KEPUTUSAN ATAU SUDAH PUTUS?

As-Salam

1. Siddiq Fadzil dalam monografnya di bawah sub-judul ‘Menoleh Sejarah Menafsir Kisah’ menukilkan bahawa “Dalam sejarah kita sendiri, tidak sedikit ilmuwan pujangga yang mencatatkan keprihatinannya terhadap gejala penguasa bernafsu besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi melayani keserakannya”. Membaca nukilannya itu, ia seakan-akan mempertontonkan panggung sandiwara yang berkisar di persada politik tanahair masa kini. Kenyataan itu juga tidak banyak berbeza dengan apa yang pernah disindir oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor Mantan Presiden PAS dalam satu wacana di mana beliau sebagai salah seorang ahli panel menyoal “Apakah hala kepimpinan Melayu sekarang?” pertanyaannya itu dijawabnya sendiri. “Hala kepimpinan Melayu sekarang ialah tak tentu hala.”

2. Keserakahan yang melonjak dan bergelora dalam diri penguasa yang juga pemimpin, keluarga dan kroni tidak sukar dan perlu dibongkar oleh orang lain lantaran ianya dipunggah oleh mereka sendiri untuk tatapan umum. Tabiat berbelanja dan cara hidup yang luarbiasa bagi rakyat mencetuskan ketidakpuasan hati mereka dan ia seakan-akan sinonim dengan individu tertentu. Oleh yang demikian, jangan pula menuding jari kepada mana-mana pihak jika ia menjadi bualan ramai akibat tindak-tanduk sendiri yang gagal menguasai nafsu besar seperti yang disebut siddiq Fadzil itu. Ketidaktentuan halatuju kepimpinan negara pula semakin hari semakin menyerlah betapa hilangnya kawalan pucuk pimpinan kepada saf pimpinan di bawahnya sehingga kecelaruan keputusan dan tindakan sudah menjadi lumrah yang jarang-jarang berlaku di era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kecelaruan pemanduan pimpinan negara yang bermula sejak pengganti Tun M sehingga kini menyebabkan berbagai masalah meruntun rakyat dari sudut sosial, ekonomi, politik dan juga keselamatan. Ekonomi yang menghimpit rakyat tidak mampu ditepis dengan angka-angka yang diumumkan kerajaan. Rakyat tidak bermain dengan angka kerana angka sebenar berada di dalam periuk nasi dan kantung suami atau isteri, ibu dan bapa serta rakyat melata. Kadar jenayah yang merunsingkan mereka ditambah dengan insiden-insiden tembak-menembak dan pembunuhan secara rambang serta bertali-arus terpampang di media setiap hari amat menyedihkan. Pengumuman penurunan indeks jenayah bukan jawapan yang dinantikan rakyat, mereka hanya perlukan keamanan dan jaminan keselamatan tidak kira tinggi mahupun rendah indeksnya. Rakyat yang tersepit di antara kemelut yang tercipta akibat hilang kawalan dan kelemahan pimpinan menjadikan mereka hilang keyakinan bukan sahaja kepada parti-parti politik, malah ia berjangkit kepada institusi-institusi yang menjadi tunjang dan benteng kekuatan sesebuah kerajaan.

3. Simptom-simptom jangkitan penyakit hilang keyakinan kepada institusi-institusi utama kerajaan dapat dilihat daripada sikap rakyat terhadap setiap keputusan, arahan, tindakan dan apa saja yang melibatkan rakyat dan institusi ini. Protes yang dibuat rakyat tidak sewajarnya dianggap simbol kebiadaban rakyat dan tidak menghormati undang-undang ataupun wujudnya unsur hasutan oleh pihak-pihak tertentu. Menafikan kelemahan sendiri hanya membuktikan bahawa ‘sindrom penafian’ sudah menjadi senjata akhir pihak yang tewas. Rakyat kini sudah mampu mengakses dan menilai segala maklumat untuk dijadikan asas pembuatan keputusan mereka. Jika kita menganggap mereka mudah menelan hasutan, ianya secara tidak langsung menafikan kematangan dan kebijakan rakyat mengaplikasikan akal mereka.

4. Sebagai pemimpin, yang lebih penting adalah pemimpin yang memimpin dirinya sendiri. Ini lebih penting sebelum seseorang itu memimpin keluarga, masyarakat dan negara. Pendapat tentang peri mustahaknya seseorang pemimpin itu memimpin atau mengendalikan dirinya sendiri sesuai benar dengan peringatan Nabi Muhammad (s.a.w) selepas Baginda memenangi satu peperangan yang maha hebat. Nabi telah mengingatkan para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda bahawa walaupun peperangan yang baru dimenangi itu amat hebat tetapi ada satu peperangan lain yang lebih hebat dari itu, iaitu peperangan melawan hawa nafsu sendiri. Penanda aras yang nampak mudah tetapi sukar dilaksanakan ini akan menjadi penentu dalam pemilihan pemimpin tidak kira dalam pertubuhan politik, pertubuhan bukan kerajaan, mahupun dalam kerajaan sekiranya rakyat dan ahli pertubuhan berhasrat menjadikan organisasi dan kerajaan itu dipimpin oleh mereka yang benar-benar layak memimpin. Jika tidak, janganlah mengeluh bagai jarum jam tanpa henti dan hanya berakhir setelah rosak atau habis bateri.

5. Kepimpinan bukan milik mereka yang berkuasa atau yang berminat menumpuk kekuasaan. Ciri-ciri kepimpinan yang mampu mempertahankan rakyat dan negara harus menjadi keutamaan. “Kuasa tidak pernah berundur walaupun setapak ke belakang” kata Malcolm X Tokoh kulit hitam yang kemudiannya memeluk Islam. Jika membiarkan ia ditentukan oleh orang politik, pucuk dicita, ulam mendatang, rakyat berdukacita, mereka melentang. Kepentingan utama orang politik ialah mempertahankan kekuasaan bagi yang sedang berkuasa dan merebut kekuasaan bagi yang belum berkuasa. Edmund Burke tokoh politik terkenal British pada abad ke-18 menyebut bahawa “Semakin besar sesuatu kuasa, semakin besar bahaya penyalahgunaannya” . Oleh yang demikian, pemilihan pemimpin yang faham dan tahu akan bahaya KUASA ini wajar diterapkan pada setiap pemimpin yang dipilih. Jangan sampai “dalam menghapuskan ketidakadilan yang berbentuk lama, kita akan mewujudkan ketidakadilan berbentuk baru.”

6. Adalah sesuatu yang malang dan mengecewakan kerana adakalanya, para pemimpin kita amat suntuk pandangan politik mereka dan hanya menjadikan KUASA satu-satunya matlamat yang dikejar. Puncanya adalah seperti yang diungkapkan oleh Herbert E. Hawkes “separuh daripada kerisauan yang terdapat di dunia ini adalah berpunca daripada manusia yang cuba membuat keputusan sebelum mempunyai pengetahuan yang sepenuhnya dalam membuat keputusan.”

Wallahualam

~: hnbk :~
keputusan

Advertisements

2 thoughts on “KEPUTUSAN ATAU SUDAH PUTUS?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s