TUAN TANAH KEDAWUNG

As-Salam dan Salam Sejahtera,

1. Jika ada yang masih ingat, dahulunya ada sebuah filem Indonesia dengan judul Tuan Tanah Kedawung dibintangi Suzanna dan Farouk Afero yang mengisahkan perebutan harta di zaman tuan-tuan tanah, zaman Belanda. Kisah yang difilemkan ini begitu sedih dan menyayat hati termasuk sutradaranya yang hebat walaupun tidak se’gah’ filem-filem sekarang yang pengarahnya lebih bergemerlapan berbanding pelakon utamanya. Semuanya berpunca daripada ‘kemaruk’ populariti dan publisiti. Populariti dan publisiti dinisbahkan oleh selebriti termasuk pelakon, model, DJ, wartawan, pembaca berita termasuklah aktivis siasah dan pengikut mereka sebagai ‘lubok emas’. Setelah terkenal, ramai yang mengejar walaupun dari sudut kualitinya bertaraf ‘hampas’. Bagi pelakon dan model, DJ dan seangkatan dengannya pula, akan diburu para Dato’, VIP dan kerabat2 (bukan kerabat nyoq) untuk MISI RAHSIA dan sepantas kilat menjadi kayaraya. Memang benar kata orang bukan siapa kamu kenal, siapa kenal kamulah yang menentukan nasib seseorang.

2. Berbalik pada kisah Tuan Tanah Kedawung, bagi orang Melayu yang utama bukan keutamaan adalah bergelar ‘Tuan Tanah’biarpun tanah dipenuhi lalang, paya bahkan gersang menewaskan ‘Mona Gersang’. Gelaran Tuan Tanah begitu hebat di fikiran mereka. Tabiat inilah yang menjadikan mereka alpa asalkan gelaran TUAN diulang-ulang tetapi tuan yang kais pagi makan pagi dan kais petang entah ke mana. Orang Cina lebih berminat hasil daripada tanah dan Melayu pula berminat pada geran. Memang sempurnalah keadaannya untuk saling perguna dan mempergunakan. Natijahnya? Kau pegang geran dan aku hasilkan hasil.

3. Begitu juga dalam soal masjid, kita lebih suka masjid didirikan di dalam kampung kita walaupun sudah berlebih-lebih masjid sehingga banyak tiang daripada makmum. Di zaman Rasulallah kenapa masjid dirobohkan walaupun ianya Rumah Allah? Kerana ia tidak menjadi Rumah Allah apabila terbinanya masjid itu atas alasan bermegah-megah bukan kerana Allah. Budaya seumpama ini telah merebak dengan pantas dan musibahnya semakin terasa apabila ‘mock cheque’ dibudayakan tanpa rasa malu dan menjadi ‘mockery’ di belakang tirai keikhlasan.

4. Apalah ertinya ‘jasa’ dan tiada harganya jika tidak dihargai. Jasa bukanlah untuk pujian sementelah adakah ianya mengenyangkan? Manusia itu biarlah menjadi manusia dan jangan dibiarkan seperti kerbau. Nasihat Buya Hamka: “Dua puluh ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya sama kuat, sama pula kepandaiannya menghela pedati, tentu harganya pun tidak pula berlebih berkurang. Tetapi dua puluh orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama ‘harganya’. Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga; tapi bagi manusia pribadinya yang berharga”. Maka untuk itu, “Pisau dan mentimun ditangan kita” dan terpulanglah pada kita samada berbangga sebagai kerbau ataupun manusia.

Wallahualam

~: hnbk :~

tuan tanah kedawung

Leave a comment