MUSIBAH PERSEPSI

Salam,

1. Manusia sememangnya mengharapkan yang indah dan nikmat sentiasa menyelubungi kehidupan mereka tanpa jemu. Namun dari realitinya, perlakuan mereka tidak pula seiring dengan apa yang dihajatkan. Ketika memandu ke pejabat pagi ini, minda diterobosi satu persoalan.

“Seringkali manusia itu mengharapkan diri dilihat umpama masjid, namun struktur binaan yang dibentuk dan disusun menyerupai kuil, gereja dan sarang lacur”.

2. Persoalan ini timbul apabila orang di sekeliling kita yang mengaharapkan kita melihat mereka itu syumul dan bersih dari segala kotoran sedangkan apa yang dibuat telah menghancurkan kepercayaan yang mewujudkan persepsi disebaliknya. Kita mahu orang percaya apa yang kita cakap, namun sering berbohong walaupun samada kita sedar, tidak sedar, separa sedar ataupun pura-pura tidak sedar bahawa orang mengetahui kita berbohong. Bila sampai detiknya yang kita benar-benar mengharapkan orang percaya dan kita tidak berbohong, maka ketika itulah orang mulai tidak percaya dan masih mengganggap ianya pembohongan. Sama seperti cerita gembala biri-biri dengan serigala yang dibaham serigala akibat sering berbohong dan menjerit terlolong-lolong tanpa bantuan setelah penduduk berhampiran menganggap ianya hanyalah sandiwara ataupun jenaka.

3. Dalam senario politik semasa yang rencam dan dipenuhi pelbagai sandiwara dan pembohongan serta propaganda melampau, kita tidak wajar menyalahkan rakyat yang keliru antara ‘benar’ dan ‘kepalsuan”. Oleh yang demikian, salah siapa jika ini berlaku?

4. Sebenarnya, inilah musibah yang menimpa umat dan bangsa kita berpunca daripada tindak-tanduk kita sendiri yang memusnahkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan parti-parti siasah yang bergelumang dengan najis dicernakan oleh kelompok sendiri. Rungutan demi rungutan terhadap bau najis sedangkan diri sudah dibaluti kotoran dan sisa perut dan badan. Angkara siapa dan siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang harus membersihkannya?

5. Jadilah pemimpin yang bermaruah dan disegani atas khidmat bakti dan bukannya omongan dan retorika yang hanya layak dilakukan oleh penjual ubat di lorong-lorong dan pasar malam. “Pemimpin yang berjaya ialah orang yang boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih atas daripadanya dan boleh mengawal komunikasi dengan orang yang lebih bawah daripadanya.” Ini hanya akan berlaku jika persepsi rakyat dan masyarakat baik terhadap kita dan mempercayai serta yakin dengan kepimpinan kita.

6.  Jangan biarkan persepsi bertukar menjadi musibah berpanjangan dan akhirnya, bangsa, agama dan tanahair menjadi taruhan. Tiga perkara ini bukan bahan atau modal untuk diperjudikan.

7. Sama-sama kita renungi dan memperbaiki keadaan sebelum senja dan azan terakhir berkumandang.

Salam

HNBK

Leave a comment