SUSUK

As-Salam

1. Siapa manusia yang tidak mahu kelihatan cantik, kacak, dicintai dan menjadi kegilaan ramai? Mungkin ada yang tidak berminat namun jumlahnya teramat sedikit jika dijawab secara ikhlas. Walaubagaimanapun, biarlah ianya berlaku dengan fitrah dan mengikut hukum yang diredhai Allah swt. Ada yang melakukan pembedahan dan ada yang menggunakan pelbagai kaedah yang sakitnya tidak terkata demi mengejar kecantikan dan kehebatan termasuklah ‘susuk’. Pemakai ‘susuk’ jika dikaji dari sudut ‘psychology’ dipercayai terdiri dari kalangan manusia yang tidak mempunyai keyakinan diri terhadap penciptaan Allah swt. Demi merebut perhatian, kasih sayang, cinta, dan untuk terus kekal berkuasa bagi mendominasi sasaran mereka, ‘susuk’ digunakan sehingga sanggup berhabis-habisan wang ringgit dan ada yang menjual kehormatan pada bomoh yang memasukkan ‘susuk’ tersebut. ‘Susuk’ merujuk kepada perbuatan memasukkan sesuatu bahan asing ke dalam badan bagi mendapatkan sesuatu kelebihan. Pelbagai bahan boleh digunakan, bergantung kepada apakah keinginan pengguna. Antara kelebihan yang kononnya boleh diperolehi daripada pemakaian susuk adalah muka sentiasa dipandang manis, tidak berusia, kebal dan berbagai lagi kehebatan yang tidak mampu difikir oleh mereka yang waras. Pemakai ‘susuk’ biasanya mempunyai beberapa pantang larang seperti tidak boleh memakan beberapa buah-buahan tertentu iaitu pisang tanduk, pisang abu, tidak boleh melintas di bawah tali kain bergantung kepada jenis susuk yang dipakainya.

3. Daripada pengamatan sejak beberapa tahun lalu, nampaknya bukan saja manusia yang mengamalkan pemakaian ‘susuk’ ini. Dikesan juga terdapat organisasi termasuk parti politik yang mengamalkannya sehingga kini masih ‘perasan’ cantik, kebal dan ampuh kerana dapat bertahan di mata dan hati rakyat. Hajat mereka mungkin akan dapat kekal cantik dan disayangi sehingga kiamat. Namun begitu, mungkin juga parti politik yang mengamalkan kaedah ‘susuk’ ini sudah melupai pantang larang yang dipetua oleh bomoh sehingga wajah sebenar parti ini semakin hari semakin hodoh dan dibenci angkara melanggar pantang. Mungkin bomoh menasihatkan agar pantangnya seperti menjauhi sifat ‘ujub’, takbur dan menghina rakyat telah dilanggar.

4. Bermacam-macam bomoh cuba digunakan oleh parti tersebut nampaknya masih gagal menahan kelunturan wajah yang semakin bertambah hodoh. Wang ringgit yang ditabur dan janji-janji yang yang dibuat nampaknya seperti dicampak ke laut habis begitu saja ditelan jerung-jerung berkeliaran yang menanti masa untuk membaham umpan yang dipasang. Amalan susuk sebenarnya bukan saja ‘haram’ malah akan memakan diri sendiri. Kasih sayang dan cinta biarlah datang tanpa dipanggil dan pergi tidak dihalang. Kasih sayang dan cinta akan lahir secara natural sekiranya kita ikhlas dan memenuhi amanah yang Allah pinjamkan kepada kita. Wang ringgit dan harta tidak mampu memaksa sesuatu yang bukan miliknya. Manusia boleh membeli bantal yang mahal-mahal tetapi tidak mampu membeli lena yang mengulitkan, manusia mampu membeli rumah tetapi seringkali gagal membeli kediaman untuk mendiami dengan aman harmoni dan asyik meninggalkannya, manusia mampu membeli keseronokan di pusat-pusat hiburan tetapi gagal memeluk kebahagiaan. Semuanya kerana menggunakan kaedah ‘susuk’ yang hadir bersama syaitan dan akan berakhir senasib dengan syaitan.

5. Budaya yang membeliti parti dan ahli-ahlinya semakin sukar dibuang sepertimana ‘susuk’ yang sekali masuk ke dalam tubuh, teramat lah sukar dibuang dan seringkali akan berakhir dengan kematian pemakainya. Dari pemimpin sehingga ke bawah sudah dibelenggu penyakit angkuh, sombong dan memandang rendah kemampuan rakyat dan ianya adalah ‘saka’ ataupun ‘susuk’ yang tidak mampu diubati selagi belum berkubur. Maka selagi ‘susuk’ masih mampu menyihirkan pandangan rakyat, selagi itulah rakyat masih kasih dan sayang. Namun sebaik ‘susuk’ itu sudah hilang kuasa sihirnya, kehodohan dan segala keburukan akan terserlah sehingga bukan saja tidak disukai lagi, malah dibenci dan dijauhi bimbang melekat sumpah ‘susuk’ lantaran amalan tersebut. Ketika itu, kerajaan yang dikuasai parti politik akan menjadi lemah apabila sudah dibenci rakyat. Benjamin Disraeli Mantan Perdana Menteri Britain berkata “Raja segala kejahatan ialah sebuah kerajaan yang lemah”. Jauhi amalan syirik dan merbahaya seperti ini kerana tidak selama-lamanya ia mampu menaungi atau memayungi kita kecuali dengan izin Allah swt.

6. Pentadbiran parti dan kerajaan yang masih dihiasi dengan aksesori penjajah tidak selamanya akan dapat men’susuk’kan rakyat. Sebaik rakyat mengetahui amalan susuk tersebut, cinta dan kasih terbang melayang dan kebencian akan menguasai mereka untuk mendesak serta memprotes samada secara terbuka ataupun melalui peti undi. Alias Mohamed pula dalam bukunya Wasiat Nasionalisme Melayu (1982) terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd mencatatkan “Salah satu dari tugas pentadbiran penjajah untuk mengekalkan pemerintahan di negara-negara yang diperintah ialah mewujudkan ‘public policy’ yang tidak melibatkan rakyat. Apa jua bayang-bayang (active politics) yang wujud, ia diwujudkan demikian rupa supaya maklumat-maklumat mengenai matlamat pemerintah tidak sampai dan digelapkan dari pengetahuan orang ramai. Yang demikian dasar-dasar yang hendak dibentuk oleh penjajah adalah yang dicerna oleh jentera pentadbiran penjajah dengan membenarkan hanya penyertaan yang paling minimum, supaya nilai-nilai yang hendak diterapkan ke atas masyarakat pribumi itu tidak memungkinkan timbulnya potensi-potensi protes anti kerajaan yang serius. Sistem yang hendak ditegakkan oleh penjajah itu sendiri bergantung sangat kepada sikap ‘apathy’ (tidak peduli) orang ramai, kepada paras umum kepuasan sosial rakyat dan kepada penerimaan yang pasif rakyat jelata terhadap prinsip-prinsip authoritarianism pemerintah. Sistem ini boleh bertahan selagi tidak ada golongan inteligensia yang boleh mencetuskan kancah dan ketidakpuasan hati rakyat. Bahawa penjajah telah berjaya menegakkan sistem tersebut selama hampir 100 tahun di Tanah Melayu menunjukkan dengan jelas bagaimana rakyat pribumi telah dipengaruhi dan diyakinkan oleh unsur-unsur ‘benevolent authoritarianism’ yang ditanam oleh penjajah”.

7. Sekiranya diperhalusi dan disoroti geraktindak dan perilaku parti politik dan kerajaan yang sekian lama memerintah, elemen-elemen yang menunjangi rantaian sejarah pemerintahan menyerlahkan apa yang cuba diketengahkan oleh Saudara Alias Mohamad itu. Berapa banyak ‘public policy’ yang melibatkan rakyat kecuali lingkaran ‘elit politik’ sediada? Penggelapan maklumat-maklumat pemerintahan didakwa terus berlaku sehingga banyak yang mengelirukan tanggapan umum. Kebergantungan parti politik dan kerajaan hanya dapat bertahan dengan sikap ‘apathy’ rakyat dan apabila rakyat dapat mengakses maklumat dengan mudah maka gelinciran sokongan sudah berlaku sepertimana dalam Pilihanraya Umum ke 12 dan 13 (PRU) yang lalu. Sepertimana penentangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union pada tahun 1946 adalah kerana sudah ada golongan inteligensia yang mampu merobek ketahanan sikap ‘apathy’ rakyat dan ianya telah berjaya. Sikap dan ketidakpuasan hati rakyat sekali lagi hadir ketika ini apabila semakin ramai golongan inteligensia yang muncul memacu tahap kesedaran dan ‘celik politik’ di kalangan masyarakat hasil daripada proses ‘langit terbuka’. Sekali lagi ‘susuk’ gagal mendepani masalah mengelabui wajah-wajah pemimpin yang bermasalah dan organisasi selagi pendekatan ‘plastik’ dan kosmetik dijadikan asas perhiasan. Kita seharusnya menyedari bahawa “Rakyat itu akar bangsa. Jika akarnya sihat, pokoknya pun sihat”. Sekiranya akar sudah tidak sihat, pohon dan ranting akan tumbang menyembah bumi.

8. Detik kejatuhan amatlah memeritkan dan ketika kita sudah menjadi lipatan sejarah, tidak ada pembodek dan penjilat yang akan tampil menghulurkan tangan untuk membetulkan sejarah malah menyokong sejarah kejatuhan sesuatu parti dan kerajaan. Ketika berkuasa, penjilat sering mendendangkan lagu ‘Dodoi si dodoi’ “seperti beliung besar ayun, kecil makannya”. Hasil tak seberapa namun diperbesarkan bagai raksaksa. Bukti telah banyak dipahat sehingga tidak seinci pun mukabumi yang tidak ada pahatan sejarah. Sejarah tidak mungkin dibohongi walaupun tidak kurang yang memutarbelitkan sejarah. Ada dua jenis sejarah yang tertulis dalam buku atau yang tersebar di kalangan masyarakat. Pertama, “sejarah” sebagaimana yang benar-benar terjadi dan kedua, “sejarah” sepertimana yang diceritakan secara berpilih-pilih dengan sebahagian daripadanya sengaja dipadam atau disembunyi. Kita samada tersepit di antara dua jenis “sejarah” itu yakni kita yang mempertahankan sejarah sebagai sebuah “kebenaran” dan tidak pernah berhenti mencari “kebenaran” atau saling bertengkar dan mencabar “kebenaran”.

7. Dr. ‘Aidh ‘Abdullah Al-Qarni penulis buku terlaris dalam bukunya itu La Tahzan (Jangan Bersedih) berkata “Jadikan kritikan tajam sebagai penghormatan . Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki Yang Maha Mulia, seringkali mendapat cacian dan cercaan dari orang pandir yang tidak berakal. Maka, apalagi saya, anda dan kita sebagai manusia yang selalu terpeleset dan salah. Dalam hidup ini, terutama jika anda seorang yang selalu memberi, memperbaiki, mempengaruhi dan berusaha membangun, maka anda akan selalu menjumpai kritikan-kritikan yang pedas dan pahit. Mungkin pula, sesekali anda akan mendapat cemuhan dan hinaan dari orang lain”. Begitu juga dengan kita, menegur tidak bermaksud benci atau berniat menyakiti melainkan untuk sama-sama berganding bahu sebagai simbol keterlibatan rakyat dalam membawa bangsa, agama dan tanahair ke landasan yang memenuhi keperluan mereka. Peribahasa ada mengatakan bahawa “Kalau alim minta doanya, Kalau kaya minta ringgitnya, Kalau cerdik minta akalnya, Kalau rimbun minta teduhnya”.

Wallahualam

~: hnbk :~

susuk

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s