Salam Kemerdekaan

As-Salam,

1. Membaca buku dengan judul ‘Political Awakening’ karangan Bapa Kemerdekaan Malaysia YAM Tunku Abdul Rahman Putra yang diterbitkan oleh Pelanduk Publications pada tahun 1987 mengingatkan saya betapa kemerdekaan adalah begitu sukar diperolehi. Seharusnya sama-samalah kita menjaganya kerana mempertahankan kemerdekaan adalah lebih sukar daripada memperolehinya kata orang-orang lama. Sempena sambutan kemerdekaan tidak berapa hari lagi dan kebetulan ianya adalah bulan kelahiran saya, adalah didoakan agar kemerdekaan yang kita raikan kali ini akan melahirkan kemerdekaan yang sebenar-benarnya dalam diri setiap rakyat negara ini dari sudut kemerdekaan jiwa dan juga minda agar kita menjadi lebih gagah mempertahankannya. Saya amat yakin bahawa hanya mereka yang berjiwa dan minda merdeka mampu melakukannya. Manusia yang memiliki kedua-dua kemerdekaan ini akan mampu mengelakkan diri dari diumpan habuan dan ganjaran yang mungkin merebahkan negara ke tangan penjajah yang tidak pernah padam hasrat dan niat mereka untuk kembali menjajah. Penjajah tidak semestinya berwajah Inggeris, Jepun, Portugis ataupun Peranchis, ia mungkin hadir dengan wajah yang sama dengan kita sehingga amat sukar membezakan antara penjajah dengan yang dijajah dan silap terjah rupanya gajah.

2. Aku amat tertarik dengan kata-kata Tunku di awal buku karangannya itu yang menyebut bahawa “Kekuatan UMNO disebabkan oleh kerja kuat dan kesetiaan ahli-ahlinya, yakni kualiti yang diharapkan oleh beliau diamalkan oleh generasi akan datang”. Namun kini, apakah kriteria yang boleh dikatakan ‘kerja kuat’ dan kualiti oleh ahli-ahli (bukan saf pimpinan) UMNO yang kita dapat jadikan kayu ukur sebagai contoh sekarang? Bukan sahaja ahli-ahli, bahkan pemimpin juga lebih memberi fokus kepada usaha menimbun kekayaan dan kekuasaan sesama sendiri tanpa berselindung lagi sehingga rakyat yang buta mampu melihatnya. Inikah kekuatan dan senjata untuk mempertahankan kemerdekaan tanahair? Jawapannya tentulah ianya bukan senjata mempertahankan tanahair sebaliknya menjadi senjata makan tuan jika tidak diperbetulkan.

3. YAM Tunku mencatatkan bahawa “selepas Pilihanraya Umum (PRU) Pertama pada tahun 1955 dan kemerdekaan, beliau bersyukur kepada Allah swt atas rahmat dan pemurahNya maka perubahan yang lebih baik dapat dikecapi. Rakyat dapat berkongsi keputusan atas penubuhan kerajaan yang dipilih dan orang-orang kecil (rakyat) dapat membuat keputusan atas nasib kerajaan serta setiap ahli politik”. Oleh yang demikian, demi memanfaatkan peluang yang ada pada rakyat, mereka seharusnya bijak menggunakan kuasa yang ada bagi memastikan samada pemimpin ataupun kerajaan yang dipilih itu benar-benar layak memimpin kerajaan dan tanahair demi kelangsungan kemerdekaan negara. Rakyat tidak seharusnya bimbang ataupun takut kepada bayang-bayang. Peribahasa Inggeris ada menyebut “Jangan takut pada bayang-bayang. Ia hanya petunjuk bahawa ada cahaya berdekatan”. Maksudnya, jangan lah kita ragu dan bimbang akan sesuatu yang belum pasti kerana pasti ada cahaya yang mengintai untuk membawa kita keluar dari setiap masalah. Apa yang lebih penting adalah memilih pemimpin yang betul kerana harga sebuah kemerdekaan tidak dapat diukur dan dinilai oleh apa sekalipun di dunia yang fana ini.

4. Lihat saja apa yang berlaku di negara-negara yang sedang bergolak sejak dulu sehingga kini yang semuanya berpunca daripada kegagalan mempertahankan kemerdekaan tanahair walaupun usaha pejuang kemerdekaan terdahulu yang penuh dengan keringat dan darah untuk memeluknya. Namun, semuanya dihancurkan dalam sekelip mata angkara kealpaan dan leka menuai kekayaan dan kemewahan hidup dan pada masa yang sama rakyat terbiar dalam kemelaratan. Pepatah Inggeris juga menyebut “A hungry man is an angry man” dan ianya membuka peluang kepada penjajah dan kuncu-kuncunya untuk merobek perpaduan rakyat yang menjadi tunjang pertahanan tanahair. Sebaik perpaduan rakyat dapat dirobek, tidak ada mana-mana kuasa lagi yang mampu mempertahankan negara kerana samada pasukan tentera mahupun polis juga adalah rakyat dan akhirnya kesemua mereka akan berpaling tadah kepada keluarga masing-masing demi menyambung nyawa dan kehidupan. Detik itu maka akan tumbanglah kerajaan yang ada dan penjajah serta tangan-tangan ghaib akan menjalankan fungsi masing-masing tanpa berlengah. Yang rugi adalah rakyat secara keseluruhannya.

5. ‘Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ dan jadikan permuafakatan antara kerajaan dan rakyat sebagai asas kekuatan negara tercinta. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika semua pihak ikhlas dalam mencari penyelesaiannya. Kecintaan rakyat pada negara tidak diukur daripada berapa banyak bendera yang dipasang di kenderaan ataupun di bangunan seperti yang disarankan oleh Pak Menteri walaupun ianya tidak lah menjadi kesalahan. Yang lebih penting adalah kibaran bendera dengan penuh kasih sayang dan cintanya mereka pada bangsa, agama dan tanahair yang akan menjadi benteng pertahanan tanahair dan kemerdekaan. Salam Kemerdekaan buat seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama, jantina, umur dan warna kulit.

Wallahualam

~: hnbk :~
merdeka

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s