Ops Piramid

Salam,

1. Keadaan di Mesir semakin hari semakin parah samada dari segi bekalan makanan, kesihatan dan juga keselamatan. Negara-negara asing sudah banyak memindahkan rakyat masing-masing khususnya pelajar-pelajar mereka keluar dari bumi ‘Spinx’ ini. Keselamatan warga negara yang berada di sana menjadi keutamaan dan sewajarnya ia disegerakan sebelum angka kehilangan jiwa dan kecederaan mencatatkan negara asal adalah MALAYSIA. Jika itu adalah takdir mereka, sememangnya tiada satu kuasa yang mampu menghindarinya, namun jika disebabkan kelalaian dan kealpaan pihak kerajaan maka ianya adalah amat malang buat kita.

2. Angka korban dan kecederaan rakyat Mesir yang membantah rampasan kuasa oleh pihak tentera di sana semakin hari semakin meningkat. Tahap kekerasan yang digunakan pihak keselamatan dan tentera terhadap para demonstran dan orang awam telah melampaui batas kemanusiaan. Rumah Allah juga dikorbankan hanya untuk mempertahankan kuasa. Sejarah telah memperlihatkan betapa kezaliman dan kerakusan mempertahankan kuasa kebiasaannya akan lebih dahsyat daripada usaha mendapatkan kuasa. Kebimbangan akan dikenakan tindakan atas kezaliman yang dilakukan ketika mempertahankan kuasa akan mengakibatkan kezaliman melahirkan lebih banyak kezaliman.

3. Pihak pembangkang menyeru kerajaan mengadakan sidang khas berhubung isu Mesir ini namun PM mengatakan usaha membawa keluar pelajar dari Mesir menjadi keutamaan negara ketika ini. Perkara ini sememangnya patut disokong dan wajib disegerakan. Proses mengeluarkan mereka dari Mesir akan dilakukan secara berperingkat seperti yang dinyatakan PM dan tambahnya lagi, faktor yang menghalang usaha ini adalah ‘Perintah Berkurung’ yang dikuatkuasakan pihak tentera negara itu.

4. Alasan ‘Perintah Berkurung’ ini sedikit menjemput persoalan tentang keberkesanan Pejabat Perwakilan Luar Negara kita atau dipanggil kedutaan yang begitu banyak menelan belanja selama ini. Persoalan pertama yang harus dibangkitkan adalah “apa peranan perwakilan luar negara kita dalam isu ini sehingga timbul kelewatan dalam proses mengeluarkan pelajar dan rakyat kita di sana?” Apakah dengan Staf kedutaan yang begitu ramai termasuk atase pertahanan dan wakil keselamatan yang ditempatkan di sana masih gagal memantau perkembangan pergolakan di sana? Tanda-tanda awal keadaan bertambah buruk serta maklumat melalui kakitangan kedutaan yang bertugas di sana gagal diperolehi? Apakah kegiatan memperolehi maklumat oleh kedutaan merupakan sesuatu yang luar biasa di mana-mana negara sekalipun? Jika dalam keadaan seperti biasa sekalipun, setiap kedutaan di dunia telah menjadi ‘open secret’ menjalankan kegiatan perisikan. Inikan pula dalam keadaan genting seperti yang berlaku sekarang. Sewajarnya dalam keadaan seperti inilah peranan pejabat perwakilan asing digandakan setelah sekian lama tempoh bulan madu dan bulan ‘madam’. Tiada iri dan tiada dengki. Rakyat hanya mengharapkan setiap sen yang dibelanjakan hasil wang mereka mendapat balasan yang setimpal sesuai dengan amanah, pangkat dan jawatan yang dibanggakan selama ini.

5. Rakyat memerlukan bantuan kerajaan dalam soal besar seperti ini kerana ianya bukan soal peribadi yang boleh diuruskan oleh pihak perseorangan. Tidak timbul soal mencari kambing hitam, putih, biru dan hijau kerana apa yang penting adalah keselamatan rakyat. Rakyat tidak berminat dengan permusuhan berpanjangan kerana seperti kata Indira Gandhi “Anda tidak boleh berjabat dengan tangan yang menggenggam penumbuk”. Yang penting adalah salam persahabatan dan kerjasama erat antara rakyat dengan rakyat , rakyat dengan kerajaan dan kerajaan dengan kerajaan. Keamanan sepertimana kebajikan bermula dari rumah. Suburkan keamanan dan pasakkan keselamatan. Keamanan yang tidak menguntungkan adalah lebih baik daripada peperangan yang berterusan. Sama-samalah kita menjadikan bumi Malaysia ini bumi yang penuh dengan kasih sayang, makmur dan aman.

Wallahualam

~: hnbk :~

ops piramid

Advertisements

PTPTN

Salam,

1. “PTPTN kan ado?” berkali-kali diulang ungkapan tersebut menandakan ianya teramatlah hebat dalam soal membantu rakyat. Hebat sangat ke PTPTN? Namun sejak beberapa hari ini, banyak pihak termasuk parti pembangkang, NGO yang tidak pro kerajaan, non-partisan dan rakyat memprotes tindakan kerajaan dalam isu terbaru berhubung PTPTN. Media melaporkan PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenarai hitam peminjam ingkar bermula bulan ini. Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata, CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.Semalam, media melaporkan bahawa menerusi pendekatan ini, peminjam PTPTN yang ingkar akan menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.

2. Pihak yang memprotes menuntut agar kerajaan mengkaji balik dan membatalkan pelaksanaan CCRIS tersebut. Ekoran daripada itu, Idris Jusoh sekali lagi tampil dengan nada berbeza. Kebiasaannnya akan muncul isi sama botol lain-lain tetapi kali ini botol sama isi lain pula nampaknya. Jawapan Pak Menteri seperti kebiasaan akan membuat pusingan ‘U’ iaitu masih dalam kajian ataupun pihak kami masih boleh menerima pandangan orang ramai. Jikalau masih dalam kajian, sebaiknya tidak perlu lah diumumkan lagi. Setiap kementerian dipercayai mempunyai cabang penyelidikan yang akan membuat penyelidikan termasuk baik buruk usul yang dikemukakan. Selepas semuanya selesai dan ‘viable’ barulah diumumkan. Kan cantik begitu?

3. Ini bukan kali pertama, kedua dan ketiga. Ia sudah puluhan kali kerajaan berjenaka dengan keputusan flip flop atau yoyo sehingga mendominasi gaya kepimpinan ala badut sarkas. Pucuk pimpinan kerajaan seakan-akan hilang kawalan terhadap menteri dan kementerian, Ketua Jabatan dan jabatan, penguatkuasa dan yang ketagihan kuasa semuanya kepingin menjadi orang nombor satu. Kalau sudah nombor dua, tiga dan seterusnya, berlagaklah macam sepatutnya. Kalau nombor satu pula janganlah berlagak macam nombor dua, tiga, empat sampai habis angka. Kalau sudah hilang keupayaan, sebaik-baiknya mencari pintu keluar tanpa terlanggar pintu besi atau kayu hingga benjol. Menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan masalah lazimnya hanya dilakukan oleh kanak-kanak yang belum cerdik, atau negara-negara besar kata David Friedman.

4. Binalah keyakinan dan hiasi persepsi rakyat dengan tindak-tanduk yang boleh menimbulkan rasa cinta dan sayang mereka pada kerajaan. Amat malang bagi sebuah kerajaan yang memerintah rakyat yang terbenam jiwa dan raga dipenuhi bakul kebencian dan hanya menunggu masa untuk diserkup ke kepala pemerintah. “PTPTN kan ado?”

Wallahualam

~: hnbk :~

PTPTN

BUDAYA MENGALAH

As-Salam,

1. Buku yang mengisahkan tentang perjuangan M. Natsir Mantan Presiden ke lima berjudul ‘Percakapan Antara Generasi – Pesanan Perjuangan Seorang Bapak’ terbitan Dewan Pustaka Islam, Selangor (1991) baru kutemui di Perpustakaan Alor Star, Kedah baru-baru ini. Sesungguhnya, setiap catatan yang dinukilkan di dalam buku kecil ini akan menggoncang pemikiran setiap pembaca jika tidak terlelap tidur kerana setiap halamannya dipenuhi dengan hikmah dan ilmu yang amat berguna buat kita yang merindui sebuah perjuangan yang menjadi impian seluruh rakyat yang cintakan kebenaran.

2. Aku amat tertarik dengan lontaran ideanya berhubung ‘Budaya Mengalah’ yang dianggap oleh Pak Natsir sebagai satu penyakit yang sedang melanda masyarakat dewasa ini. Tambahnya lagi, takut mengambil risiko sudah menjadi kebiasaan dan wujud kecenderungan untuk menyesuaikan diri dengan lingkungannya walaupun bertentangan dengan kata hati dan keyakinannya. Budaya ‘ikut arus’ ini berpunca daripada kepura-puraan dan memanfaatkan kesempatan dan menjadi penyakit umat yang akhirnya bukan saja merugikan diri sendiri, malah rakyat secara keseluruhannya.

3. Penyakit ini sememangnya sedang tenat dan parah melanda masyarakat sehingga menyusup masuk ke dalam organisasi politik, kerajaan, swasta, persatuan dan pertubuhan. Penyusupan ini mengalir tanpa noktah dan lebih malang tidak ada yang mampu menyekatnya sehingga detik ini. Maka dengan itu, apabila ia sudah menjadi budaya, yang tidak mengamalkan budaya itu akan dianggap masyarakat songsang dan perlu ditamatkan riwayatnya atau setidak-tidaknya dilumpuhkan seumur hidup. Semakin kuat penentangan, semakin perit hukuman menanti. Timbullah ungkapan penderhaka dan pengkhianat tanahair sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.

4. Lihat saja dalam semua parti politik samada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, mereka yang enggan mengamalkan ‘budaya mengalah’ ini akan dikalahkan. Pemilihan parti akan menjadi medan sembelihan mana-mana orang atau kumpulan yang menongkah arus. Mereka yang terselamat hanyalah yang ‘ikut arus’ jika ingin terus melanjutkan hayat samada di dalam parti, pertubuhan, persatuan termasuklah dalam sektor awam. Budaya ‘ikut arus’ ini jika dipermudahkan definisinya adalah budaya ‘Pak Angguk’ atau ‘Yes Man’ yang berakar sejak zaman berzaman namun diperkasakan sejak kebelakangan ini demi diri sendiri, keluarga dan kroni (DDSKK). Apa yang dapat diharapkan dari sebuah perjuangan yang hanya mengutamakan DDSKK tetapi mengatasnamakan demi bangsa, agama dan tanahair (DABDT)? Retorik tidak akan membuahkan hasil seperti yang dikehendaki, tidak mengenyangkan rakyat yang lapar dan tidak mampu mengeluarkan mereka dari kancah kemiskinan. Retorik akan kekal sebagai retorik yang hanya layak dijual ketika musim pilihanraya saja kepada mereka-mereka yang sudah ‘nyanyuk’ dan dijangkiti sindrom ‘bebalisme’ bak kata Prof Syed Hussein Alatas yang tersohor dengan bukunya ‘Mitos Peribumi Malas’.

5. Jika kita amat berbangga dengan ‘Budaya Mengalah’ atau ‘ikut arus’ ini serta menjadi dosa besar buat mereka yang menentang, kenapa harus pada masa yang sama kita mewar-warkan tokoh-tokoh perjuangan dalam sejarah kita seperti Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut, Mat Kilau bin Imam Rasu, Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam, Dato Bahaman, Dr Burhanuddin al-Helmi dan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang diketahui umum sebagai ‘Penongkah Arus’? Mereka telah ‘hidup’ dalam sejarah bangsa turun-temurun sehingga sekarang. Kenapa? Tanya Pak Natsir. Jawapannya adalah kerana mereka telah memilih, “lebih baik kalah dari mengalah” dalam memperjuangkan hak. Namun, apakah ini sifat dan ciri-ciri pemimpin yang kita miliki dan bakal perolehi jika terus menerus mempertahankan ‘budaya mengalah’ dan ‘ikut arus’ seperti sekarang? Segala cacat cela kemas disimpan, segala kelemahan dan kepincangan dipertahankan, semua kebobrokan dikelumbungkan hanya demi kerakusan dan nafsu serakah demi diri sendiri, keluarga dan kroni (DDSKK). Yang akan menerima musibahnya adalah rakyat yang melata dan disebut ‘marhaen’ sedangkan yang bulat dan cekang membuncit adalah mereka yang mengkhianati amanah dari rakyat.

6. Sebarang suara yang bernada menentang budaya kotor ini akan menerima padah dan dianggap ‘golongan kecewa’. Apakah rakyat tidak harus kecewa dan sebaliknya bergembira merayakan pengkhianatan seperti ini? Apakah rakyat hanya WAJIB bertepuk tangan dan menari-nari sebagai menyambut kepincangan yang sengaja dilakukan untuk kepentingan sekerat-dua manusia yang tidak pernah jemu memperkosa ‘amanah’ yang diberikan rakyat? ‘Sudah-cukup sudah’ judul lagu kumpulan Nirwana aku pinjamkan sebagai kalam akhir buat kali ini.

Wallahualam

~: hnbk :~

budaya mengalah

KEPIMPINAN PALSU

As-Salam

1. Petang kedua Idulfitri tahun ini seakan sama seperti hari-hari biasa kecuali buat kanak-kanak yang masih ke sana-sini memberi salam dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain. Bayangan ‘duit raya’ bermain di fikiran kanak-kanak setiap kali tuan rumah menjengah pintu rumah menyahut salam. Biasa buat kanak-kanak tetapi janggal buat orang dewasa untuk menuntut ‘duit raya’ walaupun ia bukan sesuatu yang mustahil. Orang dewasa yang menuntut ‘duit raya’ jumlahnya lebih besar apatah lagi buat mereka yang sedang mendayung sampan menuju Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Demi menumpuk kuasa, ‘duit raya’ kelihatan kecil untuk diberi pada orang-orang dewasa yang menagih habuan dengan balasan sokongan dan menjadi Pahlawan Cangkul membentengi ‘Tukang Bagi Duit Raya’.

2. Selain duit raya, menumpang sampan yang lebih besar untuk meraih sokongan buat memenuhi cita-cita peribadi juga bukan perkara luarbiasa. Yang mendayung kolek, melihat sampan, yang mendayung sampan, melihat bot dan begitulah seterusnya untuk membina bahtera pasukan masing-masing berdepan dengan PAU. Kaedah atau ‘modus operandi’ mencapai matlamat adalah SATU. Memastikan kemenangan walau dengan apa cara sekalipun tanpa mengambil kira ianya hina dari segi moral, budaya, adat, undang-undang, peraturan mahupun agama. Yang penting adalah kemenangan dan mencapai hajat di hati untuk bergelar dari serendah AJK Cawangan, Ketua Cawangan, Ketua-ketua sayap, Ketua Bahagian, Majlis Tertinggi, Ketua Pemuda, Wanita, Puteri, Naib Presiden, Timbalan Presiden hinggalah Presiden parti.

3. Menulis biografi seseorang pemimpin bukanlah perkara baru dalam menonjolkan kehebatan seseorang pemimpin. Yang menariknya, kehebatan untuk ditonjolkan oleh bekas pemimpin negara yang akan dilancarkan oleh anak bekas pemimpin negara yang kini bergelar Pemimpin Pembangkang dan beliau juga Ahli Parlimen wanita yang begitu menyerlah samada dari segi bakat kepimpinan, kepetahan berbicara dan juga keayuan seorang wanita. Biografi seorang bekas pemimpin utama negara akan dilancarkan hujung bulan ini oleh AP Wanita dari pembangkang dan juga di Singapura negara musuh tradisi negara ini sejak lama sememangnya agak luarbiasa. Rasanya ramai yang tidak yakin biografi itu ditulis oleh bekas pemimpin negara itu memandangkan kemampuan menulis dan pola fikirnya tidaklah sehebat bekas Perdana Menteri yang begitu lama memegang kuasa sehingga 22 tahun lamanya malah bekas ‘bos’nya. Saya juga agak kurang yakin itu semua idea dan penulisan beliau kerana mana mungkin seseorang yang berkata “Saya kerap tertidur kerana menghidapi penyakit Apnea tidur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA)” boleh menulis buku sehingga beratus-ratus halaman. Saya hanya dapat mengagak setengah halaman sudah terbaring keletihan.

4. Kemunculan buku yang akan membadai gelora politik tanahair ketika PAU semakin hampir menimbulkan prasangka ianya salah satu percaturan ‘warlord’ yang memilih jalan pintas untuk memintas laluan legasi dan sekutu Tun Mahathir dalam PAU kali ini. Kaedah memalukan dan ‘character assasination’ sering diguna oleh musuh-musuh yang bersengketa di medan politik untuk melemas dan melemahkan antara satu sama lain. Malah, ada detiknya, mereka yang tidak memihak kepada kem-kem tertentu juga akan dikenakan tindakan ‘perosakan’ bagi memastikan tidak ada yang menghalang cita-cita mereka. Yang bersuara dan senada dengan musuh politik mereka akan dibisukan melalui pelbagai cara samada dengan menghina, menyerang peribadi malah ke tahap paling rendah akhlaknya apabila mempersoalkan tahap keimanan dan agama orang lain hanya kerana suara-suara orang itu dianggap menjadi ancaman kemaraan mereka dan bahtera yang dinaiki menuju PAU.

5. Sejak awal memang sudah dijangka bahawa perebutan kali ini semestinya sengit berbanding PAU sebelum ini kerana ketagihan kuasa itu umpama meneguk air laut semakin diteguk semakin haus. Perebutan kuasa dalam parti menjadi budaya yang sudah tidak asing dalam mana-mana parti sejak negara merdeka. Yang berbeza adalah tahap perebutan dan juga kaedahnya samada berhemah atau bersalut kezaliman. Atas nama demokrasi, maka demokrasi jugalah digunakan untuk membunuh demokrasi dalam parti dan pilihanraya. Semakin kuat laungan demokrasi semakin kuat tikaman membunuh yang dibenam ke jasad bernama DEMOKRASI. Pemilihan tidak kotor tetapi yang mengotorkannya adalah mereka yang berebut untuk dipilih sebagaimana politik yang sering disalahtafsirkan sebagai kotor. Yang mencemarkan politik adalah pemain politik bukannya POLITIK. Politik yang penuh etika dan mulia dan dipamirkan oleh Nabi Muhammad saw dalam pembentukan Negara Madinah tidak sekalipun terpalit kotoran kerana matlamat berpolitik oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw tidak diselit kepentingan diri malah penuh amanah dan keikhlasan.

6. Apapun yang bakal menambahkan kemeriahan dan hiruk-pikuk politik menjelang PAU kali ini akan disusurgalurkan oleh kenyataan balas Tun Mahathir yang terkenal dengan kemahiran memukau rakyat dengan kehebatan pukulan kilas dan sindiran yang menusuk hingga ke ‘ulu hati’ malah tidak sedikit yang tersungkur. Namun, “politik itu seperti ikan besar, akan menelan semua yang lebih kecil darinya”. Yang kuat membaham yang lemah dan yang bodoh menjdai makanan si-cerdik. Percayalah bahawa ‘kepimpinan palsu itu tidak lebih bagaikan bintang yang bersinar tiba-tiba akan padam’. Sama-sama kita nantikan RUMAH TERBUKA yang amat-amat dinantikan oleh rakyat khususnya semua ahli dan pemimpin UMNO. Sama-sama kita kenang kata-kata Dr. Burhanuddin al-Helmiy berbunyi :-

Di atas rubuhan Kota Melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatupadulah segenap baka,
Membela hak keadilan Pusaka.

Wallahualam

~: hnbk :~

kipas

PENGEMIS

As-Salam,

1. Syukur Alhamdulilah masih diberi kesempatan untuk aku sampai di rumah dengan selamat. Berapa ramai yang keluar rumah tidak lagi pulang ke rumah kecuali jasad yang tidak lagi bernafas di usung masuk untuk ditumpangkan sebelum keluar semula ke destinasi terakhir. Hati terasa puas dapat melepaskan diri dari kesesakan di semua laluan masuk ke Bandar Alor Star. Aku kira ini semua berpunca daripada semakin ramai yang sudah mula bercuti pulang ke kampung halaman. Kebetulan hari ni Sabtu maka banyak yang mengambil kesempatan membeli dan belah di saat akhir. Aku cuma sempat ke pasar besar membeli ikan untuk kucing-kucing nakal di rumah, kedai menjual cakera padat lagu dan ke Hasani Bookstore membeli dua buku Zainuddin Maidin berjudul “Hari Itu Sudah Berlalu” dan “Di Depan Api Di Belakang Duri”.

2. Sebenarnya banya lagi niat yang direncanakan sejak pagi sebelum ke Alor Star namun terpaksa dilupakan bimbang terperangkap dengan manusia ‘saat akhir’ dalam bandar. Biasalah apabila bandar kecil mencurah-curah manusia, maka penguatkuasapun yang mengawal lalulintas tidak lagi mengawal sebaliknya menjadi pamantau makhluk bergelar ‘hawa’ yang pelbagai ragam dari yang seksi hinggalah ‘seksa’. Apa lagi, maka bertambah-tambah sesak lah keadaan samada sesak dada milhat seksi dan seksa.

3. Sebaik keluar dari pasar, fikiran terus berpusat kepada laluan mana menjadi pilihan mengelak dari jebakan kesesakan lalulintas. Aku memilih melintasi laluan masuk Taman Berjaya di Jalan Pegawai dan syukur ternyata tepat pilihan aku kerana keadaan di situ masih lancar trafiknya. Cuma sedikit terkandas di fikiran mengingatkan kenangan lampau di Alor Star suka dan duka apabila melintasi jalan-jalan dan tempat yang pernah kita jengah. Semuanya kenangan dan sepertikata Firman dalam lagunya ‘Kehilangan’ sudah hilang ditelan sejarah lampau. Hidup itu adalah kitaran namun destinasi mutlak pastinya menuju CINTA kepada RabNya. Cinta manusia tidak pernah kekal kerana manusia tidaklah sesempurna yang mereka fikir. Jika kesempurnaan yang dicari, maka bercintalah dengan Maha Pencipta yang kasih sayangnya melimpah-limpah dengan rahmat tak terhitung. Tidak akan ada rasa dengki, benci dan ungkit mengungkit kerana sifatnya yang Maha Sempurna. Kita hanyalah mampu mengemis cinta Allah kerana kekayaannya yang tidak bertepi dan sekiranya Dia tidak lagi cinta maka hidup seakan mati ditimbus amarah dan tiada lagi rahmat yang teramatlah diperlukan oleh seluruh makhluk ciptaanNya tidak kira siapa mereka.

4. Aku hanya ingin berpesan kepada diri agar hadam dan khatam di dalam hati dan minda agar jangan mengemis kepada manusia kerana ada kalanya pengemis akan menjadi raja dan raja pula sebaliknya kadangkala terlupa menjadi pengemis. Tiada siapa raja dan tiada siapa pengemis sebenarnya dalam hidup ini kecuali kita mengharapkan dari manusia maka jadilah pengemis. Bercerita tentang pengemis, aku masih ingat kisah seorang kanak-kanak yang menjual kuih di sekitar sebuah restoran dan kisahnya begitu membekas dalam jiwa dan minda lantaran aku juga dulunya ketika kecil pernah melakukan perkara sama untuk meneruskan sisa kehidupan bersama ibu dan nenek tercinta.

5. Kisahnya begini, “Suatu hari, tampak seorang pemuda tergesa-gesa memasuki sebuah restoran kerana kelaparan sejak pagi belum bersarapan. Setelah memesan makanan, seorang anak penjual kuih menghampirinya.
“Pakcik, beli kuih Pakcik, masih panas dan sedap rasanya!”

“Tidak Dik, saya mau makan nasi saja,” kata si pemuda menolak.

Sambil tersenyum si anak pun berlalu dan menunggu di luar restoran.

Melihat si pemuda telah selesai menyantap makanannya, si anak menghampiri lagi dan menunjukkan kuihnya sekali lagi. Si pemuda sambil bergerak ke kaunter bayaran hendak membayar makanan berkata, “Tidak Dik, saya sudah kenyang.”

Sambil terus mengikuti si pemuda, si anak berkata, “Kuihnya boleh la Pakcik buat ole-ole untuk yang di rumah Pakcik.”

Dompet yang belum sempat dimasukkan ke poketnya pun dibukanya kembali. Dikeluarkannya dua keping wang RM1 dan dihulurkan kepada anak penjual kuih itu. “Saya tidak mau kuihnya. Wang ini anggap saja sedekah dari saya.”

Dengan senang hati diterimanya wang itu. Lalu, dia bergegas ke luar restoran, dan memberikan wang pemberian tadi kepada pengemis yang berada di depan restoran.

Si pemuda memerhatikan dengan tajam dan merasa hairan malah sedikit tersinggung. Dia terus menegur, “Hai adik kecil, kenapa wangnya kamu berikan kepada orang lain? Kamu menjual kuih untuk mendapatkan wang. Kenapa setelah wang ada di tangan kamu, diberikan kepada si pengemis itu?”

“Pakcik, saya minta maaf. Jangan marah ya. Ibu saya mengajar saya untuk mendapatkan wang dari usaha menjual atas jerih payah sendiri, bukan dari mengemis. Kuih-kuih ini dibuat oleh ibu saya sendiri dan ibu pasti kecewa, marah, dan sedih, jika saya menerima wang dari Pakcik bukan hasil dari menjual kuih. Tadi Pakcik kata, wang sedekah, maka wangnya saya berikan kepada pengemis itu.”

Si pemuda merasa takjub dan menganggukkan kepala tanda mengerti. “Baiklah, berapa banyak kuih yang kamu bawa? Saya borong semua untuk ole-ole.” Si anak pun segera membilang kuih-kuihnya dengan gembira.

Sambil menyerahkan wang si pemuda berkata, “Terima kasih Dik, atas pelajaran hari ini. Sampaikan salam saya kepada ibumu.”

Walaupun tidak memahami tentang pelajaran apa yang dikatakan si pemuda, dengan gembira diterimanya wang itu sambil mengucapkan , “Terima kasih Pakcik. Ibu saya tentunya akan gembira sekali, hasil kerja kerasnya dihargai dan itu sangat berarti bagi kehidupan kami.”

6. Kesimpulannya, janganlah kita mengemis sesama manusia kerana semakin dingemis, semakin sombong pemberinya. Nilai dan harga diri manusia tiadalah dapat dihitung ketinggiannya kecuali, “Kita sendiri yang merendahkannya”.

Wallahualam

~; hnbk :~

pengemis blog

Spin Doctor (Doktor Putar)

As- salam

1. Kempen menjulang pahlawan masuk episod lanjutan apabila lidah yang menjadi perkakas Sang Kelembai memutar-mutar piring hitam antik dengan lagu klasik yang cuba diretrokan buat sajian pendengar. Malam ini lagu yang didendangkan berjudul EKONOMI yang kononnya berjaya dimartabatkan Sang Kelembai. Apakah kejayaan ekonomi yang kononnya berada pada landasan yang betul itu betul-betul di landasan betul atau diperbetulkan untuk kelihatan BETUL?

2. ‘Spin Doctor’ terlalu ramai dihasilkan oleh pusat pengajian entah dari mana datangnya. PhD untuk bergelar ‘doktor’ begitu murah dan mudah dijaja ke sana sini dan akhirnya penyelidikan yang dihasilkan juga tidak lebih sebagai ‘jelly’ menambah GELI yang menjadi kegemaran para badut dan pemimpin yang ketagihan nikmat GELI. ‘Jelly’ yang mudah diperolehi di pasaran ketika ini walaupun banyak jumlahnya tetapi nilainya bergantung kepada tahap kegelian yang bakal dirangsangkan nanti. Perangsang-perangsang GELI berserakan di mana-mana umpama insan-insan yang bersusun-susun di pagar masjid sepanjang Ramadan untuk mendapatkan rezeki daripada zakat fitrah yang menjadi kewajipan umat Islam setiap tahun.

3. Angka yang diwar-warkan oleh jurucakap Sang Kelembai menyentuh ekonomi yang melonjak mungkin sedikit benar tetapi dimanipulasikan banyaknya benar, tidak benar mungkin dibenarkan ataupun menjadi kosmetik dan pakaian baru Sang Kelembai menyambut lebaran. Jika benar sekalipun, apa kata jika kita melihat dari kacamata rakyat dan bukan ‘rekayasa’ yang hanya ‘geli-geleman’ jika tersentuh.

a) Apakah rakyat secara keseluruhan bukan sekerat-dua mendapat rahmatnya?

b) Jika pengelola negara berjaya mendapat untung misalnya RM10 bilion tetapi habis kesemuanya dibelanjakan pemimpin akibat pembaziran, pemborosan dan penyelewengan dan memaksa perbelanjaan ditambah dengan jumlah semuanya RM15 bilion? Ini bermakna negara kerugian atau defisit RM5 bilion jika hipotesis itu dijadikan ukuran.

c) Bagaimana pula jika pengelola negara berjaya meraih untung hanya RM5 bilion tetapi perbelanjaan keseluruhan hanya RM3.5 bilion apabila pemimpinnya jujur dan berhemah berbelanja. Ini bermaksud negara mendapat surplus atau lebihan RM1.5 bilion.

4. Pemimpin A dan B memang berbeza kemampuan mengelola ekonomi dari segi pendapatan tetapi mereka juga berbeza dari segi berbelanja dan apakah yang lebih penting? Jumlah yang diperolehi atau jumlah berbaki? Pemimpin bagaimana yang rakyat perlukan? Teringat satu pepatah terkait dengan politik berbunyi “Politik itu seperti ikan besar, akan membaham semua yang lebih kecil darinya”. Hanya sekadar beranalogi dan bercanda. Coretan saya hanyalah khayalan yang dipunggah ketika berbuka puasa dan dipintal-pintal selepas berbuka. Semoga tiada yang terluka dan tidak pula tercedera kerana niat saya hanya berseloka sebagai usikan buat mereka bermuka-muka.

Ada rumah tidak berpintu,
Ada pintu tidak bertingkap;
Rimau garang memang begitu,
Mengaum saja tidak menangkap

Menitik embun di hening pagi,
Putera mahkota mandi di kolah;
Rangkap pantun pengganti diri,
Maafkan segala silap dan salah.

Wallahualam

~: hnbk :-

romney-spin-doctor