Pemanah yang tewas di tangan sendiri

Salam,

1. Tengahari tadi beberapa pemimpin AMK Perlis menyerahkan memorandum menjemput MB Perlis berdebat berhubung Perlis Maju 2015 : Antara Fantasi dan Realiti. Mereka dibenarkan untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Akhbar MB Perlis Sdr Jamshari Jamaludin di hadapan Bangunan DUN Perlis dengan disaksikan Ketua Polis Daerah Kangar. Terdengar suara-suara di kalangan mereka bahawa bangunan tersebut akan dihuni oleh mereka tak lama lagi (Mungkin selepas PRU13). Suara-suara sinis sambil tersenyum itu mencerminkan betapa yakin dan penuh sindiran yang entah pada siapa ditujukan oleh mereka.

2. Sdr Jamshari Jamaludin atau dikenali sebagai JJ yang juga Setiiausaha Akhbar MB itu selepas menerima turut berkata memadai hanya beliau yang berdebat dengan kelompok tersebut. Namun pandangan saya, tiada yang untungnya perdebatan sesama sendiri bangsa Melayu yang hanya akan melemahkan bangsa sendiri walaupun atas pandangan bahawa memunggah ilmu melalui perdebatan dengan hujag dan wacana yang memperkayakan lagi wadah perjuangan bangsa. Debat KJ dan Rafizi dilihat lebih menguntungkan satu pihak dan juga satu individu sedangkan UMNO/BN secara umumnya terus menjadi medan belasahan dan kutukan. Pemimpin negara turut diheret untuk dihentam secara pukal dan sembrono oleh pihak yang sesekian lama mengintai peluang menagih publisiti dan promo yang bukan sedikit keuntungan yang diraih.

3. Pertandingan lodeh hai mak lodeh @ Pertandingan Melondeh satu sama lain sesama bangsa seharusnya dihentikan demi maruah bangsa, agama dan tanahair. Sikap mencari salah dan menuding jari bukan lagi keperluan mendesak yang membolehkan bangsa menjadi maju dan agama dijulang serta negara bergerak ke atas. Kambing hitam perlu diputihkan.

4. Pemanah atau penembak tidak wajar menyalahkan ‘target’ jika panahan atau tembakan tidak tepat dan mendakwa ‘target’ terlalu rendah atau senget. Penembak dan pemanah lah yang harus membetulkan cara memanah dan penembak membetulkan cara tembakannya untuk menjadi penembak atau pemanah yang hebat. Menyalahkan target atau lain-lain faktor akan mengakibatkan mereka diketawakan orang. Samalah seperti kegagalan mana-mana pihak sepatutnya diperbetulkan mereka yang bersalah bukannya menyalahkan pihak lain.

5. Carilah titik pertemuan yang akan mengukuhkan ukhwah Islamiyah dan bangsa dan bukan menjadikan perbezaan yang sedikit menghancurkan bangsa, agama dan tanahair. Semoga Allah menyelamatkan diri kita, bangsa, agama dan tanahair ini. Apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlarnpau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan, walaupun masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah dilakukan.

6. Sama-samalah kita renungkan.

Salam

HNBK

Advertisements

MUSIBAH PERSEPSI

Salam,

1. Manusia sememangnya mengharapkan yang indah dan nikmat sentiasa menyelubungi kehidupan mereka tanpa jemu. Namun dari realitinya, perlakuan mereka tidak pula seiring dengan apa yang dihajatkan. Ketika memandu ke pejabat pagi ini, minda diterobosi satu persoalan.

“Seringkali manusia itu mengharapkan diri dilihat umpama masjid, namun struktur binaan yang dibentuk dan disusun menyerupai kuil, gereja dan sarang lacur”.

2. Persoalan ini timbul apabila orang di sekeliling kita yang mengaharapkan kita melihat mereka itu syumul dan bersih dari segala kotoran sedangkan apa yang dibuat telah menghancurkan kepercayaan yang mewujudkan persepsi disebaliknya. Kita mahu orang percaya apa yang kita cakap, namun sering berbohong walaupun samada kita sedar, tidak sedar, separa sedar ataupun pura-pura tidak sedar bahawa orang mengetahui kita berbohong. Bila sampai detiknya yang kita benar-benar mengharapkan orang percaya dan kita tidak berbohong, maka ketika itulah orang mulai tidak percaya dan masih mengganggap ianya pembohongan. Sama seperti cerita gembala biri-biri dengan serigala yang dibaham serigala akibat sering berbohong dan menjerit terlolong-lolong tanpa bantuan setelah penduduk berhampiran menganggap ianya hanyalah sandiwara ataupun jenaka.

3. Dalam senario politik semasa yang rencam dan dipenuhi pelbagai sandiwara dan pembohongan serta propaganda melampau, kita tidak wajar menyalahkan rakyat yang keliru antara ‘benar’ dan ‘kepalsuan”. Oleh yang demikian, salah siapa jika ini berlaku?

4. Sebenarnya, inilah musibah yang menimpa umat dan bangsa kita berpunca daripada tindak-tanduk kita sendiri yang memusnahkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan parti-parti siasah yang bergelumang dengan najis dicernakan oleh kelompok sendiri. Rungutan demi rungutan terhadap bau najis sedangkan diri sudah dibaluti kotoran dan sisa perut dan badan. Angkara siapa dan siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang harus membersihkannya?

5. Jadilah pemimpin yang bermaruah dan disegani atas khidmat bakti dan bukannya omongan dan retorika yang hanya layak dilakukan oleh penjual ubat di lorong-lorong dan pasar malam. “Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya.” Ini hanya akan berlaku jika persepsi rakyat dan masyarakat baik terhadap kita dan mempercayai serta yakin dengan kepimpinan kita.

6.  Jangan biarkan persepsi bertukar menjadi musibah berpanjangan dan akhirnya, bangsa, agama dan tanahair menjadi taruhan. Tiga perkara ini bukan bahan atau modal untuk diperjudikan.

7. Sama-sama kita renungi dan memperbaiki keadaan sebelum senja dan azan terakhir berkumandang.

Salam

HNBK

Bila kepalsuan menjadi raja

Salam,

1. Pengundi Cina sebenarnya tidak mempercayai dan yakin dengan Anwar untuk memerintah Malaysia. Mereka hanya yakin Anwar sajalah senjata paling ampuh menumbangkan BN/UMNO yang menjadi benteng akhir melindungi kepentingan Bangsa Melayu walaupun selama ini BN/UMNO lah menyuap rezeki ke mulut mereka.

2. Ketamakan bukan Melayu untuk menguasai ekonomi sudah diperolehi dan kini giliran politik yang menjadi penghalang penguasaan secara keseluruhan mereka di negara ini.

3. Malang sekali, bangsa Melayu juga turut membantu mempercepat proses menghapuskan dominan Melayu dan baki kekuasaan yang semakin terhakis. Lihat saja di Mesir setelah Hosni Mubarak tersingkir, negara Timur Tengah tersebut umpama berada di alam yang amat berbeza dan merbahaya. Perompak dan Gangster menjadi pemandu teksi dan cuba bayangkan keadaannya.. Kenderaan Mercedez yang dulunya gah di atas jalanraya hanya dikelilingi unta-unta yang lemah ketidakcukupan makanan..

4. Sama-samalah kita berdoa dijauhkan keadaan seumpama itu melanda negara kita.

Wallahualam

HNBK

Ular Lidi Telan Naga

Salam,

1.         Menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 jumlah penduduk Malaysia adalah sebanyak 28.3 juta dengan penduduk lelaki kini berjumlah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang. Antara negeri yang mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia ialah Selangor (5.46 juta) diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta). Negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu (72,413) dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).

2.         Manakala pecahan mengikut etnik pula, daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4 peratus, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).

3.         Apakah angka-angka ini langsung tidak mencuit minda dan perasaan kita? Angka ini membimbangkan saya ketika ini berpunca daripada kebimbangan dari sudut geopolitik walaupun dari sudut pembangunan negara pastinya mempunyai kebaikan tersendiri hasil dari peningkatan tersebut. Tidak mungkin bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir mensasarkan penduduk 70 juta dalam Dasar kependudukan 70 juta yang disarankan ketika beliau berucap di Perhimpunan Agung UMNO dalam bulan September 1982. Beliau berpendapat bahawa Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk sebanyak 70 juta.

4.         Namun demikian, cuba kita renungkan perangkaan yang disediakan ketika bancian penduduk yang dibuat pada tahun 2010 dan apa pula kesan gandaan yang akan berlaku dengan nisbah kaum, jantina dan umur.

Satu kelahiran berlaku setiap 58 saat
Satu kematian berlaku setiap 4 minit dan 36 saat
Seorang migran masuk(antarabangsa) setiap 5 minit dan 15 saat
Pertambahan keseluruhan penduduk, seorang penduduk bagi setiap 56 saat

5.         Dengan kedudukan sebagai penduduk majoriti di tanahair sendiri, bangsa Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan mengikut perangkaan yang dibuat pada tahun 2008 berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia terhadap 301,000 isi rumah kaum Melayu bersamaan 61% daripada sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Secara keseluruhannya, pecahannya merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800).

6.         Mari kita teliti senarai lengkap 20 orang paling kaya di Malaysia pada 2012 (sehingga 20 Jan, 2012) berdasarkan jumlah kekayaan (RM Bilion) dan syarikat. Apa pula yang terlintas di kotak fikiran kita dari sudut kedudukan anak tangga bangsa Melayu dan jumlah daripada 20 orang tersebut yang majoritinya berbangsa Cina.

  1. Robert Kuok Hock Nien 45,700.00 KerryGroup/KuokGroup
  2. T Ananda Krishnan 42,998.00 Usaha Tegas
  3. Tan Sri Teh Hong Piow 12,642.01 Public Bank
  4. Tan Sri Lee Shin Cheng 11,356.55 IOI Group
  5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary 9,530.00 Albukhary Foundation
  6. Tan Sri Quek Leng Chan 8,002.92 Hong Leong
  7. MalaysiaTan Sri Lim Kok Thay 7,585.07 Genting Group
  8. Puan Sri Lee Kim Hua 6,588.33 Genting Group
  9. Tan Sri Tiong Hiew King 6,411.46 Rimbunan Hijau
  10. Ong Beng Seng 4,919.56 Hotel Properties Ltd
  11. Tan Sri Azman Hashim 3,470.00 Arab-Malaysian Corp
  12. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun2,541.74 Berjaya Group
  13. Datuk Mokhzani Mahathir 1,937.27 Kencana Petroleum
  14. Datuk Lee Yeow Chor 1,787.85 IOI Group
  15. Tan Sri Tony Fernandes 1,772.42 AirAsia
  16. Lee Yeow Seng 1,746.00 IOI Group
  17. Tan Sri Lau Cho Kun 1,721.64 Hap Seng Consolidated
  18. Tan Sri Yeoh Tiong Lay1,711.84 YTL Group
  19. Tan Sri Lee Oi Hian 1,589.97 Batu Kawan
  20. Datuk Lee Hau Hian 1,586.18 Batu Kawan

7.         Dari jumlah keseluruhan tersebut, hanya 3 daripada 20 orang yang bermaksud hanya 15% sahaja kekayaan milik Melayu yang mewakili kekayaan bangsa. Apa jadi dengan Melayu yang lain?

8.         Kelahiran dan kependudukan akan menjadikan keperluan tempat tinggal semakin serius dan juga ia amat berkait rapat dengan tanah. Pernahkan kita mendedapat berita atau mendengar, diperdengarkan, terdengar mengenai bangsa bukan Melayu menjual tanah kepada bangsa Melayu di negara ini selain daripada Bangsa Melayu yang terus menerus menjual dan mengagihkan tanah milik diri dan bangsanya kepada bukan Melayu? Yang lebih malang apabila Tanah Rezab Melayu (TRM) juga menjadi taruhan.  Cuba kita lihat apa yang berlaku di sekeliling kita ketika samada ke tempat kerja, bercuti ataupun apa saja tujuan samada memandu sendiri atau menggunakan pengangkutan awam. Kita akan melihat sawah-sawah padi, kebun getah dan tanah terbiar yang sinonim dengan bangsa Melayu terus diperkosa untuk dijadikan kawasan perumahan. Pastinya akan ada yang berkata apakah menyediakan perumahan mencukupi demi kesejahteraan rakyat satu kesalahan? Mari kita rasionalisasikannya.

9.         Di Malaysia, sebarang projek pembangunan hartanah kediaman yang dijalankan dalam skala besar, telah disyarat oleh kerajaan supaya sekurang-kurangnya 30% mestilah dijual kepada pembeli Bumiputera. kecuali untuk beberapa projek di beberapa majlis tempatan seperti di Shah Alam dan Putrajaya. Manakala sebahagian besar bakinya (70%) boleh dijual kepada lain-lain kaum termasuklah warga asing. Ada baiknya kita melihat bagaimana peratusan populasi kaum di Malaysia ketika ini bagi mengimbangi telahan yang bakal dibuat nanti. Dengan tiga kaum utama yang mendiami negara ini iaitu Bumiputera (65%) dan bukan bumiputera mengikut pecahan seperti Cina (25%), India (7%) dan bakinya dihuni lain-lain kaum maka secara logik dan keadilan yang saksama, segala sesuatu yang perlu dikuotakan di Malaysia seharusnya mengikut nisbah populasi kaum di negara ini iaitu 65% Bumiputera dan 35% Bukan Bumiputera. Itulah keadilan yang secara relatifnya memenuhi aspirasi pribumi yang amat terkenal dengan budi dan sifat kasihan tidak bertempat.

10.      Namun demikian, ketidakseimbangan kuota berleluasa mengambil tempat dalam negara yang riuh bergema ungkapan KEADILAN terutama dalam hal pemilikan harta. Bumiputera yang mewakili kaum terbesar diperuntukkan kuota yang kecil berbanding bukan bumiputera yang merupakan kaum minoriti diperuntukkan kuota jauh lebih besar. Di mana slogan ‘Hidup Melayu’, “Takkan Melayu Hilang di Dunia”, “Ketuanan Melayu” dan sebagainya yang menjadi bahan jenaka masyarakat. Yang tinggal hanya KTM @ Keretapi Tanah Melayu, Baju Melayu, nama Kg Melayu, dan perkataan Melayu.

11.       Keluasan Malaysia meliputi 329, 961.22 kilometer persegi. Semenanjung Malaysia sahaja meliputi seluas 131,598 kilometer persegi, manakala, Sabah dan Sarawak adalah 198, 069.61 kilometer persegi.  Lihat pula perangkaan TRM.

Bilangan Keluasan Tanah Rizab Melayu Mengikut Negeri

Negeri

Tanah Rizab/Adat (hektar)

Tanah Negeri (hektar)

Johor

195,262.42

1,898,688.00

Kedah

868,836.09

942,500.00

Kelantan

1,307,153.40

1,510,462.00

Melaka

187,378.34

165,200.00

Negeri Sembilan

161,982.75

665,709.00

Pahang

438,491.68

3,596,500.00

Perak

763,666.28

2,100,500.00

Perlis

37,348.53

79,500.00

Pulau Pinang

0.00

103,104.00

Selangor

126,227.34

793,020.00

Terengganu

118.21

1,295,514.00

WP Kuala Lumpur

803.43

24,270.00

WP Putrajaya

0.00

4,930.00

JUMLAH

4,087,268.47

13,179,897.00

Sumber Data: JKPTG/ BTUP, 2009

12.          Apa jadi dengan TRM sekarang? Sesuatu yang cukup menarik apabila saranan Sultan Selangor supaya tanah rizab Melayu dipertahankan. Tanah Rezab Melayu disebut dalam Perlembagaan Malaysia sebagai suatu aset yang dilindungi dan dijamin  hak untuk memulihara hak milik orang Melayu di negara ini. Jika dahulu British telah meninggalkan sebanyak 3 juta hektar sebagai tanah rizab Melayu. Jika British tidak mahu orang Melayu terasa seperti ditindas hidup di negara sendiri, apakah kita yang memerdekakan tanahair dan menikmati kemerdekaan tersebut membiarkan TRM semakin pupus?

13.       Undang-undang Tanah Rizab Melayu mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen Rizab Melayu 1913 (ERM 1913) dikuatkuasakan di negeri-negeri yang dahulunya dikenali dengan nama Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Tanah Rizab Melayu Dipelihara : 2 objektif Asal Undang-undang Tersebut :

I.        Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu

II.        Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

14.       TRM semakin mengecil berpunca daripada bukan Melayu dan bangsa Melayu memanipulasi dan mengeksploitasikan Pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1992 yang memberi peluang kepada kerajaan-kerajaan negeri mengambil tanah-tanah rezab Melayu dengan alasan untuk pembangunan.

Pertama, kerajaan berkuasa mengambil tanah rakyat tanpa halangan dan rakyat tidak berhak mendakwa kerajaan di mana-manan mahkamah

Kedua, tanah rakyat boleh dijual kepada warga asing

15.       3 juta hektar tanah rizab Melayu pada tahun 1957 bertukar menjadi mimpi ngeri dengan 1.7 juta hektar pada tahun 1995, iaitu merosot hampir 44% daripada jumlah asal bersamaan 1.2% kemerosotan setiap tahun dan berpunca daripada tanah yang diambil tidak diganti semula. Kehilangan tanah rizab Melayu di sekitar Kuala Lumpur amat menakutkan apabila tanah rizab Melayu sejak tahun 1957 hanya tinggal 5.1% sedangkan bangsa lain memiliki 94.9 % hartanah. Kebanyakan modus operandinya adalah dengan mengambil tanah rizab Melayu dan ditukarkan kepada status komersial. Akhirnya, ramai menjadi kaya atas “skim cepat kaya” ini sedangkan TRM diwujudkan semasa pemerintahan penjajah (1890-1956) kerana pemilikan tanah oleh orang Melayu mula terancam akibat kemasukan orang asing yang semakin meningkat. Selain itu, pengaruh perkembangan pertanian perladangan oleh orang bukan Melayu seperti getah telah menggalakkan orang Melayu menjual tanah mereka kepada orang bukan Melayu yang mirip kepada apa yang berlaku sekarang ini dengan bentuk pengulangan sejarah dengan pelaku berbeza.

16.       Pada masa yang sama juga, di sesetengah negeri peningkatan industri bijih timah yang lebih lumayan telah menggalakkan orang Melayu menukar haluan kerja dan akibatnya, banyak tanah orang Melayu yang tidak diusahakan dan ditinggalkan yang boleh dibeli dengan harga yang rendah. Oleh itu, peruntukan pemilikan tanah kepada orang Melayu melalui Enakmen 1913 adalah bertujuan untuk memastikan tanah tanah yang dimiliki oleh orang Melayu tidak dipindah milik kepada orang bukan Melayu demi menjaga kepentingan para petani, ladang-ladang dan kerajaan penjajah pada ketika itu .

17.       Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa TRM diwujudkan oleh penjajah untuk memastikan kawasan-kawasan padi terus diusahakan oleh orang-orang Melayu sebagai sumber makanan kepada penduduk Malaya yang kian meningkat ketika itu .

18.       Di Malaysia, Tanah Rizab Melayu (TRM) meliputi 33.55% tanah yang boleh diusahakan secara produktif. Malangnya banyak kajian menunjukkan sumber yang sebegitu besar itu tidak dapat digembleng untuk mencapai potensi ekonominya yang sebenar. Nampaknya matlamat agar tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman menjadi kian pudar.

19.       Kerajaan haruslah mengimbangi kewujudan tanah milikan umum dengan Tanah Rizab Melayu bagi memastikan orang Melayu memiliki sekurang-kurangnya 60 peratus daripada keseluruhan tanah di negara ini.

20.       Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah  berkata, kewujudan banyak tanah milikan umum pada masa sekarang menyebabkan tanah-tanah rizab tersebut terhakis sedikit demi sedikit. Katanya :

“Enakmen Rizab Melayu telah memperuntukkan bahawa setiap tanah rizab yang diambil untuk dimajukan perlu digantikan dengan tanah lain yang sama luas serta sepadan kualitinya. Katanya, walaupun tanah rizab diberikan hanya kepada orang Melayu secara turun-menurun untuk selama-lamanya namun jika ia semakin terhakis, orang Melayu akhirnya akan hidup di dalam gelandangan. Tambahnya lagi, kewujudan tanah rizab tersebut yang termaktub dalam Fasal 89 di dalam Perlembagaan Malaysia turut terancam akibat sikap orang Melayu itu sendiri. “Orang Melayu perlu menghargai tanah ini dengan membangunkannya. Jangan bersikap sambil lewa dan saling mengkhianati,” katanya.

21.       Kelemahan ekonomi orang-orang Melayu menyebabkan tanah simpanan Melayu tidak boleh dimajukan. Hal ini akan membawa kepada terbiarnya tanah simpanan Melayu    sepanjang   masa.  Ketidakupayaan   pemilik-pemilik   tanah   simpanan  Melayu  untuk memajukan memajukan tanah-tanah mereka itu disebabkan oleh kekurangan  modal dan pengetahuan teknik.

22.       Keadaan sosial orang Melayu yang tidak setaraf dengan orang bukan Melayu di negara ini akan menbawa akibat buruk kepada kehidupan ornag-orang Melayu. Apabila  taraf kehidupan orang-orang Melayu rendah, ia akan membawa kepada kesan buruk terhadap tanah simpanan orang Melayu itu sendiri. Misalnya tanah simpanan Melayu itu dijual, digadai atau disewakan kepada orang bukan Melayu dengan harapan taraf hidup orang Melayu sebagai pemilik tanah itu akan terjamin.

28.       Dari segi politik sekarang jelas kelihatan bahawa bukan sahaja tanah rizab Melayu yang telah hilang malah tanah di luar rizab Melayu telah juga dilupuskan dengan sewenang-wenangnya kepada bukan Melayu dan bukan warganegara. Persoalannya,  sampai bila TRM akan terus dilabel sebagai Gajah Putih ciptaan bangsa sendiri yang akhirnya berakhir di tangan bukan Melayu? Bukan Melayu semakin yakin dan terus yakin dengan gelagat bangsa Melayu yang kemaruk wang segera, kuasa segera, popular segera umpama mee sgera yang cepat dimasak, sedap dimakan dan salam kelaparan juga segera muncul.

29.       Apalah ertinya menjadi majoriti yang lemah berbanding dengan minoriti yang gagah? Pastinya minoriti yang gagah akan menjadi pilihan kerana yang gagah akan melindungi dan yang lemah terus berselindung dibalik kelemahan sendiri dan bersorak atas kekuatan orang lain yang memalukan bangsa.

30.       Tanah lah sebenarnya menentukan persempadanan poilitik dan ia jugalah yang akan menentukan bangsa mana menjadi calon di sesuatu kawasan, serta jumlah polulasi kaum jugalah yang menjadikan PRU 12 sebagai simbol kejayaan bangsa Melayu menyingkirkan bangsa sendiri. Siapa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak dulu?

Wallahualam

HNBK

Antara berkuasa dan dikuasai

Salam,

1. Saban hari perebutan kuasa antara sesama manusia tidak kira antara individu, kumpulan , kelompok masyarakat mahupun antara negara semakin diserlahkan melalui tingkahlaku dan perbuatan yang mempamirkan refleksi kejijikan sang pelaksana. Dalam politik ianya begitu hebat dan sengit sesengit perang dunia. Jika dibiarkan akan bertambah senget lah ia.

2. Semuanya bermula dengan kuasa. Jika disingkap sejarah manusia dan iblis juga berpunca dari kuasa. Iblis enggan tunduk kepada Nabi Allah Adam juga berpunca daripada keangkuhan Iblis yang merasakan bahawa ia lebih hebat dan berkuasa dari Nabi Allah Adam yang dijadikan daripada segumpal tanah sedangkan ia dijadikan daripada api. Sikap merasakan kekuasaannya itu dimanifestasikan dengan penentangan Iblis terhadap Allah swt sehingga dinyahkan dari syurga dan Iblis sanggup demi keangkuhan dan kuasa yang tidak kekal dan memusnahkan. Kuasa untuk memusnahkan manusia lebih dicintai berbanding kuasa menyatupadukan dan kuasa atas dasar CINTA sesama makhluk.

3. Kerakusan kuasa diteruskan lagi dengan peristiwa pembunuhan pertama dimukabumi ini antara Habil dan Qabil yang juga berpunca dari kegilaan kuasa. Apa yang direbut? Kuasa memilih. Pembunuh merasakan dia yg berhak memilih yang merujuk pada kuasa. Hinggakan persaudaraan sudah menjadi permusuhan yang menggila. Peristiwa ini terus menjadikan kuasa sebagai punca perbalahan apabila Kuasa Kekuasaan Wanita ditimbulkan sebagai iktibar betapa ianya jika tidak ditangani sebaiknya maka kehancuran menanti di ambang pintu sehingga sanggup berbunuhan.

4. Namun agak melucukan jika disingkap sikap manusia itu sendiri apabila belum memperoleh kuasa bermati-matian merebutnya, namun apabila sudah digenggaman dibiarkannya lepas dan bebas. Ia mirip selebriti yang bersungguh-sungguh untuk menjadi terkenal dan dikenali, namun apabila sudah terkenal mula berkaca mata hitam untuk mengelak dari dikenali. sememangnya manusia itu penuh dengan kelucuan yang membosankan.

5. Kuasa hanya berguna ditangan orang yang tahu menggunakannya. Alangkah sia-sianya kuasa berada pada orang yang salah. Contohnya kuasa mentadbir diberi pada yang berjiwa pengikut maka ikutan yang diserlahkan dan bukannya pimpinan. Pembaziran kuasa namanya jika DBP tidak menyalahkan saya. Kuasa legislatif kepada Wakil Rakyat untuk menggubal undang-undang akan menjadi sia-sia jika Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri pun memonteng. Apalah guna kuasa tersebut? Tak ada kuasa nak kuasa, bila diberi kuasa mensia-siakannya.

6. Bajet 2010 yang pertama kali dibentangkan oleh DS Najib nyaris-nyaris tidak diluluskan setelah ianya hanya mendapat majoriti tiga undi. Seramai 66 orang menyokong berbanding 63 tidak setuju. BN mempunyai 137 orang ahli Dewan Rakyat (seorang speaker). Seramai 70 orang ahli Dewan Rakyat BN gagal hadiri ketika itu. Sekiranya DS Najib dan DS Ong Tee Kiat menyelamatkan keadaan dengan bergegas masuk. Nampaknya, Wakil Rakyat lebih memilih menjadi pegawai kebajikan masyarakat dari menjadi AP dan ADUN. Tidak salah berbakti dan baik untuk melakukannya.Namun prioritinya di mana? Tidak faham atau buat-buat tak faham tugas? Itu belum lagi diambil kira kes klasik Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sarip sebagai wakil rakyat yang terpaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh. Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata tindakan yang diambil untuk mengosongkan DUN Kota Siputeh adalah tepat berdasarkan Perkara 51 Undang Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK) apabila Abu Hassan didapati tidak menghadiri sidang DUN sebanyak dua kali berturut-turut sebagai wakil rakyat. Aduhaiii!!

7. Sekiranya rakyat memahami dan menerima kepimpinan politik sebagai beban dan bukan habuan maka perebutan kuasa akan dapat dibendung. Apa yang berlaku sekarang adalah apabila pembabitan dalam potik dilihat sebagai satu proses mendapatkan kuasa untuk menjadi kaya. Apabila mendapat jawatan, ia memanfaatkan sepenuhnya untuk mengaut harta awam sebagai harta peribadi. Tentulah menjelekkan apabila seorang juruteknik rendah yang menjadi wakil rakyat selama sepenggal boleh memiliki rumah besar dan kereta mewah. Pada abad 21, persepsi adalah sesuatu yang diterima sebagai realiti. Maka persepsi harus diurus dengan baik dan tidak hanya dengan menafikannya.

8. Adalah diharapkan oleh semua rakyat agar perbalahan antara mana-mana kelompok pun termasuk antara parti politik biarlah perbalahan untuk kepentingan rakyat. Perbalahan bagaimana untuk mengurangkan harga barang dan mengurangkan inflasi pastinya rakyat suka. Jadikan kuasa yang ada untuk membantu rakyat dan bukan untuk memusnahkan bangsa, agama dan tanahair.

Wallahualam

HNBK

Jebat dan Datuk Bahaman bangkitlah kamu dari celahan nisan

Salam,

1. Makin dekat dengan pilihanraya, semakin gelisah Melayu yang berjiwa Melayu. Bagi Melayu yang tidak merasa dia Melayu mungkin lain rasa dan fikirnya. Tuntutan demi tuntutan oleh bukan Melayu kian ghairah sehingga meremang bulu roma yang berfikir dan merasakan dia adalah Melayu. Kesabaran Melayu diuji dan dicabar untuk melihat sejauh mana kesabaran dan setebal mana tahap bertahannya Melayu. Bukan Melayu semakin yakin bahawa Melayu yang rakus kuasa dicampur dengan Melayu yang tak merasa dia berbangsa Melayu akan mempertahankan bukan Melayu. Jika Melayu Singapura hilang identiti diri angkara kecuaian sendiri menyerahkan Temasek pada Lee Kuan Yew yang tindak tanduknya sama seperti apa yang dilakukan ketika mula-mula menerima Singapura. Bukan main manis muka dengan senyuman, siap memakai songkok bersalaman dengan Melayu Singapura, melantik Yusuf Ishak sebagai Presiden Singapura yang pertama dan itulah juga yang terakhir. Laluan strategik Singapura adalah mirip dengan Pulau Pinang. Dengan kejatuhan BN di Pulau Mutiara itu ke tangan PR yang diterajui DAP, maka lengkaplah dua pulau paling berharga yang diidamkan bukan Melayu. PAP di Singapura adalah abang kepada DAP di negara ini setelah PAP gagal didaftarkan di negara ini dan akhirnya DAP lah lahirnya sebagai jelmaan PAP.

2. Semangat dan jiwa sayangkan bangsa dan tanahair yang datangnya dari lubukhati seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan Dato’ Maharaja Lela sudah kian lenyap seperti hilangnya usaha pemimpin masa kini menyemarakkan kasih sayang dan cintanya generasi masa ini kepada tokoh-tokoh legenda yang sengaja dilupakan. Apakah perlu dibangkitkan Hang Tuah dan Hang Jebat dari celahan nisan? Perlukah tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan Dato’ Maharaja Lela tegak berdiri mengatur langkah dari liang-liang mereka untuk berhadapan dengan bukan Melayu demi hak bangsanya? Kasihanilah mereka dan biarkan mereka tenang dalam persemadian. Yang pergi biarkan mereka pergi dengan sejarah yang dipahat dan kita yang masih hidup berbaktilah dengan cara kita untuk mengukir sejarah baru yang lebih gemilang buat bangsa, agama dan tanahair masa kini dan akan datang. Tidak ada yang lewat bagi yang berjiwa merdeka kecuali mereka yang hanya termanggu menungkat dagu dan berpeluk tubuh diuliti keluhan tanpa penghujung. Yang lebih malang apabila ada pula yang menghalang usaha insan lain untuk berjuang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”

3. Perjuangan Melayu di Tanah Melayu sehinggalah menjadi Malaysia sinonim dengan UMNO walaupun hakikat sebenarnya masih ada yang turut menyumbang keringat dan darah menuju kemerdekaan dan mempertahankan bangsa dan tanahair. Mengikut data, bilangan ahli UMNO di 19,235 cawangan sehingga Oktober 2009 ialah 3,478,393 orang. dengan jumlah ahli seramai itu dan banyaknya cawangan UMNO, ia umpama kubu yang cukup kebal dan mampu bertahan apa saja rintangan dan cabaran. Seperti kata Sanusi Junid dalam bukunya Setiap Sudut adalah Keputusan ,jika setiap cawangan bermesyuarat 2 jam sebulan, pemimpin UMNO pusat sudah mempunyai 38, 470 jam sebulan yang diisi dengan buah fikiran ahli-ahlinya untuk memantap dan memperkasakan UMNO bagi pertimbangan pemimpin-pemimpin mereka. Namun, apakah ini yang berlaku sebenarnya? Tidakkah kita sayang akan bangsa, agama dan tanahair kita? berapa banyak sudah tanah Melayu yang tergadai dan sengaja digadai? Di manakah anak cucu kita nanti akan merempat di bumi sendiri sepertimana Bangsa Melayu di Champa?

4. Sayangilah mereka sepertimana pemimpin terdahulu menyayangi dan mengasihi kita sehingga kita mampu hidup seperti sekarang. Jauhkan ketamakan dan kehalobaan yang menghancurkan generasi akan datang. Tidak perlulah Hang Jebat dan Hang tuah serta Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan Dato’ Maharaja Lela kusut masai bangkit hanya menyudahkan perjuangan bangsa Melayu.

Salam

HNBK

SINDROM AYAM BELANDA

Salam

1. Ayam Belanda atau nama sainsnya ialah ‘Meleagris gallopavo’ merupakan sejenis haiwan yang memliki gaya dan bentuk serta personaliti yang unik. Namun keunikannya turut dikongsi oleh manusia dalam beberapa hal. Apa yang paling sinonim dengan manusia dengan trend semasa ialah jika seekor Ayam Belanda terkejut lalu berketak, semua Ayam Belanda lain turut berketak. Jika seratus yang berketak, maka kesemua seratus akan turut berketak. Akhir-akhir ini, jika diamati situasi masyarakat kita pun ketika ini mendekatkan mereka seperti perangai Ayam Belanda. Seorang menjerit, yang lain turut menjerit, seorang bertepuk, seratus yang lain secara automatik akan ikut bertepuk.

2. Budaya ini telah kian kuat merengkoh masyarakat akibat daripada budaya hamba menghambai antara satu sama lain. Disebabkan niat nak menjilat dan mengejar kuasa dan pangkat, maka tepukan tak bersebab berlaku hanya kerana niat menunjukkan bahawa orang yang diharapkan menjadi pemberi rezeki dan pencurah pangkat dan jawatan itu merasa amat hebat. Dengungan nada dan irama yang sama juga berlantunan sana sini umpama Ayam Belanda apabila ‘Tuhan Pangkat’ dan ‘Tuhan Rezeki’ yang disangka menaungi mereka itu berkata-kata. Biarpun hodoh maka jadinya cantik, biar bunyi memualkan dipuji enak, Biar gemok dan buntal dilafazkan ‘perfect’ dan biarlah menakutkan diungkap “Aduhai!! betapa bagus sekali rupa kamu”. Semuanya kerana apa? Puncanya apabila jiwa sudah ditambat, fikiran dibelenggu dan dirantai malah ‘Jiwa Merdeka’ sudah jauh meninggalkan mereka dan hanya disumbat hati dan otak mereka dengan najis dan muntah iblis yang menjanjikan langit emas dan bumi yang diinjak berlian. Kuasa ditangan orang lain sudah dibisikkan berada di tangan dan akhirnya muncul Pak Kadok dengan pakain kertas namun terkoyak akibat terkinja-kinja kegembiraan ayam sabungnya menang sedangkan sudah berpindah milik dan paling malang adalah kampung sudah tergadai.

3. Tidak salah mengulangi kebenaran dan tidak berdosa menegakkan keadilan walau seratus, seribu, sejuta, sebilion mahupun setrilion orang. Mengulangi dan bertasbih serta berzikir biarlah pada yang satu pemilik mutlak rezeki segala rezeki tak kira kesihatan, harta, wang ringgit dan apa saja yang berada di langit dan di bumi memang tanggungjawab manusia, namun bukan pada sesama manusia sehingga hilang dan direntap maruah kita hanya kerana satu… bertuhankan manusia, jin dan iblis sedangkan itulah sebesar-besar syirik dan amat merbahaya.

4 Sama-samalah kita menjauhi sikap dan amalan ini kerana hanya dengan sepantas cahaya Allah akan lenyapkan semuanya sepertimana berlaku terhadap umat terdahulu yang zalim dan jahil dan dikelumbungi sifat bebal.

Wallahualam

HNBK