Suara Dari Celahan Dinding

As-Salam,

1. Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan pertuduhan terhadap Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman kerana tidak memberi polis notis 10 hari ketika menganjurkan Himpunan Blackout di Stadium Kelana Jaya pada Mei tahun lepas. Asas keputusan ini dibuat oleh mahkamah dengan pendapat apa yang asasnya sah tidak boleh dijadikan asas tindakan jenayah. Hakim Mahkamah Rayuan berkata jika sesuatu perhimpunan itu sah, tidak boleh pada masa yang sama ia diisytiharkan haram.

2. Nampaknya Akta Perhimpunan Aman 2012 (APP) gagal membahagiakan rakyat umum sepenuhnya sepertimana Akta Polis yang sebelum ini digunakan dalam semua perhimpunan anjuran parti-parti politik samada ceramah-ceramah politik atau apa juga perhimpunan yang melibatkan parti-parti politik ataupun NGO. Bukan saja Akta Polis, akta-akta yang baru diperkenalkan selepas Perdana Menteri mengumumkan transformasi politik seakan-akan banyak yang memakan diri dan parti pimpinannya. Undang-undang pencegahan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan juga banyak memberi impak yang dilihat tidak memihak kepada parti pemerintah. Setelah ISA dimansuhkan, semua akta yang mempunyai roh dan sifat sama seperti ISA turut terkorban seperti Ordinan Darurat, Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan sebagainya sehingga terpaksa menggubal undang-undang baru yang kononnya lebih hebat bagi membendung masalah keselamatan di negara ini. Ini termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang dikuatkuasakan atas justifikasi bagi menyediakan langkah-langkah khas berkaitan dengan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan keamanan dan keselamatan. Akta ini digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan telah telah diluluskan di Parlimen pada 17 April 2012, diberikan Perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012. Sehingga detik ini, apakah SOSMA mampu mendepani masalah keselamatan yang diperhatikan semakin meningkat sejak kebelakangan ini sepertimana ISA? Keberkesanan bukan dilihat daripada jumlah angka yang ditahan, tetapi dari sudut hukuman. Berapa ramai yang sudah didakwa dan menerima hukuman di bawah undang-undang ini? Apa jadi dengan insiden Lahad Datu? Apakah mereka yang didakwa sebagai pesalah yang didakwa di bawah SOSMA atau sebaliknya di bawah undang-undang lain? Jika SOSMA begitu hebat dan efektif, kenapa ia tidak mampu melakukan sepertimana ISA yang sudah terbukti mampu mengekang kegiatan ekstremis termasuk komunis walaupun diakui banyak lompong yang boleh dibaiki.

3. Tindakan terburu-buru umpama hajat membina rumah baru yang belum sempat dibina tetapi rumah lama sudahpun diruntuhkan bukanlah pilihan terbaik walaupun dianggap sesetengah pihak sebagai ‘baik’. Akhirnya jadilah ibarat pengemis bergelandangan ke sana sini menumpang teduh hatta di bawah jambatan akibat rumah lama sudah tidak ada dan rumah baru belum siap. Untuk siapkan rumah baru dengan tergesa-gesa, maka pelbagai usaha dibuat walaupun berbumbungkan plastik bocor. Inilah akibatnya jika populariti yang dikejar dan teguran walaupun ikhlas dianggap sebagai penghalang. Jika terdapat pemimpin, tokoh-tokoh cendiakawan, orang-orang perseorangan samada profesional mahupun tidak, maka mereka akan dipersendakan, diperlekehkan, dihina dan dilabel manusia tidak mengenang budi yang mendapat nikmat hasil usaha kerajaan tapi membalasnya dengan kritikan. Apakah kritikan dan teguran itu menjahanamkan berbanding pujian yang ternyata sudah seringkali menjerumuskan kerajaan ke lembah penghinaan? Mereka sebenarnya mengkritik untuk memperbaiki dan ingin melihat negara menjadi lebih baik. Mengkritik tidak bermakna mereka anti-kerajaan. Tahap pemahaman harus betul agar tidak dikelirukan antara menentang parti politik, berbeza ideologi politik ataupun menentang kerajaan. Butir-butir kritikan harus difahami agar tidak menjadi bahan propaganda murahan ataupun alat bantuan kecemasan bagi mereka yang sedang lemas. Manusia yang kelemasan bukan sahaja pelampung, malah ‘straw’ sekalipun akan dijadikan perkakas untuk menyelematkan diri dari lemas.

4. Situasi sekarang memperlihatkan bagaimana mereka yang terpanggil untuk menegur dan menasihatkan kerajaan tanpa ihsan dan bayaran dilabel sebagai penentang kerajaan ataupun pengkhianat. Apa dasar kerajaan yang ditentang mereka? Jika tindakan kerajaan yang dilakukan oleh pemegang jawatan dari parti-parti tertentu itu salah, adalah menjadi tanggungjawab bukan saja wakil rakyat ataupun penguatkuasa, malah ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk membetul dan mengheretnya kembali ke landasan yang betul. Justifikasinya adalah kerana sekiranya musibah menimpa negara akibat daripada kecuaian, salahlaku, penyelewengan, menyalahgunakan kedudukan untuk diri sendiri dan keluarga, malah apa juga musibah akan ditanggung oleh semua rakyat di negara ini. Kesempatan memang tidak selalu datang untuk kali kedua. Oleh itu, selagi ada kesempatan untuk bersuara, tidak menjadi kesalahan untuk mereka yang ikhlas untuk menegur. Dr. Djohan Effendi dalam bukunya ‘Menemukan Makna Hidup’ mengungkapkan bahawa, “Penduduknya tidak lagi bersyukur atas anugerah Tuhan berupa karunia alam yang melimpah ruah, melainkan ingin kaya dengan cara mudah; berpesta dengan korupsi yang gila-gilaan. Maka jangan kaget bila Allah menenggelamkan negeri kaya ini ke lautan kesengsaraan dan penderitaan tiada akhir.”

5. Mungkin ramai yang berfikir dengan menongkah arus akan menyebabkan hidup berteman kegelapan. Percayalah rezeki itu di tangan Tuhan hatta yang kononnya memberi habuan itu sendiri rezekinya datang dari Tuhan. Ikan hidup menongkah arus dan hanya ikan mati yang mengikut arus. Tidak perlu bagi kita terlalu ghairah mengejar duniawi sehingga meletakkan dunia orang lain di luar dunia. Keuntungan material, betapapun banyaknya, tidak akan pernah mampu membahagiakan seseorang. Bung Karno pernah meminta rakyatnya, “Bila perlu makan batu asalkan tidak menjadi bangsa peminta-minta”. Untuk kita yang rasional, tidaklah hingga memakan batu kerana syukur negara kita masih belum sampai ke tahap tersebut. Namun demikian, seperti apa yang dipetik oleh Khalid Salleh dalam bukunya Pandirnya Si Pandir, katanya Mohamad Iqbal pernah menyebut dalam satu puisinya, “Untuk hidup manusia hanya memerlukan dua keping roti (capati), ertinya lebih dari itu nafsu di samping nak membesarkan tembolok”.

5. Ramai yang bercita-cita menjadi pahlawan, namun, bak kata Dr. Anis Matta, “Harta bukanlah tujuan kepahlawanan,..Harta tidak dengan sendirinya menjadikan mereka pahlawan”. Untuk menjadi pahlwan di mata rakyat, kita harus dekat dengan rakyat. Kita harus menyelami masalah mereka dan mempertahankan mereka dari kebejatan dan kesengsaraan. Rakyat sekarang sedang berperang untuk hidup bukan di medan perang bersimpang siur peluru dan bom. Tetapi rakyat sedang berperang untuk hidup dari petualang inflasi, penindas di kalangan peniaga dan pengusaha konglomerat keparat yang mencekik rakyat hingga terjelir lidah dan perut kosong bersalut kulit. Makanya, pahlawan harus melindungi dan menghancurkan penindas dan golongan opportunis seperti ini. Jangan biarkan mereka hidup tertekan dan berselindung di sebalik dinding buluh dan bumbung atap nipah yang bocor. Jadilah pahlawan rakyat yang dijulang oleh mereka dengan wajah ceria dan rela. Pemimpin harus mampu berkomunikasi dengan rakyat dengan bahasa yang difahami oleh mereka seperti kata Emha Ainun Nadjib dalam bukunya ‘Demokrasi La Roiba Fih’, “…bahasanya sangat terbuka dan telanjang, tanpa rumbai atau hiasan-hiasan”. Insyallah dengan mudah rakyat berkomunikasi dengan pemimpin tanpa dinding yang menghalang, kasih sayang dan cinta mereka pada pemimpin tanpa mengira dari parti mana sekalipun kamu akan tumbuh. Kasih sayang dan cinta tidak lahir bersama wang dan harta, tetapi keikhlasan, kejujuran tegas menjunjung amanah.

6. Sama-samalah kita tidak kira dari padang politik mana sekalipun, ideologi politik mana, kaum, agama, jantina, umur dan strata sosial serta ekonomi apa pun kamu, hadirlah bersama-sama mempertahankan kebenaran dan menentang kebatilan demi rakyat, agama dan bangsa kita. Kata Emha Ainun Nadjib dalam buku ‘Negeri Yang Malang’ yang dipetik oleh Agus Ahmad Safei, “Manusia disebut manusia karena kehormatannya”.

Wallahualam

~: Sani :~

daulah rakyat

Advertisements

Hikmah Sebalik Kifarah

1. Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qada’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati. Selagi ketentuan (qada’) bagi sakit itu belum menepati qada’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia jelas di.sini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan.

2. Selain dapat mengurangkan dosa sepertimana kata Sayyidatina Aishah, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslirn), ia juga mampu membawa banyak hikmah yang hanya mampu dicapai oleh mereka yang berfikir.

3. Berapa banyak manusia yang kaya raya hasil daripada kifarah ke atas manusia-manusia yang mengaut harta dan wang ringgit dengan cara salah dan ianya digugurkan dosa-dosa atas kifarah oleh Allah swt atas rasa kasih sayang kepada golongan ini walaupun engkar dan derhaka kepada Maha Pencipta. Hospital dan pusat perubatan swasta dapat mengaut keuntungan daripada penyakit dan kesakitan yang dihadapi oleh pendosa-pendosa kaya raya yang memilih pusat perubatan swasta mewah dan mahal kos perubatan mereka. Kifarah secara tidak langsung dapat memberi kekayaan dan peluang pekerjaan kepada kakitangan dan semua mereka yang mendapat sumber rezeki di sana. Kifarah juga wajar dilihat dari lensa berbeza kerana tidak berlaku sesuatu tanpa izinNya. Namun tidaklah menjadi niat penulis untuk mengatakan semua yang mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta mahupun kerajaan itu sebagai pendosa namun bukan mustahil ianya didatangkan dalam bentuk demikian.

Wallahualam

~: sani :~

Peluang Atas Kesengsaraan

1. Masalah kenaikan harga barang seakan sudah menjadi fenomena sukar dikawal walaupun harga barang dan caj perkhidmatan sering diumumkan oleh pihak bertanggungjawab sebagai terkawal dan tidak membebankan rakyat. Harga barang keperluan termasuk barang kawalan yang dijual di pasar basah dan pasaraya mungkin ada juga yang memantau. Bagaimana dengan kedai makan, restoran dan medan selera yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Bagi menampung bahana inflasi, ramai yang mencari jalan pintas dengan menjadi peniaga makanan atau minuman. Apa yang bersarang dalam kepala ada bagi mencukupkan keperluan masing-masing tanpa memikirkan keperluan orang lain.

2. Inflasi dijadikan alasan oleh peniaga makanan dan minuman untuk menaikkan harga barang sesuka hati. Restoran besar dan hotel sememangnya difahami dan harga pun sudah diketahui bakal pembeli dan pelanggan. Namun di kedai dan gerai makan yang bersepah tumbuh itu, mereka jadikan pelanggan dan pembeli sebagai sasaran untuk disembelih. Benar seperti apa yang ditulis dalam status fb saya sebelum ini, “Penyembelih tidak membaca bismilah sementara yang disembelih membaca bismilah”. Walaupun bunyi agak lucu tetapi itulah hakikat kehidupan ketika ini. Para menteri dan wakil rakyat yang menjadi tulang belakang penguasa hanya tahu melaungkan kenyataan ‘bodoh’ jika ini mahal buat yg murah, jika itu mahal buat yang ini. Kek Mahal buat sendiri kek, ayam mahal makan ikan, tak mampu guna lebuhraya sila guna jalanraya biasa yang kesemuanya terus menaikkan kemarahan rakyat seakan tahap intelektual rakyat terlalu rendah untuk diperkotak-katikkan. Semuanya kerana ‘survival’ dan ‘escapism’ golongan yang gagal memahami atau sengaja tidak mau faham masalah sebenar dihadapi rakyat. Minda penindas menjadi asas membuat kenyataan dan komen balas kepada setiap permasalahan yang diketengahkan.

3. Harga makanan dan minuman yang ditimbun atas kepala rakyat seperti mereka ‘tukang cap duit’. Sotong selonggok RM5 apabila di masak dijual kepada pelanggan dengan 3 ekor (besar jari kelingking), sebiji telur rebus dengan kuah campur digasak RM10 belum masuk minuman. Minuman pula, air batu penuh gelas, teh 1/4 gelas dah RM1.50. Semuanya alasan yang telah diwartakan sebagai skrip drama ‘Negara Kaya Rakyat Miskin’. Hiduplah rakyat bertemankan belaian penindas dan pengampu yang tidak pernah bosan dan letih menindas. Nilai kasih sayang sudah hilang dari langit kehidupan. Alangkah buruknya nilai kasih sayang yang meletakkan batu di satu sisi bangunan dan menghancurkan dinding di sisi lainnya. Nilai kebenaran semakin pupus dan untuk menemuinya seperti mencari jarum di ‘Lautan Hindi’. Diperlukan dua orang untuk menemui kebenaran; satu untuk mengucapkannya dan satu lagi untuk memahaminya. Jika masih ada yang ingin melabel suara-suara perih orang seperti aku sebagai ‘boneka pembangkang’, aku tetap meminjam kata-kata Jokowi Pilpres Indonesia “Ya! aku boneka tetapi boneka rakyat yang tidak ada suku sakat dan harapkan habuan hasil mengampu dan meremehkan masalah rakyat”.

Wallahualam

~: sani :~

ayam