Antara pendirian peribadi dan pendirian rasmi parti

As-Salam,

1. Tajuk-tajuk utama media arus utama berhubung kemelut penggantian Menteri Besar (MB) Selangor hari ini direncamkan lagi dengan pendirian Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (DSAHA) yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) Katanya menggantikan TSKI wajar jika terdapat skandal umpamanya penyelewengan dana atau lain-lain perkara yang merosakkan imej parti. Dalam kaitan ini, TSKI tidak dipalit dengan isu-isu sedemikian. Jika parti yang lama bertapak dalam persada politik tanahair dan dihormati dan presidennya sendiri mengatakan demikian, apa perlunya TSKI diganti? Sebelum ini hanya TSKI yang didakwa mempertahankan kerusi itu untuk dirinya tetapi kini suara presiden PAS sudah disimbah untuk basahan yang ‘tidak arti’ atau bahasa mudahnya ‘pekak badak’.

2. Namun agak menarik apabila, puak yang menggerakkan usaha ‘langkah kajang’ dan juak-juak mereka demi mempertahankan tindakan ‘brutal’ ini membalas bahawa itu adalah pandangan peribadi DSAHA bukannya pendirian rasmi parti. Jika menyokong tindakan jahat mereka pastinya ia dianggap pendirian rasmi parti dan jika tidak ia adalah pendirian peribadi DSAHA.

3. Jangan berpura-pura bodoh dan tidak perlu memperbodohkan rakyat yang selama ini berada di belakang kamu mempertahankan tindakan dan parti yang tidak akan berada pada kedudukan sekarang tanpa sokongan mereka. Jika perlantikan TSKI sebagai MB didakwa adalah atas restu parti maka ada baiknya jugadifikirkan PRU13 adalah kali kedua TSKI di situ dan rakyat tetap memilih PR. Itu adalah ‘signal’ rakyat merestui beliau di tahtakan di situ. Sudahlah mempermainkan lobang-lobang dan celah-celah demokrasi atas nama dibenarkan undang-undang untuk mengadakan Pilihanraya Kecil (PRK) sesuka hati namun tetap disokong rakyat atas alasan rakyat memikirkan ianya strategi mengukuhkan parti ke putrajaya, namun ia jelas menyerlahkan kerakusan individu-individu di dalam PKR yang tanpa malu dan segan cuba meratah mangsa yang tidak disukai dan merampas kerusi emas yang diidam-idamkan. Cakap tidak serupa bikin dan pemungkir janji tidak jauh bezanya dengan aliran ‘zionisme’ yang tidak pernah mengotakan janji mereka.

4. Jika DSAHA memberi komen makan budu lebih baik dari pekasam atau keropok lebih sedap dari biskut boleh lah dianggap sebagai pendirian sendiri. Ini urus tadbir politik dan beliau adalah seorang presiden parti politik yang menjadi tunjang kepada PR. Jika Tan Sri Khalid Abu Bakar (IGP) berkata makan masak lemak cili api (beliau orang Negeri Sembilan) lebih sedap dari sambal udang petai amat difahami itu adalah pendirian peribadi, tetapi jika dia berbicara soal keselamatan sudah pasti itu adalah pendirian PDRM. Hadi Awang bukan ahli cawangan Marang sahaja tetapi presiden dan Ahli Parlimen di sana. Tan Sri Khalid Abu Bakar adalah IGP bukan anggota pangkat rendah dengan pangkat konstabel tetapi Ketua Polis Negara. Semestinya mereka menjadi jurucakap organisasi masing-masing. Sebab itulah yang diberi kuasa untuk bercakap kepada media pun adalah ketua-ketua seperti Ketua Polis Daerah, Ketua Jabatan, pengarah-pengarah dan DIG serta IGP untuk mengelakkan salah cakap. Begitu juga dengan PAS di mana media tidak menyoal ahli cawangan tetapi presiden partinya.

5. Jika kemaruk sudah menguasai shahwat sekalipun, tahap rasional perlu dijunjung. Ini bukan rasionalisasi subsidi wahai pemimpin-pemimpin yang sudah dijilat api kerakusan. Ini adalah rasional minda dan jiwa yang menjadi ciri-ciri penting rakyat memilih kamu semua. Jika kamu semua sudah tidak rasional jiwa dan minda seperti yang dibuktikan dengan kata-kata oleh menteri-menteri ‘cap ayam’ selama ini, maka lebih baik masuk saja dalam kandang ayam bersama-sama mereka. Tuah ayam nampak di taji, tuah manusia masuk penjara. Jangan jadikan alasan bimbang Selangor akan menerima nasib seperti Kedah sehingga sanggup menidakkan jasa-jasa yang telah dilakukan oleh TSKI untuk parti dan rakyat Selangor. Saya bukan ahli mana-mana parti, bukan rakyat Selangor dan bukan ‘ghost writer’ atau pemakan dedak atas tapak tangan TSKI. Saya dan teman-teman hanya ingin melihat manusia jujur menerajui semua parti di negara ini dan juga kerajaan. Jika berlaku sebaliknya, pemimpin parti mana dan NGO mana sekalipun akan dikritik demi menjernihkan semuala fikiran yang sudah keruh dengan bisikan-bisikan jahat dari alam ghaib. Kata Prie GS, “pendidikan tanpa keteladanan itu benar2 buat sekolah cuma jadi gudang hafalan”. Begitu juga dengan pemimpin yang hanya menghafal skrip drama politik tanpa teladan yang baik akan hanya menghancurkan parti yang akhirnya membuat rakyat ‘meluat’ dan bosan terhadap parti kerana seperti yang disebut di atas, apa yang disebut dan dilakukan pemimpin tidak dianggap pendirian sendiri tetapi pendirian rasmi. Hukuman akan ditimpakan ke atas parti.

6. Imam Baqir a.s mengingatkan kita semua bahawa, “Perumpamaan orang yang tamak bagaikan ulat sutera. Ketika sutera yang melilitnya bertambah banyak, sangat jauh kemungkinan baginya untuk mampu keluar sehingga ia akan mati kesedihan di dalam sarangnya sendiri”. Orang Melayu juga tidak kurang nasihatnya kepada orang tamak. Katanya, “orang tamak selalu rugi” tetapi rugi tetap menjadi pilihan manusia.

Wallahualam

~: sani :~

tamak

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s