Antara Hipnosis dan Sinopsis

Hypnosis2

Salam,

Agak lama saya tidak melayari blog ini sejak Julai 2014 kerana menulis di blog lain di blogspot.com. Blog sepi biasanya seperti hutan yang didiami syaitan dan iblis maka alangkah baik sesekali menebas di sini.

Sebentar tadi saya makan malam di Alor Star dengan menu koeteow kerang di Iman Koewteow Taman Pandan, Alor Star. Seperti biasa saya membawa buku sebagai peneman jika ada masa terluang dapat juga membelek-belek buku yang dibawa. Agak tepat tindakan saya itu bila pelanggan begitu ramai yang memaksa saya menunggu begitu lama. Maklumlah gerai tersohor di sini.

Kali ini buku dibawa adalah ‘The CIA’s Greatest Hits’ tulisan Mark Zepezauer yang saya beli secara online dari Kinokuniya April tahun ini. Sementara menunggu, sempat saya habiskan 2 bab dari buku ini. Bab 15 berjudul ‘The Martin Luther King Assasination’ dan Bab 16 ‘The Robert Kennedy Assasination’.

Kedua-dua bab ini secara umumnya mengisahkan penglibatan Agensi Perisikan Pusat atau lebih dikenali sebagai Central Intelligence Agency (CIA) dalam pembunuhan kedua-dua tokoh agak terkenal bagi yang rajin menyelongkar sejarah pembunuhan pemimpin dan orang ternama atau yang berminat dalam isu politik antarabangsa serta kegiatan agensi perisikan seluruh dunia.

Dalam kes pembunuhan Martin Luther King (MLK), James Earl Ray yang dituduh membunuh mangsa telah dijatuhkan hukuman penjara 99 tahun tetapi memberitahu mahkamah bahawa dia diperangkap oleh lelaki misteri bernama Raol pada tahun 1968. Agak mustahil jika kita mempercayai konspirasi pembunuhan ini dilakukan oleh seorang individu dengan berjaya melepasi pemburuan besar-besaran selama 3 1/2 bulan seluruh pelusuk bumi oleh agensi perisikan terhebat di jagat ini. Dari Eropah ke Kanada pastinya memerlukan sumber kewangan yang besar serta narasumber yang licik.

Dengan nama samaran yang begitu teliti dan mampu mengakses rekod-rekod ketenteraan adalah mustahil Ray mampu melakukan semuanya seorang diri. Pada tahun 1989, seorang pesalah yang disabitkan kes bunuh yang lain bernama Kimble mengaku bahawa dia merupakan sebahagian dari konspirasi membunuh Martin Luther King termasuk dari agen CIA, FBI dan juga mafia.

Kimble mendakwa dia yang memperkenalkan Ray tertuduh membunuh MLK kepada Raol pakar identiti CIA di Montreal tahun 1967. Raol inilah yang membekalkan nama-nama samaran kepada Ray semasa dalam pelarian. Kimble turut mendakwa dia membawa Ray ke kem latihan CIA. Barangan milik Ray dan cap jari Ray sengaja ditinggalkan di lokasi pembunuhan termasuk untuk memerangkap Ray. Dalam kata lain, sepertimana Lee Harvey Oswald yang dituduh membunuh John F Kennedy (JFK) mantan Presiden Amerika Syarikat, Ray adalah kambing hitam yang terpaksa dikorbankan.

Sementara dalam Bab 16, ‘The Robert Kennedy Assasination’, laporan koroner pembunuhan RFK menunjukkan beliau ditembak dari jarak dekat (point blank) dari belakang sekurang-kurangnya dalam jarak 3 kaki. Banyak bukti menunjukkan CIA terlibat dalam pembunuhan ini seperti mana yang berlaku pada JFK. Pasukan Khas Jabatan Polis Los Angeles memaklumkan hanya Sirhan satu-satunya pembunuh RFK. Saksi-saksi diugut, bukti-bukti dimusnahkan dan suspek-suspek yang disyaki terlibat tidak disoal langsung. Dua daripada ahli pasukan khas tersebut diketahui mempunyai hubungan panjang dengan CIA dan dikenali dengan perlakuan membelasah saksi jika ada yang mengaitkan dengan konspirasi. Jerry Owen suspek yang disyaki terlibat dan dilihat berada bersama Sirhan sehari sebelum pembunuhan tidak disiasat. Jerry Owen juga mengaku mengenali mafia kurier Edgar Bradley yang berada ketika kes pembunuhan JFK tetapi dibebaskan tanpa didakwa.

Lebih menarik apabila Dr William Bryan (DWB) pakar ‘hypnosis’  yang terlibat dengan projek sulit ujian kawalan minda CIA dengan bangga mengaku terlibat dalam projek sulit ini termasuk menghipnosis Sirhan. Hipnosis adalah keadaan separa sedar yang menyebabkan seseorang kelihatan seperti tidur tetapi masih boleh mendengar, melihat atau memahami perkara tertentu yang diajukan kepadanya oleh orang yang menguasainya mindanya ataupun menghipnosisnya ketika itu. Hipnosis juga adalah suatu keadaan yang menyerupai tidur yang dapat secara sengaja dilakukan kepada seseorang, di mana seseorang yang dihipnosis boleh menjawab pertanyaan yang diajukan, serta menerima saranan tanpa bantahan.

Sirhan mendakwa dia tidak langsung ingat menembak RFK atau menulis tentang perkara itu di dalam buku notanya. Pengawal keselamatan Thane Cesar berhaluan kanan yang berada betul-betul di belakang RFK turut mengaku menembak RFK dari belakang. Akhir sekali bukti yang dikaitkan adalah bekas kakitangan CIA Robert Morrow menulis buku mendakwa bahawa agen SAVAK (Agensi Perisikan Iran) diupah membunuh RFK.

Jika kita pernah menonton filem Conspiracy Theory lakonan Mel Gibson dan Julia Robert, kita akan lebih mudah hadam tentang projek sulit CIA yang dikaitkan dengan Dr William Bryan iaitu hipnosis dan ia benar-benar wujud bukan hanya fiksi yang dimuatkan dalam filem.

Natijahnya di sini, apakah semua kisah-kisah tersebut mampu memberi pengajaran kepada kita dengan apa yang berlaku di sekeliling kita dan isu-isu mutakhir ini? Kata Ibnu Taimiyah, “Enam puluh tahun di bawah kekuasaan kepala negara yang zalim, lebih baik daripada satu malam tanpa kepala negara”. Apakah kita punya kepala negara ketika ini?

Apapun pengajaran yang datang kepada manusia, ia hanya akan bermanfaat jika kita memanfaatkan akal serta berusaha keras menjauhi kezaliman. Mengikut Hamka, “kezaliman terbahagi dua, pertama berbuat zalim, kedua membiarkan kezaliman berlaku. Kedua-duanya sama di luar keadilan”.

Wallahualam

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s