LUKISAN PENULIS

As-Salam

1. Aku sememangnya cukup ketagihan membaca buku-buku ‘non-fiksi’ yang difikir banyak membenihkan kejernihan minda dan membiakkan idea-idea bermanfaat buat dikongsi sesama teman dan ukhwah. Lantas kemana harus ku tuang dan tumpahkan apa yang dibaca itu sambil diadun dalam mangkuk pengalaman yang walau tidak banyak tetapi juga tidak sedikit? Aku memilih untuk menulis kerna ruang untuk berkomunikasi ‘verbal’ agak terbatas dan itulah yang dilakukan sejak lebih 3 tahun lalu.

2. Menulis itu umpama melukis. Melukis segala kebenaran yang dilihat mata tanpa sedikit rasa curang. Bagaimana langit, laut, pokok-pokok, haiwan dan manusia serta bentuk dengan warnanya dilukis dan diwarnakan mengikut fitrah kejadiannya. Pelukis yang mewarnakan laut dengan warna merah pasti dianggap tidak siuman atau kurang cerdik. Pun begitu, kedapatan pelukis abstrak ada yang melakukannya sebagai simbol seni yang terpantul dari kolong minda yang luas melangit. Agak luarbiasa pabila pokok kelapa dilukis seperti pokok ‘taugeh’, kucing dilukis bagaikan manusia dan beruk digambarkan seperti raja yang semuanya adalah imaginasi kekartunan yang hanya pantas buat kanak-kanak. Apakah ini sebenarnya acuan penulis yang mahu dibenam ke dalam masyarakat? Acuan yang melahirkan masyarakat berfikiran kulit bukan isi hanya akan menjadikan bangsa, agama dan tanahair berdiri di awang-awangan. Penulis ‘fiksi’ ada tempatnya dan ‘non-fiksi’ juga wajib diberi tempat yang sesuai dengan dunia intelektual yang membantu memacu halatuju negara ke arah yang benar.

3. Namun, dalam penulisan, seringkali penulis tidak dapat berkarya dengan jujur. Yang salah dititip agar titipannya berkata itu adalah benar dan kebobrokan hendaknya ditulis bagus malah penipuan harus digambarkan sebagai kebaikan yang diberi pada rakyat oleh pemerintah. Apakah menulis juga sudah memasuki dunia ‘kekartunan’ seperti Walt Disney dan Upin Ipin? Penulisan itu ada bidang ‘non-fiksi’ dan ‘fiksi’nya, maka apakah hanya wajib dimonopoli oleh kisah ‘fiksi’ yang penuh dengan khayalan dan omongan yang mengembangkan jiwa tanpa rasa kasihan setelah dibohongi selagi ianya menyeronokkan? Di mana hilangnya kata-kata “berkata benarlah walaupun pahit” detik ini apabila semuanya harus dipesongkan dengan memperalatkan penulis menjadi pelukis abstrak dan ‘kartun’. Jika seseorang pemimpin itu gagal, seharusnya sebagai penulis yang bertanggungjawab pada KEBENARAN harus menulis ia gagal walau setinggi mana juga kuasa yang direngkuhnya. Jika pemimpin atau tokoh itu menipu, memunggah kekayaan, menjebak diri dengan usaha memperkayakan keluarga dan suku sakat maka semuanya juga harus ditulis seadanya agar rakyat jelata atau di negara jiran disebut ‘wong cilik’ mampu berfikir, membanding untuk membuat pilihan yang tepat.

4. Jika berlaku kezaliman dan ketidakadilan pemimpin disebabkan tersalah pilih pemimpin oleh rakyat berpunca daripada tulisan-tulisan penulis yang menggambarkan serigala bagaikan kucing sehingga rakyat terkorban menjadi mangsa kebuasan serigala, maka tangan-tangan penulis itulah bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Setiap perbuatan ada balasannya dan biarlah perbuatan yang baik dan benar itu menjadi pilihan setiap dari kita. Bebaskan diri untuk menulis dengan jujur apa yang terkandung di alam maya ini agar rakyat dapat menikmati keindahannya tanpa unsur manipulasi dan korupsi. Adalah lebih mudah menulis dan melukis yang benar berbanding mereka-reka sesuatu yang tidak ada. Kepayahan yang membelenggu penipu adalah kerana sukarnya mereka memikirkan apa yang harus direka. Sehingga ada pepatah menyebut jika untuk menjadi penipu, harus jangan jadi pelupa. Pembohong adalah seorang ‘pengingat’. Nasihat dan kalimat Buya Hamka kepada anaknya wajar dipahat dan dipasak kedalam minda manusia. Katanya, “Kalau kau tidak berbakat untuk berbohong, jangan kau coba-coba berbohong. Dan ingat, bohong itu salah satu dosa yang harus kau pertanggungjawabkan kepada Allah.”

5. Ingatlah, keindahan dan nikmat menulis itu hadir dengan kebebasan bagaikan burung yang diterbang di angkasa. Penulis yang diikat tangan-tangan mereka dan dikurung untuk menulis cerita idaman tuan-tuannya tidak akan terhasil karya yang hebat walaupun dipagari sangkar emas dan membaham makanan yang hebat. Makanan dan sangkar yang hebat tidak akan mampu melahirkan karya yang hebat, kecuali membiarkan mereka terbang bebas dengan pena yang menari-nari melakarkan isihati dan jiwa yang MERDEKA.

Wallahualam

~: hnbk :~

terbang

Advertisements

SAHABAT POLITIK

Salam,

1. Mark Twain berkata, “Seorang sahabat adalah orang yang berada di sisi anda pada saat anda berada di kedudukan yang bersalah. Hampir semua orang akan berada di sisi anda pabila anda di kedudukan yang benar”.

2. Namun lakonan panggung politik semuanya adalah mimpi yang diimpi bukan realiti yang menanti. Jika ada yang menadah tangan berdoa agar kawan terus menjadi kawan, lawan terus sebagai lawan, maka elok juga digoncang keladak yang mencemari pemikiran sebegitu. Harapan harus ada namun bukan untuk menjadi galang-ganti jika ia kecundang dan si-pengharap perlu bersedihkehilangan sahabat dalam dunia politik. Jika ada yang bertanya kenapa kamu tidak bersedih diperlakukan begitu tragis? Jawab saja bahawa “Jika dengan bersedih akan menyelesaikan masalah, aku tidak akan memilih untuk ketawa dan tersenyum”.

3. Pun begitu, kita tidak mampu menjauhkan diri, membenci atau tidak mahu ada keterlibatan dalam panggung politik. Kehidupan seharian kita ditentukan oleh keputusan-keputusan politik. Jika pemain-pemain politik itu terdiri dari mereka-mereka yang jahat maka keuntungannya akan memihak kepada mereka sedangkan implikasi negatifnya pasti menimpa kita. Oleh itu, dunia politik adalah dunia yang harus kita lalui samada kita suka atau sebaliknya.

4. Politik di negara kita sering dikaitkan dengan demokrasi dan demokrasi seringkali terkait pula dengan kebebasan. Harus diingat bahawa demokrasi bukan bermaksud kebebasan. Menegakkan demokrasi tidak serta-merta membawa kebebasan pada rakyatnya. Yang betulnya hanyalah membolehkan rakyat memilih sosok pilihan yang akan menjadi calon untuk bekerja demi kebaikan rakyat. Itu juga jika pilihan rakyat itu bertepatan dan tidak tertipu. Bagaimana jika pilihan itu tidak tepat? Tahukah kita bagaimana Hitler dipilih menjadi Kaunselor Jerman? Ianya adalah melalui pilihanraya dan apakah hasilnya yang semua orang ketahui?

5. Fenomena memilih pemimpin yang popular sebagai pilihan juga kini membudayakan dunia politik. Kerana itu juga rakyat berpusu-pusu memilih orang yang popular untuk menjadi pemimpin mereka dalam politik walaupun pilihan itu tidak semestinya tepat jika mereka tahu kesan pilihan mereka itu. Jika rakyat tahu apa yang baik untuk mereka, maka pastinya mereka akan memilih pemimpin politik yang kompeten dan tidak hanya yang popular. Popular tidak menjamin tahap kompetensi pemimpin. Berapa banyak pendakwah yang terkenal dan popular dipilih parti politik lantaran popularitinya dan lantas mereka dipilih rakyat. Namun akhirnya menjadi burung kakak tua yang bersiul mengikut lagu yang dikehendaki oleh tuannya.

6. Bagaimana agaknya kita menghindari daripada ‘Tyranny by The Majority?’. Tidak ada jalan lain selain daripada mencerdaskan pemikiran dan mencelikkan mata serta hati rakyat yang selama ini mungkin diselaputi ‘katarak’ bersalut Ringgit Malaysia atau imbuhan berbentuk periuk belanga, mangkuk pinggan, trip pelancongan dan sebagainya.

7. Dalam hidup, kita sering dihadapkan dengan pilhan sukar. Tetapi, ia perlu dibuat samada sukar atau sebaliknya. Memilih bererti bertanggungjawab terhadap pilihan yang kita lakukan. Pemimpin harus dipilih di kalangan yang mempunyai visi, misi dan program yang jelas serta praktikal untuk rakyat. Jangan asal hanya poster dan banner-banner terpampang di sana-sini di merata ceruk rantau untuk mempopularkan diri calon sahaja. Jika itu berlaku, ianya berkemungkinan besar calon itu hanya berhasrat untuk menjadi popular dan dikenali. Jika ia sudah popular dan dikenali, tanpa poster dan banner juga rakyat sudah tahu bukti pengorbanan yang dilakukannya selama ini.

8. Rakyat harus disedarkan dari kecurangan yang dipertontonkan sebagai BENAR. Jauhkan daripada ada usaha untuk membeli suara rakyat yang dijadikan senjata mengatasnamakan rakyat. Ada ketikanya apabila sebahagian rakyat ditanya “Siapa calon pilihan pemimpin mereka nanti dan diusulkan satu nama”. Jawapan yang diberi benar-benar mengecewakan saya kerana ia berbau hanyir dengan kebendaaan. Katanya “Tak mungkin pemimpin itu dipilih kerana sehelai kain pun susah nak bagi pada rakyat”. Bayangkan, kalau kain sehelai sudah boleh mengarahkan pilihan kepada seorang calon, apatah lagi disumbat dengan wang?”.

9. Mari kita sama-sama tertarik pada politik kerana kita tidak punya pilihan. Bukan untuk bersahabat tetapi hidup sebagai manusia dalam lingkaran politik. Kita boleh saja tidak memperdulikan politik, tetapi dengan itu, kita tidak akan sedar ketika kita dicurangi. Semakin kita buta poltik, semakin mereka memanfaatkan kebutaan kita. Ketidakpedulian kita membawa korban. Korbannya adalah diri kita sendiri, rakyat di negara ini.

10. Sama-samalah kita memilih pemimpin yang memahami kepayahan hidup rakyat. Pemimpin yang lahir dari relung penderitaan dan kesengsaraan hidup lebih mudah memahami apa erti kehidupan yang payah berbanding yang lahir di atas tilam bersalut sutera dan berbantal sulaman emas. Pemimpin yang dipilih harus di kalangan yang terbaik dari sudut agamanya, akademiknya, kemahiran komunikasinya, ‘common sense’nya yang semulajadi dan apa saja yang masih boleh dipilih di kalangan rakyat yang masih ramai memiliki ciri-ciri itu. Kata-kata Pandji Pragiwaksono “Selama orang-orang terbaik kita menolak untuk masuk dunia politik maka dunia politik itu akan selalu diisi oleh orang-orang ‘second best’. Orang hebat adalah orang yang tidak berpikir dirinya hebat dan mereka itu masih bertaburan di seluruh pelusuk bumi ini untuk kita sama-sama pilih.

Wallahualam

~: hnbk :`
rakyat pasti menang

CICAK KAMELEON

As-Salam,

1. Pengumuman kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal bulan September 2013 baru-baru ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi sesetengah pihak walaupun sebelum PRU13 lalu kerajaan pimpinan Najib beria-ia menegaskan tiada kenaikan dalam tempoh terdekat. Tempoh terdekat adalah sesuatu yang subjektif dan berbeza antara seseorang dengan seseorang apatah lagi melibatkan kata-kata orang politik. Tempoh terdekat bagi yang berhajat meminjam wang mungkin sekarang sedangkan buat peminjam pula mungkin seminggu atau sebulan. Walau apapun yang telah dijanjikan sebelum Pilihanraya Umum (PRU) yang lalu, kini yang nyata adalah ‘harga minyak naik lagi’ dengan jumlah yang juga agak subjektif kerana disebut ‘hanya 20 sen’ bagi yang mengumumkan dan ‘Alamak!, 20 sen ka?’ bagi yang menerima pengumuman ‘majlis berkabung’ ini. Secara keseluruhannya sedih berbaur kecewa dengan pengumuman tersebut di saat-saat rakyat golongan pertengahan dan bawah sedang membetulkan tulang belakang yang bengkok dihimpit kepayahan angkara inflasi yang menyinga dan kuasa beli pula merudum.

2. Reaksi terhadap pengumuman kenaikan harga minyak ini sesungguhnya jika seseorang itu rasional dan ikhlas, pastinya akan mengeluh lantaran beban yang perlu dipikul oleh mereka WAJIB meningkat. Jumlah 20 sen yang dinaikkan itu untuk seliter dan mustahil untuk kenderaan kereta dan atas akan mengisi dengan jumlah hanya seliter. Sekurang-kurangnya 30 liter diisi untuk memenuhkan tangki kenderaan mereka dan ini bermakna, tambahan RM6 bagi setiap kali diisi minyak berbanding sebelum ini. Semakin kerap diisi, maka semakin banyaklah jumlah tambahan wang belanja berbanding sebelumnya. Itu belum lagi termasuk ‘kesan berganda’ akibat kenaikan harga minyak ini yang bukan saja melibatkan kesan langsung kepada penggunaan minyak seperti pengangkutan awam dan swasta. Hakikatnya, apa juga amaran dan nasihat kerajaan kepada peniaga dan penyedia perkhidmatan tidak akan dipedulikan oleh mereka kerana apakah undang-undang yang ada sekarang boleh diambil tindakan terhadap mereka? Rakyat terpaksa menerima beban yang tidak disangka-sangka walaupun sudah mengetahui siapa ‘tersangka’ yang mengumumkannya.

3, Kerajaan melalui kementerian dan menteri boleh berkata sepatutnya kesan kenaikan harga minyak ini hanya sekitar 0.1 – 0.2 % sahaja tetapi jika dipantau secara telus, apakah ianya mengikut sebagaimana yang dinyatakan? Harga minuman yang dulunya RM1.50 sudah menjadi RM1.80, Makanan yang dulunya RM3.50 kepada RM4.00 dan secara purata kenaikan harga makanan, minuman sekitar 12 ke 17 %. Bayangkan setiap hari berapa banyak perbelanjaan setiap isirumah yang perlu dicampur peratusan tambahan tersebut dan apa akan jadi dengan jumlah pendapatan yang semakin mengesot sekarang? Perbandingan harga minyak di negara ini dengan negara bukan pengeluar minyak adalah sesuatu yang tidak adil sama sekali. Sepatutnya, kenaikan harga minyak di pasaran dunia akan lebih memberi keuntungan pada negara yang diungguli Petronas dengan keuntungan besar hasil daripada kenaikan tersebut jika alasan kenaikan itu dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia.

4. Saya bukan pakar ekonomi mahupun matematik tetapi pengiraan mudah yang tidak memerlukan pakar bidang tersebut sudah mampu menganalisa punca dan kesan kenaikan harga minyak yang berlaku baru-baru ini. Pemimpin yang meremehkan yang kecil tidak akan menghargai yang besar. Jika pemimpin itu melihat angka ‘sen’ itu kecil maka dia juga tidak akan menghargai angka ‘juta’ ringgit yang masih kecil buat mereka. Orang tamak itu umpamanya seperti orang dahaga meminum air laut, semakin diminum semakin dahaga.

5. Yang memberi reaksi kenaikan harga minyak pula berpecah kepada beberapa golongan yang agak sukar dikaji tetapi mudah ditelah. Yang menyokong kerajaan dan mendapat habuan lumrahnya akan tetap mencari hujah mempertahankan kenaikan harga minyak tanpa memperdulikan apa juga hujah orang lain dek memburu habuan ‘in advance’. Yang menyokong kerajaan dan masih bergantung harap untuk rezeki mereka kepada kerajaan juga akan mempertahankan tindakan kerajaan tersebut. Yang menyokong kerajaan tetapi tidak mendapat apa-apa habuan sekadar menjadi pengundi yang mengundi parti pemerintah akan mengeluh samada secara terbuka ataupun yang ‘pemalu’ akan merungut di gelungan rakan-taulan seangkatan. Manakala yang tidak berparti dan ahli atau penyokong pakatan pembangkang akan melanyak habis-habisan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak yang sememangnya menyusahkan rakyat umum.

6. Yang bersuara merdu mempertahankan tindakan menaikkan harga minyak ini secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dalam twiternya yang berbunyi “Minyak petrol naik (harga), pastinya tidak memudaratkan rakyat kerana yang ada kereta besar adalah orang-orang besar dan berkemampuan, (sedangkan) orang kampung ada tidak berkereta,” sungguh amat memalukan. Ada yang menggunakan hujah ekonomi, ada yang berhujah secara politikal penuh retorik dan paling melucukan apabila ada juga yang didakwa Ulama’ Muda UMNO yang mengatakan kenaikan harga minyak itu perlu diterima rakyat kerana “… setiap yang terjadi adalah qadarullah (ketetapan ALLAH). Ini adalah rukun Iman keenam. Tindakan menyalahkan peniaga, kerajaan, pengundi adalah menyalahi akidah suci ini” (Sinar Harian, 8 September 2013). Nampaknya semakin banyak justifikasi yang cuba dihubungkaitkan dengan kenaikan harga minyak ini hanya akan menyerlahkan jenaka dan kebodohan yang tidak mampu mententeramkan jiwa dan amarah rakyat melainkan hanya meningkatkan lagi tahap keladak kemarahan rakyat di bawah.

7. Jika dirangkumkan reaksi yang diluahkan oleh pelbagai pihak, kita akan dapat melihat tahap kejujuran dan keikhlasan sudah tidak mampu dipertahankan oleh manusia hari ini apabila menjualnya dengan harga yang terlalu rendah buat seorang manusia. Justifikasi yang digunakan sudah agak melampau sehingga ada yang sanggup menggadai maruah dan prinsip diri semata-mata untuk mencari kesenangan duniawi. Saya tercari-cari apakah nama spesis manusia yang sesuai dilabelkan kepada mereka yang bermuka-muka, bertalam-talam, berwarna-warni mengikut kepentingan sendiri. Akhirnya saya menemui satu istilah yang agak mirip dengan gelagat mereka. Prof. Dr. Rahman Shaari dalam bukunya bertajuk politik bagus telah menyebut satu hal yang cukup menarik minat saya untuk terus membaca dan berfikir. Dalam bab ‘Tentang Anwar Ibrahim’, beliau mengungkapkan “… pemimpin-pemimpindi Malaysia selalu menjadi chameleon (cicak kameleon), iaitu dapat mengubah warna pada masa dan tempat yang berbeza-beza. Untuk manusia, jika disebut cicak kameleon, makna kiasannya ialah seseorang yang bercakap dan berkelakuan mengikut khalayak dan perkelilingan.” Saya tidak berhajat untuk mengupas bab Saudara Anwar Ibrahim dengan lebih lanjut tetapi lebih berminat untuk menyentuh secara umum makhluk-makhluk bernama manusia yang melakukan transformasi yang amat luarbiasa menjadi ‘cicak kameleon’. Inilah watak dan gelaran penuh hikmah buat mereka yang ‘hipokrit’ mengalahkan pengamal ‘Taqiyah’ yang menjadi amalan golongan ‘Syiah’ yang hebat diperkatakan ketika ini. Hadiah buat ‘cicak kameleon’ yang istimewa dan mampu berubah mengikut selera dan kesesuaian sendiri. Namun lebih bijak untuk memiliki diri sendiri seperti kata Montaigne “Perkara paling mustahak di dunia ini ialah mengetahui bagaimana hendak menjadi hak milik diri sendiri”.

Wallahualam

~: hnbk :~

cicak kameleon

MEREBUT JAWATAN

Salam,

1. Medan tempur merebut jawatan dalam UMNO telah bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah ke pucuk pimpinan tertinggi. Tidak lama lagi pelbagai taktik akan digunakan bagi melengkapkan strategi yang sudah dicanai mengikut acuan masing-masing samada kelompok mahupun individu. Bak kata beberapa orang lama UMNO, lakonan perlu mantap dan soal malu, adab, kasihan dan integriti perlu ditandai sejauh mungkin jika mahu menang. Bagi golongan tidak berparti dan tidak mengejar jawatan ataupun merebutnya, soalan yang sering berkumandang adalah “hari ini nak makan apa?.” Orang politik pula berkata ” Siapa kita nak makan ?.” Berapakah jaraknya antara mahu makan apa dengan siapa kita nak makan hanya Allah swt yang lebih mengetahui.

2. Jika namanya sudah ‘merebut jawatan’, apa lagi yang diharap dari mereka yang akan menduduki kerusi penting di dalam parti sekaligus meluncur deras ke kerusi ‘eksekutif’ dalam sistem pentadbiran kerajaan yang ada di negara ini selepas memenanginya? Jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan timbalannya serta setiausaha-setiausaha politik dan akhbar mereka menjadi idaman. Jawatan itu sebenarnya adalah amanah namun perkataan AMANAH begitu alergik dan menjadi ‘taboo’ dalam dunia politik dan sekiranya digunapakai hanyalah sekadar pemanis kata. Bagi mereka, antara kedua-duanya itu terletak jurang yang amat dalam untuk disambung.

3. Memilih pemimpin seharusnya dipilih bukan di kalangan yang berebut jawatan kerana jawatan tidak menjanjikan selain dari beban yang amat berat di bahu mereka yang dilantik atau dipilih. Tugas pemimpin negara amat berat kerana perlu memelihara mandat yang telah diberikan rakyat. Oleh itu, Allah SWT memberi penghormatan besar kepada pemimpin yang adil dengan meletakkan mereka sebagai golongan pertama daripada tujuh golongan mendapat naungan Arash di Padang Mahsyar di akhirat kelak. Sebaliknya jika mereka mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka juga teramat sekali berat hukumannya. Amanah kepemimpinan menuntut pemikulnya sentiasa mencari-cari kelemahan, kepincangan dan kekurangan untuk diatasi dengan penuh wibawa. Maka dengan itu, tiada satu saat pun yang akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai tujuan tersebut. Ini kerana, kebimbangan menguasai diri setiap pemimpin berkenaaan seandainya amanah yang diserahkan dengan penuh kepercayaan oleh rakyat yang dipimpin telah gagal disempurnakan dan menyebabkan rakyat seluruhnya berduka cita kerananya. Lantaran itu sebagai natijahnya, mereka akan dipersoalkan Allah s.w.t. pada hari pengadilan kelak kerana kecuaian dan kegagalan mereka sebagai orang yang dipercayakan amanah serta tanggungjawab kepemimpinan.

4. Kata-kata Khalifah Abu Bakar As-Siddiq sebaik dilantik sebagai khalifah sering menjadi terma rujukan berhubung pemilihan pemimpin ketika beliau menyampaikan ucapan dasarnya yang berbunyi “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku betul, bantulah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat di kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insyaAllah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku”. Betapa mulianya kepimpinan yang dilantik dan dipilih oleh rakyat jika ciri-ciri ini diletakkan sebagai asas pemilihan pemimpin. Namun, apakah ini yang menjadi kriteria pemilihan?

5. Akhbar Sinar Harian bertarikh hari ini (7 September 2013) yang menemubual Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk mendapatkan reaksi tempoh 100 hari selepas PRU13 telah berlalu memetik kata-katanya yang begitu memberi kesan mendalam kepada rakyat yang sedang dihimpit kepayahan hidup. Reaksinya mudah, “Bagi saya kalau kita boleh selesaikan bab rasuah, berbilion ringgit kita boleh selamatkan dan itu yang harus serta wajib menjadi keutamaan. Selain itu, kita cuba untuk selesaikan dan memberitahu rakyat pengiraan sebenar harga minyak ini, di mana kebanyakan rakyat tidak mengetahui berapakah jumlah yang disubsidikan dan sebagainya”. Kenyataan AP Lembah Pantai itu dilihat senada dengan apa yang disebut oleh AP Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dipetik akhbar sama yang mengecam kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Razak kerana gagal membendung gejala rasuah dalam pentadbiran negara hingga menjejaskan rakyat. Mengulas langkah kerajaan mengurangkan subsidi diesel dan RON95 seperti diumumkan Perdana Menteri 2 September lalu, bekas Menteri Kewangan itu sebaliknya mahu gejala rasuah yang menjadi masalah terbesar pentadbiran negara ditangani segera. Katanya, “Amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang yang banyak. Akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripadanya”. Angka-angka ekonomi yang cuba disumbat ke mulut rakyat gagal meyakinkan mereka. Apakah ini keadilan dan transformasi yang cuba dipugar oleh pemimpin?

6. M. Noor Azam dalam Perspektif 1969-1970, cuba berkias tentang bagaimana organisasi sepatutnya diurus. Katanya, “Nenek moyang kita telah meninggalkan wasiat. Jika sayangkan padi buanglah rumput. Jika sayangkan benih yang ditanam ia tidak saja mesti dibajai dan disirami tetapi juga perlulah dibunuh serangga yang menjadi musuhnya”. Begitu jugalah dengan menjaga organisasi sepatutnya jangan dibiarkan serangga dan rumput menjadi penghias padi dan benih sehingga habis dimusnahkannya dan tinggal pesawah menepuk dahi kerugian bukan kepalang. Detik itu, tidak banyak yang dapat dilakukan lagi dan airmata darah sekalipun sudah tidak dapat membantu mendapatkan kembali apa yang sudah direnggut. Siapa serangga dan rumput dalam organisasi?

7. Mansor Ahmad Saman dalam makalah bertajuk ‘Hitam-hitam kayu di bendul’ menulis dalam Dewan Masyarakat bertarikh 19 Disember 1981 berkata “Pemimpin yang boleh kita amanahkan kuasa adalah pemimpin yang menjadi pengikut kepada kehendak pengikut”. Jangan pula dipilih pemimpin yang gagal dalam memimpin dirinya sendiri. Seperti apa yang disebut oleh pengarang drama Inggeris (1583-1640) Philip Massinger, “Dia yang hendak memimpin orang lain haruslah mahir memimpin dirinya sendiri terlebih dahulu”. Jika diri sendiri dan keluarga gagal dipimpin, mana mungkin organisasi yang lebih besar dan keahliannya yang ramai serta negara yang mempunyai penduduk hampir 30 juta orang ini mampu diterajui? Pemimpin yang menyeleweng dari kehendak pengikut sewajarnya dibiarkan sesat sehingga terperanjat besar kelak bila beliau menoleh ke belakang mendapati berjalan keseorangan dan pengikut sudah hilang entah ke mana.

8. Tahap kesabaran rakyat ada sempadannya dan ia hanya mampu diselami oleh pemimpin yang berupaya memahami dan merasai kepayahan hidup serta nilai ‘sen’ bukannya jutaan ringgit sahaja. Pemimpin yang gagal memahami kepayahan rakyat sudah banyak yang menjadi sebahagian dari sejarah hitam di banyak negara termasuk negara tetangga. Majalah Pemikir (Januari-Mac 2012) memetik makalah yang ditulis oleh Ali Maksum berjudul ‘Rakyat Pikul Beban Kerajaan?’ sebagai berkata “Berbeza Mahathir, negara-negara lain seperti Thailand dan Indonesia yang gagal mengawal krisis ekonomi dan politik dalaman memaksa kerajaan yang ada melepaskan kekuasaan. Di Thailand, Chavalit Yongchaiyut selaku Perdana Menteri terpaksa melepaskan jawatan pada 4 November 1997 ekoran tekanan orang ramai yang disokong parlimen disebabkan kerajaan gagal bertahan dalam krisis ekonomi. Di Indonesia pula krisis berakhir dengan kejatuhan Presiden Soeharto selepas tunjuk perasaan hebat dan rusuhan besar-besaran berlaku di ibu negara Jakarta pada Mei 1998”. Agak menghairan apabila penasihat ekonomi Najib yang dikenali sebagai Pemandu atau Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan diketuai oleh Idris Jala dan mirip seperti peranan “budak-budak tingkat 4” ketika era Pak Lah tidak memainkan peranan seperti sewajarnya walaupun gaji dan elaunya didakwa begitu mengiurkan. Malah, Pemandu ini bertali arus didedahkan kepincangannya sejak kebelakangan ini dalam media sosial dengan menelajanjangkan “panau dan kurap” yang selama ini terlindung dalam pentadbiran Najib. Pemandu yang bukan saja didedahkan dengan pegawai kanannya yang tidak bermoral, kecenderungan terhadap bangsa asing dalam pengambilan kakitangan, kebergantungan kepada konsultan luar, malah turut dikaitkan dengan pembaziran operasi sehingga RM337 juta sejak empat tahun lalu. Pemandu yang ditubuh oleh YAB Perdana Menteri ini seakan-akan gagal melihat pertalian antara ekonomi berskala kecil di pihak rakyat dan besar oleh syarikat-syarikat gergasi yang ditopang oleh kerajaan. Mungkin mereka cerdik tetapi persekitaran lebih cerdik dari mereka sehingga menjadikan ketidakcerdikan membayangi tindak-tanduk pemimpin dan armadanya.

9. Perkataan boros telah menjadi sinonim dengan pentadbiran yang ada sehingga Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed turut memberi komen bahawa kerajaan sediada boros dan perlu menanggung beban ekonomi yang dihadapi sekarang. Langkah memotong perbelanjaan kerajaan serta gaji dan elaun menteri turut disarankan oleh beliau bagi mengatasi masalah defisit. Tokoh berhaluan kiri Amerika Syarikat Amos Pinchot (1863-1944) berkata “Kini negara-negara di dunia mungkin dibahagikan kepada dua kelompok; negara yang kerajaannya takut pada rakyat dan negara yang rakyatnya takut kepada kerajaan”. Buat masa ini rasanya rakyat masih berada di pihak yang takut pada kerajaan dan sebaik-baiknya elok dikekalkan momentum tersebut dengan memilih untuk menjadi pemimpin yang menghargai pandangan dan keluhan rakyat. Komen-komen menjijikkan yang dibuat oleh beberapa pemimpin kanan UMNO harus dielakkan seperti komen AP Kinabatangan Bung Mokhtar Radin dalam twiternya mengenai kenaikan harga minyak “Minyak petrol naik (harga), pastinya tidak memudaratkan rakyat kerana yang ada kereta besar adalah orang-orang besar dan berkemampuan, (sedangkan) orang kampung ada tidak berkereta,”. Kepercayaan itu umpama kertas. Sekali direnyuk, selama-lamanya akan meninggalkan kesan renyuk. Apa yang lebih penting adalah setiap dari kita harus menjadi diri sendiri. Ralph Waldo Trine (1866-1958) seorang ahli falsafah menyebut “Anda mahu menjadi paling berkuasa di dunia? Jadilah diri anda sendiri”. Biar berebut amanah jangan berebut jawatan.

Wallahualam

~: hnbk :~

umno

Bila Minyak Bersenda

As-Salam,

1. Petroleum atau minyak menjadi begitu penting pada bila-bila masa disebabkan semua negara di dunia terlalu bergantung kepada unsur semulajadi ini untuk digunakan sebagai pembekal tenaga bagi keperluan kehidupan sehari-hari. Oleh kerana itu lah, negara-negara sanggup berperang dan menjadikan matlamat utama serangan bukanlah atas nama membebaskan negara yang diserang itu dari cengkaman diktator atau ‘demokrasi’ seperti yang diwar-warkan. Semuanya berpunca daripada kerakusan dan ketamakan untuk merebut ‘emas hitam’ di negara-negara yang diserang seperti Iraq, Libya dan lain-lain negara pengeluar minyak. Ia memang sejajar dengan apa yang disebut oleh Georges Clemenceau (seorang negarawan Perancis) yang menyatakan bahawa, “Setitik minyak bererti satu titik darah seorang perajurit.”

2. “Doktrin Petrol” memaparkan bahawa penguasaan terhadap petroleum serta hubung kaitnya dengan dilema keselamatan sesebuah negara. Jika zaman dahulu negara dijajah atas tiket bijih timah dan getah, sekarang minyak adalah segala-galanya. Oleh yang demikian, minyak merupakan elemen penting dan begitu mudah merangsang bukan saja musuh luar bahkan musuh dalaman dan amat mudah digeletek untuk ‘geli’ yang merbahaya. Dengan kedudukan kerajaan sedia ada yang hanya bermodalkan 133 kerusi daripada 222 kerusi parlimen yang ada bukanlah sesuatu yang bijak untuk menguji kesetiaan rakyat.

3. Sebarang kenaikan harga di pasaran masa kini amatlah sensitif dan mengganggu keselesaan rakyat. Hati sedang dibaluti emosi hanya menanti masa untuk dituntun oleh manipulator emosi yang licik bersandiwara dan memapah mangsa yang sedang marah keletihan. Ramai yang memperlekehkan emosi rakyat yang sedang kecewa dengan kenaikan harga petrol dan diesel kali ini. Kata-kata “hanya 20 sen sahaja naik” menjadi mainan mereka yang tidak sensitif dengan emosi rakyat yang sedang bergelora. Apakah mereka merasakan rakyat tidak faham bahawa setiap kereta, lori, bas dan van yang masuk ke stesen minyak itu tidak akan mengisi hanya 1 liter sahaja? Atau mungkin bagi mereka kata-kata Saki penulis Inggeris “Sedikit pembohongan kadangkala menyelamatkan kita daripada sejuta penjelasan” sudah terpahat di minda sebelum mengumumkan kenaikan harga bahan bakar ini? Atau sebaliknya lebih baik menjadi seperti kata Jean Cocteau “saya seorang pembohong yang sentiasa bercakap benar”?

4. Situasi kestabilan sesebuah negara tidak hanya terletak kepada kekuatan tentera dan pasukan keselamatan yang lain. Dokongan dan sokongan rakyat adalah maha penting dalam menentukan kekuatan sesebuah kerajaan dan negara. Salah satu puncanya adalah berkait rapat dengan keupayaan sesebuah kerajaan untuk memastikan sumber petroleum di pasaran domestiknya sentiasa terjamin dan stabil harganya. Hal ini adalah untuk mengelakkan situasi yang dinamakan sebagai “kebangkitan petrol” yang mungkin akan menjemput ketidak stabilan dalam politik ekonomi dan sosial sesebuah negara.

5. Sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga bagi gas asli, pastinya ia akan mengundang satu lagi tuntutan bagi kenaikan tarif elektrik dalam masa terdekat sejurus selepas kenaikan harga bahan bakar tersebut dilakukan. Untuk itu, sekiranya berlaku sebarang kenaikan harga pada satu komoditi, maka akan memberikan kesan jaringan kos kepada barangan serta perkhidmatan yang berkaitan. Semuanya adalah merupakan ‘chain reaction’ yang merupakan fitrah yang sudah menjadi lumrah di negara ini. Amaran dan nasihat kerajaan kepada peniaga dan pengeluar barangan dan perkhidmatan agar tidak menaikkan harga barang dan pekhidmatan hanya mampu memenuhi skrip semasa yang sudah muak didengar dan ditonton oleh rakyat.

6. Dengan satu kenaikan harga minyak atau gas, hal ini mampu menggerakkan rakyat sehingga boleh menyebabkan kemusnahan sesebuah penguasa di mana-mana negara di dunia melalui rekod sejarah lampau yang dapat kita telusuri. Kebangkitan rakyat disebabkan oleh ketidakselesaan selepas berlakunya kenaikan harga bahan bakar di sesebuah pasaran domestik dapat dlihat ketika tumbangnya Soeharto pada Mei 1998 yang berpunca dari gerakan awal membantah kenaikan harga bahan bakar. Namun sejarah sering dilupakan oleh manusia dan kata-kata Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa “Melayu mudah lupa” lebih bersifat kiasan serta tiada kaitan dengan kenyanyukan atau penyakit ‘lupa’ yang menjangkiti bangsa.

7. Harus diingat, tidak mungkin ada parti politik yang ditubuhkan untuk melakukan keburukan. Menaikkan harga bahan bakar dalam situasi rakyat masih dihimpit masalah ekonomi yang serius bukanlah sesuatu tindakan mulia. Pengangguran dapat dilihat di serata tempat termasuk para graduan yang hanya mampu tersengeh apabila disoal tentang pekerjaan mereka. Mendakwa mereka memilih pekerjaan hanyalah jalan pintas menutup kelemahan sendiri. Kadar inflasi yang meruncing akibat kenaikan harga barang yang sukar dikawal telah membawa kepada kuasa beli rakyat turut menjunam. Apakah dengan memanipulasikan kata-kata bahawa “kenaikan tidak membebankan rakyat dan ianya bertujuan untuk kebaikan seluruh rakyat di negara ini” mampu mengikis ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat?

8. Rakyat masih waras dan tidak akan hilang kewarasan. Apa yang lebih penting adalah memberi kesedaran kepada generasi muda agar mengetahui apakah ancaman sebenar yang dihadapi oleh rakyat dan negara. Perjuangan terberat generasi muda ketika ini adalah perang mengenali musuh dari bangsa sendiri. Pemimpin yang lebih menghormati ‘tamu’ dibandingkan pemilik negeri ini yakni rakyat. Pemimpin yang membuat kita kembali terjajah di rumah sendiri dan terhina sebagai pekerja di mata dunia. Jika generasi muda terus menghambakan diri kepada kecelaruan minda dan gagal menjadi sebahagian dari pengubah keadaan, maka jangan hairan apabila generasi muda akan datang hanya menjadi budak di rumah sendiri. Kita harus sama-sama menjamin kesejahteraan generasi masa depan yang meminjamkan kita bumi ini untuk memastikan agar warisan yang kita perturunkan kepada mereka, akan lebih selesa berbanding masa kini.

Wallahualam

~: hnbk :~
petrol

SUMPAHAN SANG KELEMBAI

As-Salam

1. Sang Kelembai begitu sinonim dalam cerita-cerita rakyat dalam masyarakat Melayu yang sering diceritakan mempunyai kuasa sakti dan kebolehannya menyumpah manusia atau haiwan menjadi batu ketika dia sedang marah. Menurut cerita lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu. Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang dan amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain. Kegerunan akan sumpahan Sang kelembai menjadikan yang belum dibatukan sudah membatukan diri sendiri dan ini lah penyakit yang melanda masyarakat ketika ini.

2. Dalam dunia politik dan kehidupan seharian juga Sang Kelembai sentiasa membayangi langkah manusia yang menipu diri sendiri apabila di mulut meyakini dengan sesungguhnya keEsaan Allah swt tetapi dalam masa sama merunduk terketar-ketar ketakutan pada Sang Kelembai. Allah Maha Pencipta dan Berkuasa sudah dikesampingkan bimbang dimakan sumpah Sang kelembai menjadi batu. Kemarahan Maha Berkuasa tidak digeruni sebaliknya kemarahan Sang Kelembai sentiasa bermain di kepala sehingga terpaksa menurut apa saja kehendak makhluk ini dan kuncu-kuncunya. Percaturan politik samada di dalam parti politik ataupun organisasi ketika ini semuanya mengambil kira soal apa saja yang memungkinkan tercetusnya kemarahan Sang Kelembai. Jika bukan kemarahan makhluk dianggap paling berkuasa ini dihitung, maka kemarahan suku-sakatnya juga akan turut menjadi keutamaan untuk difikirkan kerana bimbang membawa musibah , kerana Sang Kelembai amat mengambil berat perasaan dan kemahuan keluarga serta suku-sakat di sekelilingnya.

3. Apabila firasat begini sudah berakar dalam organisasi dan masyarakat, yang hidup seakan mati dan yang mati tetaplah mati. Budaya pekak dan bisu menjadi lumrah sehingga apa saja yang dilakukan walaupun dengan jelas memudaratkan bangsa, agama dan tanahair bukan saja dibiarkan malah akan dibela jika dilakukan oleh Sang Kelembai dan kaum kerabatnya. Hujah-hujah membela untuk menjustifikasikan tindakan Sang Kelembai dan pemimpin naungannya dikutip dari hujung benua hinggalah ‘perigi buta’ untuk membutakan masyarakat atas kepincangan dan kemudaratan yang ditimbun dari hari ke hari. Bagaimana rakyat akan hidup aman damai jika situasi seperti ini sudah merayap ke segenap ceruk rantau hutan, kampong, bandar, laut dan darat? Dengan itu, yang kuat bertambah kuat dan yang lemah terus ditunggangi. Yang kaya pula mengaut kekayaan tidak kira atas penderitaan orang lain sementara yang miskin pucat lesi kelaparan menunggu masa untuk ditalkinkan. Semuanya gara-gara Sang Kelembai yang disaktikan oleh mangsa-mangsanya sendiri sehingga menjadi terlalu berkuasa dan lupa bahawa langit tidak selalu cerah dan kemarau tidak semestinya tidak berpenghujung.

4. Manusia yang hidup dalam situasi ini jika tidak menjadi batu, setidak-tidaknya mereka akan kaku umpama batu. Tidak pekak namun sengaja memekakkan telinga, yang celik dengan bangganya membutakan mata malah yang petah berbicara akan menjadi bisu sebisu-bisunya angkara Sang Kelembai. Prinsip yang dijulang oleh mereka adalah, sebelum disumpah menjadi batu, lebih baik membatukan diri agar Sang Kelembai yakin tidak ada lagi manusia yang masih hidup dan mencabar kehebatannya. Maka masyarakat akan dipenuhi manusia-manusia yang berpura-pura menjadi batu untuk menyelamatkan diri masing-masing dari dimakan sumpah Sang Kelembai. Mengumpan kemarahan Sang Kelembai bererti BATU dan jika ada yang masih bergerak sekalipun hanya manusia-manusia yang membantu Sang Kelembai membatukan manusia lain demi memanjangkan hayat Sang Kelembai dan bala tenteranya. Perkataan bersifat teguran, nasihat dan penambahbaikan tidak lagi berada dalam kamus kehidupan manusia dan sekiranya masih kedengaran tidak lain dan tidak bukan hanyalah ‘RETORIK’ bagi menggambarkan demokrasi masih hidup sedangkan hakikatnya ‘DEMOKRASI’ sudah reput daging dan tulangnya di alam kubur. Daripada dimakan sumpahan mereka memilih menjadi pengasuh, kuli dan penjilat Sang Kelembai. Walaupun diketahui akan kehodohan makhluk tersebut tetaplah penjilat-penjilat itu mengalunkan irama syair dan sajak yang memuji ketampanan ‘Si Hodoh’ yang lena dibuai mimpi dan hanya akan bangun untuk memuntahkan sumpahan..

5. Organisasi dan wilayah yang dikuasai Sang Kelembai menjadi gersang dan kontang kekurangan makanan lantaran tiada yang berani memberitahu perkara sebenar akibat ketakutan yang amat sangat. Yang berani menegur dan menyatakan kebenaran semuanya sudah termakan sumpahan menjadi batu, Apakah keadaan begini perlu dibiarkan berterusan atas ketakutan dimakan sumpahan? Menelusuri kata-kata Dr Myron Tribus yang amat terkenal dengan kata-katanya yang sering dipetik sebagai rujukan berbunyi “The ultimate curse is to be a passenger on a large ship, to know that the ship is going to sink, to know precisely what to do to prevent it, and to realize that no one will listen”. Begitu jugalah dengan parti dan organisasi yang besar dan gagah juga akan tenggelam sekiranya tidak ada manusia yang berani memberitahu nakhoda bahawa kapal yang dinaiki sedang tenggelam akibat bimbang disumpah menjadi batu. Maka natijahnya, semua yang berada di dalam kapal akan mati lemas setelah kapal tenggelam termasuk nakhoda. Yang kononnya kasih dan sayang kepada nakhoda, yang setianya mengalahkan Hang Tuah kepada Raja bersekali dengan rakyat yang tidak berdosa akan menjadi tukun berkarang di dasar lautan akibat bimbang dimakan sumpah Sang Kelembai.

6. Pepatah Jerman mengatakan “Roti siapa yang aku makan, lagu dialah yang aku nyanyi”. Apakah ini yang sedang dilakukan oleh rakyat yang mengimpikan negara dipimpin pemimpin yang mengutamakan rakyat? Bagaimana jika yang memberi roti itu adalah pengkhianat dan apakah lagu pengkhianatan yang harus kita semua nyanyikan? Ingatlah, bangsa yang penakut tidak akan merdeka dan berhak merdeka. Mereka hanya layak dijadikan abdi atas kerelaan sendiri dan sanggup membiarkan masa depan bangsa, agama dan tanahair diinjak oleh penjajah berjubah kepura-puraan dengan serban bertatah kata-kata ‘DEMI RAKYAT’. Di sebalik jubah dan serban, berderet-deret gerabak harta karun yang dipunggah dari ladang rakyat yang mengatasnamakan “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”. Rakyat memamah hati kuman, Sang Kelembai dan suku-sakat berpesta hati gajah.

7. Dr Siddiq fadil di dalam monografnya berjudul ’Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan terbitan Akademi Kajian Ketamadunan’ menyebut “Andainya kita dapat menyepakati bahawa tugas pemerataan kesedaran harus didasari rasa cinta terhadap umat, maka demi cinta, para ilmuwan harus siap untuk berkorban. Bukankah cinta selalu memerlukan pengorbanan? Dalam konteks perlaksanaan misi membangkitkan kesedaran rakyat, memang ia memerlukan kesediaan berkorban, apa lagi ketika kesedaran rakyat dirasakan sebagai ancaman terhadap pihak-pihak berkepentingan yang selama ini hidup selesa dalam pesta pora dengan mengeksploitasi kebodohan dan kealpaan rakyat”.

8. Maka dengan itu, jangan dibiarkan kerajaan yang kita dakwa disayangi menjadi lemah kerana sepertimana kata Benjamin Disraeli “Raja segala kejahatan ialah sebuah kerajaan yang lemah”. Sesuatu yang lemah memang mudah diperkotak-katikkan dan yang bakal menjadi mangsa adalah rakyat bukanlah pemimpin yang lemah. Untuk itu, sama-sama kita menasihati dan menegur selagi mampu kerana tiada kuasa yang lebih berkuasa selain Allah swt walaupun Sang Kelembai yang digeruni oleh golongan kufur nikmat lagi syirik terhadap Maha Pencipta. Pesan Ralph Waldo Emerson salah seorang pemikir Amerika Syarikat “Dalam setiap kumpulan masyarakat, sebahagian dilahirkan untuk memerintah, sebahagian lagi untuk menasihat”. Jika kita tidak memerintah maka nasihatlah mereka yang memerintah demi kemaslahatan bangsa, agama dan tanahair.

9. Da’i tersohor di Indonesia yang dipetik oleh Agus Ahmad Safei dalam Ensaiklopedia Pemikiran Emha Ainun Nadjib berjudul Negeri Yang Malang berkata “Allah tidak menuntut kita bersih putih tatkala kita berada di tengah lautan yang kotor, kumuh dan busuk airnya”. Namun apakah kita akan terus berkubang dalam kebusukan dan kehanyiran walaupun kemampuan untuk keluar dari situ masih luas terbentang? Berusahalah kita dengan segala darah dan nafas yang ada untuk keluar dari kebusukan itu hatta nyawa menjadi taruhan. Jika itu dianggap derhaka, maka pohon ihsan untuk saya meminjam kata- kata Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin “Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda, patik mohon untuk derhaka Tuanku.”

Wallahualam

~: hnbk :~
Sang_Kelembai (1)