Antara Lambaian Memali dan Al-Arqam

Memali datang lagi tetapi kali ini dengan wajah baru berproduserkan orang baru, bergerombolan, penuh dendam dan upahan serta semuanya baru. Jika dulunya kesemua ‘tersangka’ dianggap musuh negara dan penjenayah tetapi kini pihak sama membuat pusingan ‘U’ mangsa patut dibela. Begitulah politik, sekali air bah, sekali pantai berubah.

Yang menganggap semua tersangka adalah ‘syahid’ sebelum ini cuma di pihak parti jenama Islam di mana pemimpinnya juga turut bertanggungjawab mengeluarkan ‘AMANAT’ yang didedahkan sebagai punca insiden ini berlaku sepertimana terkandung dalam kertas putih dibentangkan oleh pihak kerajaan dalam parlimen.

Insiden yang telah berlaku pada 19 November 1985 itu kini tak ubah seperti satay basi dan berlendir dikipas-kipas dan dibakar untuk menghasilkan aroma lazat santapan hamba-hamba politik yang dijahilkan oleh politisi-politisi yang sedang kelaparan dan kehausan undi untuk mengekalkan kuasa.

Tujuannya tidak sukar ditelah kerana ia semata-mata untuk mengheret mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad ke tengah gelanggang untuk dihenyak dan dilanyak semahu-mahunya mengikut telunjuk ‘Sultan Alam Shah Bana’ dalam filem Musang Berjanggut. Yang peliknya, Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menjadi Menteri Dalam Negeri dan memangku jawatan Perdana Menteri terlibat secara langsung memberi arahan dalam insiden ini tidak pula dikaitkan. Nampak niat hanyir dan berulat cuba diselindungkan di situ? Musa Hitam sendiri dalam kenyataan akhbar pada 20 November 1985, menegaskan insiden Memali itu adalah kejadian jenayah dan kerajaan tidak melihatnya dari sudut jenayah.

Semasa terbitnya sebuah buku berjudul Memali Kenangan Seorang Polis (2013) ditulis oleh bekas Ketua Polis Daerah Ba­ling (1981-1986) ketika itu, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, orang tidak begitu ghairah memperkatakan semula satu peristiwa berdarah di Kampung Memali di Baling, Kedah. Di kalangan generasi muda pun tidak banyak yang mengetahui bahawa pada hari Selasa 19 November 1985 itu, 18 rakyat negara ini terbunuh termasuk empat anggota polis dalam satu operasi polis di kampung berkenaan. Masyarakat juga ketika itu amat bersimpati dengan pegawai danggota polis yang terkorban diserang pengikut Ibrahim Libya.

Operasi ini bertujuan menahan Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya yang kemudiannya turut terbunuh dalam insiden itu. Apa yang berla­ku di Memali pada hari itu juga sebenarnya adalah kemuncak daripada rentetan yang bermula hampir setahun sebelumnya.

Pada awal pagi 2 September 1984, polis melancarkan satu ope­rasi untuk menahan Ibrahim. Menurut catatan Tunku Muszaffar Shah, ada arahan khusus daripada Menteri Dalam Negeri waktu itu, Datuk Musa Hitam (kini Tun) supaya polis tidak menggunakan kekerasan dan sekiranya ada penentangan, mereka hendaklah berundur. Pada awal pagi 2 Se­ptember itu, pengikut-pengikut Ibrahim mempertahankan pemimpin mereka yang menyebabkan polis kemudiannya berundur.

Terkait dengan peristiwa Memali itu ialah kertas putih yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 8 November 1984 bertajuk ‘Ancaman Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara’. Kertas putih itu dikeluarkan untuk mendedahkan kegiatan anasir, kumpulan dan individu tertentu yang menyalahguna serta mengeksploitasikan agama Islam untuk kepentingan politik.

Namun pada 19 November 1985. pihak polis yang sudah bersedia untuk menahan Ibrahim Libya berdepan situasi di mana pasukan keselamatan perlu menanganinya secara tegas mengikut prosedur yang diperuntukkan atas kuasa-kuasa yang ada setelah Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya bertindak secara ganas. Dengan serangan senapang patah terlebih dahulu terhadap pegawai dan anggota Pasukan simpanan Persekutuan (FRU) itu hingga menyebabkan 4 orang terkorban maka tindakan pihak polis juga terpaksa bersesuaian dengan keadaan ketika itu. Tok Dalang dan Tok Selampit yang hanya mentafsirkan peristiwa ini mengikut selera masing-masing memang mudah berbanding mereka yang berada di tempat kejadian.

Jika sentimen keluarga mangsa yang terkorban diambil kira, jangankan korban Memali, keluarga Mat Komando, Kalimuthu, Botak Chin, Mona Fendi, Chin Peng dan keluarga tertuduh kes Al-Maunah juga menganggap pihak polis dan kerajaan zalim dan bersalah. Dalam apa juga keadaan, tempatkan rasional di hadapan berbanding  emosi. Emosi terlalu banyak digauli fantasi dan ilusi.

Punca peristiwa Memali berlaku seperti itu tidak lain tidak bukan pertamanya disebabkan ketaksuban melampau pengikut-pengikut Ibrahim Libya yang sudah terpengaruh dengan ‘Amanat Haji Hadi’ yang menganggap menentang UMNO dan polis yang dilabel sebagai ‘anjing kerajaan’ kafir itu sekiranya mati akan mati syahid. Malah ketika serangan oleh mereka yang terkorban itu juga mereka menyangka memiliki ilmu kebal ketika berdepan dengan pasukan keselamatan.

Keduanya adalah wujudnya elemen ganas dalam diri yang terkorban dalam peristiwa Memali kerana jika hanya disebabkan ‘taksub’, kita boleh membandingkan peristiwa penahanan Ustaz Ashaari Muhammad dan pemimpin-pemimpinnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 3 September 1994. Saya yang juga kebetulan pernah terlibat bersama-sama dalam Ops Serban ini agak terpesona dengan sikap dan tindakbalas kesemua yang ditahan termasuk Ashaari Muhammad dan isterinya Khadijah Am.   Mereka langsung tidak membantah dan hanya membalas penahanan mereka dengan ‘senyuman’. Sedangkan jumlah pemimpin dan pengikut mereka sudah mencecah hampir 10,000 orang. Apakah mereka tidak mampu untuk menghalang pemimpin utama mereka dari ditahan? Mereka tidak melakukannya kerana pendekatan konfrantasi dan ganas bukan amalan mereka. Dengan itu tidak timbul langsung soal adanya mangsa terkorban dan mati syahid.

Ramai yang terlibat dalam Ops Serban selepas itu dengan bangganya berebut-rebut ingin kelihatan dan mengaku hebat, dapat ganjaran dan pelbagai lagi keistimewaan kerana apa? Kerana tidak timbul kontroversi dan memperlihatkan pihak kerajaan dan politisi bijak menangani isu ini. Sebaliknya jika berlaku seperti peristiwa Memali, semua pihak saling menuding jari dan mencuci tangan dengan mengambil kesempatan atas peristiwa ini. Kenapa penahanan Ibrahim Libya berakhir begini dan Ashaari Muhammad dan pengikutnya begitu aman? Kenapa tidak persoalan ini yang cuba dileraikan?

Apakah Ashaari dan pengikut-pengikutnya tidak mampu membeli parang, senapang patah dan menyediakan buluh runcing? Sedangkan mereka mampu memiliki pelbagai jenis bangunan dan hotel termasuk di luar negara dengan pelbagai jenis kenderaan hebat ketika itu? Berapa sangatlah harga parang dan senapang patah jika nak dibandingkan dengan aset dan kedudukan kewangan pertubuhan ini.

Apakah mereka tidak cukup arif soal agama berbanding Ibrahim Libya dan pengikutnya? Tahukah kita bermulanya gerakan wanita menutup aurat dengan berhijab itu hasil ledakannya dicetuskan oleh gelombang kecintaan terhadap Islam dipelopori Al-Arqam? Jika sebelumnya lebih ramai wanita yang tidak berhijab tetapi selepas kemunculan kumpulan Al-Arqam inilah lebih ramai berhijab dari yang tidak kerana sudah dianggap biasa.

Penahanan Ashaari Muhammad dan pengikut-pengikutnya dalam Ops Serban tidak menumpahkan darah kerana indahnya Islam yang disemai oleh pemimpin mereka dan diamalkan oleh seluruh ahli kumpulan ini. Mereka tidak menjadikan Islam sebagai benteng mempertahankan pemimpin atau pertubuhan mereka sebaliknya mereka mempertahankan Islam dan maruah agama. Berbanding dengan parti mengaku suci yang menggunakan Islam sebagai benteng bukannya mempertahankan Islam. Atau mungkin juga Ashaari Muhammad terlupa menghadiahkan ‘AMANAT ASHAARI’ kepada pengikut-pengikutnya? Ada akal fikir sama-sama kita fikirkan kerana ‘Akal Tak sekali Datang, Runding tak Sekali Tiba’

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s