Detektif Kunan

Salam Ramadhan,

1. Nampaknya Ramadhan tahun ini mengundang polemik politik yang tidak kurang lucunya walaupun tidak sedikit yang menumpah dan melimpahkan cacian atas jenaka yang menjadi refleksi pemikiran bapak-bapak menteri negara ini yang bukan sahaja gelojoh mencuri perhatian majikan mereka Perdana Menteri tetapi juga manifestasi keterlanjuran melakonkan watak Pak Pandir dan Lebai Malang.

2. Walaupun Pak Menteri tersebut cuba mengalihkan isu tersebut dengan alasan kenyataannya telah diputarbalikkan, namun ‘kerosakan’ tetaplah kerosakan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Apapun, beliau tidak perlu bimbang dalam isu ini kerana watak Pak Pandir dan Lebai Malang ini tidak saja diberi kepadanya, malah turut dikongsi oleh beberapa Pak Menteri lain yang sengit bersaing untuk menjadi pelakon tetap atau pendukung utama watak ala-ala bodoh tersebut.

3. Kenyataan Pak Menteri untuk menyaman pemberi dan peminta sedekah dalam zon 2km persegi sekitar Kuala Lumpur dengan titik jarak dari LOT 10 Bukit Bintang itu menjadikan beliau sasaran kritikan ramai orang dan banyak pihak. Jenaka beliau mungkin hadir angkara menahan lapar keterlaluan di bulan puasa ini sehingga tahap cemburunya kepada golongan miskin membuak-buak dan tiba-tiba muncul idea sedemikian rupa. Jika menurut Parakitri T. Simbolon dalam bukunya “Cucu Wisnusarman” terbitan Nalar di Jakarta pada tahun 2005, “Hati-hati tentang rasa kasihan. Rasa itu biasanya turun dari mereka yang di atas. Rasa iri sebaliknya. Yang ini berasal dari mereka yang di bawah.” Nampakya Pak Menteri ini sudah terbalik kuang kerana iri dan dengki selalunya datang dari mereka yang di bawah dan kasihan dari yang atas turun ke bawah. Namun Pak Menteri ini sudah di atas tetapi masih iri dan dengki dengan mereka yang gelandangan dan peminta sedekah. Apakah dia juga masih berhasrat ingin meminta sedekah (mengemis) dan meminta makanan dari donator ‘chicken soup’?

4. Rasanya janganlah beliau terlalu membuka aib kebebalannya sehingga secara percuma mendapat cercaan dan hinaan masyarakat. Apatah lagi Menteri Muda Kabinet Najib Saudara KJ secara sinis seolah-olah memihak kepada golongan gelandangan dan Sukarelawan Chicken Soup. Janganlah sesuatu isu yang turut berkait dengan kebajikan dan agama secara sembrono diberi takrifan jahil oleh minda lemas di rongga fikiran yang sempit. Akhirnya muncul pesakit jantung yang berubat secara perbomohan untuk mengeluarkan jin dengan upah seekor jin RM50 dan jika ditemberang oleh bomoh perlu dikeluarkan 100 ekor jin kan muflis jawabnya? Ini namanya sakit lain rawatan lain yang dihulurkan.

5. Jika ada di kalangan pembaca yang menonton filem ‘Hummingbird’ lakonan Jason Statham sebagai Joseph Smith yang membawa watak veteran perang Amerika di Afghanistan dan melarikan diri dari tugas serta tinggal di London mabuk dan menjadi gelandangan dan banyak mendapat bantuan dari pihak gereja melalui ‘Nun’ dengan watak dibawa oleh Agata Buzek sebagai Cristina yang menjalankan kegiatan pihak gereja dengan menyediakan perkhidmatan ‘Chicken Soup’ kepada golongan gelandangan, kita akan terfikir di mana pihak Baitulmal, Jabatan Zakat dan berbagai lagi agensi kerajaan yang sepatutnya memainkan peranan membantu golongan ini. Bila ada kisah mereka yang berpendapatan RM1300.00 masih gelandangan ada yang mengatakan mengapa masih tidak cukup pendapatan sebanyak itu. Ramai yang meletakkan diri mereka sebagai bandingan sedangkan masalah dan beban masing-masing adalah berbeza. Bagi yang bujang mungkin sekadar cukup tetapi yang bekeluarga dengan anak-anak bersekolah tinggal di Kuala Lumpur apakah jumlah tersebut mencukupi? Cuba Detektif Kunan siasat dan fikir kalau-kalau dirinya berada pada situasi tersebut.

6. Kritikan tidak saja berakhir di situ, Mantan Mufti Perlis secara sinis pula mengusulkan agar maksiat di Kuala Lumpur yang mencemarkan imej Bandaraya Kuala Lumpur turut dibanteras dan diambil tindakan. Bukankah ianya telah mengundang persoalan baru yang lebih rumit dan kronik untuk diselesaikan? Sebenarnya, Detektif Kunan perlu menggunakan kedudukannya sebagai Pak Menteri Wilayah Persekutuan untuk menggembelingkan segala usaha dengan semua agensi awam, Baitulmal, Zakat dan organisasi sukarela (NGO) dengan mencari solusi yang lebih menang-menang serta mencerminkan keperihatinan kerajaan kepada golongan bawahan yang terhimpit dan juga golongan pertengahan juga yang telah diruntun oleh keadaan inflasi yang serius untuk turun berada pada kelas bawahan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup di bandar-bandar besar yang bergelar Wilayah Persekutuan itu. Cakap biar serupa bikin dan bikin jangan sampai diri serta parti dan kerajaan turut diheret agar kelihatan kejam, bodoh dan tidak berperikemanusiaan. Jangan hanya apabila detik pilhanraya sudah di selekoh baru golongan gelandangan dan bawahan dijulang sebagai raja dan selepas itu dilayan seperti kumbahan. Undi gelandangan, penagih dadah. homeless, orang miskin juga tetap sama 1 undi dan tidak dikira 1/2 atau 1/4.

7. Politik tidak hanya bernafas 5 tahun sekali tetapi apa yang dilakukan pemimpin ketika ini akan menjadi kempen paling efektif untuk diterjemahkan di ‘ballot box’ dalam pilihanraya akan datang. Ketika itu pastinya siaran ulangan drama dan bangsawan juak-juak dan pembesar istana merangkak dan melutut marhaen di depan bilik air dan tandas bersalaman walaupun baru lepas menunaikan hajat. Selepas salam cium tangan. Sama-sama kita renungkan.

Wallahualam.

Det-Conan-detective-conan-14852337-800-600

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s