KAMU ITU MANUSIA

As Salam dan Salam Sejahtera,

1. Dunia sentiasa berubah mengikut hukum alam yang telah ditentukan Maha Pencipta seluruh makhluk dengan segala isi bumi dan langit. Hanya manusia lah yang berkokok siang dan malam tanpa sedikit pun rasa malu bahawa mereka masih kekal tidak berubah. Sudah lah berubah dari kecil menjadi besar, dari muda menjadi tua dan dari sihat sudah sakit di sana-sini dengan bertemankan tongkat. Mata yang terang sudah kabur dan berlapis-lapis cermin melekap di mata tanda usia memanjat langit hampir sampai.

2. Akar persoalan bukanlah menjadi tua, tidak sihat, dan kaburnya penglihatan itu satu penghinaan, tetapi ingatan tidak kira siapa juga kamu pastinya merintis denai kehidupan yang sama serta keperluan sebagai manusia tanpa sedikitpun bezanya. Tidak kira siapa kamu pastinya sakit apabila terluka, pastinya sejuk jika didatangi kedinginan, berpeluh dan panas tubuh badan dengan bau hamis jika tidak dijaga, lapar jika tidak makan dan dahaga jika tidak minum. Sudah makan dan minum pastinya tidak ada manusia walau setinggi langit darjat kamu, sehebat mana sekalipun kamu dan secantik atau sekacak mana manusia yang tidak akan mencangkung di dalam kamar kecil melangsaikan hajat. Untuk itu, kenapa perlu bongkak, takbur dan menimbunkan ketaksuban atas diri sendiri sehingga semua makhluk lain itu hina dan bodoh serta menjadi hiburan melanyak mereka atas kapasiti kitalah penguasa atas orang lain.

3. Perasaan bongkak dan takbur sebenarnya tidak hanya menjangkiti golongan yang berjawatan tinggi dan menumpuk kuasa. Tidak kurang jumlahnya yang berada di bawah namun berangan seakan-akan berada di singgahsana kekuasaan dengan menghukum dan menzalimi yang di atas. Bunyi mungkin pelik tetapi ianya fakta bukan auta. Kisah di atas cuba dikaitkan dengan keadaan semasa kerana manusia tetaplah manusia yang tegar mendakwa tidak berubah. Di zaman kewujudan Firaun, Qarun dan Namrud, mereka memerintah dengan begitu zalim dan bertongkatkan nurani haiwan berbaur iblis. Dari mengaut dan menumpuk harta, membiakkan kezaliman, bertuhankan diri sendiri dan pelbagai tindak-tanduk yang mencerminkan betapa manusia apabila disedekahkan kuasa walaupun sedikit, pastinya akal akan menjalar turun ke lutut dan lutut menjalar ke atas bubun kepala.

4. Walaupun Firaun, Qarun dan Namrud sebegitu zalim dengan berjubahkan kejahatan, sehingga sekarang manusia tidaklah berkata “aku benci Qarun” malah mengagung-agungkan Qarun sehingga menganjurkan program mencari harta Qarun sebagai simbol kasih sayang pada Qarun. Mereka tidak mencanangkan “Aku marah betul Namrud dan Firaun” sebaliknya berlumba-lumba mencari pasangan bagaikan Cleopatra lambang keinginan menyamai ‘Jembalang’ dua ekor yang cukup jahat sehingga ketiga-tiga mereka disebut dalam Kitab Suci Al-Quran kisah kekejaman mereka. Manusia dari dahulu kala sejak keweujudan pemerintah zalim yang mengaku tuhan ini hanya menyebut kejahatan mereka tetapi tidak pula berkata “aku tak suka Qarun , Namrud dan Firaun”. Bagi aku, itulah sewajarnya yang dilakukan dan bukan berkata “aku tidak suka, aku benci, aku meluat, aku geram, aku menyampah bos” tanpa mampu berhujah kenapa perasaan itu membungkam di hati. Yang terbaik wajar dilangsaikan ayat yang tergantung itu dengan ayat “aku meluat la bos ni dia marah kalau aku selalu datang lewat, aku marah betoi bos ni sebab aku suka memonteng, aku cukup tak suka bos ini kerana dia akan pantau siapa yang tidak mempamirkan prestasi kerja yang buruk.” Amat malang manusia yang diri sendiri tidak menunaikan amanah dan culas terhadap tanggungjawab dengan menjadi penumpang dan parasite dalam organisasi dan negara.

5. Jika menegur tabiat selalu datang lewat, gemar memonteng, dan mempamirkan prestasi kerja yang buruk itu adalah kezaliman dan kejahatan yang lebih teruk dari Firaun, Namrud dan Qarun maka aku lebih rela mengambil tahta Qarun, Namrud dan Firaun kerana ianya lebih mulia buat aku berbanding perilaku memonteng, bekerja tanpa keihklasan dan kejujuran serta culas. Memang manusia sudah berubah dan akan terus merubah dunia ini mengikut selera dan kepentingan sendiri dan definisi kezaliman serta kekejaman itu akan diistilahkan mengikut harfiah di mana mereka berdiri.

Wallahualam

~: hnbk :~

tak-bersalah

MISKIN

As Salam dan Salam Sejahtera

1. Dunia tidak pernah sunyi dari ungkapan ‘MISKIN’. Jika dinilai dari sudut ‘harfiah’ rasanya semua manusia yang hidup itu tidak kira pangkat, jawatan, kedudukan dan salasilahnya tergolong dalam kategori ‘miskin’. Dia mungkin kaya harta tetapi miskin budi bahasa, miskin kesihatan. Seseorang mungkin kaya dengan jumlah tanah dimilikinya tetapi miskin penglihatan akibat rabun yang terlalu serius. Itulah ‘miskin’ dari sudut ‘harfiah’. Namun, malam ini, hati dan minda aku lebih dipandu rasa pesona menyentuh dan membelai ‘miskin’ dari sudut ‘istilah’.

2. Banyak punca-punca kemiskinan dari sudut istilah yang bermaksud kesempitan hidup dan tidak mampu membiayai kehidupan mengikut keperluan sebenar. Di Semenanjung Malaysia, isi rumah miskin adalah yang berpendapatan RM760 ke bawah dan miskin tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM460 ke bawah. Sementara dii Sarawak, isi rumah miskin adalah yang berpendapatan RM910 ke bawah dan miskin tegar adalah isi rumah yang berpendapatan RM590 ke bawah dan di Sabah, isi rumah miskin adalah yang berpendapatan RM1,050 ke bawah dan miskin tegar adalah RM630 ke bawah. Manakala berpendapatan rendah bermaksud mereka yang pendapatan isi rumah sebulan kurang atau sama dengan RM2,000.00.

3. Apakah punca-punca yang mengheret seseorang itu ke dalam kancah kemiskinan? Bagi penduduk bandar, sering didakwa penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan yang tidak mempunyai kemahiran professional untuk mendapatkan pekerjaan yang menguntungkan. Kos sara hidup di bandar adalah tinggi dan walaupun kebanyakan pendapatan penduduk bandar tidak dikategorikan sebagai golongan pendapatan rendah, namun begitu, pendapatan mereka adalah tidak seimbang dengan perbelanjaan. Kadar inflasi yang semakin meningkat telah meningkatkan kos sara hidup di bandar dan seterusnya mempengaruhi kadar kemiskinan. Kekurangan peluang pekerjaan dan kadar pengangguran memburukkan lagi keadaan di samping perebutan pekerjaan antara pekerja asing dan tempatan. Kebanyakan pekerjaan di luar bandar adalah tertakluk kepada sektor pertanian dan perlaksanaan pemodenan dalam sektor pertanian adalah kurang menyeluruh. Daya pengeluaran yang kurang lumayan menyebabkan keadaan kemiskinan luar bandar tidak dapat diubah. Eksploitasi dan monopoli orang tengah, kemaruk tanah dan tanah yang tidak ekonomik juga dikatakan antara penyebab kepada kemiskinan di luar Bandar dan taraf pendidikan yang rendah akhir sekali menjadi penyumbang kepada kemiskinan rakyat.

4. Nampaknya masalah kemiskinan sudah menjadi masalah akademik dan masalah politik. Apabila kemiskinan sudah menjadi masalah akademik, maka cara penyelesaiannya adalah dengan membuat kertas kerja. Namun begitu, kertas kerja mengenai kemiskinan teramatlah banyak dihasilkan oleh tokoh akademik Melayu dan jika dihimpun dan dicampakkan ke laut nescaya wujudlah sebuah lagi pulau kata Tan Sri Sanusi Junid. Namun demikian, sebaik seseorang sudah membuat satu kertas kajian mengenai kemiskinan di universiti, maka dia pun memperolehi ijazah dan setelah itu akan mendapat gaji dan pangkat besar dan bermacam-macam lagi keistimewaan. Kini dia yang ghairah mengkaji ‘kemiskinan’ tidak lagi miskin, dia sudah senang dan yang tinggal adalah orang miskin.

5. Seperti pelukis yang melukis gambar orang miskin yang melarat dengan seninya yang begitu indah dan dijual dengan harga mencecah ribuan ringgit tetapi yang miskin tetap miskin dan yang kaya adalah pelukis. Dia minat melihat orang miskin, dia minat melukis orang miskin, dia minat cerita orang miskin, tetapi dia tidak pernah merasa miskin. Seseorang tidak tahu pahitnya miskin kecuali dia pernah miskin. Berapa kerat pemimpin kita yang pernah miskin dan menjalani kehidupan bertali arus dan diselubungi kemiskinan? Miskin hanya dibina atas enam (6) huruf dan tidaklah sukar untuk mengungkapkannya berbanding menelusuri pahit getirnya. Oleh itu, genderang ‘retorik’ akan bercanda sedangkan mangsanya lemah dan layu tidak bermaya.

6. Di manakah salah dan silapnya kita dalam soal ‘kemiskinan’ ini? Sememangnya kemiskinan itu sering dikaitkan dengan Qada dan Qadar serta alasan ‘basi’ rezeki secupak tidak akan menjadi segantang. Di pelbagai kementerian termasuklah kementerian yang bertanggungjawab terhadap kebajikan, kemiskinan dan zakat itu dihuni oleh ribuan pemegang ijazah, diploma, PhD dan sebagainya. Jika ribuan yang bergelar graduan ini tidak mampu memikirkan kaedah mengatasi masalah orang miskin, maka tiada gunanya kertas kerja, pemberian biasiswa serta pembelajaran dengan bergaji penuh atau separuh gaji dengan elaun yang begitu besar ditanggung kerajaan serta jabatan-jabatan berkaitan terus wujud. Apa faedahnya jika ‘ada tidak menokok dan tidak ada tidak mengurang?’. Sama-sama kita renung dan bermuhasabah.

Wallahualam

~: hnbk :~

miskin

Gila

As-Salam dan Salam Sejahtera

1. Tengahari tadi lokasi makan tengahari yang dipilih adalah gerai makan nasi berlauk di Tunjang, Jitra, Kedah. Kedai ini sering menjadi pilihan aku kerana selain harga makanan yang murah, masakannya sedap dan menepati citarasa aku. Menu pilihan yang menjadi tarikan majoriti pelanggan adalah kari kepala ikan yang murah dan sedap berbanding kedai lain. Sebaik mengambil kari kepala ikan dan nasi, aku terus ke meja makan dan kelibat seorang lelaki dalam lingkungan umur hujung 60an sedang makan seorang diri. Aku memilih untuk duduk di meja sama dan meminta kebenarannya, “Assalamualaikum pak cik.. boleh saya duduk sini?”. Dia cuma mengangguk dan aku anggap itu tanda setuju. Dia yang makan nasi dengan gulai perut lembu berbulu atau dipanggil juga ‘perut carpet’ terus melayan makanannya. Aku cuba menghidupkan perbualan dengan bertanya “Pak cik dok mana?”. Jawabnya ringkas dan mudah “Pulau Nyoq”. “Oh dekat saja Pak Cik” kata aku. Dia diam dan tiba-tiba bertanya “La musim deriyan no?” dalam loghat utaranya yang pekat. Aku membalas “betoi tu pak cik.. deriyan, manggeh dengan setoi”. Pak cik itu membalas “mana ada, hang tengok lori yang lalu tu?” sambil memuncungkan mulutnya kea rah sebuah lori yang bawa padi. “Itu kan lori bawak deriyan? katanya selamba. Aku jadi bingung tetapi masih menganggap mungkin dia merujuk perkara lain. “hang ni tak kenai padi dengan deriyan kot” tambahnya lagi walaupun aku yakin itu lori membawa padi.

2. Dalam situasi tersebut, melintas seorang lagi lelaki yang lebih kurang sebaya dengan pak cik di meja aku dengan seluar pendek dan kebetulan juga pendek ketinggian tubuhnya sambil menyapa pak cik di meja aku. “Oi makan ka?” soalnya tetapi aku penuh yakin ditujukan pada pak cik di meja aku. Pak cik itu menjawab “makan la apa lagi”. “Hang dok Pulau Pisang kan?” soal pak cik seluar pendek. Jawab pak cik di meja aku “Pulau Nyoq”. Pak cik seluar pendek membalas “Takkan hang tak kenai aku?” Pak cik di meja menjawab “aku memang tak kenai hang”. Pak cik seluar pendek menambah “kan aku satu kelaih dengan hang?”. Pak cik di meja membalas “gila! Aku mana kenai hang” sambil ketawa. Aku mulai menyedari satu perkara yang agak pasti tentang pak cik berdua ini. Pak cik berseluar pendek terus berkata pada setiap orang yang lalu lalang di situ dengan kata-kata “hang kelaih aku” walaupun yang ditujukan itu adalah berumur belasan tahun. Pak cik di meja aku juga mula bercakap merapu dan asyik menyebut “gila, gila, gila”. Aku mulai sedar dan pasti bahawa aku berdepan dan membelakangi pesakit jiwa yang lebih popular di sini sebagai ‘gila’.

3. Natijahnya, aku terperangkap dalam bual-bicara kegilaan dan dipagari kisah-kisah dan ungkapan ‘gila’. Namun, aku tetap syukur kerana masih dapat membezakan antara yang ‘gila’ dan tidak ‘gila’ dan aku yakin aku belum ‘gila’ seperti mereka. Apapun, dunia sememangnya dipenuhi manusia-manusia yang gila dan tiada beza ketara dengan pak cik berdua ini. Malah ‘gila’ yang meneglilingi kita lebih membahayakan masyarakat dan penghuni bumi dengan impak yang menghancurkan sisa-sisa sejarah, masa kini dan masa depan. Gila harta, gila kuasa, gila betina, gila perang, gila menganiaya sesama manusia dan makhluk lain, gila bercakap besar dan pelbagai jenis gila yang didakwa sama jumlahnya dengan ‘Hikayat 1001 Malam’. Oleh itu, tahap kepedulian kita wajar diturunkan ke tahap yang tidak meletakkan yang tidak ‘gila’ pada ambang ‘kegilaan’ yang sedang mengintai para peminat GILA.

Wallahualam

~: hnbk :~

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Aku dan Alam

Wahai Alam…

Izinkan aku memintal kalam-kalammu bak syair

Biar dikumandang dan ku gemakan di langit

Akan ku ceritakan kisah duka dan lara,

Sambil penghuni bumi di daratan berkeluh kesah merintih sedih

Penghuni lautan berpercikan airmata menahan kemarahan,

Gunung ganang bertasbih dan bertahmid mohon kesabaran

Mendengar alunan lagu kemanusiaan yang dicincang

Meratap hiba melihat aku terbujur berkafankan kezaliman

Namanya kehidupan namun adalah kematian

~: hnbk :~

22 JUN 2013 @ 10.10 pm

aku dan alam

TUAN TANAH KEDAWUNG

As-Salam dan Salam Sejahtera,

1. Jika ada yang masih ingat, dahulunya ada sebuah filem Indonesia dengan judul Tuan Tanah Kedawung dibintangi Suzanna dan Farouk Afero yang mengisahkan perebutan harta di zaman tuan-tuan tanah, zaman Belanda. Kisah yang difilemkan ini begitu sedih dan menyayat hati termasuk sutradaranya yang hebat walaupun tidak se’gah’ filem-filem sekarang yang pengarahnya lebih bergemerlapan berbanding pelakon utamanya. Semuanya berpunca daripada ‘kemaruk’ populariti dan publisiti. Populariti dan publisiti dinisbahkan oleh selebriti termasuk pelakon, model, DJ, wartawan, pembaca berita termasuklah aktivis siasah dan pengikut mereka sebagai ‘lubok emas’. Setelah terkenal, ramai yang mengejar walaupun dari sudut kualitinya bertaraf ‘hampas’. Bagi pelakon dan model, DJ dan seangkatan dengannya pula, akan diburu para Dato’, VIP dan kerabat2 (bukan kerabat nyoq) untuk MISI RAHSIA dan sepantas kilat menjadi kayaraya. Memang benar kata orang bukan siapa kamu kenal, siapa kenal kamulah yang menentukan nasib seseorang.

2. Berbalik pada kisah Tuan Tanah Kedawung, bagi orang Melayu yang utama bukan keutamaan adalah bergelar ‘Tuan Tanah’biarpun tanah dipenuhi lalang, paya bahkan gersang menewaskan ‘Mona Gersang’. Gelaran Tuan Tanah begitu hebat di fikiran mereka. Tabiat inilah yang menjadikan mereka alpa asalkan gelaran TUAN diulang-ulang tetapi tuan yang kais pagi makan pagi dan kais petang entah ke mana. Orang Cina lebih berminat hasil daripada tanah dan Melayu pula berminat pada geran. Memang sempurnalah keadaannya untuk saling perguna dan mempergunakan. Natijahnya? Kau pegang geran dan aku hasilkan hasil.

3. Begitu juga dalam soal masjid, kita lebih suka masjid didirikan di dalam kampung kita walaupun sudah berlebih-lebih masjid sehingga banyak tiang daripada makmum. Di zaman Rasulallah kenapa masjid dirobohkan walaupun ianya Rumah Allah? Kerana ia tidak menjadi Rumah Allah apabila terbinanya masjid itu atas alasan bermegah-megah bukan kerana Allah. Budaya seumpama ini telah merebak dengan pantas dan musibahnya semakin terasa apabila ‘mock cheque’ dibudayakan tanpa rasa malu dan menjadi ‘mockery’ di belakang tirai keikhlasan.

4. Apalah ertinya ‘jasa’ dan tiada harganya jika tidak dihargai. Jasa bukanlah untuk pujian sementelah adakah ianya mengenyangkan? Manusia itu biarlah menjadi manusia dan jangan dibiarkan seperti kerbau. Nasihat Buya Hamka: “Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya sama kuat, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. Tetapi dua puluh orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama ‘harganya’. Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga; tapi bagi manusia pribadinya yang berharga”. Maka untuk itu, “Pisau dan mentimun ditangan kita” dan terpulanglah pada kita samada berbangga sebagai kerbau ataupun manusia.

Wallahualam

~: hnbk :~

tuan tanah kedawung

PARIAH

As-Salam dan Salam Sejahtera,

1. Sejak beberapa hari ini, blog saya seakan berkecil hati melihat tahap kepedulian terhadapnya sudah pudar. Pudar atau sirna itu sebenarnya lebih bersifat sementara kerana yang kekal itu hanyalah milik Allah swt. Kasih sayang saya terhadap blog, penulisan dan membaca sudah tidak ada yang perlu dibahaskan lagi kerana ia sudah termaktub dalam arkib dan khazanah kehidupan saya bahawa itulah harta dan minat yang ada.

2. Minggu lepas, di sebuah restoran nasi lemak yang sudah ‘establish’ dan agak tersohor zaman berzaman di Alor Star yang lebih dikenali sebagai ‘Nasi Lemak Ali’, sempat saya dan beberapa teman lama berbual santai. Dalam perbualan yang melibatkan teman dari kaum India, Sikh dan Melayu ini, antara yang menarik disentuh oleh teman berbangsa India ini adalah ‘PARIAH’. Isu ini timbul setelah saya membangkitkan tentang isu panas satu ketika dulu iaitu buku berjudul ‘Interlok’ sebuah karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang mengisahkan pancaroba dan perpaduan kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20. Karya Agung atau ‘masterpiece’ yang begitu hebat lebur di kaki chauvinis apabila merunduk tidak bertempat, baik hati dan berhemah pada yang tidak tahu menghargainya. Perkataan ‘pariah’ yang disebut oleh penulis karya ini adalah kutipan dari bahasa atau perkataan yang digunakan oleh kaum India sendiri sepertimana yang disebut oleh sahabat saya berbangsa India yang bersama-sama sembang santai ketika itu. Tambahnya, jika kamu bukan ‘pariah’ kenapa harus merasa terhina dengan perkataan tersebut? Saya yakin penulis karya Interlok sendiri bukan orang yang mencipta perkataan ‘pariah’ itu dan dari mana ia berasal hanya kaum India sendiri yang lebih mengetahui. Namun demikian, dek sikap pemimpin yang dilihat berlembut pada yang sepatutnya berkeras dan berkeras pada yang sepatutnya berlembut, maka wujudlah keadaan yang sebegitu.

3. Sebaik kembali ke rumah, saya mencari-cari di mana silapnya perkara ini dan bagaimana ia ditangani dengan kaki atau tangan sehingga yang remeh menjadi keutamaan dan yang utama dikesampingkan. Ini lah kesannya apabila masyarakat dan pemimpin begitu teruja dengan lagu ‘enjit-enjit semut siapa sakit naik atas’ sehingga menjadikan teras amalan. Oleh yang demikian, semua yang sakit akan naik di atas dan tidak sakit tunggulah kamu di bawah. Hiduplah suasana yang memimpin di atas sana itu semuanya yang sakit-sakit belaka.

4. Dari pencarian singkat di gubuk buku saya itu, ditemui sebuah buku Norazit Selat berjudul Konsep Asas Antropologi yang menyatakan tentang kasta sebagai sistem susun lapis yang ditentukan oleh agama dan keturunan di India yang dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu :

a) Brahmin – keturunan sami agama
b) Ksatriya – pahlawan
c) Vaisya – pekedai
d) Sudra – pembantu rumah dan hamba abdi.

5. Di luar kumpulan yang empat ini terdapat berjuta-juta manusia yang dikenali sebagai ‘untouchables’ atau harijans, iaitu golongan yang paling rendah dalam susunan masyarakat India.

6. Tidak pula dikesan perkataan ‘pariah’ seperti yang dilonjakkan oleh manipulator dan eksploitator yang lebih gemar memancing isu demi tembolok dan kantung yang tidak pernah cukup. Jika itulah ‘penemuan’ yang diperolehi setakat ini, perkataan yang kononnya jijik dan keji itu hamil dan dilahirkan oleh kaum India sendiri. Jika itu juga puncanya, kenapa orang lain yang dijadikan kambing hitam? Mungkin andaian saya salah, tetapi tidak dapat diketepikan ada pihak yang menangguk di air keruh (bukan Ayer Keroh, Melaka) agar buku ini dilenyapkan dan digantikan dengan buku baru yang menjadi sebahagian dari buku teks sekolah menengah di negara ini. Setelah digantikan, maka ‘laba’ yang bakal runtuh dari langit itu juga sudah pasti besar sebesar penebat kilat yang runtuh dari Menara UMNO Pulau Pinang itu dengan impak yang luarbiasa hingga membenam kereta bersama tuannya ke dalam bumi. Bayangkan jika sebuah buku ‘laba’nya serendah RM1 sudah berapa banyak kantung dan tong yang akan terisi?

7. Peristiwa Perang Badar wajar ditelusuri dengan penuh hikmah agar ianya mampu menyentak mimpi yang tak sudah di kalangan umat Islam. Nabi Muhammad saw yang dilihat berdukacita setelah tentera Islam mencapai kemenangan dalam peperangan itu menimbulkan persoalan oleh para sahabat dan lantas mereka pun bertanya “ Ya Nabi, kenapakah termenung dan resah gundah sedangkan kita baru mencapai kemenangan?”. Jawab Nabi, “Aku mengenang nasib umatku pada masa akan datang “. Ditanya lagi kenapa dengan umat akan datang? Dan apakah kerana umat Islam akan terus menjadi umat minoriti sedangkan kita tetap menang? Jawab Nabi, “Tidak, umat Islam akan menjadi majoriti tetapi walaupun kita majoriti, kita akan kalah dan itulah sebabnya aku gundah.” Tanya sahabat, “Kenapa kita sekarang minoriti menang tetapi bila majoriti akan kalah?” Jawab Nabi, “Umat pada akhir zaman akan terkena dua penyakit, penyakit wahnu dan hibbuddunya. Penyakit cinta pada dunia dan takut pada mati.”

8. Bila terlebih cinta dunia, maka setiap masalah akan terlintas lambang-lambang dengan logo ‘RM’ berbanding usaha menyelesaikan masalah. Bahkan yang lebih malang, setiap masalah dan bertambah masalah akan lebih mendatangkan hasil. Pemimpin tidak suka masalah maka solusinya adaha ‘RM’. Makin segar-bugar dan sihatlah kilang mencetak masalah apabila pemimpin yang sakit-sakit naik atas ini dinobatkan. Dengan alasan yang sama juga pemimpin yang sakit-sakit naik atas tidak perlu diganti dan dibiarkan menang tanpa bertanding asalkan tembolok dan kantung pemanipulator, eksploitator dan koruptor gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut sukalah hati.

9. Nampaknya penyakit ‘pariah’ ni bukan saja mengkastakan kaum India, ia turut mengkastakan bangsa Melayu dengan ‘kepariahan’ yang sudah menebal dan menjadi budaya sehingga apa saja yang dilakukan pasti terlekat kesan jari berbentuk ‘pariah’. Kualiti kerja ‘pariah’, pemimpin berwajah dan perwatakan ‘pariah’, dan agensi serta jabatan kerajaan turut dipariahkan apabila mentaliti ‘pariah’ sudah diheret naik bersama lagu ‘enjit-enjit semut siapa sakit naik atas’. Kilat beliung sudah di kaki, kilat pisau sudah ke tangan, kilat cermin sudah ke muka… Pandai-pandailah membawa diri.

Wallahualam

~: hnbk :~

pariah

STRATEGI MAKAN TUAN

As Salam dan Salam Sejahtera,

1. Ramai yang berbicara soal strategi sejak zaman berzaman namun dengan strategi jugalah ramai yang tumbang dan banyak organisasi serta negara yang tersungkur. Dalam buku The Art of War, Jeneral Perang China Sun Tzu menghuraikan berbagai-bagai strategi perang dengan pelbagai bahasa diterjemahkan sehingga kini. Namun tidak banyak yang memanfaatkannya kecuali musuh-musuh Islam menggunakannya terhadap umat Islam.

2. Menurut Winstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang mulai bulan Februari 1614 dan siap pada Januari 1615 dan ini bermaksud sudah 398 tahun ditulis satu-satunya rujukan sejarah Melayu yang menjadi rujukan pencinta sejarah bangsa. Di dalamnya juga tidak ketinggalan kisah yang menceritakan betapa strategi jugalah yang menjadi punca sebuah negara bernama China itu selain mengamalkan muslihat yang licik juga merupakan pengamal strategi yang bukan saja menyerang dalam peperangan, tetapi juga strategi mengelakkan pertumpahan darah berpunca daripada perang. Buku sejarah yang menjadi kebanggaan bangsa kita ini walaupun tidak semua yang membaca dan mengkajinya, adalah wajar dibaca oleh segenap lapisan masyarakat demi penghargaan kepada usaha murni Tun Sri Lanang dan yang paling utama manfaat disebalik kisah-kisahnya itu.

3. Kisah Raja Suran dari Benua Hindi yang menjadi raja di negeri Andan Nagara berhasrat menyerang China agak menarik untuk diambil sebagai iktibar Sejarah peperangan sejak peperangan pertama di muka bumi ini sehinggalah sekarang membuktikan bahawa pihak yang bijak mengatur strategi maka kemenangan akan berpihak kepadanya. Raja Suran yang kononnya berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain ini terkenal dengan kebesaran dan kegagahannya. Kerajaan baginda tersangat besar dan banyak negeri yang ditaklukinya dan kini giliran Benua China. Raja Suran memutuskan menyerang Benua China dan berita tersebut telah diketahui oleh Raja China sehingga beliau begitu berdukacita. Beliau yang bermesyuarat dengan kabinetnya telah diberi cadangan bernas oleh Perdana Menterinya supaya menyiapkan bahtera yang diisi dengan jarum-jarum halus yang berkarat dan diisi pula dengan pohon kesmak dan bidara yang sudah berbuah untuk ditanam di atas bahtera tersebut. Beberapa orang tua yang sudah tanggal giginya diarah menaiki bahtera itu menuju Temasik. Setelah sampai di temasik, Raja Suran yang mengetahui ketibaan bahtera dari benua China itu dititah bertanya berapa jauh perjalanan dari China ke Temasik. Jawab orang China itu, “Ketika kami bertolak dari China, kami masih muda, dua belas tahun umur kami. Sekarang sudah tua dan tidak bergigi. Buah-buahan yang kami makan bijinya telah kami tanam dan tumbuh sudah berbuah dan besi sebesar lengan kini habis berkarat dan haus sehingga tinggal sebesar jarum ini. Demikianlah jauhnya Benua China yang kamipun tidak tahu bilangan tahun dan bulan perjalanannya”. Mendengar penjelasan dari orang China itu, Raja Suran membatalkan niat menyerang Benua China dan terselamatlah Raja china dan mereka sangat gembira kerana strategi mereka berjaya menipu Raja Suran yang gagah perkasa.

4. Banyak iktibar yang dapat diambil hanya secebis dari kisah-kisah yang dimuatkan dalam Sejarah Melayu itu. Antaranya betapa mudahnya Raja Suran yang dianggap hebat dan penuh dengan kebesaran tertipu dek muslihat Raja China akibat mempercayai sesuatu perkara tanpa usul periksa. Di samping itu, kemahiran muslihat atau ‘TIPU’ sememangnya sudah berakar-umbi dalam masyarakat China sehingga penipuan yang sinonim dengan kata-kata santai yang sebelum ini selalu digunakan oleh bangsa Melayu “kalau tak tipu bukan Cina”. Dalam PRU13 banyak yang kena tipu lantaran kebencian pada pensejarahan dan dianggap lapuk. Kisah pendek ini juga membuktikan bahawa kekuatan ‘otot’ dan tubuh badan tidak mampu mengatasi kekuatan akal yang merupakan anugerah terhebat Allah swt kepada manusia. Maka rugilah mereka yang tidak memanfaatkan akal walaupun Al-Quran dan hadis-hadis banyak menceritakan betapa akal itu lah senjata paling ampuh untuk berdepan kehidupan di alam yang fana ini dan juga membezakan antara haiwan dan manusia.

5. Jika Allah hendak menghilangkan nikmat dari seorang hambaNya, maka yang pertama kali diubah dari hambaNya itu adalah Akalnya. Oleh itu, janganlah disia-siakan akal yang dikurniakan Allah swt kepada semua manusia yang mahu berfikir. Bangsa Melayu juga mempunyai strategi yang licik tetapi malangnya ia digunakan untuk menjahanamkan bangsa sendiri. Strategi cantas-mencantas sesama bangsa, fitnah menjadi budaya, dan dendam yang tidak berkesudahan juga menjadi strategi makan tuan. Orang yang suka mengkhianati teman sendiri adalah ibarat binatang yang suka memakan bangkai. Bertambah busuk bangkai bertambah pula seleranya.

6. Lihat saja strategi yang sentiasa berulang setiap kali musim perayaan tiba. Strategi yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan iaiatu ‘Naikkan tambang pengangkutan awam’ dan diikuti jawapan menteri yang juga penuh strategi iaitu “secara peribadi saya tidak bersetuju”. Jika secara peribadi, sudah pasti pemberita tidak akan mendapatkan pandangan kamu wahai menteri yang ‘bijaksana’. Budaya ‘mencekik’ selagi ada peluang patut dihentikan serta-merta kerana tidaklah selain daripada melindungi dan mensejahterakan rakyat itu tanggungan pemerintah. Mengikut kajian pihak polis, kecurian dan rompakan berlaku berpunca daripada ‘ruang dan peluang maka nampaknya tidala bezanya antara perompak, pencuri dan penyamun dengan kelompok yang mengambil ruang dan peluang untuk menaikkan tambang pengangkutan awam dalam tempoh musim perayaan ini.

7. Strategi memang amat diperlukan tetapi biarlah bersesuaian dan kena pada tempat, masa dan sasarannya. Jika salah strategi, lain diharap lain yang datang. Kemenangan besar dicanang, sebaliknya ‘kemaluan’ pula yang membesar. Jika Raja China mendapat nasihat daripada Perdana Menteri yang bijaksana maka janganlah membolak-balikkan Perdana Menteri dinasihatkan oleh penasihat-penasihat yang muflis idea tetapi kaya dengan ketakburan. Paip yang kosong menghembuskan angin tetapi jika kepala yang kosong akan menghasilkan kegelapan. Oleh yang demikian, elakkan telinga dihembus angin dari paip yang kosong. Sepandai-pandai manusia yang berbicara dengan orang bodoh sama seperti berpidato di depan orang tuli.

Wallahualam

~: hnbk :~

strategi