Apa wahyu itu perlu dipatuhi?

As-Salam,

1. Sejak awal lagi suara perjuangan PKR untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang adil, bersih dari rasuah dan menjadi pilihan seluruh rakyat negara ini diragui kerana dilihat lebih memusat kepada sosok perjuangan kelompok atau peribadi. Namun, demi hasrat melihat perubahan dan impian rakyat yang berkobar-kobar ingin merealisasikan Malaysia Baru dengan berbagai slogan yang kesemuanya bernada positif dan meyakinkan akan munculnya tanahair sedemikian rupa, saya harap telahan saya itu tidak betul. Saya turut bersama-sama mereka yang menjangka sekiranya berlaku pertukaran kerajaan dan pemimpin-pemimpin yang korup dan bergelumang dengan dosa-dosa kepimpinan yang meminggirkan kepentingan rakyat, insyallah pastinya Allah swt akan mendorong jalan agar hadirnya ‘ihsan’ untuk mendamaikan perbezaan dan juga antara kekurangan dan kekuatan di kalangan parti-parti sekutu PKR yang membentuk Pakatan Rakyat (PR). Buat saya, hanya doa dipanjatkan kepada Maha Berkuasa agar impian itu menjadi kenyataan kerana apa yang baik untuk rakyat dan negara menjadi keutamaan saya. Siapa dan parti apa sekalipun menjadi kerajaan, rakyat tetap perlu mencari rezeki untuk kelangsungan kehidupan. Yang perlu dihentikan adalah apa juga tindakan oleh mana-mana pihak yang merugikan rakyat dan negara.

2. Rakyat mendambakan perubahan kerajaan bukan atas sifat peribadi pemimpin atau nama sesebuah parti malah menerima khilaf dan kekurangan yang ada. Namun demikian, jika beban semakin membebankan sehingga ikatan perut sudah mencecah tulang belulang, jurang antara kaya dan miskin semakin melebar, sikap pemimpin yang kian celupar menyerlahkan kebodohan serta tidak sensitif dengan kesengsaraan mereka, maka di situ sudah lahir kewajaran berlaku pertukaran kepimpinan dan kerajaan. Di sini bermulanya percaturan minda di benak sebahagian rakyat agar PR diberikan peluang untuk memerintah.

3. Harapan rakyat itu telah dizahirkan dalam PRU 12 sehingga Selangor, Perak (kemudiannya berpusing kepada BN), Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur tersembam ke kaki PR dan banyak negeri kehilangan jumlah kerusi BN yang besar. Peringkat pusat menyaksikan BN gagal mencapai jumlah kerusi parlimen 2/3 buat julung kalinya selepas peristiwa 13 Mei 1969. Natijahnya, Pak Lah sebagai Perdana Menteri mencari pintu keluar setelah ditelunjukkan oleh kepimpinan UMNO sendiri dan reaksi rakyat yang tidak senang dengan kepimpinannya. Pengambilalihan pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan oleh Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO ternyata gagal membaiki keadaan walaupun slogan 1Malaysia dan program transformasinya berdengung siang dan malam di semua saluran media sejak beliau menduduki singgahsana Putrajaya. PRU 13 menyaksikan prestasi BN terus merudum dan lebih teruk berbanding PRU 12 ketika era Pak Lah yang turut gagal mendapat majoriti 2/3.

4. Semakin rakyat secara umumnya merasa tertindas dan tidak dibela, ketika itulah hati mulai bergetar dan ‘cair’ serta fikiran diumpan bisikan untuk mencari ‘penyelamat’ yang mampu menyelamatkan mereka daripada keadaan yang cukup tidak selesa buat mereka (kecuali mereka yang beruntung). Kempimpinan membela dan mengutamakan rakyat dikejar oleh rakyat dan PR muncul sebagai pilihan sebahagian besar dari mereka walaupun daripada keputusan PRU12 dan PRU13 BN masih menang kerana sistem di negara ini tidak mengamalkan sistem ‘undi popular’. Jika dengan sokongan aparat dan agensi-agensi kerajaan yang ada maka BN hanya mampu meraih undi dengan jumlah tersebut, saya fikir itu adalah sesuatu yang memalukan dan mencemaskan. Malangnya, itu masih tidak menyedarkan sebahagian besar di kalangan pemimpin BN kecuali sekerat dua seperti Dato’ Saifuddin Abdullah, Tengku Razaleigh Hamzah dan lainnya.

5. PR yang semakin ghairah dan bernafsu untuk berkuasa melihat peluang yang terbentang luas ini menjadi medan untuk dipergunakan sebaik mungkin untuk merebahkan BN yang semakin lemah walaupun mulut masih tegar berkokok. Pelbagai strategi dirangka dan disusun untuk memenuhi impian ke Putrajaya sebagai pengganti BN. Apabila PRU12 dan PRU13 masih gagal digapai impian tersebut, maka untuk kesekian kalinya bagi mencapai impian sama pada PRU14, Langkah Kajang dicetuskan oleh Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli kononnya untuk memperkemaskan jentera PR menghampiri Putrajaya. Namun, refleksi langkah tersebut sebenarnya adalah bagi menggantikan MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) tidak sukar dibaca oleh banyak pihak khususnya BN. Walaupun PR yang diwakili Datin Seri Wan Azizah (DSWA) menang, namun Anwar Ibrahim (DSAI) gagal memanfaatkan peluang itu yang diramal bahawa beliaulah sebenarnya yang akan menggantikan TSKI sebagai MB Selangor. Namun, apabila disabitkan kesalahan liwat dan dijatuhkan hukuman penjara yang kini masih dalam proses rayuan, strategi itu seakan menjadi senjata makan tuan. Tidak sudah dengan itu, banyak usaha untuk menjatuhkan TSKI dan digantikan oleh pemimpin PKR yang lain termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali selain DSWA. Sehingga kini usaha itu masih belum dapat direalisasikan atas banyak faktor seperti yang terpampang di media-media cetak, siber dan elektronik termasuk keengganan TSKI melepaskan jawatan tersebut. PAS juga terperangkap dalam hal ini sehingga kini tidak mampu menyuarakan secara terbuka pendirian mereka dalam kemelut MB Selangor. Mengikut beberapa penganalisis politik, pendirian PAS itu disebabkan wujudnya perbezaan pendapat antara PAS Pusat dan negeri begitu juga PKR dan DAP.

6. Fitrah manusia itu sama sahaja walau di mana sekalipun kita. Menjatuhkan pemimpin yang jahat untuk digantikan dengan yang baik semestinya tindakan itu dianggap baik dan yang menjatuhkannya dilihat sebagai pahlawan. Namun jika menjatuhkan ‘orang baik’ seperti TSKI sudah mengundang persepsi bahawa ianya adalah pengkhianatan. Jika yang menjatuhkan pemimpin itu dari bawah sudah dianggap tindakan khianat, apatah lagi jika yang menjatuhkan itu pula dari atas. Maka bertambah-tambahlah kebencian ahli dan rakyat terhadap langkah tersebut. PR khususnya PKR wajib berhati-hati dalam soal penggantian MB Selangor jangan sampai dilihat gelojoh dan bertindak jahat terhadap orang yang tidak melakukan kesalahan. TSKI lah orang yang menaikkan nama baik kerajaan negeri pimpinan PR di kacamata rakyat. Kemampuan beliau meningkatkan jumlah simpanan wang kerajaan negeri Selangor dan corak kepimpinan yang sistematik membuka mata seluruh rakyat Malaysia khususnya Selangor betapa pentadbiran kerajaan negeri sebeginilah yang diidam-idamkan.

7. Perjuangan PKR dilihat rakyat kian tersasar bermula dengan ‘Langkah Kajang’ ini dan jangan pula menjadi “Kajang Pak Malau Kajang berlipat, kajang melilau, akhirnya merempat”. Jika benar rakyat menjadi keutamaan, pemimpin yang baik bukan saja disokong, malah wajar dipertahankan daripada digugat. Dalam konteks ini, PAS dan DAP dilihat masih konsisten dalam hala tuju perjuangan dengan cara tersendiri walaupun pastinya ada kekurangan dan kelemahan. Pemerintah dan penguasa yang ada sekarang ini juga penuh dengan kesilapan dan keaiban Cuma bernasib baik apabila ‘aib’ dan kesilapan mereka masih dihijabkan oleh Allah swt dan mereka masih mampu mengawal agar tidak terbongkar. Sementelah pula keaiban dan kesalahan mereka tidak dirasai oleh pemimpin-pemimpin yang berkuasa lantaran dikelilingi pengampu-pengampu yang tidak jemu membisikkan kata-kata ‘plastik’ bahawa merekalah yang terbaik dan terhebat. TSKI mungkin dianggap ‘buta politik’ tetapi itu tidak mengurangkan kasih sayang banyak pihak khususnya rakyat Selangor kerana beliau tidak ‘buta kemanusiaan’ dan itulah wadah dan resipi kasih sayang rakyat kepada sesebuah kerajaan. Rakyat teramat benci dengan kepimpinan ‘goblok’ dan ‘penyamun’ yang menjarah harta negara. Jangan pula “mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Jika itu yang berlaku, rakyat akan berfikir, “kenapa perlu pada perubahan kerajaan?”. Ilusi itu indah tetapi risikonya juga besar. Kita harus yakin bahawa, “Terkadang Tuhan melakukan penyelamatan, memberikan rezeki, serta menjanjikan rahasia-rahasia di belakang suatu kejadian yang seakan-akan bernama musibah atau kecelakaan”.

8. Betapa rakus dan haloba sekalipun seseorang manusia kepada kuasa, harta, wang ringgit dan habuan, jangan sesekali ditelanjangkan sikap itu di hadapan umum. Jika itu yang dilakukan, jangan salahkan rakyat jika kamu ditolak dan diinjak. Jika Ku Nan begitu teruk dicerca oleh gelombang kebencian rakyat terhadap kenyataannya tentang isu gelandangan dan pengemis, apakah masalah buat rakyat memaki hamun PR yang cuba memodelkan budaya jahat dengan menjatuhkan pemimpin sesuka hati? Jika UMNO didakwa sebagai spesis dengan naluri amalan jatuh-menjatuhkan, maka apa bezanya pihak lain yang melakukan perkara sama? Cuba renungkan kata-kata Subky Latif dalam artikelnya dimuatkan dalam Harakahdaily hari ini bertajuk ‘Tengku Adnan bukan anak jantan’, “Kerana sistem dan kegagalan pemerintahan Umno dan Barisan Nasional. Lim Guan Eng pun tahu dua tahun saja pentadbiran Umar Abdul Aziz, tiada yang miskin dan tiada yang layak menerima zakat di wilayahnya. Kalau khalifah boleh basmikan kemiskinan, mengapa kerajaan tidak boleh kurang dan ringan masalah orang miskin.”

9. Jika semua manusia yang berhajat menjadi pemimpin meletakkan tumpuan bahawa jawatan itu amanah yang perlu dituntaskan demi rakyat, bangsa, agama dan tanahair, datanglah parti mana dan pemimpin mana sekalipun tidak akan dipandang oleh rakyat melainkan yang sudah ada. Wahyu dari atas itu tidak semestinya betul dan perlu dipatuhi. Hanya wahyu dari Allah swt saja yang betul dan diturunkan hanya kepada para Nabi dan Rasul hatta di dalam mimpi. Jika ada manusia yang bermimpi mendapat wahyu, mungkin itu adalah teman saya dari Palembang Dian Wahyu Utami.

Wallahualam

~: Sani :~
Kajang Move Gagal

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s