaskan diri dengan kemuliaan. Teguran dan kritikan tidak didatangkan kepada mana-mana orang tanpa hikmah buat mereka yang berfikir. Kata-kata Thomas Jefferson mantan Presiden Amerika Syarikat yang sering dipetik, “politicians who complain about the media are like sailors who complain about the sea” pastinya baik direnungkan. Taufiq Kiemas menulis buku dengan judul “Tanpa rakyat pemimpin tidak berarti apa-apa” dan ianya menjadi tunjang pemikiran yang perlu dipasak dalam minda setiap pemimpin.

9. Semoga kepentingan parti, bangsa, agama dan tanahair diseiringkan agar tidak menjadi apa yang dikejar tak dapat dan yang dikendong pula berciciran. Simpati dan kasihan tetap mewarnai perasaan penyokong Mukhriz Mahathir yang akan menjadi hulubalang UMNO untuk merampas semula DUN Sg Limau, Kedah dalam PRK yang akan diadakan tidak lama lagi ekoran kembalinya Ustaz Azizan Razak mantan Menteri Bresar Kedah ke rahmatullah. Pastinya akan timbul keraguan bagaimana beliau akan mendapat ‘endorsement’ daripada pengundi Sg Limau yang tegar dengan pengaruh PAS sedangkan ahli UMNO sendiri menolak kepimpinannya. Sudah pastilah kekalahannya memberi impak besar terhadap penerimaan kepimpinannya di Kedah. Mungkin itu yang diharapkan oleh pencabar Mukhriz Mahathir dalam pemilihan UMNO kali ini dan terbukti ianya telah berjaya meletakkan MB Kedah ini dalam situasi tersepit. Namun, jangan pula disalah anggap bahawa artikel ini menjadi terompet kepada mana-mana pihak yang tidak meletakkan kepentingan bangsa, agama dan tanahair di hadapan. Suara mungkin sama, tetapi niat jauh berbeza.

Wallahualam

~: hnbk :~

PAU 2013

SAYAP YANG MENERBANGKAN UMNO ATAU MENJATUHKANNYA?

As-salam

1. Pemilihan ketua-ketua sayap parti UMNO sudah terjawab malam tadi dengan menyaksikan keputusan yang sudah dijangka sejak awal lagi. Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO yang ditinggalkan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin atas faktor umur, kini ia digalas oleh Mas Ermieyati dan bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tanpa masalah menghayun langkah ke kedudukan lama sepertimana Shahrizat Jalil yang terus memanaskan kerusi wanita parti yang serba ‘molek’ dalam perlembagaannya walaupun hakikat sebenar hanya Allah swt yang lebih mengetahui.

2. Tidak terlalu sukar membuat taksiran peluang kemenangan ketiga-tiga pertandingan jawatan sayap parti kali ini kerana bagi calon yang mencabar jawatan Ketua Puteri UMNO, jelas Mas Ermieyati lebih menonjol berbanding calon lain. Sementara bagi Pemuda dan Wanita kedua-duanya berdepan pencabar yang boleh dianggap ulam raja atau daging bakar yang mudah diratah oleh inkumben yang telah lama memasak bumi dan bersenjatakan kekuasaan yang telah dibina sebelum ini. Agak sukar bagi pencabar berdepan lawan sedemikian rupa walaupun sistem baru yang diperkenalkan didakwa dapat menghindari politik wang. Rasuah politik tidak semestinya wang dan banyak hal yang lebih bernilai dari wang atau membolehkan wang dicungkil daripada sokongan yang diberi menanti penyokong. ”Rasuah akan sentiasa wujud selagi masih ada perasaan tamak pada diri manusia”

3. Bahang pemilihan kali ini sememangnya panas walaupun dilihat luarannya dingin. Di Kelantan semalam, ‘microphone’ telah dibaling oleh perwakilan wanita mungkin akibat mendidihnya masalah dalaman dalam pemilihan kali ini. Namun bicara dan memberi pendapat juga mengundang respon yang tidak menyenangkan. Terdapat kata-kata yang dialunkan oleh pendokong parti yang sedang ribut dengan pemilihan kali ini bahawa kenapa perlu rumah orang lain menjadi bahan komen dan kritikan oleh bukan ahli dan tidak layak memilih? Apakah ini pandangan berasaskan rasional atau emosi? Rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan parti berhak memberi komen dan mengambil tahu kerana UMNO sebagai tulang belakang BN merupakan kerajaan memerintah samada rakyat suka atau sebaliknya terpaksa menerima pemimpin yang dipilih. Sistem pemerintahan di negara ini tidak seperti di US dan negara-negara lain yang mengamalkan konsep ‘separation of power’ cetusan Montesquieu secara lebih kemas berbanding di negara ini yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Sistem di Malaysia memperlihatkan kelompok legistlatif bertindih peranan dengan eksekutif sehingga ketiga-tiga cabang yang sepatutnya dipisahkan telah bertemu dan berkasih sayang tanpa batasan antara muhrim dan bukan muhrim. Mengikut konsep ‘separation of power’, ketiga-tiga cabang iaitu legislatif, eksekutif dan judiciary merupakan bukan muhrim yang tidak wajar bersentuhan antara satu sama lain namun apabila berlakunya sistem seperti yang diamalkan di negara kita, amatlah sukar ianya ditentukan sempadan pemisah antara satu sama lain walaupun ada pihak yang mendakwa betapa kebebasan wujud antara kesemua cabang-cabang itu.

4. Oleh yang demikian, apabila berlaku pemilihan dalam pertandingan merebut jawatan dalam UMNO dan BN, rakyat tertunggu-tunggu keputusannya. Ini disebabkan, terpilihnya pemimpin yang menerajui sayap dan parti UMNO, tidak dapat tidak ianya akan menjadi asas kepada pemilihan pemimpin itu sebagai calon dalam pilihanraya dan akhirnya setelah memenangi kerusi DUN atau parlimen akan diberi jawatan penting dalam kerajaan samada di peringkat negeri mahupun pusat. Jika ini berlaku, sudah pasti ia akan memberi kesan langsung kepada rakyat melalui dasar dan pendekatan yang dilaksanakan pemimpin-pemimpin ini kelak. Oleh itu, di mana rasionalnya rakyat tidak berhak menegur, komen dan mengkritik pemilihan pemimpin yang tidak layak menduduki kerusi samada sayap parti, MT, 3 Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden parti. Bayangkan betapa malangnya rakyat jika pemilihan pemimpin itu yang ditentukan oleh sebilangan kecil ahli parti akan menentukan nasib seluruh rakyat yang berjumlah hampir 30 juta orang? Jika bagus pemimpin itu rakyat bernasib baik, namun jika yang sudah terpalit dengan skandal dan isu-isu besar yang memalukan parti dan negara masih terpilih, apakah ini contoh transformasi yang cuba dibawa oleh parti seperti yang dicanang selama ini? Apakah UMNO sudah ketandusan pemimpin yang bersih daripada skandal dan masalah walaupun sudah dianggap bersih oleh agensi tertentu?

5. Menjadi pemimpin itu tidaklah semudah menjadi penjaga tandas yang hanya duduk menunggu pengguna datang memberi wang dan menunaikan hajat. Seperti kata Leroy Eims “seorang pemimpin adalah orang yang melihat lebih banyak daripada yang dilihat orang lain, melihat lebih jauh daripada yang dilihat orang lain, dan melihat sebelum orang lain melihat”. Pemimpin juga tahu saat dia berada di puncak, dia tidak lupa bahwa kemungkinan jatuh itu selalu mengintai. Ketika seseorang pemimpin mendapat kemenangan, bukanlah ianya menjadi sebab untuk dia berpoya-poya atau bersenang-senang melainkan beristigfar kepada Allah swt. Pemimpin harus amanah kerana jawatan itulah amanah yang maha besar harus dipikulnya. Janganlah hanya jawatan diburu sedangkan amanah dikesampingkan. Jika jawatan, kuasa dan harta yang diburu, tidak mungkin amanah yang akan diperolehinya. Tidak mungkin pemburu kijang akan mendapat ikan dan nelayan mendapat harimau sepertimana pemburu jawatan yang tidak akan mendapat amanah. Adalah sesuatu yang malang jika jawatan yang merupakan amanah itu dikejar oleh mereka yang bukan ahli kerana sudah pasti malapetaka yang akan menimpa rakyat.

6. Jadilah pemimpin seperti yang disebut oleh Nelson Mandela iaitu “memimpinlah dari belakang dan biarkan yang lain di depan ketika anda merayakan kemenangan. Saat bahaya datang, berdirilah paling depan, maka orang akan menghormati anda”. Pemimpin sebeginilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat dan parti yang memperjuangkan nasib rakyat. Jika sekadar menjadi pemimpin untuk hidup dan bekerja, pesan Buya Hamka “kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja. Maka apakah pemimpin sebegini yang kita cari?

Wallahualam

~: hnbk :~

Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Mas Ermieyati Samsudin

BILA RASUAH MENJADI RAJA

As-Salam..

1. Sejak pasaraya C-Mart di Bandar Darulaman, Jitra runtuh pada 8 Oktober 2013, setiap kali melintasi pasaraya tersebut yang runtuh pada jam 8.40 pagi itu sesungguhnya mengundang sejuta persoalan yang jika dikumpul akan kehabisan dayatahan untuk menjawab. Nasib masih menyebelahi pekerja dan pelanggan kerana tiada kecederaan dan kehilangan nyawa tetapi kehidupan tidak harus semata-mata bergantung kepada NASIB. Biarkan Nasib Si Labu dan Labi saja menjadi bahan jenaka tetapi TIDAK untuk realiti sebenar. Menurut saksi, bahagian yang runtuh adalah struktur bahagian dinding di tempat kedai pakaian dan kasut berjenama di mana pasaraya itu yang baru sahaja beroperasi selama tiga bulan lalu.

2. Antara persoalan yang laju meluncur masuk ke benak saya adalah jika Sijil Kelulusan Menduduki (CF) tidak dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kenapa pengusaha pasaraya dengan berani tanpa segan-silu menjalankan operasi perniagaan di situ? Jika alasan ianya dikatakan akan menjadikan premis tersebut sebagai gudang atau stor sekalipun, sudah pasti perlu mendapatkan Sijil Kelulusan Menduduki (CF). Bangunan pasaraya yang runtuh secara tiba-tiba pada hari tersebut di Bandar Darulaman, Jitra, Kedah disahkan belum memiliki Sijil Layak Menduduki atau CF. Apakah pihak bertanggungjawab khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya perlu menunggu sehingga begitu lama untuk bertindak? Sedangkan jika premis kediaman yang membuat tambahan bangunan atau membina tanpa kelulusan sepantas kilat diterjah pihak PBT? Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Air dan Tenaga Kedah, Badrul Hisham Hashim, pasaraya itu beroperasi lebih awal sebelum CF diluluskan dan syarikat terbabit kini dalam proses permohonan untuk mendapatkan CF. Tambah Badrul, Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) menyedari akan hal itu dan dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik pasaraya tersebut. Katanya lagi, operasi perniagaan sememangnya tidak dibenarkan di kawasan itu kerana ianya merupakan kawasan perindustrian. Justeru itu, MDKP telah mengambil tindakan tegas menyita bangunan pasaraya itu dan lebih 20 buah premis perniagaan lain yang beroperasi berhampiran pasaraya itu ketika memberi kenyataan media semasa lawatan ke lokasi runtuhan.

3. Mengambil tindakan menyita bangunan yang sudah runtuh itu dianggap satu tindakan tegas? Lebih dari tempoh sebulan sebelum itu pihak pasaraya telah mewar-warkan mengenai pembukaan pasaraya tersebut termasuk mengambil pekerja termasuk iklan penjualan lot kedai berhampiran kawasan itu. Apakah PBT dan pihak yang terlibat tidak mengetahui, sengaja memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap premis yang akan dijalankan operasi perniagaan itu? Malah, sehingga 3 bulan ianya beroperasi sehingga runtuh itu apakah pegawai dan kakitangan PBT tidak ke sana untuk membeli barangan keperluan? Jenaka tidak selalunya menghiburkan, adakalanya ia terlalu menyakitkan hati dan meloyakan.

4. Persepsi rakyat dan masyarakat setempat keruntuhan pasaraya C-Mart ini tetap dikaitkan dengan RASUAH walaupun ianya belum dapat dibuktikan. Persepsi lebih penting dari kebenaran. Rasuah membutakan yang celik, memekakkan yang tidak tuli, membisukan yang mampu bersuara dan mematikan akal yang masih hidup. Benarlah seperti kata pepatah Russia “When money speaks, the truth is silent”. Kita tidak membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak kecuali mencungkil kegusaran yang tertanam di minda rakyat kenapa perkara sebegini harus berlaku berulang kali dan ditampilkan dengan alasan sama berulang kali?

5. Cuba kita fikirkan selain daripada harta benda yang musnah dan nasib yang masih menyebelahi pekerja dan pelanggan yang tidak terkorban. Bagaimana dengan sebahagian daripada pekerja yang berhenti kerja di tempat lain dengan harapan untuk mencari rezeki di tempat baru yang gah dengan nama besar ditambah pemiliknya juga nama besar di daerah dan negeri ini? Apakah semua mereka akan diterima semula bekerja di tempat lama? Bagaimana dengan mereka yang mengorbankan simpanan dan berhutang sana-sini untuk memasang impian menjadi ahli perniagaan di lot-lot kedai berhampiran pasaraya yang turut di sita PBT? Wang pendahuluan dan sewa bulanan mencecah ribuan ringgit lebur begitu saja. Inikah harga kepercayaan rakyat yang dipanjatkan ke bahu pegawai kerajaan untuk membantu rakyat?

6. Menurut Prof. Syed Hussein Alatas dalam bukunya Rasuah – Sifat, Sebab dan Fungsi, “Sejarah rasuah boleh dikesan sejak bermulanya kehidupan bermasyarakat manusia, yakni tatkala organisasi sosial yang kompleks mula muncul. Manusia terlibat dalam fenomena rasuah kira-kira selama beberapa ribu tahun.” Mengesan perlakuan rasuah zaman sekarang tidaklah sesukar zaman dahulu di mana kesulitan mengesannya seperti mengetahui berapa banyak air yang ditelan oleh setiap ikan di sungai. Tambah Prof. Syed Hussein Alatas lagi, “Rasuah tidak dapat dirumuskan dengan satu kalimat sahaja. Inti rasuah adalah penyalahgunaan kepercayaan demi kepentingan peribadi”.

7. Rakyat telah memberi kepercayaan dan ianya membolehkan kerajaan membayar upah atas khidmat mereka untuk membantu rakyat. Tetapi jika kepercayaan itu dengan mudah dikhianati, apakah rakyat juga amat payah untuk menghukum? Sepertimana kata Dato’ Seri Zahid Hamidi apakah kita perlu membela nasib mangsa jenayah atau penjenayah? Maka dalam konteks ini yang menjadi mangsa adalah rakyat dan pemangsanya adalah kapitalis yang memperalatkan peneguk rasuah yang mengkhianati amanah rakyat. Kasihanilah rakyat yang sudah jatuh ditimpa tangga, mereka patuh orang lain yang lega.

8. Kata Benjamin Franklin “Jika manusia masih tetap jahat dengan adanya agama, apatah lagi jika tiada agama”. Bukan sesuatu yang mustahil ada agama baru yang dianuti oleh masyarakat yang sudah hilang kemanusiaan kerana manusia tidak sama dengan kemanusiaan. Mungkin adanya agama bernama HARTA dan JAWATAN yang disembah kerana mereka percaya ia mampu memenuhi semua kehendak mereka jika kedua-dua agama itu telah dipeluk. Demi harta dan jawatan, apa saja akan dilakukan sehingga kemanusiaan digadai dan maruah serta prinsip hidup dilelong begitu saja. Pelbagai undang-undang dan peraturan ditambah dari hari ke hari atas alasan untuk memperkemaskan jentera pentadbiran, sebaliknya menjadi senjata untuk menjerut leher rakyat yang sudah lemah lagi lemas. Cornelius Tacitus seorang senator dan penulis sejarah Kerajaan Romawi mengungkapkan bahawa “Makin rasuah suatu negara, makin banyaklah peraturan-peraturan yang dibuatnya”. Oleh kerana itulah undang-undang dan peraturan hanya menjadi lukisan yang ditatap tanpa ada naluri pematuhan. Elok sekali direnung kata-kata Benjamin Disraeli ini, “When men are pure, laws are use less; when men are corrupt, laws are broken”.

9. Jangan dibiarkan “rasuah menjadi raja, sehingga perasuah menjadi hulubalang-hulubalang yang mempertahankannya bermati-matian. Hubaya-hubaya kita dijauhkan dari keadaan seperti itu lahir dalam masyarakat dan kehidupan kita semua. Amin yarabbal alamin.

Wallahualam

~: hnbk :~

rasuah

KONGSI GELAP

As-Salam

1. Isu kongsi gelap ketika ini menjadi isu panas yang bergelut dengan berbagai dimensi pemahaman yang jika tidak diperjelaskan secara tuntas dan berhemah boleh mengundang kesan jangka pendek dan jangka panjang terhadap keharmonian kaum. Jenayah itu sendiri adalah buta warna samada yang menjadi mangsa mahupun pemangsa. Jika ianya berlaku, mangsanya boleh jadi wanita, kanak-kanak, orang tua, Melayu, Cina, India dan mencakupi segala etnik yang ada di muka bumi ini. Begitu juga dengan pemangsa ataupun penjenayah, ia boleh datang dari kelompok etnik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Sikh dan segala rupa bentuk dan ras yang ada di sekeliling kita.

2. Menyelesaikan masalah tidak kira ‘kongsi gelap’ atau ‘kongsi cerah’, masalah sosial, jenayah dan apa juga yang dianggap masalah seharusnya dilihat dari akar kepada permasalahan tersebut. Keikhlasan, kejujuran, keberanian untuk mengakui kelemahan menjadi kunci kepada samada masalah itu akan dapat diatasi atau sebaliknya. Kepentingan politik, kepentingan diri dan kumpulan seharusnya diketepikan jika kita benar-benar ikhlas untuk membenam dan menutup seketat-ketatnya masalah yang dihadapi. Sikap telunjuk lurus kelingking berkait dalam berdepan masalah bukan sifat yang mulia malah benih kepada pengkhianatan kepada rakyat.

3. Jika ikhlas, kita harus menerima hakikat bahawa kongsi gelap tidak hadir bersama keturunan atau pertalian darah dan ia juga tidak menjanjikan bahawa kaum, bangsa dan agama menjadi punca penjenayah itu melakukan jenayah. Seperti juga kegiatan keganasan dan militan yang dikaitkan dengan agama Islam adalah satu strategi licik musuh Islam untuk mencari alasan bagi menghapuskan umat Islam di alam yang fana ini. Mengaitkan Islam dengan keganasan adalah tindakan bersifat rasis dan berselindung disebalik keganasan untuk melemahkan Islam. Seringkali kita mendengar apabila berlaku pergaduhan yang melibatkan berlainan kaum, maka akan muncul perkataan “insiden perkauman” ataupun “insiden bertinta perkauman”. Kita wajib menggali dan menyiasat secara mendalam apakah ianya berpunca daripada unsur kaum atau etnik. Contohnya Lelaki India yang meraba punggung isteri seorang lelaki Melayu atau Cina, dan suami wanita itu bertindak memukul lelaki India tersebut. Apabila laporan polis dibuat, apakah ianya perlu diklasifikasikan sebagai insiden yang berpunca daripada masalah perkauman? Apakah jika yang meraba punggung isterinya sama kaum dengan suami mangsa maka pergaduhan tidak akan berlaku? Ini tindakan jenayah tidak kira samada ‘cabul’ atau percubaan merogol dan pastinya suami yang ‘bukan dayus’ seperti kata isteri Mat Yo akan bertindak balas. Ada kes dimana pemuda Melayu yang bekerja sebagai nelayan memukul lelaki Cina yang menjadi majikannya taukeh bot satu ketika dulu dan setelah dibuat laporan polis, ianya tidak harus dikaitkan dengan masalah perkauman kerana jika majikannya seorang Melayu sekalipun dan tidak membayar gaji malah memaki hamun pekerjanya, kemungkinan dipukul pekerjanya amat cerah dan bukan disebabkan masalah kaum. Lain soalnya jika pergaduhan itu berpunca daripada masalah agama dan kaum seperti memperlekehkan agama dan kaum sejak awal.

4. Dalam isu kongsi gelap pula, kita tidak menafikan ada elemen ‘gangster’ ataupun kumpulan yang melibatkan kaum tertentu sehingga mencetuskan pelbagai kes jenayah berat dan keadaan yang menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan rakyat di negara ini. Namun demikian, secara strategisnya, ia harus dikaji secara serius dan mendalam punca, kesan dan kaedah menanganinya yang saling berkait antara satu sama lain. Faktor sejarah, budaya dan pertalian antara kes dengan kaum juga wajar diberi perhatian agar tidak tersalah langkah sehingga ke tahap mengubat kencing manis kaki pula perlu dipotong. Kerana secara umumnya, ‘gangsterisme’ ataupun samseng berkumpulan ini membiak dalam semua kaum bergantung kepada keperluan kelompok tersebut.

5. Bagi melihat secara dekat tentang kongsi gelap, sejak sekian lama apabila menyebut perkataan kongsi gelap, ianya akan dikaitkan dengan beberapa kegiatan utama yang menjadi sumber membiayai kegiatan pertubuhan haram tersebut. Mengikut laman web Wikipedia, “Kongsi gelap merujuk kepada kumpulan jenayah yang sudah pasti tidak berdaftar disisi undang-undang. Kumpulan kongsi gelap biasanya terbabit dalam kegiatan haram, (tidak sah disisi-undang-undang), bagi membiayai kegiatan mereka. Biasanya kumpulan ini menjadikan perniagaan dadah, rompakan, ceti haram, perjudian haram, pelacuran, dan penjualan cakera padat cetak rompak sebagai aktiviti utama”. Kongsi gelap di negara lain pula ada yang dikenali dengan pelbagai nama seperti kumpulan Mafia, Cosa Nostra, The BrotherHood, Corsican Mafia, Vatos Locos, MS13 dan banyak lagi

6. Melihat kepada senario sekarang yang melibatkan operasi besar-besaran, media samada media elektronik, cetak dan siber banyak melaporkan tangkapan dan operasi pembanterasan melibatkan kaum India. Tidak salah ianya melibatkan kaum India jika jenayah tersebut melibatkan mereka. Ini bukan soal rasis ataupun meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak kerana asas utama adalah, KEADILAN. Undang-undang WAJIB dilaksanakan tanpa mengira kedudukan, status, kaum, jantina, umur ataupun warna kulit. Jika Melayu yang bersalah dan melanggar undang-undang negara, maka Melayu itu harus diambil tindakan begitu juga yang melibatkan kaum Cina, India dan sebagainya. Namun, seperkara yang mungkin perlu dikaji, jika dikaitkan kongsi gelap, ianya tidak dapat tidak akan melibatkan kegiatan haram dadah, pelacuran, perjudian, along, cakera padat dan berbagai lagi kegiatan yang menyalahi undang-undang. Apakah kita pernah didedahkan dengan kegiatan pengedaran dadah (bukan kecil-kecilan), taukeh pelacuran dan perjudian dan along yang besar-besaran melibatkan kaum India dan Melayu? Kebiasaannya akan melibatkan taukeh-taukeh kaum tertentu yang diketahui umum dan sudah menjadi ‘open secret’. Kenapa dalam hal ini ianya tidak mendapat liputan meluas berbanding yang melibatkan kaum India? Kenapa kaum yang menjadi taukeh besar along, perjudian dan pelacuran tidak dikaitkan dengan kegiatan kumpulan haram yang digembar-gemburkan? Persoalan ini mungkin bermain di benak rakyat negara ini tetapi tidak di tampilkan secara kritis dan analitis buat tatapan ramai. Sikap mereka yang cuba menangguk di air yang keruh seperti penerbit filem juga wajar ditegur. Skrip dan perkataan yang digunakan dalam filem Melayu ala gangster dengan berbahasa Melayu pelat Cina “lu, gua, wa” dan berbagai lagi ada baiknya diperhalusi. Memang filem tersebut meledak di pawagam lantaran kehausan filem lasak Melayu yang amat kurang tetapi kesan ‘psychology’ yang tertanam dalam fikiran rakyat juga wajar dipertimbangkan. Apakah gangster Melayu wajib bercakap pelat Cina seperti itu? Kumpulan kongsi gelap yang dikaitkan dengan bangsa Melayu diperhatikan tidak pula bercakap seperti itu di negara ini dan ini akan menimbulkan satu stigma bahawa ianya cuba mengaitkan kaum tersebut dgn kongsi gelap.

7. Tujuan isu ini dibincangkan disini tidak sekali-kali meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak sebaliknya sekadar mengerah minda supaya berfikir di luar lingkungan agar kemungkinan perbezaan jawapan dan pandangan dapat membantu pihak berkuasa membuat rumusan terhadap pendekatan yang lebih efektif. Saranan agar kerjasama rakyat diperlukan untuk bersama-sama kerajaan dalam usaha menurunkan kadar jenayah dan membanteras kegiatan kongsi gelap harus terpakai dalam aspek ini dan tidak dijadikan asas membiakkan ‘sindrom penafian’ yang menjadi penghalang kepada kerjasama erat rakyat dan kerajaan.

8. Secara rawak dan pandangan peribadi , penglibatan kaum India dalam kegiatan kongsi gelap dan jenayah sekarang lebih bersifat ‘gangsterisme’ berbanding kongsi gelap dalam erti kata sebenar. Mereka dilihat menjadi mangsa keadaan atau ‘victim of circumstances’ yang berpunca daripada proses peminggiran yang panjang oleh kerajaan sejak merdeka. Parti yang mewakili kaum India tidak banyak membantu kaum mereka sendiri sebaliknya lebih memberi fokus kepada mengisi kantung dan perut masing-masing. Apakah yang dilakukan oleh MIC, PPP, IPF terhadap nasib kaum India selama ini yang tinggal di estet-estet, perkampungan kaum India yang usang dan menyedihkan? Kesempatan ini digunakan oleh pihak yang melihat peminggiran kaum India sebagai peluang terbaik untuk mendekati mereka dan denganmeracuni pemikiran kelompok yang sedang kesempitan. Manusia yang dihimpit kesempitan lebih mudah dipengaruhi dan mengambil kata-kata “a hungry man is an angry man” pastinya yang sukar menjadi mudah. Bukan mustahil jika dikatakan kemunculan HINDRAF sebagai jagoan yang mewakili kaum India berbanding MIC, PPP dan IPF adalah kerana faktor peminggiran ini. Manusia yang miskin dan terbiar pastinya bukan saja keperluan asas mereka seperti makan, minum dan pakaian yang patut diberi perhatian, bahkan yang lebih utama adalah pendidikan. Manusia tanpa mendapat peluang pendidikan akan mudah terjebak dengan kancah yang merbahaya akibat kegagalan membezakan antara yang betul dan salah. Jika harimau dan singa yang ganas mampu dilatih dan diajar mengikut arahan serta kata-kata tuannya jika diberi peluang seperti di sarkas, inikan pula manusia jika diberi peluang menimba ilmu pengetahuan dan pendidikan yang sempurna.

9. Maka ada baiknya setiap masalah yang berlaku di gali dan dikaji dari akarnya dan tidak separuh masak agar penyelesaiannya dapat dilakukan dengan lebih sistematik dan bersesuaian dengan penyakitnya. Wayang hanya sesuai ditonton di pawagam kerana kehidupan sebenar adalah realiti yang tidak mampu diselesaikan dengan membeli tiket dan mengahbiskan masa dalam tempoh dua jam sambil memakan ‘pop corn’ dan segelas pepsi. Jenayah berlaku berpunca daripada peluang dan ruang, maka tutuplah segala ruang dan peluang tersebut. Francis Bacon ahli falsafah Inggeris berkata “Peluang melahirkan pencuri”. Perlukah kita melahirkan pencuri? Jenayah yang berlaku sekarang ini berpunca daripada kecuaian. Bukan saja kecuaian pada masa sekarang yang mencipta jenayah sehingga berlakunya kejadian pecah rumah, rogol, curi kenderaan, pembunuhan dan berbagai lagi jenis jenayah. Tetapi juga kecuaian dengan membiarkan kaum yang terpinggir tidak kira Cina, Melayu khususnya India sehingga mereka terperangkap dalam penjara yang dibina oleh masa lalu. Jenayah sebenar-benarnya adalah KECUAIAN seperti apa yang disebut oleh Joseph Fouche anggota kabinet ketika pemerintahan Maharaja Napoleon I bahawa “Kecuaian itu lebih buruk daripada jenayah”.

Wallahualam

~: hnbk :~

KL-Gangster-2-The-Prequel-7